Wednesday, February 21, 2024

Strategi menarik pelaburan asing


Foreign Direct Investment (FDI) atau Pelaburan Langsung Asing berperanan penting bagi merancakkan kepelbagaian ekonomi Malaysia dan menaikkan daya saing negara. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yakin tahun 2024 akan lebih positif bagi pelaburan langsung asing ke Malaysia.

Kunci kepada transformasi ini adalah dasar strategik dan inisiatif yang dilaksanakan untuk menarik pelabur asing. Dasar-dasar ini adalah refleksi kepada pertumbuhan ekonomi, kemajuan teknologi dan pembangunan mapan yang bergerak seiring dengan matlamat yang lebih luas.

Antara negara yang telah berjaya melakukan transformasi ini adalah Emiriah Arab Bersatu atau UAE.Bekalan minyak yang semakin menguncup menyebabkan kerajaan negara itu memikirkan kaedah jangka panjang untuk tidak lagi bergantung kepada minyak sebagai sumber utama pendapatan negara. Justeru, UAE telah melakukan rombakan besar-besaran dalam pelbagai bidang kehidupan yang bergerak menjauhi kebergantungan kepada minyak dan gas.

Langkah yang telah dan sedang dilaksanakan adalah mewujudkan zon bebas yang mana perniagaan di negara itu boleh dipunyai oleh pelabur luar seratus peratus dan menikmati subsidi dan pengecualian cukai.

Dasar ini telah mencipta kegirangan hati pelabur antarabangsa untuk membuka hub perniagaan mereka dalam lingkungan kerangka peraturan sedia ada. Model zon bebas ini memberi impak besar kepada UAE kerana pelaburan asing telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi.

Pada masa yangs ama, UAE mewujudkan suasana mesra peraturan yang menggalakan kemasukan pelaburan asing melalui perlindungan undang-undang dengan cara membenarkan mereka memiliki tanah untuk pembangunan projek. Begitu juga langkah mengurangkan kerenah birokrasi telah meningkatkan keyakinan mereka untuk menyumbang kepada kemasukan lebih banyak pelaburan luar.

UAE melangkah jauh ke hadapan dengan memperkenalkan ‘UAE Artificial Intelligent Strategy 2031' ke arah sebagai hub global dalam inovasi kepintaran buatan (AI). Langkah ini dapat menarik lebih ramai pakar AI di seluruh dunia untuk melakukan kajian inovasi yang akan diguna pakai oleh pelbagai sektor di peringkat serantau dan antarabangsa.

Untuk menarik pelaburan asing, terdapat dua ciri yang perlu diberi perhatian. Pertama, jika sesebuah negara berada di peringkat sedang membangun, tumpuan tentunya diberikan kepada kos buruh yang lebih murah. Pelabur akan masuk apabila perbelanjaan perniagaan mereka dapat meningkatkan keuntungan berganda. Justeru, negara-negara dunia ketiga yang banyak menyediakan tenaga buruh ini menarik kehadiran pelabur dengan menyediakan lebih banyak tenaga kerja pada kadar upah yang rendah.

Keadaan ini tidak sama dengan negara maju atau sedang meningkat maju. Lalu, faktor kedua adalah modal pengetahuan yang dicirikan melalui kemajuan teknologi, tenaga kerja berkemahiran serta keupayaan untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan.

Jika kita melihat Malaysia, status negara maju yang bakal dicapai dalam tahun ini bergerak seiring dengan kemajuan infrastruktur, modal insan dan persekitaran perniagaan. Ketiga-tiga faktor ini berupaya menarik kemasukan pelabur asing yang ingin mengembangkan perniagaan ke rantau Asia Tenggara. Pada masa yang sama, pelabur juga ingin melihat kesediaan negara menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti, pendidikan bertaraf dunia dan pembangunan perumahan.

Dalam erti kata lain, untuk menarik pelaburan asing berasaskan pengetahuan, pekerja yang berkemahiran dan berpendidikan adalah tarikan utama mereka.

Bagi menyebabkan pencapaian Malaysia di peringkat global dalam pelbagai bidang yang ada pengaruh langsung ke atas kemasukan pelabur, media berperanan penting dalam menyebarkan dan mempromosi pencapaian Malaysia berasaskan ranking.

Contohnya, kedudukan universiti di Malaysia dalam ranking Times Higher Education. Semua universiti yang berada dalam kelompok 500 teratas wajar diwar-warkan supaya lebih ramai pelajar luar negara menyedari keupayaan pensyarah melakukan aktiviti pengajaran, penyelidikan dan penyeliaan. Universiti yang belum ada ranking wajar berusaha menempatkan institusi mereka dalam persaingan ini.

Begitu juga dengan perkhidmatan kesihatan yang bertaraf dunia. Usaha berterusan kerajaan Malaysia mempromosi kesihatan pelancoongan telah menunjukkan kejayaan apabila ramai pesakit yang datang ke negara ini untuk mendapatkan rawatan. 

Walau bagaimanapun promosi harus digandakan kerana semakin ramai orang kaya yang berhadapan dengan pelbagai jenis penyakit disebabkan persekitaran kerja, cara hidup dan amalan pemakanan.

Biarpun semua faktor yang dinyatakan tadi adalah penyumbang kepada kemasukan pelaburan asing yang berterusan, faktor kritikal di sini adalah kestabilan politik. Andai kerajaan silih berganti, ia menunjukkan suasana tidak baik untuk iklim pelaburan semasa. 

Pelabur akan berfikir panjang apabila menyedari keadaan politik yang kacau-bilau kerana banyak perkara tidak dapat diberikan tumpuan oleh kerajaan kerana fokusnya adalah mengekalkan kuasa dan berebut kuasa.

No comments:

Post a Comment