Friday, December 31, 2021

Jawapan biar jelas dan tepat


Jika seseorang bertanya kepada kita dan kita menjawab sambil lewa, jawapan itu tidak dapat membawa kita ke mana-mana. 

Contohnya, orang bertanya, “Ke mana arah tuju hidup kamu?” Apakah jawapannya? Sekiranya kita belum lagi mengarah hala tuju hidup, kita perlu tanya kepada diri sendiri. 

Tanya dengan bersemangat dan jelas. Berikan gambaran dan latar bunyi supaya kita dapat merasai perjalanan tersebut. 

ika tidak, impian hanya tinggal impian. Tanpa impian dan perancangan, tiada usaha yang sungguh-sungguh dapat dibuat untuk melangkah lebih jauh. 

Memberi jawapan yang tepat kepada setiap soalan memberikan gambaran siapa kita. Belajarlah memberi jawapan yang terbaik bagi setiap soalan.

Thursday, December 30, 2021

Pengajaran adalah pengalaman berharga


Penyajak dan pengarang Ralph Waldo Emerson pernah mengungkap kata-kata yang sangat baik untuk kita renungi bersama. 

Beliau menulis begini, “Habiskan setiap hari dan lengkapkan ia. Kamu telah melakukan yang terbaik. 

Tidak syak lagi ada kesilapan dan tindakan tidak munasabah yang berlaku. Lupakan ia secepat mungkin. Esok adalah hari baru, mulakan sebaik mungkin dengan semangat berkobar-kobar, mengatasi kesilapan lalu”. 

Melakukan kesilapan adalah lumrah dan jadikannya sebagai pengajaran untuk maju ke hadapan. 

Saya yakin setiap hari sentiasa ada pengajaran untuk kita. Kita boleh jadikan pengajaran sebagai pengalaman berharga untuk dikongsi.



Wednesday, December 29, 2021

Strategi penuhi jangkaan dan matlamat


Kita mungkin sudah banyak kali bernasib baik namun sesekali akan juga mengalami nasib yang tidak baik. Sama ada baik ataupun tidak, kita perlu maju ke hadapan. 

Kita perlu merancang teknik dan strategi terbaik supaya menepati jangkaan dan mencapai matlamat.

Ada orang yang kuat mentalnya mampu menahan banyak bebanan hidup seperti cerai-berai keluarga, kematian dan perpisahan. 

Ada juga yang mampu menahan sakit kerana ada kekuatan fizikal. Dua kekuatan ini yang tidak wujud dalam masa yang singkat sebaliknya dipupuk dan dimantapkan bagi tempoh yang panjang. 

Kekuatan inilah yang dapat membantu untuk ke hadapan.


Tuesday, December 28, 2021

Kemampuan bergantung kepada diri sendiri


Kita mungkin pernah mendengar susunan ayat yang berbunyi begini, “Apa sahaja yang kita mahu lakukan, kita mampu melakukannya”. 

Susah juga untuk memahami ayat ini kerana ia mencabar mental, fizikal dan spiritual untuk berjaya. 

Namun, saya membuat kesimpulan bahawa dalam mana-mana situasi, kita mampu memilih sama ada mahu berjaya atau gagal. Ia berkaitan dengan kekuatan mental untuk menghadapi cabaran kerana kadangkala kita terpaksa berhadapan dengan situasi tanpa pilihan. 

Maknanya kita perlu mengambil tindakan sebelum dapat memikirkannya. Keputusan mesti dibuat, azam mesti disandarkan pada keyakinan sejauh mana boleh pergi. 

Kesimpulannya, mampu atau tidak ia bergantung kepada diri sendiri.


Monday, December 27, 2021

Percaya boleh buat perubahan



Nelson Mandela adalah tokoh masyarakat yang menempuh pelbagai cabaran hidup. Beliau adalah contoh ketabahan dan kesabaran hidup yang memiliki visi yang jelas iaitu membebaskan perbezaan. 

Jalan cerita hidupnya berwarna-warni. 

Zaman kanak-kanaknya di kampung, kehilangan bapa, cemerlang dalam undang-undang dan sukan gusti serta perjuangan meruntuhkan sistem apartheid menyebabkannya di penjara selama 27 tahun. 

Pada tahun 1975, beliau berkata suatu hari nanti beliau akan dibebaskan dan melangkah keluar dari penjara dengan berjalan kaki. 

Pada 1990, Nelson Mandela berjaya berjalan sendiri, selangkah demi selangkah keluar dari penjara seperti mana yang beliau bayangkan see;um itu. 

Rumusannya, percaya apa yang kita boleh buat membantu fikiran dan usaha bergerak ke arah kepercayaan tersebut.


Sunday, December 26, 2021

Percaya diri ketika hadapi cabaran


Kadangkala cabaran hidup begitu kuat dalam hidup kita muncul dalam keadaan yang berbagai-bagai suasana dan bentuk. 

Orang bujang dengan cabarannya, orang berkeluarga juga dengan bentuk cabarannya dan hidup bermasyarakat juga ada cabaran tersendiri. 

Barangkali kita perlu melihat kembali visi atau matlamat hidup dengan lebih jelas khususnya apa yang kita patut lakukan untuk mencapai impian hidup. 

Saya seringkali bertanya pelbagai soalan kepada mereka yang berjaya keluar daripada kesusahan hidup sama ada kewangan, peribadi, keluarga, komunikasi dan sebagainya.

Kesimpulan yang saya dapat lakukan adalah ketika susah, kita perlu memegang kepercayaan yang menjadi teras dalam diri kita. 

Jadi, setiap masa kita wajar memperkukuh kepercayaan diri ini.


Saturday, December 25, 2021

Bahagia kerana sumbangan orang lain


Keupayaan mencipta bahagia, bagi sesetengah orang adalah mencabar kerana lebih banyak persoalan daripada jawapan. Jadi, apakah definisi bahagia? 

Ada orang yang melihat harta yang banyak sebagai bahagia. Jika begini maksud bahagia, kenapa masih ada orang yang sememangnya banyak harta, rumah besar dan serba-serbinya besar masih lagi keluh-kesah, risau dan rasa tidak cukup? 

Begitu juga orang yang hidup dengan cara sederhana, mereka juga rasa tidak cukup. Jadi, bagaimana memberi definisi bahagia ini? 

Pada fikiran saya, apa yang dikecapi oleh mereka yang bahagia ini adalah sumbangan yang diberikan kepada orang lain atau kepada masyarakat. 

Azam yang membara dalam jiwa untuk survival diri dan keluarga serta masyarakat menyumbang kepada kebahagiaan hakiki.

Friday, December 24, 2021

Mula membaca dengan sepuluh minit sehari


Membaca mengubah nilai, sikap dan peribadi kita. 

Bagaimana proses membaca dapat mengubah ketiga-tiga elemen ini? 

Saya kongsikan satu contoh perubahan yang berlaku ke atas seorang lelaki yang berumur 50 tahun yang tidak pernah merasakan dirinya sebagai orang yang berjaya sehinggalah beliau hilang pekerjaan, isterinya sakit dan tidak ada wang untuk belanja perubatan. 

Setiap hari beliau memberi masa sepuluh hingga 20 minit untuk membaca. 

Sebelum itu beliau tidak pernah membaca langsung. Hasil daripada kerajinan dan usahanya untuk membaca, lelaki itu melihat terdapat perubahan pada dirinya sendiri khususnya nilai dan sikap apabila mempelajari bagaimana tip, teknik dan pengalaman orang yang berjaya dalam buku-buku yang dibaca. 

Tidak rugi untuk kita memulakan amalan membaca pada hari ini kerana manfaat yang kita akan dapat jauh lebih banyak daripada apa yang kita sangkakan.

Thursday, December 23, 2021

Hidup ikut kemampuan


Penyelesaian praktikal bagi orang yang selalu hendak mengejar wang ringgit adalah mencari keseimbangan. 

Pernahkah kita berfikir bahawa wang ringgit akan menyelesaikan setiap masalah yang kita hadapi? 

Ada orang yang bergaji kecil berangan-angan hendak memiliki sebuah kereta Ferrari kerana kereta itu menjadi simbol kekayaan. Ketika berbaris menunggu makanan, saya fikir dengan wang yang banyak, semua masalah akan selesai. 

Sebenarnya tidak, lebih banyak wang bermakna lebih banyak masalah. 

Jadi, hidup perlu ada keseimbangan dan tujuan yang jelas. Pesan orang tua-tua, berbelanja ikut kemampuan dan elakkan daripada berhutang. 

Walaupun sukar, cubalah disiplinkan diri dengan prinsip hidup yang tegas dalam berbelanja.


Wednesday, December 22, 2021

Dunia berubah, survival lebih tinggi


Ketika dunia persekitaran sedang berubah, survival secara individu dan kolektif amat bergantung kepada cara kita menyesuaikan diri. 

Kita perlu pilih yang terbaik. 

Contohnya, perkembangan teknologi maklumat yang sangat pantas pada hari ini telah mengubah pelbagai bentuk kerja dan aktiviti harian kita. 

Pengenalan gajet baru boleh dikatakan kerap berlaku dan merangkumi beraneka peralatan. 

Begitu juga dengan kemahiran-kemahiran khusus yang mengukuhkan kedudukan seseorang dalam jawatannya. 

Sekiranya kita masih berfikir sama seperti sepuluh tahun lalu, kita akan tertinggal. Perubahan persekitaran akan meminggirkan apa yang kita miliki jika tidak bersedia dengan penyesuaian ini. 

Pelajar yang baharu bergraduat dengan satu disiplin ilmu tidak mampu bersaing dengan pelajar multidisiplin semasa temuduga. Jadi, kita mesti menyesuaikan diri.