Wednesday, March 31, 2021

Menilai diri



Dalam sebarang profesion atau kerjaya, baik yang bersifat profesional, mahir, separa mahir, kerja tetap atau kontrak, setiap satunya berhadapan dengan cabaran. 

Semua cabaran itu terangkum dalam satu kunci yang sangat penting iaitu refleksi diri (self-reflection). 

Maksud refleksi diri ialah kita sentiasa membuat penilaian terhadap senarai tugas, apa yang patut dan tidak patut, apa yang mendorong dan menghalang supaya kita sentiasa bersedia.

Cabaran-cabaran ini mesti mempunyai jawapan. 

Jika negatif, segera cari maklumat yang dapat mendorong perubahan kepada positif. 

Kenyataan yang tegas dan mengukuhkan matlamat supaya fokus sebenar tidak diketepikan.

Jadilah seorang yang jujur, kuat bekerja dan lihat transformasi kerja anda yang lebih baik.

Tuesday, March 30, 2021

Bina persepsi positif


Persepsi adalah imej yang terdapat dalam minda yang dipamerkan melalui tingkah laku. Persepsi boleh dibentuk melalui wajah, penampilan diri, suara atau tutur kata. 

Pertama, wajah. Dalam hidup, persepsi kita terhadap pelbagai jenis personaliti adalah berbeza-beza. Sebaik sahaja bertemu guru agama, hafiz atau pendakwah, secara automatik kita mengatakan wajah mereka lembut, bersih dan memancarkan cahaya. 

Sebaliknya keadaan akan berubah kalau berjumpa kaki pukul atau samseng. 

Kedua, penampilan diri. Persepsi awal terhadap seseorang turut dipengaruhi oleh cara berpakaian yang dipamerkan. 

Kita mungkin tidak ada apa-apa perasaan jika bertemu dengan samseng yang memakai baju-t, namun akan berubah sebaik sahaja beliau memakai blazer, tali leher dan berkasut hitam kilat.

Ketiga, tutur kata. Kata-kata yang baik adalah tips untuk memberi persepsi yang baik kepada orang lain. Pujian, sokongan atau penghargaan mampu menghantar mesej untuk mewujudkan persepsi positif.

Monday, March 29, 2021

Tip cari ilmu



Dalam kebanyakan kursus yang dikategorikan ‘in-house training’, peserta agak malu-malu hendak bertanya. Tidak seperti kursus ‘outdoor’ yang melibatkan penyertaan aktif. 

Kenapa peserta jarang bertanya? 

Adakah kerana tidak berminat, kurang semangat atau malu diperli rakan? 

Banyak alasan yang kita boleh cari tetapi satu alasan yang agak kuat ialah kemahuan mencari ilmu yang lemah. 

Satu kriteria orang yang suka kepada ilmu ialah banyak bertanya. 

Jadi, peserta kursus atau pelajar yang kurang bertanya, kemungkinan besar kurang berminat kepada ilmu dan tidak nampak faedah kalau bertanya. 

Pensyarah, penceramah atau guru adalah pakar dalam bidang masing-masing. Mereka akan beri ilmu kepada orang yang bertanya. 

Untuk mencari ilmu, kita perlu banyak bertanya dan tambahkan lagi dengan banyak membaca.

Sunday, March 28, 2021

Banyak sujud untuk dapatkan bantuan Allah swt



Saya selalu juga lepak-lepak dengan rakan-rakan untuk berbincang dalam banyak perkara.

Antara isu yang kami bincangkan ialah bagaimana menyelesaikan masalah hidup seperti masalah tidak ada duit, tekanan kerja, keadaan keluarga yang kurang harmoni, risau dengan akhlak muda-mudi dan bermacam-macam lagi. 

Lalu ada di antara kami yang memberi penyelesaian dengan mengambil pendekatan Barat sambil membawa beberapa teori. Namun, cadangan tersebut tidak menarik. 

Dalam perbincangan ini, seorang lagi memberi ideanya: Untuk menyelesaikan masalah, apa saja masalahnya, banyakkan sujud kepada Allah swt. 

Kami mengangguk tanda setuju kerana memikirkan inilah satu bentuk penyelesaian yang paling hebat dan jarang diberi penyelesaian. 

Banyak sujud bermaksud kerap bangun solat tahajjud dan solat-solat sunat yang lain sambil memohon hajat. 

Logiknya ialah kita ciptaan Allah swt, masalah dan penyelesaian juga diberi Allah swt. Penyelesaiannya hanya dari Allah swt dan banyakkan solat bagi mendapatkan penyelesaian.

Saturday, March 27, 2021

Pilih kawan


Kawan-kawan atau rakan-rakan adalah talian hayat yang sangat penting dalam hidup kita. 

Jatuh dan bangun, tawa dan riang atau susah dan senang banyak bergantung dengan kawan-kawan. 

Maknanya kawan-kawan menjadi sumber dorongan, pemberi semangat dan tempat bergantung supaya hidup kita menepati nilai-nilai insaniah seperti kasih sayang, bantu-membantu dan doa-mendoakan. 

Bagaimana kita boleh menambah bilangan kawan-kawan yang lebih ramai? 

Ia adalah satu cabaran kerana perkara ini bergantung kepada kita. Apakah definisi kawan atau rakan pada diri kita? 

Jadi, menambah bilangan kawan terletak pada definisi yang kita berikan. 

Seorang kenalan saya tidak akan melayan permintaan orang yang kurang dikenali untuk menjadi rakan facebook kerana dia hanya akan memasukkan orang yang dikenali. 

Kita boleh jangkakan berapa ramai kenalannya di facebook dengan sikap begini. Rakan yang lain, menerima sesiapa sahaja yang hendak berkawan dengannya kerana beliau berbangga dengan bilangan rakan yang ramai.

Friday, March 26, 2021

Kelebihan mendengar

Seorang pemimpin perlu sedar bahawa proses mendengar setiap pengikut atau pengikut adalah amat penting dan mustahak untuk mendapatkan daya dinamik dan idea-idea yang bagus.

Dalam proses mendengar ini, pemimpin mesti belajar untuk menerima perkara-perkara baru yang mereka kurang arif. 

Kadangkala idea-idea ini sangat bernas dan memberi nilai dalam perkembangan organisasi. Malah terdapat idea yang tidak ada kaitan dengan keperluan tetapi berdasarkan pengalaman.

Mendengar kepada idea memberi impak yang besar kepada kemajuan organisasi kerana persaingan sangat ketara hari ini. 

Bill Gates sentiasa menggalakkan stafnya menghantar idea tentang inovasi. 

Dalam setahun, Bill Gates akan mengambil cuti untuk menilai idea-idea tersebut. Andainya bersesuaian, idea itu akan dilaksanakan.

Thursday, March 25, 2021

Fokus pada kekuatan bukan kelemahan


Kita mesti fokus pada kekuatan yang ada pada seseorang. 

Alasannya ialah kita sangat sukar membangunkan kekuatan di atas kelemahan. Lebih mudah membina kemajuan dan masa hadapan apabila kita memberi perhatian kepada kekuatan. 

Bagaimana kita boleh membina kekuatan berkenaan? 

Pertama, memberi masa untuk menyatakan visi dan misi kita kepada orang lain tentang kekuatan diri mereka dan bagaimana ia boleh menepati visi dan misi berkenaan. 

Andai kata kita mula mengkritik seseorang tentang keburukan atau kelemahan diri berbanding memberi galakan, sudah tentu sekali perjalanan organisasi berada dalam keadaan terumbang-ambing. 

Kedua, galakan orang lain membina diri mereka dalam hidup, kerjaya, bidang yang diminati dan sebagainya. 

Falsafahnya ialah seseorang sangat sukar untuk membuat perubahan melainkan wujud kesedaran diri yang dicetuskan oleh faktor-faktor sekitar.

Wednesday, March 24, 2021

Fokus pada satu


Semasa saya dan rakan-akan berbincang untuk mengadakan program persatuan, banyak idea yang muncul, bernas dan semuanya bersemangat.

Selepas kami menyenaraikan aktiviti, rupa-rupanya banyak aktiviti yang hendak dilakukan sedangkan bilangan ahli tidak ramai. 

Bayangkan seorang ahli terpaksa kendalikan dua hingga tiga aktiviti besar. 

Tau-tau satu aktiviti pun tidak dapat dilaksanakan. 

Pembelajaran utama di sini ialah pelaksanaan aktiviti mesti fokus supaya dapat laksanakan program yang dirancang lebih memberi fokus kepada satu aktiviti daripada tiga aktiviti.

Maksudnya, fokus pada kualiti berbanding kuantiti. 

Dengan meletakkan kualiti sebagai keutamaan, kita mengerakkan seluruh tenaga, pemikiran dan wang ringgit untuk merealsiasikan fokus tadi.

Tuesday, March 23, 2021

Gaya membuat keputusan


Terdapat berbagai-bagai gaya membuat keputusan yang mempengaruhi keupayaan dan kebolehan setiap orang. Antara gaya ini ialah suka berlengah-lengah, konservatif, ikut gerak hati serta ambil bancian dan rasional. 

Mari kita lihat satu per satu gaya ini. 

Pertama, suka berlengah-lengah adalah tanda sentiasa mencari alasan supaya dapat melambat-lambatkan kerja. Bermacam-macam alasan yang diberi sama ada munasabah atau tidak. 

Kedua, konservatif adalah ciri yang cuba mengelak risiko dan tidak selesa dengan perkara-perkara baru. Gaya ini sentiasa mencuba cara baru yang selamat. 

Ketiga, mengikut gerak hati adalah ciri yang mengambil sedikit masa untuk memberikan keputusan. Cara ini kurang menekankan rujukan fakta sebaliknya lebih kepada kecenderungan kata hati. 

Manakala kaedah ambil bancian dan rasional menekankan rujukan berasaskan fakta untuk menentukan keputusan. 

Keputusan yang terbaik bergantung kepada kaedah penyelesaian yang praktikal dan juga panduan dari ilahi.

Monday, March 22, 2021

Satu matlamat laluan berbeza



Dua orang pelajar yang memiliki matlamat hendak belajar di universiti, laluan mereka ke universiti tentu berbeza. 

Matlamat mereka adalah sama iaitu universiti tetapi laluan atau jalan-jalan masuk ke universiti adalah terbuka. Laluan itu bergantung kepada banyak keadaan seperti latar belakang, personaliti, situasi dan sumber. 

Bagi pelajar dari keluarga yang memiliki sumber kewangan yang mencukupi, beliau tidak perlu menunggu bantuan kewangan dari kerajaan untuk belajar di University of California, Berkeley.

Namun bagi pelajar yang datang dari latar belakang keluarga berpendapatan rendah, biasiswa kerajaan adalah rahmat untuk merealisasikan impian belajar di Universiti Al Azhar. 

Matlamat akhir belajar ke universiti telah tercapai walaupun laluannya berbeza. Bagi setiap orang, terdapat banyak laluan, kaedah dan cara untuk mencapai matlamat. 

Yang penting ialah di mana ada kemahuan di situ ada jalan.