Thursday, July 19, 2018

Memahami peranan ahli parlimen







Seorang wakil rakyat diarah keluar dari pParlimen Malaysia dan digantung pada persidangan parlimen ke-14 kerana menuduh Pemuda Umno sebagai samseng dan gengster. Ketegasan Yang Dipertua Dewan Rakyat menunjukkan beliau mahu setiap wakil rakyat berhati-hati apabila membuat tuduhan tanpa fakta.

Seramai 222 orang wakil rakyat yang dipilih semasa pilihan raya menjadi harapan kepada masa hadapan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju.

Setiap wakil rakyat memiliki keistimewaan tersendiri untuk berhujah dan membuat keputusan di parlimen. Ada yang mampu berhujah dengan fakta dan keadaan tenang namun ada juga yang berhujah hanya dengan meninggikan suara semata-mata untuk menarik perhatian orang lain.

Kemahiran berhujah perlukan latihan dan kesungguhan yang berterusan. Latihan yang dimaksudkan ialah berkaitan suara, teknik penggayaan dan kemampuan berbahasa serta kekerapan berucap. Latihan juga berkaitan dengan minat dan kesungguhan untuk menyampaikan pendapat dan menyuarakan hak dan kepentingan masyarakat yang dibela.

Ahli parlimen bertanggungjawab kepada tiga kumpulan iaitu sebagai wakil yang dipilih rakyat , ahli parlimen dan ahli politik. Tugas ahli parlimen ialah memberi bantuan dan nasihat kepada rakyat kawasan undi, bertindak sebagai pelobi dan pendesak bagi kumpulan yang berkepentingan, menjadi pembahas untuk membincangkan dasar-dasar parti dan negara serta memainkan peranan yang aktif dalam pembangunan komuniti.

Ahli parlimen menyediakan jambatan antara konstitusi dan parlimen. Justeru mereka disediakan ruang untuk berjumpa dan sluran komunikasi yang pantas. Konstitusi yang aktif akan membawa sebarang masalah mereka kepada ahli parlimen supaya isu berkenaan disuarakan kepada jabatan yang berkaitan secara langsung. Andai kata isu berkenaan lebih serius, ahli parlimen boleh membawa perkara berkenaan untuk perhatian menteri melalui perbahasan di parlimen. Ahli parlimen juga boleh menaja petisyen mengenai sesuatu isu jika ia menyentuh kepentingan dan hak kumpulan yang tertindas.

Di parlimen, mereka bertanggungjawab menggubal dan membahas cadangan-cadangan baru undang-undang, meneliti tindakan kerajaan dan jabatan kerajaan sebagai ahli jawatankuasa parlimen, mengambil bahagian dalam perbahasan imum, menghadiri mesyuarat parti dan melaksanakan tugas-tugas yang diarahkan oleh parti atau parlimen.

Menjadi ahli parlimen bukanlah tugas mudah kerana mereka perlu memahami tanggungjawab besar yang dipikul. Kejayaan mereka ialah menjadikan rakyat lebih matang dalam menyuarakan hak dan keperluan hidup di kawasan mereka, bukan bergembira memilih calon parti yang hanya menjadi pemerhati pasif di parlimen.

Melaksanakan tanggungjawab ini sangat mencabar kerana mereka perlu aktif di peringkat kawasan mereka sendiri supaya dapat mengetahui pandangan dan isu-isu yang berkisar dalam masyarakat, mencari masalah komuniti dan kadangkala perlu mengambil peluang menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada penduduk.

Ahli parlimen yang diarah keluar dari Parlimen Malaysia baru-baru mungkin terikut-ikut dengan sikap dan perangai lama kerana sentimen yang tidak ada kesudahan. Beliau harus sedar bahawa masyarakat sekeliling sudah berubah. Jika beliau mahu mendakap sikap berkenaan, masanya sudah sampai untuk beliau memikirkan kedudukannya pada pilihan raya akan datang.

Sunday, July 15, 2018

Mengangkat institusi raja








Isu seorang wanita Melayu yang tidak mahu perlakuan sistem feudal dalam kalangan pemimpin-pemimpin kerajaan Pakatan Harapan menarik perhatian banyak pihak sehingga laporan polis dibuat oleh orang ramai. Tarikan utamanya ialah beliau mahu amalan bersalam, membongkok kepala dan mencium tangan dihentikan  kerana 'semua  darah manusia berwarna merah, tidak ada lebih dan tidak ada kurang’.

Dalam perkara ini, saya melihat corak berfikir wanita berkenaan terkeluar dari corak pemikiran masyarakat Melayu secara umumnya. Bagi orang Melayu, salah satu  tiang seri kepada kaum itu ialah kedaulatan raja. Kekuatan bangsa Melayu dinaungi oleh kesultanan yang bertindak sebagai penaung dalam beragama, bermasyarakat dan bernegara. Jika naungan ini ini pecah, akan berlaku porak-peranda dalam penaungan agama, adat istiadat dan ketuanan Melayu.

Apakah yang difikirkan oleh wanita berkenaan? Apakah beliau menjangkakan dengan membebaskan sistem feudal, masyarakat Melayu akan maju? Lebih dinamik? Atau bagaimana?

Sejarah dunia moden mencatatkan semakin banyak negara yang menolak sistem morarki. Bilangan raja juga semakin merosot. Nepal memilih menjadi sebuah negara republik pada tahun 2008 apabila rakyat negara itu memilih untuk menyingkirkan kerajaan dinasti beraja.

Suatu masa dulu, terdapat banyak raja dan sultan di Sumatera dan Jawa, namun hari ini pentadbiran kesultanan hanya dimuatkan dalam kawasan terhad, di muzium dan menjadi sebahagian daripada sejarah negara.

Sebaliknya berlaku di Malaysia.

Institusi kesultanan dipelihara dan diberi status baru supaya tidak berkubur. Malah kedauatan raja-raja Melayu menjadi sebahagian daripada kontrak sosial yang mewajarkan bangsa-bangsa asing mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia. Peranan raja-raja juga diperkukuhkan melalui Majlis Raja-Raja apabila isu-isu berkaitan masyrakat Melayu dan bukan Melayu menjadi perbincangan dalam setiap kali mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Mempunyai raja dalam struktur pentadbiran negara adalah satu kelebihan dan keunikan, bukannya satu kelemahan akibat daripada penggubalan sistem feudal. Institusi raja diangkat dalam perlembagaan persekutuan kerana ia mempunyai fungsi-fungsi khusus yang menjadi penstabil kepada struktur demografi Malaysia.

Saya menjangkakan institusi raja akan terus kukuh dan dihormati di negara ini kerana bilangan kaum Melayu akan terus bertambah dalam tempoh 30 tahun akan datang. Memisahkan kaum Melayu dari tiang seri masyarakat itu akan mengundang resah dan kebencian.

Justeru, saranan untuk menilai kembali institusi beraja di Malaysia adalah tidak relevan. Sebaliknya institusi berkenaan wajar di perkukuh supaya menjadi sebahagian daripada sistem pentadbiran negara.

Saturday, July 14, 2018

Tenaga kata-kata







Kematian seorang wanita yang dicekik dan ditikam kerana kerap menyindir seorang lelaki di tempat kerja menunjukkan bahawa setiap patah perkataan mempunyai tenaga. Ucapan yang disampaikan dalam sebarang bentuk membawa mesej tertentu yang dapat mempengaruhi orang lain yang mendengarnya.

Ucapan yang baik-baik dapat mempengaruhi fikiran dan hati orang lain untuk berubah. Seorang kanak-kanak yang nakal boleh diubah melalui kata-kata nasihat dan dorongan yang mengarah kepada tingkah laku dan akhlak yang baik. Kanak-kanak yang malas bersolat akan bertukar watak apabila diberi ingatan dan pujukan untuk menunaikan solat.

Kata-kata yang baik ini mempunyai pelbagai faktor. Ucapan "terima kasih" dapat memberi rasa tenang dan bahagia kepada kita berbanding ucapan "barua" atau "pergi mampos".

Kata-kata yang buruk dengan niat mengeji hanya mengundang marah dan balas dendam, lebih-lebih lagi diulang-ulang setiap hari. Sudah tentu batang tubuh yang dikeji tadi berasa tidak puas hati. Ternyata dalam kes pembunuhan berkenaan, suspek yang dikatakan berperwatakan baik bertukar menjadi ganas apabila kata-kata yang negatif sudah melampaui sempadan rasional dan had penerimaan diri.

Peribahasa ada menyebut "biar pecah di perut jangan pecah di mulut" menggambarkan betapa kata-kata boleh memberi kesan. Biarlah hidup terseksa asalkan rahsia dijaga dengan baik.

Selain sindiran, konflik juga tercetus kerana perbezaan makna walaupun dalam satu rumpun bahasa. Contohnya, cuba baca ayat ini: "memakai pakaian yang seronok" atau "10 fakta seronok negara Malaysia".

Pada kita, dua ayat ini adalah normal, tidak ada apa-apa yang cacat dan cela tetapi cuba baca ayat ini: "kamu membutuhkan saya hari ini untuk berjaya". Ayat ini bernada kasar kerana terdapat perkataan "butuh" yang membawa hal mencarut. Bagi masyarakat Indonesia, ayat itu betul dan sahih, boleh diterima kerana maksud "butuh" di sini sangat positif iaitu "perlu".

Jika orang Malaysia berucap di Indonesia menggunakan perkataan "seronok", dia akan ditertawakan kerana maksud perkataan "seronok" adalah "seksi". Kadangkala kita berjumpa dengan ayat "pakaian yang seronok" dalam buku-buku terbitan dari Indonesia yang bermaksud "pakaian yang seksi".

Adalah lebih baik kita belajar menjadi lebih prihatin dan sensitif dengan perasaan orang lain apabila berbual atau membuat jenaka. Di Malaysia, bentuk jenaka orang Melaka tidak sama dengan orang Kedah. Jika tidak prihatin, jenaka boleh bertukar menjadi konflik dan pergaduhan.

Friday, July 06, 2018

Pengasuh tidak berdaftar undang kecelakaan








Perbuatan kejam pengasuh yang menyebabkan kematian seorang kanak-kanak  berusia lima tahun mengundang kemarahan banyak pihak. Ia merupakan perbuatan tidak berperikemanusiaan dan menimbulkan kerisauan berpanjangan kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak di seluruh negara. Ia juga menimbulkan kesan trauma kepada ibu bapa yang pernah mengalami nasib yang sama.

Boleh dikatakan setiap tahun terdapat  kes yang melibatkan kematian bayi atau kanak-kanak di tangan  pengasuh. Punca-punca kematian disebabkan tersedak susu, pendarahan dan kelalaian ibu bapa yang masih menghantar anak-anak biarpun didapati anak-anak masih menghadapi demam panas yang berpanjangan.

Ada  kes yang telah pun diputuskan hukumannya dan ada kes yang masih berjalan di mahkamah.

Permintaan terhadap pengasuh sentiasa tinggi khususnya di kawasan bandar. Ia mengundang tarikan kepada sesetengah pihak untuk menawarkan diri menjadi pengasuh tanpa memiliki sebarang kelayakan ataupun memiliki sedikit pengalaman pengasuhan. Ada juga yang menjalankan perkhidmatan mereka melalui media sosial dan juga melalui rekomendasi daripada para pelanggan yang pernah mendapatkan perkhidmatan.

Bayaran perkhidmatan juga sangat kompetitif. Pengasuh yang berdaftar biasanya meletakkan harga yang lebih tinggi manakala pengasuh yang tidak berdaftar biasanya meminta harga yang mampu dibayar oleh ibu bapa.

Walaupun terdapat perbezaan harga, ibu bapa yang berkemampuan memilih penjaga berdaftar kerana kemahiran dan keyakinan yang tinggi demi keselamatan anak-anak. Sebaliknya ibu bapa yang kurang berkemampuan dan mempunyai peruntukan yang sedikit melihat penjagaan anak-anak lebih utama berbanding keselamatan mereka.

Kerajaan boleh mengambil langkah intervensi supaya masyarakat tidak panik dengan isu ini. Agensi dan kementerian berkaitan boleh mengambil langkah-langkah jangka masa pendek dan panjang untuk menambah baik kelemahan sedia ada.

Mereka boleh melakukan proses pendaftaran pengasuh di seluruh negara melalui usahasama dengan persatuan penduduk di kawasan taman perumahan supaya bilangan pengasuh dapat dikenal pasti. Setiap pendaftaran perlulah mempunyai kesan faedah kursus yang dapat memberi dorongan kepada pengasuh berdaftar untuk menjadikan perkhidmatan mereka sebagai salah satu kerjaya profesional yang boleh memberi pendapatan.

Kerajaan boleh membanyakkan pusat pendaftaran pengasuh malah membuka pusat latihan kemahiran supaya calon-calon pengasuh dapat mempelajari teknik dan kaedah pengasuhan yang betul dan berkesan. Antaranya ialah menyediakan silibus berkaitan pengetahuan perkembangan emosi mental dan fizikal kanak-kanak, keperluan makanan sihat, kaedah komunikasi, kemahiran penjagaan asas seperti penyusuan dan pembersihan diri serta kaedah-kaedah kemahiran pengasuhan yang sesuai dengan keperluan semasa.

Sekiranya berdaya maju, kerajaan boleh membuka kursus jangka pendek di kolej komuniti bagi memudahkan pengasuh mendapatkan sijil kelayakan pengasuhan. Bagi mempercepatkan pengendalian kursus, ia boleh ditawarkan oleh mana-mana syarikat latihan berdaftar untuk menyediakan kemahiran berkenaan kepada mereka yang berminat.

Orang ramai boleh digalakkan untuk membuka pusat  pengasuhan komuniti melalui pengurusan persatuan penduduk dengan harapan ia dapat menjana pendapatan komuniti dan mengeratkan hubungan kejiranan. Sekiranya kaedah ini dilaksanakan, masalah pengasuhan dapat dikurangkan dan diatasi sedikit demi sedikit.

Idea ini boleh dilaksanakan di kawasan kejiranan yang memiliki struktur organisasi sendiri dan penduduk aktif mempromosi hubungan komuniti  yang berterusan. Perancangan yang tepat dan pengurusan yang  aktif dapat meningkatkan  keberkesanan pengasuhan di peringkat  komuniti.

Adaptasi kaedah pembangunan komuniti untuk mengatasi  sesuatu masalah boleh dipopularkan. Ia dapat mengurangkan bebanan agensi kerajaan dan kos-kos lain yang berkaitan dengan penjagaan dan pengasuhan kanak-kanak.


Wednesday, July 04, 2018

Penyelesaian kekal perkahwinan bawah umur








Perkahwinan melibatkan kanak-kanak bawah umur kembali menjadi perhatian umum. Kes terbaru di Kelantan melibatkan seorang lelaki berumur 40-an dengan kanak-kanak berumur sebelas tahun. Kanak-kanak itu juga merupakan isteri ketiga lelaki berkenaan.

Isu ini menarik perhatian umum kerana bercanggah dengan norma dan pemikiran masyarakat moden Malaysia yang prihatin dengan kes berkenaan. Dari masyarakat biasa hingga ke pemimpin negara, kebanyakannya menzahirkan kekesalan dan marah bagaimana kanak-kanak bawah umur boleh dikahwinkan dengan lelaki yang jauh lebih berusia.

Bagi memahami perkahwinan bawah umur yang berlaku di Malaysia, kita perlu meneliti latar belakang kes berkenaan. Kehidupan keluarga kanak-kanak ini dilingkungi kemiskinan dan kesusahan hidup. Pekerjaan kampung sebagai penoreh getah memberi gambaran sejauh mana kehidupan keluarganya, tahap pendidikan dan pendedahan terhadap impian hidup.

Kemiskinan menjadikan emosi dan sikap tidak begitu stabil dan menyerah kepada “orang luar” untuk membuat keputusan. Keadaan ini menjadi lebih parah apabila tidak ada instrumen yang dapat mengekang kemiskinan berkenaan. Instrumen yang dimaksudkan boleh jadi dalam bentuk kesedaran masyarakat sekitar atau seorang dua pemimpin yang prihatin dengan kemiskinan keluarga itu untuk menghentikan kitaran kemiskinan yang membelenggu kehidupannya.

Intervensi yang diusahakan oleh pelbagai pihak untuk menghalang perkahwinan berkenaan juga merupakan sebahagian kecil instrumen yang dapat menghalang kitaran ganas kemiskinan dari terus merebak. Walau bagaimanapun, impak yang paling berkesan ialah melalui perundangan iaitu dengan mendakwa lelaki berkenaan dan membubarkan perkahwinan itu jika wujud.

Pada masa yang sama, kanak-kanak itu dan keluarganya perlu diberi penerangan yang sempurna supaya menilai kembali tindakan yang dilakukan. Ia boleh melibatkan kaunselor keluarga bagi beberapa sesi kaunseling supaya mereka benar-benar sedar dan berupaya berfikir lebih rasional.

Agensi kerajaan yang terlibat dengan pembasmian kemiskinan juga boleh berperanan membantu meningkatkan pendapatan keluarga melalui didikan usaha tani atau memberi kemahiran baru yang bersesuaian dengan keadaan mereka.

Agensi pembangunan komuniti peringkat daerah boleh membawa keluarga itu untuk mengambil bahagian dalam aktiviti masyarakat supaya ahli keluarga dapat berinteraksi dan mendapat idea-idea baru dalam mengurus hidup. Penglibatan bersama komuniti ini dapat memberi keyakinan kepada mereka untuk mengambil pandangan orang luar sebelum membuat keputusan-keputusan besar berkaitan masa hadapan anak-anak.

Membesarkan isu ini di media tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini sebaliknya menjadikannya lebih kusut dan berserabut. Perkahwinan bawah umur wajar dibincangkan dalam nada serius supaya penyelesaian kekal dapat diputuskan. Ia tidak patut berakhir dengan membubarkan perkahwinan tetapi mengambil kira jangka masa panjang seperti membasmi kemiskinan, meningkatkan kualiti pendidikan, menambah pendapatan dan menggalakkan pembangunan komuniti supaya punca kepada isu ini dapat dihentikan.

Sunday, June 17, 2018

Bantu miliki rumah sendiri







Memiliki rumah sendiri sebagai tempat tinggal menjadi impian setiap rakyat Malaysia lebih-lebih lagi yang telah berkeluarga. Namun terdapat banyak halangan untuk memiliki rumah sendiri ini jika tidak memiliki cukup pendapatan kerana bergaji kecil.

Harga rumah berbeza-beza mengikut kawasan. Di bandar, rumah bersaiz kecil tetap berharga mahal kerana permintaan yang tinggi. Rumah yang sama lebih murah di luar bandar kerana lokasi dan kurang permintaan. Katakan sebuah rumah tiga bilik tidur dan dua bilik air di bandar, nilainya boleh mencecah lebih RM300 ribu sebuah berbanding di luar bandar yang mungkin separuh harganya.

Seorang kakitangan awam yang mendapat pendapatan bulanan RM2,500 tentu banyak kali berfikir untuk membeli rumah hari ini. Nilai ini sangat rendah untuk memiliki rumah kerana harga rumah jauh lebih mahal dan tidak mampu membayar ansuran bulanan. Impian memiliki rumah tidak tercapai jika tidak ada pendapatan tambahan.

Kerajaan patut masuk campur untuk membantu setiap pekerja di Malaysia bakal memiliki rumah sendiri. Kakitangan awam dan swasta mempunyai peluang yang sama untuk mendapat rumah idaman masing-masing. Namun, jika harga rumah yang terlampau tinggi, sudah tentu sukar bagi mereka untuk membeli.

Kerajaan boleh membantu mereka dengan pelbagai cara.

Pertama, membanyakkan rumah mampu milik khususnya di kawasan bandar. Ia tidak semestinya rumah teres tetapi boleh juga diperbanyakkan rumah pangsa kos rendah. Teknologi hari ini membuktikan sebuah bangunan 30 tingkat boleh dibina dalam tempoh 15 hari, inikan pula rumah pangsa sepuluh atau 15 tingkat.

Kedua, menggalakkan agensi pembiaya rumah memudahkan pinjaman perumahan. Mereka boleh mengambil kira pendapatan tambahan pemohon seperti pendapatan dari pekerjaan kedua atau ketiga atau sumber-sumber lain yang meyakinkan. Walau bagaimanapun mekanismenya perlu jelas supaya pihak bank tidak dibebankan dengan hutang tertunggak.

Ketiga, kerajaan dan majikan memulakan langkah pemotongan gaji khusus untuk perumahan dengan jumlah simpanan minimum RM30 ribu hingga RM50 ribu. Ia boleh bermula sebaik sahaja pekerja disahkan dalam jawatan. Dalam tempoh sepuluh tahun, jumlah ini sudah memadai untuk menampung sebahagian kos pembelian rumah. Ia patut dilaksanakan dalam bentuk paksaan kerana rakyat Malaysia sukar mendisiplinkan diri dengan menabung.

Keempat, kerajaan mengawal harga rumah supaya pemaju tidak mengambil untung yang terlalu tinggi. Sekiranya perlu, kerajaan boleh membentangkan akta khusus untuk mengawal harga rumah.

Hari ini, ada dalam kalangan ibu bapa yang mendahulukan wang deposit rumah anak-anak kerana menyedari sukar bagi anak-anak membeli rumah menggunakan duit sendiri. Pendapatan bulanan sebanyak RM3,000 belum tentu membolehkan anak-anak ini menyimpan wang kerana kos hidup yang tinggi. Kerajaan harus sedar bahawa keadaan sudah berubah dan upah, elaun dan bonus perlu dinaikkan supaya seiring dengan kenaikan kos.

Menangguhkan kenaikan bererti menjadikan kehidupan rakyat lebih merana dan menderita. Hidup merana kerana wang gaji bulanan dihabiskan untuk memenuhi keperluan hidup seharian, hidup menderita kerana tidak ada lagi yang boleh disimpan untuk masa hadapan.

Saturday, June 16, 2018

Kedai dobi layan diri







Terdapat garisan kuning yang bertanda ‘sila buka kasut (shoes not allowed)’ di kedai dobi layan diri ini tetapi dua orang pengguna memakai selipar sambil duduk di atas bangku panjang yang disediakan. Kedua-duanya leka bermain ‘mobile legend’. Salah seorang daripadanya menghisap vape. Gelarannya adalah ‘Gemok’.

Terdapat papan tanda yang melarang pengguna menghisap rokok tetapi Gemok tidak mengendahkannya.

Kebanyakan kedi dobi layan diri 24 jam mempunyai peraturan sendiri untuk menjaga kebersihan dan keselesaan pengguna mereka. Notis dan makluman yang diletakkan pada dinding kedai adalah untuk perhatian pengguna dan wajar diikuti. Ia juga sebagai tarikan kerana kedai dobi tanpa peraturan menyebabkan ruang kedai tidak terurus, bersepah dengan sampah dan comot.

Di Bukit Beruang sahaja terdapat enam buah kedai dobi layan diri 24 jam. Setiap satunya memiliki keunikan masing-masing. Walaupun kawasan ini kecil, jumlah kedai dobi yang banyak menunjukkan terdapat permintaan yang tinggi. Kawasan sekitar ini didiami pelajar universiti, kolej komuniti, ekspatriat dan penduduk yang bekerja.

Tambahan pula keadaan cuaca yang tidak menentu meningkatkan penggunaan kedai dobi khususnya untuk mengering pakaian.

Berbalik kepada ragam pengguna, keprihatinan pengguna terhadap berkongsi hak bersama amat penting supaya kedai dobi layan diri ini dapat memberi manfaat berterusan. Sebab itulah setiap pengguna wajar mengikuti peraturan bersama supaya keadaan ruang kedai dobi berada dalam keadaan bersih dan berfungsi dengan baik.

Pengguna yang tidak memiliki kesedaran sivik sepatutnya dididik supaya menghargai perkhidmatan kedai dobi layan diri ini. Nasihat dan teguran boleh dijadikan sebagai saluran utama mengubah sikap dan pemikiran mereka.

Kedai dobi layan diri boleh terus berkembang pada masa hadapan kerana ramai orang yang bekerja tidak tentu masa. Ada juga yang membuat kerja lebih daripada satu pekerjaan yang memerlukan mereka bertukar pakaian setiap hari. Keadaan cuaca yang panas dan lembap tidak menentu turut menyumbang kepada kekerapan orang ramai menggunakan kedai dobi layan diri ini di samping cucian dan pengeringan pakaian yang memuaskan.

Pihak berkuasa tempatan boleh mengambil bahagian dalam memberikan nilai kekemasan dan kecekapan perkhidmatan kedai dobi layan diri supaya pengguna mendapat perkhidmatan setanding dengan nilai yang dikeluarkan. Pertandingan kebersihan, kekerapan penggunaan dan tanggungjawab sosial menjadi perkiraan kerana ada dalam kalangan pengusaha kedai dobi ini yang mendapat untung besar.

Sebelum ini kita hanya mendengar syarikat-syarikat besar yang melakukan tanggungjawab sosial, namun inisiatif boleh diambil untuk menggalakkan syarikat-syarikat kecil seperti kedai dobi layan diri menyumbang kembali kepada komuniti sekitar.


Wednesday, June 13, 2018

Utamakan pengangkutan awam






Miliki sebuah lagi perusahaan kereta nasional di Malaysia mengundang banyak persoalan. Selepas Proton dan Perodua, apakah Malaysia perlukan sebuah syarikat kereta lagi? Apakah tujuannya? Siapakah sasarannya? Di mana pasarannya? Bagaimana bentuk atau konsep kereta tersebut?

Lebih banyak persoalan daripada jawapan jika idea ini hendak diteruskan. Tun Dr Mahathir menyatakan idea ini bagi mengukuhkan industri kejuruteraan di Malaysia. Pada masa yang sama dapat membantu syarikat-syarikat kejuruteraan yang terlibat sebagai vendor untuk Proton kembali mendapat projek dan kontrak dalam pembuatan kejuruteraan automotif.

Walau bagaimanapun masyarakat Malaysia mempunyai pandangan yang berbeza. Rata-ratanya lebih cenderung kepada meminta kerajaan menambah baik jaringan pengangkutan awam di bandar-bandar utama supaya kesesakanjalan raya dapat dikurangkan. Jaringan pengangkutan awam dapat mengurangkan kebergantungan orang ramai terhadap penggunaan kereta yang sedia menambahkan pencemaran akibat terperangkap dalam kesesakan yang berpanjangan.

Jalinan pengangkutan awam yang tersusun dapat meningkatkan kecekapan perjalanan di samping mengoptimumkan penggunaan kawasan untuk pembangunan. sepanjang laluan akan muncul bandar-bandar baru dan moden yang dapat menjana ekonomi setempat dan menjadikan taraf hidup penduduk lebih baik.

Impak pengangkutan awam memberi banyak manfaat dalam pelbagai cara. Ia menggalakkan mobiliti, menentukan kaedah penggunaan tanah dan corak pembangunan, menjana peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi serta mendokong dasar-dasar awam berkaitan penggunaan tenaga, kualiti udara dan pelepasan karbon.

Pelaburan dalam pengangkutan awam memberi kesan ekonomi terhadap pekerjaan, upah dan keuntungan perniagaan. Pertambahan dalam pelaburan ini boleh menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih signifikan sebagai kesan jangka masa pendek dan jangka masa panjang dalam aktiviti ekonomi. Walau bagaimanapun, impak keseluruhan bergantung kepada tahap dan agihan pelaburan berkenaan manakala magnitud terhadap kesan berkenaan dapat dilihat dalam tempoh 20 tahun.

Bagaimana pelaburan dalam pengangkutan awam meningkatkan perkhidmatan dan menambah baik mobiliti serta berpotensi memberi impak kepada ekonomi?

Pertama, kos perjalanan dan hak milik kenderaan dapat mengubah corak perbelanjaan pengguna.

Kedua, mengurangkan kesesakan yang mana dapat menjimatkan kos perniagaan dan isi rumah.

Ketiga, kos operasi perniagaan dikaitkan dengan kadar upah kerana kurang kesesakan di jalan raya.

Keempat, produktiviti perniagaan mendapat lebih banyak tenaga kerja yang memiliki pelbagai kemahiran melalui perkembangan perkhidmatan transit di lebih banyak kawasan.

Kelima, pertumbuhan kawasan perniagaan serantau melalui impak perniagaan secara tidak langsung. Dengan kadar upah yang lebih baik, orang ramai memiliki lebih banyak pendapatan untuk berbelanja.

Laporan impak ekonomi dalam pelaburan pengangkutan awam oleh American Public Transportation Association 2014 merumuskan pelaburan dalam pengangkutan awam memberi impak yang signifikan terhadap ekonomi. Ia merangkumi galakan lebih banyak peluang pekerjaan dan kepelbagaian industri dan membolehkan isi rumah dan perniagaan menambah pendapatan serta memiliki simpanan kewangan yang lebih baik. Dalam jangka masa panjang, impak ekonomi adalah 3.7 kali lebih baik.

Dalam hal ini, pengangkutan awam yang bersepadu di bandar-bandar utama dapat meningkatkan produktiviti, akses kepada peluang pekerjaan yang lebih mudah, membuka pasaran perniagaan baru dan menambah baik kecekapan rantaian perkhidmatan. Semuanya adalah kerana pengangkutan awam dapat mengurangkan kesesakan jalan raya, memberikan pendapatan yang lebih banyak dan pengurusan sosial yang lebih baik dalam kalangan isi rumah.

Thursday, June 07, 2018

Peluasan ujian kompetensi bahasa Inggeris







Saranan Tun Dr Mahathir untuk mengadakan ujian kompetensi bahasa Inggeris kepada pegawai-pegawai tinggi kerajaan adalah sesuatu yang sangat menarik. Cadangan ini menunjukkan tahap penguasaan bahasa Inggeris pegawai-pegawai tersebut perlu ditingkatkan. Tun Dr Mahathir percaya bahasa Inggeris sangat penting dikuasai supaya pegawai-pegawai kerajaan dapat berunding dengan lebih sempurna apabila berurusan dengan pihak luar negara.

Penguasaan sesuatu bahasa terletak pada kesungguhan dan minat. Kesungguhan bermaksud berusaha dengan cara yang terbaik, meningkatkan interaksi, melakukan pembelajaran kendiri, bersemuka malah menghafal supaya daftar perbendaharaan kata semakin bertambah.

Pada usia yang sudah meningkat, lebih mudah mempelajari bahasa melalui komunikasi dua hala berbanding belajar secara sendirian melalui buku kerana pendedahan terhadap perkataan-perkataan baru lebih mudah diingat melalui interaksi. Jika kanak-kanak belajar bahasa, mereka lebih cepat mengingati sesuatu perkataan kerana mereka memiliki daya ingatan yang kuat.

Ujian kompetensi yang akan diadakan itu sudah pasti dapat membantu kerajaan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan kakitangan dalam sesebuah agensi kerajaan. Justeru kerajaan boleh mengadakan kelas bahasa Inggeris untuk meningkatkan penguasaan bahasa itu dalam kalangan kakitangan awam.

Pelaburan dalam bidang ini akan memberi pulangan yang sangat besar kepada inisiatif kerajaan bagi meningkatkan profesionalisme pekerja. Kakitangan yang dapat menguasai bahasa-bahasa dunia sudah tentu dapat mengadakan perbincangan dan perundingan dengan lebih berkesan berbanding jika hanya menguasai satu bahasa.

Semasa saya menghadiri seminar di Beijing, China beberapa tahun lalu, saya berkesempatan melawat beberapa buah pusat perniagaan yang dimiliki oleh kerajaan China. Semasa sesi penerangan diadakan, pusat perniagaan tersebut telah menyediakan seorang jurucakap yang fasih berbahasa Melayu. Keadaan tersebut telah memberi semangat kepada delegasi dari Malaysia untuk bertanya dengan lebih lanjut tentang produk perniagaan mereka.

Masyarakat China sangat terbuka dalam menggalakkan rakyatnya mampelajari bahasa asing termasuklah bahasa Melayu. Di Beijing juga terdapat sebuah universiti yang memberi tumpuan kepada pengajaran bahasa bahasa asing. Universiti ini adalah Beijing Foreign Studies University yang menjadi tumpuan pelajar-pelajar Malaysia untuk mempelajari bahasa Mandarin di China.

Kita juga boleh menubuhkan sebuah universiti yang memberi fokus kepada penguasaan bahasa asing yang popular di dunia. Selain daripada bahasa Inggeris, universiti itu juga boleh memberi pengajaran dalam bahasa-bahasa utama di dunia seperti arab, rusia, perancis, latin dan mandrin. Apabila kita memiliki pelajar yang boleh bertutur lebih daripada dua bahasa, kita dapat menjadi tempat rujukan dan pembelajaran dalam kalangan negara serantau dan antarabangsa.

Bagi merealisasikan universiti ini, kerajaan boleh menggabungkan beberapa buah fakulti dan jabatan-jabatan bahasa di universiti-universiti tempatan untuk dijadikan sebuah universiti bahasa. Dari segi pengambilan pelajar dan peluang pekerjaan, universiti ini boleh membuat pengambilan pelajar-pelajar dalam negara, kakitangan awam dan swasta malah prospek pelajar dan kakitangan kerajaan dari luar negara. Lepasan universiti ini boleh bekerja dalam bidang berkaitan bahasa sama ada dalam penulisan, percetakan, juru bahasa, pelancongan, perdagangan atau penterjemahan.

Malaysia juga menjadi pusat latihan bahasa serantau untuk memerangi aktiviti keganasan melalui kelas-kelas bahasa yang berkaitan dengan risiko sabotaj keselamatan sesebuah negara.

Pendek kata, mempelajari lebih banyak bahasa dapat meningkatkan kualiti seseorang kerana proses interaksi yang lebih kerap berlaku di samping mempelbagaikan budaya hidup dan meningkatkan corak berfikir. Kerajaan boleh memikirkan ujian kompetensi bahasa Inggeris yang lebih meluas kepada semua kakitangan awam khususnya mereka yang berurusan di kaunter dan yang mengadakan perundingan dengan delegasi luar negara. Melalui strategi ini, status perkhidmatan awam di Malaysia akan dihormati.

Sunday, June 03, 2018

Selamat tinggal Najib dan Rosmah







Dalam tempoh tiga minggu Pakatan Harapan (PH) membentuk kreajaan, perdana menteri Tun Dr Mahathir  telah memulakan usaha merealisasikan manifesto seratus hari PH dalam PRU14. Tindakan bermula dengan melantik jemaah menteri dan menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan. Kedua-dua tindakan ini menunjukkan peralihan kuasa selepas PRU14 telah diterima baik dan berjalan lancar. Tidak ada kacau-bilau atau sabotaj daripada mana-mana pihak.

Liputan media di dalam dan luar negara juga mempamerkan kegembiraan kerana sebuah kerajaan yang berusia lebih 60 tahun dapat ditumbangkan. Ia lebih bernilai apabila usaha-usaha ini diungkayahkan oleh bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) sendiri. Tun Dr Mahathir dalam siri ceramah politik untuk kempen PRU14 juga sedar perkara itu dan tidak menyesal kerana matlamatnya adalah mahu menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh 'pencuri, penyangak dan perompak'. Hampir setiap ceramah di setiap negeri beliau memberitahu hal tersebut kepada khalayak hingga ramai yang terpengaruh.

Anehnya, di pihak kerajaan BN tidak nampak usaha-usaha yang kukuh untuk menafikan kata-kata itu kecuali sedikti sebanyak daripada 'pahlawan Bugis'.

Namun, selepas PRU14 diumumkan, kepimpinan 'pahlawan Bugis' tidak mampu menandingi kepintaran strategi 'orang tua' berumur 92 tahun.

Hari ini, lahirlah sebuah kerajaan baru yang digelar 'Malaysia Baru'.

Banyak analisis dilakukan untuk mengetahui faktor-faktor kemenangan PH dan kekalahan BN. Dalam kebanyakan faktor ini, boleh dikatakan berlaku penolakan besar-besaran masyarakat Malaysia terhadap kerajaan BN kerana kepimpinan dan rasuah.

Kepimpinan itu pula berkait dengan peribadi pemimpin dan polisi-polisi yang membebankan ramai orang. Manakala kes-kes rasuah yang berlaku melibatkan pegawai-pegawai atasan kerajaan dan swasta dalam jumlah jutaan ringgit.

Pemimpin seperti Datuk Seri Najib Razak banyak mengekang kebebasan bersuara dan melaksanakan polisi yang tidak popular. Dalam kalangan pengamal media, Najib Razak adalah perdana menteri Malaysia yang paling banyak menyekat kebebasan memberi maklumat tepat kepada pembaca. Di akhbar arus perdana, dikatakan terdapat pemantauan yang cukup ketat ke atas maklumat yang disiarkan. Jika tidak menepati kehendak Putrajaya, editor akhbar akan diberi ingatan dan teguran. Akhirnya banyak maklumat yang wajar diketahui oleh pembaca sering disembunyikan.

Kini, keadaan demikian tidak ada lagi. Pendek kata, sesiapa sahaja boleh menyuarakan pendapat tanpa ada rasa takut kerana kerajaan PH ini memberi kebebasan kepada pendapat asalkan tidak membuat fitnah dan adu-domba. Keadaan ini juga dapat menggalakkan wartawan lebih cergas dan bertanggungjawab membuat laporan pemberitaan mereka.

Era Najib Razak juga banyak dikatikan dengan rasuah dan skandal. Penglibatan pegawai kanan kerajaan bertaraf Ketua Setiausaha kementerian sangat mengejutkan. Keadaan ini menunjukkan amalan rasuah sangat ketara dalam sektor kerajaan dan dibiarkan tanpa diambil tindakan pencegahan. Orang awam juga sudah lali dengan persepsi rasuah yang negatif dalam perkhidmatan awam ini.

Pernahkah kita terfikir jutaan ringgit disimpan dalam almari pejabat, dalam bonet kereta dan beg besar? Ia berlaku di Malaysia. Selain wang tunai, jutaan ringgit juga dijumpai dalam akaun peribadi, barangan mewah dan trip melancong ke luar negara setiap tahun.

Rasuah menyebabkan urusan pentadbiran menjadi lembap dan lemah. Keadaan menjadi lebih teruk apabila rasuah berkait dengan agensi penguatkausaan kerana agensi seperti itu mempunyai beban tanggungjawab yang lebih banyak.

Kerajaan PH yang baru mentadbir ini dilihat cenderung membasmi rasuah melalui siasatan ke atas 1MDB. Kita berharap siasatan juga lebih giat diusahakan supaya rasuah berkurangan dan masyarakat dapat memberi keyakinan kepada sistem pentadbiran yang sedang ditambah baik.

Di samping itu, pentadbiran Najib Razak melaksanakan polisi yang menjarakkan rakyat dengan BN. Pelaksanaan GST dan mengurangkan subsidi menyebabkan perbelanjaan rakyat berkurangan. Ia memberi tekanan kerana kenaikan harga barang tidak seiring kenaikan gaji.

Polisi yang tidak mesra ini membuatkan golongan muda dan berkeluarga besar menyimpan dendam kepada BN. Lalu mereka menzahirkan rasa marah dalam PRU14 lalu.

Polisi-polisi lain juga tidak mesra rakyat seperti PTPTN, perubahan harga minyak setiap minggu dan kurang pekerjaan menjadikan BN semakin tidak popular. Ruang ini diambil oleh PH dengan bertemu dengan rakyat di setiap negeri setiap malam, memuat naik setiap ceramah Tun Dr Mahathir ke YouTube dan pada masa yang sama mengemas kini laporan kajian kecenderungan pengundi di saluran YouTube Invoke. Sentimen yang dipupuk sekian lama dapat meyakinkan rakyat bahawa perubahan perlu dilakukan dalam PRU14.

Kepimpinan Najib Razak sudah ditolak. Konsep 'Cash is King' telah gagal. UMNO dan parti-parti komponen hanya dapat bertahan di Pahang, Perlis dan Sarawak. Ahli UMNO berpindah parti dan ada yang bercakaran sesama sendiri.

Kekalahan BN, antara lain adalah kerana keangkuhan pemimpin dan rasuah yang berleluasa. Rakyat mengucapkan selamat tinggal UMNO dan BN. Mereka menyanyikan lagu 'Selamat tinggal Najib dan Rosmah'.