Sunday, May 27, 2018

Pilihan Raya Umum ke-14: Anjakan perubahan rakyat







Sebahagian besar rakyat Malaysia menyambut kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 lalu. Gabungan parti politik Pakatan Harapan (PH) menyaingi Barisan Nasional (BN) telah menewaskan kerajaan BN yang mentadbir Malaysia 60 tahun. Selepas pengumuman kemenangan, pemimpin-pemimpin PH memberi pelbagai reaksi. Semuanya berharap akan wujud perubahan yang lebih baik dan maju kehadapan. Negeri yang dikuasai PH adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Gagasan Sejahtera (GS) menguasai Kelantan dan Terengganu manakala Sabah dikuasai oleh Parti Warisan Sabah yang mesra kepada PH. Tiga negeri iaitu Perlis, Pahang dan Sarawak kekal di bawah pentadbiran BN.

Sejarah yang terjadi pada hari ini akan menjadi permulaan yang segar kepada masyarakat Malaysia dalam berpolitik. Kehendak pengundi baru dan lama tidak dapat ditahan lagi kerana mereka mahukan pengurusan baru yang lebih baik dan bebas daripada skandal.

Mengimbas kembali kempen pilihan raya lalu, PH menggunakan media sosial untuk menyampaikan mesej kepada pengundi. Penggunaan aplikasi yang popular dan mudah dicapai oleh kebanyakan pengundi seperti WhatsApp, Facebook dan YouTube dapat menerobos minda pengundi-pengundi muda dan yang baru kali pertama mengundi. PH lebih popular di media sosial kerana akhbar arus perdana seperti Utusan dan Kumpulan NSTP serta media elektronik seperti TV3 dan Radio Televisyen Malaysia lebih banyak menyiarkan berita berkaitan kerajaan BN. Justeru, pengundi muda beralih kepada media sosial yang memberikan maklumat lebih pantas dan jelas.

Analisis terhadap klip-klip video terpilih ketika PH berkempen menunjukkan lebih ramai tontonan berbanding kempen oleh BN. Semua tempat tumpuan dari Perlis hingga ke Johor menunjukkan ribuan pendengar yang datang semasa Jelajah Harapan diadakan. Mereka ini terdiri daripada pelbagai kaum dan mempunyai matlamat yang sama iaitu mendengar isu-isu negara yang tidak disiarkan oleh media kerajaan BN.

Analisis ini dilakukan terhadap klip-klip video ceramah politik yang disampaikan oleh pemimpin BN, PH dan Pasti Islam Semalaysia (Pas) di YouTube. Klip video yang dianalisis diambil secara rawak dengan ciri-ciri berikut: dimuat naik dari 1 hingga 11 April 2018, durasi ceramah lebih daripada 15 minit dan mempunyai ulasan daripada penonton di ruangan “comments”.

Analisis dilakukan berdasarkan tema yang dikesan kerap muncul dalam ruangan “comments” bagi setiap klip video yang dipilih.

Hasil kajian menunjukkan penonton tertinggi adalah pada klip video ceramah yang disampaikan oleh Mat Sabu yang bertajuk “Terkini: Mat Sabu Amanah-PBPM Bubar! Najib Razak lawan Tun Mahathir (Tun M) secara kunyit”, dimuat naik pada 5 April 2018. Jumlah dilihat adalah sebanyak 213,310 kali. Klip video terbanyak adalah “Ucapan Tun M dihadapan ribuan rakyat Muar Johor” yang dimuat naik pada 7 April 2018 dengan jumlah 140,050 kali.

Bagi BN, klip video tertinggi adalah manifesto pilihan raya ke-14 dengan 14,577 kali. Tajuk klip video berkenaan adalah “Kantoi besar Manifesto BN PRU-14 Aku Tipu” yang dimuat naik pada 8 April 2018. Klip video kedua terbanyak ditonton adalah “Bn doubles down on BR1M in GE14 manifesto” dengan tontonan berjumlah 11,751 kali. Ia dimuat naik pada 7 April 2018.

Untuk Pas pula, klip video tertinggi adalah ucapan yang disampaikan oleh Yusuf Azmi di pentas Pas dengan jumlah tontonan sebanyak 38,746 kali. Tajuknya adalah “Penampilan istimewa Yusuf Azmi pemikat PRU14” yang dimuat naik pada 5 April 2018. Klip video terbanyak adalah “Ustaz Nasuruddin 742018: Harapan! Puak tak puas hati” yang dimuat naik pada 7 April dengan jumlah tontonan sebanyak 21,532 kali.

Analisis tema terhadap klip-klip video berkenaan dipecahkan mengikut kumpulan parti. Dalam ulasan terhadap klip video PH, tema-tema adalah seperti berikut:


              Positif  -  ubah/tukar                              Negatif - rasuah                                       
                             lawan                                                    tipu
                             harapan                                                pecah-belah                                                   
              Tun Mahathir      


Dalam ulasan terhadap klip video BN, tema-tema adalah seperti berikut:


            Positif - BR1M                                        Negatif - janji tipu
                         janji ditepati                                             GST
                         pembangunan                                         tolak BN
                                                                                         PRU13


Dalam ulasan terhadap klip video Pas, tema-tema adalah seperti berikut:


            Positif - ulamak                                       Negatif - sangsi
                         bai’ah                                                       hipokrit
                                                                                          rasuah


Tema positif bermaksud penonton memberi pandangan baik terhadap parti politik berkenaan manakala tema negatif bermaksud penonton mempamerkan pandangan buruk terhadap parti politik tersebut.

Berdasarkan ulasan penonton di ruangan “comments” setiap klip video, mereka lebih cenderung kepada PH dan membuat ulasan buruk ke atas BN dan GS. Penonton lebih gemar dengan penampilan orang muda seperti Syed Saddiq yang mempamerkan kemahiran berpidato yang sangat berkesan. Sebaliknya ceramah politik dari GS kurang mendapat sambutan dengan rata-ratanya sekitar 1,000 hingga 2,000 kali tontonan termasuk yang disampaikan oleh presiden Pas sendiri. Ia jauh berbeza dengan ceramah PH yang kebanyakannya melebihi 10,000 kali tontonan. Penonton untuk klip video ceramah BN amat berkurangan dan kurang mendapat sambutan.

Kejayaan PH terletak dalam pelbagai faktor dalaman dan luaran. Berikut adalah huraian faktor-faktor berkenaan.


1. Tun Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir dilihat sebagai faktor terkuat yang mempengaruhi pengundi luar bandar, orang pencen dan warga tua serta golongan kelas menengah Melayu untuk menyingkirkan BN. Beliau mulai bersikap vokal terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak apabila mendapat tahu terdapat kepincangan dalam pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sejumlah RM2.6 bilion dalam akaun banknya.

Tun Dr Mahathir menyusun strategi dengan keluar dari UMNO, menulis artikel di blog chedet.cc dan mencari lebih banyak maklumat tentang 1MDB. Beliau bergabung dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Mukhriz Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk meluaskan sempadan kempen melangkaui Yayasan Kepimpinan Perdana. Keputusan paling berani beliau ialah bergabung dengan PH bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Bersama-bersama Tun Dr Mahathir, pemimpin-pemimpin PH boleh belajar pelbagai perkara tentang strategi politik, pengurusan pemimpin dan kesatuan hala tuju. Antara yang penting adalah meletakkan kepentingan kumulan lebih tinggi daripada kepentingan peribadi, meletakkan matlamat yang sama iaitu meruntuhkan UMNO dan BN, sentiasa bertemu dan mengelakkan perpecahan. Beliau menggunakan pelbagai cara untuk mengikat kesatuan parti-parti komponen PH.

PH menggunakan Tun Dr Mahathir untuk menyampaikan ceramah dalam Jelajah Harapan di seluruh negara. Setiap kali beliau hadir, ribuan pengunjung memenuhi kawasan ceramah dan jumlah itu sentiasa meningkat di akhir-akhir minggu berkempen. Pengunjung yang datang ini tidak dibawa dengan bas atau kereta sebaliknya datang sendiri. Mereka juga tidak diberi wang saku atau hadiah. Gelombang Tun Dr Mahathir ini terlalu kuat untuk ditolak oleh BN sehinggakan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjadi calon di Titiwangsa berkata “gelombang Tun M sangat kuat”.

Presiden Amanah, Mohd Sabu pula berkata “jangan main dengan Mahathir” dalam ceramah di Permatang Pauh pada tahun 2015. Kepintaran Tun Dr Mahathir dalam mengurus pembangunan Malaysia menjadi bukti keupayaannya untuk menjadi perdana menteri kali kedua biarpun hasrat berkenaan ditepis oleh UMNO dan BN.


2. GST dan kenaikan kos hidup

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan oleh kerajaan BN pada April 2015 telah memberi kesan langsung kepada perbelanjaan masyarakat Malaysia. GST adalah cukai penggunaan (consumption or indirect tax) yang mana mereka yang berbelanja lebih adalah daripada kalangan yang berpendapatan lebih. Tujuan asal pelaksanaannya adalah untuk memperluaskan asas percukaian negara memandangkan hanya terdapat dua juta pembayar cukai di negara ini. GST enam peratus yang ditetapkan merupakan gantian cukai jualan sepuluh peratus dan cukai perkhidmatan enam peratus yakni bukan cukai tambahan. Dalam erti kata lain, GST mengurangkan empat peratus cukai sedia ada dan meluaskan sumber pendapatan negara. Sistem cukai ini menurunkan beberapa jenis harga barangan namun dalam kebanyakan keadaan, pengguna tidak merasai penurunan berkenaan seperti harga makanan dan minuman.

Sistem cukai terbaru ini membebankan apabila pendapatan tidak seiring dengan kenaikan harga barang. Bermula dari bayi yang baru lahir sehingga orang mati yang hendak dimasukkan ke liang lahad, semua keperluan mereka dikenakan cukai. Lampin pakai buang bayi, susu dan kain kafan dikenakan cukai. Kebanyakan barangan keperluan yang dibeli ini menyebabkan sesebuah isi rumah yang mempunyai lima orang anak merasai perit apabila membelanjakan setiap ringgit. Ditambah lagi dengana hidup di bandar, tidak ada apa-apa lagi yang tinggal apabila masuk minggu kedua setiap bulan.

GST juga menyebabkan beberapa jenis perniagaan ditutup atau mendapati melihat bilangan pelanggan mereka berkurangan. Hal ini berlaku apabila pelanggan mula memikirkan harga barang dengan nilai wang mereka ada. Jika sebelum GST, wang sebanyak RM100 boleh membeli barang keperluan rumah hampir separuh troli, kini mungkin suku troli sahaja. Maksudnya, cukai yang dikenakan menyebabkan tidak banyak barang yang boleh dibeli. Lalu, ramai orang mengambil keputusan mengurangkan perbelanjaan mereka menyebabkan perniagaan terjejas kerana kekruangan hasil jualan. Keadaan ini menyebabkan pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan sehingga sampai ke satu tahap, syarikat perlu mengecilkan saiz pekerja kerana kekurangan dana, seterusnya menjejaskan ekonomi secara keseluruhannya.


3. Kepimpinan Najib Razak

Tun Dr Mahathir menggelar Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai kleptokrat iaitu pencuri, penyangak dan perompak wang negara. Beliau juga menyebut Najib Razak menggunakan konsep “Cash is King” untuk mencari dan membeli sokongan. Beliau percaya kaedah itu telah membebankan pentadbiran negara dan merosakkan sistem nilai masyarakat. Dalam setiap siri ceramah. Tun Dr Mahathir sering kali merujuk skandal 1MDB dan wang tunai RM2.6 bilion dalam akaun Najib Razak sebagai punca kepada pelabelan berkenaan.

Rakyat Malaysia melihat tindak balas Najib Razak dalam ini hanyalah dengan menggunakan Peguam Negara untuk menafikan penglibatannya di samping mempengaruhi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mengesahkan RM2.6 bilion sebagai derma. Beliau juga memperuntukkan sejumlah perbelanjaan untuk menaja imam dan bilal masjid menunaikan haji dengan alasan 1MDB tidak ada masalah kewangan.

Kemahiran beliau memimpin organisasi UMNO juga menjadi masalah. Untuk menyelesaikan kritikan dalaman ahli-ahli UMNO terhadap 1MDB, Najib Razak memecat tiga orang berpengaruh iaitu timbalan presiden, naib presiden dan menteri besar. Ketiga-tiga orang ini membawa satu haluan selepas dipecat iaitu menjatuhkan Najib Razak. Mereka menubuhkan parti baru, membina pengaruh dan sokongan, bergabung dengan Pakatan Harapan dan bertanding dalam PRU14. Kesilapan besar Najib Razak ialah tidak membuat jangkaan terhadap kempen ketiga-tiga tokoh ini untuk mengumpul kekuatan dan mencari tempat dalam politik Malaysia.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Mukhriz Mahathir bergabung menubuhkan Bersatu sebagai parti alternatif kepada UMNO. Parti berkenaan terus berusaha mencari sokongan dalam kalangan bekas-bekas penyokong UMNO yang tidak sehaluan dengan Najib Razak. Usaha mereka berbaloi apabila ramai ahli UMNO dan anak-anak muda yang berminat dengan pendekatan yang digunakan.

Di Sabah, Datuk Seri Shafie Afdal menubuhkan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menarik minat rakyat tempatan untuk menumbangkan UMNO Sabah. Warisan dapat menarik pengundi yang ramai dalam masa yang singkat sehingga dapat menubuhkan kerajaan di Sabah. Kebangkitan rakyat Sabah mungkin juga kerana pengaruh sentimen dari Semenanjung yang menolak apa juga pengaruh UMNO dan Najib.

Selain daripada peribadi Najib Razak, kehidupan isterinya juga menjadi bualan. Datin Seri Rosmah Mansor dikaitkan dengan kehidupan bermewah sehingga menimbulkan persepsi negatif berkenaan pembaziran wang. Salah satu kisah yang menarik adalah bayaran RM1,200 untuk membuat gaya rambut. Ramai orang percaya berlaku lebih banyak pembaziran dan salah guna kuasa seperti penggunaan kapal terbang rasmi kerajaan.

Penglibatan anak Rosmah Mansor dalam pembikinan filem Wolf of Wall Street dikatakan menggunakan dana yang dialih dari 1MDB pada tahun 2013. Walaupun Najib Tun Razak cuba menafikannya, maklumat yang didedahkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat memberi kesan terhadap persepsi negatif masyarakat Malaysia dan antarabangsa.

Najib Razak mempengaruhi orang ramai melalui kempen dan slogan “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Biarpun banyak program dan perkhidmatan menggunakan “1Malaysia” seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau Klinik 1Malaysia, usaha-usaha ini tidak dapat mengurangkan resah masyarakat terhadap bebanan kos hidup. Tidak ada gunanya Salam 1Malaysia kalau hidup dalam kesusahan kerana harga barang yang mahal sedangkan peningkatan gaji tidak setara dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.


4. Akhbar dan media berat sebelah

Akhbar dan media arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star atau New Straits Times menyiarkan berita yang condong kepada BN setiap hari. Sindiran kerap bertukar kepada penghinaan peribadi yang mengundang simpati masyarakat kepada pimpinan PH khususnya Tun Dr Mahathir sendiri. Pada 27 April 2018, Utusan Malaysia menyiarkan ucapan Najib Razak yang berkata Tun Dr Mahathir sebenarnya hanya diperkudakan DAP untuk memecahbelahkan undi Melayu pada PRU14. Di Berita Harian, A Jalil Hamid mengutarakan pandangan sinis yang bertajuk “Dua ucapan berbeza menjelang hari mengundi” pada 9 Mei 2018 terhadap ucapan Tun Dr Mahathir di Langkawi selaku pengerusi PH. Beliau berkata ucapan berkenaan “tiada apa yang baharu” dan “di pentas itu hanyalah seorang lelaki berusia 93 tahun yang keletihan, tanpa kekuatan mahupun inspirasi”. Dan akhirnya beliau merumuskan “Pakatan pembangkang gagal menggunakan ucapan Langkawi bagi menampilkan Dr Mahathir sebagai ketua pakatan”. Pandangannya begitu sinis dan merasakan BN akan menang dan terus berkuasa.

Media kawalan BN iaitu RTM dan TV3 berterusan menyiarkan sisi negatif pemimpin PH sehingga menimbulkan rasa meluat penonton. Oleh kerana siaran negatif ini, TV3 sering kali digelar “TV tiga suku” dan penyampai beritanya dikecam. Mungkinkah editor di akhbar-akhbar perdana dan media elektronik ini tidak menyedari bahawa gelombang perubahan besar bakal berlaku pada Rabu, 9 Mei 2018 yang meruntuhkan tembok pemikiran pengundi yang mahukan perubahan?

Gelagat laporan seperti ini mengundang rasa meluat dan marah sebahagian masyarakat yang kemudiannya beralih kepada maklumat yang diperoleh dari media sosial dan ceramah. PH tidak perlu mencetak banyak bahan maklumat sebagai serangan balas kempen mereka. Umumnya penonton di media sosial lebih mudah berkongsi maklumat melalui pandangan yang disalurkan dalam ruangan komen sesuatu platform media sosial. Kesilapan media pro-BN ialah mereka mengasak fikiran masyarakat dengan memperlekeh kemampuan PH secara keterlaluan menyebabkan masyarakat merasa muak dan tidak percaya dengan kandungan laporan yang disiarkan.


5. Sabotaj ahli parti

MCA dah MIC terpaksa bergantung harap kepada untuk terus mendapat kepercayaan pengundi khususnya undi pengundi Melayu. Di kawasan bandar, calon MCA tidak mendapat sokongan masyarakat Cina kerana pelbagai faktor seperti tidak berupaya menyampaikan mesej masyarakat Cina kepada kerajaan Barisan Nasional dan wakil Cina dianggap sebagai boneka dalam kabinet kerajaan. Kebanyakan pengundi bandar yang bermajoriti kaum Cina akan beralih kepada DAP.

Begitu juga MIC. Parti ini hilang taringnya dalam setiap kali pilihan raya dan sangat bergantung kepada ihsan UMNO untuk menang di kawasan yang ditandingi. Parti ini juga tidak lagi memiliki sentuhan luar biasa bagi masyarakat India kerana mereka sendiri merasakan keadaan masyarakat India di Malaysia tidak banyak perubahan. Dalam PRU14, MIC ditolak oleh pengundi sama ada kerusi parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri. Hanya beberapa kawasan luar bandar masih berminat dengan parti ini.

Keadaan paling genting berlaku kepada UMNO. Perebutan jawatan dan tamak untuk menjadi calon menyebabkan calon-calon yang tersingkir membuat bantahan senyap. Mereka tidak turun berkempen sebaliknya turun beramai-ramai untuk memilih calon lawan pada hari mengundi. Kes yang berlaku di Kuala Perlis menjadi contoh apabila calon popular diketepikan oleh pucuk pimpinan UMNO negeri. Hal ini menyebabkan ahli-ahli parti membantah. Selepas keputusan pilihan raya diumumkan, DUN Kuala Perlis dimenangi oleh calon PKR yang lebih muda. Keadaan ini juga berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara.

Sabotaj seperti ini berlaku dalam banyak keadaan. Kesannya ialah jentera parti tidak bergerak. Keadaan ini memberi peluang kepada lawan untuk menarik sokongan. Suasana sabotaj parti ini bertepatan dengan jangkaan Tun Dr Mahathir terhadap jangka hayat UMNO yang berakhir pada atau sebelum tahun 2020 kerana perebutan kuasa yang menyebabkannya menjadi sebuah parti yang lemah.

Di samping sabotaj, ahli-ahli BN juga kurang berusaha mendekatkan diri mereka dengan pengundi kerana berkeyakinan rakyat masih memilih komponen parti itu. Berdasarkan pelbagai jenis bantuan dan keadaan ekonomi negara yang baik ketika itu, telahan pelbagai agensi penyelidikan juga memaparkan BN akan memenangi pilihan raya ini malah ada yang berpandangan BN akan mendapat majoriti dua pertiga. Justeru, BN memilih untuk tidak berusaha bersungguh-sunguh dan berkempen dalam keadaan selesa tanpa menyedari pasukan kempen PH bergerak ke seluruh negara mempengaruhi pengundi.

Pilihan Raya Umum ke-14 mencatat sejarah di Malaysia. Rakyat telah membuat keputusan untuk mengubah kerajaan sedia ada kerana menghadapi pelbagai kekangan hidup yang memberi masalah besar. Kerajaan yang baru ini dilihat cuba untuk membuat sejarah Malaysia yang baru, Malaysia yang bebas dalam erti kata berdikari, lebih terbuka dan progresif. Bagi merealisasikan Malaysia yang baru ini, sudah pasti kerajaan PH memerlukan sokongan dan juga dukungan yang padu supaya pelbagai dasar, perancangan dan program yang dimuatkan dalam manifesto pilihan raya baru-baru ini dapat disempurnakan. Pemansuhan GST, pengurangan kadar tol, peningkatan pendapatan dan memenuhi kebajikan rakyat boleh menjadi realiti apabila semua pihak mengambil bahagian untuk menjadikan kehidupan rakyat Malaysia sebagai sebuah kehidupan yang lebih baik, bermaruah dan bahagia.

Monday, May 21, 2018

Pengundi Melaka beralih arah dalam PRU14







Buat kali pertama kerajaan Barisan Nasional (BN) Melaka tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Legasi kepimpinan dan dasar-dasar pembangunan yang dilaksanakan telah gagal meyakinkan pengundi-pengundi baru dan lama di kebanyakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen. Karisma tokoh juga tidak dapat menarik pengundi untuk memberi sokongan.

Dalam pilihan raya pada 9 Mei 2018 lalu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 15 daripada 28 kerusi DUN manakala BN hanya mendapat 13 kerusi. PH juga dapat menambah dua kerusi parlimen dan mengekalkan dua kerusi parlimen sedia ada. Penyertaan PAS tidak memberi makna kerana parti itu kalah di semua kawasan bertanding. Keputusan pilihan raya ini juga mencatatkan sembilan kerusi DUN dan satu kerusi parlimen dimenangi dengan majoriti di bawah 1,000 undi.

Kawasan P137 Hang Tuah Jaya (dahulu adalah Bukit Katil) adalah contoh penolakan pemimpin “Hebatkan Negaraku” iaitu Tan Sri Mohd Ali Rustam untuk kali kedua. Beliau tewas kepada penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan majoriti 8,640 undi. Di parlimen itu, PH menyapu bersih tiga daripada empat kerusi DUN. Majoriti juga melebih 2,000 undi.

Di P138 Kota Melaka, PH memenangi pertandingan dengan majoriti 49,175 undi dan menyapu bersih lima DUN. P134 Masjid Tanah yang merupakan kubu kuat BN, semua kawasan DUN dan parlimen dimenangi mereka. Selain itu, kubu kuat BN adalah P139 Jasin yang menyaksikan persaingan sengit antara BN dan PH. Walau bagaimanapun BN menang dengan majoriti tipis 219 undi. Di parlimen itu, BN menang empat kerusi DUN manakala PH satu kerusi. Namun dua daripada kerusi yang dimenangi BN adalah bermajoriti kecil iaitu Rim (5360 dan Merlimau (130).

Dua kerusi parlimen lain, P135 Alor Gajah dan P136 Tangga Batu dimenangi oleh PH masing-masing dengan majoriti 6,980 dan 4,659 undi. Kedua-dua kawasan ini mempamerkan pertembungan sengit di peringkat DUN dengan perbezaan undi di bawah 1,000. Di Alor Gajah, PH memenangi empat DUN iaitu Rembia, Gadek, Machap Jaya dan Durian Tunggal manakala Bn menang DUN Asahan dengan majoriti 275 undi sahaja. Bagi Tangga Batu, PH dan BN masing-masing berkongsi kemenangan DUN yang mana PH menang di Paya Rumput dan Klebang manakala BN menang di Sungai Udang dan Pantai Kundor.


Faktor-Faktor Kemenangan Pakatan Harapan

Terdapat empat faktor yang menyebabkan PH merampas Melaka daripada BN dalam PRU14. Pertama, perubahan pola kecenderungan pengundi. Pengundi muda di Melaka telah berubah. Pengaruh individu tidak dapat menyaingi pengaruh parti. Hal ini jelas apabila BN mempertaruhkan nama-nama hebat dan besar sama ada di peringkat negeri atau parlimen gagal menyerlah dan tewas kepada tokoh yang lebih muda dan tidak dikenali.

Dalam kes Melaka, terdapat dua kes. Pertama, di Hang Tuah Jaya yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan BN, PH dan PAS. Nama besar calon BN adalah Tan Sri Mohd Ali Rustam, bekas ketua menteri manakala calon PH adalah Shamsul Iskandar Mohd Akin. PAS meletakkan Dr Md Khalid Kassim yang pernah menang di kawasan DUN dalam PRU13 lalu.

Mohd Ali Rustam memulakan kempen sebaik sahaja tewas kali pertama di Bukit Katil. Enam bulan sebelum pilihan raya beliau turun padang dengan lebih kerap menemui pengundi di sekitar parlimen Bukit Katil. Beliau memberi bantuan kebajikan, menggiatkan program bersama pengundi dan meraikan pengundi di kawasan taman perumahan, institusi masyarakat dan berjemaah di masjid dan surau. Tempat tumpuan beliau adalah surau, masjid, majlis keraian dan acara sosial. Pada minggu kempen, poster beliau ditampal dan digantung pada kebanyakan tempat.

Lawannya dari PH, Shamsul Iskandar, jarang sekali dilihat bersama-sama masyarakat tetapi kehadiran beliau dirasai melalui aktiviti dan program prihatin sebagai ahli parlimen. Keprihatinan yang dimaksudkan ialah beliau berada bersama-sama masyarakat semasa musibah atau majlis keraian untuk bertanya khabar di samping mendengar keluhan mereka. Ketika waktur kempen PRU14, gambar beliau hanya dicetak pada papan iklan besar PH yang berlatar belakang warna merah di parlimen Hang Tuah Jaya di samping poster yang digantung pada pokok-pokok sekitar jalan di Bachang. Poster atau kain rentang PH juga kurang menyerlah.

Dua nama besar di Melaka iaitu Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Datuk Abu Bakar Mat Diah tewas kepada lawan masing-masing. Datuk Abu Bakar sendiri tewas dengan majoriti 4,259 undi. Kehebatan dan kemahsyuran nama tidak menjanjikan kemenangan dalam pilihan raya.

Kes kedua di DUN Bukit Katil. Calon BN adalah Datuk Haji Yunus Hitam yang merupakan muka baru. Beliau merupakan Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya dan dilantik sebagai pengarah Melaka ICT Holdings Sdn.Bhd (MICTH). Lawannya adalah Adly Zahari dari Parti Amanah Negara dan lebih muda daripada Datuk Haji Yunus. Beliau berkelulusan Universiti Teknologi Malaysia dalam bidang kejuruteraan elektrik. Berumur 47 tahun manakala Datuk Haji Yunus lebih berusia. Orang muda sudah tentu memilih pemimpin muda yang lebih dinamik, agresif dan mengetahui keperluan mereka.

Faktor umur juga mempengaruhi kecenderungan pengundi kerana mereka berpandangan ianya boleh menjadikan urusan pentadbiran lebih cekap dan dilaksana dengan cepat.

Faktor kedua ialah peningkatan kos hidup kerana cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Pengenalan GST pada 1 April 2015 memberi tekanan hidup yang cukup besar kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana. Walaupun kos hidup di Melaka tidak begitu tinggi tetapi beban cukai berkenaan tetap dirasai. Golongan yang lebih terkesan adalah keluarga yang besar tetapi tahap pendapatan sangat kecil. GST menjadikan perbelanjaan semakin kecil, justeru pasar raya besar seperti Mydin atau Family Store kurang dikunjungi pelanggan. Orang ramai hanya berbelanja ketika mendapat gaji atau bonus.

Tinjauan rambang dalam kalangan keluarga bersaiz sederhana mendapati mereka memberi alasan yang sama iaitu harga barang yang mencanak naik. Seorang pelanggan, Asiah yang bekerja sebagai pensyarah menyatakan harga-harga barang keperluan di pasar raya lebih mahal sekarang. Jika Asiah seorang pekerja profesional berpendapat begitu, bagaimana pula golongan pekerja lain yang berpendapatan lebih kecil? Sudah tentu bebanan kewangan akan terus menekan hidup mereka.

Manigesto PH yang mahu menghapuskan GST menarik minat ramai pengundi untuk menyokog mereka. Tidak hairanlah ketika Jelajah Harapan di Bukit Katil pada 4 Mei 2018, puluhan ribu yang membanjiri kawasan berkenaan. Mereka ingin mendengar sendiri bagaimana PH boleh menyelesaikan peningkatan kos hidup di Melaka.

Faktor ketiga ialah pengaruh media sosial. Aplikasi WhatsApp, Facebook, YouTube dan Instagram diguna secara meluas oleh pengundi-pengundi masa kini. Boleh dikatakan setiap orang di Melaka mempunyai capaian kepada media sosial. Mereka memperoleh maklumat yang banyak dengan pantas melalui perkongsian platform ini. Sebaran maklumat yang dibuat dalam bentuk teks dan grafik lebih cepat mempengaruhi pengundi berbanding media cetak yang dikuasai BN. Dalam faktor ini, PH memaksimumkan penggunaan media sosial sebagai strategi propaganda dan kempen dengan berkesan. Saluran Invoke, TV Selangor dan KiniTV menyaingi UMNO Online. Dalam Jelajah Harapan, saluran-saluran ini menyiarkan siaran langsung dan ada yang dimuat naik ke YouTube untuk hebahan umum. Penonton yang melihat saluran ini berjumlah ribuan sehingga ke hari kempen. Contohnya Jelajah Harapan di Melaka mencatat sejumlah lebih 275 ribu penonton.

Di pihak BN, saluran mereka kurang mendapat sambutan. Barangkali golongan muda tidak berminat dengan saluran ini menyebabkan penontonnya kadang kala tidak mencecah 1,000 tontonan. Sentimen menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak mungkin menyebabkan keadaan ini terjadi.

Faktor keempat ialah kesatuan PH. Strategi Tun Dr Mahathir yang mahukan satu logo untuk empat parti membuahkan hasil yang luar biasa. Kesanggupan parti-parti komponen menerima lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan titik tolak kepada satu perjuangan yang sama. Kesanggupan DAP menghilangkan simbol ‘roket’ dalam kempen pilihan raya ini amat dihargai ke arah kesatuan matlamat.

Penggunaan satu logo memudahkan pengundi membuat pilihan antara BN, PH dan Gagasan Sejahtera. Logo PKR yang digunakan dapat memberi semangat dan kesungguhan kepada pendokong-pendokong PH untuk bekerja bersama-sama sehinggakan pengundi tiak lagi dapat membezakan yang mana satu parti DAP, PPBM, PKR atau Amanah. Dalam hal ini, Tun Dr Mahathir telah berjaya memberi dimensi baru dalam perikatan politik PH yang turut menukar kerajaan BN di Melaka.


Kesimpulan

Pertukaran kerajaan Barisan Nasional kepada Pakatan harapan di Melaka memberi dimensi baru dalam corak pentadbiran negeri, majlis perbandaran, pengurusan kampung dan mengubah bentuk pemikiran masyarakat. Dominasi etnik Melayu dalam barisan exco kerajaan negeri sebelum ini diganti dengan dominasi etnik Cina yang memenangi sebahagian besar kawasan bandar. Perpecahan sokongan undi antara etnik Melayu memberi ruang kepada pembuat polisi dalam Pakatan Harapan untuk melihat kembali pelbagai aspek kehidupan yang berkait dengan hubungan etnik dan peningkatan sosioekonomi rakyat.

Wajah pentadbiran baru kerajaan Melaka belum lagi diuji. Mereka perlu lebih banyak masa untuk belajar dan memahami keperluan dan kehendak rakyat Melaka yang memberi kepercayaan bagi tempoh lima tahun lagi. Sekiranya terdapat pembaziran dan kelemahan tadbir urus, pimpinan baru ini wajar memberi penyelesaian terbaik yang dapat menguntungkan masyarakat negeri ini keseluruhannya.

Friday, May 04, 2018

Tegas terhadap rasuah sukan







Pemain badminton Malaysia, Zulfadli Zulkifli dan Tan Chong Seang telah dikenakan hukuman masing-masing 20 tahun dan 15 tahun tidak boleh melibatkan diri dalam sebarang permainan badminton sama ada dalam acara rasmi ataupun menjadi jurulatih. Kedua-duanya terlibat dalam kegiatan rasuah dalam lima kejohanan pada tahun 2013 dan 2014.

Zulfadli terlibat dalam 31 kesalahan berkaitan pertaruhan dan manipulasi pertandingan termasuk manipulasi empat pertandingan di tiga kejohanan. Chun Seang terlibat dalam 26 kesalahan.

Siasatan ke atas mereka berdua bermula apabila seorang pemberi maklumat membuat laporan terhadap kegiatan rasuah Zulfadli pada satu kejohanan di Brazil pada tahun 2016.

Kedua-dua pemain badminton ini telah merosakkan sukan badminton di Malaysia dan seluruh dunia. Kedua-duanya juga tidak perlu lagi diberi muka kerana telah menjejaskan imej badminton negara. Hukuman 20 tahun dan 15 tahun itu merupakan hukuman yang menutup terus peluang mereka untuk menjadi pemain badminton profesional.

Rasuah dalam sukan seringkali berlaku tetapi dalam badminton, inilah kali pertama kita mendengarnya. Banyak faktor yang menyebabkan kedua-dua pemain ini terlibat dalam mengatur perlawanan di siri kejohanan peringkat dunia. Sehingga kita mendengar kisah sebenar daripada mulut mereka, kita boleh membuat pelbagai telahan ke atas mereka kerana kes ini telah pun diadili.

Rasuah sukan adalah fenomena gobal yang terus-menerus mengancam integriti industri sukan, menjadi cabaran utama kepada pengurusan sukan. Dalam beberapa dekad lalu, industri sukan mengalami pelbagai bentuk rasuah seperti penipuan dan sogokan yang berlaku sama ada secara individu ataupun secara sistematik dalam pelbagai konteks seperti organisasi yang tidak mahu utamakan keutungan atau mencari keuntungan, kos kewangan, pengurangan reputasi, kehilangan pekerjaan dan peningkatan penawaran.

Kebimbangan rasuah sukan ini menyebabkan sarjana pengurusan sukan bersama-sama ahli akademik berbincang tentang rasuah. Kemunculan agensi-agensi siasatan yang memberi fokus kepada elemen rasuah yang lebih khusus seperti ujian dadah terlarang, penetapan perlawanan, pemalsuan dadah dan perjudian haram menjadikan langkah-langkah ke arah membendung rasuah menjadi lebih sistematik.

Sel-sel rasuah menjalar semua peringkat sosial masyarakat. Ia berlaku di negara-negara maju apatah lagi di negara-negara dunia ketiga. Bezanya tahap kesedaran rasuah di negara-negara maju lebih baik sedikit kerana pelbagai faktor seperti pendidikan, pendapatan yang lebih dan tahap advokasi terhadap rasuah yang lebih menonjol.

Agensi yang bertanggungjawab terhadap rasuah dalam sukan di Malaysia perlu membuka mata terhadap rasuah dalam sukan badminton. Tindakan tegas wajar diambil terhadap mana-mana pemain supaya integriti dalam sukan itu dapat dikekalkan.

Sunday, April 22, 2018

PRU14 tentukan masa hadapan negara







Rakyat negara negara maju menukar kerajaan mereka melalui proses pilihan raya. Ia berlaku sama ada kepada negara Jepun, Jerman ataupun Amerika Syarikat. Dalam setiap pilihan raya, tidak ada pertumpahan darah atau kemalangan jiwa yang berlaku. Sebaliknya proses pilihan raya di negara-negara itu berlaku dalam keadaan tenang dan lancar.

Keadaan pilihan raya di negara-negara membangun dan Dunia Ketiga agak berbeza.

Pemimpin-pemimpin yang telah lama berkuasa mahu terus kekal berkuasa dan akan menggunakan pelbagai cara dan tipu helah untuk kembali berada di tampuk kuasa. Akhirnya, separuh daripada rakyat negara-negara itu tidak percaya kepada proses pilihan raya. Suasana ini kita boleh lihat di kebanyakan negara di Afrika.

Ancaman rasuah dan menghilangkan kotak undi umpama drama politik tetapi ia merupakan isu sebenar yang berlaku di kebanyakan negara. Tipu helah sebegini telah mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap proses pilihan raya yang dilalui.

Di Gabon, selepas pemimpin pembangkang Jean Ping tewas, penyokong-penyokongnya bangkit membantah dan merusuh. Laporan dari pemerhati-pemerhati pilihan raya menyatakan terdapat keganjilan dalam peratusan pengundi yang keluar membuang undi mereka.

Tujuh negara yang rakyatnya takut keluar mengundi adalah Uganda, Gabon, Kenya, Liberia, Mesir, Ivory Coast dan Nigeria.

Pilihan raya adalah kesempatan untuk rakyat membuat pilihan menentukan haluan dan kemajuan negara. Pilihan raya juga bermakna kemajuan ekonomi dapat memacu pembangunan negara.

Bagaimanakah keadaan ini boleh berlaku?

Demokrasi memberi impak positif kepada kadar pertumbuhan negara khususnya apabila peralihan kepada demokrasi digabungkan dengan ekonomi. Pemimpin-pemimpin yang terpilih dalam kerajaan cenderung meningkatkan aktiviti ekonomi melalui tadbir urus yang lebih baik dan pengenalan dasar ekonomi yang lebih menarik. Justeru, parti-parti yang bertanding mengumpan pengundi melalui pelbagai adaptasi dasar-dasar yang dilihat berfaedah kepada rakyat.

Namun, jika kerajaan memenangi pilihan raya dengan cara yang salah, sebenarnya mereka ini tidak berdisiplin dan tidak berminat meningkatkan atau menambah baik dasar dan tadbir urus kerajaan.

Kerajaan yang memenangi pilihan raya dengan cara yang betul dapat memenuhi dan melaksanakan manifesto pilihan raya dengan lebih mudah kerana rakyat telah pun bersedia untuk melaksanakan manifesto tersebut dengan jayanya.

Kelompok yang kalah tidak mengganggu kerajaan kerana mereka sedar ia bukannya satu keperluan. Justeru, pelaksanaan dasar yang telah dijanjikan dapat berjalan lancar dan sempurna.

Ketelusan proses pilihan raya menunjukkan bakal kerajaan yang bersih daripada pencemaran rasuah dan salah guna kuasa. Elemen ini menjadi teras kepada tadbir urus yang berkesan dalam tempoh lima tahun akan datang. Ia juga dijelmakan dalam perancangan dasar dan pelaksanaan program yang menjadikan nilai-nilai murni dan cemerlang sebagai intipati dalam pentadbiran.

Di Malaysia, pilihan raya yang sedang berlangsung pada ketika ini sudah masuk kali yang ke-14. Pertembungan tiga kelompok parti utama memberi peluang kepada pengundi untuk membuat perhitungan. Sama ada Barisan Nasional, Gagasan Sejahtera ataupun Pakatan Harapan, pengundi mampu membuat pilihan berdasarkan rekod pencapaian masing-masing di samping karisma barisan kepimpinan.

Disenaraikan analisis keupayaan setiap parti komponen yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.


Barisan Nasional

Barisan Nasional (BN) telah menerajui pembangunan dan kemajuan Malaysia sejak enam dekad lalu. Memasuki pilihan raya umum ke-14 sebagai parti politik yang kuat, BN sentiasa memperkenalkan manifesto yang prorakyat dan mempamerkan kumpulan parti yang memperjuangkan kepentingan kaum kaum dalam komponen parti berkenaan.

Tiga parti utama BN adalah UMNO, MCA dan MIC yang mewakili tiga etnik utama Melayu, Cina dan India. Selain itu, BN juga berada di Sabah dan Sarawak bagi mengukuhkan kehadiran mereka dalam politik Malaysia.

BN terus berada dalam kerajaan kerana dasar dan pemimpin. Dasar-dasar yang dilaksanakan telah berjaya membawa perubahan hidup kepada rakyat Malaysia khususnya dalam bidang pendidikan dan pembangunan ekonomi. Dasar-dasar pendidikan yang sentiasa ditambah baik dan pelaburan asing yang sentiasa masuk menjadikan kemajuan negara dapat dilihat dan dirasai oleh semua orang.

Proses peralihan pemimpin yang lancar juga telah membantu menstabilkan BN.

Kejayaan BN membangunkan negara dan dasar-dasar yang perlu rakyat memastikan parti itu dapat mentadbir Malaysia dengan selesa. Perubahan kepimpinan tidak memberi masalah walaupun setiap kali perubahan pucuk pimpinan wujud parti politik serpihan.

PRU14 tidak lagi akan sama seperti pilihan-pilihan raya yang lalu. Kali ini, BN berhadapan dengan cabaran paling getir. Cabaran ini sudah berada di dalam BN sendiri dan yang baru muncul dari luar.

Isu-isu besar seperti 1MDB, GST, rasuah dan sabotaj menjadi masalah kepada BN khususnya UMNO. 1MDB tidak dibenarkan dibawa ke dalam Perhimpunan Agung UMNO menyebabkan rakyat Malaysia mencari maklumat berkaitan 1MDB dari media luar. 1MDB juga menyebabkan golongan Melayu yang berpendidikan hilang keyakinan terhadap kemampuan kepimpinan UMNO untuk melaksanakan tadbir urus yang terbaik.

Masalah terbaru BN ialah UMNO sebagai parti teras telah hilang kelayakan sebagai parti politik yang sah kerana gagal melaksanakan pemilihan parti sehingga 20 April 2018 lalu. Seramai 16 ahli UMNO yang membawa kes berkenaan ke mahkamah telah dipecat serta-merta.

Populariti BN hanyalah di saluran media perdana milik kerajaan seperti RTM, kumpulan Media Prima dan akhbar-akhbar harian. Di media sosial seperti YouTube, WhatsApp dan Facebook didapati lebih ramai yang tidak menyukai BN.

Nasib baik BN dalam PRU14 dilihat sangat sukar walaupun London Financial Times menjangkakan BN akan menang. Alasannya ialah persempadanan semula kawasan pilihan raya dan pertandingan tiga penjuru akan memberi kelebihan kepada mereka.


Gagasan Sejahtera

Blok parti politik ini dianggotai oleh PAS, IKATAN dan Berjasa di samping 200 badan bukan kerajaan. Tunjang utama gagasan adalah PAS yang mahu bergerak bersendirian selepas menyertai Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lepas. Gagasan lebih sinonim dengan PAS yang menenggelamkan parti-parti bersekutu yang lain.

Gagasan menawarkan 20 tawaran kepada rakyat Malaysia dalam PRU14 ini.

Menghapuskan GST dan menggantikannya dengan sistem percukaian yang lebih adil seperti Cukai Atas Simpanan Korporat dan Cukai Saham di Bursa Malaysia. 

Melupuskan hutang peminjam PTPTN sedia ada sebagai inisiatif permulaan ke arah memberikan pendidikan percuma. 

Memberikan bantuan makanan asasi kepada golongan fakir dan miskin secara bulanan menerusi satu program kebangsaan. 

Menawarkan bantuan sekali beri sebanyak RM2,000 sebagai modal kepada wanita bekerjaya untuk memulakan kerja dari rumah. 

Melaksanakan program bas sekolah percuma untuk meringankan beban ibu bapa. 

Memberikan bantuan pembelian kereta pertama bawah 1300 kuasa kuda (1.3 liter) menerusi pengecualian duti eksais dan pembiayaan pinjaman tanpa faedah. 

Mengurangkan harga rumah mampu milik antara RM50 ribu sehingga RM 180 ribu. 

Mengembalikan semula fungsi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebagai program memperkasakan golongan miskin bandar dan luar bandar. 

Menstrukturkan semula kadar bayaran tol menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun. 

Mewujudkan pentadbiran yang bebas rasuah selaras dengan kehendak dan tuntutan syarak menerusi konsep tadbir urus “‘Ubudiyyah”, “Mas’uliyyah” dan “Itqan”. 

Memperkasakan peruntukan Islam sebagai agama persekutuan dengan melaksanakan tuntutan Islam sebagai al-Din. 

Menjadikan Bahasa Melayu bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran dalam sistem pendidikan negara. 

Mengembalikan sistem kuota di institusi pengajian tinggi awam bagi mengimbangi jurang pendidikan antara golongan kaya dan miskin serta masyarakat bandar dan luar bandar. 

Mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar pembangunan yang berupaya membasmi kemiskinan dan menyusun semula ketidakseimbangan ekonomi dalam kalangan masyarakat. 

Membantu kerajaan negeri membuka rancangan pembangunan tanah khususnya untuk golongan muda. 

Membangunkan penempatan baru mampu milik untuk generasi kedua dan ketiga Felda. 

Membantu golongan kurang upaya (OKU) menerusi pemerkasaan sistem sokongan berasaskan potensi dan keupayaan diri. 

Mewujudkan pusat komuniti keluarga di setiap daerah dan lokaliti yang memerlukan untuk memberi khidmat kaunseling, perundangan, kemahiran, bimbingan agama dan latihan keibubapaan. 

Menyemak kembali nisbah anggota keselamatan berbanding populasi setempat untuk mengurangkan kadar jenayah. 

Menambah bilangan doktor pakar dan hospital pakar untuk memenuhi keperluan penduduk berasaskan nisbah yang disyorkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


Sejauhmana Gagasan berpotensi menarik pengundi terletak atas usaha dan inisiatif PAS. Kekuatan Gagasan juga kurang terserlah di Malaysia tetapi lebih popular di pantai timur semenanjung Malaysia. Di Sabah dan Sarawak, Gagasan meletakkan calon-calon yang terdiri daripada bukan Islam. Justeru, harapan mereka untuk menawan Putrajaya dan mentadbir Malaysia dilihat penuh dengan cabaran dan liku-liku, lebih-lebih lagi dalam banyak pertandingan pilihan raya yang akan datang melibatkan tiga penjuru.


Pakatan Harapan

Sebuah ketumbukan politik yang kuat, PH menjadikan pilihan raya kali ini sebagai tempat istimewa untuk menyingkirkan BN. Hampir setiap masa dan setiap malam jentera pilihan raya PH menemui pengundi-pengundi di seluruh negara melalui pelbagai jenis saluran.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir telah berjaya menyatukan PH biarpun pelbagai halangan yang ada seperti kelewatan pendaftaran, pembubaran PBPM dan halangan-halangan lain.

PH bergerak ke seluruh negara dengan strategi yang khusus. Di kawasan bandar, kempen dan ceramah tidak begitu ketara tetapi di luar bandar PH membawa rombongan pemimpin ‘the giant killer’ seperti Tun Dr Mahathir supaya masyarakat luar bandar dapat melihat sendiri bahawa bekas perdana menteri yang pernah menjadi pemimpin negara sekarang ini tidak lagi bersama dengan Barisan Nasional.

Di sinilah muncul kekeliruan dalam kalangan pengundi luar bandar apabila Tun Dr Mahathir berucap di pentas PH. Penerangan demi penerangan yang disampaikan oleh Tun Dr Mahathir telah merubah persepsi seterusnya tingkah laku pengundi luar bandar. Sedikit demi sedikit pengaruh PH berkembang dengan pantas. PH menggunakan media sosial secara maksimum. Semua saluran media sosial digunakan sebaiknya untuk menyampaikan informasi berkenaan kelemahan lawan. Akhirnya klip-klip video ceramah pH seringkali mendapat ‘view’ yang tinggi.

Sunday, April 15, 2018

Sesihat Tun M







Sesi minum petang selepas program ceramah bersama Cikgu Abduh amat menyenangkan. Tahun ini Cikgu Abduh berusia 78 tahun namun beliau masih berjalan dan berceramah ke seluruh negara serta belum menunjukkan tanda-tanda keletihan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman hidup khususnya merealisasikan “Islam is a way of life”.

Setiap minggu Cikgu Abduh beriadah yakni berjoging tiga kali iaitu selama tiga jam setiap sesi berjogging mengambil masa 60 minit di samping 20 minit lagi untuk sesi warm-up dan warm-down.

Semasa berjalan ke arah meja tempat minum petang, saya dapati keadaan badannya masih tegak dan tegap. Cara jalannya juga bersahaja tanpa menunjukkan tanda-tanda sakit lutut ataupun sakit pinggang.

Banyak isu yang kami bincangkan namun saya dapati lebih bersemangat dan ceria untuk memberitahu tentang pentingnya menjaga kesihatan diri ketika umur semakin bertambah. Beliau juga tidak kekok berkongsi panduan menjaga kecergasan diri khususnya kesihatan jantung dan ketahanan fizikal anggota badan.

Bermula dengan memberi masa tiga jam seminggu untuk berjogging, beliau menekankan keutamaan mencari masa untuk beriadah. Konsep riadah berbeza dengan “game” walaupun tempoh kedua-dua ativiti adalah sama.

Katakan kita mengambil masa dua jam untuk riadah dan satu perlawanan badminton. Walaupun kedua-duanya adalah dua jam, beriadah dan perlawanan badminton adalah berbeza sama sekali. Cikgu Abduh menyifatkan dua jam bermain badminton umpama perang kerana fizikal kita dipaksa bekerja lebih keras. Berbanding riadah, badan kita yang menguruskan pergerakan fizikal, justeru ia dilakukan dalam keadaan semula jadi.

Sekiranya fizikal sudah dapat mengadaptasi konsep dan falsafah riadah, lama-kelamaan ketahanan badan terhadap keupayaan fizikal boleh ditambah.

Kemudian saya bertanya pula pandangannya terhadap kaedah dan cara yang mengekalkan kesihatan Tun Dr Mahathir. Beliau melihat terdapat tiga cara.

Pertama, pengetahuan. Sebagai seorang doktor, Tun Dr Mahathir tahu yang mana baik dan berguna untuk kesihatannya. Melalui pengetahuan itu, beliau mengurus pemakanannya di samping pelbagai teknik menjaga kesihatan diri. Contohnya Tun Dr Mahathir pernah berkata satu amalan yang beliau lakukan ialah berhenti makan sebelum rasa sedap.

Kedua, disiplin. Tun Dr Mahathir seorang yang berdisiplin. Kekuatan disiplin ini dapat menjadikan kesihatannya lebih baik. Kita tidak tahu bagaimana Tun Dr Mahathir menguruskan masa tidurnya tetapi sikap seorang pemimpin adalah percaya bahawa masa tidur tidak perlu panjang. Jadi, kita sendiri perlu bertanya kepada beliau bilakah masanya beliau tidur dan bangun ataupun merehatkan diri.

Ketiga, wang. Cikgu Abduh berpendapat orang seperti Tun Dr Mahathir sudah tentu memilih makanan yang terbaik kerana beliau tentu mempunyai penasihat pemakanan yang sangat berpengetahuan. Untuk mendapat makanan yang berkualiti kita perlu membelanjakan banyak wang supaya setiap sel dalam tubuh badan kita mendapat tenaga dan zat yang berkualiti.

Berbual-bual dengan Cikgu Abduh amat bermanfaat. Pengalaman beliau dalam mengekalkan kecergasan fizikal ketika berusia 70-an boleh menjadi panduan kepada kita untuk bersemangat dan berusaha mengekalkan kecergasan diri.

Wednesday, April 11, 2018

Hormati institusi raja berperlembagaan







Ketua negara ataupun kerabat yang berada dalam institusi raja berperlembagaan patut berfikir dan bertindak membebaskan diri daripada berpolitik. Sentimen berpolitik boleh ada tetapi mengajak orang lain menyokong ataupun membenci pemimpin-pemimpin politik yang bertanding secara sah dalam sistem demokrasi parlimen dan raja berperlembagaan hanya mengundang rasa tidak puas hati orang ramai.

Jika mahu berpolitik, mereka boleh mendaftarkan diri sebagai anggota mana-mana parti ataupun mendaftarkan parti mereka sendiri. Masa untuk raja ataupun kaum kerabat mereka mengajak orang ramai menyokong ataupun membenci mana-mana pihak secara terbuka sudah tidak sesuai pada hari ini. Hal ini kerana sains kepimpinan telah membuka ruang kepada konsep kepimpinan yang lebih berkesan daripada sistem monarki.

Di dunia hari ini tidak ada negara yang mengamalkan monarki mutlak yang berjaya dan maju. Kebanyakan negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan menjadikan institusi raja lebih terpelihara dan kaum kerabatnya dapat menikmati banyak kemewahan hidup.

Di Malaysia dan negara-negara yang memilih konsep ini, institusi raja diberi kedudukan istimewa dan berperanan menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Kewujudan kerajaan monarki mutlak di seluruh dunia semakin berkurangan. Titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah di Forum Khas Melayu Islam Beraja sempena Hari Sultan Brunei ke-60 di Universiti Brunei Darussalam, 20 September 2006 wajar menjadi iktibar kepada kita betapa sistem ini semakin  diketepikan oleh rakyat negara masing-masing.

“Kepimpinan beraja adalah antara sistem kepimpinan tertua di dunia. Pada awal kurun kesembilan belas, terdapat lebih sembilan ratus (900) takhta kerajaan. Kajian kronologi dan manual genealogi tentang dinasti baru Islam, merumuskan terdapatnya seratus lapan puluh enam (186) kesultanan berpaksikan Islam di antara tahun enam ratus tiga puluh dua (632) hingga 1944 Masihi. Pada hari ini terdapat seratus sembilan puluh tiga (193) negara berdaulat merangkumi seratus sembilan puluh dua (192) negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Vatican City. Dari jumlah tersebut, hanya empat puluh empat (44) negara yang memilih sistem beraja, sementara Vatican City terletak di bawah 'Supreme Pontiff', pemerintah Kerajaan Theocracy yang dikenali dengan gelaran 'Pope, diiktirafkan dengan status Ketua Negara.

Dari empat puluh (44) negara beraja, enam belas (16) daripadanya mengiktiraf Ratu Elizabeth II sebagai Raja Pemerintah di bawah sistem Raja Berperlembagaan. Di samping bertakhta di United Kingdom, Ratu Elizabeth melantik Gabenor Jeneral di lima belas (15) negara lain. Enam belas (16) negara lagi mengamalkan sistem Raja Berplembagaan, lima (5) sistem separa autonomi, tujuh (7) negara mengamalkan sistem Raja secara mutlak.

Analisis taburan secara geografi, menunjukkan dalam kalangan negara yang mempunyai Raja, sebelas (11) terletak di Benua Eropah, tiga (3) di Benua Afrika dan empat belas (14) di Benua Asia, sementara enam (6) negara Oceania dan sepuluh (10) negara yang terletak di sekitar Benua Utara mengiktiraf Ratu Elizabeth II sebagai Raja Berpelembagaan. Sepuluh (10) dari negara yang mengamalkan sistem beraja adalah negara Islam, sembilan di Asia dan satu di Afrika; lapan (8) darinya adalah negara pengeluar minyak”.

Sistem raja berperlembagaan di Malaysia akan terus terpelihara jika raja dan kaum kerabatnya dapat menahan diri daripada melibatkan diri dalam politik secara langsung. Gaya hidup dan kesenangan yang dinikmati oleh mereka tidak sama dengan keadaan hidup rakyat biasa.

Rakyat sentiasa berfikir apakah yang hendak mereka makan esok hari. Rakyat juga berfikir dan berusaha untuk memiliki sebuah rumah sebagai tempat tinggal yang kekal dan perlu berhempas-pulas berusaha dan bekerja serta membuat pelbagai jenis pinjaman. Perbezaan hidup di antara golongan bangsawan dan rakyat biasa sebenarnya boleh dirapatkan dan pada hari ini mitos raja dari kayangan sudah tidak lagi diterima.


Sunday, April 08, 2018

Mencari watak pemimpin negara







Pilihan Raya Umum Ke-14 akan berlangsung dalam tempoh dua bulan dari sekarang. Parti-parti politik yang bertanding telah mengumumkan manifesto masing-masing. Pembentangan manifesto ini dilakukan dalam suasana yang penuh kemeriahan.

Barisan Nasional mengumpulkan penyokong mereka di stadium. Ahli-ahli parti yang memakai pakaian biru seolah-olah menukar stadium menjadi lautan biru. Kehadiran mereka membuktikan kesatuan yang utuh untuk mengekalkan kuasa dan mendapat mandat baru dalam pilihan raya yang akan datang.

Tun Dr Mahathir dalam ucapannya di hadapan penyokong-penyokong Pakatan Harapan telah menganggarkan perbelanjaan untuk menjayakan manifesto Barisan Nasional adalah RM300 bilion, satu jumlah yang sangat banyak. Beliau juga mempersoalkan di mana dan bagaimana Barisan Nasional hendak mencari wang sebanyak itu sedangkan keperluan perubatan di hospital pun tidak mencukupi ketika ini.

Manifesto yang ditonjolkan oleh Barisan Nasional menekankan peningkatan jumlah BR1M, penubuhan bank khas untuk perumahan dan memperkasa golongan wanita. Sebaik sahaja manifesto ini diumumkan, maklum balas orang ramai amat pantas.

Bagi penyokong-penyokong Barisan Nasional khususnya menteri-menteri kabinet dan ahli-ahli komponen parti, rata-ratanya memuji manifesto yang telah dibentangkan. Salah seorang ahli UMNO berkata manifesto yang disampaikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak adalah yang paling hebat dalam sejarah hidupnya.

Maklum balas rakyat juga berbagai-bagai namun saya memetik dua catatan dalam mesej WhatsApp.

Mesej pertama berbunyi, “Semua akan jadi mangsa keberhutangan negara yang mengakibatkan pelbagai cukai akan dinaikkan dan diperkenalkan untuk menampung kos ini. Terlalu banyak diumum untuk PRU14. Orang kata ‘berhabis’, yang penting menang dan selamatkan diri masing-masing”.

Mesej kedua berbunyi, “Elok bungkus cepat sebelum terlambat”.

Rakyat biasa sangat merasa betapa peritnya hidup di Malaysia pada hari ini. Peritnya mereka bergelut dengan kenaikan harga barang, perkhidmatan dan petrol.

Justeru, ramai yang mengeluh apabila melihat dan merasai dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional yang dibuat dalam tempoh lima tahun lalu. Secara jelas, dasar-dasar ini telah membuat ramai pihak memilih parti alternatif yang berjanji untuk mengurangkan kebimbangan terhadap keadaan hidup pada hari.

Golongan pekerja dan yang berkeluarga adalah mereka yang paling terjejas dengan dasar-dasar sedia ada. Mereka perlu mengurus kembali perbelanjaan, mencari kerja tambahan dan mengamalkan amalan berjimat-cermat. Keperluan anak-anak sekolah menjadi keutamaan berbanding makan dan pakai kerana pendidikan tidak dapat berkompromi dengan masa hadapan.

Golongan pelajar juga terjejas. Dalam tempoh dua tahun ini kita didedahkan dengan keadaan pelajar yang ada terpaksa berlapar dan mengalami masalah kesihatan semata-mata tidak ada wang belanja untuk makan ketika di universiti.

Saya juga membuat pemerhatian di kafe pelajar dalam tempoh tiga bulan lalu berkaitan pola kunjungan mereka. Pada sebelah pagi bilangan pelajar di kafe agak berkurangan. Namun mula meningkat apabila menjelang ke tengah hari selepas selesai kuliah. Kebanyakan daripada pelajar memilih lauk yang ringkas sama ada satu ataupun dua mata lauk sahaja selebihnya minum air kosong ataupun air percuma yang disediakan.

Pilihan raya umum kali ini sangat kritikal kerana nasib dan masa hadapan negara bergantung kepada pemimpin yang dipilih. Sebagai pengundi, kita harus bijak mencari maklumat dan mengkaji ciri dan watak pemimpin yang berupaya mentadbir dan mengurus negara Malaysia.

Akan ada lebih banyak khabar angin dan berbagai-bagai jenis berita yang dapat mengelirukan pengundi. Justeru, menentukan kesahihan maklumat dapat memastikan kita membuat pilihan yang tepat.

Wednesday, April 04, 2018

Konsep keusahawanan Islam







Di peringkat global, kita sudah biasa terdedah dengan pelbagai jenama produk dan peralatan. Jika disebut Toyota, Honda atau BMW, fikiran kita akan mentafsir jenama berkenaan dalam bentuk imej kereta. Sebut sahaja Honda Civic, fikiran kita akan membayangkan kereta keluaran Honda itu dengan bentuk dan warnanya sekali. 

Jenama lain seperti Sony, Samsung ataupun Acer juga kita sudah biasa. Beribu-ribu jenama sama ada yang kita biasa dengar ataupun belum pernah dengar sebenarnya menyediakan pelbagai bentuk penyelesaian kepada pengguna dalam kehidupan lebih-lebih lagi dalam teknologi.

Kemunculan jenama-jenama ini berkait rapat dengan keusahawanan. Keinginan seseorang untuk mewujudkan sesuatu produk sebenarnya disebabkan oleh terdapat permintaan daripada pengguna yang mempunyai pelbagai keinginan. Pengusaha yang mendapat idea ini merasai mereka mempunyai peluang untuk memenuhi keinginan pengguna tersebut.

Peluang Inilah yang melahirkan usahawan yang boleh menjual dan berniaga dalam pelbagai jenis produk- dari yang berharga paling murah kepada yang berharga paling mahal. Melalui peranan usahawan, sesebuah masyarakat dan negara dapat dibangunkan.

Takrifan usahawan sentiasa dimurnikan dan diperjelaskan dari semasa ke semasa. Namun sifat dan nilai usahawan tetap sama seperti menanggung risiko, menggunakan peluang, membuat keuntungan, kembangkan teknologi dan berupaya membuat ramalan ataupun keputusan. Dalam era moden dan mencabar hari ini, sifat-sifat ini telah bertambah kepada mekanisme sosial iaitu mengembalikan keuntungan perniagaan kepada masyarakat.

Barangkali kita keliru di antara fungsi perniaga dan usahawan. Perniaga membentuk perniagaan baru dalam skala operasi yang kecil tetapi usahawan berupaya mengembangkan operasi perniagaan dari semasa ke semasa. Peniaga kurang mahir mengembangkan perniagaan kerana tidak berupaya mengenal pasti peluang perniagaan tetapi usahawan mampu mencari, melihat dan merebut peluang berniaga secara berterusan. Peniaga lebih cenderung mengelak risiko tetapi usahawan sanggup mengambil risiko setelah membuat pelbagai perincian. Akhir sekali, peniaga boleh mengembleng sumber-sumber sedia ada untuk meneruskan perniagaannya tetapi usahawan berupaya mengembleng sumber untuk membuka dan meneroka peluang perniagaan.

Konsep keusahawanan Islam berkait dengan dua elemen iaitu al-tijarah (perniagaan) dan al-bai' (jual beli). Dua elemen tambahan adalah dorongan dan akhlak.

Al-quran menyentuh konsep ini dalam ayat 29 Surah an-Nisa yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil (tidak benar), kecuali dengan jalan perdagangan yang berlaku atas dasar suka sama-suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu”.

Manakala hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari sering mendapat perhatian adalah “Sembilan persepuluh rezeki datangnya daripada usaha-usaha perniagaan”. Keusahawanan Islam memiliki ciri-ciri istimewa yang membezakannya dengan keusahawanan semasa.

Kerangka keusahawanan Islam meliputi beberapa perkara. Pertama, menjadikan prinsip tauhid sebagai keutamaan. Dalam bahasa yang lebih mudah, keusahawanan Islam mengikut al-quran dan sunnah Rasulullah SAW. Usahawan Islam berusaha menjadikan setiap perniagaan mereka sebagai satu bentuk ibadah. Justeru, asasnya ialah keimanan kepada Allah SWT untuk mencapai kejayaan (al-falah) sama ada di dunia ataupun di akhirat.

Kedua, bersedia memenuhi tuntutan fardhu kifayah seiring dengan maqasid as-syariah supaya manfaat perniagaan tersebut dapat dirasai oleh masyarakat. Usahawan Islam juga sedia berusaha sedaya upaya memastikan kemaslahatan orang ramai dapat dipenuhi. Banyak tuntutan yang boleh dipenuhi seperti pendidikan. Kita masih lagi melihat pelajar yang bersekolah tidak mampu mendapat buku-buku yang berkualiti untuk pendidikan mereka. Ada juga pelajar-pelajar sekolah menengah yang tidak cukup makan ataupun tidak membawa sebarang wang saku semasa ke sekolah. Usahawan Islam boleh menawarkan khidmat mereka untuk membantu sebahagian anggota masyarakat menguasai ilmu melalui pendidikan di sekolah rendah, menengah atau universiti.

Antara usaha yang boleh dilakukan ialah menyediakan pakaian sekolah, membelikan peralatan persekolahan ataupun sekurang-kurangnya membantu yuran kelas tambahan supaya pelajar dapat menguasai ilmu dan mengubah kehidupan keluarga.

Ketiga, menyanjung tinggi nilai-nilai akhlak Islam yang telah ditunjukkan oleh para nabi dan rasul seperti amanah, jujur, rasa cukup (qanaah), syukur, istiqamah dan tawakal.

Keusahawanan Islam tidak dapat dipisahkan daripada keusahawanan sosial kerana dalam Islam faedah-faedah sosial sentiasa mengatasi faedah keuntungan kewangan. Instrumen perniagaan yang sedia ada dalam Islam seperti wakaf, zakat, sedekah, infak dan sebagainya merupakan saluran sedia ada kepada usahawan Islam untuk memanfaatkan kebajikan sosial masyarakat.

Contoh terbaik impak keusahawanan Islam ialah kesungguhan Saidina Uthman al-Affan membeli sebiji perigi daripada seorang Yahudi yang kemudiannya mewakafkan telaga tersebut kepada masyarakat Islam. Harta wakaf berbentuk telaga itu masih kekal hingga sekarang dalam kawasan hotel yang besar berhampiran Masjid Nabawi. Keuntungannya berjumlah jutaan ringgit setiap tahun. Sebahagian daripadanya dibelanjakan kepada keperluan anak-anak yatim dan fakir miskin serta disimpan dalam akaun bank Uthman al-Affan. Paling menarik adalah nama akaun dan bil elektrik hotel berkenaan masih dibuat atas nama beliau.

Saidina Uthman memahami benar konsep wakaf kerana mempraktifkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Wahai sahabatku, siapa sahaja antara kalian yang menyumbangkan hartanya untuk dapat membebaskan perigi ini, lalu menyumbangkannya untuk umat, maka akan dapat syurga-Nya Allah Ta'ala”. (Riwayat Muslim)

Usahawan Islam wajar berfikir untuk memberikan kemakmuran dan rasa bahagia kepada masyarakat. Kekayaan dan harta yang diperoleh melalui keusahawanan wajar dikembalikan kepada masyarakat dengan menyumbang semula keuntungan perniagaan dalam pelbagai bentuk dan kepada kumpulan sasar yang khusus. Sewajarnya usahawan Islam menjadi bank kepada masyarakat.

Friday, March 23, 2018

Tambah baik peraturan pusat tahfiz







Kisah seorang sukarelawan yang meliwat dan melakukan perbuatan tidak senonoh ke atas pelajar-pelajar tahfiz di sebuah pusat pengajian tahfiz mengejutkan ramai pihak. Ternyata, sukarelawan ini mengambil kesempatan terhadap sistem dan peraturan di pusat tahfiz berkenaan untuk kepentingan diri sendiri.

Bak kata pepatah sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Nasib malang mangsa liwat ini berakhir apabila sukarelawan berkenaan dicekup ketika cuba masuk ke dalam selimut seorang pelajar.

Selepas ditangkap, sukarelawan ini dikenakan 38 pertubuhan jenayah dan salah laku seks.

Modus operandinya ialah membiasakan diri dengan persekitaran dan pelajar di pusat tahfiz tersebut. Seterusnya menggunakan ancaman jika mangsa enggan menurut kehendaknya. Semua mangsa berumur antara 12 hingga 17 tahun.

Perbuatannya sering dilakukan pada sebelah petang dan awal pagi dari Julai 2017 sehingga Februari 2018.

Umum mengetahui kebanyakan pusat tahfiz di negara ini bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk beroperasi kerana kos operasi bulanan sesebuah pusat tahfiz boleh meningkat setiap bulan jika bilangan pelajar bertambah. Pada masa yang sama, sumbangan kerajaan amat kurang kerana pusat tahfiz dikira sebagai institusi persendirian.

Pentadbir pusat tahfiz juga perlu mencari sumbangan orang ramai melalui pelbagai jenis perniagaan yang dilakukan supaya mereka dapat terus menampung keperluan pelajar di samping dapat membayar gaji guru-guru yang kebanyakannya tidak mendapat gaji yang setimpal dengan tahap pendidikan mereka.

Pusat tahfiz yang rata-ratanya sentiasa berhadapan dengan pelbagai masalah. Isu kos operasi, standard kurikulum, keselamatan bangunan, kelayakan guru dan kualiti pelajar adalah antara perkara yang sentiasa menghambat kecemerlangan pusat tahfiz.

Semua masalah ini perlukan intervensi segera daripada pihak kerajaan supaya pusat tahfiz dan pelajar tahfiz tidak dipandang negatif. Kita merasa sangat terkesan dengan kesungguhan kerajaan khususnya usaha-usaha yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilihat bersungguh-sungguh mengambil berat dan cakna terhadap institusi tahfiz di seluruh negara.

Wawasan dan pandangannya terhadap hala tuju pelajar tahfiz sangat jelas kerana beliau mahu menjadikan institusi tahfiz sebagai salah satu institusi pendidikan dalam arus perdana sistem pendidikan negara.

Justeru, semua pihak boleh bersama-sama menjadikan pusat tahfiz sebagai institusi pendidikan pilihan yang cemerlang, moden dan berpengaruh di peringkat serantau mahupun antarabangsa.

Wednesday, March 21, 2018

Media sosial medan dakwah dan tarbiah






Perkembangan Internet mempengaruhi corak hidup masyarakat global hari ini. Dalam tempoh 20 tahun selepas Internet diperkenalkan, pelbagai istilah yang muncul seperti ‘global village’, dunia tanpa sempadan, perayauan dan e-mel. Konsep media berubah sama sekali. Istilah yang muncul selepas media massa dan media elektronik adalah media sosial.

Lalu, media sosial ini secara pantas menjadi sebahagian daripada instrumen perhubungan sesama masyarakat di pelbagai peringkat sosial termasuk kanak-kanak dan warga emas.

Media sosial merupakan media yang menjadikan perhubungan atas talian (online) sebagai platform untuk membolehkan pengguna berhubung. Erti berhubung di sini adalah mengambil bahagian, berkongsi dan mencipta kandungan sama ada dalam blog, rangkaian sosial, wiki, forum, dunia virtual atau e-mel. Ia sedang berkembang seiring dengan pencapaian teknologi komunikasi, pengiklanan, pemberitaan dan keperluan masyarakat untuk mendapatkan akses kepada pelbagai perkara yang berkaitan dengan kehidupan.

Media sosial juga telah menggerakkan banyak perubahan positif dalam masyarakat. Generasi muda hari ini tidak kekok menggunakan telefon pintar atau tablet sesentuh malahan kanak-kanak dua atau tiga tahun sudah dibiasakan dengan gajet ini. Terdapat kajian yang merumuskan bahawa generasi baru era ini lebih dinamik dan berfikiran positif serta berani membuat perubahan supaya beredar daripada takuk lama.

Bentuk media sosial yang paling berpengaruh dan mendapat sambutan adalah blog, rangkaian sosial dan wiki yang digabung jalin melalui jaringan sosial seperti Facebook, Whatsapp, Instagram dan Twitter. Internet telah memperkasa media sosial melalui pelbagai cara dan strategi.

Elemen penting media sosial adalah himpunan laman sesawang, perkhidmatan dan beberapa aktivti kolaborasi perkongsian dan kebebasan penggunaan Internet.

Kajian-kajian yang dijalankan penyelidik dari seluruh dunia mendapati media sosial merupakan tempat untuk menyatakan pandangan, bertukar-tukar fikiran dan berkongsi mesej pada bila-bila masa. Pada masa yang sama media sosial turut berperanan penting kepada organisasi dan individu sehingga mencetuskan fenomena atau ‘viral’. Istilah bahasa Melayu bagi ‘viral’ adalah tular.

Media sosial memberi impak positif dan negatif dalam pelbagai dimensi bergantung kepada siapa yang menggunakannya.

Impak positif ialah memudahkan pencarian maklumat, menjimatkan masa, mengeratkan hubungan yang lama terputus dan berkongsi pelbagai isu dan berita.

Antara media sosial yang popular adalah WhatsApp yang telah menghubungkan ramai orang yang telah lama berpisah atau berjauhan. Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan hubungan masyarakat yang harmoni. Selain WhatsApp, aplikasi lain yang serupa ialah Viber, Line, KakaoTalk, Facebook Messenger, Skype, LiveProfile, Groupeme, Kik Messenger, ChatOn dan WeChat.

Blog juga berperanan membantu penyebaran maklumat yang lebih santai. Kandungan blog boleh dikemas kini dari semasa ke semasa di samping membantu pengguna laman sosial itu meningkatkan pengetahuan mereka. Biasanya setiap blog mempunyai tujuan-tujuan khusus seperti makanan, pelancongan atau aktiviti yang lebih serius seperti laporan jenayah, sosial ataupun kesihatan. Semua maklumat yang dimasukkan ke dalam blog boleh dilihat, diulas dan mendapat maklum balas dalam tempoh yang singkat.

Blog juga dapat digunakan sebagai laman menambah pendapatan. Syarikat-syarikat kecil yang baru hendak memperkenalkan produk mereka kepada pasaran boleh menggunakan blog sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran mereka. Ada juga blog yang terkenal membuka ruang iklan pada blog mereka dengan bayaran tertentu, justeru di sinilah yang dikatakan blog menjana pendapatan.

Impak negatif adalah penyebaran mesej palsu dan khabar angin yang boleh melumpuhkan sistem pemikiran rasional masyarakat.

Impak ketara ialah terdapat kumpulan radikal atau pengganas yang cuba mempengaruhi pemikiran masyarakat dengan cara mempromosi ideologi mereka melalui media sosial. Kumpulan-kumpulan ini mencari dan merekrut ahli-ahli baru hanya dengan memberi maklumat dan manfaat menyertai pertubuhan mereka melalui media sosial biar pun lokasi sebenar kumpulan itu berada jauh beribu batu.

Antara kumpulan yang aktif mempromosi ideologi ini terlibat dalam ideologi keagamaan seperti Islamic State (IS) yang menggunakan Facebook, YouTube dan Twitter untuk menyebarkan kefahaman mereka ke seluruh dunia. Ramai generasi muda yang terpengaruh dengan ideologi ini dan sanggup mengangkat senjata untuk berperang tanpa memiliki kefahaman dan kepakaran dalam berperang. Kumpulan samseng dan jenayah terancang juga menggunakan media sosial untuk mempromosi aktiviti di samping merekrut ahli baru. Malah penyebaran bahan terlarang seperti dadah juga menggunakan media sosial untuk urusan jual beli.

Di sebalik impak baik dan buruk media sosial kepada masyarakat, kita boleh memikirkan bagaimana penggunaan media sosial yang berkesan dalam aktiviti dakwah dan tarbiah.

Laporan Tinjauan Individu dan Isi Rumah dalam Penggunaan dan Akses ICT oleh Jabatan Perangkaan Malaysia 2017 merumuskan bahawa melayari laman sosial adalah aktiviti paling polular dalam kalangan pelayar Internet di Malaysia iaitu mewakili 86.3 peratus. Aktiviti lain adalah memuat turun gambar, filem, video atau muzik, bermain atau memuat turun permainan sebanyak 81.2 peratus, mendapatkan maklumat barangan atau perkhidmatan sebanyak 80.4 peratus, memuat turun perisian atau aplikasi (74.5 peratus) dan menghantar atau menerima e-mel (70.4 peratus).

Peratusan yang tinggi ini ada hubungan dengan kadar penembusan jalur lebar iaitu 80.1 peratus bagi individu berusia 15 tahun dan ke atas. Pada tahun 2016, kadar penembusan hanya 71.1 peratus.

Peratusan akses isi rumah kepada Internet telah meningkat kepada 85.7 peratus berbanding 70.1 peratus pada tahun 2015.

Keputusan yang lebih menarik adalah penggunaan telefon pintar bagi melayari Internet meningkat kepada 97.7 peratus.

Melihat kepada kadar penembusan Internet dan aktiviti pelayar Internet di Malaysia, kita dapat merumuskan bahawa peluang untuk berdakwah dan tarbiah adalah sangat luas. Melalui media sosial ini, proses dakwah dapat dilakukan dengan lebih mudah tanpa ada halangan.

Bahan dan isi dakwah yang hendak disampaikan juga lebih cepat kerana pengguna Internet melayari Internet tanpa mengira masa dan tempat. Boleh dikatakan orang muda khususnya sentiasa menggunakan Internet untuk mendapatkan maklumat pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Justeru mereka dapat menerima semua maklumat yang dikehendaki tanpa ada batasan masa atau tempat.

Masalah besar untuk berdakwah melalui media sosial ialah keupayaan pendakwah menyediakan bahan-bahan yang dapat menarik pengguna Internet. Antara masalah yang sering dihadapi termasuk keupayaan pendakwah menyediakan kandungan laman sosial yang menepati cita rasa pembaca, reka letak laman sesawang, tahap penguasaan bahasa dan kemampuan pendakwah untuk mengemas kini maklumat di media sosial masing-masing.

Insiatif terbaik kepada pendakwah ialah bergerak secara kumpulan. Mereka dapat menggunakan kemahiran setiap ahli kumpulan untuk menguruskan media sosial dan memastikan kehadiran mereka dalam medan dakwah adalah untuk jangka masa panjang. Hal ini penting kerana proses dakwah dan tarbiah memerlukan usaha yang berterusan, pengemblengan sumber dan persaingan yang sihat supaya mesej penting dapat disampaikan kepada masyarakat.

Usaha-usaha dakwah dan tarbiah menjadi lebih mudah kerana rakyat Malaysia rata-ratanya menggunakan telefon pintar dan aplikasi Facebook untuk mencari maklumat dan pelbagai isu dan masalah. Kadar penembusan Internet yang tinggi dapat dieksploitasi sebagai sasaran dakwah yang lebih dekat kepada kelompok sasar seperti keluarga dan juga ahli-ahli dalam komuniti.