Thursday, August 20, 2015

Peluang belajar







Persaingan ke institusi pengajian tinggi semakin sengit hari ini. Bidang pengajian yang mendapat permintaan tinggi tetapi tempat terhad seperti perubatan tidak lagi dianggap selamat dan mudah mendapat tempat jika hanya bergantung kepada keputusan akademik. Sebaliknya, calon yang memohon bidang perubatan ini akan ditemuduga.

Soalan yang ditanya dikatakan berkait rapat dengan aktiviti kokurikulum khususnya kesukarelawanan dan kepimpinan.

Perubahan yang berlaku dalam kaedah memasuki institusi pengajian tinggi menunjukkan sistem pendidikan Malaysia telah mengalami perubahan. Semua aspek pembelajaran dan pengajaran sama ada di sekolah mahupun universiti dilihat mengalami perubahan ini khususnya tenaga pengajar, silibus pengajaran, metodologi pembelajaran, orientasi pendidikan dan fokus pelajar.

Penambahbaikan dalam tenaga pengajar tidak lagi melihat kepada kuantiti sebaliknya kualiti. Evolusi maktab perguruan kepada institut perguruan mencetuskan perubahan radikal dalam corak perguruan sedia ada bagi melahirkan tenaga pakar pendidikan. Penubuhan Universiti Perguruan Sultan Idris telah melahirkan pakar pendidikan yang sesuai dengan cabaran pelajar masa hadapan.

Peluang mendapat pendidikan merupakan rahmat terbesar setiap rakyat Malaysia. Pelajar di bandar atau luar bandar berpotensi menjejakkan kaki ke universiti jika mereka tahu bagaimana mendapat peluang ini.

Dasar pendidikan yang sentiasa memperkasa potensi setiap pelajar merupakan langkah penting dalam program intervensi sosial yang menjadikan masyarakat Malaysia bebas keciciran dan kemiskinan. Namun, peluang yang lebih luas diberikan kepada pelajar luar bandar dan golongan minoriti supaya mereka dapat melakukan perubahan dalam kalangan keluarga sendiri.

Justeru, sejak merdeka, generasi yang berumur 40-an pada hari ini tidak lagi mewarisi pekerjaan ibu bapa di kampung sebagai petani atau penoreh getah. Rata-ratanya telah berpindah ke bandar untuk mencari peluang hidup yang lebih baik kerana pemikiran, sikap dan pandangan mereka terhadap kehidupan telah berubah, tidak lagi melihat dunia ini berlegar-legar di kampung.


Wednesday, August 19, 2015

Ikut orang








Ramai orang yang saya lihat hanya mengikut orang lain secara automatik. Contohnya banyak. Di pasar, jalan raya, kedai makan dan dalam banyak keadaan, kadang-kadang mengikut hanya untuk tahu. Sesetengahnya mengikut kerana hendak ambil jalan paling kurang halangan atau cabaran. 

Ada yang percaya mengikut adalah langlah bijak berbanding membuat keputusan sendiri. Berfikir dan mengetahui fakta adalah lebih baik daripada mengikut orang lain. 

Untuk ada pedirian sendiri ini kita kenalah buat kerja rumah atau homework supaya kita benar-benar faham sesuatu perkara. 

Baca buku, bertanya, buat survey atau tinjauan supaya kita ada maklumat dan tidak mengikut apa yang orang lain buat.


Tuesday, August 18, 2015

Membina keilmuan







Perbincangan dalam dunia akademik sentiasa perlukan soal jawab supaya wujud idea yang terbaik. Justeru, di menara gading, pensyarah bertanggungjawab membina ruang perbincangan bagi meleraikan satu-satu isu yang muncul dalam masyarakat. Ruang perbincangan ini boleh jadi dalam bentuk bersemuka atau berkongsi idea dalam media supaya ada interaksi dengan masyarakat.

Selain memberi kuliah, pensyarah juga berperanan sebagai penyelidik. Mahu ataupun tidak mahu, pensyarah berhadapan dengan konsep baru dalam pembelajaran hari ini iaitu pembelajaran sepanjang hayat.

Dalam dunia global dan tanpa sempadan hari ini, ilmu sangat mudah diperolehi sehingga muncul istilah “maklumat di hujung jari”. Perkembangan internet dan persaingan antara negara telah menggerakkan usaha-usaha melahirkan negara maju dan masyarakat maju. Dan untuk maju, setiap orang dalam masyarakat perlu mempunyai ilmu. Bermula dari ilmu ini, pelbagai bentuk tindakan boleh dilaksanakan.

Pelbagai orang tentulah memiliki tahap ilmu yang berbeza-beza. Jika kita mengambil dua orang pelajar yang duduk di hadapan pintu bilik dua pensyarah mereka sebagai bahan kajian, kita boleh mendapat dua jawapan berbeza sebagai lambang perbezaan status keilmuan mereka.

Katakan kita bertanya soalah mudah kepada seorang pelajar, “Kenapa duduk di sini?” Ada dua jawapan yang kita akan dapat Pertama, saja-saja duduk, dan kedua, tengah tunggu pensyarah untuk tanya soalan.

Kedua-dua jawapan ini menunjukkan tahap ilmu kedua-dua pelajar berkenaan.

Peranan pensyarah dari dahulu sehingga kini dan seterusnya ialah menerapkan nilai teras yang penuh dengan keyakinan terhadap pelajar mereka. Barangkali sifat Saidina Ali yang pintar akalnya boleh menjadi contoh kepada pensyarah bagaimana melahirkan pelajar yang berilmu ini.

Saidina Ali telah diuji oleh bijak pandai Yahudi selama sembilan hari untuk satu soalan yang sama iaitu “Manakah yang lebih penting, ilmu ataupun harta?”

Jawapan yang diberikan oleh Saidina Ali berbeza-beza setiap hari. Salah satu jawapannya ialah ilmu menjaga kita tetapi harta, kitalah yang menjaganya.

Dalam dunia akademik, tiga hingga empat tahun lepas pensyarah pulun mengejar KPI mereka seperti bilangan artikel yang diterbitkan, bilangan geran yang diperolehi atau kedudukan H-indeks (iaitu indeks yan tunjukkan artikel berkualiti dan disait). Namun, hari ini bukan sahaja KPI yang diukur, sebaliknya ditambah pula dengan KIP iaitu Key Intangible Performance (tidak boleh diukur secara jelas seperti iman atau taqwa).

Kenapa hari ini diberi penekanan kepada KIP ini? Kerana pendekatan yang akan dilihat pada masa hadapan adalah produktiviti yang menjurus kepada kecekapan dan keberkesanan (effective is about doing the right things, while being efficient is about doing things right).

Pensyarah perlu bersedia untuk dinilai produktiviti mereka kerana persekitaran akademik di luar telah mula berubah.

  

Monday, August 17, 2015

Modul latihan kepemimpinan vokasional dan teknikal






Penyunting: Mohd Taib Dora dan rakan-rakan
Tahun: 2013
Penerbit: Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Malaysia.
Muka Surat: 83

Usaha menghasilkan modul ini telah dimulakan sejak tahun 2011 kerana ia selari dengan kajian bertajuk "Membangunkan kepimpinan akademik generasi Felda di politeknik dan kolej komuniti". Kajian tajaan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) ini telah dilaksanakan oleh sekumpulan penyelidik dari UTeM mulai November 2011 hingga 2013.

Matlamat utama penyelidikan ini adalah untuk memperkukuh kepimpinan akademik generasi Felda di institusi pengajian tinggi khususnya di politeknik dan kolej komuniti agar mereka dapat diarusperdanakan dan terus relevan dalam sektor pengajian tinggi negara serta memainkan peranan penting dalam proses transformasi di Malaysia. Dalam konteks pengajian tinggi hari ini, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) mensasarkan pembangunan kepemimpinan akademik menyeluruh yang perlu dikuasai oleh setiap staf akademik dalam lima bidang teras iaitu pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, perundingan, penerbitan dan khidmat komuniti/industri.

Pemerkasaan ilmu dan kemahiran dalam bidang-bidang teras ini dilihat sangat kritikal bagi menyediakan barisan akademia yang benar-benar kompeten dan terampil bagi menerajui kepemimpinan masyarakat dan negara pada masa hadapan.

Daripada lima bidang teras ini, modul latihan yang disediakan ini hanya memberi tumpuan kepada kepemimpinan akademik dalam pengajaran dan pembelajaran. Secara khususnya, empat modul telah dikenal pasti sebagai amat perlu untuk melatih tenaga pengajar dalam kalangan staf akademik generasi Felda di politeknik dan kolej komuniti. Empat modul tersebut adalah pendekatan OBE serta penerapan KI dalam pengajaran dan pembelajaran, pelaksanaan pembelajaran berpusatkan pelajar (PBP), pedagogical content knowledge (PCK) dan refleksi untuk penambahbaikan berterusan (CQI).

Keempat-empat modul ini merupakan pengetahuan dan kemahiran asas yang signifikan sebagai seorang akademia yang dilihat mampu memberi impak atau lonjakan terhadap keberkesanan kaedah serta proses pengajaran dan pembelajaran. 

Ahli akademia memerlukan suntikan daripada modul-modul seumpama ini bagi memperkukuh kemahiran mereka untuk mengelak budaya lesu dalam kalangan akademia.

Apabila bidang-bidang ini dikuasai, akademia lebih mudah menyalur dan menyebarkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat umum dan negara.




Sunday, August 16, 2015

Kehidupan seperti biasa








Kejatuhan nilai ringgit hingga melebihi empat ringgit bagi satu dolar Amerika Syarikat mengundang kerisauan banyak pihak. Hari ini, nilainya sudah mencecah RM4.1.

Faktor utama yang dilihat menjadi sebab kejatuhan mata wang ringgit adalah impak daripada penyusutan harga komoditi minyak dunia serta tekanan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS). Tindakan kerajaan China yang kembali aktif meningkatkan daya saing negara itu turut menjejaskan ringgit dan mata wang serantau seperti yen, euro, dolar Australia, bath dan rupiah.

Wujud impak positif dan negatif apabila nilai ringgit jatuh. 

Dari sudut positif, barangan eksport kita semakin tinggi permintaan dan secara relatifnya lebih murah. Tidak dapat dinafikan juga, lebih ramai pelancong asing datang dan berbelanja di negara kita. Pada tahun 2013, ketibaan pelancong adalah seramai 21 juta orang dengan meraih pendapatan sebanyak RM65.4 bilion.Kehadiran pelancong menggerakkan banyak sektor perkhidmatan dalam masyarakat seperti penginapan, pengangkutan dan perkhidmatan penyajian.

Usahawan yang menjual produk dalam dolar sudah tentu mendapat habuan yang besar ketika ini. Mereka dapat menjual dalam dolar dan meraih pertukaran mata wang yang lebih banyak.

Namun begitu, impak negatif lebih dirasai oleh rakyat tempatan khususnya pengeluar atau mereka yang terlibat dalam penghasilan kelapa sawit, getah dan komiditi lain. Kemerosotan harga komiditi ini menunjukkan tidak banyak permintaan, justeru, pendapatan yang diperolehi tidak sepadan dengan kerja. Harga minyak yang rendah berlaku kerana negara-negara pengeluar sedang berebut pasaran menyebabkan harga dikurangkan sebagai langkah persaingan.

Rakyat Malaysia terpaksa membayar lebih banyak ringgit untuk mendapatkan dolar khususnya kepada pelajar yang belajar di luar negara atau pembeli yang perlukan barangan import. Dalam sebulan dua ini kita mungkin tidak merasai sangat perbezaan harga kerana penjual masih menggunakan stok lama namun keadaan akan berubah selepas ini.

Bagi penyimpan mata wang dolar yang membeli mata wang itu ketika ringgit masih tinggi, mereka mempunyai peluang untuk mendapat lebih banyak ringgit ketika ini. Perbezaan antara 50 hingga 100 ringgit adalah suatu jumlah yang besar kerana ia dapat membantu meringankan beban kos hidup. Jika mereka hendak menyimpannya juga tidak salah kerana untuk ringgit kembali ke paras sebelum ini sudah tentu mengambil masa yang lebih lama.

Friday, August 14, 2015

Pelayar yang hebat







Sempena Jumaat yang mulia ini, banyak amalan yang baik yang boleh diamalkan dan rasanya semua telah maklum mengenainya. Antaranya, perbanyakkan berselawat ke atas Nabi saw., banyakkan berdoa kerana sepanjang hari ini ada waktu-waktu yang mustajab, bacalah surah al-Kahfi dan lakukanlah segala amalan baik dan tinggal.

Kembali kepada tajuk di atas yang memberi maksud yang agak mendalam. Walaupun kita merasakan laut yang tenang itu sangat damai, namun bagi seorang pelayar ia tidak mengharapkan lautan itu tenang kerana hanya lautan yang berombak kencang  sahaja yang dapat menjadikannya seorang pelayar yang hebat.

Begitu jugalah dengan hidup kita, setiap ujian yang diberikan oleh Allah swt  adalah bersesuaian dengan diri kita dan semuanya itu tidak lain hanyalah untuk memantapkan iman kita. Firman Allah swt:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: "Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (QS al-Anbiya:35)

Meskipun kita merasakan ianya satu kesusahan yang mengganggu perjalanan hidup kita, hakikatnya ia memberikan kesan hidup yang lebih bermakna selepas itu.

Lebih merisaukan ada yang tidak sanggup lagi untuk meneruskan hidup dalam keadaan yang susah sehingga berputus asa untuk hidup. Maka tidak hairanlah ada dikalangan orang Islam sendiri yang sanggup membunuh dirinya sendiri kerana terlalu sedih, ataupun terlalu kecewa. Tindakan ini sangat dilaknat oleh Allah swt.

Hadis Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah saw bersabda:

الَّذِي يَخْنُقُ نَفْسَهُ يَخْنُقُهَا فِي النَّارِ وَالَّذِي يَطْعُنُهَا يَطْعُنُهَا فِي النَّارِ

Maksudnya: “Orang yang mencekik dirinya (bunuh diri) maka dia akan mencekik dirinya di neraka, dan orang yang menusuk dirinya maka dia akan menusuk dirinya di neraka.”
 (HR Al Bukhari (1365))

Walaupun kita diminta untuk ingat kepada mati, tetapi bukanlah bermakna kita boleh meminta untuk mati. Seperti mana yang disarankan oleh Rasulullah saw supaya tidak mengharapkan untuk mati.

Dari Anas bin Malik r.a dia berkata: Rasulullah saw telah bersabda:

لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمْ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ مُتَمَنِّيًا فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتْ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتْ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي

Maksudnya : “Janganlah seseorang di antara kalian mengharapkan kematian kerana tertimpa kesengsaraan. Walaupun terpaksa ia mengharapkannya, maka hendaknya dia berdoa, “Ya Allah, berilah aku kehidupan apabila kehidupan tersebut memang lebih baik bagiku dan matikanlah aku apabila kematian tersebut memang lebih baik untukku.”
 (HR. Al-Bukhari no. 5671 dan Muslim no. 2680)

Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah saw bahawa beliau bersabda:

لَا يَتَمَنَّى أَحَدُكُمْ الْمَوْتَ وَلَا يَدْعُ بِهِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَهُ إِنَّهُ إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمْ انْقَطَعَ عَمَلُهُ وَإِنَّهُ لَا يَزِيدُ الْمُؤْمِنَ عُمْرُهُ إِلَّا خَيْرًا

Maksudnya: “Janganlah seseorang mengharapkan kematian dan janganlah dia berdoa untuk mati sebelum datang waktunya. Kerana orang yang mati itu amalnya akan terputus, sedangkan umur seorang mukmin tidak akan bertambah melainkan menambah kebaikan.” (HR. Muslim no. 2682)


Hidup kita adalah berpandu. Jangan melakukan sesuatu keputusan dengan hanya mengikut kata hati kerana hati yang sakit biasanya banyak terpengaruh dengan hawa nafsu dan juga hasutan syaitan. Banyakkan berdoa supaya sentiasa diberi petunjuk untuk meneruskan hidup supaya tidak terpesong dari kebenaran.

Pusat Islam UTeM

Wednesday, August 12, 2015

Realiti kecemerlangan hidup








Satu bentuk pemikiran yang sangat popular tentang kecemerlangan dalam pendidikan ialah mencapai sasaran peperiksaan berdasarkan gred. Kalau dapat “A” semua subjek, dianggap inilah kecemerlangan yang hebat, seolah-olah hidup ini sudah pun sempurna. 

Realiti sebenarnya tidak begitu. 

Cemerlang dapat “A” hanyalah cemerlang dalam akademik, bidang yang lain belum tentu. Dalam banyak keadaan dan tempat, kita mengehadkan kejayaan pada batasan-batasan tertentu. 

Ia ibarat belajar secara lebih kurang supaya dikatakan belajar. Kita perlu melakukan transformasi pemikiran dengan melihat kecemerlangan dalam bentuk holistik atau menyeluruh. 

Contohnya kesihatan. Jika berumur 50 tahun atau 55 tahun dan tidak ada penyakit kencing manis, darah tinggi atau masalah jantung, ia sudah dikira cemerlang dalam hidup.

Monday, August 10, 2015

Kemahiran komunikasi






Penulis: Mohammed Zin Nordin dan Mohd Taib Ariffin
Tahun: 2012
Penerbit: Emeritus Publications, Tanjong Malim, Perak.
Muka Surat: 180

Buku Kemahiran Komunikasi ini diusahakan sebagai tindak balas terhadap kesedaran peri pentingnya mengupayakan pelajar-pelajar dengan kemahiran komunikasi yang baik. Bahan bacaan yang sesuai dalam bahasa Melayu tentang kemahiran komunikasi atau komunikasi adalah terhad dan ini menjejaskan pelajar untuk mendapatkan ilmu yang terbaik.

Objektif mengerjakan buku ini adalah untuk memberi pilihan bahan bacaan dalam bahasa Melayu tentang subjek yang menjadi semakin popular dan penting dewasa ini. Buku ini juga diharapkan dapat menanamkan keupayaan kepada pelajar untuk menambah pengetahuan dan memperbaiki amalan mereka dalam berkomunikasi agar menjadi lebih mahir dan berkesan.

Buku ini mengandungi 10 bab yang meliputi pelbagai aspek untuk meningkatkan kemahiran komunikasi. Aspek-aspek seperti pengertian komunikasi, persepsi dan pengaruhnya terhadap komunikasi, keupayaan mendengar, bahasa lisan dan bukan lisan, budaya dan perbezaannya, bahasa, komunikasi tradisional dan lain-lain adalah perkara yang boleh mengupayakan pelajar dalam kemahiran komunikasi mereka. 



Sunday, August 09, 2015

Menilai kepimpinan negara







Kepimpinan parti Melayu terbesar di Malaysia, UMNO, tidak lagi sama. Ia tidak sama kerana penstrukturan kabinet yang menggugurkan timbalan presiden daripada jawatan timbalan perdana menteri telah mengundang pelbagai masalah. Selain daripada wujud perasaan marah, ahli UMNO juga semakin keliru dan malu dengan perubahan tersebut. 

Setiap hari ada sahaja perkembangan baru berkaitan kepimpinan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak. Selepas tiga hari, dua orang pengarah di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dipindahkan serta merta, bantahan pelbagai pihak menyebabkan beberapa keputusan luar jangka dapat diperhatikan. Pertama, pihak polis menghentikan sementara siasatan, kedua, perdebatan tentang RM2.6 bilion derma di media sosial menjurus kepada sama ada wajar bagi Najib Razak didakwa atau tidak, dan ketiga, suara meminta perubahan dalam parti UMNO semakin besar.

Gesaan supaya pihak akar umbi UMNO tidak duduk diam terhadap apa yang berlaku dalam parti mereka disiarkan secara bebas di media.

Perkongsian maklumat dalam kalangan pengguna media sosial mungkin memberi kesan ke atas kedudukan presiden UMNO sehingga mengeluarkan kenyataan supaya tidak mempercayai fitnah di media sosial dan beliau juga mengkritik ketua-ketua bahagian yang tidak suka dengannya.

Najib Razak perlu menerima hakikat bahawa tindakannya memberi kesan kepada parti UMNO. Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah seorang tokoh politik berpengalaman, sudah tentu beliau tidak mahu berakhir sepertimana yang dilalui oleh Musa Hitam atau Anwar Ibrahim.

Selepas digugurkan, beliau sedikit demi sedikit mencari kekuatan baru dan mencipta strategi supaya wajud rasa simpati ahli UMNO dan rakyat Malaysia terhadapnya. Permintaan berterusan supaya beliau merasmikan mesyuarat agung bahagian dan kenyataan yang cenderung kepada menjaga prinsip keadilan meningkatkan imejnya sebagai orang yang tegas dan tidak mahu berkompromi dalam isu 1MDB. 

Kenapa masih ada bahagian UMNO yang meminta beliau merasmikan mesyuarat? Sudah tentu kerana ahli-ahli UMNO menghormatinya sebagai pemimpin, bukan kerana mengampu. Masih ramai ahli UMNO yang melihat ketokohan dan keupayaan beliau memimpin parti tersebut dan tidak mengharapkan bantuan derma RM2.6 bilion.

Sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, parti UMNO sedang berhadapan dengan konflik kepimpinan. Dua nakhoda yang berbeza pandangan dan pendekatan akan memecahkan kekuatan parti dan memberi imej buruk terhadap rakyat. Kita mahu dipimpin oleh orang yang telus, berprinsip dan anti rasuah, bukannya secara diam-diam menerima derma bilion ringgit dan cuba sedaya upaya menutup tindakan tersebut. Lambat-laun rakyat Malaysia akan sedar bagaimana pemimpin yang sepatutnya memimpin mereka.

Saturday, August 08, 2015

Masalah sosial remaja makin runcing







Masalah sosial dalam masyarakat yang melibatkan kehamilan remaja luar nikah semakin kronik di negara kita. Seorang pelajar perempuan berumur sebelas tahun yang melahirkan bayi lelaki baru-baru ini sangat mengejutkan kerana belum pernah berlaku di Malaysia.

Di samping kita bersimpati dengan pelajar tersebut, kita juga mengecam suspek yang mengambil kesempatan ke atas pelajar berkenaan. Walau bagaimanapun peranan ibu bapa dan keluarga juga wajar dilihat semula kerana ia berlaku di kawasan pinggir bandar yang mana nilai-nilai kekeluargaan dan keagamaan dipegang utuh.

Beberapa persoalan yang boleh kita tanya untuk mengetahui kenapa dan bagaimana kes ini boleh berlaku. Persoalan besar ialah siapakah yang menyebabkan mangsa mengandung? Media melaporkan suspek telah pun dikenal pasti, namun kita mahu suspek tersebut dibawa ke muka pengadilan kerana berlaku zalim terhadap masa hadapan pelajar berkenaan.

Hamil di luar nikah akibat rogol, sama ada mangsa kecil atau besar, merupakan satu bentuk pencabulan maruah kerana mangsa akan mengalami trauma berpanjangan. Statistik kehamilan luar nikah sentiasa dikemas kini supaya dapat dijadikan rujukan bagi usaha-usaha mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja.

Di Malaysia, kesedaran masyarakat terhadap mangsa masalah sosial masih belum meluas. Contohnya dalam kes rogol, masih banyak keluarga yang merasa malu dan enggan menerima anak-anak mangsa rogol kerana menjatuhkan maruah keluarga. Kesannya, mangsa rogol terpaksa meraih simpati kepada agensi kerajaan atau agensi kebajikan untuk meneruskan masa depan, membesarkan anak dan bantuan sara hidup. Peranan berterusan agensi kerajaan yang sentiasa meminta masyarakat menyalurkan maklumat mangsa rogol kepada mereka di samping memberi sokongan kepada keluarga mangsa telah mengubah sedikit demi sedikit persepsi masyarakat. Namun usaha ini belum mencukupi.

Pertubuhan bukan kerajaan yang berfokuskan kebajikan juga boleh berperanan memberi sokongan kepada mangsa rogol. Sokongan emosi sangat kritikal supaya mangsa dapat mengembalikan kekuatan diri untuk bersemangat mengubah hidup. Bantuan geran tahunan boleh disalurkan kepada NGO yang berminat supaya beban menjaga kebajikan ini dapat dikongsi bersama oleh kerajaan dan masyarakat.


Pelajar sekolah rendah atau menengah yang hamil di luar nikah tidak boleh diteruskan kerana ia menjejaskan sistem sosial masyarakat. Pihak keluarga yang bertanggungjawab ke atas anak-anak perlu serius menjaga anak-anak mereka supaya tidak terjebak dengan masalah sosial, jenayah, penagihan dadah dan sebagainya.