Monday, July 15, 2013

Urus wang semasa gawat





Penulis: Sunthara Segar
Tahun: 2012
Penerbit: PTS Professional Publishing Sdn Bhd, Selangor, Malaysia
Muka Surat: 86


Duit tidak pernah cukup?
Hutang keliling pinggang?
Tidak mampu membayar bil?
Ekonomi meleset?
 
Muka hadapan buku ini bertanya empat soalan kepada pembaca untuk dijawab. Terpulang kepada kita untuk memberi jawapan kerana tujuan buku ini hanya memberi panduan dan maklumat bagi meningkatkan kemahiran kewangan.
 
Buku kecil dan ringkas ini perlu dibaca oleh mereka yang sentiasa susah hati kerana tidak cukup wang walaupun gajinya besar. Walaupun maklumat dalam buku ini tidak dapat memberi wang namun tip dan nota dapat memberikan ilmu pengurusan wang yang berkesan supaya kita masih ada wang untuk menyimpan.
 
Antara topik yang diberi perhatian ialah panduan mengurus dan menyelesaikan hutang, panduan melabur semasa ekonomi gawat dan stabil, cara menambah wang daripada sumber luar dan teknik hidup selesa dengan cara yang jimat.
 
Memegang buku ini adalah langkah pertama mengurus kewangan yang berkesan. Pada saya, untuk ada lebihan wang, kita perlu berjimat-cermat dan membuat tabungan walaupun sedikit.
 
 
 

Thursday, July 11, 2013

Ambon manise yang penuh kejutan







oleh Karim Raslan

 
Bagi mana-mana rakyat Malaysia yang sudah bosan dengan Bandung, Bali dan Jogjakarta, Tukang Cerita ingin mencadangkan sebuah lagi destinasi baru – sesuatu di luar jangkaan dan penuh dengan kejutan - Ambon Manise (Ambon yang manis), sebuah bandar di timur Indonesia yang terletak betul-betul di tengah Laut Banda.

Sejak kejatuhan Presiden Suharto pada 1998, Ambon bergelumang dengan konflik antara agama. Bagi sebuah bandar yang memiliki lebih 300,000 penduduk (dengan demografi Kristian/Muslim pada nisbah 60:40), perjalanan ke arah demokrasi dan kestabilan dengan pertumpahan darah. Namun kini ia telah mencapai kemakmuran yang membanggakan.

Saya berada di Ambon minggu lepas, melakukan wawancara sambil mendalami sejarah dan kehidupan di bandar itu. Ambon, dengan sejarah menjangkau lebih 500 tahun – dengan taklukan Eropah pertama pada awal 1500 - senantiasa menjadi medan persaingan sengit untuk ditakluki.

Ia merupakan sebuah pusat komersial penting suatu masa dahulu, dengan penghasilan bunga cengkih semasa Kesultanan Ternate dan Tidore di belah utara dan buah pala Banda di selatan.

Penguasaan ke atas laluan perdagangan rempah itu menjurus kepada pelbagai insiden ganas, antaranya Pembunuhan Beramai-ramai Amboyna pada 1623 apabila pihak berkuasa Belanda menangkap pesaing mereka dari England, menuduh mereka sebagai pengkhianat.

Ambon kini, pada 2013, masih mencerminkan peristiwa-peristiwa ini dan juga persengketaan komuniti yang baru selesai dan berjaya diatasi melalui proses demokrasi, pergerakan sosial dan kawalan ketat polis.

Walaupun beberapa kedutaan Barat memberi amaran lawatan ke bandar ini, mana-mana pengunjung yang waras dan sensitif akan mampu menikmati destinasi ini tanpa masalah.

Seorang pengurus hotel dari Pulau Pinang, Rebecca Wilkinson, yang kini menguruskan sebuah kapal layar mewah di Indonesia bernama “Tiger Blue” menggunakan Ambon sebagai tempat persinggahan untuk perjalanan 22 jam ke kepulauan Banda yang bersejarah.

Menurut beliau: “Lokasi Ambon mengingatkan saya kepada Rio de Janeiro ataupun Sydney. Ia amat mengagumkan, terutamanya waktu malam apabila lampu-lampu bergemerlapan mula berkelip di bukit-bukit di atas bandar itu.”

Saya meluangkan masa bersiar-siar di pasar-pasar di sana. Walaupun tidak menikmati hidangan sago sebagai juadah makan tengah hari, saya masih tertarik akan cara persiapan hidangan sago mentah berwarna putih krim berbentuk seperti bola tenis yang menunggu untuk dimasak dan dijual.

Pengunjung pasar Ambon juga cukup menarik, mengingatkan saya kepada kepelbagaian demografi dan geografi republik itu. Bandar ini bukan Bukit Tinggi atau Semarang. Masyarakatnya berketurunan Polynesia: kulitnya lebih gelap, ciri-cirinya lebih jelas dan rambutnya lebih kerinting.

Malah, ketika berdiri di pesisiran pantai, anda dapat melihat pengunjung-pengunjung tiba dari pekan-pekan seperti Sorong dan Manokwari di kawasan paling barat Papua hinggalah pulau Buru yang dulu menempatkan penjara zaman Suharto (di mana penulis, Pramoedya Ananta Toer menjalani hukuman penjara beliau).

Terdapat deretan kedai kopi yang meriah seperti kafe Sibu-Sibu dan Joas di sepanjang Jalan Said Perintah. Orang Ambon gemar duduk santai sambil menghirup ‘kopi rarobang’ daripada halia, buah pala dan rempah lain sambil menikmati pisang goreng.

Terdapat juga sebuah muzium kuno, yang ada dua rangka paus besar, di mana terletaknya makam pejuang perang dunia kedua. Jadi bagi rakyat Malaysia yang sedang mencari destinasi mencabar dan agak mirip dengan tanah air, Ambon (dengan gabungan sejarah dan budaya kolonial Portugis dan Belanda)  destinasi unik lagi menarik. Ia dekat dengan hati kita, biarpun terletak nun jauh di hujung barat gugusan kepulauan ini.


(Sinar Harian, 9 Julai 2013)

 

Wednesday, July 10, 2013

1 Ramadhan di Masjid Putra








Ramadhan tahun ini kembali lagi. Kali ini saya ke Masjid Putra, Putrajaya untuk merasai suasana meriah dan bersungguh-sungguh masyarakat Islam menunaikan solat tarawikh.

Tiba di perkarangan masjid, deretan kereta sudah berada di sepanjang jalan menunjukkan betapa ramainya jemaah yang mahu ke sini. Selepas berlegar beberapa kali, saya memilih untuk meletakkan kereta di Laman Perdana dan berjalan hampir 200 meter bagi menunaikan solat isyak dan tarawikh.

Jemaah lelaki berbaju Melayu lengkap, berkain pelekat dan berjubah bersama songkok dan lebai menuju ke musolla. Anak-anak kecil juga agak ramai di sini dan ditempatkan di kawasan khusus di saf paling belakang.

Masjid Putra berbeza dengan masjid lain kerana beberapa sebab. Pertama, konsep terbuka yang digunakan memudahkan akses yang cepat ke dalam musolla. Jemaah tidak perlu termengah berlari untuk mendapatkan takbir pertama kerana tidak ada tangga yang perlu didaki. Kedua, udara segar dari pendingin hawa membuatkan solat lebih selesa dan meningkatkan darjah kekhusyukan sama ada ketika solat atau bertadarus. Ketiga, bacaan solat imam yang tidak terlalu pendek dan tidak juga terlalu panjang.

Masjid Putra akan terus menjadi tumpuan jemaah untuk solat tarawikh dan juga berbuka puasa di Putrajaya. Walaupun bulan puasa, pihak pengurusan masjid masih menyediakan lima kali waktu makan sehingga sahur untuk menunjukkan kesungguhan dalam memperkasa ibadat ramadhan dengan mengajak jemaah mengimarahkan masjid untuk mendapatkan pahala-pahala yang jelas dan tersembunyi.

Peranan masjid dalam mengajak orang ramai meraikan ramadhan semakin baik pada hari ini kerana pengurusan yang memahami keperluan dan citarasa jemaah. Keadaan ini jarang dirasai 20 tahun lalu. Ia mungkin disumbangkan oleh kajian dan pemerhatian yang dilakukan oleh pihak berkuasa agama Islam yang mahukan orang ramai menggunakan peluang beribadah pada bulan ini.
  

Tuesday, July 09, 2013

Persediaan Ramadhan





 

Ramadhan, bulan diberkati merupakan rahmat daripada Allah swt. Ia merupakan bulan di mana Allah swt melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hamba-Nya. Justeru golongan yang beriman dan bertaqwa sentiasa menantikan kehadiran Ramadhan ini dengan kegembiraan dan harapan. 
 
Masyarakat tamadun dahulu turut meraikan puasa tetapi tidak sama dengan puasa Ramadhan kerana hasil dan ganjaran pada bulan Ramadhan lebih terserlah. Umat Islam yang melaksanakan puasa dengan penuh tawadhuk, insya Allah akan diberi kejayaan. 

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah Al-Baqarah ayat 185)
 
Kebaikan puasa Ramadhan ialah kita menjadi sihat kerana kurang makan. Makanan yang kerap diambil dan penuh dengan minyak, lemak dan karbohidrat secara automatik dikurangkan. Puasa juga mengembalikan jati diri seperti kurangnya simptom sakit belakang, penurunan paras gula dalam darah dan sakit kepala. Kadar kolestrol turut berkurangan. Secara tidak langsung puasa boleh dianggap sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat.
 
Bagaimana berpuasa dengan sempurna? Islam telah memberi pendedahan dan garis panduan puasa sejak 1400 tahun lalu dan diperjelaskan oleh saintis pada hari ini melalui kajian demi kajian. Amalan bersahur di akhir malam sangat berkesan untuk mengekalkan stamina fizikal sepanjang hari. Ia juga memberi berkah dan mendapat pahala.
 
Di samping itu mengkhatamkan al-quran sepanjang Ramadhan amat digalakkan. Kita boleh membaca empat muka surat al-quran setiap hari selepas solat lima waktu. Ingat, satu huruf sudah diberi ganjaran apatah lagi seluruh ayat dalam al-quran.
 
Menderma dan bersedekah amat sinonim dengan Ramadhan di negara kita. Usah berfikir panjang untuk memberi sedekah kerana niat dan perbuatan sedekah sudah tentu mendapat pahala. Justeru dalam bulan puasa ini ramai yang berlumba belanja makan anak-anak yatim di seluruh negara.
 
Satu yang wajar juga dibanyakkan ialah berdoa semasa berpuasa dan berbuka. Ia bertepatan dengan hadis Rasulullah saw yang bermaksud, “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka iaitu pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang dizalimi.” (Riwayat At-Tirmizi)
 
Apa yang kita cari dalam Ramadhan ini? Tidak lain dan tidak bukan ialah taqwa sepertimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah ayat 183. 

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Monday, July 08, 2013

Program pembangunan kepimpinan pensyarah muda

Program pembangunan kepimpinan pensyarah muda oleh Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi atau AKEPT di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini menjadi tonggak kepada perancangan untuk melahirkan pensyarah muda yang berkaliber. Program yang telah dimulakan sejak 2010 di seluruh negara telah dipecahkan kepada beberapa zon dan siri merupakan penambahbaikan ke atas objektif dan mekanisme program sebelum itu.
Siri satu dan dua yang dikenali sebagai KIT mendedahkan pensyarah muda kepada dasar pengajian tinggi, sumbangan pensyarah muda dalam menjayakan dasar dan bersama-sama merasai impak pelaksanaan dasar tersebut.
KIT 2.0 kali ini melibatkan zon selatan menjadi terjemahan kepada idea yang dibincangkan dalam KIT 1.0 lalu iaitu pelan tindakan unntuk dilaksanakan. Terdapat enam modul yang disampaikan dalam bentuk dua hala untuk memajukan diri dan kerjaya. Antara moderatornya ialah Profesor Shahrin, Dr Zainal, Profesor Yusuf Othman, Profesor Sidek Baba dan Profesor Ramlah Adam yang masing-masing menyentuh isu-isu jati diri, falsafah, akademik dan spiritual.
Profesor Shahrin menggunakan peluang ini dalam modul satu dan dua dengan berkongsi tentang mengurus perubahan dalam konteks pendidikan tinggi Malaysia. Kaedah pengurusan yang digunakan ialah “DeBono Way” fokus kepada cara berfikir enam topi. Kefaham konsep ini digarap melalui praktikal dalam membincangkan isu-isu semasa menggunakan topi pelbagai warna. Isu yang dipilih ialah pelaksanaan OBE di universiti. Rumusan yang sangat baik untuk sesi ini ialah pertama, apabila membicarakan sesuatu tanpa fakta, ia dikira “kangkung”, kedua, untuk melakukan perubahan, bukan melihat dengan mat tetapi melalui imaginasi, dan ketiga, seorang ahli akademik mesti berfikir sebelum bercakap.
Keterbukaan menjadi pilihan Dr Zainal untuk membuka perbincangan modul dua iaitu membudayakan kecemerlangan kepemimpinan pensyarah muda. Lontaran beberapa soalan berat telah difikirkan bersama dan dikembalikan dengan pelbagai penyelesaian pilihan. Antaranya ialah cabaran, halangan dan bagaimana pensyarah muda boleh memajukan diri mereka. Perbincangan ini sebagai persediaan untuk forum tranformasi pengajian tinggi.
Tiga serangkai profesor iaitu Yusuf Othman, Sidek Baba dan Ramlah Adam merupakan tokoh masyarakat dalam bidang kepakaran khusus membincangkan perubahan yang berlaku dalam pengajian tinggi negara dan bagaimana pensyarah muda boleh menghadapinya. Sidek Baba melihat persediaan ke arah perubahan yang memberi fokus kepada pembangunan insan atau rijal. Oleh kerana pensyarah muda yang rata-ratanya di bawah 40 tahun, persoalan yang diberi adakah cabaran melahirkan insan yang memiliki sifat ehsan yang dapat menghubungkan sesama manusia. Kita bercakap tentang membuat kebajikan, memberi pengajaran yang baik walaupun kecil dan autonomi, namun adakah semuanya ini ke arah membentuk rijal-rijal yang berlaku adil kepada orang lain. Ramlah Adam menyentuh peranan pensyarah muda dalam penglibatan komuniti kerana beliau melihat universiti berada dalam kedudukan terbaik untuk memberi ilmu dan kepakaran kepada komuniti walaupun komitmen penglibatan berkenaan mendapat merit yang rendah untuk kriteria kenaikan pangkat. Konsep merakyatkan ilmu dan membina rakan kongsi merupakan kaedah untuk mengembalikan ilmu dan kepakaran kepada komuniti yang masih perlukan sokongan dan bantuan untuk membentuk kesejahteraan sosial. 
“Universiti tak boleh buat semua, nanti fungsi universiti akan hilang”, pandangan Yusuf Othman apabila bercakap tentang transformasi pengajian tinggi. Beliau berpendapat universiti harus kekal pada asas kewujudannya dan menjadikan transformasi yang dilakukan oleh Rasulullah saw sebagai tamsilan. Baginda saw mentransformasi komuniti jahiliyah melalui ilmu, sikap (fikrah-cara fikir) dan perangai mereka. Ia mengingatkan kita tentang dunia Barat yang sudah hilang akar umbi kehidupan beragama dengan melontarkan pertanyaan kenapa komuniti kulit putih di Britain sudah ramai yang berjinak dengan Islam? Ia disebabkan objektif kehidupan yang menyimpang daripada saranan agama, malahan hampir 80 peratus penduduknya memilih hidup tanpa berkahwin, perkahwinan sejenis ataupun perkahwinan yang tidak kekal. Selain itu, empat isu utama dunia hari ini yang wajar diberi perhatian ialah pemanasan global, pintar tanpa adanya jiwa, kewangan dunia dan identiti sosial.
Di akhir modul, pensyarah muda diberikan latihan (daripada perspektif mereka) untuk membuat pelan tindakan transformasi pengajian tinggi negara. Lima objektif strategi dibincangkan iaitu pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan, penglibatan komuniti, kepemimpinan dan perubahan polisi. Antara idea yang menarik ialah memikirkan semula idea universiti penyelidikan (RU), percambahan geran, mewujudkan jawatankuasa pensyarah muda di setiap universiti dan meluaskan jaringan akademia. Membawa tokoh untuk diskusi juga menjadi sebahagian daripada idea ini kerana tokoh-tokoh akademik muda boleh membantu dalam pembentukan laluan kerjaya yang cepat, contohnya teknik mendapatkan geran penyelidikan.
 
 
 
 
 
KIT 2.0 ditutup oleh Profesor Datuk Dr Ahmad Yusuff Hassan yang dilihat teruja dengan program ini. Beliau sendiri mengambil peluang berinteraksi dengan pensyarah muda dan menerima tiga soalan. Pertama berkaitan dengan wakil pensyarah muda dalam senat universiti, kedua tentang sokongan universiti mendapatkan kehadiran penuh dalam program kepimpinan muda, dan ketiga ialah sokongan staf pentadbiran kepada staf akademik yang kerap dibebankan dengan pelbagai tugas. Satu makluman yang baik daripada beliau ialah “suara pensyarah muda boleh dibawa ke peringkat tinggi” diharap menjadi kenyataan.

Saturday, July 06, 2013

Mumia temukan Dr. Maurice dengan Islam









Susunan Siti Ainiza Kamsari
 

Pada pertengahan tahun 1975, Perancis yang ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Francisco Mitterand menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, ramses II yang sangat terkenal.

Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya. 
 
Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.

Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka. 

Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi. 

Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.

Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu. 

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, dirawat segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet. 

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?

Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru. 

Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”

Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Kisah Firaun dalam al-Quran

Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan. 

Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu. 

Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian. 

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun. 

Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)

Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu. 

Ini menjadikan beliau semakin kebingungan. 

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.

Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:

Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).”

Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi. 

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”

Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.

Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Quran, and Science: The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya. 

Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran. 

Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden, katanya.

Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.

(Utusan Malaysia, 16 Disember 2010)

 

Friday, July 05, 2013

Pengurusan kehidupan bermula dalam diri manusia








oleh Sidek Baba

Proses pengajaran-pembelajaran yang dilalui oleh pelajar tidak saja pencapaian kognitif atau akliah yang diutamakan, tetapi aspek penghayatan juga penting. Pendidikan itu sendiri tidak sekadar suatu proses pemindahan ilmu, maklumat dan kemahiran tetapi juga perubahan diri manusia. Ia menyentuh langsung isu binaan watak dan peribadi pelajar.

Natijah akhir proses pendidikan tidak sekadar ukuran cemerlang dalam peperiksaan tetapi setakat mana pelajar memiliki kualiti sikap yang baik, disiplin berfikir yang matang, kemampuan menganalisis yang meyakinkan dan mempunyai peribadi contoh yang menjadi sumber ikutan dan teladan orang lain.      

Ia bergantung kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang terjadi. Dalam tradisi Islam ada lima pendekatan bagaimana proses pengajaran-pembelajaran berlaku secara seimbang. Zaman yang membawa tamadun Islam ke puncak tradisi hafazan berkembang, asas kefahaman (tafahum) terjadi, kemahiran berfikir berlaku, proses internalisasi (penyerapan) mengambil tempat dan proses manifestasi (menterjemahkan pemikiran kepada amal) menjadi kenyataan. 

Al-Quran tidak sekadar untuk dihafaz tetapi juga untuk difahami. Memahami al-Quran tidak saja dengan terjemah dan tafsir. Sumber ilmu ini memerlukan kefahaman secara tekstual dan juga kontekstual supaya manusia mampu menghubungkan faktor yang nyata dan tampak (empirikal) dengan faktor ghaib dan tidak nampak iaitu Pencipta.

Tradisi hafazan bermula di Madinah, apabila halaqah (usrah) dan suffah terjadi di sekitar Masjid Nabawi. Hafazan tidak saja merangsang upaya pengingatan tetapi yang dihafaz itu ialah al-Quran. Al-Quran adalah sumber petunjuk kepada manusia. Latihan menghafaz adalah penting kerana ingatan boleh membawa keinsafan mengenai peringatan Allah. Ia menjadi tradisi dalam kalangan umat Islam sehingga kini.

Dalam kalangan huffaz yang lahir sepanjang zaman al-Quran tidak saja dibaca secara harfiah tetapi diterjemah dan ditekuni tafsirnya. Ia membawa kepada perkembangan ilmu dan asas ketamaduan. Lahir kitab tafsir tersohor seperti dari Al-Qurtubi, Ibn Kathir, Syed Qutb, Mohd Yusof Ali, Muhammad Assad dan banyak lagi.

Faham tekstual, kontekstual

Menghafaz fakta dan data juga adalah disiplin yang baik terutama formula sains dan teknologi dan ia membantu proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan. Tetapi hafazan saja tidak memadai. Al-Quran tidak sekadar untuk dihafaz tetapi juga untuk difahami. Memahami al-Quran tidak saja dengan terjemah dan tafsir. Sumber ilmu ini memerlukan kefahaman secara tekstual dan juga kontekstual supaya manusia mampu menghubungkan faktor yang nyata dan tampak (empirikal) dengan faktor ghaib dan tidak nampak iaitu Pencipta.       


Kefahaman tradisi konvensional tidak mengambil kira faktor agama atau wahyu dalam memberi faham terhadap faktor sains. Dalam al-Quran banyak ayat mengenai sains dan menjadi pedoman pentafsir menghubungkan al-Quran dengannya. Air, dalam tradisi konvensional secara mekanistiknya terhubung dan faktor oksigen dan hidrogen. Al-Quran menyediakan jawapan air itu sumber kehidupan. Gunung dalam geografi tidak lebih sebagai longgokan batu-batan dan banjaran panjang. Al-Quran menyediakan jawapan ia adalah awtad atau pasak bumi. Ia menjadi asas keseimbangan kepada kehadiran bumi.

Kemahiran berfikir

Perspektif ini penting difahami kerana akhirnya manusia akan mencari makna sesuatu. Maknalah yang memberi manusia fahaman sebenar mengenai hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam. Kalau ditanya apa makna kemajuan. Akan ada pendapat mengatakan bahawa kemajuan itu diukur dari segi kemajuan ekonomi dan teknologi dan kesejahteraan sosial.

Dalam tradisi Islam fokus kemajuan terletak pada diri manusia itu sendiri (rijal). Jika manusia terbangun dengan ilmu dan etika yang baik pengurusan ekonomi, teknologi dan kesejahteraan sosial akan berlaku dengan baik. Bermulanya keluarga yang baik adalah daripada individu yang baik. Terbinanya masyarakat yang baik adalah daripada keluarga yang baik. Pembinaan negara atau umat yang baik adalah daripada masyarakat yang baik. Inilah maksud al-Quran terhadap kehidupan dan pengurusan kehidupan itu sendiri.

Kefahaman dalam tradisi Islam harus diikuti dengan upaya artikulasi atau berfikir. Tanpa pemikiran penjanaan ilmu tidak akan terjadi. Perkara berfikir ini sangat-sangat diutamakan dalam al-Quran dan tradisi Islam. Dengan memiliki kemahiran berfikir umpamanya kita boleh menjadi kreatif, kritikal, reflektif, futuristik, strategik, lateral dan sebagainya.

Perkara utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah isu internalisasi iaitu proses penyerapan apa yang difikir dan hubungannya dengan faktor dalaman diri manusia ialah hati. Pembangunan akal-budi adalah sesuatu yang amat utama supaya berlaku sinergi antara faktor akliah dan faktor wahyu supaya wujud keinsafan yang seimbang yang sifatnya duniawi dan ukhrawi.

Kefahaman dan pemikiran seimbang bakal menentukan corak berfikir, cara tindakan dan amalan yang sentiasa menghubungkan Allah SWT sebagai rujukan puncak dan menginsafi manusia tidak lebih sebagai khalifah menguruskan manusia dengan amanah, jujur dan adil.

Penulis ialah Profesor Pendidikan UIAM 


(Berita Harian, 5 Julai 2013)

 

Thursday, July 04, 2013

Sabah mempersona








Kali pertama menaiki Malindo Air amat menarik. Bertolak dari KLIA ke Kota Kinabalu terasa amat selesa kerana syarikat penerbangan tambang murah ini menggunakan pesawat Boeing yang selesa, ruang duduk yang luas dan setiap tempat duduk terdapat panel multimedia untuk menonton filem atau mendengar muzik.

Perjalanan ke Sabah ini mengambil masa dua jam 30 minit dengan kelajuan lebih 800 km/j kerana pesat yang digunakan adalah baru dan semuanya nampak kemas. Walaupun tambang murah, penumpang dihidangkan roti sandwich dan air mineral, sekurang-kurangnya dapat mengisi perut kosong sementara sampai di KKIA.

Kami sampai ketika cuaca mendung dengan hujan renyai-renyai. Di landasan KKIA juga hujan. Sebaik sahaja juruterbang memaklumkan pesawat akan mendarat, semua penumpang memakai tali pinggang dan bersedia untuk mencecah landasan. Namun, tiba-tiba pesawat yang telah bersedia untuk mendarat dan menghampiri landasan, keadaan dalam pesawat seperti bergoncang dan tidak stabil. Anak-anak kecil ada yang merengek dan menangis tidak berhenti. Penumpang di sebelah sudah berasa cemas dan mulutnya berkumat-kamit membaca sesuatu, wajahnya cukup serius.

Roda pesawat yang hampir mencecah landasan tiba-tiba melantun semula ke udara dan terus memecut masuk ke awan bagi ketinggian 7000 kaki. Deruman enjin pesawat memang keras untuk melonjak ke atas. Suasana agak cemas sedikit.

Selepas pesawat dalam keadaan stabil dan keluar dari lingkungan risiko, juruterbang memaklumkan peristiwa yang berlaku itu. Menurutnya, keadaan angin di landasan terlalu kuat dan menyebabkan pesawat tidak stabil. Pendaratan akan mengundang risiko dan beliau mengambil keputusan untuk membatalkan proses pendaratan kali pertama. Beliau memaklumkan pesawat akan berlegar pada jarak 15 kilometer dari Kota Kinabalu sehingga keadaan mengizinkan untuk pendaratan seterusnya.

Kami berlegar-legar hampir 15 minit dan bersedia untuk percubaan pendaratan kali kedua. Juruterbang meminta semua penumpang bersedia untuk pendaratan ini. Semakin lama pesawat semakin hampir ke landasan dan keadaan pesawat kekal stabil. Dentuman roda pesawat yang menderam mengesahkan pendaratan ini amat berjaya. Semua wajah penumpang berseri-seri kerana baru sahaja melepasi detik-detik yang mencemaskan.

Saya berjalan keluar dan melihat jurutebang tersenyum di pintu kokpit pesawat. Mungkin beliau berhasrat meyakinkan penumpang bahawa penerbangan seterusnya akan lebih baik.

Di imigresen

Semua penumpang menuju kaunter imigresen untuk pengesahan memasuki negeri Sabah. Warganegara Malaysia dari semenanjung perlu menunjukkan kad pengenalan dan diterima masuk untuk tempoh satu hingga tiga bulan. Walaupun satu negara, kemasukan warganegara Malaysia sama seperti pelancong asing di Sabah, kesan jangka masa panjang penerimaan Sabah dalam pembentukan Malaysia. 
 
Bagi pelancong yang membawa anak kecil tanpa ditemani oleh ibu atau bapa sendiri, masuk ke Sabah adalah suatu kesalahan dari perspektif imigresen di sini. Justeru surat kebenaran membawa anak kecil yang ditandatangani oleh ibu atau bapa anak itu amat penting. Ia mesti dibawa dan ditunjukkan bersama MyKids.  Walaupun pembawa anak kecil itu merupakan datuk atau neneknya, ia belum menjamin kelulusan masuk dapat diberi dan semua terpaksa pulang pada hari sama yang sama. 
 
Keadaan ini tidak patut berlaku kerana kedatangan rakyat dari semenanjung kerana pelbagai sebab seperti kursus yang ada pesertanya membawa sekali saudara  mara bagi kali pertama. Selepas sampai ke Sabah dan dilarang masuk serta diarahkan pulang kerana tidak cukup dokumen adalah sangat malang. 
 
Namun, dalam kes seperti ini, petugas di kaunter yang kurang mesra hanya merumitkan keadaan berbanding petugas yang bijak. Petugas kurang mesra akan mengatakan tidak boleh masuk manakala petugas yang bijak akan merujuk pegawai atasan dan dalam kes seperti di atas, pegawai ini menggunakan budi bicara selepas bertanya beberapa soalan seperti kenapa ibu atau bapa tidak datang bersama, apa tujuan datang dan berapa lama tinggal di Sabah. Kalau jawapan munasabah, kebenaran masuk akan diberi serta-merta. Mungkinkah keadaan yang sama turut berlaku di Sarawak memandangkan negeri itu turut menggunakan konsep yang sama?

Tempat menarik

Sabah banyak tempat menarik yang mesti dilihat. Mini aquaria yang terletak di Universiti Malaysia Sabah, UMS sangat sesuai menjadi santapan minda pada sebelah pagi. Puluhan ikan dan hidupan laut dikumpulkan di sini, menunjukkan Sabah sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai spesies laut. Dari bandaraya Kota Kinabalu, kita hanya perlu 10 hingga 15 untuk sampai ke sana. 
 

 
 

 
Tempat makan malam tidak sukar kerana banyak restoran dan gerai menyediakan pilihan makanan laut yang segar dan murah. Saya pilih Likas Highway Corner untuk makan malam berbanding gerai makan yang lain. Pelayan di sini amat mesra dan sedia menawarkan masakan istimewa mereka. Antara yang sedap ialah ketam dan udang goreng serta sayur kailan segar. Selain minuman, kita juga boleh makan ABC yang enak. Untuk kanak-kanak, banyak mainan dijual sekitar Anjung Selera ini yang menghadap Teluk Likas.
 
 
 
 

 
Rumah Terbalik adalah ikon terkini di Tamparuli. Kedudukan di tepi jalan memudahkan orang ramai melawat rumah ini yang serba-serbinya terbalik. Di luar dan dalam rumah semuanya terbalik. Tiket masuk dewasa RM10 dan lawatan mengambil masa 20 hingga 30 minit. Perkarangan rumah ini terdapat kereta Kancil, kereta sorong, basikal, kebun dan tandas yang terbalik. Sehingga kini terdapat lebih 140 ribu oengunjung yang sudah masuk ke dalam rumah terbalik sejak dibuka pada 2011. Sebelum masuk kita diberikan peluang memukul gong dan bergambar. Tidak dibenarkan mengambil gambar atau video di dalam rumah, jika kedapatan, ia akan dicaj RM100 dan gambar akan dipadam. Berdasarkan pertanyaan, rumah terbalik tidak ada falsafah tetapi khusus untuk tarikan pelancong. Pengunjung boleh beri falsafah mereka sendiri.
 
 
 
 
 
 
Gunung Kinabalu di Kundasang adalah tarikan paling hebat. Banyak resort dan inap desa di sekitar gunung dan perlu ditempah lebih awal, katakan tiga bulan. Antara tempat menarik ialah Kinabalu Pine Resort. Kedudukannya betul-betul di hadapan Gunung Kinabalu yang gah. Masa terbaik melihat puncak gunung ini ialah sekitar jam 7 hingga 9 pagi kerana puncaknya tidak dilitupi awan.  Selepas itu gerombolan kabus dan awan akan bergerak dan menutup keseluruhan gunung sedikit demi sedikit. Selain Kinabalu Pine Resort, berpuluh-puluh hotel dan rumah penginapan terdapat di sekitar pekan Kundasang dengan bayaran dan perkhidmatan yang kita ingini.
 

 
 
 

 
Kita juga boleh mengunjungi Taman Kinabalu iaitu pintu masuk ke Gunung Kinabalu. Berkereta sehingga ke Pondok Timpohon sangat mengasyikkan kerana di kiri dan kanan jalan penuh dengan pokok rendang dan angin segar. Berada di paras 2000 kaki memberi pengalaman indah dan sukar dilupakan. Di papan kenyataan Pondok Timpohon terdapat nama-nama peserta yang telah mendapat pertama hingga ketiga dalam pertandingan mendaki Gunung Kinabalu 2012 yang rata-ratanya terdiri daripada orang luar.
 

 
 


Perjalanan pulang ke Kota Kinabalu terasa sangat pantas kerana tidak banyak kenderaan yang bergerak di sepanjang laluan yang berliku. Satu yang dapat diperhati di laluan ini ialah papan tanda yang menunjukkan gereja di simpang-simpang jalan. Papan tanda yang menunjukkan tanda masjid atau surau tidak kelihatan langsung, lalu mengesahkan bahawa penduduk di sekitar laluan ini terdiri daripada penganut agama kristian. Satu-satunya masjid yang ada ialah di pekan Kundasang yang dapat dilihat dengan jelas. Kemungkinan besar kampung dan desa masih didominasi masyarakat kristian walaupun ada sebilangan kecil orang Islam di kawasan pedalaman.
 
Sebelum sampai ke Kota Kinabalu, adalah lebih baik singgah makan lokan bakar di Jalan Sulaman. Di sini semuanya menjual lokan bakar dengan tiga saiz berbeza. Rasanya sangat lazat dan cuba sekali tentu hendak tambah lagi. Di kiri dan kanan laluan ini memang banyak gerai lokan dan boleh juga mencuba nasi goreng seafood.
 

 
 

 
Barang yang mesti dibeli di Kota Kinabalu untuk dibawa pulang ialah kuih kering, makanan laut dan sayur-sayuran segar. Pasar Filipina yang menjadi tempat tumpuan pelancong dari semenanjung sudah maklum dan berkotak-kotak makanan laut dan kuih yang boleh dibeli di sini.
 
Pengalaman berada di Kota Kinabalu memberi pengalaman baru yang segar dan menarik kerana Sabah memiliki banyak daya tarikan yang perlu diketengahkan. Pulau, makanan, keramahan masyarakat dan kepelbagaian agama memberi ruang kepada pemahaman yang mendalam terhadap hubungan sosial masyarakat di sini. Kejayaan Sabah hari ini tentulah disumbangkan oleh kestabilan politik dan kebijaksanaan pengurusan sosial masyarakat yang menjamin setiap penduduk di sini mendapat peluang untuk memajukan diri masing-masing. Penerbangan dengan Malindo Air sangat dihargai apabila keluar dari pesawat, juruterbang sendiri yang mengucapkan terima kasih kepada penumpang, suatu layanan yang tidak ada pada penerbangan lain.