Sunday, October 31, 2010

Belajar simpan gaji bulanan

Wang simpanan setiap bulan akan bertambah apabila kita berbalanja secara berhemah. Wang bertambah ertinya sebaik sahaja mendapat gaji, cepat-cepat menyimpan sejumlah wang yang sepatutnya, kemudian barulah berkira-kira untuk belanja. Bukannya selepas habis belanja beli itu dan ini, baru hendak menyimpan.

Membuat simpanan bulanan perlukan disiplin diri, jadikannya sebagai rutin diri dan sebaik-baiknya keluarga. Jangan dilihat sangat berapa banyak yang kita boleh simpan tetapi bagaimana kita boleh membuat simpanan secara berterusan.

Masih belum terlambat untuk merancang simpanan. Mulai dengan RM100 sebulan. Dalam masa lima atau sepuluh tahun, kita tentu dapat melihat hasilnya. Namun, awas. Banyak dorongan dan tarikan yang menggoda untuk berbelanja. Iklan di televisyen, surat khabar dan internet sentiasa merayu-rayu supaya duit kita mengalir keluar tanpa dapat dikawal. Kempen jualan murah juga kadang kala mencairkan hati yang sedang bersemangat hendak menyimpan.

Friday, October 29, 2010

Azam untuk berubah

Azam dan tekad untuk menjadi berani, kuat dan berkuasa mesti lahir dari kesedaran diri untuk berubah. Sebarang kelemahan diatasi dengan membina azam sedikit demi sedikit supaya lahir keyakinan untuk bertindak. Apakah contoh-contoh keazaman yang boleh dibuat atau dibentuk secara sedikit-sedikit ini?

Mahu baiki keadaan diri

Membaiki diri boleh dilakukan dalam banyak aspek seperti meningkatkan pengetahuan sama ada formal ataupun tidak formal, membina kemahiran asas dan lanjutan supaya tidak bergantung kepada orang lain, seterusnya memperelokkan penampilan diri supaya disenangi oleh orang lain yang berada di sekeliling.

Mahu jadi lebih baik daripada ibu bapa

Anak-anak pada hari ini hidup dalam era yang jauh berbeza daripada ibu bapa mereka. Sebaik sahaja mereka buka mata, lebih banyak kemudahan yang ada di sekitar khususnya dalam pendidikan dan perkembangan teknologi. Pekerjaan juga semakin banyak dan persaingan semakin sengit. Jika dulu perancangan kewangan tidak menjadi keutamaan, kini ia menjadi salah satu daripada elemen ktirikal untuk persaraan. Anak-anak hari ini lebih terdedah kepada pelbagai maklumat dan mereka lebih peka berbanding ibu bapa.

Berubah daripada keadaan sekarang ke suatu keadaan yang lebih baik

Dalam hidup, kita banyak terlibat dalam aktiviti organisasi atau berkumpulan. Antaranya terlibat dalam perbincangan dan pelaksanaan di peringkat jawatankuasa kerja, membuat keputusan dalam hal ehwal rumah tangga dan boleh juga bangun malam untuk menunaikan solat tahajjud sebagai elemen penting membina hubungan dengan Tuhan.

Mahu capai kejayaan

Tugas kita bukan sahaja sebagai anak, sebaliknya semakin bertambah. Umpamanya di tempat kerja, peranan kita mungkin sebagai pegawai, pekerja profesional, pengarah dan sebagainya. Silang tugas ini menjadikan peranan kita semakin kompleks dan perlu diurus dengan sabik-baiknya. Insya Allah jika peranan ini dapat dilaksanakan dengan sempurna, kejayaan berada di hadapan kita biarpun tidak mengumpul harta yang banyak.

Thursday, October 28, 2010

Jutawan muda

Masyarakat dunia khususnya di negara-negara maju melihat pencapaian material adalah ukuran terbaik kepada kesejahteraan hidup. Jika dulu mereka berlumba-lumba mencari kekayaan dengan bekerja kuat (melalui prinsip ekonomi berteraskan modal), kini konsep bekerja telah beralih kepada maklumat dan teknologi maklumat. Masyarakat Amerika Syarikat sangat berbangga apabila mereka dapat menunjukkan kepada dunia bahawa negara itu mempunyai jumlah jutawan yang paling ramai. Syarikat-syarikat utama juga telah berada di seluruh dunia dan menjadi jenama global.

Ada nama-nama besar jutawan muda Amerika Syarikat yang muncul dalam tempoh 15 hingga 20 tahun lalu. Bilangan jutawan muda ini muncul lebih cepat apabila Internet berkembang dan menjadi sebahagian daripada hidup masyarakat.

Antara jutawan muda yang menjadi ikon mereka ialah pengasas Facebook.com iaitu Mark Zuckerberg, pemilik Dell Computers iaitu Michael Dell dan pengasas myyearbook.com, Catherine Cook. Kecuali Dell, dua orang lagi menjadi jutawan ketika belum mencecah usia 30 tahun. Sebenarnya, setiap tahun jutawan muda muncul di Amerika Syarikat malah ada dalam kalangan mereka yang masih di sekolah tinggi.

Selepas mengetahui jutawan-jutawan muda ini, mari kita lihat nasihat mereka untuk orang-orang muda hari ini.

‘Orang-orang muda adalah pintar.’ Mark Zuckerberg, Facebook.com

‘Anda perlu ada keghairahan terhadap pekerjaan yang dilakukan.’ Michael Dell, Dell Computers

'Berhenti daripada berfikir tentang sesuatu perkara, mulakan sekarang apa yang kamu fikirkan.’ Catherine Cook, myyearbook.com

‘Jika seseorang mulai ragu-ragu syarikat anda dan apa yang anda lakukan, biarkan saja.’ Juliette Brindak, MissOandFriends.com

Tuesday, October 26, 2010

Guna kaedah operasi semut

Dalam apa juga bisnes, kerja atau aktiviti, pelanggan atau orang ramai adalah penting. Peniaga yang hendak keuntungan besar perlu mempastikan produknya sampai ke pengetahuan pelanggan dengan segera supaya pesaing tidak sempat memasarkan produk mereka. Bagi pelajar yang sedang mentelaah buku, mereka juga hendak berjaya dalam aktiviti utama iaitu mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan.

Kita beri perhatian kepada peniaga. Bagaimana hendak menjual produk terus kepada pelanggan ketika persaingan semakin meningkat? Apakah masih perlu menggunakan kaedah konvensional seperti mengiklankan produk di surat khabar atau majalah? Atau adakah masih perlu menampal poster di sana sini dengan harapan pelanggan akan datang membeli?


Bagi peniaga kecil-kecilan dan industri kecil dan sederhana, dicadangkan kaedah yang digunakan oleh industri
direct selling iaitu berniaga pintu ke pintu dan operasi semut iaitu face to face.

Pintu ke pintu adalah kaedah gempur yang kerap digunakan oleh peniaga yang baru memperkenalkan produk mereka dan tidak memiliki biaya yang besar untuk mengiklankan produk. Kaedah ini perlukan tenaga dan masa yang banyak kerana semua pintu rumah adalah sasaran. Kemungkinan untuk semua pintu dibuka tidak mungkin kerana ada pelanggan yang enggan menerima penjual.


Kaedah operasi semut nampaknya lebih baik kerana sesiapa sahaja yang dijumpai adalah prospek. Mereka boleh jadi remaja, pekerja kerajaan atau pesara. Sesipa sahaja boleh dijadikan pelanggan. Kaedah ini juga perlukan masa yang banyak kerana sasaran pelanggan adalah secara rawak.


Peniaga yang berani dan memiliki daya saing yang tinggi akan menggunakan kedua-dua kaedah ini dengan harapan dapat memperkenalkan produk dan pada masa yang sama membina keyakinan pelangan untuk terus menggunakan produknya. Bukan sahaja menjual, sebaiknya mendidik pelanggan untuk menggunakan produk yang terbaik kerana pelanggan amat menghargai maklumat yang diberikan.

Monday, October 25, 2010

Kenapa awak potong dua ikan ni?

Seorang remaja perempuan memotong seekor ikan di dapur sebuah restoran. Bahagian kepala dan ekor ikan itu digoreng sekali dalam kuali. Tiba-tiba masuk seorang pengurus untuk meninjau pekerjanya. Dia bertanya, 'Kenapa awak potong ikan ini?' Remaja perempuan menjawab dengan yakin, 'Saya tengok mak saya potong, jadi saya pun potonglah, encik.'

Pengurus restoran tidak puas hati.

'Baik, cuba awak telefon ibu awak dan tanya kenapa dia potong ikan ni semasa goreng.'

Kemudiannya remaja itu mengambil telefon dan menghubungi emaknya.

'Mak, kenapa mak potong ikan semasa nak goreng dalam kuali?'

Jawab emaknya, 'Aku pun tak tau. Aku tengok nenek kau buat macam tu, aku pun ikut potong la...'

Tidak puas hati dengan jawapan ini, remaja perempuan itu menghubungi neneknya dan bertanya kenapa dipotong ikan kepada bahagian kepala dan ikan semasa goreng.

Lalu dijawab nenek, 'Oh... kau tak nampak ke, kuali ni kecil, aku kena potong dua untuk goreng ikan tu...'

Budaya meniru kadang kala kurang baik kerana kita tidak tahu apa yang baik. Oleh itu, jika melakukan sesuatu, kita perlu tahu sebab-musabab supaya tidak jadi pak turut.

Thursday, October 21, 2010

Beritahu mak ayah bila hendak keluar

Ibu bapa sangat bimbang jika anak-anak mula meminta izin untuk keluar rumah kerana dalam fikiran mereka, macam-macam tanggapan yang ada. Adakah anakku ini betul-betul hendak jumpa kawan? Adakah anakku ini betul-betul hendak ke kelas tuisyen? Banyak lagi pertanyaan yang timbul di fikiran mereka.

Bagaimana anak-anak khususnya remaja boleh mendapatkan kepercayaan ibu bapa supaya hati mereka tidak risau?

1. Cakap benar
Beritahu apa yang kita hendak buat, keluar dengan siapa, pergi ke mana, bila hendak pulang dan sebagainya. Jika telah membuat salah, akaui kesilapan dan mohon maaf daripada mereka serta mulai baiki hubungan.

2. Beritahu aktiviti
Komunikasi hari ini lebih mudah dengan telefon bimbit. Maklumkan di mana kita berada supaya hati emak dan ayah menjadi tenang.

Kepercayaan ibu bapa sangat penting kerana mereka adalah tempat kita mendapat kasih sayang, tunjuk ajar dan bimbingan. Paling penting ialah ibu bapa yang percaya kepada kita akan terus mendoakan kesejahteraan hidup kita di dunia dan akhirat.

Wednesday, October 20, 2010

Kahwin tanpa cinta

Dari mata turun ke hati. Dari hati ke jinjang pelamin lalu menjadi raja sehari. Ikatan dua keluarga disatukan dan bertambah erat. Jauh menjadi dekat, kemesraan bertambah mekar dan segar.

Biasanya pasangan yang sedang hangat bercinta mengambil keputusan untuk mengukuhkan lagi hubungan mereka dengan mengikat tali pertunangan. Ia menjadi tanda yang kedua-duanya membuat persediaan mental, emosi, spiritual dan fizikal supaya dapat bersedia dengan alam rumah tangga. Majlis bertunang dibuat dalam suasana sederhana diiringi doa selamat dan majlis kenduri untuk keluarga.

Tempoh bertunang adalah tempoh persediaan. Ia bukannya tiket untuk membawa anak dara orang keluar berjalan-jalan cari makan, bukan juga ruang untuk menambah dosa dengan berpegangan tangan. Namun, bagi golongan yang enggan mengikut aturan agama, mereka beranggapan tempoh bertunang sudah boleh menjadi lesen untuk keluar bersama-sama supaya dapat kenal hati budi masing-masing. Ketika ini hidup terasa indah seolah-olah dunia ini mereka yang punya.

Bagaimana pula pasangan yang bertunang tetapi tidak pernah bercakap melalui telefon, tidak pernah ‘dating’ dan tidak pernah bercakap secara semuka? Satu-satunya sistem hubungan ialah melalui SMS dan e-mel. Adakah pasangan seperti ini tidak mampu membina cinta dan bahagia?

Sebaik sahaja majlis perkahwinan, kenduri-kendara diadakan mengikut kemampuan keluarga. Ada memilih di rumah, dewan orang ramai dan hotel. Biasanya kawasan rumah sudah memadai untuk jemputan menjamu selera kerana kos yang lebih murah. Ada pula pasukan kompang dan dee jay jemputan pasang siap yang menghiburkan jemputan.

Apakah sebenarnya yang kita buru atau hendak dapatkan dalam perkahwinan? Adakah ia lambang status, prestij atau meriah? Apa guna belanja terlalu mahal dan berlebih-lebihan apabila setahun dua berkahwin, rumah tangga mula berhentakan? Semua kisah peribadi ketahui umum. Apa guna menjemput ribuan orang namun terpaksa menanggung hutang berpanjangan?

Konsep berkahwin yang tepat telah diberi Rasulullah saw. Kahwinlah kerana telah cukup sifat dan bersedia menjadi pemimpin keluarga. Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a, diriwayatkan daripada Alqamah r.a katanya: Aku pernah berjalan-jalan di Mina bersama Abdullah r.a. Kami bertemu dengan Othman r.a yang kemudian menghampiri Abdullah r.a. Setelah berbincang beberapa ketika, Othman r.a bertanya: Wahai Abu Abdul Rahman: Mahukah aku jodohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah-mudahan perempuan itu akan dapat mengingatkan kembali masa lampaumu yang indah. Mendengar tawaran itu Abdullah r.a menjawab: Apa yang kamu ucapkan itu adalah sejajar dengan apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w kepada kami: Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu.


Mungkin ada di antara kita yang pernah bercinta dan berangan-angan hendak berkahwin dengan lelaki atau wanita yang cantik tetapi di mana akhir kesudahannya? Cantik hanya pada usia muda apabila umur meningkat, kulit muka mulai kendur dan hilang serinya.

Allah swt telah menyatakan dengan jelas dan tegas bahawa orang beragama adalah pilihan terbaik. Apabila dua kekuatan bersatu, ia menjadi tenaga yang kuat dan memberi manfaat kepada orang lain. Insya Allah, anak-anak yang didik dalam suasana soleh dan solehah akan berkembang menjadi individu yang mantap dengan akidah, berakhlak mulia dan memahami benar-benar tujuan hidup.


Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud: Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan paling indah ialah wanita solehah. (Hadis riwayat Muslim)

Tuesday, October 19, 2010

Menangi hati kawan

Jika kita keseorangan, maknanya kita tidak cukup kawan. Cara hendak mencari kawan hari ini tidak perlu lagi keluar rumah, cukup dengan melayari Internet dan memasuki laman sembang sosial. Dalam seminggu dua, kita sudah ada ramai kawan.

Semasa berkawan, ada banyak petua untuk mengekalkan persahabatan. Jangan merungut tentang orang lain yang tidak berterima kasih jika kita sendiri tidak berterima kasih. Saya percaya, jika kita memberi kebaikan kepada rakan-rakan kita, suatu hari nanti kebaikan tersebut akan datang kembali kepada kita. Jika bukan dari rakan-rakan, mungkin dari orang lain yang kita tidak kenal.

Jika kita memberi cinta, insya Allah cinta akan datang kembali, sama ada cepat atau lambat. Seperti juga keinginan dihargai orang lain, tunjukkan penghargaan kita. Dua perkataan yang indah tetapi jarang didengar: Terima Kasih. Gunakan dengan kerap dan kita akan mendengar berulang-ulang kali. Terima kasih.

Monday, October 18, 2010

Bebaskan pergerakan anak-anak

‘Aaa...yah..’ sambil senyum, anak lelaki saya memanggil nama abahnya. Sebaik sahaja saya duduk di kerusi untuk menghilangkan dahaga, dia datang menerpa. Inilah kali pertama saya mendengar anak lelaki yang berusia setahun empat bulan ini memanggil nama abahnya. Mungkin kerana dendam kerana sudah dua hari tidak berjumpa. Sebaik sahaja pulang dari Brunei, dia tidak lekang daripada saya malah kadang-kadang buat-buat meragam untuk mengambil hati abahnya. Menangisnya pun jenis menangis hendak dipujuk dan didukung.

Sebelum ini saya pernah dengar dia menyebut ‘mekkk...’ untuk memanggil umminya. Itupun ketika menangis. Bahagianya hidup apabila anak memanggil ayahnya. Dunia rasa besar dan hebat. Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan kegembiraan ini.

Anak-anak yang kecil dan sedang membesar menjadi aktif apabila mereka mulai dapat mengimbangkan badan untuk bergerak ke sana-sini. Dunia mereka sangat luas dan mula menjelajah ke merata tempat. Kadangkala ibu bapa tidak menang tangan untuk menjaga dan melayan telatah mereka. Asalkan pintu rumah dibuka, mereka akan menerpa keluar tanpa mempedulikan sesiapa.

Walaupun ibu bapa memerhati ke mana anak-anak pergi, jangan sekali-kali lepa kerana banyak kes yang berlaku di mana anak-anak meninggal dunia kerana terjatuh perigi, dilanggar kereta dan lemas dalam kolam. Keghairahan anak-anak kecil ini memang sukar dikawal tetapi perlu juga diingat, mereka tidak boleh dijerkah atau dimarah kerana dunia mereka adalah dunia kasih sayang, dunia mesra dan dunia yang penuh keceriaan. Tanpa suara dan keletah anak-anak kecil seperti ini, rumah terasa sunyi dan dunia terasa sepi. Biarlah anak-anak menjerit dan bergembira asalkan mereka membesar dengan keyakinan diri yang tinggi dan mahu mencuba apa sahaja yang mereka inginkan.

Sunday, October 17, 2010

Telinga merah, hati panas tapi ok!

Bermain badminton menjadi rutin mingguan saya. Rakan sepasukan yang kerap bermain rata-ratanya sudah veteran tetapi tangkas di gelanggang. Ada yang bekerja sendiri, pesara kerajaan dan pekerja swasta.

Setiap kali berlawan, saya berpasangan dengan pemain veteran yang cepat panas baran, serba-serbi tidak kena. Dua kali lawan, kedua-duanya kalah. Apa lagi, marahlah rakan saya ini, ada -ada saja perkataan dan teguran yang keluar dari mulutnya. Jika bulu tangkis tidak melepasi jaring ketika 'smash', dia akan merungut dan meninggikan suara. Kalau pukulan balik atau libasan tangan terlalu lemah, lagilah marah.

Sesekali saya rasa hendak marah juga dan kadang-kadang sengaja memukul bola tangkis keluar gelanggang kerana ingin meningkatkan rasa marahnya di samping seronok melihat reaksi orang yang marah ini. Sesekali saya sengih melihat telatahnya. Sesekali juga telinga saya rasa panas tetapi lawan tetap lawan.

Selepas kalah, kami kena keluar gelanggang dan kedua-duanya bermuka masam. Ketika hendak pulang, kami bersalaman dan kembali senyum dan berbual-bual. Telinga merah, hati panas tapi okey, tidak ada masalah.