Friday, October 15, 2010

Tekun bekerja

Tekun adalah kuat bekerja, gigih bekerja. Dalam apa saja kerja yang dilakukan, nampak jelas ciri-ciri tekun itu. Menjadi tekun tidak bermakna melakukan kerja-kerja yang mencabar atau sukar sahaja. Sebaliknya ia bermaksud meletakkan sasaran berdasarkan tempoh tertentu.

Latihan ketekunan boleh dibuat dengan memulakan langkah-langkah awal bagi sesuatu kerja. Contohnya ibu atau bapa muda yang mempunyai anak kecil. Berapa lama yang diperlukan untuk menukar lampin anak? Kerja ini bukannya susah, ia cuma kerja yang berulang-ulang setiap hari. Kerja yang biasa dilakukan secara berulang-ulang, lama-kelamaan akan menjadi kelaziman dan memudahkan.

Contoh lain ialah kemahiran muat naik atau 'upload' video, artikel atau gambar di internet. Bagi mereka yang kurang mahir IT, kerja-kerja ini memang sukar. Namun apabila selalu melakukannya, semua itu sudah menjadi biasa.

Doa untuk hati yang resah



Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Ampunilah sahaja dosa-dosaku, sama ada sedar atau tidak sedar. Hanya Engkaulah yang dapat mengampuni dosa-dosaku yang banyak ini Ya Allah.

Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan yang Maha Mendengar rintihan hamba-hamba-Nya.

Hiasilah hatiku, peribadiku dan seluruh kehidupanku dengan rasa kasih dan sayang serta mahabbah. Baikilah tutur kataku, lisanku dan gerak lidahku supaya tidak mengaibkan orang lain.

Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan yang Maha Lembut.

Peliharalah akhlakku dan adabku di mana sahaja supaya aku dapat memelihara diriku sebaik-baiknya. Pimpinlah aku untuk membentuk bunga-bunga akhlak yang harum tatkala orang lain memandang rendah dan membenci aku, Ya Allah.

Ya Allah,

Dalam kesunyian malam ini, aku bangun untuk bersujud dan menghadap-Mu. Aku menyerahkan seluruh jiwaku kepada-Mu. Jiwa hamba mengharap perhatian dan ehsan daripada Tuhannya. Ya Allah, hatiku amat resah, gelisah dan meronta-ronta kerana ujian kecil yang Engkau berikan ternyata umpama batu besar yang menimpa seluruh badanku. Tidak terdaya untuk aku menolak jauh-jauh batu besar itu. Ya Allah, Tuhan yang Maha Mendengar, dengarkanlah.

Dengarlah rintihan hatiku ini. Bantulah aku Ya Allah. Aku tidak terdaya untuk berhadapan dengan ujian jiwa yang berat ini. Berilah jalan keluar, tunjuklah pintu-pintu penyelesaian yang terbaik buatku.

Ya Allah, barangkali ujian ini Engkau limpahkan kepadaku kerana aku mulai renggang dengan Engkau, maafkan aku Ya Allah. Tak payahlah Engkau menambah lagi beban hidupku ini. Engkau singkap sahaja penderitaanku supaya aku dapat kembali sujud dan memohon keampunan-Mu Ya Allah.

Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan yang Maha Pengampun.

Aku tidak mengerti apakah ujian Engkau kepadaku untuk kali ini. Sakitnya terasa hingga ke lubuk hati. Aku menanggung duka dan derita. Hanya Engkaulah tempat aku mengadu keluhan dan rasa hati. Ya Allah, bantulah aku, tolonglah aku. Tunjukkan pintu hidayah-Mu kepadaku supaya aku dapat keluar dari ujian yang berat ini.

Ya Allah, maafkan aku, ampunilah kesalahanku. Ya Allah.

Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

*Permintaan doa daripada seorang sahabat yang sedang berduka lara. Semoga beliau akan tabah dan cekal dalam hidupnya.

Thursday, October 14, 2010

Mengubah sikap

Sikap sering dikaitkan dengan kejayaan dan kegagalan. Dalam erti kata lain, sikap menentukan sama ada seseorang itu boleh berjaya atau gagal. Perubahan sikap memberi impak yang sangat ketara jika mahu berubah ke arah kejayaan.

Sikap adalah tingkah laku yang lahir daripada pemikiran dan emosi kita. Maknanya memikirkan perkara-perkara yang mendorong kepada kejayaan dapat merangsang pembentukan sikap berjaya. Maksud yang lebih mudah ialah sikap positif menjadi asas kejayaan kerana ia mempengaruhi minat dan apa juga usaha yang sedang dilaksanakan.

Pengaruh sikap dalam budaya hidup tidak dapat diketepikan kerana banyak kajian yang dibuat telah menunjukkan kaitan yang sangat rapat di antara sikap dan kejayaan atau kegagalan.

Jika ingin kehidupan yang dihiasi dengan kejayaan dan kecemerlangan, membentuk dan mengamalkan sikap-sikap kejayaan adalah prasyarat penting bagi merealisasikan cita-cita tersebut.

Wednesday, October 13, 2010

Jalan raya negara kita

Pelajar -pelajar di dalam kelas hari ini ketawa mengekek apabila saya katakan jalan raya dan lebuh raya di Malaysia boleh dijadikan sebagai tempat untuk membunuh. Kata-kata seperti ini mungkin dianggap gurauan oleh pelajar di sebalik berita 12 orang mati kemalangan baru-baru ini. Puncanya belum diketahui. Barangkali seminggu dua ini kerajaan akan mengumumkan punca nahas dan beberapa bentuk pampasan kepada mangsa dan keluarga mereka.

Sejak berulang-alik dari Melaka ke Putrajaya saban minggu, saya dapati tingkah laku pemandu di atas jalan raya jauh berbeza mengikut jenis kenderaan. Jika memandu kereta, biasanya lebih daripada 110km sejam malah mencapai 150km sejam. Kereta yang dipandu laju ini berdesup di sebelah kanan dan membuatkan jantung saya berdebar kencang bagai hendak putus. Alhamdulillah, sebelum memulakan perjalanan, saya sentiasa membaca doa naik kenderaan takut-takut kalau itulah perjalanan terakhir di atas muka bumi.

Jika membawa bas, biasanya ia berada di lorong tengah atau sebelah kiri, jarang sekali di lorong sebelah kanan. Ketertiban pemandu bas memang jelas pada sebelah siang berbanding malam.

Jika membawa lori, ada dua jenis. Pertama, lori muatan berat. Kedua, lori tanpa muatan atau lori tiga tan. Lori dengan muatan sentiasa berada di lorong paling kiri kerana pergerakannya sangat perlahan. Kadang kala ada juga kenderaan jenis ini yang memotong lori muatan lain kerana tidak sabar untuk sampai ke destinasi. Lori tiga tan memilih lorong tengah kerana boleh memecut laju namun masih di bawah tahap kelajuan 110km sejam.

Motosikal juga ada. Kadang-kadang dilihat hendak bersaing dengan lori, kereta dan bas yang jauh lebih besar dan laju. Biasanya yang hendak berlawan ini hanyalah motosikal kapcai dengan aksi memukau penunggang. Apabila kalah, mereka mula bergerak ke lorong motosikal dan mula menunjukkan muka sedih. Ada juga yang degil berada di laluan tengah dan tarik muka masam apabila kena hon.

Berbagai-bagai ragam pemanduan sangat menyeronokkan kerana di sinilah kita dapat melihat gelagat pemandu di lebuh raya. Seronoknya ketika memecut ialah dapat merasai nikmat kereta berada dalam kawalan. Tekan butang saja. Tentulah memandu kereta Honda City lebih nikmat daripada memandu Proton Wira atau Perodua Myvi. Perangkap had laju boleh dijejak kerana pemandu kereta di laluan sebelah memberi lampu tinggi sebagai isyarat ada perangkap had laju. Kadang-kadang kita boleh tahu di mana tempat kegemaran perangkap ini diletak. Biasanya selepas subuh belum ada lagi.

Keadaan jalan raya di Melaka sangat baik untuk kenderaan besar tetapi sangat berbahaya bagi motosikal kerana laluan untuk motosikal jarang disediakan. Penunggang motosikal mesti bersaing dan bekerjasama dengan kereta, bas dan lori untuk menggunakan jalan dari Ayer Keroh ke Pusat Bandar. Kadang-kadang ada juga lubang yang belum diturap menjadikan risiko penunggang motosikal semakin bertambah.

Lampu isyarat digital yang dipasang merata tempat memberi panduan kepada pemandu untuk merancang perjalanan namun ia juga mengundang risiko kerana di minit-minit akhir peralihan warna, pemandu lebih suka memecut biarpun mereka boleh berhenti dengan baik. Sikap beginilah yang perlu diubah supaya jalan raya tidak lagi disimbah dengan darah.

Selepas saya cerita keadaan ini kepada pelajar, ada juga yang masih tersengih. Namun lebih banyak menunjukkan muka serius dan semakin sedar. Harap-harap mereka tidak lagi merempit dan melanggar warna lampu isyarat.

Tuesday, October 12, 2010

Pandu arah tuju pelajar

Hari ini lima kumpulan pelajar mengambil giliran membentangkan kajian masing-masing. Tajuk pembentangan ialah Sains dan teknologi dalam pengklonan, Adakah kita wajar atau tidak menggunakan ICT dalam pendidikan awal kanak-kanak? Baby hatch (manfaat dan implikasi), Teknologi nuklear dan Barangan buatan Malaysia. Semuanya menampilkan pembentangan yang menarik dan memenuhi cita rasa audiens.

Keupayaan pelajar mencari bahan sangat memberangsangkan kerana mereka sangat terdedah kepada semua punca maklumat. Kemudahan internet tanpa wayar memberi ruang kepada mereka untuk meneroka setiap pelusuk alam maya bagi mencungkil sebanyak mungkin maklumat berkaitan topik yang dipilih. Teknik pembentangan juga dipelbagai supaya pensyarah dan rakan-rakan yang lain tidak jemu.

Sejarah membuktikan golongan pelajar menjadi kelompok yang sangat dinamik dengan idea dan ciptaan baru. Mereka juga kelompok yang sangat mudah dieksploitasi untuk sebarang tujuan. Di Indonesia, gerakan pelajar mencetuskan keghairahan masyarakat untuk membina Indonesia yang bebas dari kongkongan pemerintah. Hari ini setiap hari terdapat demonstrasi di negara itu. Di Jepun, pembaharuan Meiji menggerakkan golongan muda untuk keluar mencari ilmu dan kembali ke Jepun bagi membina negara. Kini, Jepun berbangga dengan pelbagai idea dan menjadi ekonomi kedua terbesar selepas Amerika Syarikat.

Di Malaysia, golongan pelajar mesti diberi pendedahan dan bimbingan untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang. Kerajaan mesti berfikir jauh untuk melihat generasi pelajar yang sedang menimba ilmu ini menjadi pemangkin kepada negara maju dan mampu bersaing dengan negara-negara besar yang jauh lebih berjaya. Dengan penduduk 28 juta orang dan sebahagian besarnya adalah generasi muda, tidak dapat tidak kita mesti memantau dan memandu arah tuju mereka. Kelompok yang dengki dan iri hati akan sentiasa mengintai peluang untuk merobek keghairahan generasi pelajar menimba ilmu dan membina negara.

Apa guna kita menggunakan ruang dan peluang untuk membina negara dan pada masa yang sama membiarkan pembangunan negara hancur sekelip mata? Bantu pelajar membentuk arah tuju hidup dan kembangkan sikap dan minat mereka terhadap kemajuan masa depan negara.

Monday, October 11, 2010

Cerita hari ini dalam sebulan

Seminggu dua ini banyak sekali jemputan kenduri kahwin, siang dan malam. Tak payah masak di rumah lagi. Seminggu dua ini juga saya penat berjalan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor kerana menunaikan hajat rakan-rakan untuk hadir di rumah terbuka sempena hari raya. Begitu juga jiran-jiran sebelah rumah yang berhajat untuk saya hadir ke rumah mereka dengan harapan dapat kenal mesra dan bertukar-tukar pandangan. Rumah terbuka saya dari jam 3 hingga 6 petang berlanjutan sehingga 11 malam, ramai sungguh yang hendak datang. Laksa utara habis, yang tinggal mee rebus Johor. Rakan-rakan dari melaka hanya kirim salam. penyelia PhD ucap terima kasih kerana menjemput. Mana dia hendak datang? Prof Datuk yang sentiasa sibuk, tapi okey.

Ulang-alik Melaka dan Putrajaya selang dua hari merupakan pengalaman penting dalam kehidupan saya kerana sepanjang perjalanan di lebuh raya, macam-macam yang difikirkan. Pengalaman perjalanan mesti selesa supaya setiap idea yang muncul dapat dihayati dan dilaksana dengan segera. Mahu ataupun tidak, kereta juga mesti selesa, jimat minyak dan tidak memberi masalah. Kereta baru, semangat beru, azam baru. Insya Allah minggu cari duit lagi di Brunei.

Sepanjang ulang-alik Melaka dan Putrajaya juga saya menjadi lebih matang dalam beberapa perkara khususnya penilaian orang lain seperti pandangan rakan-rakan sekerja terhadap saya. Suatu hari seorang rakan yang sudah senior tersenyum dan berkata, 'Akak tengok Zahir tak masuk group mana-mana, buat kerja sendiri saja.'

Pengalaman kerja dan pengalaman hidup menjadikan saya lebih terbuka dalam persahabatan. Semua orang berpotensi menjadi rakan yang akrab dan setia, boleh diletakkan kepercayaan dan pandangannya boleh diberikan perhatian. Ada rakan yang hanya boleh menjadi rakan berbalas senyum dan ketawa, ada rakan yang boleh dijadikan sebagai teman untuk keluar minum pagi dan ada rakan yang boleh dilabelkan sebagai pelawak. Pendek kata, saya sendiri yang memberikan label kepada kawan-kawan selepas menilai keperibadian mereka semasa ada aktiviti sosial, kemasyarakatan dan ketika mesyuarat. Label ini boleh berubah apabila kerap bersama dalam aktiviti organisasi sama ada formal atau tidak formal.

Dalam kalangan jiran-jiran, mereka juga mempunyai hak ke atas kita. Umpamanya, jika diadakan kenduri atau rumah terbuka, keutamaan adalah di sebelah mereka kerana peranan jiran sangat ketara. Biar pun ketika ini saya belum menghadapi beberapa masalah besar yang memerlukan mereka memberi bantuan, namun sekurang-kurangnya kenal nama dan tahu di mana mereka bekerja sudah mencukupi.

Rakan sepejabat orang rumah baru sahaja berkahwin. Anak datuk. Perkara pertama terlintas di fikiran saya ialah kehidupan senang anak datuk kerana semuanya diuruskan oleh orang gaji. Malah, hendak masak pun disediakan oleh orang gaji. Sepanjang hidup anak datuk jarang buat sendiri. Saya sendiri pun dapat bayangkan bagaimana suami anak datuk ini hendak menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya. Barangkali dia akan makan hati berulam jantung- kalau kecewa kena simpan dalam hati. Isteri anak datuk tidak tahu memasak, salahkan diri sendiri.

Komunikasi adalah elemen penting bagi seorang penyelidik, pensyarah, fasilitator, pemberi ceramah dan penulis. Broadband sudah tidak relevan di Batu Berendam, satu website mengambil masa sepuluh minit untuk diakses. Bayaran bulanannya boleh tahan dan akhirnya bertukar juga pada streamyx. Puas hati dan impaknya maksimum.

Seorang rakan di Brunei menghantar mesej untuk saya dapatkan cakera padat terapi ayat-ayat al-quran. Dia dapat serangan angin ahmar baru-baru ini dan masih dalam rawatan. Seorang rakan lagi, pemandu teksi, meninggal dunia selepas kena serangan angin ahmar kali kedua. Kali pertama kena, lumpuh separuh badan dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Azam, meninggal dunia dan dikebumikan di Johor.

Pelajar-pelajar saya, meraikan hari raya dengan meminta saya menyampaikan sumbangan mereka kepada salah seorang rakan yang kematian ibu semasa bulan ramadhan lepas. Keprihatinan rakan-rakan diucapkan dengan kata-kata ringkas, 'terima kasih.' Semoga Julia tabah dan sanggup berdikari untuk berjaya dalam hidup.

Projek terbaru untuk menulis buku. Tajuknya ringkas tapi susah untuk mencari bahan- keusahawan sosial. Dua orang rakan akan bertemu dengan responden minggu depan, Haji Rosli, seorang usahawan yang berjaya menjadi kontraktor. Belajar di UPM dalam bidang ekonomi, berkahwin dengan seorang doktor dari Kelantan dan semua anaknya dihantar belajar di Perlis. Kontraktor berkahwin dengan doktor, dua kerja berbeza umpama asam di darat ikan di laut, dalam kuali bertemu juga. Alhamdulillah kekal sehingga ke hari ini. Minggu depan kami akan mencari tips kejayaannya dalam bisnes.

Kehidupan sangat indah tetapi kematian adalah pasti. Pemergian Ustaz Dahlan Mat Zain ke rahmatullah adalah kesedihan yang dirasai. Namun, dakwah dan tarbiyah yang dicurahkan kepada saya amat memberi kesan kepada seluruh kehidupan saya, luar dan dalam. Setiap patah dan kata almarhum merupakan dakwah dan nasihah. Merasai sedikit kemanisan titisan dakwah yang diberikan umpama melekat di hati tanpa dapat dihilangkan lagi. Almarhum umpama pembawa obor yang sanggup bersusah payah mengajak hati-hati yang ikhlas untuk bersama-sama dengannya, susah dan senang. Al-fatihah untuk murabbi.

Wednesday, October 06, 2010

Meletakkan nilai kepada pembeli

Para peniaga, penjual kuih dan restoran, pengusaha hotel dan pasar raya memerlukan pelanggan untuk membuat keuntungan. Tanpa pelanggan, bisnes tidak dapat maju dan akhirnya ditutup.

Jadi, bagaimana peniaga kita meletakkan nilai kepada pelanggan masing-masing? Adakah mereka sanggup bertekak semata-mata tidak mahu mengurangkan diskaun 30 sen untuk sebungkus nasi lemak? Biasanya, selepas bertekak, pelanggan tidak puas hati dan berlalu pergi dan peniaga tidak dapat membuat jualan pada hari itu.

Cuba bayangkan jika kita dapat bertolak ansur dan memberi diskaun 30 sen untuk sebungkus nasi lemak, barangkali pelanggan itu akan membeli 50 bungkus dan membuat pembelian mega jika ada majlis keraian di rumah, pejabat atau kawasan kejiranan.

Semasa malam hari raya yang lepas, seorang pengusaha ketupat nasi meletakkan harga 90 sen bagi sebungkus ketupat. Harga ini jauh lebih mahal daripada harga biasa iaitu 60 sen. Apa yang berlaku pada peniaga ini? Ketupat nasi tidak laku dan dia rugi selepas ditolak kos pembuatan. Pelanggannya memilih untuk mencari peniaga lain dan dia kehilangan pembeli yang berpotensi jika sanggup menurunkan sedikit harga.

Meletakkan nilai yang rendah kepada pelanggan akan menyebabkan mereka lari. Sebaliknya, meletakkan nilai yang tinggi pada setiap pelanggan akan menjadikan mereka pembeli yang setia.

Monday, October 04, 2010

Kekuatan jenama

Banyak syarikat global berlumba-lumba mengiklankan barangan mereka dengan matlamat pelanggan akan mengenali produk dan mula membuat pembelian. Berjuta-juta ringgit dilaburkan untuk menggerakkan kempen penjenamaan ini sehingga syarikat pengiklanan membuat untung jutaan ringgit setiap tahun. Industri pengiklanan di seluruh dunia berupaya berkembang maju kerana permintaan untuk penjenamaan ini sentiasa meningkat. Contohnya, syarikat minuman Coca-Cola, sebuah jenama yang dikenali dan dipercayai di seluruh dunia.

Inisiatif kecil yang dilakukan oleh syarikat itu pasti memberi peluang pekerjaan dan kekayaan kepada ramai orang. Katakan Coca-Cola hendak mencipta inovasi baru dalam membuka penutup botol atau tin minuman itu. Mereka mahu setiap kali pembeli menarik penutup minuman, bunyi yang menarik akan kedengaran dan bakal pembeli ingin membeli lagi Coca-Cola. Berapa banyak syarikat itu perlu membayar kepada pencipta ‘ringpull can’ ini kerana digunakan oleh syarikat minuman gergasi di seluruh dunia? Dianggarkan royaliti sahaja mencecah jutaan ringgit.

Dalam memperkenalkan jenama dan mempengaruhi persepsi orang ramai, syarikat-syarikat gergasi dunia tidak teragak-agak untuk melabur sejumlah wang bagi melariskan jualan mereka. Bagaimana pula syarikat-syarikat industri kecil dan sederhana di negara kita yang berani membuat pelaburan begitu untuk meningkatkan keyakinan dan jualan produk masing-masing? Fikir-fikirkan.

Thursday, September 30, 2010

Buat dengan apa yang nampak di hadapan mata

Pada tahun 1871, seorang pemuda membaca serangkai kata-kata yang berbunyi, ‘Our main business is not to see what lies dimly at a distance, but to do what lies clearly at hand’ yang boleh kita terjemahkan sebagai tindakan utama yang harus kita kerjakan bukanlah melihat apa yang tidak dapat diketahui tetapi melaksanakan apa yang kelihatan dengan jelas di hadapan mata.

Pemuda ini merupakan seorang pelajar kedoktoran di Montreal General Hospital. Beliau berasa bimbang tidak lulus dalam peperiksaan dan tidak mahu menghadapi kegagalan dalam pelajarannya.

kata-kata tadi telah membantunya menajdi seorang doktor yang terkenal dan menmguruskan sekolah kedoktoran ‘Johns Hopkins School of Medicine’. Beliau dilantik menjadi Ketua Profesor Perubatan di Oxford. Ketika meninggal dunia, penerbit perlukan dua jilid buku dengan 1466 muka surat untuk menulis riwayat hidupnya.

Nama pemuda ini ialah William Osler. Kata-kata yang dibacanya ialah daripada Thomas Carlyle dan membantu Osler membentuk kehidupan yang lebih baik dan bebas daripada kesedihan dan kebimbangan.

Wednesday, September 29, 2010

Cara Carrier atasi kebimbangan diri

Kita mungkin sering terlihat atau mungkin menggunakan alat penghawa dingin berjenama Carrier. Tahukah anda siapa yang mengasaskan syarikat ini?

Pengasasnya bernama Willis H. Carrier, merupakan sarjana pertama dalam industri hawa dingin. Beliau berhadapan dengan banyak masalah sehingga sukar tidur, sentiasa risau dan bimbang. Beliau ada cara tersendiri untuk menguruskan masalahnya tanpa berasa sedih dan bimbang. Maklumlah, menjadi bos di syarikat terkenal perlu berhadapan dengan berbagai-bagai kemungkinan yang boleh berlaku bila-bila masa.

Carrier ada tiga langkah.

Pertama, menganalisis situasi dengan berani dan jujur, menjangkakan akibat paling buruk yang mungkin terjadi.

Kedua, bersetuju menerima risiko paling buruk jika perlu.

Ketiga, bersedia memberi waktu dan usaha untuk membaiki situasi paling buruk itu dengan hati yang ikhlas.