Wednesday, March 31, 2010

1Malaysia ke arah memupuk perpaduan (8)






Petunjuk Tidak Berorientasikan Dasar

Selain dasar-dasar kerajaan yang digubal bagi menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat, organisasi swasta dan pertubuhan bukan kerajaan turut mengambil inisiatif memupuk perpaduan. Ia dilakukan atas dasar kesedaran bahawa perpaduan adalah tanggungjawab semua pihak. Oleh kerana kesedaran seperti ini, jumlah jutawan di Malaysia semakin bertambah kerana persekitaran yang kondusif untuk bisnes berkembang maju. Bahagian ini akan menunjukkan bagaimana parti-parti politik, media massa dan pertubuhan bukan kerajaan melaksanakan peranan mereka untuk memupuk dan meningkatkan integrasi rakyat Malaysia.

Parti-parti politik

Sistem politik di Malaysia tidak dapat mengenepikan sentimen kaum. Peringkat awal kemerdekaan negara dahulu digerakkan oleh beberapa parti politik berteraskan kaum- Melayu, Cina dan India yang bergabung di bawah bendera Perikatan. Seterusnya melebarkan pengaruh dengan menjemput lebih banyak parti politik dari Sabah dan Sarawak untuk bergabung di bawah Barisan Nasional (BN). Kini BN mempunyai 15 parti iaitu United Malays National Organisation (UMNO), Malaysian Chinese Association (MCA), Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Malaysian Indian Congress (MIC), People’s Progressive Party (PPP), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sarawak United People’s Party (SUPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Liberal Democratic Party (LDP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organization (UPKO) , Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Cinta Malaysia, Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan Parti Semangat Rakyat Malaysia.


Kesediaan parti-parti politik ini berkongsi aspirasi menunjukkan tahap kesedaran yang tinggi untuk melihat perpaduan kaum wujud dan mekar di Malaysia. Sebagai sebuah komponen parti yang memerintah, banyak dasar yang dibentuk telah memberi kesan dan pengaruh besar ke atas pemikiran dan budaya hidup rakyat Malaysia. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang begitu berpengaruh dalam tempoh 30 tahun yang lalu telah menjadi pemangkin kepada penyusunan semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Implikasi pelaksanaan dasar ini masih ketara dalam semua sektor biarpun sering kali menjadi kecaman pihak pembangkang, Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat (PR) adalah gabungan parti politik yang telah dibentuk selepas pilihan raya umum lalu. PR terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS). Setiap parti dalam PR mempunyai ideologi masing-masing di mana PKR mempromosi konsep keadilan sosial dan anti rasuah, DAP memperjuangkan ideologi sekular, pelbagai etnik dan demokratik sosial manakala PAS memiliki hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara Islam. Walaupun berbeza ideologi, ketiga-tiga parti ini mempunyai satu tujuan iaitu menumbangkan BN dan pada masa yang sama mendidik rakyat untuk mengenepikan elemen perkauman.

Selain daripada BN dan PR, terdapat banyak lagi parti politik yang kebanyakannya memperjuangkan hak dan kepentingan kaum masing-masing seperti Parti Rakyat Malaysia (PRM), Malaysian Workers’ Party (PPM), Malaysia Dayak Congress (MDC), Pan-Malaysian Islamic Front (BERJASA), Malaysian Indian Muslim Congress (KIMMA), United Pasok Nunukragang National Organisation (PASOK), Community Coalition Congress (CCC), Federated Sabah People’s Front (BERSEKUTU), United Democratic Sabah People’s Power Party (SETIA), State Reform Party (STAR), Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Malaysian Democratic Party (MDP), All Malaysian Indian Progressive Front (AMIPF), Punjabi Party of Malaysia (PPM), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS), Sabah Progressive Party (SAPP) dan Sarawak National Party (SNAP).

Sekali-sekala masyarakat awam melihat gelagat pemimpin-pemimpin politik ini bertelagah berkaitan hak dan keistimewaan kaum, namun rakyat tidak terikut-ikut rentak mereka kerana tahap kematangan yang wujud dalam pemikiran rakyat berbilang kaum mampu menjadi benteng kepada perbalahan dan persengketaan kaum. Selepas peristiwa 13 Mei 1969, tidak ada lagi peristiwa besar yang melibatkan pergaduhan kaum secara besar-besaran melainkan dua kes terpencil iaitu di Kampung Medan dan Kampung Rawa. Kedua-dua kejadian ini dapat dikawal oleh pihak berkuasa di samping peranan pemimpin-pemimpin parti politik yang dapat menenteramkan situasi tegang berkenaan.

Peranan parti politik dalam mengukuhkan perpaduan rakyat di negara ini semakin penting kerana keupayaan pemimpin-pemimpin politik untuk membina pengaruh khususnya dalam kalangan kaum masing-masing. Biarpun masih ada segelintir ahli politik yang begitu taksub dengan ideologi dan perjuangan masing-masing, mereka tetap meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.

 

Tuesday, March 30, 2010

Kajian tentang kanak-kanak membaca







Kajian-kajian berkaitan membaca dalam kalangan kanak-kanak telah banyak membantu ibu bapa, penjaga dan guru berfikir tentang masa depan. Membaca adalah proses yang melibatkan aktiviti tahu huruf, faham, lancar dan memberi rangsangan.

Perkara yang sering dilupai oleh ibu bapa ketika kanak-kanak di peringkat prasekolah ialah umur tiga hingga 5 tahun memberi kesan besar ke atas keupayaan membaca mereka. Menjadi pembaca yang baik, kanak-kanak perlukan rakan yang dimulai dari rumah dan berterusan di sekolah. Kita boleh menyediakan kanak-kanak dengan minat membaca melalui menyanyi bercerita bersama-sama, berbual-bual tentang persekitaran, menyanyi atau bersoal jawab.

Sebagai panduan, banyak kajian mengenai membaca yang kita tidak ambil peduli dan tidak tahu langsung. Terdapat beberapa penemuan menarik untuk kita fikirkan di bawah ini.

- Membaca adalah kemahiran asas kepada pembelajaran di sekolah.
- Walaupun keupayaan membaca dan menulis berkembang sepanjang hayat, peringkat awal kehidupan kanak-kanak iaitu dari usia lahir hingga 8 tahun adalah tempoh paling penting untuk perkembangan membaca dan menulis.
- Perkembangan kemahiran membaca dan menulis boleh didedahkan melalui buku dan penceritaan dikaitkan dengan kejayaan membaca.
- Hanya lima peratus kanak-kanak belajar tanpa berusaha bersungguh-sungguh (maksudnya ramai daripada mereka ini mahu belajar).
- 20 hingga 30 peratus kanak-kanak mudah belajar membaca apabila didedahkan kepada pembelajaran formal.
- 60 peratus kanak-kanak berhadapan dengan cabaran sukar:



120-30 peratus menyatakan membaca adalah satu tugas sukar dan perlu dikuasai.
290-95 peratus yang lemah membaca boleh dibantu sehingga ke tahap yang lebih baik melalui program pencegahan dan intervensi yang menggabungkan kaedah fonik, pembangunan kefasihan dan strategi meningkatkan kefahaman setelah diajar oleh guru terlatih.
388 peratus yang lemah membaca dalam tahun satu, mungkin juga lemah membaca dalam tahun empat.
475 peratus yang lemah membaca dan tidak dibantu sehingga umur 9 tahun akan mengalami detik-detik sukar pembelajaran di sekolah menengah.
510-15 peratus kanak-kanak yang lemah membaca akan tercicir dari sekolah, hanya 2 peratus yang dapat menamatkan pengajian 4 tahun di universiti atau kolej.
680 peratus kanak-kanak yang dikenal pasti menghadapi masalah membaca sebenarnya sukar membaca sejak awal.
7separuh daripada orang dewasa dan remaja yang terlibat dengan jenayah ada masalah membaca.
8separuh daripada remaja yang ada sejarah dianiaya atau didera ada masalah membaca.

Monday, March 29, 2010

Dasar Kanak-Kanak Negara

Kanak-kanak merupakan sebahagian daripada masyarakat yang amat penting, yang menjadi aset negara dan penyambung nadi pembangunan negara pada masa hadapan. Pada tahun 2008, terdapat seramai 10.5 juta (37.9%) orang kanak-kanak daripada 27.7 juta penduduk Malaysia . Dengan itu, pihak Kerajaan amat prihatin kepada kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak.

Sehubungan ini, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak atau Convention on the Rights of the Child (CRC) pada 17 Februari 1995. Konvensyen ini memberi tumpuan terhadap kebajikan dan kehidupan kanak-kanak yang menjurus kepada aspek kelangsungan hidup (survival), perlindungan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation). Sebagai sebuah Negara Pihak (State Party) kepada CRC, Malaysia amat prihatin dan komited terhadap tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang merupakan generasi pewaris negara masa hadapan.

Kepentingan golongan kanak-kanak jelas dibuktikan dalam pernyataan Wawasan 2020 di mana institusi keluarga dan kanak-kanak merupakan salah satu fokus yang diberi keutamaan dalam usaha negara mencapai status negara maju di samping melahirkan masyarakat yang saksama dan penyayang.

Definisi


Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak, 2001.

Pernyataan Dasar


Dasar Kanak-Kanak Negara adalah satu dasar mengenai hak kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak agar dapat menikmati peluang dan ruang untuk mencapai perkembangan holistik dalam persekitaran yang kondusif.

Pernyataan Matlamat


Dasar Kanak-Kanak Negara bertujuan untuk melahirkan individu yang sihat, cergas, berilmu, inovatif, kreatif, berjati diri, berdaya saing, progresif dan mempunyai nilai-nilai murni.

Objektif

Objektif utama Dasar Kanak-Kanak Negara ialah untuk memastikan:


1. setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dengan diberi jagaan, pemeliharaan, kasih sayang, perkhidmatan kesihatan, sokongan dan bantuan sosial;

2. setiap kanak-kanak termasuk kanak-kanak kurang upaya mempunyai hak untuk dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi; dan seterusnya diberi habilitasi, rehabilitasi dan diintegrasi ke dalam keluarga dan masyarakat;

3. setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk perkembangan holistik dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosio-emosi, sahsiah dan kerohanian;

4. setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk bersuara, menyertai (turut serta) dan melibatkan diri mengikut tahap keupayaan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan terbaik dankesejahteraan mereka;

5. kanak-kanak, ibu bapa, penjaga, komuniti dan masyarakat sedar akan hak kanak-kanak untuk kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan; dan 6. penyelidikan dan pembangunan mengenai kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Strategi

Strategi-strategi bagi mencapai objektif di atas adalah seperti berikut:

Objektif 1 Kelangsungan Hidup


1. Menyediakan keperluan asas seperti identiti, tempat tinggal, makanan, minuman, pakaian, kasih sayang, keselamatan dan persekitaran yang kondusif dan mesra kanak-kanak.

2. Meningkatkan kerjasama antara agensi Kerajaan, NGO, pihak swasta dan masyarakat setempat dalam penjagaan kesihatan, keselamatan dan pendidikan bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak.

3. Meningkatkan kualiti dan memperluaskan perkhidmatan sokongan dan bantuan sosial mengikut keperluan kanak-kanak termasuk kanak-kanak OKU dan anak yatim.

4. Memperluaskan akses kepada maklumat dan bahan bersesuaian daripada pelbagai sumber supaya kanak-kanak mendapat pengetahuan dan kemahiran demi kelangsungan hidup mereka.

5. Memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan keselamatan sosial.

Objektif 2
Perlindungan


1. Meningkatkan latihan kepada semua pihak yang berurusan dengan kanak-kanak supaya mempunyai pengetahuan, kelayakan dan kemahiran yang mencukupi serta bersikap positif dalam pengendalian kes penganiayaan, pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

2. Memberi perkhidmatan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsapenyeksaan, pengabaian, penganiayaan, keganasan, pengeksploitasian atau kanak-kanak tidak terkawal sertapenyediaan rawatan pemulihan kepada pesalah kanak-kanak (child offender).

3. Memberi perlindungan ke atas mangsa, pengadu dan keluarga daripada gangguan atau ancaman pihak-pihak tertentu.

4. Memastikan kanak-kanak diberi hak kepada perundangan dan perkhidmatan sokongan.

5. Memberi sokongan kepada keluarga yang berisiko tinggi supaya kanak-kanak dalam keluarga tersebut dapat menikmati hak-hak mereka.

6. Memastikan semua pihak yang mempunyai hubungan atau memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak mewujudkan dasar dan protokol perlindungan kanak-kanak dan melaksanakannya.

7. Menyediakan program khusus bagi kanak-kanak jalanan, kanak-kanak tanpa dokumen, kanak-kanak tercicir, kanak-kanak terlibat dengan penagihan dadah dan kanak-kanak yang berada dalam situasi genting, kepayahan dan lain-lain bahaya (under difficult circumstances).

8. Memastikan kanak-kanak mangsa bencana menerima rawatan yang sewajarnya bagi pemulihan, pembangunan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat.

9. Memastikan kanak-kanak mangsa eksploitasi seksual (seperti pelacuran kanak-kanak dan pornografi kanak-kanak) dan pemerdagangan orang diberi perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat atau dihantar pulang ke negara asal.

10. Mewujudkan mekanisme amaran awal dan mengukuhkan mekanisme perlindungan kanak-kanak di peringkat nasional dan antarabangsa.

11. Menggalakkan penyediaan persekitaran yang sihat dan selamat untuk kanak-kanak.

Objektif 3 Perkembangan


1. Meningkatkan perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak yang berkualiti, mudah diperolehi dan mampu dibiayai dalam persekitaran yang kondusif bagi merangsang perkembangan optimum kanak-kanak.

2. Menyediakan kemudahan prasarana dan persekitaran mesra kanak-kanak.

3. Memperluaskan program dan kemudahan khusus bagi perkembangan kanak-kanak kurang upaya dalam semua aspek seperti pengesanan dan intervensi awal, pemulihan, pendidikan dan pengintegrasian semula dalam masyarakat.

4. Menyediakan bantuan, latihan dan pemantauan yang berterusan bagi memastikan kanak-kanak mendapat pengasuhan, penjagaan dan pendidikan yang bermutu tinggi.

Objektif 4 Penyertaan


1. Memastikan kanak-kanak diberi akses kepada maklumat yang berkualiti dan bahan bersesuaian daripada pelbagai sumber supaya kanak-kanak dapat menyertai aktiviti yang berkaitan dengan hal ehwal mereka.

2. Menggalakkan media massa dan pihak swasta untuk menyebarkan maklumat yang bersesuaian dan berkualiti.

3. Menggalakkan kanak-kanak menyuarakan pendapat dan pandangan secara bertanggungjawab dan beretika sebagai input dalam merangka program untuk mereka atau program yang berkaitan dengan kepentingan mereka.

Objektif 5 Advokasi


1. Meningkatkan kesedaran di kalangan keluarga dan masyarakat akan pentingnya penjagaan kesihatan kepada kanak-kanak.

2. Meningkatkan kesedaran di kalangan keluarga dan masyarakat mengenai hak kesamarataan kanak-kanak daripada sebarang bentuk diskriminasi.

3. Memantapkan program sedia ada dan memperkenalkan program yang sesuai bagi mencegah penganiayaan,pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

4. Meningkatkan kesedaran ibu bapa, penjaga dan ahli masyarakat akan pentingnya pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak.

5. Meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai hak, kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak kepada semua pihak yang berkenaan.

Objektif 6 Penyelidikan dan Pembangunan


1. Memperbanyakkan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pembangunan kanak-kanak dan menyebarluaskan hasil-hasil penyelidikan bagi tujuan penambahbaikan.

Saturday, March 27, 2010

Cantharis

Bertindak pada sistem kencing, sistitis, kencing masin (nephritis), kencing berdarah, kemandulan, enteritis, susah semasa kencing (dysuria), kerap kencing, senggugut, cirit-birit, sakit seperti dipotong-potong, panas dan sejuk selepas berak serta hendak pengsan. Tonsil atau sakit kerongkong; rasa sangat panas seperti dalam api. Diptheria (sakit pada kerongkong). Melecur terkena api, minyak dan air panas. Menolak kandungan mati atau uri selepas bersalin atau keguguran. Simptom utama ialah keradangan (iaitu rasa panas menyengat) seperti kencing, keluar discaj seperti dipotong-potong, panas terbakar sebelum, semasa dan selepas keluar discaj.

Fikiran: Bimbang tanpa dapat rehat dan berakhir dengan kemarahan yang meluap-luap. Meracau dan merepet tidak tentu arah. Sangat biadap dan perasaan memberontak.

Kepala: Pening. Mengelupas kulit kepala; banyak kelemumur, rambut gugur bila disikat.

Mata: Biji mata mengunjur keluar, bercahaya dan nampak merenung tajam.

Muka: Tunjukkan penderitaan yang amat sangat; rasa sakit seperti hendak mati.

Mulut: Lidah berselaput tebal; tepi merah. Kalenjar sublingual bengkak dan merah. Mulut kering dan rasa terbakar.

Kerongkong: Rasa panas terbakar. Bengkak. Sukar menelan.

Perut: Terlalu dahaga. Selera makan berkurangan. Benci makanan. Sendawa dengan buih masam.

Kencing: Rasa dipotong-potong dan sakit menyucuk-nyucuk dari pundi-pundi kencing hingga ke batang zakar. Tidak tahan hendak kencing. Kencing berdarah. Keluar kencing setitik demi setitik; payah kencing. Kerap kencing. Tahan kencing. Air kencing berwarna coklat gelap, kurang jernih, sedikit.

Seks lelaki: Sakit kerana batang zakar tegang. Kuat nafsu seks; ganggu waktu tidur.

Seks perempuan: Vulva bengkak keradangan. Radang ovari dengan sakit terbakar dan dipotong-potong. Sangat gatal dan nafsu seks sangat kuat. Faraj sangat gatal. Haid terlalu awal dan banyak; darah hitam dan melekat-lekat.

Umum: Lemah, letih, pengsan. Sakit seluruh badan; dalam dan luar. Anggota badan sangat sensitif. Gegaran dengan simptom susah kencing (dysuria).

Patologi: Radang; melecur; terbakar; ubat tenaga batin; susah, kerap dan tidak tahan kencing.

Simptom Utama: Panas (saluran kencing dan kemaluan); teruk bila disentuh atau semasa kencing.

Friday, March 26, 2010

Membangunkan minda, jiwa rakyat

Oleh Khairul Azhar Idris

Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak kes penderaan dilaporkan dalam media cetak dan elektronik, khususnya penderaan terhadap wanita dan kanak-kanak. Penderaan yang dilakukan terhadap mereka merupakan perlakuan yang amat ganas kerana terdapat kejadian membawa kematian.


Walaupun peristiwa-peristiwa seperti itu mengundang banyak reaksi marah dan kesal di kalangan pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam, namun nyawa yang hilang tidak akan hidup kembali. Semuanya sudah terlambat kerana ia sudah berlaku tanpa disangka. Apa yang diharapkan adalah semoga perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan. Inilah harapan semua rakyat Malaysia. Tetapi apakah jaminan peristiwa seperti itu tidak akan berlaku lagi?

Memang amat sukar untuk memberi jaminan bahawa ia tidak mungkin berlaku lagi. Ini kerana kita berhadapan dengan individu yang bernama manusia yang memiliki fitrah kejadian yang amat kompleks. Setiap individu memang ada naluri atau kecenderungan untuk bertingkah laku ganas atau menjadi ganas. Tahap kecenderungan itu akan menjadi lebih tinggi, lebih-lebih lagi jika individu terbabit mempunyai personaliti panas baran, selain pengaruh bahan terlarang.

Oleh itu, tidak hairanlah jika kebanyakan kes penderaan yang berlaku itu dilakukan oleh mereka yang majoritinya bersifat panas baran. Tingkah laku ganas itu pula boleh berlaku kepada sesiapa saja dalam pelbagai peringkat umur dan ia boleh bermula seawal usia kanak-kanak. Namun perlu difahami bahawa setiap individu tidak sama tahap kecenderungan untuk bertukar menjadi ganas.

Kecenderungan untuk menjadi ganas berbeza di antara individu kerana pelbagai faktor dan keadaan. Mereka boleh menjadi ganas kerana ciri-ciri personaliti atau kerana provokasi yang bersifat konfrantatif. Perasaan geram dan marah juga boleh menjadi sebab mereka bertindak ganas. Malah rasa cemas dan takut turut menyumbang kepada seseorang untuk bertindak ganas. Perasaan kecewa yang kronik juga mampu membangkitkan naluri ganas seseorang. Ada juga beberapa kejadian di mana sesetengah individu bertukar menjadi ganas kerana kesan perubahan cuaca yang keterlaluan, dan ia telah dibahaskan oleh beberapa kajian dan eksperimen. Malah tidak dinafikan juga kesan tekanan yang kronik turut mampu mengubah individu menjadi seorang yang ganas dan hilang pertimbangan akal yang waras. Semua keadaan itu mampu membangkitkan naluri ganas seseorang.

Apabila seseorang bertukar menjadi ganas, ia akan turut menjejaskan pengaruh akal yang sihat dan waras. Dalam situasi seperti itu, mereka lebih dikuasai oleh tindak balas badan yang menuntut pemikiran dan aturan fizikal agar lebih menjurus untuk beradaptasi dengan tuntutan naluri ganas dalam tempoh beberapa ketika. Oleh itu, dalam tempoh sebegini, terdapat di kalangan mereka yang dilihat seperti orang yang kerasukan dan hilang pertimbangan akal yang waras, tidak sedar diri atau kurang siuman untuk beberapa minit. Keadaan itu berlaku kerana inilah fitrah reaksi ganas. Untuk beberapa ketika, ia akan mengehadkan pemikiran rasional seseorang agar lebih terfokus dalam mendepani objek yang mencetuskan sifat ganas itu bagi meningkatkan keupayaan otak dan fizikal agar lebih bersedia dan berani berdepan dengan situasi itu secara lebih efisien.

Dalam situasi sebegini, seseorang itu akan terus dikuasai oleh naluri ganas dengan kawalan dan pengaruh kewarasan yang amat minimum. Pelbagai kemungkinan boleh terjadi apabila sifat ganas telah mengehadkan pemikiran rasional seperti membawa kepada tingkah laku agresif, kekasaran dan kekerasan fizikal. Malah, tidak mustahil ia turut mengundang kepada pelbagai kejadian berunsur jenayah seperti buli, pergaduhan, penderaan, dan pembunuhan.

Situasi itu menggambarkan bahawa punca kepada permasalahan adalah daripada diri individu terbabit, di mana mereka gagal mengendalikan sikap dan emosi sendiri tatkala dihimpit suasana atau perasaan tegang dan cemas. Jawapan yang terbaik setakat ini adalah mereka perlu mengendalikan sikap dan pemikiran sendiri secara lebih positif dan proaktif apabila berada dalam suasana tegang yang mendorong kemungkinan tercetus naluri dan tingkah laku ganas dalam diri mereka. Atau dalam erti kata lain, mereka perlu menguasai kemahiran untuk mengendalikan sikap dan emosi yang negatif supaya ia menjadi lebih terkawal pada setiap masa.

Berusaha untuk memiliki kemahiran seperti itu bukan sesuatu yang sukar atau terlalu mahal jika dibandingkan dengan tragedi berdarah dan menyayat hati yang sering berlaku kesan daripada kegagalan mengendalikan sikap buruk dan emosi negatif yang tidak terkawal. Memandangkan Malaysia berhasrat untuk menjadi sebuah negara yang aman dan maju serta dihuni oleh rakyat berbilang agama dan budaya berteraskan nilai-nilai murni, ia akan menjadi mustahil jika rakyat masih mengamalkan sikap ganas dan kasar sesama mereka. Oleh itu, satu usaha teguh perlu diperkenalkan kepada masyarakat dalam usaha mendidik mereka memiliki kemahiran-kemahiran seperti teknik pengurusan sifat marah, pengendalian sikap baran, langkah-langkah mendepani suasana cemas dan tertekan serta sebagainya.

Walaupun ia kedengaran amat mudah, namun kemahiran seperti itu tidak harus dipandang ringan kerana banyak kesan buruk yang mengekorinya akibat sikap sambil lewa sehingga ke tahap nyawa melayang. Malah bukan sesuatu yang tidak proaktif jika dicadangkan agar kemahiran dan teknik seperti itu dikendalikan penganjurannya di peringkat persekutuan di bawah kementerian tertentu. Ini kerana sebahagian besar permasalahan yang wujud adalah kurangnya usaha proaktif di peringkat pemerintah untuk mendidik atau menyedarkan rakyat agar menguasai kemahiran seperti itu.

Kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah, kemahiran ini telah diajar di peringkat sekolah menengah dan universiti serta di peringkat komuniti dan terbukti dapat mendidik rakyatnya memiliki tahap kawalan diri yang baik dalam masyarakat.

Penulis ialah Fellow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

(utusan online, 26/3/2010)

Mengurus warga asing

Oleh Khairuddin Mohd. Zain

Usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menganjurkan Makmal Pengurusan Warga Asing yang diumumkan baru-baru ini wajar dipuji dan dihargai. Isu warga asing ini tidak boleh lagi dipandang sebagai 'isu rantingan' dan tidak penting.

Hakikatnya, hampir setiap hari kita mendengar dan melihat sendiri aduan banyak pihak agar isu ini diselesaikan secara tuntas dan berkesan.

Mata masyarakat menjadi 'pedih dan sakit' apabila melihat lambakan pekerja asing, terutamanya di musim cuti di tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur. KLCC, boleh dikatakan menjadi 'kota global' dalam sekelip mata di waktu cuti umum.

Nyatanya, risau dan khuatir masyarakat ini mempunyai asas yang kukuh. Apakah dengan jumlah mereka seramai ini - kesemuanya melalui jalan 'sahih' dan hadir secara halal? Apakah kehadiran yang seramai ini tidak mendatangkan ancaman - baik secara ekonomikal mahupun 'keselamatan' dalam erti kata sebenarnya?

Saat kita menerima bahawa jenayah rentas sempadan (trans-national crime) adalah isu yang penting; kita tidak boleh mengambil mudah dengan jumlah dan angka kehadiran yang sebesar ini.

Waima negara maju sekalipun masih mempunyai niat menjaga 'tembok' daripada kehadiran warga asing yang terlalu besar. Sekitar Februari 2009, Kerajaan Britain yang ada dikritik hebat kerana angka 'warga asing' yang boleh mendatangkan risau dan khuatir di kalangan rakyat.

Bermula dengan angka 'sebenar' yang dikeluarkan 'Office of National Statistics' (ONS) sekitar 2009 yang menyebut kehilangan pekerjaan di kalangan warga Britain yang berjumlah 250,000; angka warga asing yang digajikan di Britain pada tahun yang sama meningkat sebanyak 200,000 orang! Terdapat korelasi yang sangat nyata mengenai 'takat' seriusnya kedudukan ini. Pastinya rakyat negara tersebut tidak senang dengan 'angka' itu.

Kritik rakyat Britain ada asasnya. Ironi, kerana pada tempoh yang tidak lama sebelum itu, slogan 'Bristish jobs for British workers' didendangkan oleh kerajaan. Fakta ONS tidak sama sekali membenarkan niat dasar yang dikemukakan. Jurang 'polisi dan tindakan' inilah yang menyebabkan kerajaan dikritik hebat oleh rakyat. Walaupun cuba memberi alasan bahawa penduduk Britain semakin 'tua' dan memerlukan warga asing bagi proses pembangunan.

Ini membawa makna bahawa 'kebergantungan' kepada warga asing adalah fenomena global di mana sahaja. Soal warga kita sendiri yang terlalu memilih bidang pekerjaan dan sebagainya juga tidak boleh dipandang sepi. Itulah hakikatnya, maka kita saban hari dilayani oleh 'pekerja global', baik di kedai mamak biasa mahupun kopitiam (halal dan haram). Ada ketika, darah kita mendidih kerana 'pekerja global' ini sering salah mengambil pesanan.

Tindakan yang diambil KDN adalah bertepatan dengan masa dan keadaan. Isu warga asing tidak boleh lagi menjadi masalah KDN sebagai Kementerian yang tunggal. Banyak perkara dan prosedur; mungkin tidak pun berada di bawah bidang kuasa KDN. Lebih daripada itu, 'daerah tugasan kementerian' berbeza mengikut industri. Ini membuktikan dengan lebih nyata bahawa wujud keperluan untuk melakukan proses 'sinergi' dalam membuat keputusan dan rangka dasar.

Kalau warga asing yang terlibat di dalam sektor perladangan, ia dikawal selia oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Kementerian Sumber Manusia menjaga sektor perkhidmatan. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengurus sektor perkilangan. Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi menjaga sektor pendidikan. Kementerian Pelancongan menjaga sektor dan aktiviti pelancongan dan KDN sendiri menjaga sektor keselamatan. Maka dengan 'daerah tugas' yang sedemikian merata; proses 'sinergi', baik data mahupun perancangan strategik menjadi sangat sukar, namun tidak mustahil.

Mewujudkan 'makmal' perbincangan yang boleh berbincang secara menyeluruh mengenai pengurusan warga asing, khususnya pendatang asing tanpa izin (PATI) adalah sangat bertepatan dan wajar. Kita tidak boleh lagi mengambil sikap meletakkan masalah di bawah 'permaidani' dan membiarkan sahaja suasana menjadi semakin buruk, tanpa sebarang usaha campur tangan dasar dan strategi' yang tepat.

Apa yang perlu ditekankan oleh makmal tersebut adalah soal 'pemusatan data' dan perancangan yang lebih strategik. Di dalam syarikat-syarikat multinasional, elemen forecasting(anggaran) keperluan adalah menjadi sangat penting. Ini boleh meletakkan sebarang strategi untuk berada di landasan yang tepat dan betul.

Mungkin makmal tersebut dapat belajar sedikit bagaimana Petronas mengurus tenaga pakar di kalangan syarikat minyak dunia di tanah air. Walaupun di dalam outfit yang sangat kecil, wujudnya 'Pengurusan Sumber Manusia dan Malaysianisasi' di dalam Petronas; telah memberikan sedikit 'kekuatan' untuk Petronas menentukan 'jumlah warga asing' yang perlu digunakan di dalam syarikat-syarikat yang terbabit.

Kerajaan tidak boleh lagi mengambil sikap mudah tunduk dengan tekanan ekonomi yang kadangkala bukannya real dan bersifat sebenar. Disebabkan itulah juga, usaha untuk menawarkan pekerjaan yang tetap dan baik kepada anggota RELA dan Jabatan Pertahanan Awam dalam sektor keselamatan adalah permulaan yang baik.

Ya, mungkin kesannya belum tentu menghasilkan sesuatu yang baik; namun sekurang-kurangnya langkah sedang diambil. Soal pengurusan warga asing ini tidak boleh secara totalnya diletakkan di dalam neraca 'untung rugi sektor swasta' semata-mata.

Kita perlu mempunyai landasan pemikiran yang betul - kehadiran mereka yang tanpa izin boleh mendatangkan impak dan kesan yang nyata. Ini termasuklah 'kenyataan' bahawa kita berbelanja hampir RM171 juta untuk perbelanjaan banduan warga asing. Ini merangkumi 81,396 banduan dan 408,979 tahanan warga asing di 13 depot seluruh negara.

Angka ini amat memeranjatkan. Jika dilakukan conversion, kita mungkin boleh membina 10 buah sekolah berharga 15 juta di seluruh negara! Ataupun menyediakan bajet yang lebih kepada usaha pemerkasaan sukan di sekolah-sekolah anak kita.

Dalam suasana persaingan ekonomi global yang semakin mencengkam, kita tidak boleh lagi mengambil 'kos sampingan' yang sebesar ini. Harus dipertegaskan bahawa masalah sebenar kita adalah PATI. Warga asing yang berada di sini di atas soal merit - dan sesungguhnya menyumbang kepada pembangunan akan sentiasa dihargai.

Sebagai rakyat, tindakan pro aktif untuk mengadakan makmal warga asing yang akan memberikan fokus kepada prosedur kemasukan, perundangan, sistem pemantauan dan penguatkuasaan. Jika langkah pembetulan dapat dijayakan kepada empat perkara ini, kita mungkin dapat mengurus warga asing dengan lebih baik dan berkesan.

Rakyat perlu diberikan keyakinan bahawa peruntukan ratusan juta untuk menjaga banduan dan PATI perlukan 'campur tangan dasar' yang menyeluruh. Jabatan Imigresen Malaysia yang mengadakan hampir 7,100 operasi sepanjang tahun 2009 - menghasilkan hampir 50,000 tangkapan!

Gelombang rakyat harus sama digerakkan untuk memberi maklumat di atas kehadiran warga asing yang melampau di taman, kampung, jalan dan daerah masing-masing. Perkara ini sudah menjadi masalah nasional; dan ia perlu ditangani dengan selayaknya.

Mengurus dan mengawal kehadiran PATI bukan dilakukan atas dasar xenophobic tanpa asas - tapi lebih kepada soal kepentingan negara secara keseluruhannya. Malaysia tidak pernah menutup pintu kepada mereka yang mahu sama-sama membangun negara ini. Namun, ia mesti dilakukan melalui landasan hukum dan perundangan yang betul.

Penulis ialah pemerhati sosio-politik

(utusan Online, 26/3/2010)

Wednesday, March 24, 2010

Membina ukhuwah meneguh jemaah

Ukhuwah adalah perkataan Arab yang bermaksud persaudaraan ‘mereka bekerja seolah-olah dalam satu keluarga besar, sentiasa bertolak ansur dan menjalin tali persaudaraan antara satu dengan yang lain.’ Dalam kehidupan hari ini, ukhuwah menjadi elemen yang sangat kritikal kerana sifat individualistik sering mendahului sifat-sifat berkumpulan atau berjemaah.

Konsep ukhuwah sering kali menjadi kayu ukur keakraban seseorang terhadap kumpulannya sama ada di kawasan perumahan ataupun dalam organisasi. Kita mungkin menganggap perkataan ukhuwah ini jauh daripada itu. Antaranya ialah ‘jelekit’ yang membawa maksud terlalu rapat, intim dan mesra. Dalam ukhuwah, ada elemen jelekit yang mampu meruntuhkan tembok-tembok konflik.

Membina dan memupuk ukhuwah bukannya semudah meruntuhkan ikatan persaudaraan yang telah dijalin. Membina ukhuwah penuh dengan ranjau dan cabaran, strategi dan teknik serta kesungguhan supaya setiap usaha yang dilakukan akan membuahkan hasil maksimum. Faktor yang paling penting dan dianggap sebagai langkah pertama dalam membina ukhuwah ialah corak atau bentuk komunikasi yang dipilih. Tidak perlu bagi kita untuk mengetahui kaedah-kaedah komunikasi yang canggih kerana orang yang paling mahir dan arif tentang cara berkomunikasi dengan orang lain adalah diri kita sendiri. Kita sendiri yang mengetahui kekuatan dan kelemahan diri seterusnya dapat mengukur sejauh mana kita mampu merapatkan jurang komunikasi dengan sasaran yang dipilih.

Berjemaah atau berorganisasi bermula dengan dua orang yang saling faham-memahami. Mereka berdua akan cuba mencari orang lain untuk berkongsi aspirasi dan sanggup bersudah-payah bagi menyediakan segala keperluan supaya asas kepada jemaah menjadi kukuh. Contohnya Al-Qaeda. Erti Qaeda ialah asas atau tapak. Apabila asas menjadi kukuh, kuat dan mantap, barulah elemen-elemen lain dapat dibangunkan dengan mudah. Osama ben Laden berjaya membina organisasi Al-Qaeda apabila beliau berjaya mendapatkan hati dan jiwa mereka yang bersamanya supaya bersedia untuk berkorban. Persaudaraan yang dibentuk oleh Osama ini menjadi begitu kukuh hinggakan tidak ada sesiapa pun dalam rangkaiannya yang membocorkan maklumat kedudukan mereka.

Selain Al-Qaeda, banyak lagi organisasi yang kuat dan mantap serta sukar digugat. Antaranya ialah gerakan jenayah ‘Mafia’ dan kongsi gelap yang terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang negara. Walaupun jaringan mafia ini sangat luas, mereka memiliki sistem untuk memastikan dalam setiap masa arahan dipatuhi. Namun rangkaian mafia ini sekali-sekala bolos juga kerana persaingan merebut jawatan dan wilayah pentadbiran.

Konsep jemaah tidak terhad pada kegiatan jenayah malah lebih banyak wujud dalam masyarakat moden hari ini kumpulan yang pelbagai jenis dan bergerak dalam ekonomi, politik, sosial dan pendidikan. Ada juga jemaah yang memberi perhatian kepada kebajikan, rekreasi dan pertahanan diri. Ia juga tidak dihadkan kepada gender kerana ada jemaah yang semua anggotanya adalah wanita seperti Persatuan Ibu Tunggal atau Persatuan Pandu Puteri. Namun kebanyakan jemaah adalah dianggotai oleh kedua-dua jenis jantina supaya keberkesanan jemaah berkenaan akan lebih dirasai.

Berbagai-bagai-bagai sebab kenapa orang mahu berjemaah. Ada yang berpaksikan agama, politik atau prinsip diri. Bagi golongan sejenis, mereka juga ada jemaah sendiri sebagai tapak untuk melobi dan menekan kerajaan supaya kehendak mereka dipenuhi.

Pendek kata, kekuatan jemaah bergantung pada kekuatan ukhuwah anggotanya. Jemaah yang kuat adalah jemaah yang memiliki sistem perkadaran yang tersusun dan mampu menjadi penghubung kepada perjalanan jemaah. Tanpa individu yang berkualiti, jemaah tidak ada identiti, lama-kelamaan akan berkubur dan mati dengan sendirinya.

Tuesday, March 23, 2010

Perkembangan bahasa kanak-kanak

Aiman menyergah secara tiba-tiba ‘Ah!’ bagi menyatakan yang dia tahu imej di kulit buku yang baru dihadiahkan. Tindakan tersebut adalah tindak balas yang mengaitkan bahasa dan otak. Sebaik sahaja kanak-kanak tahu perkataan, mereka boleh gunakannya bagi mewakili objek dan tindakan.

Bahasa adalah sistem komunikasi perkataan dan tatabahasa. Melalui bahasa ini, kanak-kanak dapat berhubung dengan orang di sekitar mereka bagi menyatakan perasaan, keperluan dan idea.

Perkembangan bahasa adalah gambaran sejauh mana interaksi berlaku. Ia membantu mempercepatkan literasi iaitu keupayaan menulis dan membaca. Sebelum kanak-kanak menggunakan perkataan, mereka hanya tahu merengek dan menangis, ‘babbling’ (ma-ma-ma, ta-ta-ta) dan ‘cooing’ (menjerit, menggelobok dan membunyikan perkataan) seterusnya meniru gelagat dan apa sahaja yang mereka dengar. Mereka juga berupaya mengenal pasti bunyi dan suara orang dewasa dengan cepat.

Menangis bagi bayi yang baru lahir adalah komunikasi. Nada, corak dan penguatan (intensity) ke atas bunyi suara menyatakan ada maksud tertentu seperti lapar, tidak cukup tidur, marah atau merajuk.

Pada usia bayi enam minggu sehingga tiga bulan, mereka mula mendekut (cooing) apabila rasa seronok. Mereka juga suka bermain dengan bunyi-bunyi perkataan yang didengari dari persekitaran.

Mengagah (babbling) pula berlaku di antara enam bulan hingga sepuluh bulan. Ia bukannya bahasa sebenar dan tidak ada makna. Penerimaan ke atas bunyi-bunyi bahasa berterusan dilakukan oleh bayi yang berumur 9 bulan hingga 10 tahun namun belum memahami sepenuhnya perkataan-perkataan tersebut.

Keupayaan membezakan bunyi-bunyian sangat penting untuk perkembangan bahasa. Ia bermula sebelum kelahiran dan sangat kritikal ketika tahun pertama kehidupan. Bayi dapat membiasakan diri dengan perkataan apabila mereka kerap mendengar dan mula menggunakannya.

Monday, March 22, 2010

Pensyarah yang baik

Terdapat berbagai-bagai mitos berkaitan pensyarah atau syarahan. Salah satu daripadanya ialah anggapan bahawa sesetengah orang dilahirkan dengan bakat yang luar biasa untuk bersyarah. Namun sesetengah orang memiliki sifat suka bersama dengan orang lain dan berasa selesa menyampaikan ucapan.

Syarahan yang berkesan adalah lebih kepada kemahiran (skill) berbanding karisma atau penampilan watak. Terdapat beberapa teknik yang boleh membantu seseorang pensyarah untuk menjadikan syarahan mereka lebih menarik.

1. Penerangan sesuatu fakta atau eksperimen yang jelas dan tepat. Bagi mendapatkan penjelasan yang jelas dan tepat, sumber rujukan memainkan faktor penting. Bahan-bahan rujukan yang berkualiti tinggi membantu pensyarah menambahkan kefahaman pelajar mereka dengan cepat.

2. Membaca fakta-fakta berdasarkan tujuan tertentu dengan terperinci. Serta juga contoh-contoh yang khusus dan umum supaya pelajar betul-betul faham. Biarpun mengambil masa, penerangan dapat membantu mewujudkan suasana hendakkan kebenaran, bukanya khabar angin.

3. Susun kerangka maklumat dalam gambaran yang besar. Contohnya, sebelum mengajar sesuatu topik dengan mendalam, berikan penerangan umum topik berkenaan supaya pelajar memahami secara sepintas lalu isu-isu yang akan dibentangkan. Selepas kuliah, nyatakan kembali isu-isu yang telah dibentangkan dalam bentuk ringkasan atau rumusan keseluruhan supaya pelajar tidak tertinggal isi-isi penting yang telah disentuh.

4. Alihkan topik ke topik dalam keadaan tersusun. Kekemasan perpindahan topik ini membantu pelajar melihat pengajaran berkenaan sebagai lancar, padat dan mengelakkan senario ‘menggelabah’ jika terputusnya sesuatu idea.

5. Guna alat-alat bantu mengajar yang sesuai seperti papan putih, slaid, komputer, model dan sebagainya untuk menyenaraikan isi-isi penting dan mempamerkan diagram sebagai pengukuhan.

6. Pastikan maklumat yang disampaikan dapat dilihat dan didengar dengan jelas serta memudahkan pengambilan nota. Sekiranya ada rajah atau jadual yang hendak dibincangkan bersama, helaian (handout) boleh diedarkan.

7. Menjawab soalan dengan baik. Kemahiran menjawab soalan terletak pada keupayaan seseorang pensyarah mengenal pasti kehendak soalan. Namun, biar apa pun jawapan yang diberi, pensyarah mesti memastikan kedua-dua soalan dan jawapan boleh didengari.

8. Guna perkataan-perkataan teknikal dengan betul. Hari ini banyak perkataan yang dipinjamkan dan kadangkala jarang didengar. Pensyarah perlu menerangkan maksud perkataan-perkataan berkenaan dengan betul dan dalam ayat yang mana selalu digunakan.

9. Menceriakan pelajar dan kelas. Nada suara ketika memberi syarahan, menjawab soalan atau meminta penjelasan harus berubah-ubah supaya pelajar tidak berasa bosan dengan diri pensyarah atau topik berkaitan. Suasana kelas boleh diceriakan dengan mempelbagaikan bentuk pengajaran dan tidak membaca skrip. Peribahasa, petikan kata-kata, pantun dan sebagainya boleh digunakan sebagai modal untuk menarik minat pelajar.

10. Kenal pasti keupayaan intelektual pelajar supaya mereka dapat memahami topik dengan mudah. Perkara utama ialah idea dan fakta yang diberikan mempunyai alasan yang kukuh dan nilai akademik.

11. Ucap terima kasih apabila semua sesi syarahan tamat. Walaupun mudah, sekali-skala terlupa juga. Ucapan terima kasih membantu mewujudkan persepsi positif pelajar terhadap keperibadian seorang pensyarah.

Friday, March 19, 2010

1Malaysia ke arah memupuk perpaduan (7)

Dasar Bahasa Kebangsaan

Bahasa adalah faktor yang sangat penting bagi menyatukan penduduk sesebuah negara termasuk Malaysia. Satu bahasa juga merupakan kaedah paling mudah bagi memajukan dan memodenkan pemikiran rakyat yang berbilang kaum kerana dengan satu bahasa, pelbagai kumpulan etnik yang memiliki beraneka budaya, agama dan pegangan hidup dapat disatukan dalam satu wadah. Satu bahasa juga menjadikan identiti nasional dan kesetiaan kepada negara lebih kuat dan kukuh. Dalam erti kata lain, penggunaan satu bahasa membantu rakyat meningkatkan interaksi dan merapatkan jurang hubungan di samping mengurangkan apa jua perbezaan yang ada. Dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan diguna pakai dalam semua urusan kerajaan, pendidikan, perniagaan dan hubungan harian masyarakat.

Selepas 53 tahun merdeka, penggunaan Bahasa Melayu semakin baik khususnya dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum. Kejayaan ini adalah kesan daripada pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan yang mewajibkan penyampaian diadakan dalam bahasa kebangsaan biarpun di sekolah jenis kebangsaan. Dalam pada itu, majoriti penduduk Malaysia yang bercakap Bahasa Melayu semakin bertambah seiring dengan pertambahan penduduk. Dalam pada itu, tekanan demi tekanan yang dikenakan ke atas kerajaan untuk mendaulatkan Bahasa Melayu turut menggalakkan orang ramai memilih bahasa itu sebagai bahasa utama mereka. Pembatalan PPSMI adalah satu contoh bagaimana tekanan daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan individu menyebabkan kerajaan membatalkan pelaksanaan program ini di peringkat nasional.

Walaupun pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan seringkali dikesampingkan khususnya dalam perniagaan, Bahasa Melayu semakin diterima umum. Ini dapat dilihat apabila penyiaran program televisyen, radio, penerbitan, iklan di media elektronik semakin sensitif dengan Bahasa Melayu.

Jabatan Perpaduan Negara

Peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 telah membuka mata pelbagai pihak tentang pentingnya usaha-usaha yang lebih serius diberikan tumpuan dalam menguruskan perbezaan serta sensitiviti yang terdapat dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia. Berikutan peristiwa itu, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan. Pada 1 Julai 1969, Jabatan Perpaduan Negara di bawah perintah MAGERAN telah diwujudkan bagi menangani isu-isu berhubung pembinaan semula perpaduan masyarakat di negara ini pada waktu itu. Antara tugas jabatan ini ialah mengkaji dan menyelidik sikap antara kaum. Kajian berkenaan adalah untuk memupuk semangat muhibah antara kaum selain daripada merapatkan semula hubungan di antara rakyat dan kerajaan yang telah terjejas.


Sejak penubuhannya pada tahun 1969 itu, Jabatan Perpaduan Negara telah mengalami perubahan-perubahan seperti berikut.

Tahun 1972

Jabatan Perpaduan Negara telah dicantumkan dengan Pejabat Muhibah Negara dan dijadikan Kementerian Perpaduan Negara.

Tahun 1974

Ditukar nama dari Kementerian Perpaduan Negara kepada Lembaga Perpaduan Negara dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Tahun 1980

Lembaga Perpaduan Negara dicantumkan dengan Urusetia Rukun Tetangga dan dinamakan Jabatan Rukun Tetangga dan Perpaduan Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Tahun 1983

Jabatan Rukun Tetangga dan Perpaduan Negara diubah kembali kepada nama asalnya iaitu Jabatan Perpaduan Negara.

Tahun 1990

Pada 27 Oktober 1990, Jabatan Perpaduan Negara telah diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.

Tahun 2004

Pada 27 Mac 2004, Jabatan Perpaduan Negara telah diletakkan semula di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dinamakan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional.

Tahun 2008

Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional telah diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian & Warisan. Tahun 2009Pada 9 April 2009, Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional telah diletakkan semula di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Walau apapun nama yang telah diberikan kepada agensi perpaduan ini, status dan peranannya tetap sama iaitu bertanggungjawab menjaga perpaduan rakyat. Ia bertindak memupuk dan memelihara semangat muhibah, mempastikan hubungan masyarakat sentiasa positif dan mempastikan masalah perkauman sentiasa terkawal setiap masa.

Bagi memahami secara lebih jelas tentang program-program Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta isu-isu perpaduan dan integrasi nasional, beberapa konsep dan istilah yang berkaitan perlu difahami.

Perpaduan Negara
Satu keadaan di mana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah, hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

(Mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara, Februari 1992)

Integrasi Nasional
Satu proses dinamik untuk merapatkan masyarakat negeri-negeri dalam Malaysia khususnya di antara negeri-negeri di Semenanjung dengan Negeri Sabah dan Sarawak, untuk membentuk satu Bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

(Jawatankuasa Integrasi Nasional, Jun 1991)

Bangsa Malaysia

Satu bangsa yang bersatu padu, mempunyai satu masa depan yang sama dan diperkongsikan. Sejahtera dan bersatu padu di antara wilayah atau kumpulan etnik. Hidup dalam keadaan harmoni dan berkongsi dengan cara yang sebenar dan adil. Satu Bangsa Malaysia yang kesetiaannya, politik dan kebaktiannya tertumpu kepada bangsa tersebut.
(Tun Dr. Mahathir Mohamad, September 2003)

Kegiatan Jabatan Perpaduan Negara

Jabatan Perpaduan Negara (JPN) yang bertanggungjawab mengawal, memupuk dan memelihara perpaduan telah merangka berbagai-bagai strategi seperti (1) menggalakkan perpaduan masyarakat dan integrasi nasional, (2) mencegah konflik antara kaum, masyarakat dan wilayah, (3) menerapkan nilai-nilai kewarganegaraan ke arah pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu padu, (4) mengesan dan menilai perhubungan antara kaum dan masyarakat, dan (5) menyelaraskan program dan aktiviti perpaduan dengan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pihak-pihak yang terlibat dengan perpaduan. Bagi mewujudkan perasaan muhibah, setia kawan, kerjasama dan toleransi, JPN merancang program yang bersifat ‘menggalak dan mencegah’ bagi memberi ruang kepada penduduk untuk meningkatkan interaksi dan kenal-mengenal antara satu sama lain.

Kumpulan sasar JPN ialah rakyat Malaysia khususnya kelompok dewasa, wanita dan belia yang terlibat dalam kegiatan Rukun Tetangga. Bagi kanak-kanak, Tabika Perpaduan disediakan bagi pendidikan prasekolah.

Kebanyakan aktiviti JPN bercorak kemasyarakatan dan sosial di samping aktiviti yang mudah diterima oleh semua pihak. Antaranya ialah skim rukun tetangga, tabika perpaduan, sukan rakyat, majlis muhibah, majlis kebudayaan, pertandingan bakat, gotong-royong, jiran muda dan wanita, kelas perpaduan rakyat dan kelas vokasional. Selain itu, penerbitan juga menjadi fokus JPN. Risalah dan majalah ‘Balai Muhibah’, akhbar ‘Jiran’ dan jurnal ‘Negara’ diterbitkan bagi memberi penerangan tentang sesuatu kaum dan aktiviti-aktiviti agensi.


Penyelidikan dan kajian dilaksanakan bagi mengumpul data status perhubungan kaum dan integrasi nasional. Pelaksanaan kajian diharap dapat membantu kerajaan memahami persoalan dan isu-isu berbangkit berkaitan perhubungan kaum.