Monday, January 12, 2009

The problem of race in the 21st century

Penulis: Thomas C. Holt
Tahun: 2002
Penerbit: Harvard University Press
Muka Surat: 146

Buku ini membincangkan pertentangan dan kekaburan terhadap kaum dan perkauman yang telah berubah dari abad ke-19 ke abad 21. Dunia penjajahan pada abad ke-19 telah memberi impak besar kepada migrasi dari negara yang dijajah khususnya Afrika ke Eropah dan Amerika. Du Bois menyifatkan masalah pada abad ke-20 ialah berkaitan warna kulit.

Bagaimanapun, buku ini menyentuh keadaan yang berlaku dalam kalangan penduduk Afrika-Amerika dari struktur masyarakat, perubahan yang sedang berlaku dan bagaimana ia memberi kesan pada masa depan.

Beberapa pendapat turut dimuatkan yang memberi idea kepada percambahan maklumat berkaitan etnik.

Vernon Ford (Booklist) berpendapat bahawa warisan etnik adalah landasan untuk mencapai matlamat, bukannya destinasi.

Publishers Weekly memberi komentar yang berkaitan dengan ekonomi kerana etnik memainkan peranan dalam pembentukan budaya kepenggunaan dan ekonomi.

Stanley Aronowitz (The Nation) berpendapat isu etnik harus dilihat dari perspektif ekonomi global, bukan sekadar membezakan warna kulit. Isu ini juga mesti melibatkan nasionalisme.

Beberapa pendapat dikemukakan bagi menghuraikan idea Thomas Holt ini dalam konsteks Amerika, namun ia juga boleh dilihat dalam konteks negara berbilang etnik pada hari ini. Proses migrasi yang pesat berlaku di Eropah kini memerlukan kajian yang lebih mendalam kerana kehadiran imigran dari Arab, Pakistan, India dan Indonesia adalah jauh lebih rumit daripada Afrika-Amerika.

Thomas Holt menyimpulkan bahawa isu etnik dan rasis tidak perlu dilihat kepada siapa yang dapat itu dan ini sebaliknya memberi perhatian kepada kesannya terhadap aspek yang lebih besar seperti ekonomi.

Sikap diam negara-negara Arab: kebenaran yang tersembunyi

Semalam Khatib yang juga merupakan dekan kuliyah syariah di Universiti Sudan membocorkan beberapa rahsia pakatan jahat Yahudi dan Arab sekular. Pertama kali saya menangis dalam khutbah Jumaat seumur hidup saya. Sehingga kini hati ini sebak bukan kerana sedih tetapi geram ditipu.

Sebenarnya sebelum peperangan dilancarkan Israel telah melakukan beberapa perjumpaan penting dengan pemimpin dunia. Antaranya Blair dan pemimpin dunia Arab. Dalam laporan di akhbar Yahudi, dilaporkan bahawa peperangan ini sengaja dilancarkan dan matlamat utamanya memansuhkan kewujudan Hamas dari tanah Arab.

Perkara ini telah dipersetujui Israel dan juga negara negara Arab yang lain. Ini menjelaskan kenapa sempadan Rafah ditutup rapat. Ini juga menjelaskan kenapa Arab tidak menghulur bantuan ketenteraan. Arab sebenarnya berlakon dengan ucapan politik menyatakan simpati pada bangsa Palestin sedang mereka menjual nyawa bangsa Palestin pada Israel dengan harga yang mahal iaitu maruah mereka.

Husni Mubarak menyatakan ‘sesungguhnya darah rakyat Palestin bukanlah murah.’ Ini bermakna perniagaan sedang berlaku. Munafik inilah yang kini sedang meletupkan terowong-terowong rahsia Hamas di Rafah. Pembiayaan peletupan terowong-terowong ini adalah di bawah tanggungan Amerika Syarikat. Israel hanyalah kambing hitam dunia Arab dalam menghapuskan pengaruh Islam haraki yang dipelopori oleh Ikhwan dan pertubuhan Hamas.

Sebenarnya Hamas dikepung oleh ular-ular yang mematuk dari luar dan dalam. Mesir kini dijanjikan pengaruh politik terkuat oleh Barat. Inilah yang dikatan harga mahal yang mereka raih dari penjualan nyawa bangsa Palestin di Gaza.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diperalatkan oleh Israel bagi tujuan penghapusan etnik. Kita mengkritik PBB yang kononnya lemah dan lembik dalam menghadapi Israel namun sebenarnya mereka bersekongkol dengan Israel bagi menghabisi pelapis mujahidin Palestin. Wanita dan kanak-kanak dihimpun oleh PBB dalam bangunan mereka kemudian Yahudi akan mengebom bangunan itu. Inilah yang berlaku di Gaza sebenarnya.

Bukti logik pada penghapusan etnik adalah pembunuhan kanak-kanak. Israel mengakui itu adalah kesilapan tentera mereka dalam tembakan rambang sebenarnya, namun kalau kita perhatikan rata-rata kanak-kanak yang mati adalah menerima tembakan dari penembak tepat (sniper). HeadShot bukanlah hasil dari tembakan rawak tetapi adalah sasaran tepat yang dilakukan Yahudi.

Sekarang ini saya menyimpulkan bahawa sasaran Yahudi di Gaza adalah: 1. propaganda untuk menyatakan kewujudan Hamas menghalang perdamaian, 2. penghapusan saksi penting peranan Hamas, dan 3. kekejaman Israel iaitu genocide. Masalahnya sekarang kita tiada daulah.

Apa yang kita boleh lakukan adalah kembali kepada Islam dan menentang sebarang sistem selain Islam. Boikot semua produk Yahudi dan Amerika. Yakinlah, si buta hanyalah penguasa dunia Arab, bukan rakyatnya. Ia adalah sama sahaja di mana mana kuasa membutakan hati dan iman.

Saya menyeru umat Islam membacakan surah Al-Fath dan bincangkan tafsirannya.

[E-mel dari pelajar di Sudan, telah diedit (editor)]

Sunday, January 11, 2009

Memperingati 100 tahun Bapak Mohammad Natsir

Pahlawan Nasional Republik Indonesia, Bapak Mohd Natsir adalah seorang pendakwah, penulis, pendidik dan juru bicara ummah serantau. Bagi golongan muda, nama Mohd Natsir begitu asing dan tidak dikenali, tidak seperti golongan senior yang telah melibatkan diri dalam gerakan dakwah sekitar tahun 70-an.

Bapak Mohd Natsir yang meninggal dunia pada 1993, telah menyumbangkan banyak idea dan usaha bagi membina ummah Islam yang bermaruah di rantau nusantara. Justeru, bagi memperingati perjuangan beliau, Seminar Serantau Memperingati 100 Tahun Pahwalan Nasional Bapak Mohamad Natsir telah diadakan baru-baru ini. Seminar ini dianjurkan oleh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wardah) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Wardah merupakan sebuah pertubuhan yang menghimpunkan alumni ABIM sebagai sebahagian gerakan dakwah Islam semasa.

Tujuan seminar ini ialah mengangkat seorang tokoh yang kurang mendapat penghargaan yang wajar oleh masyarakat, menghargai sumbangan, khazanah perjuangan yang boleh dijadikan panduan untuk mengatur hidup, dan memotivasikan generasi muda untuk menghadapi kehidupan secara serius.

Hampir 1000 peserta memenuhi dewan seminar di KUIS yang datang dari peserta seluruh negara. Ucap tama disampaikan oleh YB Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau mempunyai hubungan yang akrab dengan Mohd Natsir semasa hayatnya.

Anwar mengimbas kembali detik-detik awal pengenalannya dengan tokoh itu dan bagaimana beliau melihat pejuang itu mempunyai kefahaman yang jelas terhadap Islam dan demokrasi. Baginya, Mohd Natsir mempamerkan peribadi yang mempunyai fikrah dan ideologi berteraskan kesyumulan Islam, berpaksikan kekuatan ilmu, sederhana dan mengambil kira keadaan semasa dengan bijaksana.

Hubungan yang mesra dengan Mohd Natsir membolehkan Anwar berbicara lanjut tentang tokoh ini. Dia mendalami pemikiran dan hasrat Mohd Natsir kerana dapat melihat aliran pemikiran yang unik iaitu tidak segan silu mempertahankan demokrasi dan kebangsaan di Indonesia. Umpamanya, konsep Pancasila dilihat sebagai dasar rohani, akhlak dan kesusilaan negara Indonesia.

Mohd Natsir secara konsisten menggunakan Islam sebagai landasan dalam tindak-tanduknya, bahkan mengutamakan Islam dalam pentadbiran.

Kita dapat melihat kesungguhannya yang jelas dalam beberapa petikan dari buku Capita Selecta tahun 1955. Katanya, “Dalam sebuah negara yang berasaskan Islam, hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh agama Islam tidak akan tertakluk kepada persetujuan parlimen.”

Baginya, parlimen hanya boleh membincangkan cara-cara untuk melaksanakan hukum-hukum berkenaan.

Konsep pemikiran begini amat menarik untuk dikaji kerana ada kaitannya dengan suasana semasa di Malaysia. Kita bukannya hendak mengangkat Mohd Natsir ke tahap mendewakannya tetapi mengkaji bentuk pemikirannya yang kelihatan ada wibawa, pintar dan bersih.

Persepsi kita terhadap Indonesia dewasa ini lebih dimomokkan dengan kehadiran tenaga kerja Indonesia yang menimbulkan banyak masalah. Namun adalah lebih baik kita mengubah persepsi itu dengan melihat betapa hubungan serumpun boleh diperkukuhkan melalui kajian terhadap tokoh ini.

Thursday, January 08, 2009

Mengajar bunyi huruf

Setiap kanak-kanak mesti tahu membunyikan huruf untuk membaca. Mereka juga mesti berupaya mengingat dengan pantas iaitu melihat huruf dan menyebutnya dengan segera tanpa ragu-ragu.

Kita dapat melakukannya dengan langkah-langkah berikut:

1. Uji tahap pengetahuan kanak-kanak tentang bunyi huruf dari a hingga z. Tunjukkan huruf berkenaan dan tanya mereka ‘Bagitau mama apa bunyi huruf ini?’ Di samping itu, untuk menguji tahap pengetahuan dan ingatan mereka, senaraikan huruf-huruf yang tidak mempunyai gambar dan minta mereka membunyikan huruf berkenaan. Dalam ujian ini, kanak-kanak bergantung sepenuhnya kepada kekuatan daya ingatan.

Adalah penting untuk benar-benar memahami peringkat ini kerana kita tidak meminta kanak-kanak menyebut nama huruf sebaliknya membunyikan huruf.

Andai kata kanak-kanak tidak dapat membunyikan huruf dengan lancar atau langsung tidak tahu, bantu mereka dengan menyebut dan menulis dengan betul huruf tersebut. Semasa menyebut, gunakan jari telunjuk mereka untuk belajar menulis huruf berkenaan dengan cara yang betul.

2. Jika kanak-kanak perlu belajar untuk mengingat bunyi-bunyi huruf, bantu mereka membuat buku huruf sendiri. Letakkan gambar-gambar yang menjadi kebiasaan dan sering dilihat, berwarna-warni dan bersaiz besar. Minta kanak-kanak lukis atau tampal gambar yang bermula dengan setiap huruf.

3. Latih proses menyebut bunyi huruf dengan carta huruf bersama gambar. Tunjukkan setiap huruf yang disebut dan dibunyikan serentak. Kaitan di antara mendengar dan melihat sangat berkesan untuk memperkenalkan huruf atau perkataan baru kepada kanak-kanak. Ulang proses ini setiap hari sehingga mereka dapat mengingat dan menunjukkan huruf dan membunyikan bunyi huruf dengan betul.

Kanak-kanak mempunyai tahap pembelajaran yang berbeza. Mereka akan belajar bunyi huruf dengan cepat melalui latihan yang berterusan.

Wednesday, January 07, 2009

Jual tudung

Tudung adalah keperluan bagi wanita khususnya muslimah. Bisnes tudung ini tak pernah surut malah semakin bertambah. Bagi melariskan jualan, usahawan tudung memanggil rekaan tudung mereka dengan berbagai-bagai nama: fesyen Wardina, Uji Rashid atau .....

Masa paling rancak ialah ketika bulan puasa kerana orang ramai ingin nampak lebih cantik dan lawa semasa berkunjung ke rumah kawan-kawan dan saudara-mara apabila hari raya nanti.

Besarnya bisnes tudung ini memang sangat menakjubkan. Kenalan saya, orang Singapura, sanggup membuka sebiah kilang di Vietnam kerana kos buruh dan kain yang lebih murah di sana. Setiap bulan beliau membawa balik pelbagai jenis tudung untuk diedarkan ke seluruh Malaysia dan Singapura, termasuk Brunei.

Pasaran tudung juga diluaskan hingga ke Indonesia kerana di sana ramai yang bertudung. Jadi tidak menjadi masalah kepada kawan saya ini untuk mencari pelanggan.

Ada juga usahawan yang lebih bijak. Tanpa tudung, dia boleh buat bisnes tudung. Bisnes ini mudah saja. Ambil gambar tudung dan pasarkan secara dalam talian (online). Tak payah keluar modal satu sen pun, cuma buat laman web saja. Kalau guna blog, daftar e-mel anda dan boleh guna secara percuma.

Bagi usahawan Internet, cara begini boleh membantu anda mendapatkan pendapatan pasif secara online tanpa produk.

Tuesday, January 06, 2009

Hari ke-10 perang Israel ke atas Gaza

Al Shati'

Tentera udara orang Israel membedil lebih banyak rumah di kem pelarian ini. Sumber-sumber perubatan berkata seramai 35 penduduk Palestin cedera. Seorang terbunuh dan 5 cedera dalam serangan udara di kawasan letak kereta awam di sini.

Al Zaytoun

Askar Israel mara semakin hampir dengan Al Zaytoun, sebuah kawasan yang berpenduduk padat di tenggara Gaza. Banyak rumah terbakar dan dimusnahkan dalam siri pengeboman. Dua orang awam yang cedera kerana serangan udara disasarkan ke atas sebuah rumah di sini.

Kereta kebal Israel melancarkan bedilan dari tapak pelancar dengan mensasarkan bangunan-bangunan di bandar Al Zahra. Banyak bangunan dirosakkan dan sebahagiannya terbakar. Rumah keluarga Khail dimusnahkan dalam serangan artileri. Ramai penduduk cedera kerana menerima serangan bom yang berterusan.

Al Nusairat

Tiga warga Palestin terbunuh, 9 cedera dalam serangan udara Israel. Sebuah rumah pemimpin utama Barisan Popular, Jameel Mizhar, dimusnahkan sebahagiannya. Sekumpulan orang awam dibom menyebabkan ramai yang cedera dan luka. Dua cedera kerana sebiji roket meletup di rumah Othman Ghaleb. Rumah Sayed Baroud dibedil. Banyak rumah jirannya juga rosak terkena serpihan bedilan berkenaan. Tentera laut Israel mula menyerbu kem pelarian ini dan ramai yang cedera dalam serbuan berkenaan.

Rafah

Serangan udara berdekatan Masjid Al Huda di Yibna. Sebiji roket telah memusnahkan rumah Ibrahim Abu Al Naja. Sebuah terowong di selatan Rafah dibom. Seorang wanita terbunuh tiga hari lalu dan masih tidak boleh dibawa keluar kerana askar-askar Israel melepaskan tembakan berterusan ke arah bandar Bait Lahia. Wanita yang terbunuh daripada keluarga Abu Samaha. Askar-askar Israel menyerbu rumah Abu Khosa dan mencederakan penghuni rumah dengan tembakan rambang.

Jabalia

Api menyala-nyala di kilang simen berdekatan Zimo Crossings, timur Jabalia. Kebakaran kerana serangan artileri askar Israel. Mereka juga menawan sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan dan terdapat orang awam yang turut berlindung di situ. Askar Israel memusnahkan sebuah rumah berdekatan Masjid Al Salam. Seorang penduduk mengalami pendarahan yang teruk dan pasukan paramedik belum dapat menghampirinya. Tidak diketahui sama ada dia masih hidup atau mati. Begitu juga Abd Al Hilis, masih mengalami kecederaan di Jabalia dan tidak dapat dibantu kerana serangan askar Israel.


Hospital

Doktor di Hospital Al Shifa memaklumkan terdapat banyak mayat yang terbakar diterima dan sebahagian daripadanya telah berkecai. Dalam tempoh 48 jam, seramai 90 orang awam dan kanak-kanak dibunuh setelah operasi ketenteraan dilaksanakan.

Beberapa biji roket memusnahkan ladang dan kawasan penempatan di Khan Yonis. Pihak Hospital Nasir menerima beberapa kes trauma yang dirujuk kepada mereka. Dua buah rumah dibedil di penempatan Al Amal. Satu daripadanya kepunyaan Yasir Hamadan dan satu lagi milik Nedal Kollab.

Simpanan bahan api telah habis di Hospital Al Awda, utara Semenanjung Gaza. Petugas hospital memaklumkan bahawa hospital berkenaan sering menjadi sasaran peluru askar Israel.

Utara Gaza

Empat keluarga terperangkap di Jabal El Kashif, utara Semenanjung Gaza yang biasanya sibuk. Tiga orang daripada keluarga Abd Al Dayim terbunuh kerana serangan askar Israel ke atas bandar Bait Hanon.


Timur Gaza

50 orang cedera apabila askar Israel berterusan melepaskan bedilan dari kereta kebal di timur Semenanjung Gaza iaitu kawasan Jabal Al Rayis. Bedilan berkenaan disasarkan ke atas keluarga Mahalh namun kebanyakan yang cedera adalah kanak-kanak. Seorang kanak-kanak berumur lima tahun dan datuknya daripada keluarga Al Helu terbunuh manakala sebahagian ahli keluarga cedera dan ibunya berada dalam keadaan kritikal.

Tiga orang kanak-kanak termasuk ibu mereka berkecai apabila rumah dibom di Al Shija'ya, timur Gaza. Mereka berlindung di rumah berkenaan semasa serangan dilancarkan. Sebiji roket disasarkan ke rumah keluarga Al Harzaeen di kawasan Sika iaitu di antara penempatan Al Shij'ya dan Zaytoun.

Askar Israel menduduki sebahagian besar rumah penduduk awam di Juhr El Dik. Dua orang wanita Palestin daripada keluarga Hajaj dibunuh.

Pertempuran berdarah di antara pejuang Palestin dan askar Israel di timur Gaza. Helikopter Apache dan artileri memberi bantuan kepada askar Israel. Jumlah kematian belum dapat dipastikan. Tentera udara Israel mensasarkan lebih banyak rumah di Semenanjung Gaza.

Barat Gaza

Tentera udara Israel mensasarkan Kolej Al Uma di kawasan Al Nasir, barat laut Semenanjung Gaza.


Tempat-tempat lain

-Dua orang rakyat Palestin terbunuh di Bait Hanon, pasukan paramedik masih belum dapat sampai ke kawasan berkenaan sehingga kini.

-Penunggang motosikal terbunuh kerana dibedil dengan roket semasa melalui sebuah jalan raya di Gaza.

-Serangan udara Israel dari helikopter Apache disasarkan ke atas rumah tiga tingkat kepunyaan keluarga Al Ghandour di Al Daraj. Keadaan itu menimbulkan suasana panik dan takut di kalangan penduduk. Dalam serangan udara ke atas bengkel di kawasan itu, dilaporkan ramai yang cedera.

-Serangan udara ke atas Masjid Omar bin Abd Al Ziz dan ramai yang cedera.

-Sebuah roket memusnahkan 'Sinaran Masyarakat' iaitu badan kebajikan yang memberi sokongan kepada anak yatim dan orang miskin. Pertubuhan itu termasuk unit terapi fizikal bagi orang termiskin adalah sebahagian daripada gerakan Al Jihad Islamist.

-Tiga penduduk Palestin mati kerana kecederaan di Mesir. Mereka sebelum itu telah cedera dan dirujuk ke sana.

-Pembunuhan beramai-ramai: Keluarga Samuni berkata askar Israel mengumpul 30 orang daripada keluarga Al Samoni dalam sebuah rumah. Sepuluh orang daripadanya adalah ahli keluarga yang rapat. Ramai orang awam yang telah terbunuh akibat serangan artileri. Bilangan mangsa sekitar 14 orang, kebanyakannya adalah kanak-kanak dan wanita. Beberapa orang masih berada dalam keadaan kritikal.

-Serangan udara disasarkan ke atas sebuah kedai penggurup wang di penempatan Remal, tengah Gaza. Kedai-kedai berhampiran juga dibedil mengakibatkan beberapa orang cedera.

-Seorang wanita terbunuh di dalam rumahnya sendiri di Al Moghraqa, tengah Gaza. Tiga orang awam cedera apabila askar Israel mula menduduki kawasan itu semalam.

-Tiga orang pejuang Palestin terbunuh di Gaza kerana serangan roket Israel.

Monday, January 05, 2009

Natijah polisi tanah Perak

oleh Malim Ghozali PK

Akhirnya teka-teki sama ada Kerajaan Negeri Perak akan melaksanakan polisi yang diumumkan sebaik-baik berjaya menerajui kerajaan negeri itu dulu, terjawab juga. Menteri Besar menyerahkan milik kekal kepada 11 orang kumpulan pertama penduduk kampung baru Cina di Kampung Baru Kuala Rui, Grik.

"Banyak lagi akan diluluskan," katanya. Sudah tentu kerana terdapat 134 buah kampung baru Cina di seluruh negeri Perak, yang terdiri daripada kira-kira 10,000 buah keluarga. Dan sudah tentu keputusan serta pelaksanaan polisi tersebut akan memberikan impak yang besar ke atas landskap pemilikan tanah di negeri tersebut.

Kalau pengumumannya dulu menimbulkan kejutan kepada penduduk Perak serta peneliti undang-undang tanah, kini ternyata Menteri Besar Perak benar-benar menyimpang daripada konvensi. Seolah-olah pemberian pajakan (lease hold) kepada penduduk-penduduk kampung baru Cina tidak mencukupi, Menteri Besar merasakan mereka perlu diberikan hak milik pegangan bebas (free hold) pula.

Ada dua natijah yang terkesan daripada pelaksanaan polisi tanah Perak. Pertama, apakah rasionalnya polisi tersebut dilaksanakan?

Untuk menjawab soalan ini kita harus bertanya asal-usul penduduk kampung-kampung baru Cina?

Kita hanya perlu menoleh sedikit ke dalam lipatan sejarah, yakni kira-kira enam puluh tahun dulu, iaitu ketika bermulanya zaman darurat. Fakta menunjukkan bahawa penduduk asal kampung-kampung baru Cina terdiri daripada penyokong-penyokong tegar pengganas komunis.

Atas fakta itulah pihak Inggeris berpendapat cara yang terbaik untuk menangani masalah tersebut ialah dengan mengasingkan mereka. Tindakan itu bertujuan memutuskan hubungan langsung antara pengganas komunis yang berada di dalam hutan, dengan penyokong-penyokong, dan tali barut mereka yang berada di luar.

Dengan cara ini pergerakan mereka dapat dikawal dan keluar masuk ke penempatan baru tersebut dikawal selia oleh tentera. Dengan pengasingan ini, iaitu melalui penubuhan kampung-kampung baru Cina, didapati bekalan makanan (food dumps) yang diletakkan di pinggir-pinggir hutan semakin berkurangan.

Akhirnya penentangan bersenjata komunis yang dipimpin oleh Chin Peng menjadi lemah dan akhirnya mati meragan di tengah hutan.

Kedua, ia menjadi suatu ironi sejarah yang malang. Akhirnya orang yang menentang kerajaan secara terang-terangan (walaupun pernah menyokong pengganas komunis) dianggap layak diberikan hak milik pegangan bebas.

Apakah hebatnya golongan ini daripada kaca mata Kanun Tanah Negara, maka keistimewaan harus dianugerahkan kepada mereka? Ya, apakah istimewanya penduduk-penduduk kampung baru Cina di mata Menteri Besar Perak?

Takrif dan persepsi perubahan ada bermacam-macam. Namun janganlah "mengubah, kerana semata-mata ingin mengubah", walaupun yang baru itu lebih teruk daripada yang lama.

Kalau dilakukan tinjauan kecenderungan politik secara rambang, kita dapati sebahagian besar, kalau pun tidak semua, kampung-kampung baru Cina memilih parti-parti pembangkang secara berterusan pada setiap pilihan raya umum. Inikah keistimewaan yang dikaitkan dengan kampung-kampung baru Cina?

Dan apabila pakatan parti pembangkang meraih kemenangan, maka mereka terdesak untuk 'membalas budi' yang telah sekian lama ditabur oleh penduduk-penduduk kampung baru Cina. Ketika kedengaran suara yang berteriak: "Now we have a place to call home", dirasakan ia bernada sindiran, sumbang dan naif.

Di manakah mereka tinggal selama ini? Adakah wujud sebarang percubaan kerajaan negeri untuk menghapuskan kampung-kampung baru Cina di Perak?

Apa sebenarnya muslihat Kerajaan Perak yang tergesa-gesa mengeluarkan hak milik pegangan bebas kepada penduduk-penduduk kampung baru Cina? Bidalan orang tua memang tepat - "Si lemah makanan si kuat, si bodoh makanan si cerdik." Dengan enam kerusi Pas berbanding dengan 18 kerusi DAP, umum sudah tahu siapa sebenarnya yang memegang tampuk pemerintahan negeri Perak Darul Ridzwan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perak, Nga Kor Ming menambah, "Kami menjamin memberikan mereka hak milik pegangan bebas, dan hak milik baru ini ialah 999 tahun, dan nilai hartanah akan naik berlipat ganda."

Mengikut Seksyen 76 (a) Sub-seksyen (iii) Kanun Tanah Negara, hak milik pegangan bebas hanya diberi dalam tiga keadaan sahaja:

a) Kerajaan Persekutuan, atau penguasa awam,
b) Untuk kegunaan awam, dan
c) "Sekiranya Pihak Berkuasa Negeri berpuas hati wujud keadaan-keadaan istimewa yang menyebabkan ia perlu berbuat demikian."

Keputusan kerajaan negeri secara "tidak menyempat-nyempat" mengeluarkan hak milik pegangan bebas kepada penghuni kampung-kampung baru Cina di Perak tidak lain tidak bukan bertujuan mengekalkan sokongan politik pengundi-pengundi di kampung-kampung baru Cina seperti di Gunung Rapat, Pasir Pinji dan Pasir Puteh terhadap mereka.

Alasan untuk mengutip premium adalah remeh, dan tidak pernah menjadi isu bagi kerajaan Perak. Sekarang, dengar khabar kerajaan negeri ingin menumpukan perhatian kepada tanah pertanian pula.

Kononnya untuk menyelesaikan backlog permohonan. Baguslah begitu, tapi harap-harap janganlah tanah-tanah kerajaan yang sudah diteroka secara haram di pinggir-pinggir hutan, juga dihadiahkan hak milik.

Kebanyakan tanah-tanah ini ditanam dengan kelapa sawit dan getah dan diteroka oleh mereka yang punya modal besar. Sekiranya dibuat bancian, luas kawasannya boleh mencapai ribuan ekar.

Lazimnya portfolio tanah tidak pernah diserahkan kepada ahli Exco lain dan ia dipegang sendiri oleh Menteri Besar. Apakala ketahuan bahawa Menteri Besar menyerahkan hampir setiap urusan tanah kepada wakil DAP, apatah lagi yang menyangkut isu-isu kontroversi, sudah pasti hal ini akan menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan orang Melayu.

Almaklumlah apa juga tanah yang hendak dianugerahkan kepada sesiapa sekalipun, ia merupakan cebisan-cebisan daripada apa yang disebut sebagai Tanah Melayu, dan bukan tanah Inggeris, atau pun tanah orang lain.

Kerajaan negeri yang memerintah hanya diberikan amanah untuk mentadbirkan tanah tersebut, dan pendapat penasihat undang-undang negeri hendaklah diminta, bagi sebarang keputusan yang melibatkan perundangan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri mengingatkan bahawa tindakan yang dilakukan oleh kerajaan negeri Perak bertentangan dengan keputusan Majlis Tanah Negara. Namun nasihat tersebut ternyata masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.


Kerajaan Pakatan Rakyat masih bertegang urat dan menegaskan kerajaan negeri mempunyai kuasa. Apakah kerajaan Pusat tidak punya kuasa? Dan bukankah negeri Perak masih berada dalam Malaysia?

Dalam hal ini penulis teringatkan seorang teman politik lama yang tidak kurang hebatnya. Beliau bukan saja seorang jurutera yang handal, bahkan juga tidak buta sejarah dan budaya. Kata beliau, kalau hendak berbudi pun ada tertibnya. Beliau lalu mengingatkan saya kalau hendak berbudi pun janganlah sampai "Kera di hutan disusukan, anak di ribaan mati kelaparan."

Kepada Datuk Seri Mohamed Nizar, kalau boleh, tengok-tengoklah pepatah- petitih nenek moyang kita. Ada serangkap yang cukup menarik untuk dihayati di dalam kemelut politik semasa:

Ikut cakap musang
Makan buah belolok
Ikut cakap orang
Terjun masuk lubuk!

- PENULIS ialah mantan Penolong Pegawai Daerah I, Daerah Kecil Slim River dan Timbalan Pegawai Kemajuan Negeri Perak. Sekarang mengarang dan berdakwah sepenuh masa.

[Utusan Online, 5/1/2009]

Small-Scale Social Survey Methods

Penulis: Bill Gillham
Tahun: 2008
Penerbit: Continuum International Publishing Group, London, UK.
Muka surat: 111

Buku ini membantu penyelidikan yang lebih baik. Ia menyentuh aspek yang biasa ada dalam sesuatu penyelidikan seperti mencari sampel yang betul, membina soalan yang baik, memahami perbezaan jenis-jenis sampel dan menganalisis data yang diperoleh daripada kajian.

Membuat penyelidikan adalah amalan biasa bagi pelajar pascasiswazah dan profesional. Penyelidikan yang lemah dan kurang bermutu dapat ditingkatkan ke aras piawaian yang lebih berkualiti dengan menggunakan garis panduan yang disediakan di dalam buku ini.

Kandungan buku ini adalah: 1. Social Survey: Basic Issues; 2. Sampling: Probability or Random Methods; 3. Non-probability Sampling Methods; 4. Gaining Access to the Relevant Group; 5. Focusing Survey Topics and Questions; 6. The Relationship between Questions and Answers; 7. Refining the Question; 8. The Trialling Stage; 9. Designing Questionnaires and Interview Schedules; 10. The Piloting Stage; 11. Running the Main Study; 12. Descriptive Data Analysis; 13. Statistical Analysis; 14. Content Analysis; dan, 15. Interpretation and Writing up.

Seseorang penyelidik mesti mampu menghurai secara ringkas dapatan kajiannya berdasarkan latar belakang kajian, tujuan dan soalan-soalan kajian, metod kajian yang digunakan, dapatan kajian dan penerangan terhadap dapatan kajian berkenaan.

Justeru, buku ini wajar menjadi pilihan kepada pelajar di peringkat masters dan kedoktoran supaya kajian yang bakal dilakukan menepati kehendak sebenar penyelidikan dan boleh dimanfaatkan.

Sunday, January 04, 2009

Hanya Allah SWT yang tahu isi hatinya

Dari Kuala Lumpur ke Kuantan, perjalanan rasa sangat perlahan, tidak seperti selalu kerana sepanjang Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), hujan renyai-renyai tidak henti. Ada kala saya memandu 70 km sejam, ada kalanya 110 km sejam mengikut keadaan cuaca.

Apabila hujan agak reda, saya tekan pedal minyak kereta, memecut laju kerana hendak sampai segera ke rumah seorang wanita yang sedang berhadapan dengan keadaan hidup dan mati. Seorang wanita 40-an yang sedang menderita barah payu dara peringkat akhir.

Barah yang sedang merebak di bahagian tulang belakang kini semakin ganas. Ianya hanya disahkan baru-baru ini, itu pun ketika doktor bertugas memeriksa keadaannya yang tidak dapat berjalan dan menghadapi masalah paru-paru semasa menunaikan haji bersama-sama ahli keluarga.

Kereta yang dipandu rasa semakin perlahan. Lebih-lebih lagi sebuah jentera berat yang bertulis ‘Unit Bencana RTM’ memecut laju memotong kereta saya. Rupa-rupanya jentera berkenaan bergegas ke Kuantan kerana banjir sudah mula melanda beberapa kawasan rendah di sana.

Banjir adalah perkara kecil berbanding ziarah. Saya tiba ke rumah wanita itu dan disambut oleh adik lelaki beliau yang banyak membantu menyempurnakan haji di Mekah. Hujan di luar masih renyai-renyai. Rakan dan sahabat-handai tidak putus-putus datang melihat keadaan wanita tabah itu di samping memberi sokongan emosi.

Di bilik kecil di mana beliau ditempatkan, alunan ayat-ayat suci al-quran oleh imam Masjidil Haram sayup-sayup kedengaran, menjadikan suasana bilik tersebut terasa sepi. Tidak ada suara tinggi, tidak ada gelak ketawa, tidak ada keluh-kesah, tidak ada rengekan.

Adik lelakinya menyambut saya dengan senyuman dan berkata, ‘panjang umur ... baru tadi kami sebut nama anta,’ diiringi pelukan mesra.

Sepanjang berbual-bual, saya serius mendengar tiap-tiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya. Tidak percaya rasanya. Seorang wanita yang sedang menghadapi barah peringkat akhir mampu menyempurnakan urusan haji dalam keadaan bersusah-payah, menanggung sakit dan ada kalanya terpaksa dipapah ke sana-sini.

Wanita ini seorang yang tabah. Dia mula perasaan perubahan pada dirinya apabila suatu hari merasakan dirinya semakin pendek. Jubah yang dipakainya menjadi asbab. Dilihat juntaian kain jubah mencecah lantai. Beberapa kali dilihatnya juntaian jubah itu, seakan-akan tidak percaya. Dipanggilnya adik-beradik yang lain untuk mengesahkan apa yang dialaminya sebentar tadi. Ya, memang betul, dirinya semakin pendek.

Oleh kerana telah berjanji kepada rakan-rakan sepejabat yang dia akan datang mengucapkan selamat kerana akan pergi ke Mekah, niat itu diteruskan juga. Juntaian jubah yang mencecah lantai dilipat-lipat supaya tidak mengganggu pergerakan. Ketika ini dia masih boleh berjalan dan bergerak ke sana-sini.

Sekembali dari majlis di pejabat, ahli keluarga yang lain mencadangkan agar beliau membuat pemeriksaan di hospital bagi mengenal pasti keadaan sebenar, dan dia bersetuju. Setelah keputusan pemeriksaan darah dikeluarkan, punca yang menyebabkannya semakin pendek tidak dapat dikesan. Oleh kerana tidak ada apa-apa yang pelik setakat ini, dia dibenarkan untuk mengerjakan haji bersama-sama ibu, ayah dan adik lelakinya.


Setiap peristiwa yang berlaku di Mekah dan Madinah selepas itu adalah rahmat dan tanda kasih-sayang Allah SWT kepadanya. Semuanya berjalan lancar dan mudah.

Hajatnya untuk menyempurnakan haji tertunai, hajatnya untuk solat di raudhah juga tertunai.

Barah yang dihidapinya hanya dikesan apabila suatu hari dia jatuh sakit, langsung tidak dapat berjalan. Dia dibawa ke hospital dan didapati paru-parunya lemah. Selepas itu dia bernafas menggunakan oksigen kerana paru-parunya semakin lemah. Pemeriksaan lanjut oleh doktor yang bertugas mula memberi fokus pada bahagian belakang dan tulang. Di sinilah punca sebenar keadaannya diketahui. Dia disahkan berada di peringkat akhir barah payu dara.

Sangat nmengejutkan. Masing-masing sedang berhadapan dengan tekanan emosi selepas menerima berita berkenaan. Sesuatu harus disegerakan.

Selepas menunaikan urusan haji dan ziarah, mereka berlepas pulang ke Malaysia dengan penerbangan pertama dari Madinah.

Sampai di KLIA, dia terus dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan susulan. Di situ, dia tidak tinggal lama kerana ingin pulang segera ke rumah. Doktor juga memaklumkan tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan sekarang.

Saya bertanya apa lagi ikhtiar yang dibuat pada masa sekarang. Satu-satunya pilihan yang masih ada ialah mendapatkan ubat homeopati dari seorang pengamal perubatan homeopati di Kedah. Itulah usaha yang masih ada dan mereka masih berharap agar Allah SWT memberikan kejayaan dalam keadaan kritikal ini.

Masa sedang beredar, wanita ini sedang berhadapan dengan ujian Allah SWT. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Raut wajahnya juga banyak yang berubah, tidak seperti dulu. Penderitaannya sangat menyayat hati, meruntun emosi. Hanya Allah SWT yang tahu isi hatinya.

Friday, January 02, 2009

Sabar dan tawakkal membuat perubahan diri

‘Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik, dan sesungguhnya pahala (amal yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui. (Mereka itu ialah) orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya.’ (An-Nahl: 41-42)

Selang tiga hari, kita menyambut awal tahun hijrah dan masihi. Jarang-jarang berlaku hari kebesaran ini disambut secara serentak dalam satu minggu dan berturutan. Bagaimanapun sambutan orang ramai ke atas dua tahun baru ini lebih menyerlah apabila ditinjau dari perspektif kesedaran diri dan keseronokan.

Kedua-dua hari ini mempunyai impak besar ke atas pemikiran dan tingkah laku. Pertama, kerana kita kerap mengambil maklum tentang kehebatan membuat perubahan pada hari-hari yang istimewa. Contohnya, ketika hari raya puasa, kita mengambil kesempatan bermaaf-maafan sesama rakan-rakan dan sahabat-handai dengan keyakinan dosa-dosa sebelum ini akan terhapus. Justeru memulakan perubahan diri pada hari ini memberi pengaruh yang sangat ketara khususnya terhadap usaha, pengorbanan dan rangsangan ke arah kejayaan dan kecemerlangan diri.

Kedua, amat mudah bagi kita untuk mengingat jarak masa di antara mula dan akhir. Jika tempoh pencapaiannya singkat, ia akan meningkatkan lagi usaha untuk melakukan yang terbaik.

Ketiga, memberi fokus kepada pencapaian. Setiap orang ingin melihat angan-angan dan impian menjadi kenyataan. Jadi, menjadikan hari-hari istimewa sebagai tekad memperbaharui azam dan tindakan dapat meletakkan cita-cita dan usaha pada landasan fokus yang sebenar.

Namun, apakah perubahan yang terbaik untuk masa depan?

Semasa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah, berlaku perubahan yang sangat ketara ke atas jiwa, pemikiran dan tingkah laku para sahabat. Terdapat antara mereka yang terpaksa meninggalkan harta-benda, anak dan isteri di Mekah, mereka kesunyian dan keseorangan di tempat baru, tanpa wang dan serba-serbinya perlu bermula dari kosong.

Kegelisahan hidup di Madinah, bersama sahabat-sahabat baru dan suasana yang baru menjadikan mereka perlu menyesuaikan diri dengan cepat. Jika tidak, emosi dan pemikiran mereka akan terganggu dan menjejaskan perancangan perkembangan dakwah Islam. Keupayaan mereka, tidak lain adalah kerana janji Allah SWT di dalam surah ini. Bagi para sahabat dari Mekah, mereka yakin bahawa hijrah yang dilakukan adalah kerana Allah SWT, setelah dianiaya oleh golongan kafir di Mekah.

Tindakan terbaik yang dilakukan ialah bersabar dengan kehidupan yang sedang dilalui dan berserah diri kepada Allah SWT. Dua pendekatan ini sangat sukar kerana hanya orang-orang yang meyakini balasan baik dan buruk dapat melakukannya. Mustahil bagi orang yang tidak meletakkan perubahan kerana Allah SWT dapat bersabar dan bertawakkal kepada Tuhannya dengan penuh keimanan. Apa yang berlaku ialah mereka akan hilang kawalan diri dan mudah putus asa.

Setelah tahun baru hijrah dan masihi kita lalui, langkah paling penting ialah melakukan setiap perubahan kerana Allah SWT bersama sifat sabar dan tawakkal. Ia juga mesti diusahakan dengan perancangan strategi yang berorientasi keputusan, dinilai dan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Insya Allah, orang yang berjaya membuat perubahan kerana Allah SWT, hidupnya akan bahagia di dunia dan akhirat.