Sunday, October 05, 2008

Bersatulah, kenapa perlu berkelahi?

oleh Jeniri Amir

Apakah kesannya jika Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum tidak bersatu padu? Mungkinkah negara ini dapat mencapai kemerdekaan dan seterusnya kemajuan seperti dinikmati sekarang?

Bayangkan kesannya terhadap sistem politik, ekonomi dan sosial negara jika masyarakat berpecah-belah dan negara huru-hara? Mungkinkah kita dapat meraih kecemerlangan pada masa depan jika keadaan sedemikian berlaku, dan terdapat jurang besar antara kerajaan dengan rakyat?

Mengikut Wawasan 2020, salah satu cabaran utama negara ialah "membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan".

Cabaran itu memperlihatkan kesedaran kerajaan betapa pentingnya kesepaduan dalaman Malaysia sebagai sebuah negara bangsa. Cabaran membentuk bangsa Malaysia yang kukuh perpaduannya dianggap sebagai cabaran utama.

Untuk itu, rakyat pelbagai kaum di negara ini perlu memiliki keperibadian dan rasa kekitaan yang kental. Sebenarnya, sikap tamak, tidak bertimbang rasa, tidak bersedia untuk berkorban dan bertolak ansur, dan hanya mementingkan diri dan kaum sendiri akan hanya meruntuhkan tembok perpaduan yang telah dibina untuk sekian lama. Sesungguhnya, bersatu teguh, bercerai roboh.

Sebanyak 327 kes konflik sosial di seluruh negara antara 1996 hingga 2002 berpunca daripada nilai dan sikap tersebut. Sebanyak 81 konflik ialah kes pergaduhan antara kaum, 76 ialah konflik politik, 65 konflik agama, dan 36 kes keselamatan. Konflik seperti ini merupakan musuh utama keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara.

Perpaduan ialah satu bentuk penyatuan penduduk pelbagai kaum daripada pelbagai kawasan dan wilayah, dengan pelbagai kepercayaan, budaya, dan nilai di bawah satu bentuk identiti nasional yang mencerminkan wajah, dengan aspirasi yang sama untuk mencapai matlamat memajukan negara.


Malaysia yang memiliki perpaduan ialah negara yang rakyatnya mengamalkan budaya hidup ingin bersatu dalam semua bidang, tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan budaya demi keharmonian dan kemakmuran bersama di mana-mana pun mereka berada, sama ada di Semenanjung Malaysia atau di Sabah dan Sarawak.

Mereka berjalan seiring dan sejalan, ke bukit sama didaki, dan ke lurah sama dituruni. Mereka meletakkan kepentingan masyarakat dan negara di atas kepentingan diri dan kaum masing-masing, dengan falsafah bahawa di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Mereka tidak harus bimbang kerana hak masing-masing sentiasa terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan tanpa rasa curiga dan sangsi.

Meskipun bermula dengan sejarah dasar pecah dan perintah pada zaman penjajahan untuk sekian lama, rakyat pelbagai kaum di negara ini telah menerima hakikat bahawa mereka berkongsi wilayah, ekonomi, tanah air, dan masa depan bersama.

Perpaduan dari segi wilayah, kaum, ekonomi, budaya, sosial, pendidikan, sukan dan seumpamanya menjadi mangkin yang akan menggerakkan negara ini ke hadapan. Kecemerlangan negara pada masa depan bergantung pada sejauh mana kita dapat mengekalkan dan mengukuhkan perpaduan.

Perasaan kekitaan akan mengikat jiwa dan minda rakyat sehingga mempunyai daya ketahanan yang tinggi, dan akhirnya sukar digugat oleh ancaman dalaman dan luaran. Kejayaan pelbagai dasar, terutama dasar politik, pendidikan, ekonomi, kebudayaan, dan sosial telah memungkinkan pelbagai kaum beransur-ansur mengakui bahawa mereka mempunyai identiti sepunya, dan nama kolektif sebagai rakyat Malaysia.

Dari segi politik, sejak zaman pemerintahan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman hinggalah era pemerintahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sistem perkongsian kuasa dan pemerintahan secara permuafakatan di bawah Barisan Nasional sentiasa menjadi pegangan.

Kita perlu menerima hakikat bahawa perpaduan antara kerajaan dan rakyat juga penting bagi menentukan segala dasar dan rancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Perpecahan dan jurang antara kerajaan dan rakyat hanya akan menimbulkan banyak masalah dan hambatan yang tidak menguntungkan.

Dalam membangunkan dan memakmurkan negara, rakyat pelbagai kaum, tanpa mengira fahaman hendaklah berdiri di belakang kerajaan. Sokongan padu daripada rakyat terhadap kerajaan juga akan dapat menjamin bahawa segala ancaman dari luar dan dalam dapat ditangkis.

Lagipun, jika konflik tercetus antara kerajaan dan rakyat, banyak masa akan dibuang untuk menangani dan menyelesaikan konflik itu.

Justeru, rakyat perlu patuh dan menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan. Kejayaan negara bergantung pada kesepakatan dan perpaduan tersebut. Singkatnya, antara individu dengan individu, kelompok dengan kelompok, kaum dengan kaum, dan rakyat dengan kerajaan, perlu wujud perpaduan dan kerjasama padu.

Negara yang tanpa perpaduan akan mendedahkan dirinya kepada pelbagai kelemahan. Kelemahan itu akan mengakibatkan kedaulatannya terancam kerana tidak berupaya menghindarkan pencerobohan dan gugatan dalaman dan luaran.

Perpaduan jitu akan menjadi tunjang ketahanan bangsa dan kemajuan negara. Perkembangan ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya akan terbantut jika tidak terdapat perpaduan atau jika negara kita dalam keadaan huru-hara.

Dalam pada itu, pelabur asing manakah yang akan mempunyai keyakinan untuk melabur di sebuah negara yang kacau-bilau? Itulah sebabnya melalui teras kedua Misi Nasionalnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berusaha untuk 'menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif'.

Semangat esprit de corps, bersedia untuk bertolak ansur, bekerjasama dan bermuafakat akan menentukan masa depan negara. Bangsa dan negara bangsa bukan sahaja terbentuk dan terbina melalui perjalanan sejarah, tetapi ditentukan oleh bangsa itu sendiri.

Kita tidak mempunyai negara lain untuk berlindung dan mencari rezeki. Malaysia ialah tanah air kita, tempat kita hidup dan mati. Jadi, mengapakah kita harus berkelahi dan bermusuh-musuhan sesama sendiri?

[Utusan Online, 4/10/2008]

Saturday, October 04, 2008

Hasutan dan perselisihan agama - Rusia salahkan Internet

Pejabat pendakwa raya Rusia menyalahkan Internet kerana menyebarkan permusuhan kaum dan perselisihan agama di negara itu. Terdapat kira-kira 500 laman web yang menghasut pelayar Internet dan mewujudkan pertelingkahan kaum di peringkat antarabangsa.

Laman web yang lain mempunyai maklumat untuk membuat bahan letupan dan memberi penerangan terperinci untuk meletakkan bom ketika melakukan serangan. Rangkaian puak pelampau dan penyerang di negara itu mendapatkan maklumat serangan daripada laman web di Internet dan membuat serangan ke atas pekan dan bandar di Rusia.

Bagi pelayar Internet yang aktif, mereka mungkin dapat mengumpulkan catatan tentang keganasan dari Internet yang boleh dibukukan.

Pendakwa raya juga menyalahkan permainan dalam talian yang ganas kerana berperanan menyebarkan dakyah permusuhan di antara kaum dan negara.

Para pegawai di jabatan itu juga mencadangkan aktiviti Internet mesti diletakkan di bawah peraturan undang-undang bagi menghalang penggunaan teknologi terkini yang mendorong kepada keganasan dan kebencian kaum.

Moscow telah menjadi sasaran kepada jenayah kebencian di Rusia di mana 19 kes jenayah yang berlaku di negara itu adalah berasaskan kaum dan agama. Daripada jumlah ini, 17 kes berlaku di Moscow yang melibatkan kumpulan pemuda yang berumur di antara 16 hingga 22 tahun. Mereka ini datang dari Uzbekistan, Tajikistan, Azerbaijan, Armenia dan Kyrgyzstan.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, 250 kes jenayah pelampau dilaporkan berlaku di Rusia. Di Moscos sahaja terdapat 73 jenayah seperti ini.

Pihak berkuasa tempatan telah mengambil tindakan terhadap beberapa laman web dengan cara menyekat capaian ke laman tersebut.

Selain keganasan, ada juga laman web yang meminta perlembagaan Rusia ditukar dan mencadangkan Rusia diserang dengan cara keganasan.

Populariti Internet di Rusia semakin meningkat dua kali ganda sejak tiga tahun terakhir ini. Walau bagaimanapun 69 peratus penduduk negara itu tidak menggunakan World Wide Web dan hanya 20 peratus menggunakan Internet sebagai sumber maklumat.

Friday, October 03, 2008

Bau bunga bantu dapat mimpi indah

Udara wangi pengaruhi mutu tidur: Penyelidik

Percayakah anda jika dikatakan mimpi yang indah ada kaitan dengan bunga?

Inilah hasil kajian sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat serta Jerman yang mendakwa mereka yang mahukan mimpi yang indah, perlu meletakkan bunga dalam kamar tidur.

Ini berdasarkan hasil kajian ke atas sekumpulan sukarelawan yang mengakui bermimpi indah selepas tidur dengan bau-bauan bunga ros atau mawar diletakkan di bawah hidung mereka.


Keadaan sebaliknya menimpa kumpulan 15 sukarelawan wanita yang tidur bertemankan bau telur busuk, seperti dicatatkan penyelidik Jerman.

Hasil kajian Amerika dan Jerman itu dibentangkan pada mesyuarat Persatuan Otolaryngology Amerika di Chicago, semalam.

Berikutan itu, penyelidik terbabit kini berminat mengkaji mereka yang tidak nyenyak tidur dan sering mengalami mimpi buruk.


"Apa yang pasti, kita boleh katakan pendedahan individu kepada bau-bauan di sekitarnya kemungkinan besar mempengaruhi mimpi mereka.

"Jika mereka tidur dengan ditemani bau-bauan wangi, sudah pasti mimpi mereka juga lebih indah," kata penyelidik dari Hospital Universiti Manheim, Profesor Boris Stuck.

Katanya, penyelidik menunggu sehingga responden memasuki fasa tidur paling nyenyak yang menjadi tempoh mimpi sering berlaku. Responden itu kemudian didedahkan dengan udara busuk selama 10 saat sebelum dikejutkan seminit kemudian.

Mereka ditanya mengenai bentuk mimpi dialami serta perasaan mereka.


Sukarelawan wanita yang didedahkan dengan bau busuk tidak menyedari bau busuk, tetapi mengakui mengalami mimpi buruk.

Kajian sebelum ini menunjukkan stimulasi lain seperti bunyi, tekanan dan getaran boleh mempengaruhi jenis mimpi serta emosi mereka ketika itu.

[Berita Harian Online, 3/10/2008]

Thursday, October 02, 2008

Bantu pengguna motosikal

Kemalangan jalan raya ketika musim perayaan telah menjadi lumrah di negara kita. Setiap tahun pihak berkuasa menjalankan kempen dan memberi panduan kepada pengguna jalan raya di seluruh negara supaya berhati-hati ketika memandu pulang ke kampung halaman masing-masing.

Hari raya aidilfitri pada tahun ini disambut dalam suasana meriah dan orang ramai berkesempatan pulang awal ke kampung kerana cuti sekolah yang dipanjangkan. Di samping itu ramai kakitangan awam dan swasta turut mengambil cuti lebih awal bagi mengelakkan kesesakan jalan raya dan dapat membeli-belah dengan bebas.

Bonus separuh bulan yang diterima bagi menyambut hari raya juga menjadikan kakitangan awam lebih bersedia untuk mengatur perbelanjaan dan bergembira.

Kali ini kita tidak lagi mendengar kematian yang melibatkan bas ekspres seperti tahun-tahun sebelum ini. Persediaan awal pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menggerakkan perjalanan yang teratur telah memberi keselesaan kepada pengguna dan mempastikan keselamatan mereka terjamin. Cuma kematian yang melibatkan pekerja dari Indonesia kerana tongkang yang digunakan untuk pulang ke kampung mereka telah karam.

Kerapkali kita mendengar rungutan daripada pihak pengguna sendiri yang mereka ditipu dengan berbaga-bagai cara. Salah satu daripadanya ialah 'ulat' tiket yang sentiasa merayau mencari mangsa. Seminggu sebelum hari raya, seorang ulat tiket ini telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara kerana terlibat dalam kegiatan ini. Kesan utama ulat tiket ialah mencemarkan imej sistem pengangkutan awam negara dan menjejaskan pendapatan syarikat bas.

Bagi mereka yang pulang ke kampung dengan motosikal, keselamatan diri mesti diutamakan. Kenderaan besar yang lebih banyak di atas jalan ketika ini sebenarnya mengundang padah jika tidak berhati-hati.

Dalam kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal dan lori di Batu Berendam, Melaka pada hari raya kedua baru-baru ini, seorang penunggang motosikal dirempuh oleh lori berkenaan dan penunggangnya jatuh terhentak di atas jalan raya. Tangannya patah dan kepalanya berdarah. Walaupun memakai topi keledar, kesan hentakan menyebabkannya cedera parah di bahagian kepala. Keadaannya serius tetapi masih lagi sedarkan diri. Bantuan orang ramai telah mempercepatkan proses penghantarannya ke hospital Melaka.

Kejadian di Taman Merdeka itu menyedarkan kita betapa penunggang motosikal sering menjadi mangsa. Dalam keadaan ini pun masih ramai penunggang yang tidak sedarkan diri dan mengabaikan aspek keselamatan diri sendiri.

Justeru, pihak berkuasa wajar memperhebatkan langkah penguatkuasaan jalan raya ketika musim perayaan ini supaya kadar kemalangan yang melibatkan motosikal dapat dikurangkan.

Wednesday, October 01, 2008

Lengkapkan amalan sunat di pagi raya

Allahhu Akbar, Allahhu Akbar, Allahhu Akbar. Tiada Tuhan melainkan Allah, tepatlah janjiNya dan memberikan kemenangan kepada hambaNya, memuliakan tenteraNya dan menghancurkan musuhNya bersendirian. Tiada Tuhan melainkan Allah meskipun orang-orang kafir membenci.

Hari raya aidilfitri disambut sebagai tanda meraikan kemenangan kerana dapat mengikut perintah dan larangan Allah swt. Kemenangan yang sangat bermakna dan menjadi ujian paling getir selama sebulan.

Menjadi kebiasaan kepada masyarakat Islam untuk ziarah menzirahi sesama sendiri meminta ampun dan maaf. Kesalahan dan kesilapan selama setahun yang lalu terlerai. Kini semuanya sifar, memulakan episod baru dalam hidup selama setahun yang akan datang.

Silaturrahin diperkukuhkan dengan kunjung mengunjung, melihat kehidupan saudara mara dan bertanya khabar. Keharmonian keluarga kembali dipertaut supaya kasih kembali mekar. Suami dan isteri kembali ceria dan keluarga kembali bahagia.

Di samping ghairah untuk menyambut syawal, lebih baik kita melihat amalan-amalan sunat yang digalakkan pada pagi hari raya.

Sebelum keluar rumah, mandi sunat hari raya dapat memperbaharui azam dan tekad untuk bersama-sama dengan masyarakat Islam menyambut kemenangan. Kebersihan diri menjadikan personaliti diri bertambah hebat.

Setelah mandi sunat, menghiasi diri dengan pakaian baru dan bersih, mengenakan wangi-wangian dan bersarapan pagi.

Seterusnya memohon maaf kepada ahli keluarga yang hampir.

Apabila bergerak ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya, kenal pasti jalan yang dipilih dan apabila pulang kelak, adalah lebih baik memilih jalan yang lain.

Takbir adalah memuji dan membesarkan Allah swt. Sunat diperbanyakkan kerana pada hari ini kita telah bebas untuk makan dan minum sepanjang masa.

Bagi yang mampu, sediakan makan dan minum kepada fakir miskin supaya mereka juga turut merasai kegembiraan pada hari ini.

Di masjid, tunaikan solat sunat hari raya dan dengarkan khutbah raya kerana di situ terlalu banyak pengajaran yang akan diperoleh.

Lengkapkan amalan sunat hari raya kita dengan ziarah menziarahi saudara, kenalan dan sahabat handai.

Tuesday, September 30, 2008

Minyak ikan jadikan kanak-kanak bijak

Kanak-kanak yang mengambil makanan tambahan minyak ikan setiap hari dikesan lebih bijak dan cemerlang dalam peperiksaan mereka, menurut kajian.

Penyelidikan oleh Majlis Mukim Durham mendapati pelajar yang mengambil kapsul Omega-3 dalam masa setahun sebelum peperiksaan GCSE memperoleh keputusan lebih baik berbanding mereka yang tidak mengambilnya.

Lebih 3,000 pelajar tahun 11 di seluruh negara mengambil kapsul minyak ikan setiap hari.

Kanak-kanak yang berterusan mengambil makanan tambahan percuma memperoleh dua gred lebih tinggi dalam peperiksaan mereka, purata 17.7 mata lebih, berbanding pelajar yang tidak mengambilnya.


Bagaimanapun, saintis menyangkal uji kaji itu kerana ia tidak memasukkan kumpulan kedua kanak-kanak yang mengambil pil placebo.

Ketua pakar pemakanan di Kolej King di London, Profesor Tom Sanders, berkata percubaan itu tidak 'rawak' yang penting untuk mengelakkan perubahan yang mungkin berlaku.

"Tiada rumusan boleh dibuat mengenai faedah atau sebaliknya," katanya.

[Berita harian Online, 30/9/2008]

Monday, September 29, 2008

Politik penguasaan dunia dan isu yang selainnya

Penulis: Dr. Chandra Muzaffar
Penerbit: Arah Publications
ISBN: 978-983-3718-31-3
Pengulas: Mohd. Khuzairi Ismail

Buku yang membincangkan mengenai permasalahan politik semasa dan isu antarabangsa dalam konteks pembacaan ringan sesuai untuk pemahaman secara santai agak sukar untuk ditemui di pasaran.

Lazimnya kebanyakan buku dengan fokus perbincangan sebegitu seringkali merungkai sesuatu isu atau polemik antarabangsa dengan sangat mendalam dan begitu terperinci, tiada bezanya seperti bacaan ilmiah atau buku rujukan untuk penuntut-penuntut di universiti.

Dengan konsep penerbitan sebegitu, bahan bacaan yang seharusnya berguna sebagai tatapan umum untuk menyingkap jendela dunia dan memahami isu serta polemik semasa antarabangsa berubah menjadi buku yang sangat membosankan.

Berbeza dengan buku Politik Penguasaan Dunia & Isu Yang Selainnya ini, perbincangan mengenai permasalahan dunia dikumpulkan materialnya daripada siri-siri wawancara penulis sebagai seorang penganalisis antarabangsa, seperti yang pernah tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tujuh wawancara mengenai pelbagai isu antarabangsa utama yang menjadi perhatian dunia sepanjang masa itu diangkat semula ke dalam buku ini dan disusun mengikut kepentingan isu bermula pada Oktober 2001 sehingga April 2006.

Selain perbincangan dalam bentuk wawancara, buku ini turut dibahagikan kepada bab lain yang turut memuatkan tujuh artikel penuh yang mengupas pelbagai isu dan permasalahan global lain secara terperinci.


Seperti sesi wawancara, beberapa artikel itu juga pernah disiarkan di dalam Utusan Malaysia serta penerbitan antarabangsa lain termasuk untuk majalah Tempo, Indonesia.

Antara isu yang disorot oleh penulis yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST) di dalam wawancara itu termasuk percubaan segelintir elit yang diketuai oleh kepimpinan politik Amerika Syarikat (AS) untuk menguasai dunia.

Faktor-faktor yang menyebabkan politik penguasaan dunia ini, sifat politik penguasaan dunia, kesan-kesan daripada penguasaan, pendorong-pendorong politik penguasaan dan penentangan terhadap penguasaan politik elit Washington dan sekutu-sekutunya antara yang dapat difahami menerusi pembacaan buku ini.

Dalam salah satu sesi wawancara yang dimuatkan juga, penulis diajak berbincang mengenai seruan damai bagi 2005 dalam perspektif kelangsungan usaha untuk membetulkan kepincangan politik dunia.

Ternyata perbincangan itu yang berkisar mengenai aktiviti militan dan pengganas, peperangan di Iraq dan Afghanistan, kemelut krisis Palestin dan Israel serta keangkuhan AS sebagai perencana polemik antarabangsa masih menjadi isu yang relevan untuk dibincangkan dan belum berkesudahan sehingga kini.

Satu sesi wawancara turut didedikasikan buat Chandra mengupas mengenai peperangan yang dilancarkan oleh AS dan sekutunya, Britain ke atas Iraq pada 2003 yang disimpulkan beliau sebagai satu bentuk penjajahan baru menerusi pencerobohan bersifat penaklukan dan penguasaan.

Menerusi kupasan Chandra itu, dapat difahami agenda sebenar di sebalik peperangan itu ialah untuk membentuk satu Orde Baru iaitu dunia yang mana AS tidak ada tentangan sebaliknya menguasai 100 peratus dunia dan mewujudkan empayar global pertama dalam sejarah manusia.

Isu-isu lain yang turut dibincangkan termasuk hubungan antara peradaban, khususnya Barat dan Islam, cabaran terorisme serta peranan badan bukan kerajaan (NGO) Islam dalam pergerakan keamanan dunia.

Malah, Chandra menerusi satu artikel di dalam buku ini turut membincangkan secara terperinci mengenai pertembungan Islam dan Barat secara menilai faktor-faktor yang mendorong golongan tertentu di Eropah menaruh minat terhadap agama sebagai fenomena sosial.

Selain permasalahan antarabangsa, Chandra menerusi perbincangan di dalam buku ini juga memberi perhatian istimewa mengenai isu-isu domestik yang berhubung kait secara tidak langsung dengan politik antarabangsa seperti isu keharmonian agama dan hubungan ulama dengan masyarakat di negara ini.

Meletakkan dirinya sebagai aktivis yang pernah terbabit dalam gerakan reformasi sosial sejak tahun 1970-an, Chandra dalam perbincangan mengenai isu tempatan itu meletakkan satu impian tentang masa depan Malaysia supaya jurang perbezaan antara kaum dari segi sosial dan ekonomi dapat dikecilkan.

Beliau juga mahu isu-isu mengenai keadilan, ketelusan dan penyelewengan serta krisis nilai yang semakin meruncing dalam masyarakat diberikan perhatian secara serius oleh kerajaan dan dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu lebih terbuka mendengar pendapat yang berbeza.

Sesuai dengan kepekaan pengamatan beliau terhadap amalan berpolitik tempatan, Chandra menerusi salah satu sesi wawancara itu juga menyimpulkan untuk melihat satu suasana berpolitik yang lebih sihat dan kurang konfrontasi – sesuatu yang sememangnya ditagih dalam senario politik negara ketika ini.



[Utusan Online, 29/9/2008]

Pelan strategik lonjak kecemerlangan IPT

oleh Syuhada Choo Abdullah

Sebuah universiti baru berstatus Apex akan dibina dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi bagi melonjakkan kecemerlangan pengajian tinggi negara ke peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pejabat Pengurusan Program (PMO) Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata cadangan membina universiti itu adalah projek trek ketiga Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

"Menubuhkan universiti baru berstatus Apex bagi membentuk kecemerlangan dari peringkat awal lebih mudah berbanding melaksanakan perubahan di universiti sedia ada.


"Bagaimanapun, rancangan ini tertakluk kepada kedudukan kewangan kerana pembinaan universiti baru berstatus Apex memerlukan perbelanjaan tinggi," katanya kepada Berita Harian.

Awal bulan ini, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengumumkan pemilihan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Universiti Apex pertama, mengatasi beberapa universiti lain termasuk Universiti Malaya (UM).

Universiti Apex akan diberi autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepemimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian. Sahol Hamid berkata, pemilihan USM untuk merintis program itu adalah projek trek pertama PSPTN.


Beliau berkata, kementerian akan meneliti perkembangan USM dan jika ia menunjukkan kemajuan baik, kemungkinan besar satu lagi proses penilaian dan pemilihan universiti lain untuk memasuki program itu akan diadakan dalam tempoh setahun dua lagi.

Katanya, UM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang disenarai pendek dalam pemilihan sebelum ini, bagaimanapun tidak akan dipilih secara automatik sebaliknya perlu bersaing semula.

Beliau berkata, persaingan akan terbuka kepada permohonan institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang mungkin sudah melakukan penambahbaikan serta mencatat peningkatan kemajuan.


"Namun sebelum itu, kemungkinan besar kita akan melaksanakan dulu projek trek kedua PSPTN, iaitu program Apex khusus untuk pusat kecemerlangan di universiti yang tertumpu kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan saja. Polisinya berbeza dengan kemasukan keseluruhan sebuah universiti dalam program Apex.

"Insya-Allah, proses trek kedua ini akan bermula pada Disember depan, termasuk membuka permohonan dan keputusan pemilihan pusat kecemerlangan akan ditentukan menjelang Jun tahun depan," katanya.

[Berita Harian Online, 29/9/2008]

Sunday, September 28, 2008

SMS lebih bahaya

Perbuatan menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) ketika memandu lebih bahaya berbanding memandu dalam keadaan mabuk atau berada dalam pengaruh dadah, menurut penyelidikan baru Britain.

Kajian ke atas pemandu berusia antara 17 dan 24 tahun mendapati risiko mereka terbabit dalam kemalangan meningkat mendadak jika menulis, membaca malah walaupun tidak mempedulikan mesej teks ketika memandu.

Mesej teks mempunyai impak terbesar dalam kemampuan mereka memastikan kenderaan berada dalam lorong yang betul, dengan skil pemanduan mereka dinilai menjadi 90 peratus lebih teruk berbanding 35 peratus jika menghisap ganja.

Waktu yang diambil untuk bertindak balas juga perlahan sehingga 35 peratus, penurunan teruk berbanding pemandu yang melanggar had pengambilan alkohol ketika memandu dengan 12 peratus dan menghisap ganja sebanyak 21 peratus.


Kajian itu, yang diawasi oleh pertubuhan kenderaan Britain, Royal Automobile Club Foundation (RAC), menggesa kempen baru diadakan untuk memberi amaran kepada pemandu muda mengenai bahaya mesej teks.

“Peserta dalam kajian itu hampir sebulat suara dalam pandangan mereka bahawa memandu dalam keadaan mabuk adalah tindakan paling bahaya di jalan raya. Namun penyelidikan jelas menunjukkan pemandu yang bertukar mesej teks lebih bahaya berbanding pemandu pada had alkohol dibenarkan.

“Tiada pemandu bertanggungjawab yang akan memandu dalam keadaan mabuk. Kita perlu memastikan golongan ini memahami tindakan bertukar atau membaca mesej teks adalah perkara paling bahaya boleh dilakukan ketika memandu,” kata pengarah RAC, Stephen Glaister.


Menurut RAC, 48 peratus rakyat Britain berusia antara 18 dan 24 tahun menghantar atau membaca mesej ketika memandu walaupun dilarang berbuat demikian.

[Berita Harian Online, 28/9/2008]

Tingkatkan toleransi ketika Ramadhan

Suasana berpuasa di kalangan masyarakat Islam telah dimaklumi oleh seluruh rakyat Malaysia. Kehadiran bulan Ramadhan selama sebulan mengubah sejenak rentak hidup sebahagian besar masyarakat. Jika sebelum ini masyarakat Islam bersenang-senang dengan makan dan minum sepanjang hari, kini ia menjadi tegahan di siang hari. Bagaimanapun mereka tidak ada masalah untuk mengikut arahan ini.

Masyarakat bukan Islam turut mempelajari perubahan gaya hidup ini. Jika mereka berhajat untuk makan di restoran pada pukul 7 petang, mereka akan dapati semua tempat telah penuh diisi. Pada masa depan tentulah mereka akan memilih waktu lain untuk datang. Dari sinilah kefahaman terhadap amalan agama Islam bermula.

Ramadhan, awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka. Apakah umat Islam benar-benar menggunakan peluang ini untuk beribadah sepenuh hati kepada Allah swt? Peluang untuk menggandakan pahala dalam semua perkara – solat sunat, sedekal jariah, tadarus al-quran atau beriktikaf di masjid.

Sebahagian besar surau dan masjid akan penuh dengan jemaah yang teruja dengan solat tarawih pada awal Ramadhan namun suasana ini semakin malap apabila tibanya akhir Ramadhan. Awanya bersemangat, penghujungnya lesu. Keadaan ini wajar diubah. Di akhir Ramadhan Allah swt menghadiahkan malam lalilatur qadar iaitu satu malam yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan. Firman Allah swt dalam surah al-qadr ayat 1 hingga 3 yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-quran) pada malam kemuliaan (al-qadar). Dan tahukah kamu apakah malam qadar itu? Malam qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.

Ramadhan bukan sahaja bulan untuk beribadah bagi mendapatkan ganjaran pahala malah bulan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat bulan Islam betapa Islam adalah suatu sistem hidup yang merangkumi semua perkara. Mengajak mereka untuk berbuka puasa bersama adalah permulaan yang sangat baik bagi mengenengahkan keindahan Islam.

Masyarakat bukan Islam di Malaysia berada dalam keadaan memahami kehendak masyarakat Islam ketika berpuasa seperti menjaga makan dan minum malah berhati-hati apabila memilih pakaian yang hendak dipakai supaya tidak terlalu menjolok mata.

Bagi mendedahkan suasana berpuasa dan detik-detik ketika buka puasa, penyelidik bersama-sama rakan-rakan yang bukan Islam telah memilih sebuah restoran untuk berbuka. Kehadiran mereka ke majlis ini sangat dirai dan dihargai kerana kesudian mereka untuk melihat dan merasai suasana indah ketika berbuka. Di situ mereka boleh memilih apa sahaja makanan dan minuman yang disukai.


Seorang rakan dari Myanmar membisikkan ke telinga penyelidik bahawa ini adalah kali ketiga beliau bersama-sama berbuka puasa sejak belajar di Malaysia. Kefahamannya terhadap agama Islam dan amalan berpuasa juga turut bertambah kerana amalan puasa dalam setiap agama berbeza-beza.

Sementara rakan yang beragama Hindu dan Sikh turut berasa gembira kerana dapat hadir ke majlis itu. Ketika orang lain mencari-cari makanan untuk berbuka, mereka memerhati dengan minat bagaimana sepuluh minit sebelum berbuka digunakan oleh kami. Tidak ada perebutan, setiap orang berbaris mengambil makanan, sabar menunggu giliran dan anak-anak juga dididik dengan kesabaran untuk makan.

Toleransi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum berada pada kedudukan yang sangat baik ketika ini apabila kefahaman agama ditekankan. Suasana seperti ini perlu dimantapkan supaya setiap orang akan lebih hormat sesama sendiri. Jiran menghormati jiran, pemimpin menghormati kehendak rakyat dan orang beragama memberi faham kepada masyarakat. Dalam jangka masa panjang, kefahaman beragama memupuk sikap saling menghormati dan membina hubungan mantap antara kaum.