Thursday, February 10, 2022

Orang yang berani dapat habuan lebih besar


Berani sering kali di salah tafsir. Berani bukannya ketiadaan rasa takut tetapi kerana pertimbangan risiko. 

Ada perkara dan tindakan yang berisiko tinggi dan ada yang berisiko rendah. Banyak keistimewaan dalam sifat berani ini. 

Orang-orang yang berani sering kali mendapat habuan yang lebih besar daripada orang yang pandai. 

Berapa ramai orang yang berani menghadapi cabaran telah mendapat ganjaran yang besar? 

Dengan keberanianlah kita dapat merasa keselesaan hidup, dapat menikmati resepi yang enak-enak dihidangkan di atas meja dan juga dapat melawat banyak tempat menarik dengan kapal yang mewah. 

Orang yang berani mahu mengambil risiko, orang yang takut enggan atau was-was dengan tindakan mereka.

Wednesday, February 09, 2022

Gagal adalah lumrah


Orang yang cemerlang selalu juga berhadapan dengan kegagalan. Orang yang dapat naik pangkat mungkin dua atau tiga kali pernah gagal dalam sesi temuduga. 

Orang yang berjaya berkahwin mungkin sekali dua pernah gagal bercinta. Malah orang yang gagal dalam bisnes sudah lali dengan kegagalan kerana gagal adalah istilah biasa dalam bisnes. 

Saya hendak kata di sini, orang-orang yang cemerlang ini jika dilihat susur-galur usahanya, pernah beberapa kali gagal. 

Namun mereka melihat kegagalan daripada perspektif yang berbeza. 

Mereka menerima kegagalan sebagai “kejayaan yang ditangguhkan” justeru mereka belajar teknik dan kaedah lain sehinggalah mendapat kejayaan. 

Kita juga boleh berfikir cara yang sama supaya tidaklah terlalu kecewa apabila gagal mencuba.


Tuesday, February 08, 2022

Tanggungjawab diri


Kita wajar mempunyai kesedaran bahawa kita bertanggungjawab ke atas kehidupan kita. Kesedaran ini bukan sekadar di sekolah, pejabat, dalam komuniti kejiranan atau sebagai warganegara malah sebagai orang yang beragama. 

Dengan meletakkan tanggungjawab pada diri, kita menjadikan diri sendiri sebagai pengemudi hidup. 

Oleh kerana kita yang membentuk apa yang berlaku, secara logiknya kita juga boleh menukarnya. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. 

Sering kali kita lihat apabila sesuatu yang tidak menepati kehendak atau memenuhi cita rasa kita, kita cenderung menyalahkan orang lain. 

Jika ini berlaku, kita akan menjadi kurang pertinbangan dan tidak mampu lagi berhijrah menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab.


Monday, February 07, 2022

Input perubahan minda


Kepercayaan memusnahkan hadangan yang dianggap mustahil. Kesepaduan minda dan fizikal serta doa telah mengubah kehidupan orang susah, orang miskin dan orang yang tidak ada harapan kepada kesejahteraan hidup. 

Namun untuk berubah seperti ini bukannya senang sebaliknya ada proses yang perlu dilalui.

Tidak kira sama ada orang lain atau diri sendiri yang perlu memberi kesedaran, proses ini adalah langkah awal untuk menjana keprcayaan bahawa berubah hidup ke arah lebih baik wajar menjadi pilihan. 

Kesedaran ini perlu diiringi dengan strategi dan teknik serta sokongan supaya orang yang susah tadi yakin bahawa dirinya boleh menjadi senang. 

Apabila mindanya terbuka kepada input-input perubahan, insya Allah proses pengisian kemahiran menjadi lebih mudah.


Sunday, February 06, 2022

Tentukan nilai kepercayaan diri


Dalam siri-siri motivasi yang lepas, saya menyatakan kelebihan mempunyai nilai kepercayaan diri atau ‘belief system’. 

Mempunyai nilai ini membolehkan kita merasai tahap hidup yang berbeza. 

Dalam ayat yang mudah, sistem kepercayaan diri menentukan kualiti hidup yang ada pada kita. 

Jika kita percaya pergi ke sekolah atau universiti amat membosankan, kita hanya belajar separuh jalan. 

Namun jika kita percaya sekolah dan universiti adalah tempat yang dapat mengubah nasib dan kehidupan masa hadapan, kita mungkin mendapat gred yang terbaik dalam peperiksaan. 

Jika kita percaya yang kita boleh melakukannya, insya Allah kita boleh kerana kita akan berusaha ke arah itu.


Saturday, February 05, 2022

Impak label pada diri


Sepanjang hidup kita, bermula di sekolah hinggalah kita bekerja, berkahwin dan beranak-pinak, kita sentiasa membuat atau memberi penilaian ke atas diri sendiri, khususnya terhadap tindakan-tindakan kita. 

Akhirnya, kita membentuk banyak label pada diri sendiri. Label diri yang banyak ini disimpulkan menjadi satu atau dua label yang dominan. 

Jika kita meletakkan label rajin, maka rajinlah kita. 

Jika kita meletakkan label malas, maka malaslah kita. 

Label-label ini dikukuhkan oleh rakan sebaya, guru dan ibu bapa. Oleh kerana label ini dilayan dan diberi perhatian, kita menganggapnya sebagai realiti. 

Pada saya, kualiti hidup yang kita hadapi hari ini adalah kesan langsung daripada label-label yang kita bentuk selama ini.


Friday, February 04, 2022

Tiru cara orang yang telah berjaya


Apabila kita mendengar atau melihat kejayaan orang lain, mungkin kita rasa sedikit cemburu. Namun, tunggu! Kita juga boleh berjaya seperti mereka dengan kaedah meniru. 

Tidak salah untuk meniru sikap dan tingkah laku orang-orang yang telah berjaya ini. Konsepnya adalah jika kita boleh meniru sikap dan tingkah laku, kita juga boleh meniru hasilnya. 

Ada berapa perkara yang boleh ditiru seperti kepercayaan terhadap kerjaya, percaya boleh buat, mengurus diri dan mengurus masa, bijak membina jaringan sosial dan bekerja sekuat hati.

Walaupun kita begitu yakin dapat meniru sikap, tabiat dan keputusan yang baik sekalipun, berdoa kepada Allah swt mesti diulang-ulang supaya kejayaan seterusnya menjadi lebih baik dan bermanfaat.

Thursday, February 03, 2022

Cara tingkatkan harga diri


Orang yang cemerlang bertentangan watak mereka. Salah satu ciri adalah mempunyai harga diri yang tinggi. 

Mereka melihat diri sebagai pemenang. Jadinya, mereka belajar atau bekerja dengan khusyuk, memenuhi masa dengan berusaha lebih banyak berbanding orang lain. 

Apabila mereka mendapat kenaikan pangkat, seperti yang dijangka, kejayaan ini akan mengukuhkan lagi imej positif diri dan melipat gandakan harga diri. 

Umpamanya ombak yang terus-menerus ke pantai, kejayaan juga seperti ombak yang boleh dicapai secara berterusan dengan syarat kita memiliki harga diri positif dan mahu berusaha.


Wednesday, February 02, 2022

Cara lihat diri sendiri tentukan kejayaan


Cara kita melihat diri sendiri menentukan apa yang kita fikir dan juga menentukan sejauh mana kita berusaha mencapai matlamat dan impian hidup. 

Usaha kita tentu menentukan hasilnya dan umpama sebuah kitaran, hasil tadi menentukan sejauh mana kita memperkemas keupayaan diri sendiri. 

Contohnya, jika kita melihat diri sendiri sebagai pelajar yang “sudah tidak ada harapan” dalam pelajaran, kemungkinan besar cara fikir ini mempengaruhi kesungguhan untuk belajar. 

Jadi, buat apa belajar kalau sudah tidak boleh pergi jauh. Hasilnya kita kurang membaca dan membuat ulang kaji, lebih banyak menonton televisyen berbanding menyediakan masa untuk peperiksaan.


Tuesday, February 01, 2022

Penentu kejayaan: persepsi, sikap dan tindakan


Sebelum kita dapat menggunakan kaedah dan teknik terbaik untuk mencapai kejayaan sama ada di sekolah, tempat kerja, pertandingan maupun di rumah, membuat penilaian adalah penting. 

Justeru, menyatakan dengan jujur sama ada kita boleh mendapat sembilan persepuluh atau sepuluh persepuluh dapat memberi tanggapan awal tahap keupayaan kita. 

Cara memberi respon kepada prestasi kita juga boleh menjadi satu bentuk penilaian. Mungkin soalan tadi dianggap mudah tetapi sebenarnya tidak kerana persepsi terhadap sikap dan tindakan kepada kejayaan menentukan pilihan iaitu berjaya atau gagal. 

Saya tidaklah menyokong kenyataan bahawa dengan berfikir semata-mata kita dapat “A” dalam peperiksaan atau anugerah kecemerlangan. 

Bukan itu caranya sebaliknya fikiran kepada realiti, kita perlu kemahiran dan tindakan.