Tuesday, August 10, 2021

Nilai diri dan buat persiapan


Sangat jarang ada orang yang sentiasa menang dalam semua pertandingan. Biasanya ada sekali dua pertandingan yang kalah. 

Contohnya dalam pertandingan tinju. Sebelum dinobatkan sebagai juara, berhadapan dengan peninju yang hebat amat menakutkan kerana mungkin dibelasah sehingga tewas. 

Dalam senarai juara ahli gusti, pasti ada ahli gusti ini yang pernah kalah sebelum mereka berjaya menjadi juara kerana setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. 

Jadi, kalau kita kalah dalam sesuatu persaingan, janganlah bersedih kerana kalah tidak bererti kalah selama-lamanya. 

Yang penting ialah kembali menilai keupayaan diri dan membuat persiapan yang lebih baik.


Monday, August 09, 2021

Menilai kasih sayang


Bagaimana kita mengukur kasih sayang? 

Adakah dengan memberi RM1000 kepada kedua ibu bapa dikatakan ada nilai kasih sayang?

Ataupun adakah dengan memberi ucapan tahniah kepada rakan yang baru dinaikkan pangkat dikatakan ada kasih sayang? 

Pada saya, kedua-dua tindakan ini ada unsur-unsur kasih sayang kerana sifat ini boleh dipamerkan dengan banyak cara. 

Pasangan suami isteri yang sedang bercinta lebih terserlah kasih sayang mereka seperti kerap mengambil berat, menjaga tutur kata, bermesraan, berlapang dada, selalu belanja makan dan mendoakan kebahagiaan. 

Sayang merupakan anugerah Allah swt kepada kita, sifat mulia yang harus dikongsi bersama dengan orang lain. 

Pamerkan sayang anda, Insya Allah orang lain turut menyayangi kita.


Sunday, August 08, 2021

Beri maaf dan lupakan saja


Perasaan marah, benci dan dendam boleh menjejaskan kegembiraan dan kesenangan hidup.

Jika perasaan negatif ini membelenggu diri kita, banyak perubahan hidup akan berlaku. Antara perubahan yang ketara ialah jiwa dan fikiran. 

Jiwa yang dipenuhi dengan nilai-nilai negatif ini mengganggu hubungan silaturrahim dengan rakan-rakan, jiran tetangga, dengan bos di tempat kerja atau dengan saudara-mara yang lain.

Fikiran juga memberi pengaruh besar ke atas jiwa. 

Membuat andaian tanpa usul periksa juga mempengaruhi jiwa untuk bertindak seiring dengan apa yang ada di fikiran. 

Satu cara yang praktikal untuk menghilangkan perasaan marah, benci dan dendam ialah memberi maaf dan lupakan sahaja. Semoga Allah swt memberkati hidup kita.


Saturday, August 07, 2021

Usaha sendiri puas hati


Kita selalu mendengar ungkapan ‘kita merancang, Tuhan yang menentukan’. 

Hidup yang kita lalui tidak selalu dipenuhi saat-saat yang menggembirakan. Ada masanya kita kecewa dan putus harapan. 

Ada masanya kita sangat gembira. Kedua-dua masa ini saling bertukar ganti. Ketika berhadapan dengan saat-saat sukar, kita harus cekal, tabah dan sabar. 

Orang yang telah berjaya memiliki jiwa besar dan berani menempuh semua rintangan hidup.

Apakah contoh orang yang berjiwa besar ini? 

Saya ambil contoh graduan universiti yang berjaya dalam hidup. Graduan ini belajar di peringkat diploma dan sukar mendapat kerja kerana saingan yang sengit. 

Lalu beliau bekerja sendiri sebagai usahawan cendawan. Sebagai usahawan, pendapatan bulanannya hampir RM10,000 sebulan.


Friday, August 06, 2021

Karisma diri


Satu sifat yang menarik ramai orang dan boleh dibentuk oleh sesiapa sahaja ialah karisma. 

Sifat karisma ini lahir dari dalam diri. Dalam istilah hari ini, karisma boleh disamakan dengan ‘aura’. 

Dua ciri yang terdapat pada karisma ialah jujur dan berterus-terang. Pekerja yang berkarisma mudah dinaikkan pangkat, peniaga yang berkarisma lebih cepat mendapat kepercayaan pelanggan, menawan hati lebih ramai pelanggan dan menjadi sebutan. 

Keberkesanan karisma ialah kita disukai oleh orang lain. 

Bakat pula ialah satu cara bagaimana karisma terbentuk tetapi orang yang lebih berkesan ialah membentuk karisma melalui usaha sendiri, menambah ilmu dan tahap kesarjanaan, membersihkan hati dan membina hubungan dengan Allah swt. 

Bina diri, bina karisma diri.


Thursday, August 05, 2021

Seberkas lidi susah dipatahkan


Kemajuan dan kejayaan sesebuah organisasi seperti kelab, persatuan dan koperasi sama ada kecil ataupun besar, banyak ditentukan oleh hubungan sesama ahli atau anggotanya. 

Tidak kira di peringkat mana kita berada sekalipun- presiden, setiausaha, ahli jawatankuasa atau ahli biasa, corak pemikiran dan budaya kerja harus diubah bagi memastikan visi dan misi organisasi dapat direalisasikan. 

Kesatuan dalam berfikir menentukan bentuk budaya kerja yang mendominasi organisasi. 

Untuk membentuk corak berfikir yang seiring dengan matlamat dan hala tuju organisasi, banyak cara yang boleh dibuat seperti taklimat, aktiviti luar yang bersifat ‘outdoor camp’, kursus dan bengkel. 

Jika kita dapat menghayati dan mengguna pakai peribahasa ‘sebatang lidi mudah dipatahkan, seberkas lidi susah dipatahkan’, insya Allah organisasi kita akan kuat.


Wednesday, August 04, 2021

Sikap tidak bergantung kepada orang lain


Sekiranya satu hadiah yang anda hendak beri kepada rakan baik atau pelajar dalam kelas anda, apakah hadiah yang anda hendak beri? 

Pada saya, hadiah yang boleh diberikan ialah sikap tidak bergantung kepada orang lain. 

Sikap ini boleh mendorong semangat dan membantu hala tuju rakan kita tadi. Ia juga menyerlahkan keyakinan diri dan menolak jauh-jauh putus asa, kecewa tidak bertempat atau rasa rendah diri. 

Contoh tidak bergantung kepada orang lain adalah bekerja sendiri. Kita boleh mendapat pendapatan lebih besar dan lumayan dengan berniaga sendiri. 

Walau bagaimanapun sikap ini perlu dibentuk dan dicanai supaya menjadi tabiat. 

Sikap ini menjadikan kita lebih kawalan dan menentukan arah tujuan perjalanan hidup dan masa hadapan sendiri.



Tuesday, August 03, 2021

Kerap beri pujian


Sesiapa sahaja, sama ada kanak-kanak atau orang dewasa suka dengan pujian. 

Kuasa pujian ini lebih hebat daripada sindiran. Pujian yang bagus memberi kesan kepada spiritual, mental dan fizikal. Kita ambil contoh memberi pujian kepada kanak-kanak. 

Mereka adalah kelompok yang paling cepat responnya kepada pujian. 

Seorang kanak-kanak yang agak malas membaca buku atau agak ‘liat’ hendak mengulangkaji pelajaran, memberi sedikit pujian berkaitan tingkah laku baik mereka akan merangsang fikiran untuk berfikir tentang diri mereka. 

Selepas fikir, mereka akan buat apa yang kita mahu seterusnya menjadi ingatan yang kuat di hati. 

Jadi, selalulah belajar memberi pujian supaya kita boleh memuji kebaikan dan kebolehan orang lain.


Monday, August 02, 2021

Siapa sahaja boleh berjaya


Semua orang mahukan kecemerlangan. 

Semua orang juga boleh mendapat kecemerlangan kerana kecemerlangan tidak ditentukan oleh warna kulit, keturunan, bangsa, kepercayaan, fahaman ideologi, persekitaran dan sebagainya. Banyak contoh kejayaan yang kita dapat lihat. 

Anak-anak orang miskin yang dibantu dari segi pendidikan formal, diberi bantuan kewangan dan sokongan moral, akhirnya membesar sebagai seorang pegawai yang cemerlang di tempat kerja, seorang usahawan muda yang berjaya dan pada masa yang sama kembali menyumbang khidmat kepada masyarakat. 

Mitos mengatakan kecemerlangan hanya untuk orang-orang tertentu sahaja sudah berlalu kerana pada hakikatnya, kecemerlangan boleh diperolehi oleh sesiapa sahaja asalkan mahu berusaha dan gigih membaiki kelemahan dan kekurangan diri.

Sunday, August 01, 2021

Ke hadapan atau mundur



Jika kita mahu berkembang dan maju, kita mesti sentiasa berusaha untuk berubah atau membuat perubahan. 

Perubahan tidak dapat ditangguh kerana persekitaran kita telah berubah. 

Persekitaran kita sentiasa berubah kerana ia bersifat dinamik. Contoh dinamik ialah pendidikan.

Pencari kerja yang gagal memiliki kemahiran komputer akan gagal dalam persaingan mendapat pekerjaan. Jadi, perubahan demi perubahan tidak dapat ditahan-tahan lagi. 

Kita hanya ada dua pilihan iaitu maju ke hadapan atau mundur ke belakang. Untuk maju, kenalah berusaha keras seiring dengan perubahan persekitaran. 

Jika tidak, makin lama makin jauhlah kita daripada merasakan perubahan yang lebih baik.