Tuesday, May 11, 2021

Hidup untuk memberi



Andainya kita bertanya kepada orang ramai apakah barang yang mereka paling suka, tentulah jawapannya berbagai-bagai.

Ada yang suka kereta baharu, rantai emas atau kesihatan yang baik.

Maknanya, selera orang ramai berbeza-beza tetapi saya yakin mereka akan setuju seratus peratus jika saya katakan barang yang paling mereka suka adalah yang diberi secara percuma atau barang ‘free’.

Kalau kita bertindak sebagai pemberi dan orang lain yang menerimanya dengan senang hati, apakah yang masih tinggal pada kita? 

Apakah kita akan papa kedana? 

Tidak ada harta? 

Hidup merempat? 

Hakikat hidup adalah memberi. Orang yang paling beruntung adalah yang paling banyak memberi. 

Insya Allah orang yang banyak memberi sumbangan tidak akan miskin kerana Allah swt Maha Pemberi.

Monday, May 10, 2021

Kenapa OKU boleh berjaya?



Kita bertuah dan bersyukur kerana dilahirkan dengan tubuh badan yang sempurna. Cukup sifat dan dapat melalui kehidupan dengan bahagia. 

Sebaliknya ada yang dilahirkan dengan tubuh badan yang tidak cukup sifat. Kita meletakkan mereka dalam kelompok orang kurang upaya (OKU). 

Namun ada kalanya kita salah memberi tafsiran OKU. Walaupun tidak cukup sifat-sifat fizikal, ada dalam kalangan mereka yang sangat berjaya dalam hidup, berjaya dalam akademik dan berjaya dalam bisnes. 

Kejayaan yang dikecapi adalah kerana mereka memiliki prinsip diri yang hebat, bertenaga dan mampu merangsang fikiran dan spiritual untuk tabah menghadapi cabaran. 

Jika OKU mampu berjaya dalam hidup, kenapa orang yangs empurna tubuh badan seringkali tewas dan mengalah dalam cabaran?

Sunday, May 09, 2021

Ambil peluang bila tiba masanya



Ruud van Nistrelroy adalah pemain bola sepak kelab Manchester United yang banyak menjaringkan gol. 

Namanya dikenang sebagai pemain yang sangat berbahaya dan ketika di atas padang, beliau bebas bergerak untuk merembat bola ke gawang. 

Rakan-rakan pasukan sentiasa mencarinya untuk melantunkan bola supaya beliau boleh menyepak dengan tepat. 

Dalam setiap permainan, beliau lebih banyak bergerak untuk mencipta lebih banyak peluang. Begitu juga dengan kita. 

Biar siapa pun kita, peluang mesti dicari dengan banyak bertanya, bergerak dan kerap belajar daripada kegagalan. 

Peluang tidak selalu datang. 

Kalau datang pun, kadang-kadang kita melepaskannya begitu sahaja kerana tidak bersedia, kurang pengalaman dan mungkin juga kerana kejahilan diri kita sendiri.

Saturday, May 08, 2021

Satu peratus setiap hari



Persaingan merebut juara atau nombor satu sentiasa sengit. 

Adakalanya kedudukan antara tempat pertama dan kedua cuma beza 0.01 peratus tetapi juara yang mendapat pingat emas dan naib juara hanya dapat perak. 

Apakah yang boleh membuatkan orang nombor dua atau nombor tiga dapat muncul sebagai juara? 

Anthony Robbins, seorang pakar motivasi diri telah memberi formula kejayaan dalam bukunya, ‘Awakening the Giant Within’ iaitu CANI (Constant and Never Ending). 

Maksud CANI ialah strategi peningkatan diri secara berterusan. 

Andainya kita sentiasa memikirkan untuk membuat perubahan yang lebih baik biarpun hanya satu peratus setiap hari, tindakan ini adalah lebih baik daripada duduk berdiam diri atau mengkritik orang lain yang hendak membuat perubahan.

Friday, May 07, 2021

Kerja berpasukan lebih cekap



Seorang pemandu kereta melambai-lambai tangan di tepi jalan raya mengharapkan simpati pengguna jalan raya. 

Kisahnya adalah kereta yang dibawanya terbabas dan masuk ke dalam parit di situ. Agak lama menunggu, muncul sebuah kereta kuda bersama jurumudi yang agak berumur. 

Dengan harapan untuk memberi bantuan, jurumudi kereta kuda itu bertanya adakah pemandu itu sudi ditolong. Mulanya pemandu itu agak keberatan kerana tidak yakin kereta yang terbabas sukar ditarik keluar. 

Namun, selepa dipujuk, barulah beliau bersetuju. Tali pengikat ditaut pada bonet kereta lalu ditarik oleh kuda. Jurumudi ini menjerit, ‘Ayuh Hitam, ayuh Putih, ayuh Kuning…’ sambil memukul belakang kuda. Tidak sampai lima minit, kereta pemandu tadi telah ditarik keluar dari parit. 

Bagaimana seekor kuda boleh menarik kereta begitu pantas? 

Jurumudi menggunakan nama-nama warna sebagai pemberi semangat psikologi untuk kudanya seolah-olah banyak kuda yang bersama-sama menarik beban. Hal ini menggambarkan usaha-usaha menarik itu adalah kerja berpasukan walaupun hakikatnya hanya seekor kuda yang bekerja.

Thursday, May 06, 2021

Rakan cermin hidup



Rakan-rakan adalah cermin diri kita. 

Apa yang mereka katakan, fikirkan dan buat tindakan kerap kali mempengaruhi sikap kita.

Ketika zaman persekolahan dahulu, saya sering perhati rakan-rakan yang menghabiskan masa lapang bersama mereka yang merokok, sebahagian besar daripada rakan-rakan saya ini membesar sebagai seorang perokok. 

Ada yang berjinak-jinak dengan surau dan masjid akhirnya menjadi imam dan aktivis masyarakat yang disegani. 

Greg Reid, seorang jutawan yang terkenal menyarankan supaya kita mencari rakan-rakan yang sealiran dengan kita tetapi mereka lebih cemerlang dan berjaya. 

Seorang pemain badminton akan menghasilkan pukulan ‘smash’ yang lebih baik jika beliau bermain dengan rakan yang lebih hebat, sebaliknya jika terlalu lama bermain dengan pasangan yang lebih kurang sama handal, sudah pasti tahap permainannya tidak banyak perubahan.

Wednesday, May 05, 2021

Keputusan hari ini penentu masa hadapan



Kehidupan yang kita sedang lalui hari ini merupakan hasil daripada keputusan-keputusan yang kita ambil pada masa lalu. 

Ada orang yang berasa bahagia kerana telah membuat keputusan yang tepat, sebaliknya ada orang yang kecewa dan menyesal kerana salah membuat keputusan. 

Apakah tersalah membuat pilihan menjadikan kita gagal selama-lamanya? 

Atau adakah dengan membuat keputusan yang betul kita akan berjaya selamanya? 

Jawapan kepada dua soalan ini saya bawakan kisah benar seorang pelajar yang berjaya menjadi mahasiswa cemerlang di sebuah kolej. 

Berdasarkan keputusan peperiksaan sekolah menengah, ibu bapa meminta mahasiswa ini mengambil jurusan perubatan sebaliknya beliau mengambil jurusan pendidikan yang memberi fokus kepada pendidikan awal kanak-kanak. 

Ibu bapanya kecewa dan marah. 

Namun mahasiswa ini membuktikan kecemerlangan dengan pilihannya tepat. Hari ni beliau bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Tuesday, May 04, 2021

Tiga warna kehidupan


Pengguna jalan raya amat biasa dengan lampu isyarat berwarna merah, hijau dan kuning.

Warna merah bermaksud berhenti, kuning bermaksud bersedia untuk berhenti dan hijau bermaksud boleh meneruskan perjalanan. 

Dengan memahami erti warna setiap lampu isyarat ini, sistem jalan raya menjadi teratur dan sangat efisien. 

Kita juga boleh mengaplikasi warna-warna ini dalam hidup. 

Merah boleh diertikan sebagai ‘Don’t let obstacles stop us’ iaitu tidak membiarkan halangan-halangan mengentikan semangat kita untuk berjaya. 

Kuning bererti ‘Look for opportunities’ iaitu lihat peluang-peluang yang ada di sekitar dan hijau adalah ‘Go for it’ iaitu kalau sudah pasti memang ada peluang dan ruang, teruskan usaha kita, insya Allah kejayaan menjadi milik kita.

Sunday, May 02, 2021

Berubah ke arah kebaikan



Ramai orang yang hendak berubah. 

Kalau seseorang itu sedang bekerja makan gaji, beliau teringin hendak berhenti kerja supaya dapat berikan tumpuan kepada bisnes yang sedang diusahakan. 

Bagi yang sedang menganggur, tekanan mencari pekerjaan akan berkurangan apabila mendapat tawaran kerja walaupun gaji yang ditawarkan tidak memenuhi harapan. 

Ada kalanya perubahan yang hendak dibuat itu menyimpang jauh daripada tujuan sebenar.

Sepatutnya perubahan adalah ke arah kebaikan dan peningkatan kualiti hidup, bukan sebaliknya. Sebaiknya kita berfikir yang bekerja dan mencari pendapatan adalah jambatan untuk berjaya di akhirat. 

Perubahan inilah yang kita patut sedar. Kapal menggunakan laut untuk sampai ke pantai. Air dalam kapal perlu dijaga supaya tidak menenggelamkan kapal dan selamat sampai ke pantai. Dunia adalah alat, akhirat adalah matlamat. Pantai akhirat ada dua iaitu syurga dan neraka. Jadikan dunia, kehidupan kita hari ini sebagai lautan yang akan menghempaskan kita ke pantai syurga. Berubahlah dengan teknik yang terbaik supaya kita mendapat pahala yang berganda-ganda. Perubahan itu mudah andai kata kita mahukannya.

Saturday, May 01, 2021

Menghargai masa



Usia kita berlalu setiap hari. Oleh kerana itu, setiap masa adalah amat berharga. 

Melakukan saranan Allah swt dan Rasul-Nya adalah sebaik-baik pekerjaan. Kita bekerja kerana Allah swt, kita makan, bersenam atau berniaga juga kerana Allah swt supaya Allah swt sayang kepada kita. 

Umur yang berlalu dan beredar tidak akan datang kembali kerana sifat masa adalah satu hala.

Andai kita buat yang baik, sudah tentu akan mendapat faedah manakala buat yang buruk akan mendapat bala. 

Masa adalah umur kita. 

Orang yang mensia-siakan masa sebenarnya mensia-siakan umurnya. Ada orang yang tidur sebelah siang di sambung lagi pada sebelah malamnya dan malas mencari kerja adalah ciri-ciri orang yang tidak memanfaatkan masa dan usianya. 

Orang yang dapat memenuhi masa dengan belajar bersungguh-sungguh, mempelajari teknik meningkatkan kemahiran atau menghasilkan ciptaan baharu, inilah sifat orang yang akan menjadikan hidupnya amat bermakna.