Tuesday, September 08, 2015

Transformasi sosioekonomi bumiputera: kajian kes di Sweetberry Cakes & Cookies








1.0 Pengenalan

Kajian ini tertumpu kepada sebuah premis perniagaan kek dan makanan iaitu perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies yang terletak di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka. Kajian yang terperinci dijalankan bagi memahami aktiviti perniagaan tersebut. Perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies dipilih sebagai subjek kajian  kerana perniagaan ini menunjukkan perkembangan yang positif dan menjadi tarikan orang ramai. Kemajuan perniagaan dan lokasinya yang strategik berdekatan dengan kawasan perumahan menjadikan kawasan ini menjadi tumpuan penduduk terutamanya warga setempat dan pelajar-pelajar yang berada di kawasan berdekatan.

Selain itu, perniagaan  Sweetberry Cakes & Cookies menyedia dan menjual pelbagai aneka kek dan pastri. Perniagaan ini turut mempunyai kafe yang menghidangkan pelbagai aneka masakan. Melalui variasi aneka barangan yang diniagakan, perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies lebih mantap dan mampu bertahan lama dalam bidang perniagaan.

Tarikan fizikal yang terdapat di premis perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies turut menyebabkan perniagaan ini menjadi topik kajian. Keindahan dan kebersihan premis perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies menjadi satu daya penarik orang ramai. Hiasan, dekorasi dan pemilihan warna yang sesuai yang dilakukan oleh pemilik perniagaan telah menjadi pemangkin  kepada lambang kemajuan perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies. Keadaan persekitaran yang kondusif dan bersih telah menimbulkan suasana yang nyaman kepada para pengunjung. Hal sedemikian dapat meningkatkan lagi keyakinan para pengunjung untuk membeli barangan keluaran Sweetberry Cakes & Cookies.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengetahui latar belakang perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies. Melalui pengetahuan tentang latar belakang perniagaan ini, kami dapat memahami dan mengetahui profil pemilik dan penubuhan perniagaan ini serta jenis barangan yang ditawarkan kepada masyarakat.

Selanjutnya, kajian ini turut dijalankan untuk mengetahui strategi pengurusan perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies. Dengan adanya data mengenai strategi dan perancangan perniagaan ini, kita boleh mempelajari selok-belok perniagaan dan terdedah kepada cara pengurusan sesuatu organisasi perniagaan.

Di samping itu, kajian yang dijalankan ini juga bertujuan untuk mengenal pasti masalah dan cabaran yang dihadapi dalam perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies. Kami juga dapat melihat saling kaitan di antara pengurusan perniagaan dan cara mengatasi kekangan yang berlaku dalam menjalankan sesutau perniagaan. Hal sedemikian mampu memberi pendedahan awal tentang tatacara perniagaan yang sistematik dan efisien. 


2.0 Kajian Literatur
                                               
Perniagaan merupakan pengagihan dan pertukaran semua barangan berlebihan yang dihasilkan daripada ladang-ladang, lautan, hutan-hutan dan kilang-kilang supaya mereka dapat diperoleh oleh pengguna terakhir pada tempat dan harga yang berpatutan (Vincent, 1995). Perniagaan adalah pertukaran barang atau perkhidmatan dengan wang untuk tujuan mendapatkan keuntungan atau sebarang bentuk faedah (Zumilah, 1999). Menurut Ronald J. Ebert dan Ricky W. Griffin (1998), perniagaan juga merupakan suatu organisasi yang membekalkan barangan atau perkhidmatan untuk mendapat keuntungan.

Berdasarkan definisi-definisi yang dikemukakan, maka perniagaan dapat disimpulkan sebagai suatu usaha untuk mengagih dan menukarkan barangan yang berbentuk barang fizikal atau perkhidmatan atau kedua-duanya daripada pengeluar asal kepada pengguna terakhir pada tempat dan harga yang berpatutan. Usaha pemindahan dan pertukaran barangan ini dijalankan berasaskan alat pertukaran yang telah dipersetujui oleh pengeluar asal dan pengguna terakhir. Pertukaran sedemikian akan membawa faedah dan keuntungan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha ini.

Barang niaga dikenali sebagai produk atau keluaran. Barang niaga terdiri daripada unit-unit yang dapat dilihat, dihidu, dirasa dan disentuh secara fizikal seperti baju, keropok, anak patung mainan dan sebagainya.

Keuntungan merupakan perbezaan di antara pendapatan dan perbelanjaan perniagaan. Keuntungan perniagaan yang menggalakkan peniaga-peniaga untuk menjalankan dan mengembangkan perniagaan mereka. Keuntungan juga merupakan pulangan atau ganjaran kepada peniaga-peniaga yang sanggup menghadapi risiko daripada pelaburan wang dan masa mereka. Formula keuntungan adalah seperti berikut:

Keuntungan (perniagaan) = Pendapatan  -  Perbelanjaan
Keuntungan (ekonomi) = Pendapatan – (Perbelanjaan + Kos Melepas*)
* Kos melepas merupakan kos yang terpaksa dilepaskan kerana membuat sesuatu pilihan.

Faedah juga dikenali sebagai kebaikan atau kelebihan. Semua pihak yang terlibat dalam perniagaan akan memperolehi faedah. Misalnya, seorang peniaga yang menjual barangan atau menyediakan perkhidmatan akan memberi faedah kepada pelanggannya. Pelanggan itu akan menggunakan barangan atau perkhidmatan yang disediakan untuk kepentingan diri iaitu mencapai matlamat individu atau organisasi.

Apabila kehendak dan keperluan dapat dipenuhi, maka seseorang akan berasa puas hati. Jika tidak, kepuasannya tidak akan tercapai. Konsep timbal balik antara peniaga dan pembeli menyebabkan masing-masing akan merasai kepuasan.

Keuntungan ialah objektif utama untuk kebanyakan organisasi perniagaan sama ada bersaiz besar atau kecil. Keuntungan merupakan faktor atau daya tarikan kepada seseorang individu untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan dan peniaga untuk mengembangkan perniagaan yang sedia ada. Keuntungan boleh menjadi pengukur prestasi sesebuah organisasi perniagaan, sama ada disifatkan berjaya atau gagal.

Kewujudan sesebuah organisasi perniagaan baru atau semasa keadaan ekonomi yang tidak stabil, objektif kemandirian (survival) adalah lebih penting daripada keuntungan. Kemandirian bertujuan untuk menyedarkan masyarakat umum tentang kewujudan organisasi perniagaan itu. Organisasi perniagaan harus cuba sedaya upaya untuk menarik perhatian masyarakat umum tentang kewujudannya.

Apabila organisasi perniagaan berjaya memperkenalkan diri kepada masyarakat umum tentang kewujudannya, maka ia harus berusaha untuk mengurangkan kerugian yang dialami di peringkat kemandirian. Usaha peningkatan keuntungan patut ditekankan supaya organisasi perniagaan itu bertumbuh dan terus membesar dan berdaya saing dengan organisasi perniagaan lain sama ada organisasi perniagaan tempatan ataupun antarabangsa.

Organisasi perniagaan itu harus memenuhi tanggungjawab sosialnya dengan menyediakan peluang-peluang pekerjaan, menjual barangan yang baik dan bermutu tinggi, menawarkan perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat dengan cekap dan pada kadar atau harga yang berpatutan dan membantu negara untuk mempertingkatkan kedudukan ekonominya.

Perniagaan dapat memenuhi keperluan masyarakat. Hasil daripada aktiviti-aktiviti perniagaan, iaitu urusan pembelian dan penjualan, para peniaga akan memperolehi keuntungan manakala pihak pembeli dan pengguna pula memiliki barangan dan perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak mereka.

Sebahagian besar masyarakat menyara kehidupan melalui pekerjaan yang diperolehi daripada sektor perniagaan. Masyarakat boleh bekerja sebagai peniaga atau sebagai pekerja dalam organisasi perniagaan. Pendapatan yang diterima melalui pekerjaan yang diperolehi dapat menyara malah meningkatkan taraf hidup masyarakat. Selain itu, pekerja-pekerja yang kehilangan pekerjaan dan terdesak semasa berlakunya kemelesetan ekonomi boleh beralih kepada perniagaan terutamanya perniagaan secara kecil-kecilan sebagai sumber rezeki yang baru.

Kefahaman terhadap konsep perniagaan dapat membantu malah mencegah pengguna terakhir daripada ditipu oleh para peniaga yang menggunakan teknik-teknik perniagaan yang berniat serong seperti perniagaan jualan murah di pasaran. Pembeli-pembeli harus bijak dan berhati-hati semasa membeli-belah.

Kefahaman terhadap konsep perniagaan memudahkan lagi individu ataupun organisasi untuk memahami dan mengenal pasti sebarang pergolakan perniagaan semasa. Masyarakat yang giat berkecimpung dalam bidang perniagaan akan meningkatkan kedudukan sosioekonomi mereka.

Pihak berkuasa akan cuba memperbaiki kemudahan asas atau infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik di sesebuah tempat bagi meyakinkan dan menarik para pelabur. Peningkatan prasarana asas ini secara tidak langsung membawa kesan kepada pembangunan kawasan dan masyarakat tempatan yang terlibat dalam perniagaan.


3.0 Metodologi Kajian

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, metodologi didefinisikan sebagai satu sistem yang merangkumi kaedah dan prinsip yang digunakan dalam sesuatu kegiatan atau disiplin. Oxford Compact English Dictionary mendefinisikan kajian sebagai “The systematic investigation into and study of material, and sources, in order to establish facts and reach new conclusions” (ODEC, 1996). Kamus Dwibahasa Oxford Fajar pula menyatakan isitilah metodologi sebagai kaedah yang digunakan dalan sesuatu bidang.

3.1 Reka Bentuk Kajian

Kajian ini jenis bukan eksperimental. Kajian ini melibatkan pengumpulan data, menganalisis data, melakukan interpretasi, membuat perbandingan dan merumus data.

3.2 Instrumen Kajian

Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah temu bual yang melibatkan penggunaan instrumen seperti buku catatan temu bual dan alat perakam suara. Peralatan sampingan seperti kamera turut digunakan untuk mengambil gambar sebagai bukti tempat dan bahan sokongan kajian.

3.3 Kaedah Kajian

Dalam kajian ini, data atau maklumat diperoleh melalui kaedah primer dan sekunder. Maklumat primer diperoleh melalui sesi temu bual yang dilakukan antara pengkaji dan pemilik perniagaan tersebut. Maklumat sekunder pula diperoleh menerusi penelitian rekod dan dokumen mengenai maklumat perniagaan yang diberikan oleh pemilik premis perniagaan. Pencarian maklumat sekunder turut dilakukan di perpustakaan dan sumber internet.


4.0 Hasil Kajian

Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga, dapatan bermaksud sesuatu yang diperolehi atau didapati. Menurut Kamus Komprehensif Bahasa Melayu, kajian pula didefinisikan sebagai penyelidikan atau penelitian. Perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies merupakan sebuah perniagaan perkongsian yang didaftarkan secara rasmi pada 15 Januari 2009. Tarikh penubuhan perniagaan ini adalah pada 19 April 2008, manakala tarikh sah laku adalah pada 8 April 2011. Sweetberry Cakes & Cookies menjalankan perkhidmatan perniagaan menjual kek dan pastri, biskut, roti serta katering dan kafe. Pemilik perniagaan ini mempunyai pengalaman selama lebih tiga tahun dalam bidang kek dan pastri.

Sweetberry Cakes & Cookies menawarkan dan menyediakan tempahan aneka kek dan pastri mengikut cita rasa pelanggan seperti tempahan untuk majlis sambutan hari lahir, majlis perkahwinan dan sebagainya yang memerlukan kek. Tempahan biasanya dibuat dalam tempoh sebulan sebelum majlis dan selewat-lewatnya seminggu sebelum majlis. Tempahan yang dibuat secara terdesak seperti tempahan yang dibuat sehari sebelum majlis hanya akan diterima jika Sweetberry Cakes & Cookies menerima banyak tempahan. Selain itu, Sweetberry Cakes & Cookies juga menjual makanan panas yang digoreng seperti nasi goreng kampung, nasi goreng cina dan mi bandung sebagai pendapatan tambahan selain hanya menjual kek dan biskut.

Perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies menerima tempahan daripada pelanggan yang datang terus ke kedai mereka. Selain itu, mereka turut menerima tempahan yang dibuat melalui laman web mereka iaitu “www.sweetberrycake.com”. Kebiasaannya, tempahan yang diterima daripada laman web datangnya dari luar negeri Melaka. Sweetberry Cakes & Cookies hanya mengambil tempahan secara kecil-kecilan.

Masalah utama yang dihadapi oleh perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies ialah tenaga kerja. Perniagaan ini melibatkan pekerjaan yang bersifat giat manusia. Sweetberry Cakes & Cookies mempunyai dua orang pekerja tetap dan dua orang ahli keluarga. Pada awal pembukaan Sweetberry Cakes & Cookies, pekerja bukanlah masalah yang merunsingkan. Namun setelah setahun pembukaan Sweetberry Cakes & Cookies, masalah pekerja timbul dan merupakan satu masalah utama yang perlu difikirkan. Masalah ini berlaku apabila kebanyakan pekerja tidak datang bekerja sewaktu tempahan yang diterima sangat banyak. Terdapat juga pekerja yang berhenti kerja secara mengejut tanpa memberi notis awal. Hal sedemikian mewujudkan kekangan dalam perkembangan perniagaan dan amat merisaukan pemilik kedai. Bertitik tolak daripada hal tersebut, pemilik kedai terpaksa mencari pekerja separuh masa seperti dalam kalangan jiran-jiran yang sanggup membantu ketika perniagaan mereka menerima terlalu banyak tempahan.

Sweetberry Cakes & Cookies juga mengalami masalah yang diakibatkan oleh sesetengah pelanggan. Terdapat pelanggan yang membatalkan tempahan pada saat-saat akhir. Selain itu, terdapat juga pelanggan yang tidak mengambil tempahan yang telah dibuat. Namun begitu, keadaan sedemikian tidak mendatangkan kerugian yang sangat besar kepada Sweetberry Cakes & Cookies kerana mereka masih boleh menjual tempahan yang telah dibatalkan di kedai mereka. Bayaran deposit yang dilakukan ketika membuat tempahan juga tidak akan dikembalikan kepada pelanggan walaupun tempahan tersebut telah dibatalkan. Walaupun begitu, Sweetberry Cakes & Cookies juga ada mengambil tempahan tanpa mengambil deposit daripada pelanggan. Hal ini demikian bergantung kepada kepercayaan antara pemilik kedai dan pelanggan. 

Sweetberry Cakes & Cookies tidak mempunyai persaingan yang hebat kerana lokasi perniagaannya yang berdekatan dengan kawasan perumahan. Kedudukannya yang strategik menjadi tumpuan orang ramai untuk mengunjungi premis perniagaaan mereka. Antara kedai yang menjadi persaingan Sweetberry Cakes & Cookies ialah perniagaan restoran francais Secret Recipe yang terletak di hadapan pasar raya Mydin. Walaupun begitu, persaingan yang berlaku ini tidak menjejaskan perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies kerana mereka telah mempunyai pelanggan tetap mereka yang tersendiri.          


5.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, sebagai rakyat Malaysia yang cinta akan negara, kita sewajarnya menyokong industri makanan di Malaysia tidak kira sama ada industri yang dijalankan secara kecil-kecilan mahupun secara komersil bagi meningkatkan produktiviti dan keluaran barangan negara. Hal ini demikian bertepatan dengan misi negara untuk mencapai status negara maju sejajar dengan Wawasan 2020 yang dicanangkan oleh bekas perdana menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pelbagai jenis kemudahan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan dalam memajukan industri-industri di Malaysia antaranya adalah pemberian pinjaman modal untuk memulakan perniagaan serta membangunkan industri kecil dan sederhana (IKS) di seluruh Malaysia. Melalui kemudahan ini, para peniaga mampu untuk menjalankan dan memajukan perniagaan mereka dengan baik dan sempurna.

Di samping itu, pada era serba canggih ini, pelbagai kursus-kursus yang ditawarkan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang perniagaan. Bagi memastikan Malaysia maju mengikut acuan yang tersendiri, pembangunan modal insan secara menyeluruh dan bersepadu perlu dijalankan supaya dapat membentuk peniaga yang berketerampilan dan berkualiti dalam melahirkan modal insan yang cemerlang. Bertitik tolak daripada itu, perniagaan para peniaga dapat beroperasi dengan lebih efisyen dan mampu berkembang maju sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.


Rujukan

Pengenalan Kepada Perniagaan, diaksesl pada Disember 10, 2012 http://pengajianperniagaan.wordpress.com 
Pengajian Perniagaan, diakses pada Disember 6, 2012 di http://cikgushafie.blogspot.com
Sweetberry Bakery Cake &  CafĂ©, diakses pada Disember 11, 2012 di http://www.sweetberrycake.com
Kamus Dewan Edisi Ketiga. (2000). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Soanes, C., and Hawker, S. (2008). Oxford Compact English Dictionary. Compact Oxford English Dictionary of Current English.
Kamus Dwibahasa Oxford Fajar. (1996). Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Ricky W. Griffin, R. J. (2002). Business. Petaling Jaya, Selangor: Prentice Hall.
Zumilah. (1999). Pengenalan Kepada Perniagaan. Kuala Lumpur: Elman.


MZ Zainuddin, Lily Syafiqah Yusuf, Nornabihah Mohamad Arshad, Nur Yuzatul Aqilah Yahaya, Nuraziera Zainal, Siti Hajar Sulaiman, Siti Noraishah Bahrin


Monday, September 07, 2015

Prosiding Konsferensi Antarabangsa Islam Borneo VIII






Ketua Editor: Rose Abdullah dan Mohd Syahiran Abdul Latif 
Tahun: 2015
Penerbit: UNISSA Press, Brunei dan UiTM Sarawak, Malaysia.
Muka Surat: 701

Prosiding kali ini mengutarakan tiga kertas kerja utama iaitu pengaruh netizen dalam lanskap dakwah di Borneo, kampus sebagai pusat peradaban Islam dan melestari dakwah di Brunei: pengalaman Pusat Dakwah Islamiah. Kertas kerja lain dipecahkan kepada tiga tema iaitu ekonomi, kewangan dan perbankan; pengurusan dan sains sosial serta sains dan teknologi. Rangkuman semua kertas kerja ini berjumlah 132.

Dalam prakata prosiding ini, editor menyifatkan penghasilan prosiding ini sebagai usaha pengembangan ilmu dalam tema-tema yang dibentangkan.

Dalam tema ekonomi, kewangan dan perbankan, pembentang membincangkan mengenai kehalalan iaitu dari segi barangan, perkhidmatan, sumber rezeki, fatwa dan kepentingan logo halal di samping menyentuh mengenai pembangunan dan perkembangan ekonomi, inflasi dan sumber kewangan seperti zakat dan wakaf.

Artikel dalam tema pengurusan dan sains sosial banyak menyentuh metodologi dakwah, akidah, fiqh, kesenian dan pendidikan manakala sains dan teknologi memaparkan beberapa artikel mengenai teknologi maklumat, alam siber, sains pemakanan dan alam sekitar.



Thursday, September 03, 2015

Rawang Burger Bakar







1.0 Pengenalan

Program SDSI mula digerakkan dalam Rancangan Malaysia Keenam (RMK-6) iaitu pada tahun 1992. Pada mulanya ia dikenali sebagai Program Satu Kampung Satu Produk (SKSP) yang diambil ilham dari kejayaan Program One Village One Product (OVOP) di Oita Prefecture, Jepun. Pada tahun 2002, kerajaan telah bersetuju Program SKSP diubah suai dengan nama Satu Kampung Satu Industri (SKSI) dan seterusnya pada tahun 2003 sekali lagi konsep ini diubah suai kepada Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dengan asas pembangunan dan matlamat yang lebih luas iaitu dari segi tenaga manusia dan sumber yang berdaya maju serta berdaya tahan. Pada 8 Disember 2004, Jemaah Menteri memutuskan pelaksanaan Program SDSI diperkasakan dengan menubuhkan Jawatankuasa SDSI peringkat kebangsaan yang berperanan untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan Program SDSI dan ICU JPM telah diberikan peranan sebagai penyelaras utama program ini. Bagi memantap dan menggerakkan pelaksanaan Program SDSI dengan lebih berkesan, satu Arahan Pelaksanaan Program Satu Daerah Satu Industri telah dikeluarkan sebagai satu mekanisme untuk membantu jawatankuasa-jawatankuasa yang diwujudkan menjalankan peranan dengan secara yang lebih berkesan.

Program SDSI berkonsepkan pembangunan satu atau dua produk beridentitisatu daerah dengan tujuan meningkatkan pendapatan masyarakat setempat. Ciri-ciri SDSI adalah penggunaan sumber bahan tempatan secara ekonomik, menyediakan peluang penambahan pendapatan, menyediakan peluang pekerjaan, mewujudkan industri haluan dan hiliran serta penggunaan sumber tenaga belia yang optimum.

Projek SDSI yang kami buat berkaitan perniagaan sederhana iaitu Rawang Burger Bakar (RBB). Ia merupakan cawangan baru di Melaka yang bersebelahan dengan Ikan Bakar Malim di MITC Melaka. Cawangan pusat RBB ni bertapak di Putra Permai, Selangor. Ia merupakan perniagaan keluarga.  Keistimewaan buger ni adalah membuat daging buger (petty) dengan sendiri dengan berat untuk petty mereka mencecah 130 gram hingga 150 gram berbanding daging buger biasa cuma purata 50 gram.


2.0  Latar Belakang

RBB bertapak di bersebelahan Ikan Bakar Malim di MITC Melaka pada awal bulan Jun 2012. Persekitaran yang luas dan memudahkan pelanggan untuk parking kereta. Waktu perniagaan bermula dari 7 petang sehingga 2 pagi. Mempunyai 8 kakitangan, memberi giliran pekerjaan kepada kakitangannya. Mengamalkan kebersihan sebelum, ketika dan selepas perniagaan. Memberi harga yang berpatutan seperti

Rawang Burger Bakar mula diasaskan di Subang sejak setahun yang lalu pada 1 Disember 2011 dan di bawah naungan Senang Lenang Trading. Perniagaan tersebut merupakan perniagaan milik keluarga dan nama Rawang Burger Bakar diambil sempena keluarga dari Bukit Rawang Jaya. Gerai  pertama RBB dibuka di Arena Cafe Pusat Bandar Wangsa Maju Seksyen 5. Mula membuka cawangan di Melaka iaitu di MITC Melaka (bersebelahan dengan kedai ikan bakar Malim) sejak beberapa bulan yang lalu dan di usahakan oleh En. Edie Ahmad.


3.0 Kekuatan dan Kelemahan

3.1 Kekuatan 

Mempunyai pekerjaan yang cukup untuk melaksanakan setiap tugasan
Pekerja yang ramah dengan pelanggan
Keistimewaan yang terdapat pada daging (petty) yang di bakar dengan arang
Nama produk yang unik
Rasa produk yang sedap dan unik
Penghasilan produk yang fleksible mengikut cita rasa pelanggan

3.2 Kelemahan 

Servis yang lambat dan kurang memuaskan
Hanya menjual produk makanan tetapi tidak menjual minuman
Harga produk mahal jika di bandingkan dengan pesaing terdekat
Daya tarikan di tempat kerja


4.0 Impak Sosioekonomi

4.1 Masyarakat Tempatan

Mengurangkan pengangguran seperti memberi peluang pekerjaan sepenuh masa atau separuh masa kepada pelajar universiti mahupun orang awam
Memberi pengalaman kerja dalam suasana perniagaan
Memberi daya saingan sihat dengan peniaga-peniaga sekeliling

4.2 Negara

Melahirkan usahawan yang berjaya
Dapat naikkan ekonomi negara
Mengurangkan pengangguran dalam negara
Memberi saingan kepada perniagaan luar seperti McDonald


5.0 Cadangan dan Potensi Masa Hadapan

Mempelbagaikan lagi jenis produk
Membuka lebih banyak cawangan di tempat lain
Meningkatkan lagi servis dan mutu perkhidmatan
Mengekalkan serta meningkatkan lagi rasa produk
Menyediakan servis peenghantaran ke rumah


6.0 Keistimewaan Produk 

Daging burger (petty) yang di buat sendri dan kaedah pembakarannya dilakukan dengan menggunakan kayu arang.
Dengan menggunakan kayu arang, aroma daging dan jus daging dapat dikekalkan.
Resipi untuk RBB ini telah dihasilkan melalui gabungan chef yang bertaraf antarabangsa. 


MZ Zainudin, Ahmad Abbas Abdul Aziz, Muhammad Syazwan Abdul Malik, Mohammad Irham Idrus, Abu Hassan Ahmad, Eleanor Kuyun, Muhamad Ezammudin Muhamad



Wednesday, September 02, 2015

Pelbagai cara fikir








Berkongsi idea, pendapat atau pandangan adalah lebih baik daripada menyimpan untuk diri sendiri. Salah satu kategori orang yang bijak memanfaatkan perkongsian idea ialah pemimpin. 

Cara pemimpin berfikir ialah apabila mereka menghargai idea dan pandangan yang lain, mereka juga mendapat faedah dan manfaat yang berkali ganda khususnya dari segi imej kepemimpinan. 

Begitu juga berkongsi usaha dan sebagainya umpama mengambil jalan pintas. Kita boleh mempelajari sesuatu kemahiran dengan lebih cepat daripada orang yang berpengalaman atau pakar daripada belajar dengan buku, malah membawa inovasi baru yang jauh lebih dinamik daripada sebelumnya. 

Dari segi keuntungan wang ringgit, tentulah berkongsi ini lebih lumayan.


Tuesday, September 01, 2015

Tokoh-tokoh Tamadun Islam







1.0 Pengenalan

Tamadun secara umumnya membawa erti kepada pencapaian dari segi pembangunan fizikal di samping pemupukan tingkah laku yang baik. Faktor-faktor seperti kedudukan yang strategik, rangsangan keagamaan, pembangunan ilmu dan penghayatan nilai, peningkatan kemahiran dan penghasilan teknologi serta persaingan dengan tamadun mencetuskan ke arah kelahiran dan perkembangan sesuatu tamadun.

Tamadun mempunyai dua bentuk yang penting iaitu tamadun spiritual dan tamadun material. Tamadun-tamadun utama di dunia mempunyai persamaan dan perbezaan baik dalam aspek spiritual mahupun material. Persamaan dan perbezaan tamadun ini boleh dilihat dalam pelbagai segi meliputi aspek-aspek teologi, etika, pemikiran, kebudayaan dan kesenian serta pencapaian-pencapaiannya. Etika terbahagi kepada beberapa perkara penting iaitu alam sekitar, keluarga, komuniti, kerajaan, kegiatan ekonomi, pendidikan dan kesihatan.

Dalam projek ini, tumpuan diberikan kepada tokoh-tokoh yang ada pada tamadun Islam. Asas tamadun Islam terbina atas dasar akidah yang diikat dengan syariah dan akhlak. Tokoh-tokoh Islam yang lahir sentiasa berpegang pada dasar tersebut, selain daripada rujukan utama iaitu al-quran dan hadis. Sumbangan mereka kepada peradaban dunia amat besar sehingga mampu mengubah cara hidup manusia dan tercetusnya perkembangan keilmuwan seperti astronomi, matematik, kimia dan juga falasafah.
                      

2.0 Sorotan Literatur

Bahagian ini menceritakan tentang beberapa orang tokoh-tokoh tamadun Islam dari segi latar belakang serta sumbangan atau peranan yang telah mereka lakukan.

Ibnu Khaldun. Tokoh Abd Al-Rahman Ibn Muhammad Ibn Khaldun ataupun lebih dikenali dengan Ibn Khaldun merupakan salah seorang pakar sains Islam yang hidup antara tahun 1332–1395 Masihi. Nama penuh beliau adalah Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Abi Bakar Muhammad ibn al-Hasan Ibn Khaldun. Lahir pada tahun 732 Hijrah bersamaan dengan tahun 1332 Masihi di Tunisia dan meninggal pada 17 Mac 1406 di Kaherah, Mesir. Ibn Khaldun berasal daripada keluarga berada dan beliau diberi pendidikan yang terbaik oleh keluarganya.

Ibn Khaldun merupakan salah seorang pakar sejarah Arab yang teragung, juga dikenali sebagai bapa kepada sejarah kebudayaan dan sains sosial moden. Ibn Khaldun pernah menjawat beberapa jawatan semasa di bawah pemerintah Tinisia dan Morocco. Pada tahun 1363, beliau bertindak sebagai duta raja Moor di Granada kepada Pedro Kejam Castile "the Cruel of Castile". Ibn Khaldun belayar ke Alexandria pada Oktober 1382, yang mana beliau menghabiskan riwayatnya sebagai guru dan pensyarah di Al-Azhar dan universiti lain. Ibn Khaldun juga pernah dilantik sebagai Hakim Diraja oleh Sultan Abul Abbas, Cairo dan mengerjakan haji pada 1387. Ibn Khaldun menyertai orang-orang Mesir dalam kempen memerangi Tamerlane dan bertanggungjawab mengaturkan penyerahan diri bandar Damsyik semasa ketiadaan Sultan Faraj.

Karya teragungnya iaitu Muqaddimah bermula sebagai penulisan mengenai sejarah orang-orang Arab dan Barber tetapi mengandungi pendekatan saintifik mengenai pemahaman sejarah, politik dan ekonomi. Ibn Khaldun juga mempercayai bahawa perkara yang dikurniakan Allah boleh dibuktikan secara empirikal (secara pengalaman dan kajian).

Ibn Khaldun juga memajukan konsep ekonomi, perdagangan dan kebebasan. Ibn Khaldun membangunkan idea bahawa tugas kerajaan hanya terhad kepada mempertahankan rakyatnya dari keganasan, melindungi harta persendirian, menghalang penipuan dalam perdagangan, mencetak dan menguruskan penghasilan wang serta melaksanakan kepimpinan politik bijaksana dengan perpaduan sosial dan kuasa tanpa paksaan. Dalam segi ekonomi, Ibn Khaldun memajukan teori nilai dan hubungkaitnya dengan tenaga buruh, memperkenalkan pembahagian tenaga kerja, menyokong pasaran terbuka, menyedari kesan dinamik permintaan dan bekalan ke atas harga dan keuntungan, menolak cukai yang tinggi, menyokong perdagangan bebas dengan orang asing, dan percaya kepada kebebasan memilih bagi membenarkan rakyat bekerja keras untuk diri mereka sendiri.

Tambahan lagi, Ibn Khaldun terkenal kerana hasil kerjanya dalam sosiologi, astronomi, numerologi, kimia dan sejarah. Secara umumnya, Ibn Khaldun telah meletakkan titik mula bagi tradisi pemikiran bebas Islam dan Arab, tanggungjawab kerajaan, pasaran berkesan, penyiasatan sains empirikal, pengkajian sosiologi dan penyelidikan sejarah.

Ibnu Sina. Ibn Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan 980 Masihi di Afsyanah, Bukhara, Turkistan. Ibn Sina lebih dikenali di Barat dengan nama Avicenna mempunyai nama penuh Al-Husain bin Abdullah bin Al-Hasan bin Ali bin Sina. Beliau merupakan seorang yang berbangsa Parsi. Bapa kepada Ibn Sina merupakan seorang gabenor pada masa Kerajaan Samaniyah (819M – 1005M). Selepas bapanya meninggal pada tahun 390 Hijrah bersamaan dengan tahun 1000 Masihi, Ibn Sina berpindah ke Khawarizm, Jurjan, Rai, dan Hamadan. 

Pendidikan awal Ibn Sina pada masa kanak-kanaknya ialah mempelajari al-Quran dan sastera yang dipelajarinya secara persendirian. Ibn Sina mula belajar menghafal al-Quran ketika berusia lima tahun. Beliau sudah menguasai tasawuf, fikah, tafsir dan usuludin ketika berusia 10 tahun. Beliau telah menuntut dengan Abu Abdullah an-Natli yang mengajarnya al-Quran, fikah, mantik, ilmu hisab, sains, fizik dan kaji bintang. Beliau menelaah falsafah, politik dan logik, matematik, fizik, politik dan kedoktoran hingga berusia 16 tahun. Ibnu Sina sangat meminati ilmu kedoktoran dan metafizik. Dalam sekitar satu hingga lima tahun, beliau telah dikenali sebagai ahli falsafah dan doktor di Bukhara.

Ibnu Sina mula menjadi doktor ketika berusia 18 tahun. Setelah beliau berjaya menyembuhkan Nuh bin Mansor, pemerintah kerajaan Samaniyah dan beliau dilantik menjadi doktor istana. Semenjak itu, Ibn Sina telah menjadi terkenal. Pelantikan tersebut merupakan suatu peluang keemasan kerana beliau telah diberi kebebasan menggunakan perpustakaan istana yang sangat kaya dengan beraneka jenis buku. Beliau mengambil kesempatan dengan membaca, merujuk dan menghafal buku-buku penting di perpustakaan. Pembesar negeri lain seperti Ratu Sayyidah dan Sultan Majdud dari Rayy, Syamsu Dawla dari Hamadan dan Alaud Dawla dari Isfahan juga pernah mengundangnya.
           
Ibn Sina digelar al-Syeikh al-Ra’is iaitu guru para raja. Dalam bidang kedoktoran, beliau digelar “pangeran para doktor” dan “raja ubat”. Dalam dunia Islam beliau dianggap sebagai puncak ilmu kedoktoran. Ibn Sina pernah dilantik menjadi menteri sebanyak dua kali. Disebabkan Ibnu Sina terlibat dalam persoalan politik, dia dipenjarakan dan dipecat daripada kedudukannya sebagai menteri. Dalam tempoh Ibn Sina dipenjara, beliau sempat menulis 3 buah buku. 

Ibn Sina banyak meninggalkan karya yang ditulis beliau, semuanya tidak kurang 200 buah, kebanyakan berbahasa Arab dan Parsi. Salah satu karya terbesar Ibnu Sina ialah al-Qanun Fii al-Tibb (peraturan kedoktoran). Di Eropah dan China buku ini sudah lama menjadi rujukan kedoktoran. Al-Qanun Fii al-Tibb diterjemahkan dengan judul "Canon of Medicine" digunakan sebagai rujukan utama dalam bidang perubatan di seluruh pusat pengajian Barat termasuk Universiti Franfurt di Jerman, Universiti Paris di Perancis, dan Universiti Oxford di England.

Di dalam buku al-Qanun Fii al-Tibb karya Ibn Sina dinyatakan bahawa “darah mengalir terus-menerus dalam satu kitaran dan tidak pernah berhenti”. Karya lain Ibn Sina ialah al-Syifa (18 Jilid), iaitu tentang psikologi, pertanian, retorika dan syair; al-Rasa’il, iaitu tentang biologi, fizik, astronomi, psikologi, etika dan teologi; Al-Insyarah wa al-Tanbihat tentang ketuhanan serta kemurnian hidup; dan Risalah al ‘Isyqa tentang kerinduan Ibnu Sina kepada Tuhan. 

Sewaktu Ibn Sina berusia 21 tahun, beliau mula menulis karyanya yang pertama yang berjudul “Al-Majmu” di Kawarazm yang mengandungi berbagai ilmu pengetahuan yang lengkap. Kemudian beliau meneruskan menulis buku-buku lain. Nama-nama buku yang pernah dikarang Ibn Sina, termasuk yang berbentuk risalah ukuran kecil, dimuat dan dihimpun dalam satu buku besar yang berjudul "Essai de Bibliographie Avicenna" yang dihasilkan oleh Pater Dominican di Kairo. Antara yang terkandung dalam buku tersebut termasuklah buku karangan yang amat terkenal iaitu Al-Qanun Fit – Tibb.

Ibn Sina memiliki pemikiran yang mendalam. Beliau menafsirkan ayat al-Quran untuk mendukung falsafahnya. Seperti al-Farabi iaitu ahli falsafah dari Turkistan, Ibn Sina mengakui bahawa alam diciptakan secara emanasi yakni memancar dari Tuhan. Ibn Sina juga mengemukakan pemikiran falsafah tentang jiwa (al-nafs) dan kenabian. Ibn Sina berpendapat bahawa nabi adalah manusia yang terunggul dan pilihan Tuhan. Ahli falsafah hanya menerima ilham, sedangkan nabi menerima wahyu. Oleh itu, ajaran nabi haruslah menjadi pedoman hidup manusia di muka bumi. 

Ibn Sina banyak menyumbang dalam tamadun Islam terutamanya dalam bidang perubatan. Kebijaksaan Ibn Sina dalam bidang perubatan mendapat pengiktirafan dunia. Ibn Sina berjaya melakukan beberapa pencapaian dalam perubatan iaitu pertama, penemuan penyakit baru serta puncanya. Antara penemuan penyakit yang dikaji oleh Ibn Sina ialah pengaruh kuman dalam penyakit, jangkitan virus seperti Tibi (TB) dan penyakit seperti rubella, alahan (allergy), cacar (smallpox), penyakit jiwa dan sebagainya. 

Kedua, Ibn Sina mengkaji dalam bidang farmasi dan beliau dapat menghasilkan ubat yang mujarab untuk pelbagai jenis penyakit. Selain itu, beliau juga menemui untuk ubat bius. Ketiga, Ibn Sina membangunkan teknologi perubatan dengan mencipta benang khusus untuk menjahit luka pembedahan dan mencipta picagari dan lain-lain. Terdapat banyak lagi penemuan dan teori perubatan yang dikemukakan oleh Ibn Sina dalam karya-karyanya. 

Kesan peninggalan Ibn Sina dalam bidang ilmu perubatan telah berjaya menggilap kembali bidang perubatan yang kian malap pada masa itu. Beliau melakukan metod pemerhatian (observation) dan analisis. Berdasarkan metod ini, ilmu perubatan berkembang maju hingga ke hari ini. Ibn Sina telah menulis buku berjudul "Remedies for the Heart" yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Ibn Sina banyak membuat analisis tentang pelbagai penyakit dan menyenaraikan lebih kurang 760 jenis penyakit serta kaedah merawatnya. Penyelidikan dan penulisan Ibn Sina banyak mempengaruhi perkembangan ilmu perubatan moden.

Ibn Sina juga banyak telah menyumbang ilmu dan pemikiran. Ibn Sina telah menghasilkan 116 karya dalam bidang falsafah, mantik, matematik, astronomi, kimia, fizik, biologi dan sains politik. Buku-buku tersebut telah dihimpun oleh Domonican Institute for Oriental Studies di Kaherah, Mesir. Pada 1950 Masihi ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dan dinamakan Muallafat Ibni Sina (karya-karya Ibn Sina). Jasa Ibn Sina dihargai hingga ke hari ini. Sebuah universiti pendidikan di Hungary telah mengambil nama sempena nama beliau iaitu Avicenna College (Kolej Ibn Sina). 

Ibn Sina meninggal pada usia 58 tahun dalam suatu perjalanan bersama raja Isfahan, lalu dimakamkan di Hamadan. Kehilangan Ibn Sina merupakan kehilangan yang sangat besar kepada umat Islam terutama dari segi ilmu perubatan. 

Ibnu Batutta. Nama penuh Ibn Battuta ialah Muhammad bin Abdullah bin Ibrahim bin Mohammad bin Yusof Abu Abdullah Ibn Battuta. Beliau seorang kabilah Berber dari golongan Muslim Sunni. Beliau dilahirkan di Tanjah/Tangier, Maghribi 24 Februari 1304 bersamaan Rejab 704 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 779 Hijrah bersamaan 1377 Masihi di satu daerah Marakish. Beliau merupakan cendiakawan, ulama Mazhab Maliki dan pernah berkhidmat sebagai kadi.

Ibn Battuta terkenal sebagai penjelajah dan pengembara serta menulis mengenai pengembaraannya selama hampir tiga puluh tahun. Beliau adalah perintis pengembaraan dunia yang berjaya merentasi benua Afrika dan Asia serta menghasilkan karya penting dunia Islam yang meliputi daerah Barat Afrika hingga ke Pakistan, India, Maldives, Sri Lanka, Asia Tenggara dan China. Ibn Battuta diberi gelaran Syamsuddin di negeri-negeri timur. Tokoh orientalis Dozy, mengelar beliau sebagai “pengembara yang jujur”.

Beliau telah meninggalkan kota asalnya pada tahun 1325 untuk menunaikan haji di Mekah yang mengambil masa selama satu setengah tahun perjalanan ketika berusia 21 tahun. Pengembaraan beliau mengambil masa 38 tahun meliputi perjalanan sejauh 120,000 kilometer yang meliputi 44 negara di benua Afrika dan Asia. Beliau telah melakukan tiga siri pengembaraan yang mengambil masa selama 30 tahun. Pengembaraan yang pertama iaitu dari Maghribi hingga China. Negara seperti Mesir, Syam, Semenanjung Arab, Afrika Timur, Asia Kecil, Rusia Selatan, India, China, Andalus (Sepanyol) dan negeri orang berkulit hitam iaitu Mali di Afrika Selatan turut dikunjungi beliau.

Beliau telah mengkongsikan maklumat yang terperinci dari segi perbandingan tentang budaya, peradaban, sosial dan geografi sesuatu masyarakat setempat berdasarkan pengamatan beliau apabila singgah di tempat tersebut. Pengembaraan beliau itu telah memberikan persepsi yang baru kepada bidang geografi dan pelayaran. Pengembaraannya disifatkan sebagai satu sumber sejarah yang amat bernilai bukan sahaja kepada masyarakat Islam malahan untuk semua masyarakat dunia.

Beliau terkenal sebagai seorang yang kuat beribadah dan berpegang teguh kepada ajaran agama. Beliau telah menabur bakti di beberapa buah negara dalam bidang agama. Beliau telah menerbitkan sebuah karya yang lengkap setelah menceritakan semula pengalamannya kepada Muhammad Juzay al-Kalbi atau dikenali sebagai Ibn Juza, iaitu seorang penulis sultan. Karya agung tersebut merupakan rekod sejarah zaman pertengahan yang sangat penting kerana catatannya dianggap sebagai sumber sejarah abad pertengahan. Maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya telah dipetik dalam ratusan karya pengkajian sejarah yang meliputi bukan sahaja dunia Islam tetapi juga sejarah Cina dan Empayar Bynzantin. Rihlah Ibn Battuta juga satu-satunya sumber maklumat langsung mengenai budaya, adat resam, serta keadaan masyarakat di beberapa kawasan dunia. Dalam konteks sejarah Asia Tenggara, karya tersebut merupakan satu-satunya karya pengembaraan Arab yang terbukti kesahihannya.

Beliau memiliki nilai moral yang tinggi. Beliau adalah seorang tokoh sejarahwan Islam yang dijadikan salah satu contoh teladan terbaik oleh umat Islam untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam hidup. Oleh itu, beliau boleh disifatkan sebagai salah seorang individu yang banyak menyumbang dari segi personaliti yang ditonjolkannya untuk menaikkan semangat umat Islam supaya terus maju dalam semua bidang jika kita benar benar menghayati kisah hidupnya. Beliau juga seorang yang patuh pada ajaran agama. Hal ini dapat diperhatikan dalam karyanya yang banyak menggambarkan ketaatannya kepada agama. Contohnya beliau telah beberapa kali menunaikan ibadah haji di Makkah sebelum meninggal dunia.

Hamka. Hamka atau nama sebenarnya ialah Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah. Beliau lahir pada 17 Februari 1908 di Kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Ayahnya ialah Syeikh Abdul Karim bin Amrullah atau dikenali sebagai Haji Rasul, seorang pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau.

Beliau mempunyai gelaran Pak Hamka atau Buya Hamka, nama istimewa yang mempunyai nilai tersendiri di persada perkembangan Islam dan dunia kesusasteraan nusantara. Anak beliau, Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah, adalah seorang pelopor dan termasuk tokoh besar dalam perjuangan “Kaum Muda”. Ibunya bernama Siti Safiyah binti Gelanggar yang bergelar Bagindo dan Batuah.

Antara jawatan dan tugas yang pernah disandang oleh Hamka ialah guru agama di Tebing Tinggi, Medan dan Padang Panjang, pensyarah di Universiti Islam Jakarta, pensyarah di Universiti Muhammadiah Padang Panjang, rektor Perguruan Tinggi Jakarta, pegawai tinggi agama Indonesia dan ketua umum Majlis Ulama Indonesia.

Hamka menerima banyak anugerah daripada pelbagai pihak kerana jasa dan sumbangan beliau. Hamka meninggal dunia pada 24 Julai 1981 Masihi ketika berusia 73 tahun.

Hamka mendapat pendidikan awal agama dari Madrasah Tawalib yang didirikan oleh bapanya. Beliau mempelajari ilmu-ilmu asas agama serta mempelajari al-Quran sehingga khatam. Pada tahun 1915 ketika berusia tujuh tahun, beliau memasuki sekolah desa di Padang Panjang. Pada tahun 1918 pula, beliau menuntut di sekolah datuknya, Muhammad Amrullah. Hamka berpeluang mendalami pelajaran tafsir daripada Kiai Bagus Harikusomo di Tanah Jawa pada tahun 1924 serta berpeluang menimba ilmu pengetahuan daripada tokoh terkenal seperti Shamsurrijal dan Haji Fakhruddin. Kegiatan ilmiah yang dianjurkan oleh tokoh-tokoh tersebut adalah dalam seminar, ceramah, perbincangan serta persidangan.

Dalam tahun 1924, Hamka berhijrah ke Jawa sempat menuntut pula kepada pemimpin gerakan Islam Indonesia seperti Haji Omar Said Chakraminoto. Lain-lain gurunya ialah Haji Fakharudin, Ki Bagus, Hadi Kesumo dan iparnya sendiri Rashid Sultan Mansur.

Pada tahun 1928, Hamka telah menyertai Gerakan Muhamadiah dan menerajui kepimpinan pertubuhan itu di Padang Panjang. Hamka bergiat aktif bagi menentang gejala khurafat, bidaah dan kebatinan sesat di sana. Pada tahun 1929, beliau menubuhkan Madrasah Mubalighin. Pak Hamka berpindah  ke Kota Makasar, Sulawesi untuk menjadi pimpinan Muhamadiah. Keilmuan dn ketokohan yang ada pada beliau mendorong beberapa buah universiti mengambilnya sebagai pensyarah dalam bidang agama dan falsafah. Antara universiti itu ialah Universiti Islam Jakarta, Universiti Mohamadiah Sumatera Barat, Universiti Islam Pemerintah di Jogjakarta dan Universiti Islam Makasar. Bagi mengiktiraf keilmuannya, Universiti Al Azhar, Mesir telah menganugerahkan Doktor Kehormat dalam tahun 1958 dan beliau turut menerima ijazah Doktor Persuratan UKM pada  Jun 1974.

Hamka merupakan seorang tokoh reformasi Islam yang terkenal dalam bidang falsafah dan tasawuf. Beliau juga merupakan tokoh agama dan pendakwah yang banyak memberi sumbangan kepada agama, bangsa, dan negara melalui organisasi, ceramah, serta hasil-hasil karya yang ditulisnya. Hamka melahirkan sejumlah karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen yang begitu berpengaruh kepada masyarakat Islam di Nusantara sehingga hari ini. Sumbangan pemikirannya memberi rangsangan terhadap kebangkitan dan kemajuan Islam pada zaman moden di alam Melayu terutama Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura. 

Pada tahun 1935, Hamka telah mendirikan kolej Kuliah Al-Muballighin di Padang Panjang yang telah melahirkan ramai tokoh terkenal. Beliau juga banyak berjasa dalam penyebaran Islam dalam bahasa Indonesia kerana keahliannya dalam kesusasteraan sehingga beliau mendapat gelaran “Hamzah Fansuri zaman baru”. Pada tahun 1925, Hamka memulakan kerjayanya sebagai pengarang di Padang Panjang. Beliau menulis majalah “Seruan Islam” di Tanjung Para Langkat, menerbitkan majalah “Pedoman Masyarakat”, dan “Panji Masyarakat”. Beliau juga mula mengarang dalam akhbar “Pembela Islam”, Bandung pada tahun 1930. Beliau meninggalkan hasil karya yang sangat berguna kepada umat Islam iaitu Tafsir Al-Azhar (lima jilid). Beliau menerima pelbagai anugerah yang boleh menaikkan imej umat Islam pada masa itu.

Al-Khawarizmi. Nama sebenar Al-Khawarizmi ialah Muhammad Ibn Musa al-khawarizmi. Selain itu beliau dikenali sebagai Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Yusoff. Al-Khawarizmi telah dikenali di Barat sebagai Al-Khawarizmi, Al-Cowarizmi, Al-Ahawizmi, Al-Karismi, Al-Goritmi, Al-Gorismi dan beberapa cara ejaan lagi. Beliau telah dilahirkan di Bukhara. Pada tahun 780-850M adalah zaman kegemilangan al-Khawarizmi. Beliau meninggal dunia antara tahun 220 dan 230M. Ada yang mengatakan Al-Khawarizmi hidup sekitar awal pertengahan abad ke-9M. Sumber lain menegaskan beliau di Khawarism, Uzbekistan pada tahun 194H/780M dan meninggal tahun 266H/850M di Baghdad.

Gelaran Al-Khawarizmi yang dikenali di Barat ialah Al-Cowarizmi, Al-karismi, Al-Goritmi atau Al-Gorism. Nama Al-Gorism telah dikenali pada abad pertengahan. Negara Perancis pula Al-Gorism muncul sebagai Augryam atau Angrism. Negara Inggeris pula ia dikenali sebagai Aurym atau Augrim.

Sumbangan Al-Khawarizmi melalui Al-Jabr wa’l Muqabalah iaitu mencipta pemakaian secans dan tangens dalam penyelidikan trigonometri dan astronomi.

Sumbangan dalam Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah adalah mengajukan contoh-contoh persoalan matematik dan mengemukakan 800 buah soalan yang sebahagian daripadanya merupakan persoalan yamng dikemukakan oleh Neo Babylian dalam bentuk dugaan yang telah dibuktikan kebenarannya oleh Al-Khawarizmi. Beliau telah memperkenalkan konsep sifar dan ia penting dalam sistem nombor pada zaman sekarang.

Antara cabang yang diperkenalkan oleh Al-Khawarizmi seperti geometrik, algebra, arimetik dan lain-lain. Geometri, selain algebra, Al-Khwarizmi juga menghasilkan beberapa kertas kerja tentang ilmu geografi dan menghasilkan tulisan yang bertajuk kitaab surat al-ard (buku tentang rupa muka bumi). Buku ini adalah rujukan dan versi pembetulan kertas kerja Ptolemy tentang georgafi. Beliau adalah salah seorang ahli falak (astronomi) dan menulis sekurang-kurangnya dua buah zij iaitu buku yang mengandungi jadual parameter nilai yang digunakan untuk menentukan kedudukan matahari, bulan, bintang dan planet-planet. Zij penting dalam perkembangan ilmu astronomi hari ini. Zij al-Sindhind (jadual astronomi Sind dan Hind) adalah zij yang dihasilkan oleh Al-Khwarizmi yang berdasarkan keadah astronomi India yang dikaji beliau.

Imam Al-Ghazali. Nama sebenar Imam Al-Ghazali ialah Muhamad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al-Ghazali Altusi. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Al-Ghazali iaitu nisbah kepada kampung tempat kelahirannya iaitu ghazalah yg terletak dipinggir bandar Tusi di dalam wilayah Kharasan, Parsi (Iran). Al-Ghazali juga bererti orang ghazalah, berkemungkinan juga panggilan tersebut dinisbahkan kepada bapanya seorang tukang tenun kain bulu yang dalam bahasa Arabnya dikatakan alghazzal. Imam Al-Ghazali juga digelar Abu Hamid, yang bererti bapa kepada Hamid iaitu dinisbahkan kepada anaknya.

Beliau juga digelar hujjatul Islam iaitu suatu gelaran penghormatan yang diberikan kepadanya kerana kejituan dan kekuatan hujahnya dalam membela agama Islam. Abu Hamid Muhammad Al-Ghazali Altusi adalah seorang tokoh ulama yang luas ilmu pengetahuannya dan merupakan seorang pemikir besar dalam sejarah falsafah islam dan dunia. Dalam ilmu feqah beliau bermazhab syafie sementara dalam ilmu kalam beliau mengikuti aliran assyaari atau ahlu sunnah wal jamaah. Beliau lahir pada tahun 450H bersamaan 1058M.

Beliau seorang alim yang aktif dan segala maklumat yang diterimanya diteliti dan diuji sejauh mana kebenaran dan kebatilannya. Oleh itu, ada kalanya beliau menolak, merubah atau menjelaskan dan menghuraikan sesuatu perkara tersebut lalu membuat pembaharuan.

Membahaskan ilmu kalam menurut metodologi para sahabat dan juga Rasulullah saw. menguatkan hujah-hujahnya berteraskan al-Quran, as-sunnah dan perbahasan para sahabat. Menganggap sesiapa yang keterlaluan dalam membincangkan isu-isu berkaitan dengan sifat dan perbuatan Allah adalah termasuk di dalam golongan orang yang melakukan bid’ah di dalam Islam. Menyatakan bahawa ilmu kalam tidak bermanfaat kepada manusia kerana dua sebab. Ilmu ini tersimpang jauh dari matlamatnya yang utama iaitu mengenal Allah. Perbincangan ahli ilmu kalam terlalu jauh sehingga menyimpang daripada apa yang dibincangkan oleh para ulamak salaf (penamaan lain dari ahlussunnah wal jama’ah yang menunjukkan ciri dan kriteria mereka).

Mengkaji penulisan-penulisan yang berkaitan dengan ilmu falsafah terutamanya ilmu falsafah Yunani. Dengan izin Allah swt, dikurniakan kepadanya ilmu-ilmu berkaitan falsafah dalam tempoh masa yang singkat iaitu kurang dari dua tahun. Membahagikan golongan yang membahaskan falsafah kepada tiga golongan iaitu atheis, natural dan teologi. Orang pertama yang mengklasifikasikan semula ilmu falsafah kepada enam bahagian iaitu matematik, mantiq, fizik, ketuhanan, siasah dan akhlak. Penulisan terkenal Al-Ghazali dalam bidang falsafah ialah maqasid al-falasifah, al-munqiz min aldhalal dan tahafut al-falasifah.

Gurunya yang termahsyur ialah Al-Junaid dan Al-Harith Al-Muhasibin. Penulisan terkenal Al-Ghazali dalam bidang tasawwuf ialah kitab Ihya’ulumuddin. Kitab ini telah menjadi rujukan penting ilmu fiqh dan tasawwuf di serata dunia dari zaman penulisannya hingga ke hari ini. Kitab ini juga telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa lain seperti bahasa Melayu, Parsi, Urdu, Inggeris dan Perancis. Selain itu, kitab ini menjadi sumber rujukan ulamak di rantau alam Melayu.

Kitab Ihya’ulumuddin bukan sekadar membawa pembaharuan dalam bidang tasawwuf bahkan membawa pembaharuan dalam bidang penulisan ilmu fiqh. Jika diteliti, kita akan dapati Al-Ghazali menerokai metodologi penulisan baru fiqh yang berasaskan kepada gabungan antara ilmu fiqh dan tasawwuf. Selain itu gaya bahasanya cukup menarik dengan menggunakan susunan tatabahasa yang mudah. Di dalamnya kita dapat membaca fiqh dan tasawwuf dalam waktu yang sama. Sebagai contoh, ketika menghuraikan berkaitan solat, Al-Ghazali bukan sekadar menulis berkaitan teori dan amali perlakuan solat beserta rukun-rukunnya, bahkan beliau juga menekankan soal kehadiran hati, khusyuk dan khuduk dalam perlakuan solat. Perbahasan berkaitan kehadiran hati, khusyuk dan khuduk adalah intipati daripada ilmu tersebut. Selain itu, ketika Al-Ghazali menulis berkaitan muamalat, beliau bukan sahaja mengkhususkan berkaitan teori jual beli dan untung, bahkan beliau menulis berkaitan dengan keperluan-keperluan kaum muslimin yang perlu dipenuhi sebagai tuntutan fardu kifayah dan mutiara nasihat kepada pembekal dan pembeli ketika melaksanakan urusan muamalat.