Friday, May 17, 2013

Implementasi dasar sosial dan impak kepada pembangunan komuniti di Malaysia





oleh Mohamad Zahir Zainudin, Roziah Omar, Isma Addi Jumbri

 
ABSTRAK

Kerangka pembangunan ekonomi yang mendasari kemajuan negara-negara dunia lebih lima dekad lalu semakin diselarikan dengan kerangka pembangunan sosial kerana implikasi yang besar ke atas pembangunan manusia dan alam sekitar. Penekanan ke atas pembangunan sosial yang bermula sekitar tahun 1980-an telah dilihat penting demi kelestarian dan kemajuan Malaysia. Pembentukan dasar sosial menjadi bertambah penting untuk mengurus komuniti yang semakin berkembang dan kompleks. Dalam melaksanakan perancangan pembangunan sosial, persekitaran semula jadi dalam hubungan di antara pelaksana dasar dan kumpulan sasar adalah sama penting dengan kandungan dasar. Impak dasar sosial dalam perubahan hidup kerap kali bergantung kepada aktiviti yang terlibat dalam kalangan individu dan komuniti. Kajian ini ingin melihat bagaimana dasar sosial dilaksanakan di Malaysia dan sejauh mana pelaksanaannya memberi impak kepada komuniti setempat. Responden kajian terdiri daripada penerima bantuan mikrokredit Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Lokasi kajian yang dipilih ialah Negeri Melaka kerana berada dalam zon yang lebih maju dari segi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif untuk mendapatkan hasil yang lebih jelas dalam pelaksanaan dasar sosial. Data kajian dikumpulkan melalui perbincangan dengan kumpulan pakar, kumpulan berfokus dan pemerhatian  langsung. Hasil dapatan menunjukkan terdapat perubahan sosioekonomi yang ketara selepas responden menyertai skim berkenaan. Mereka boleh berdikari dan mempunyai motivasi tinggi untuk mengubah kehidupan. Penyelesaian dasar sosial bersama dasar ekonomi telah menyumbang kepada perubahan hidup komuniti yang pada awalnya adalah berpendapatan rendah. Malaysia telah berjaya membangunkan komuniti ini melalui pelaksanaan dasar sosial yang terangkum dan disesuaikan dengan keperluan kumpulan sasar.
 
Kata Kunci: dasar sosial, pembangunan komuniti, Amanah Ikhtiar Malaysia


1.0       PENGENALAN

Sejak 50 tahun lalu, pengalaman pembangunan memperlihatkan perdebatan dalam peranan kerajaan bagi membangunkan masyarakat dan negara. Masing-masing meneliti dan memerhati perkembangan masyarakat dan sistem sosiobudaya manusia serta menelaah fenomena kemodenan ini dengan kaca mata dan perspektif  sendiri. Golongan ekonomis mempunyai gagasan pembangunan dan tahap perkembangannya. Golongan politikus mempunyai gagasan perkembangan sistem politik global. Golongan sosiologis memaparkan pandangan serta kerangka pemikiran kemasyarakatan (Zainal Kling, 2005).
 
Pembangunan berteraskan ekonomi ini menyaksikan negara Jepun menjadi kuasa baru ekonomi dunia  pada tahun 1970-an. Kelompok kedua ialah kemunculan Taiwan, Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura menjadi Negara Industri Baru (NIB) sebagai generasi pertama, diikuti Malaysia, Thailand dan Indonesia sebagai NIB generasi kedua. Kepesatan ini telah menambah baik agihan pendapatan, menurunkan kadar kemiskinan dan merapatkan jurang perbezaan ekonomi. Contoh kejayaan ini ialah sepertimana yang dinikmati oleh Malaysia iaitu pengecilan jurang ketaksamaan ekonomi melalui pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) di mana golongan 20 peratus terkaya menikmati 57.7 peratus pendapatan, pemilikan golongan ini menurun kepada 55.8 peratus pada 1979 dan semakin kurang pada 1990 hanya kepada 50.4 peratus (Shireen Mardziah, 1998; Ishak, 1999; Abdul Rahman, 2003). Seterusnya, perkembangan ekonomi China yang pesat pada abad ke-21 memberi saingan kepada kuasa ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia sendiri. Ekonomi China yang berkembang pesat menjadi pemacu kepada perkembangan ekonomi dunia pada hari ini (Mengkui Wang, 2006; Zhongmin Wu, 2009; John Bryan Starr, 2010).
 
1.2       Objektif Kajian
 
Tujuan kajian in ialah mengkaji pelaksanaan dasar sosial dalam pembangunan komuniti di Malaysia. Tujuan khusus ialah menjawab persoalan-persoalan berikut, 1) bagaimana dasar sosial dilaksanakan di Malaysia? dan 2) sejauhmana implementasi dasar sosial ini memberi impak kepada pembangunan komuniti di Malaysia?
 
2.0       KAJIAN LITERATUR
 
Keberkesanan dasar sosial bergantung kepada keupayaan pelaksanaan intervensi yang diambil oleh kerajaan menerusi pelbagai siri perkhidmatan sebagai tindak balas ke atas masalah sosial, keperluan sosial dan peluang sosial yang diperlukan dalam masyarakat (Latrids, 1994, Siti Hajar, 2006). Komponen utama dalam pelaksanaan dasar sosial ini ialah kebajikan sosial iaitu memenuhi keperluan sosial masyarakat, mengurus masalah-masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat dan menyediakan peluang untuk masyarakat memperkasa kesejahteraan hidup mereka. Pemilihan tipologi atau model dasar sosial yang memenuhi keperluan masyarakat akan menjamin kehidupan yang lebih baik.
 
Terdapat berbagai-bagai definisi dasar sosial yang dikemukakan oleh beberapa orang tokoh seperti Marshall, Rein, Huttman, Spicker dan Hill yang mengaitkan dasar sosial dengan kebajikan kesejahteraan sosial. Marshall (1965) berpendapat dasar sosial adalah dasar kerajaan yang berkaitan dengan tindakan yang memberi impak secara langsung terhadap kesejahteraan komuniti melalui penyediaan perkhidmatan sosial atau bantuan kewangan. Bagi Rein (1970), dasar sosial adalah perancangan untuk mengatasi halangan sosial, meningkatkan kesamarataan, agihan perkhidmatan dan bantuan sosial. Huttman (1981) pula berpendapat dasar sosial adalah satu bentuk strategi, tindakan atau rencana untuk mengatasi masalah sosial dan memenuhi keperluan sosial.
 
Spicker (1995) mentakrifkan dasar sosial sebagai dasar yang berkaitan dengan kebajikan sama ada yang berkait dengan pengertian yang lebih luas seperti kualiti hidup ataupun yang lebih khusus seperti perkhidmatan tertentu. Definisi yang lebih ringkas diberikan oleh Hill (1996) iaitu dasar sosial adalah kajian mengenai peranan negara dalam kaitannya dengan kesejahteraan komuniti. Manakala Bessant, Watts, Dalton dan Smith (2005) melihat dasar sosial menunjuk pada tindakan kerajaan meningkatkan kualiti hidup melalui penjanaan pendapatan, kebajikan kemasyarakatan dan program asas sosial. Midgley dan Livermore (2009) menyatakan dasar sosial ialah pengukuran yang memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat sama ada melalui penyediaan perkhidmatan kebajikan atau dasar yang memberi impak ke atas kehidupan secara keseluruhan.
 
Walaupun dasar sosial kerajaan menyumbang kepada kesejahteraan hidup komuniti dan negara, kebajikan keseluruhan tersebut tidak hanya ditentukan oleh dasar-dasar kerajaan. Banyak lagi program atau aktiviti serta penglibatan dalam komuniti yang memberi impak kepada kesejahteraan hidup seperti tahap pendapatan yang diperolehi daripada pekerjaan, pencapaian pendidikan, sokongan keluarga (juga rakan-rakan dan jiran), perkhidmatan yang diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan dan institusi agama, aktiviti masyarakat setempat, iklim ekonomi negara dan peranan agensi kerajaan.
 
Bagaimanapun dasar sosial kerajaan menjadi sangat penting kerana tujuan dasar tersebut ialah meningkatkan kesejahteraan hidup dan mengurus sejumlah sumber untuk mencapai sasaran tertentu. Idea penglibatan kerajaan dalam merangka dasar sosial dengan matlamat-matlamat khusus sebenarnya masih baru iaitu ketika abad ke-21. Dalam sejarah kemanusiaan, kerajaan hanya memberi tumpuan untuk mempertahankan negara dari serangan. Hanya pada abad ke-19, kerajaan mula melihat sumber-sumber negara boleh digunakan untuk menambah baik pendidikan, menyediakan tempat tinggal, memberi subsidi dan membaiki taraf perkhidmatan kesihatan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup komuniti. Sebelum itu, tanggungjawab ini dilakukan oleh keluarga dan komuniti setempat selain daripada institusi agama dan pertubuhan sukarela. Dalam abad ke-20, gerakan besar-besaran oleh reformis sosial, kesatuan sekerja, ahli politik dan penglibatan agensi kerajaan telah meningkatkan peranan kerajaan dalam penyediaan perkhidmatan sosial yang lebih besar.
 
Oleh kerana peranan kerajaan dalam kebajikan sosial semakin meluas, perdebatan tentang dasar sosial tidak dapat disempitkan kepada program-program berbentuk kebajikan, sebaliknya perlu disertai oleh ahli akademik untuk mengkaji dasar dan program-program yang telah dilaksanakan. Antara kajian ini ialah bagaimana dasar sosial boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan sosial, perundangan, sistem cukai dan mahkamah, sejarah dasar sosial, kajian terhadap ideologi yang mempengaruhi proses pembuatan dasar sosial dan penilaian ke atas impak kebajikan sosial.
 
Dasar sosial yang memberi impak positif dan menambah baik keadaan sosial dalam komuniti akan memberi lebih banyak ruang kepada kesejahteraan hidup. Secara langsung, dasar sosial menentukan aras kebajikan sosial individu atau komuniti. Kebajikan yang dimaksudkan ialah apabila keperluan-keperluan hidup dipenuhi, masalah dapat diuruskan dan peluang dimaksimumkan. Kepentingan memenuhi keperluan hidup ialah supaya wujudnya keadaan kebajikan sosial untuk makanan, kesihatan, tempat perlindungan, keselamatan dan pekerjaan. Kepentingan mengurus masalah ialah dapat mengawal kadar jenayah dan delikuensi, penderaan, keganasan rumah tangga dan pengabaian kanak-kanak. Manakala maksud kewujudan peluang yang maksimum ialah apabila keadaan kebajikan sosial telah terbentuk, individu dan komuniti dapat memaksimumkan peluang bagi mencapai matlamat (Midgley dan Livermore, 2009; Haris Abd. Wahab, 2010).
 
Kebanyakan dasar sosial dan dasar awam menggariskan set idea, prosedur, pendekatan, prinsip dan strategi mengenai cara-cara untuk menguruskan pelbagai program sosial dan perkhidmatan sosial bagi bertindak balas dengan keperluan sosial, masalah sosial dan peluang sosial yang wujud. Terdapat dua pendekatan atau model yang diguna pakai dalam melaksanakan dasar sosial iaitu model agihan kebajikan semula (redistributive welfare) dan model pelaburan sosial (social investment model). Model dasar sosial kontemporari seperti kebajikan agihan semula didapati semakin gagal atau kurang berkesan untuk bertindak balas dengan keperluan hidup dan masalah sosial yang wujud dalam kehidupan masyarakat serta semakin kurang berkesan untuk menyediakan pelbagai peluang sosial yang diperlukan oleh anggota masyarakat bagi memajukan atau meningkatkan kesejahteraan hidup mereka. Kebanyakan negara sedang menukar arah paradigma dasar sosial mereka kepada dasar sosial model pelaburan sosial (Midgley dan Livermore, 2009; Siti Hajar dan Syed Barkat Ali, 2005; Levitas, 2005; Dwyer, 2000). Kedua-dua model ini mempunyai perbezaan yang sangat ketara dalam membebaskan masyarakat daripada masalah sosial yang dihadapi. 
 
2.1       Pembangunan Sosial di Malaysia
 
Matlamat pembangunan sosial di Malaysia ialah menyelesaikan masalah kemiskinan yang telah didokumentasikan dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1) 1971-1990. Pembangunan sosial di Malaysia telah melalui tiga dekad kemajuan bersama pembangunan ekonomi yang memberangsangkan, membenarkannya untuk memberikan nikmat kesihatan dan pendidikan kepada rakyat, membasmi kemiskinan dalam skala besar, membina infrastruktur kelas satu dan menjadi pengeksport global yang utama. Ketika negara ini sedang mengejar misi penting untuk menjadi sebuah negara maju, kerajaan telah mewujudkan sebuah rangka kerja merangkumi empat tonggak untuk memacu perubahan iaitu Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara dalam Program Transformasi Kerajaan, 12 Bidang Ekonomi Penting Negara daripada Program Transformasi Ekonomi, pembaharuan ekonomi strategik dalam Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh. Empat pilar ini menjadi teras untuk membawa Malaysia ke arah negara maju, menekankan keterangkuman dan kemampanan. Begitu juga dengan pendekatan terhadap pembangunan ekonomi dan sosial yang mengguna pakai suatu perubahan yang radikal bagi membolehkan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi (PBB, 2011).
 
Di peringkat global, pengukuran kemajuan Malaysia dilakukan berdasarkan pencapaian negara ini dalam Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) yang mengukur kedudukan lapan indikator iaitu membasmi kemiskinan dan kebuluran yang melampau, mencapai pendidikan utama sejagat, menggalakkan persamaan jantina dan menguasakan wanita, mengurangkan mortaliti kanak-kanak, meningkatkan kesihatan keibuan, memerangi HIV/AIDS, malaria dan penyakit-penyakit lain, memastikan kemampanan alam sekitar, dan membangunkan kerjasama sejagat untuk pembangunan. Selepas melalui dua pertiga tempoh ke tahun 2015, Malaysia telah mencatatkan kemajuan ketara ke arah pencapaian kebanyakan matlamat. Laporan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2011 tentang kemajuan MDG Malaysia dalam pembasmian kemiskinan, terdapat pengurangan yang ketara iaitu berkurangan daripada 17 peratus pada tahun 1990 kepada lapan peratus pada tahun 2000 dan di bawah empat peratus pada tahun 2009. Kadar kemiskinan dijangka semakin berkurangan kerana kerajaan Malaysia sangat komited kepada agenda MDG-Plus melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh dengan 30 peratus perbelanjaan pembangunan lima tahun diperuntukkan kepada sektor sosial.
 
Kemajuan Malaysia dalam pembangunan sosial melalui peningkatan taraf hidup keluarga berpendapatan rendah telah mula menampakkan hasil selepas koordinasi pelbagai agensi yang lebih teratur melalui portal e-Kasih, proses kelulusan permohonan yang singkat dan tahap kecekapan agensi pemberi bantuan yang semakin baik. Penetapan gaji minimum bulanan sebanyak RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan pada tahun 2012 dapat memenuhi keperluan asas pekerja dan keluarga mereka, meningkatkan produktivi dan melonjakkan perniagaan pihak swasta (Bernama, 2012). Usaha-usaha yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia dalam pembangunan sosial  adalah seiring dengan model pembangunan negara yang menggunakan dua pendekatan iaitu pencapaian indeks pendapatan dan kesejahteraan rakyat (Berita Harian, 2012). 
 
2.2       Transformasi Pembangunan Dasar Sosial di Malaysia
 
Pembangunan memang menjadi satu perkara penting dalam perkembangan Malaysia sebelum dan selepas merdeka. Hanya selepas kemerdekaan pada tahun 1957, pembangunan di Malaysia menjadi lebih terancang dan menepati kehendak serta keperluan masyarakat tempatan. Pelbagai dasar, strategi dan program terancang diperkenalkan dan dibangunkan untuk mengisi kemerdekaan negara (Hazizan, 2005). Terdapat tiga fasa pembangunan yang telah dilaksanakan oleh Malaysia bagi mengubah lanskap pembangunan sosial masyarakat dan negara. Fasa pertama ialah sejak merdeka hingga 1969, fasa kedua dari 1970 hingga 1990 dan fasa ketiga dari 1991 hingga 2020.
 
 
 
2.3       Dasar Sosial Negara Malaysia
 
Penggubalan Dasar Sosial Negara (DSN) yang berlandaskan aspirasi 2020 adalah sangat tepat. DSN merupakan dasar payung yang merangkumi falsafah dan pelbagai dasar pembangunan sosial negara. Dasar ini memberi hala tuju kepada perancangan dan pelaksanaan program pembangunan sosial tersebut. DSN dilancarkan secara rasmi pada 19 Ogos 2003 dan diletakkan di bawah Bahagian Pengembangan dan Pembangunan PINTAS, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
 
Matlamat DSN ialah mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang maju dan mantap dengan setiap anggota masyarakat berpeluang untuk memperkembangkan potensi diri secara optimum di dalam persekitaran sosial yang sihat berdasarkan ciri-ciri bersatu padu, berdaya tahan, demokratik, bermoral, bertoleransi, progresif, penyayang, adil dan saksama selaras dengan matlamat Wawasan 2020. Penyataan dasar merumuskan bahawa DSN ialah dasar pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju serta mantap.
 
 
 
Objektif umum DSN ialah menjamin setiap individu dapat menyertai dan memberi sumbangan kepada pembangunan negara serta menikmati hidup yang sejahtera. Manakala objektif khusus ialah memastikan keperluan asas individu, keluarga dan komunikasi dipenuhi, membangun dan memperkasa insan sepanjang hayat, memperkukuh dan membangunkan sistem sokongan sosial dan perkhidmatan sosial serta menjana sinergi multisektor. Pembangunan sosial yang diketengahkan dalam Dasar Sosial Negara ini mengenengahkan 45 strategi melalui pelbagai program, aktiviti dan projek yang dirancang mengikut Pelan Tindakan DSN yang memberi perkhidmatan sosial dalam aspek kebajikan masyarakat, kesihatan, pendidikan, pekerjaan, perumahan, penghayatan nilai dan budaya, keselamatan serta persekitaran yang sihat.
 
 
 
Strategi bagi memenuhi objektif pertama ialah 1) mewujudkan pelbagai peluang dan kemudahan agar setiap individu, keluarga dan komuniti dapat menikmati keperluan asas kehidupan dan menyertai arus pembangunan negara, 2) memastikan setiap individu mendapat hak untuk kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan serta dapat menikmati keperluan asas sepanjang hidup, tidak terpinggir dan tersisih daripada arus pembangunan, dan 3) memastikan keperluan hidup yang holistik menjadi teras kehidupan setiap individu, keluarga dan komuniti.
 
Mekanisme penyelarasan pelaksanaan Dasar Sosial Negara melibatkan dua peringkat iaitu persekutuan serta negeri dan daerah. Di peringkat persekutuan, terdapat tiga organisasi pelaksana iaitu Majlis Sosial Negara (MSN) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dengan keanggotaan terdiri daripada menteri-menteri kabinet Malaysia, seterusnya Jawatankuasa Pembangunan Sosial Negara (JPSN) dan Jawatankuasa Kerja Pembangunan Sosial Peringkat Kementerian (JKPSK). Di peringkat negeri dan daerah, tiga organisasi berganding bahu menjayakan DSN iaitu Majlis Tindakan Negeri, Jawatankuasa Kerja Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah.
 
 
 
3.0       METODOLOGI KAJIAN
 
Responden kajian ini melibatkan sepuluh orang penerima bantuan mikrokredit Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Melaka. Tinjauan awal yang dibuat ini melibatkan penyertaan pelajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang menyertai program keusahawanan sosial di universiti tersebut. Dalam kajian ini, responden yang dikenal pasti telah  dipilih bagi mewakili peserta mikrokredit di bawah AIM. 
 
Pemerhatian langsung dipilih kerana kaedah ini membantu penyelidik memahami dan mendapat gambaran ke atas peranan dan aktiviti yang dilaksanakan di kawasan lapangan. Melalui pemerhatian langsung dan turut serta, pengkaji mendapat peluang dan pengalaman sebenar berkaitan permasalahan, keperluan dan pencapaian matlamat dasar sosial ini. Perbincangan kumpulan berfokus bertujuan untuk mendapatkan maklumat tambahan berhubung peranan dan tanggungjawab responden bagi menjayakan dasar sosial. 
 
Perbincangan dan pengumpulan maklumat tambahan adalah bagi mendalami isu-isu sosial, aktiviti yang dilaksanakan, peranan pengerak, penglibatan komuniti dan agesi-agensi berkaitan dasar sosial. Perbincangan kumpulan berfokus yang dibuat secara terbuka adalah perlu bagi mengetahui masalah yang berkaitan dengan peranan mereka. Di samping isu-isu yang berkait rapat dengan peranan mereka dalam dasar sosial, terdapat juga isu-isu peribadi yang tidak relevan dengan kajian. 
 
4.0       DAPATAN KAJIAN
 
Sepuluh responden yang terlibat dalam kajian ini melakukan pelbagai jenis perniagaan yang berskala kecil, berisiko rendah dan berorientasi perkhidmatan. Antara perniagaan tersebut ialah kedai makanan dan minuman, pembekal barangan kulit, pengangkutan dan penyajian. Mereka memulakan perniagaan bagi tempoh satu hingga 15 tahun. Sebahagian besar responden (lapan orang) berkahwin manakala dua lagi adalah ibu tunggal. Umur responden adalah di antara 43 tahun hingga 56 tahun.  Jadual 3 menunjukkan maklumat responden dan jenis perniagaan yang dijalankan.
 
4.1       Perubahan Sosioekonomi
 
Responden mula menunjukkan perubahan minda yang positif apabila sering kali mendapat bimbingan dan pendedahan untuk mengubah keadaan hidup. Melalui tinjauan yang dijalankan, responden atau peserta AIM bertanggungjawab menghadiri perjumpaan pusat kawasan yang dikenali sebagai Kumpulan Sinar Gemilang dan Pusat Saidatina Aisyah serta membuat bayaran secara mingguan. Keupayaan berniaga dapat dikongsi bersama ketika setiap responden berkumpul di pusat kawasan masing-masing.
 
Antara program yang telah mengubah minda responden ialah perkongsian maklumat dan pengalaman melalui mesyuarat mingguan, taklimat yang teratur dan hubungan berterusan responden dengan pihak AIM. Perhatian yang diberikan kepada responden telah membimbing mereka untuk bertindak dengan cermat dalam membuat keputusan.
 
Perubahan sikap yang ketara ialah terdapat responden bangun seawal pukul empat pagi untuk memulakan perniagaan, memberi perhatian ke atas perkhidmatan pelanggan dan memastikan kualiti produk serta merancang menambahkan bilangan pekerja. Terdapat juga responden juga mula mempelajari aspek pemasaran dalam talian (online marketing) sebagai sebahagian daripada strategi memasarkan produk. Walaupun sebahagian besar responden masih menjalankan perniagaan secara tradisional, keinginan mereka untuk mengetahui kaedah pemasaran dalam talian ini amat menggalakkan.
 
 
 
4.2       Perubahan Minda dan Sikap
 
Responden mula menunjukkan perubahan minda yang positif apabila sering kali mendapat bimbingan dan pendedahan untuk mengubah keadaan hidup. Melalui penerangan yang dijalankan, responden bertanggungjawab menghadiri perjumpaan pusat kawasan yang dikenali sebagai Kumpulan Sinar Gemilang dan Pusat Saidatina Aisyah serta membuat bayaran secara mngguan. Keupayaan berniaga dapat dikongsi bersama ketika setiap responden berkumpul di pusat kawasan masing-masing.
 
Antara program yang telah mengubah minda responden ialah perkongsian maklumat dan pengalaman melalui mesyuarat mingguan, taklimat yang teratur dan hubungan berterusan responden dengan pihak Amanah Ikhtiar Malaysia. Perhatian yang diberikan kepada responden telah membimbing mereka untuk bertindak dengan cermat selepas membuat keputusan.
 
Perubahan sikap yang ketara ialah responden bangun seawal pukul empat pagi untuk memulakan perniagaan, memberi perhatian ke atas perkhidmatan pelanggan dan kualiti produk serta merancang menambahkan bilangan pekerja. Responden juga mula mempelajari aspek pemasaran dalam talian (online marketing) sebagai sebahagian daripada strategi memasarkan produk. Walaupun sebahagian besar responden masih menjalankan perniagaan secara tradisional, keinginan mereka untuk mengetahui kaedah pemasaran dalam talian ini amat menggalakkan.
 
4.3       Pembasmian Kemiskinan
 
Latar belakang responden yang susah di samping ramai tanggungan meletakkan mereka dalam keadaan yang sukar. Rata-ratanya masih berpendapatan rendah dan perlukan pekerjaan tambahan. Selepas menjadi peniaga, usaha dan kudrat responden semakin bertambah gigih, cermat dan bersemangat tinggi untuk berjaya. Pendapatan yang diperolehi telah mampu membiayai kehidupan keluarga masing-masing di samping meluaskan skop perniagaan.
 
Responden yang terlibat dalam perniagaan makanan dan minuman tidak hanya tertumpu pada satu jenis makanan sebaliknya dipelbagaikan. Antaranya ialah nasi lemak, bihun goreng, kuih apam, kerepek, bauhulu, produk susu dan ketupat nasi. Bagi responden yang telah lama berkecimpung dalam perniagaan perternakan, perkembangan perniagaan diarahkan kepada perkhidmatan inap desa (homestay), sewa basikal dan penternakan ikan kolam. Dalam aktiviti berasaskan jahitan dan hiasan dalaman, responden menerima tempahan untuk sulaman, jahitan langsir, hiasan dalaman, jahitan sarung bantal dan cadar, jahitan reben atas sarung kusyen, jahitan baju melayu dan jahitan manik. Responden turut memperkenalkan kelas jahitan bagi menambah pendapatan.
 
5.0       PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN
 
Hasil kajian menunjukkan implementasi dasar sosial di Malaysia adalah menggerakkan masyarakat untuk berusaha dan berdikari bagi mengubah hidup. Pendekatan keusahawanan sebagai strategi sosial berjaya mengubah tahap pendapatan, keadaan sosioekonomi dan menganjak paradigma peserta untuk keluar daripada kitaran kemiskinan (vicious cycle). Hall dan Midgley (2004) menyifatkan mikrokredit sebagai sebahagian daripada kaedah menggurangkan kemiskinan selain daripada projek perantisan, klinik desa, program makanan untuk pekerjaan, bantuan pertanian, koperasi dan sebagainya.
 
Dasar sosial yang diguna pakai oleh Malaysia menggabungkan dasar ekonomi untuk merangsang pertumbuhan dan menyediakan lebih banyak pekerjaan. Dalam strategi ini, pembangunan sosial tidak sahaja berfungsi sebagai elemen pertumbuhan dan perkhidmatan malah memberikan strategi pembangunan “egalitarian” yang menambah pendapatan dan kualiti hidup masyarakat keseluruhannya. Peranan kerajaan yang terlibat secara menyeluruh dalam menjayakan dasar sosial melalui agensi seperti AIM ini telah terbukti membantu kumpulan sasar keluar daripada kepompong kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup mereka. Bantuan kewangan dan bantuan modal insan telah menggerakkan pemikiran dan mengubah tingkah laku kumpulan sasar untuk memberi tumpuan kepada aspek kualiti hidup yang lebih baik.

Artikel ini telah dibentangkan di Seminar Penyelidikan Mengenai Melayu, Universiti Brunei Darussalam, Brunei pada 29-31 Mac 2013.
 

Thursday, May 16, 2013

Kabinet pemangkin transformasi





Kabinet Malaysia 2013 (Utusan Malaysia)


oleh Wan Hasnan Wan Hasan, Junhairi Alyasa,  Suhana Md. Yusop

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan barisan Kabinet baharu yang disifatkan sebagai Kabinet berimbang yang mampu menjayakan agenda transformasi nasional serta meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Jelas beliau, Kabinet itu juga menggabungkan menteri-menteri yang berpengalaman, pemimpin muda dan golongan teknokrat yang mempunyai kepakaran khusus.

“Saya percaya mereka yang berpengalaman akan menyumbang daripada segi kesinambungan berdasarkan pengalaman mereka sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri, mereka yang merupakan teknokrat akan menyumbang kepakaran khusus untuk menyuntik idea-idea kreatif dan bernas untuk pertimbangan kerajaan.
“Mereka yang muda pula, selain berkebolehan, mampu membawa cita rasa golongan muda kepada pertimbangan kerajaan. Saya sifatkan Kabinet ini mampu meneruskan dan menjayakan agenda transformasi nasional selain dapat meningkatkan keyakinan dan kepercayaan kerajaan,” katanya.
Najib berkata demikian ketika mengumumkan barisan Kabinet baharu yang terdiri daripada 30 orang menteri, 26 timbalan menteri dan 24 kementerian di Bangunan Perdana Putra di sini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa.
Kabinet itu menjadi perhatian rakyat selepas Barisan Nasional menang 133 daripada 222 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu.
Pengumuman senarai penuh Kabinet dibuat setelah Najib mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah pada sebelah paginya.
Kabinet baharu itu turut menyaksikan pelantikan muka-muka baharu seperti Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hassan Malek dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahalan.
Turut dilantik ialah tokoh korporat iaitu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Bhd., Datuk Seri Abdul Wahid Omar sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Pengerusi Transparency International, Datuk Paul Low juga memegang jawatan yang sama. Kedua-dua mereka dilantik sebagai Senator.
Menurut Perdana Menteri, walaupun bilangan menteri dikekalkan seramai 30 orang, bilangan timbalan menteri telah dikurangkan daripada 37 orang kepada 26 orang.
Daripada jumlah itu, seramai 13 menteri berasal dari Sabah dan Sarawak. Daripada jumlah itu tujuh menteri adalah dari Sarawak, manakala enam dari Sabah.
Kesemua menteri dan timbalan menteri yang dilantik dijadual mengangkat sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Negara hari ini. 
(Kosmo Online, 16 Mei 2013)

 

Sunday, May 12, 2013

Banteras jenayah kanak-kanak





Kehidupan kanak-kanak umpama bunga yang bersinar


Kematian seorang kanak-kanak perempuan yang dirogol berulang kembali. Justeru kita bertanya bagaimanakah keadaan keselamatan masyarakat pada masa kini? Sebaik sahaja anak-anak terlepas daripada pandangan ibu bapa atau penjaga, nyawa mereka berada dalam bahaya.

Kanak-kanak yang baru membesar umpama bunga indah yang perlu diberi perhatian. Andai lalai dan leka dalam membelai ini, ia akan layu dan tidak dapat berkembang dengan cantik. Ke mana juga mereka pergi, kanak-kanak mesti diawasi supaya dapat kembali ke rumah dengan selamat. Jika tidak, menangis seharian pun tidak akan mengembalikan nyawa kanak-kanak yang menjadi mangsa.

Membanteras jenayah merupakan tugas kerajaan melalui agensi penguatkuasa yang dibentuk. Pasukan polis dan agensi-agensi lain perlu bersama-sama berganding bahu menjaga keselamatan orang awam khususnya kanak-kanak supaya kejadian yang sama tidak berulang. Kita berharap kejadian yang menimpa kanak-kanak perempuan di Johor, Dirang, tidak akan berlaku. Namun, ia masih berulang. Maknanya, aspek keselamatan kanak-kanak di negara kita masih belum baik.

Di samping polis, ibu dan bapa juga berperanan besar dalam memastikan anak-anak sentiasa berada di bawah pengawasan mereka. Jika dapat, ajar anak-anak langkah menyelamakan diri apabila berjumpa dengan orang yang tidak dikenali dan cuba melakukan kekerasan. Tidak salah untuk menyediakan anak-anak ini telefon bimbit supaya dapat mencari pertolongan ketika dalam kecemasan.

Masalah jenayah kanak-kanak adalah masalah masyarakat. Menuding jari menyalahkan satu sama lain hanya mengundang gema "bangau oh bangau" yang akhirnya tidak ada siapa yang dipersalahkan.
 

Saturday, May 11, 2013

Analisis PRU13: Haron Din gagal lagi di Arau






Datuk Haron Din di Sekolah Kebangsaan Jelempok


Calon Pas di Parlimen Arau dalam pilihan raya lalu, Datuk Haron Din gagal dalam usahanya menjadi wakil rakyat selepas kalah 1,371 undi kepada Datuk Seri Shahidan Kasim dari Barisan Nasional. Beliau mendapat 18, 005 undi berbanding Shahidan 19,376 undi. 
 
Parlimen Arau mempunyai 43,876 pengundi yang merangkumi Dewan Undangan Negeri Pauh, Tambun Tulang, Guar Sanji, Simpang Empat dan Sanglang. Dari segi komposisi pengundi mengikut kaum, Melayu membentuk 87.34 peratus, Cina 8.15 peratus, India 1.65 peratus dan lain-lain sebanyak 2.74 yang terdiri daripada masyarakat Siam. Peratusan yang keluar mengundi ialah 87.6 peratus atau 38,312 orang. 

Jentera Pas tidak dapat menandingi kempen berterusan Barisan Nasional yang mendirikan banyak bilik gerakan sama ada di rumah individu atau di kawasan awam. Disebabkan kawasan luar bandar dan masyarakat Arau berpendapatan kecil, kebergantungan kepada Barisan Nasional masih ketara. Di sinilah kelemahan Haron Din yang dilihat lebih banyak masanya berada di luar Arau berbanding Shahidan Kassim yang menggunakan pendekatan personal untuk mendampingi masyarakat. 

Ketokohan Haron Din tidak banyak membantu masyarakat mengenali beliau secara peribadi kerana perumahan penduduk di Arau adalah berselerakan, justeru beliau memerlukan jentera parti yang ramai untuk sampai kepada pengundi-pengundi ini. Ada sesetegah kawasan, rumah pengundi berada di tengah-tengah sawah dan kemudahan jalan raya yang kurang baik memalaskan jentera parti untuk mendekati mereka. Berbanding Barisan Nasional, mereka bergerak juga bertemu pengundi seperti itu sambil bertanya khabar dan membawa buah tangan untuk mengikat hati pengundi kepada parti itu. 

Keputusan pemilihan 2013 menunjukkan pengundi di Simpang Empat dan Sanglang cenderung memilih beliau berbanding di kawasan DUN lain.  

Memenangi Arau merupakan cabaran besar kepada Pas kerana kemajuan negeri itu banyak disumbangkan oleh kerajaan Barisan Nasional. Apatah lagi semenjak pembukaan Lebuhraya Kuala Perlis-Changlon, penduduk Arau dapat meningkatkan akses kepada kegiatan ekonomi dengan lebih ketara. Kawasan sawah yang dulunya mengambil masa 20 minit untuk ke pekan Arau kini hanya perlu menunggang motosikal di antara lima hingga sepuluh minit untuk ke pasaraya C-Mart atau kedai-kedai lain. Tentulah pembangunan ini disumbangkan ketika Shahidan Kassim menjadi Menteri Besar dan juga peranan yang dimainkan oleh Datuk Ismail Kassim, wakil rakyat Arau dalam pilihan raya 2008. 

Oleh kerana pengundi Melayu sangat tinggi di Arau, pendekatan juga berbeza. Memenangi hati mereka bermakna calon perlu datang dan bertanya khabar. Jentera parti Pas tidak kelihatan di sesetengah kawasan berbanding Barisan Nasional yang begerak ke seluruh kawasan di samping berterusan menembusi kubu kuat Pas. Ia dapat dilihat daripada pemasangan poster dan kain rentang berlambang dacing. Barisan Nasional turut menggunakan kaedah memujuk apabila berhadapan dengan pengundi yang tidak dapat membuat keputusan.

Satu perkara yang diperhatikan ialah pengundi di Arau mempunyai pertalian persaudaraan yang akrab. Mereka saling mempengaruhi dan sentiasa memberi peringatan berkaitan calon yang bakal dipilih. Adu domba dan emosional tidak kedengaran di Arau kerana masyarakat masih menjaga adab dan akhlak sebagai umat Islam. Begitu juga denga pengundi muda yang rata-ratanya tamat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi tempatan dan kurang terdedah kepada media sosial yang bersifat provokasi dan emosi menyumbang kepada kekalahan Haron Din. 

Untuk menang di Arau, Pas perlu menggunakan pendekatan memenangi hati pengundi melalui gerak kerja perdampingan berterusan. Bakal calon juga perlu lebih kerap turun padang dalam aktiviti kemasyarakatan, membantu ahli masyarakat yang terpinggir dan merasai susah payah orang kampung dalam mengisi pembangunan negeri. 

Pentadiran kerajaan Barisan Nasional yang mesra rakyat menghalang Pas untuk memenangi lebih kerusi parlimen dan DUN pada pilihan raya lalu.

 

Thursday, May 09, 2013

Analisis PRU13: Ali Rustam kecewa di Bukit Katil





Kajian lanjut perlu bagi mengenal pasti punca kekalahan di Bukit Katil


Datuk Seri Mohd Ali Rustam menzahirkan rasa kecewa kerana kalah dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini ke atas pola pengundian masyarakat Cina yang disifatkan “tidak kenang budi, tidak mengambil kira jasa dan cuba membiarkan dirinya seperti sampah di tepi jalan”. Beliau juga menyalahkan sikap segelintir  orang Melayu yang telah mendapat banyak kemudahan asas dengan rumah yang besar dan banyak harta tetapi melupakan khidmatnya apabila menjadi kaya dan hidup senang. 
 
Rumusan beliau terhadap sikap pengundi Cina di Parlimen Bukit Katil ialah masyarakat itu sangat rasis dan mengamalkan poitik perkauman sehingga lupa kepada bantuan yang telah diberikannya.
 
Mohd Ali tewas kepada calon dari Parti Keadilan Rakyat, Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan majoriti 5,447 iaitu merupakan suatu jumlah yang besar jika dikira pengalaman, jasa dan hubungannya dengan pengundi di situ. Angka ini menunjukkan jawatan Ketua Menteri yang dipegang sejak 3 Disember 1999 sebenarnya tidak memberi kelebihan untuk menang.
 
Kekalahan Mohd Ali mengejutkan banyak pihak termasuk lawannya. Bagaimanapun peralihan sokongan orang-orang Cina kepada pakatan pembangkang wajar dikaji dan diberi perhatian kerana lebih 80 peratus pengundi bangsa itu menentang beliau. Apakah yang menyebabkan peralihan ini berlaku? 
 
Secara umum pengundi terdiri daripada tiga kelompok iaitu penyokong tegar, simpati dan atas pagar. Kemungkinan besar kelompok simpati dan atas pagar dari kaum Cina terpengaruh dengan sentimen “ubah” yang dibawa oleh DAP untuk meraih kemenangan kali ini. Slogan ini mempengaruhi minda sedar dan separa sedar pengundi selepas diasak dengan pelbagai maklumat. Asakan berterusan ini mampu mempengaruhi emosi pengundi untuk membuat kepastian pada 5 Mei 2013.
 
Selain kempen agresif yang berterusan ini, peranan jentera pakatan pembangkang amat kemas walaupun tidak banyak kain rentang yang diikat atau poster yang dicacak di sekitar Bukit Katil. Jika dibandingkan dengan kain rentang Barisan Nasional, poster pakatan pembangkang boleh dikira. Kesatuan usaha mereka berjaya menggerakkan perpaduan tiga parti untuk mencapai matlamat yang sama iaitu menumbangkan BN.
 
Pergantungan kepada media cetak dan media elektronik hanya mempengaruhi pengundi yang tua dan mengenepikan keupayaan pengundi muda. Rata-ratanya pengundi muda mendapat maklumat yang lebih cepat dan meluas daripada media sosial dan tidak bergantung kepada saluran media kerajaan dan arus perdana.
 
Perbalahan dalam UMNO untuk menjadi calon turut menyumbang kepada kekalahan Mohd Ali. Budaya tidak puas hati beralih kepada dendam jatuh-menjatuhkan sesama sendiri. Seterusnya ia merencatkan gerakan bersungguh-sungguh kem Mohd Ali untuk membawa beliau ke Putrajaya.
 
Akhir sekali, faktor sentimen “Asal Bukan UMNO” telah menjadi tema besar kepada pengundi muda untuk menolak Mohd Ali. Sentimen ini bergema di seluruh negara dan tempiasnya terkena kepada beliau.
 
Keinginan Mohd Ali untuk menjejakkan kaki ke parlimen tidak kesampaian dalam PRU-13 ini kerana pengundi Cina tidak memberi sokongan padu kepadanya. Walau bagaimanapun, dalam sebuah negara demokrasi berparlimen, Malaysia memberi kebebasan kepada setiap warganegara yang layak mengundi untuk menentukan pilihan sendiri. Dalam sistem ini, DAP menggunakan sepenuhnya kebebasan yang ada untuk meraih sokongan dan memberi peluang kepada Parti Keadilan Rakyat untuk mewakilkan suara mereka di parlimen.

Wednesday, May 08, 2013

Masyarakat Islam Malaysia mahukan hudud




Masyarakat Islam di Malaysia lebih cenderung kepada pelaksanaan
undang-undang syariah khususnya dalam hal kekeluargaan



Sebuah institusi penyelidikan Amerika Syarikat, Pew Research Center melaporkan dapatan kajian berkaitan kecenderungan masyarakat Islam di Malaysia,  Indonesia dan Thailand yang mahu melaksanakan undang-undang syariah. Sebanyak 86 peratus responden di Malaysia mahukan undang-undang itu dilaksanakan, jauh di hadapan berbanding Indonesia dan Thailand dengan masing-masing mencatat 72 peratus dan 77 peratus.

Di Indonesia, lebih 70 peratus menyokong langkah itu di samping hampir 50 peratus bersetuju dengan hudud, 48 peratus bersetuju dengan merejam penzina dan 45 peratus menyokong pelaksanaan potong tangan bagi pencuri.

Kajian yang dilakukan antara 2008 hingga 2012 di 39 buah negara merangkumi Afrika, Asia dan Eropah melibatkan 38,000 responden, menggunakan pendekatan bersemuka dan respondennya adalah masyarakat Islam. Laporan dapatan itu dikaitkan dengan komitmen agama yang akrab dengan pandangan terhadap undang-undang syariah. Solat lima waktu sehari dikatakan menjadi pengukuh bahawa syariah adalah undang-undang Allah untuk manusia.

Bagi Indonesia, dapatan kajian ini memperlihat konflik dalam kalangan kepimpinan Islam dan saintis sains sosial yang melihat kebanyakan masyarakat Islam di negara itu cenderung kepada fahaman sekular dan tidak menyokong pembentukan sebuah negara Islam yang melaksanakan undang-undang syariah. Mereka beranggapan Pancasila lebih mendominasi kerana menggalakkan kesederhanaan dalam amalan hidup.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masyarakat Islam seluruh dunia memilih undang-undang syariah. Faktor utama ialah penyelesaian terhadap konflik keluarga atau lebih tepat adalah berkaitan pembahagian harta pusaka.

Biarpun terdapat sokongan yang tinggi terhadap undang-undang syariah, khususnya di Afrika dan Asia Selatan, majoriti responden lebih suka kepada amalan demokrasi. Dalam meneliti kecenderungan ini terhadap demokrasi, responden di Malaysia mencatat 67 peratus diikuti Thailand 64 peratus dan Indonesia 61 peratus.