Monday, January 10, 2011

Komunikasi Antara Perseorangan dari Perspektif Islam

Setiap hari kita berhubung dengan orang lain, sama ada secara bersemuka atau menggunakan alat komunikasi seperti telefon, e-mel dan surat. Dalam era moden hari ini, kaedah perhubungan semakin mudah dan kompleks kerana inovasi dalam media perhubungan semakin canggih. Jika dulu alat hubungan agak sukar dimiliki, hari ini setiap orang boleh memiliki dua atau tiga buah telefon bimbit.

Namun, komunikasi dalam Islam mempunyai hala tuju yang jelas dan boleh dijadikan sebagai panduan. Dalam surah Ali-‘Imran ayat 104 yang bermaksud,

‘Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.’

Maksud ayat ini ialah terdapatnya beberapa kepentingan untuk berinteraksi dan berkomunikasi antara sesama manusia dalam usaha mencapai suasana kehidupan yang diredhai Allah swt. Dalam Islam, penganutnya tidak hanya disuruh menjadi seorang yang hanya menjaga kepentingan diri sendiri. Kita perlu juga menjaga kepentingan ahli keluarga, masyarakat dan makhluk-makluk lain juga perlu dijaga.

Berdakwah ataupun menyebarkan risalah Allah swt merupakan tugas yang wajib bagi muslim dan muslimat. Allah swt telah meletakkan kemuliaan yang tinggi kepada para du’at.

‘Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!’
(Fussilat ayat 33)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, ‘Sampaikan daripadaku walaupun jika satu ayat.’

Sebenarnya tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi ini amat berat. Kita ditugaskan untuk menjaga kemakmuran muka bumi dan menyeru manusia untuk berbuat kebaikan. Tugas atau amanah ini bukanlah mudah dan bergantung kepada kemampuan manusia yang terbatas. Oleh itu Allah swt telah menyediakan panduan melalui al-quran dan hadis serta mengutuskan rasul kepada umatnya untuk memandu manusia ke jalan lurus. Sifat dan peribadi rasul adalah sempurna termasuk cara berkomunikasi.

Prinsip Dakwah yang Digariskan oleh Al-Quran dan Hadis

Terdapat lapan prinsip dakwah yang diketengahkan dalam Islam dan diungkapkan dengan jelas. Prinsip-prinsip ini boleh menjadi panduan kepada pendakwah untuk membentuk strategi dan kaedah dakwah yang lebih baik dan menepati matlamat dakwah itu sendiri. Prinsip-prinsip berkenaan ialah berilmu, khudwah hasanah (contoh yag baik), sabar, bersikap lemah lembut dan belas kasihan, berbaik sangka, tawaddhuk, bermanis muka dan tutur kata serta pemurah dan menafkahkan harta kepada anak yatim.

1. Berilmu

Pemahaman tentang sesuatu subjek yang ingin disampaikan adalah amat penting. Sebagai seorang pendakwah misalnya kefahaman tentang Islam itu perlu jelas. Kefahaman yang mantap dan soleh oleh seseorang dai’ boleh menjadikan para pengikutnya yakin dengan apa yang disampaikan.

‘Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.’ (Az-Zumar ayat 9)

2. Khudwah hasanah

Khudwah hasanah atau contoh yang baik adalah elemen penting untuk mempengaruhi orang ramai, menarik mereka ke dalam jemaah dan menguasai mereka. Namun dai’ mestilah menunjukkan khudwah hasanah kepada orang ramai. Ini adalah kerana manusia lebih terpengaruh dengan bahasa perbuatan daripada bahasa lidah.

Memiliki akhlak yang baik menjadi kelebihan kepada seorang pendakwah kerana orang ramai akan menjadikan dirinya sebagai model. Fathi Yakan dalam bukunya ‘Konsep penguasaan dalam kehidupan dakwah dan pendakwah’ menyatakan bahawa al-quran memberi peringatan dengan mengugut dan memberi amaran terhadap orang yang perbuatannya bercanggah dengan perkataannya. Amaran ini juga diberikan kepada mereka yang memperkatakan apa yang tidak mereka lakukan.

‘Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.’ (As-Saff ayat 2-3)

3. Sabar

Kita sentiasa berhadapan dengan pelabagai sikap dan telatah manusia. Ada yang bersikap kasar, pemarah, tidak berdisiplin dan lembap memahami sesuatu perkara yang diterangkan.

Andainya kita berhadapan dengan mereka yang bengis dan kasar, kita tidak perlu lekas melenting. Bagi mengubah sikap seseorang, ia memerlukan masa yang lama. Tindak-tanduk mereka banyak menguji kita. Justeru, di sinilah kesabaran amat penting dipraktikkan supaya komunikasi yang diwujudkan berada dalam keadaan terkawal.

‘Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.’ (As-Sajadah ayat 24)

Huraian di atas menunjukkan sabar itu tempat pergantungan setiap muslim. Manakala kejayaan atau keberkesanan seseorang itu bergantung kepada darjah kesabaran yang ada pada dirinya.

4. Bersikap lemah lembut dan belas kasihan

Fathi Yakan menyebut tentag jiwa manusia yang memiliki tabiat sayang kepada orang yang berbuat baik kepadanya. Sebaliknya sikap atau tindakan yang keras serta kasar menyebabkan jiwa manusia kadang-kadang terdorong untuk bersifat takabbur, bertahan dalam kesalahannya dan menghindari orang yang menegurnya.

Lemah-lembut dalam berbicara dan tingkah laku boleh membuka pintu hati dan melapangkan dada orang yang kita panggil untuk berbicara itu. Kepentingan lemah-lembut dalam komunikasi jelas diterangkan oleh Allah swt dalam al-quran iaitu kisah Nabi Musa a.s dan Nabi Haru a.s yang disuruh berjumpa dengan Firaun. Kisah ini diabadikan dalam surah Taha ayat 43-44 yang bermaksud,

‘Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.’

Banyak lagi ayat al-quran yang menerangkan tentang keutamaan sifat lemah-lembut, bersifat belas ihsan dan pemaaf. Firman Allah swt berhubung dengan belas ihsan dijelaskan dalam surah Ali- ‘Imran ayat 134 yang bermaksud,

‘Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.’

Rasulullah saw sebagai pendakwah yang pertama adalah orang yang paling bersikap lemah-lembut dan belas kasihan kepada orang lain. Faktor ini menjadi salah satu sebab ramai orang menerima dakwah baginda saw. Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw menjelaskan betapa Allah swt sukakan orang yang memiliki sifat belas ihsan dalam urusannya.

‘Sesungguhnya Allah sukakan (sifat) belas kasihan dalam semua urusan.’

5. Berbaik sangka

Sifat berbaik sangka mendorong kita untuk berkomunikasi dengan selesa. Perasaan syak dan wasangka menjadi penghalang kepada komunikasi antara perseorangan yang berkesan kerana syak sahaja sudah memadai untuk mencetuskan pelbagai masalah.

‘Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.’ (Al-Hujurat ayat 12)

‘Janganlah kamu berburuk sangka kerana berburuk sangka ialah seduta-dusta percakapa.’ (Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Tawaddhuk

Sifat tawaddhuk adalah sifat yang terpuji. Ia bermaksud merendahkan diri tanpa melampaui batas sehingga ke darjat yang menghinakan diri sendiri. Sifat yang berlawanan dengan tawaddhuk ialah takabbur.

Ulama-ulama telah memberi tiga faktor utama kepada sifat tawaddhuk ini iaitu:

i. memulakan salam apabila bertemu
ii. merelai tempat yang rendah daripada tempat yang mulia dalam majlis
iii. bencikan riak dan menjaga status

‘Tidak masuk syurga orang yang terdapat dalam hatinya sebesar zarah sifat takabbur.’
(Riwayat Muslim)

7. Bermanis muka dan tutur kata

Orang yang bermanis muka dan tutur kata akan memudahan orang untuk mesra dengannya. Senantiasa berwajah cerah dan menyembunyikan segala keluh-kesah. Wajah yang keluh-kesah dan masam membuatkan orang yang diajak berbicara merasa serba salah dan menyempitkan dada ketika berkomunikasi.

‘...dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik...’
(Al Baqarah ayat 83)

‘Jangan kamu memandang rendah kepada sebarang kebajikan sekalipun dengan engkau menemui saudaramu dengan muka yang manis.’ (Riwayat Muslim)

8. Pemurah dan menafkahkan harta kepada anak yatim

Sifat pemurah, tangan terbuka dan suka memberi merupakan tanda yang menunjukkan kemurahan hati. Manakala sifat bakhil, tamak dan haloba menunjukkan tanda kedekut, tamak dan mengganggap semuanya adalah milik dia seorang.

‘...sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia...’ (An Nisa’ ayat 128)

Saturday, January 08, 2011

Ted Williams, berubah selepas 48 jam

Dalam masa 48 jam, Ted Williams menjadi sensasi di Internet kerana memiliki ‘suara emas’ yang sesuai dipadankan dengan penyampai atau deejay radio di Amerika Syarikat. Pengguna Internet yang menggunakan enjin carian Yahoo! untuk mencari Williams terdiri daripada 56 peratus lelaki dan 94 peratus pengguna yang mencari Williams di laman sesawang memperolehi pendapatan kurang daripada US$50,000 setahun.

Google mencatatkan bilangan pengguna yang mencari nama Williams hari ini adalah setara dengan isu-isu hangat di negara itu seperti Wiliam Daley menjadi Ketua Staf Rumah Putih dan penulis sukan Biston adalah seorang pelaku homoseksual. Manakala AOL menyifatkan ‘Ted Williams’ termasuk dalam lima senarai yang teratas dalam tempoh dua hari lepas. Digg.com pula melaporkan nama tersebut adalah paling ramai yang dicari pada hari rabu lepas.

Kisah menarik pada Williams ini jarang berlaku kepada orang lain. Seorang lelaki yang meminta wang daripada orang ramai di tepi jalan raya dengan memegang kepingan kotak yang tertera tulisan tentang keadaan hidupnya, hari ini suaranya didengar di seluruh Amerika Syarikat dan menjadi perhatian di Internet.

Barangkali keadaan itu hanya berlaku di Amerika dan dia sendiri tidak mempercayainya. ‘There's no way in the world that I could ever imagine that I would be [here].’

Friday, January 07, 2011

Kuat bekerja

Tidak ada sebarang rahsia tersembunyi untuk berjaya dalam hidup. Yang ada hanyalah masalah yang datang silih berganti umpama ombak laut yang menghempas pantai. Mereka yang kuat bekerja akan dapat mengatasi masalah, tekanan dan cabaran untuk melangkah satu aras dalam fasa kehidupan.

Di persekitaran kita, di rumah, tempat kerja atau di kawasan tempat tinggal, peluang untuk meraih kejayaan sering direbut oleh orang-orang yang sentiasa berhadapan dengan cabaran. Selepas menyedari ada cabaran, mereka mula bergerak untuk mencari penyelesaian.

Kebanyakan ahli sukan diberi pendedahan tentang konsep ini. Mereka diingatkan untuk melihat setiap pesaing sebagai cabaran dan memulakan sesi latihan dengan tekun. Hanya yang gigih dan kuat bekerja yang akan mencapai kejayaan.

Dalam kalangan pekerja dalam organisasi swasta, mereka digalakkan kuat bekerja melalui pelbagai insentif seperti ‘employee of the month’, ‘the outstanding department’ dan sebagainya.

Kuat bekerja boleh menjamin kejayaan yang lebih besar sekiranya kita bijak menguruskan masa, disiplin dan tahu matlamat yang hendak dicapai.

Punca perselisihan Kristian - Islam Mesir

Oleh Dr. Saodah Abd. Rahman

Mesir merupakan sebuah negara Islam yang miskin walaupun dalam negara tersebut mempunyai pelbagai kesan bahan peninggalan sejarah. Negara ini memiliki tamadun kuno yang terhebat di dunia.

Mesir menjadi tarikan pelancong seluruh dunia kerana ia merentasi tamadun masyarakat penyembah berhala atau Pharonic dan tiga tamadun masyarakat yang menganut agama samawi iaitu Yahudi, Kristian dan Islam. Pelancongan merupakan salah satu pendapatan terbesar Mesir.


Sistem ekonomi yang terlalu bergantung kepada pelabur asing yang dikenali sebagai Polisi Ekonomi Terbuka (Infitah/ The Open Door Economic Policy) menjadikan negara ini salah sebuah negara Arab yang dikuasai oleh para pelabur asing sehingga keuntungan negara tidak dapat dinikmati keseluruhannya oleh masyarakat Mesir.

Polisi ekonomi begini memberi peluang yang paling baik bagi pelabur asing menguasai ekonomi Mesir. Kajian yang dilakukan oleh seorang ahli ekonomi dalam tahun 1980-an menunjukkan 70 peratus daripada keuntungan hasil daripada pelaburan melalui polisi penswastaan begini dimiliki oleh pelabur asing dan 30 peratus dimiliki oleh golongan teknokrat dan elit Mesir.

Pelabur asing terutamanya Amerika Syarikat (AS) dan British merupakan pelabur asing yang menguasi ekonomi Mesir. Sikap campur tangan AS dalam hal ehwal politik Mesir dengan menyediakan bantuan kewangan bagi melindungi para pemimpin Mesir membangkitkan kemarahan dan kebencian rakyat Mesir kepada pelabur Barat. Misalnya, dalam tahun 1981, AS memperuntukkan lebih daripada AS$30 juta untuk keselamatan Anwar Sadat. Seminggu selepas Sadat mendapat pengesahan keselamatannya daripada kedutaan AS, beliau dibunuh oleh Leftenan Khalid Islambuli, salah seorang anggota Jamaah Islamiyah dikenali sebagai Tanzim al-Jihad. Pembunuhan pada 6 Oktober 1981 di hadapan duta AS itu berlaku ketika perhimpunan menyambut kejayaan Perang Oktober 1973.

Sikap diktator atau kuku besi yang diamalkan oleh regim Mesir dalam menyelesaikan permasalahan politik bukan sahaja menyebabkan masyarakat Mesir sama ada beragama Islam atau Kristian merasai cemas dan gelisah malah ia juga menyebabkan ramai golongan muda terutama para pelajar universiti tempatan bangun memberontak dan menyertai pergerakan radikal seperti Tanzim al-Jihad dan Takfir wal-Hijrah. Tanzim al-Jihad merupakan satu pergerakan yang paling radikal di Mesir.

Tanzim al-Jihad wujud dalam tahun 1970-an. Pada permulaannya mereka adalah kumpulan daripada Akademi Tentera (al-Fanniyyah al-Askariyyah). Mereka melakukan percubaan untuk menjatuhkan regim melalui serangan terhadap Akademi Teknikal Tentera dalam tahun 1974.

Selepas kumpulan ini dihapuskan dalam konfrantasi berdarah dengan polis di Alexandria, pengikutnya dibahagikan kepada banyak kumpulan. Kumpulan tersebut tersebar di merata tempat termasuk Alexandria dan Naga' Hamdi.

Kebanyakan ahli kumpulan ini datang dari Giza, dari daerah Bulaq al-Dakrur dan Imbaba, Assiut, al-Minya dan Sohag. Pengaruh pergerakan ini yang paling kuat ialah di bahagian utara Mesir.

Ahli pergerakan ini terdiri daripada golongan profesional. Sebahagian daripada mereka adalah graduan lelaki dan wanita dari universiti dan kolej terkemuka di Mesir iaitu daripada fakulti perubatan, farmasi dan kejuruteraan serta individu yang bekerja dengan syarikat telekomunikasi, seperti televisyen, radio dan telefon.

Sebelum 1981, pergerakan ini mempunyai dua ratus ribu ahli. Ahli-ahlinya diwajibkan mempelajari perkara berkaitan dengan ketenteraan, undang-undang umum, latihan teori skil penggempur, menggunakan senjata dan bom. Mereka juga mengkaji tingkah laku dan kehidupan seharian individu yang memimpin negara.

Mereka juga melantik sebahagian ahlinya mendapat maklumat mengenai tempat-tempat dan kegemaran individu yang akan diserang. Mereka diajar cara menggunakan kod untuk menulis maklumat. Bagi menjamin keselamatan ahli-ahli kumpulan, mereka menggunakan nama samaran sepertimana Khalid Islambuli diberi nama Zafir.

Sikap campur tangan kuasa Barat dalam hal ehwal politik dan ekonomi Mesir bukan sahaja menyebabkan golongan radikal beranggpan mereka adalah musuh Islam, malah penganut agama Kristian di Mesir juga menjadi sasaran serangan kumpulan ini.

Kristian Koptik merupakan penduduk majoriti Kristian. Gerejanya terpisah daripada Eastern Orthodox Church (Gereja Ortodox di bahagian timur) dan Gereja Roman Khatolik dalam tahun 451 Masihi. Selain daripada Kristian Koptik, Kristian Katholik dan Kristian Evangelical juga merupakan penghuni Mesir.

Pembunuhan dan pengeboman terhadap gereja mungkin mempunyai kaitan dengan pergerakan Tanzin al-Jihad kerana apabila dikaji ideologi pergerakan ini jelas menunjukkan mereka beranggpan orang Kristian Koptik di Mesir adalah musuh Islam.

Pergerakan Tanzim al-Jihad menghalalkan pembunuhan terhadap orang yang dianggap kafir walaupun orang itu Islam. Pergerakan ini juga mengharuskan pembunuhan orang Kristian dan merompak kedai emas mereka. Contohnya di Naga Hamadi, mereka menyerang orang Kristian dan kedai emas kerana pada pandangan mereka, orang Kristian menyokong gereja untuk menentang orang Islam.

Mereka beranggapan Anba Shenouda iaitu Pope Gereja Koptik Mesir sebagai seorang musuh yang aktif terhadap Islam. Mereka menggelarnya sebagai al-kafir Shenouda al-Nasrani (Shenouda Kristian kafir).

Serangan terhadap gereja dan orang Kristian Mesir sering berlaku di kawasan-kawasan yang dihuni oleh ahli-ahli pergerakan Tanzim al-Jihad sejak tahun 1970-an. Contohnya semasa sambutan parayaan Krismas dalam tahun 1979 berlaku siri pengeboman di kawasan Utara Mesir.

Pada Januari 1980 Tanzim al-Jihad menyerang dan mengebom gereja-gereja di Alexandria. Pada musim panas dalam tahun 1981, pergerakan ini terlibat dalam pengeboman Rof al-Farag dan Zawiyya Hamra ketika berlaku pertempuran dengan Kristian Koptik.

Sikap pemimpin kedua Gereja Koptik, Bishop Bishoy yang cuba mempersoalkan ketulenan al-Quran juga boleh menyebabkan kedudukan Kristian tidak selamat. Pada bulan September 2010 Bishop Bishoy menegaskan bahawa sebahagian ayat al-Quran mungkin merupakan tokok tambah selepas kematian Rasulullah SAW dan perlu dikaji semula.

Kenyataan beliau disanggah oleh Ahmed Tayyeb, Imam Besar Mesir dengan menegaskan sikap Bishop tersebut boleh menggugat perpaduan negara. Berikutan peristiwa itu Pope Shenouda III memohon kemaafan kepada umat Islam melalui siaran televisyen.

Ketangkasan dan kelicikan pergerakan ini bukan sahaja sukar untuk ditangani oleh kerajaan Mesir malah ia juga menggerunkan orang Kristian negara itu. Pembunuhan orang Kristian dan kemusnahan gereja sering berlaku di kawasan di mana pergerakan ini bertapak.

Misalnya pada Oktober 2010 tembakan berlaku di satu lorong di Naga Hamadi berhampiran gereja ketika orang Kristian Koptik selesai menyambut malam perayaan Krismas. Dalam peristiwa ini enam orang Kristian dan seorang pengawal keselamatan beragama Islam terbunuh.

Peristiwa serangan gereja Koptik di Alexandria pada 1 Januari 2011 waktu malam ketika Kristian Koptik menyambut tahun baru menyebabkan tujuh orang terbunuh dan 24 orang cedera mungkin dilakukan oleh ahli pergerakan Tanzim al-Jihad kerana Alexandria merupakan salah satu kawasan pergerakan tersebut.

Sistem kepimpinan dan pentadbiran yang tidak tersusun dan pengabaian terhadap keperluan asas rakyat adalah punca utama kepada kewujudan golongan radikal dan perselisihan kaum dan agama. Oleh itu para pemimpin dan pentadbir negara Islam perlu memperkukuhkan sistem kepimpinan dan pentadbiran negara supaya rakyat merasai selesa dan terbela.

Jabatan Usuludidin dan Perbandingan Agama
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

(Utusan Malaysia, 7 Januari 2011)

Thursday, January 06, 2011

Daya tahan

Apabila kita bekerja dan menunaikan tanggungjawab dengan baik, insya Allah kita akan dinilai dan diberi penghargaan. Hanya mereka yang gigih dan menepati kehendak jabatan atau organisasi yang layak mendapat pernghargaan ini, namun tahukah kita apakah nilai-nilai yang wujud di dalam diri pekerja cemerlang ini?

Salah satu daripadanya ialah daya tahan. Daya tahan sangat berkait rapat dengan keupayaan diri untuk bertindak tanpa mengira apa juga keadaan yang berlaku.

Organisasi atau syarikat yang besar biasanya memiliki matlamat, visi dan misi yang besar. Kadang kala pekerja-pekerja syarikat tidak mampu untuk merealisasikannya kerana kurang faham selain tidak tahu cara untuk mencapai matlamat tersebut.

Oleh itu cabaran untuk merealisasikan visi dan misi sangat besar dan hanya pekerja yang memiliki daya tahan yang tinggi dapat melakukannya. Kekalkan matlamat, insya Allah daya tahan juga akan terus berkekalan.

Wednesday, January 05, 2011

Mengurus marah

Dalam sukan, kalah dan menang adalah adat pertandingan. Bagi atlit yang kalah dan dapat menerima kekalahan, mereka menerimanya dengan senang hati dan bersikap terbuka. Tidak ada kata-kata hinaan dan cacian, sebaliknya kata-kata semangat untuk lebih berjaya pada kejohanan yang akan datang.

Dalam satu acara sukan, seorang atlit dari Australia, Sally Pearson telah gagal dalam bantahannya untuk mengekalkan kemenangan kerana larian yang tidak sah. Biar pun kecewa, kata-kata dan sikap terbuka yang dipamerkan amat menakjubkan bagi seorang yang berada di pihak yang kalah.

‘Ia tidak memihak kepada saya dan saya perlu menerimanya. Saya akan memikul emosi, kemarahan dan kekecewaan serta berharap agar melupakannya. Ia sangat teruk namun saya perlu menanganinya kerana ia adalah cara sukan itu berjalan.’

Keupayaan mengawal emosi ketika kalah menunjukkan tahap kewarasan yang tinggi. Emosi yang dapat dikawal mampu menghalang berlakunya sesuatu yang lebih buruk sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain.

Serasi membawa setia

‘Saya tidak akan berganjak daripada keputusan akan keluar daripada BAM seandainya kemelut ini gagal diselesaikan. Saya setia dengannya (Misbun) kerana dialah yang membuatkan saya berjaya hari ini.’ (Lee Chong Wei, pemain badminton Malaysia)

Situasi yang sedang berlaku di dalam badan induk Persatuan Badminton Malaysia ketika ini mengaitkan sekali pemain paling hebat, Lee Chong Wei yang lebih berminat untuk dilatih oleh Misbun Sidek berbanding orang lain.

Misbun merupakan bekas pemain badminton Malaysia yang berjaya dan bertindak selaku jurulatih kepada beberapa pemain muda yang ingin menjadi pemain badminton profesional. Teknik dan corak latihan yag diketengahkan oleh Misbun telah menjulang nama Lee Chong Wei di pentas antarabangsa.

Apa yang menarik mengenai petikan ucapan di atas ialah ayat mengenai kesetiaan pemain kepada jurulatih, kesetiaan anak didik kepada guru dan kesetiaan rakan kepada rakannya. Ayat ‘saya setia dengannya’ membawa maksud yang sangat tinggi nilainya bagi seorang yang mahu dididik dan hendakkan perubahan yang lebih baik.

Dalam sukan, keserasian menjadi salah satu kriteria kepada gandingan jurulatih dan atlit. Keserasian membuka ruang kepada komunikasi yang lebih terbuka, membina keyakinan diri dan meningkatkan kefahaman pemain. Di negara-negara maju, keserasian dibayar dengan upah yang tinggi kerana ia dianggap sebagai sebahagian daripada resepi kejayaan. Sama ada pasukan tersebut kecil ataupun besar, keserasian mesti diwujudkan supaya setiap pemain, jurulatih dan pengurus pasukan dapat merasai semangat perjuangan yang kental.

Proses komunikasi menjadi lebih mudah apabila terdapat elemen kejayaan demi kejayaan. Setiap tunjuk ajar, nasihat atau teguran akan diberi perhatian supaya prestasi pemain menjadi lebih baik. Apabila sentiasa bersama, interaksi menjadi lebih mudah dan hubungan menjadi akrab.

Selain Lee Chong Wei, pasukan bolasepak Harimau Malaya turut mempamerkan keserasian dalam permainan mereka apabila berjaya memenangi Piala AFF Suzuki 2010. Ketua Pasukan, Safiq Rahim berkata beliau telah bersama dengan jurulatih, K. Rajagobal sejak berusia 17 tahun. Justeru sudah tahu corak latihan yag diberikan oleh jurulatih berkenaan.

Dalam apa juga usaha, kerja atau aktiviti yang dilakukan, kita memerlukan seorang yang boleh disandarkan kesetiaan untuk membimbing dan melatih ke arah kejayaan. Selain teknik dan strategi, pembinaan psikologi pemain juga wajar menjadi perhatian kerana ia mampu melonjakkan prestasi pemain ke peringkat antarabangsa.

Tuesday, January 04, 2011

'Harimau Malaya' sudah sebati

Oleh Shaarani Ismail dan Sazarina Shahrim

Penggunaan lambang Harimau Malaya dan gelaran haiwan itu yang diberikan kepada pasukan bola sepak negara tidak ada sangkut paut dengan semangat Tanah Melayu (Malaya) tetapi ia diambil bersempena semangat Harimau Malaya atau Malayan Tiger atau nama saintifiknya (panthera tigris malayensis) yang digunakan sejak sekian lama termasuk pada jata negara dan logo pelbagai agensi dan institusi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata lambang spesis Harimau Malaya sudah digunakan pasukan bola sepak negara dan tidak seharusnya ia menjadi isu kerana ia merujuk kepada spesis Harimau Malaya yang sifatnya penuh dengan semangat keberanian.

“Saya cuba tekankan bahawa lambang yang menjadi ikon kepada pasukan kebangsaan pada jersi dan pakaian rasmi ahli sukan terdapat belang harimau dari spesis Harimau Malaya.

“Jadi kalau kita rujuk dalam ensiklopedia mahupun wikipedia, nama yang digunakan adalah nama saintifik, begitu juga dengan Harimau Bengal atau Harimau Sumatera, mahupun kucing Parsi atau kucing Siam, tidak semestinya hanya orang Parsi atau orang Siam saja yang boleh memeliharanya.

“Kebetulan Harimau Malaya itu hanya ditemui di Semenanjung dan tidak terdapat di Borneo dan asas digunakan adalah sifat berani, corak belang serta habitatnya sebagai asas penilaian,” katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil Pengakap Malaysia ke Persidangan Pengakap Antarabangsa di Brazil, di pejabatnya, semalam.

Ahmad Shabery mengulas laporan berhubung kenyataan beberapa Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah meminta gelaran Harimau Malaya untuk pasukan bola sepak negara diubah kepada Harimau Malaysia bagi mencerminkan konsep 1Malaysia.

Menurutnya, lambang dan nama Harimau Malaya jelas semata-mata simbol dan perlu dikekalkan, namun pihaknya tidak menolak mana-mana cadangan yang mahu namanya ditukar bagi memastikan ia berperanan melambangkan kesepaduan masyarakat Malaysia.

“Bagaimanapun, jika mahu nama yang menjadi simbol ikon bola sepak itu ditukar maka kita terpaksalah melupakan spesis berkenaan dan jika mahu ia dikaitkan dengan nama pasukan bola sepak, kita lupakan belang yang ada dan kita lupakan ciri-ciri makhluk yang digelar Harimau Malaya.

“Kita boleh panggil pasukan bola sepak kita pasukan Harimau Malaysia tetapi tidak boleh dikaitkan dengan spesis Harimau Malaya kerana Harimau Malaysia memang tidak wujud,” katanya.

(Berita Harian, 04/01/2011)

Bencana alam lenyapkan ego bangsa maju

Tahun baru 2011 bermula dengan banyak perkara buruk. Di Queensland, Australia, berlaku banjir paling buruk dalam sejarah negara itu. Di negara-negara Eropah, keadaan iklim yang berubah menyebabkan salji turun tanpa musim dan menghalang kehidupan seharian masyarakat benua itu. Di Malaysia pula, banjir kilat menjadi perkara biasa ketika ini. Kos untuk membaik pulih kerosakan kesan daripada banjir mampu mencecah jutaan ringgit.

Dalam khutbah Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya baru-baru ini turut menyentuh mengenai bencana alam yang datang bertimpa-timpa dalam masyarakat tertentu. Antaranya masyarakat Nabi Lut yang mengamalkan kegiatan seks sejenis lalu dibencanakan dengan diterbalikkan tanah dan ribut yang membawa batu yang dibakar.

‘Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.’ (Al-A'raaf: 84)

‘Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang menghujani mereka dengan batu, kecuali keluarga Nabi Lut, Kami selamatkan mereka (dengan menyuruh mereka keluar dari situ) pada waktu jauh malam.’ (Al-Qamar: 34)

‘Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.’ (Hud: 82)

Kemungkinan besar ribut berkenaan adalah letusan gunung berapi yang memuntahkan lahar, panas dan mengalir berterusan.

Seterusnya kaum Nabi Shuaib yang bernama Madyan. Kegiatan mereka ialah menipu dalam sukatan dan timbangan. Azab bencana yang diberikan ialah bunyi teriakan dan gempa bumi.

‘Dan ketika datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami selamatkan Nabi Syuaib beserta dengan umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami; dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing.’ (Al-Qamar: 94)

‘Maka mereka mendustakannya, lalu mereka dibinasakan oleh gempa bumi, serta menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.’ (Al-‘Ankabut: 37)

Kaum Nabi Salleh, iaitu kaum Tsamud turut dihapuskan. Kaum ini mahir membuat rumah dan memahat gunung. Namun disebabkan menyombong diri dan memandang hina kepada orang yang diberi kepercayaan, mereka dihantar dengan teriakan, gempa bumi dan halilintar untuk lenyap selama-lamanya.


'Sesungguhnya Kami hantarkan kepada mereka satu pekikan (yang dahsyat), lalu menjadilah mereka (hancur) seperti ranting-ranting dan daun-daun yang pecah hancur, yang dikumpulkan oleh pemilik kandang binatang ternak.’ (Al-Qamar: 31)

‘Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.’ (Al-‘Araf: 78)

‘Maka mereka membesarkan diri terhadap perintah Tuhannya, lalu mereka disambar petir (dengan tidak dapat melarikan diri), sedang mereka melihatnya.
Dengan yang demikian, mereka tidak dapat bangun lagi, dan mereka juga tidak mendapat pertolongan.’ (Az-Zaariat: 44-45)

Nabi Hud juga mempunyai kaum sendiri yang bernama Ad. Azab ke atas mereka ialah angin yang sangat kencang, bunyi yang kuat dan bertiup selama lapan hari tujuh malam.

‘Lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang dalam beberapa hari yang nahas malang, kerana Kami hendak merasakan mereka azab seksa yang menghina dalam kehidupan dunia; dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat lebih besar kehinaannya; sedang mereka tidak diberikan pertolongan (menghindarkan azab itu).’ (Fussilat: 16)

“Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya,
yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.’ (Al-Haaqqah: 6-7)

Angin yang dahsyat dan sambaran halilintar menghilangkan kaum Ad. Tidak ada apa-apa lagi yang hendak dibanggakan kerana kisah mereka yang diabadikan dalam al-quran adalah berkaitan dengan perilaku negatif.

Bencana banjir berlaku kepada kaum Nabi Nuh dan orang-orang Saba’. Barangkali kehidupan mereka yang sangat makmur dengan hasil pertanian menjadikan mereka bongkak dan enggan menerima ketauhidan Allah swt. Dalam kes orang-orang Saba’, Allah swt memberi banjir Arim yang memusnahkan hasil tanaman sedia ada yang dibangga-banggakan.

Putaran sejarah mula berlaku pada hari ini. Negara-negara yang dikategorikan sebagai maju mula merasai kesan daripada tindakan mereka yang sombong dan bongkak dengan kurniaan Allah swt. Mereka bangga dengan pencapaian sendiri dan mengenepikan peranan Allah swt dalam menjayakan kehidupan yang dilalui. Kita takut apabila sedang tidur nyenyak, tiba-tiba bencana alam datang tanpa sempat membuat sebarang persediaan.

‘Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?
Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?’ (Al-A’raf: 97-98)

Monday, January 03, 2011

Atasi polemik hubungan etnik

Keputusan kerajaan berkaitan Akta Hubungan Kaum sudah jelas. Tetapi itu tidak bermakna isu berkaitan hubungan kaum terhenti begitu sahaja. Dasar dan program yang jelas perlu dirangka agar polemik hubungan kaum dapat ditangani. Sukarnya perpaduan di Malaysia daripada segi pentadbiran adalah kerana walaupun diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan, Kesenian dan Warisan (KEKWA), isu perpaduan juga adalah teras perkhidmatan di kementerian-kementerian lain.

Kerajaan mungkin bimbang kewujudan sebuah kementerian khusus berkaitan perpaduan akan menunjukkan bahawa masalah hubungan kaum di negara ini seperti tidak terkawal. Namun daripada sudut lain, sebuah kementerian khusus seperti itu sangat diperlukan demi kelangsungan kestabilan negara. Perpaduan memerlukan satu usaha yang berterusan khususnya melalui pendidikan demi sebuah bangsa Malaysia. Ada baiknya kerajaan merangka kembali dasar dan strategi perpaduan kaum di negara ini. Perubahan ini memerlukan pemikiran dan dasar baru. Hubungan etnik juga tidak lagi sekadar berdasarkan kaum Melayu, Cina dan India sahaja.

Selain ras dan perbezaan fizikal, bahasa, adat, budaya dan agama, sekarang jurang ekonomi, lokasi residensi dan pekerjaan juga menyebabkan masyarakat negara ini menjadi semakin kompleks dan berbeza. Itulah sebabnya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini menyuarakan bahawa sangat penting untuk kita mengetahui apakah asas-asas bersama (common ground) kehidupan antara etnik di Malaysia.

Tiga asas bersama tersebut ialah menghormati Perlembagaan negara, berkongsi kuasa politik dan ekonomi secara adil serta membina sistem pendidikan yang dipersetujui bersama. Persoalannya bagaimana untuk menguruskan hubungan etnik di Malaysia?

Profesor Robert Park, ahli sosiologis hubungan etnik dalam bukunya The Nature of Race Relations (1950) menegaskan, hubungan etnik secara lumrahnya akan wujud bila dua atau lebih kumpulan yang berbeza budaya, agama dan adat berada dalam ruang yang sama. Situasi hubungan etnik hanya wujud bila kumpulan tersebut menyedari adanya perbezaan. Jika mereka tidak menyedari atau mengambil sikap mengabaikan perbezaan itu, maka hubungan etnik tidak akan menjadi satu isu yang perlu diuruskan.

Dua kerangka utama yang sering digunakan untuk memahami hubungan etnik ialah model asimilasi dan juga model pluralisme. Asimilasi merujuk kepada usaha untuk meningkat kebersamaan dan keserasian antara etnik di sesebuah negara. Maka itu Perlembagaan Persekutuan dibentuk untuk mewujudkan kebersamaan tersebut. Penarafan Bahasa Melayu dan agama Islam sebagai entiti rasmi negara adalah strategi untuk membina kebersamaan tersebut.

Malah cadangan pembentukan sekolah satu aliran juga sebenarnya satu lagi usaha untuk membina keserasian antara kaum. Kerangka asimilasi boleh dijayakan menerusi empat peringkat utama iaitu asimilasi budaya, struktur, psikologi dan biologikal.

Model pluralisme pula merujuk kepada usaha menjayakan hubungan dengan meraikan kepelbagaian etnik melalui budaya, sukan, muzik, fesyen dan makanan. Ia akan membina toleransi identiti dan seterusnya meningkatkan usaha hubungan etnik. Bagi menjayakan hubungan etnik ini, yang utama ialah seluruh rakyat menghayati dan memahami Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan hubungan etnik sebagai asas bersama. Kegagalan memahaminya akan menyebabkan kita kembali berpolemik.

Kajian oleh Nur Atiqah T. Abdullah (2006) di Pusat Pengajian Umum UKM mengenai Perlembagaan Persekutuan menunjukkan, tahap pengetahuan responden daripada semua etnik masih rendah. Maka tidaklah hairanlah apabila sebahagian besar rakyat dengan begitu mudah berjaya dieksploitasi oleh ahli politik yang berkepentingan peribadi. Pengetahuan yang rendah akan mendedahkan rakyat kepada risiko perbalahan antara kaum dan menjejaskan kestabilan negara.

Perlembagaan Persekutuan merupakan sumber tertinggi perundangan negara. Semua undang-undang yang digubal perlu memenuhi semangat dan aturan yang termaktub di dalamnya. Satu bangsa Malaysia hanya boleh wujud secara realistik bila keluhuran perlembagaan diterima, dihormati dan dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat pelbagai etnik di negara ini. Penelitian dokumen Perlembagaan Persekutuan (cetakan terbaru - sehingga 5 Mac 2008) menunjukkan, daripada 183 Perkara, tujuh menyentuh isu hubungan etnik.

Antaranya ialah Perkara 3 yang menyatakan, Islam adalah agama rasmi Malaysia. Perkara ini jelas dan tidak sukar untuk difahami. Tinggal lagi atas niat seseorang untuk mempertikaikan perkara tersebut. Perkara 8 berkaitan dengan jaminan sama rata daripada segi undang-undang dan semua warganegara berhak mendapat perlindungan tanpa membezakan agama, kaum, keturunan, tempat lahir dan jantina. Perkara 11 mengenai kebebasan beragama. Penganut mana-mana agama dibenarkan menguruskan hal ehwal agamanya melalui persatuan dan yayasan serta menjana dan memiliki harta mengikut undang-undang. Perkara 14 pula berkaitan dengan jaminan sebagai setiap rakyat yang layak berhak untuk memiliki kewarganegaraan.

Penting hak ini difahami oleh semua kaum sebagai menghargai pengorbanan orang Melayu dan pribumi lain yang bersedia membuka jalan untuk kaum Cina dan India menjadi warganegara semasa peringkat awal kemerdekaan dahulu.

Perkara 149 pula melibatkan usaha pengawalan sensitiviti berkaitan hubungan etnik melalui pencegahan kepada perlakuan subversif seperti hasutan serta penghinaan terhadap kumpulan etnik yang lain. Perkara 152 pula berkaitan pengiktirafan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Namun liberalisasi toleransi yang tinggi kepada seluruh warganegara menyebabkan tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan bahasa lain untuk tujuan komunikasi umum. Sementara itu, Perkara 153 pula menyatakan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak. Hak ini diberikan dengan jaminan bahawa orang bukan Melayu tidak akan dipinggirkan daripada perancangan serta turut menikmati sepenuhnya kemajuan ekonomi negara.

Maka, keputusan untuk tidak meneruskan penggubalan Akta Hubungan Kaum menunjuk sikap positif kerajaan berkaitan hubungan kaum di negara ini. Sebagai alternatifnya, sangat penting untuk merangka satu dasar hubungan etnik dan perkemaskan pelaksanaannya sebagai satu proses mendidik generasi muda. Sekurang-kurangnya, mereka tidak mudah dieksploitasi oleh pemimpin politik berkepentingan sehingga boleh mengucar-ngacirkan kestabilan negara. Semoga hubungan etnik di negara ini akan berkembang subur dan menjadi contoh kepada negara lain di dunia.

Oleh ANUAR AHMAD
Pensyarah Sosiologi Pendidikan
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia

(Utusan Malaysia, 28/01/2009)