Wednesday, May 19, 2010

Kelebihan negara multi etnik




Kepelbagaian budaya, adat resam, bangsa dan agama rakyat Malaysia merupakan asset yang sangat berharga. Di Malaysia, orang Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan serta kaum-kaum lain dapat hidup bersama, mengenali identiti rakan-rakan etnik yang berbeza dan belajar untuk bertoleransi sesama sendiri.

Orang Melayu mewakili rumpun nusantara, kepulauan Melayu yang dihuni oleh 300 juta orang merangkumi Indonesia, Borneo dan Filipina. Orang Cina mewakili tanah besar China dan tamadun berusia 5,000 tahun. Orang India mewakili benua India juga mewarisi tamadun berusia 5,000 tahun. Kedua-duanya Cina dan India datang ke Malaysia kerana faktor ekonomi sama ada dibawa masuk oleh British atau berhijrah kerana mencari peluang hidup yang lebih baik. Sebaik sahaja tiga kaum ini hidup dalam satu negara, komposisi berubah serta-merta.

Kini penduduk Malaysia berjumlah lebih 27 juta orang dan dijangka menghampiri 100 juta pada tahun 2100. Catatan di bawah menunjukkan nisbah penduduk di Persekutuan Tanah Melayu tahun 1950

(Sumber: K. J Ratnam. Communalism and the Political Process in Malaya: Kuala Lumpur, 1965, hal 64).
Etnik
Jumlah Penduduk
Jumlah Berstatus Warganegara

Bilangan%Bilangan%
Melayu2,579,91449.42,500,00076.3
Cina2,011,07238.5500,00015.3
India564,45410.8230,0007.0
Lain-lain71,1091.345,0001.4


Cabaran utama dalam mana-mana negara di dunia ialah bersatu memajukan pembangunan negara yang sama-sama didiami. Empat aspek pembangunan negara ialah politik, ekonomi, pendidikan dan sosial. Justeru, memajukan keempat-empat aspek ini menjadi cabaran dan masalah kepada pemimpin. Malaysia turut tidak terkecuali daripada menghadapi situasi ini.

Sejak merdeka, Malaysia telah berkembang menjadi sebuah negara yang memiliki daya tahan dan hubungan etnik yang lebih matang. Kestabilan politik berjaya membentuk suasana pembangunan negara yang sangat kondusif dan semua kaum berpeluang mengembangkan potensi dan keupayaan masing-masing.

Interaksi dan toleransi hubungan etnik ini merupakan peluang kepada rakyat Malaysia untuk bekerja dengan syarikat-syarikat multinasional dan luar negara. Struktur hidup dan kepelbagaian budaya serta etnik masyarakat Malaysia memberi kelebihan dalam sumber manusia kerana lebih mudah menyesuaikan diri dengan budaya dan suasana pelbagai etnik di luar negara di samping memiliki kemahiran komunikasi yang baik. Masalah bahasa bukannya halangan.

Tuesday, May 18, 2010

Thinking about Samsung

Penulis: Kim Yong-chul

Dalam pesawat yang dimiliki bekas pengerusi Samsung Group, Lee Kun-hee yang telah diubah suai daripada 100 penumpang kepada 16 penumpang sahaja, bekas ketua jabatan perundangan di Pejabat Penstrukturan Samsung, Kim Yong-chul duduk bersama beberapa orang pendakwa. Apabila Kim dan para pendakwaraya ini hendak melawat saudara-mara, Lee Hak-soo, timbalan pengerusi Samsung membenarkan mereka mengguna pesawat milik Lee Kun-hee. Tindakan sebegini menyerlahkan hubungan akrab di antara Samsung Group dan pihak pendakwaraya.

Peguam, Kim Yong-chul yang mendedahkan kepincangan Samsung pada Oktober 2007 termasuk salah guna dana kecemasan oleh Lee Kun-hee telah melancarkan buku ‘Thinking about Samsung’ pada 29 Januari lalu.

Dalam buku ini, beliau memberi maklumat terperinci berkenaan tindak-tanduk Samsung dan menyatakan syarikat tersebut melobi pihak berkuasa seperti pegawai-pegawai mahkamah, pendakwaraya dan pegawai perkhidmatan cukai kebangsaan serta tidak ragu-ragu untuk memutarbelitkan bukti bagi memindahkan hak pengurusan Samsung kepada anak lelaki Lee Kun-hee, Lee Jae-yong.

Pendedahan yang dibuat oleh Kim amat mengejutkan. Dalam bukunya, Kim menyenaraikan nama-nama sebenar beberapa individu yang melobi. Dalam satu contoh, Kim menulis Samsung melobi seorang hakim menggunakan timbalan presiden syarikat bersekutu Samsung yang menjadi alumni di universiti hakim berkenaan. Kim menulis, ‘Tiga indivisu termasuk hakim, timbalan presiden syarikat dan saya bermain golf bersama’. Hakim tersebut telah mempengerusikan satu kes yang bersangkut-paut dengan Samsung pada 2007.

Beliau juga menulis bahawa Samsung telah melawat rumah ketua Pejabat Pendakwaraya Seoul Tengah untuk melobi. Pada masa itu pejabat pendakwaraya menerima kritikan kerana melambatkan siasatan berkaitan jualan di bawah paras harga pasaran.

Dalam pada itu, Kim turut menulis bahawa Samsung memberi ganti rugi kepada abang ipar pegawai pendakwa kanan yang mengendalikan sisatan ke atas Samsung apabila pegawai berkenaan mengalami kerugian kerana melabur dalam sahan Samsung Security.

Kim berkata dia menulis buku berkenaan kerana ‘Kepalsuan tidak akan dapat menjadi kebenaran biarpun disahkan di mahkamah’. Dia juga bertanya, ‘Adakah bukan satu perbuatan yang keterlaluan apabila Samsung memberi layanan yang lebih baik kepada pakar yang membuat tabung kecemasan berbanding pakar yang membuat semikonduktor?’

Monday, May 17, 2010

Kedudukan kerusi parlimen

PARTIPRU 2008SEKARANG
BN140137
DAP2829
PKR3125
PAS2223
BEBAS16
SAPP-2
JUMLAH222222

Tuesday, May 11, 2010

Bangkitlah guruku, harapan masih ada

Dalam sebulan dua ini, akhbar dan media menyiarkan secara berterusan perilaku dan akhlak pelajar-pelajar di seluruh negara. Ada yang dirogol, ditembak dan ditangkap kerana berkelakuan sumbang di dalam kelas. Laman-laman web ghairah menyiarkan gambar-gambar yang ‘mengancam iman’ dimuat naik dengan mudah di internet dan boleh ditonton oleh sesiapa sahaja termasuk budak-budak sekolah. Sama ada di sekolah rendah atau menengah, ia serupa sahaja. Kejadian terkini ialah tiga orang pelajar sekolah rendah tahun tiga di Melaka disyaki melakukan aktiviti seksual dalam kelas.

Sebelum itu dilaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan dua dirogol oleh rakannya dalam kelas. Rakan-rakan pelajar itu membuat bulatan bagi melindungi perogolan berkenaan dan mereka tidak berasa bersalah. Apatah lagi perasaan malu dan jijik.

Banyak lagi kes yang menunjukkan moral pelajar sekolah semakin merosot dan merisaukan ibu bapa. Keadaan ‘pengetua mendapat cucu’ sudah menjadi perkara biasa. Serupa sahaja keadaan di sekolah bandar dan luar bandar.

Selain ibu bapa, pihak lain yang tertekan dan berasa malu adalah guru. Di sekolah, guru adalah insan yang paling rapat dengan pelajar, mengetahui keadaan keluarga, menilai prestasi akhlak dan kemajuan pelajaran pelajar. Tugas guru bukan sahaja mengajar malah membimbing. Bagi pelajar yang mendapat perhatian dan bimbingan guru, hidup mereka amat bertuah. Sebaliknya pelajar yang rosak akhlak dan melawan guru, nasib dan masa depan mereka bergantung kepada diri sendiri. Apabila nasihat dan tunjuk ajar sudah tidak dipedulikan, tidak ada siapa lagi yang akan bersimpati.

Kadangkala kita turut merasai kesedihan guru. Rintihan mereka adalah kegagalan sistem yang berlegar dalam masyarakat dan negara. Namun guru-guru tidak boleh berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa.

Berpegang teguh pada kebenaran, buang jauh-jauh nafsu. Berkorban dengan jiwa dan raga, mengharungi semua cabaran. Guru-guru di Malaysia tetap ada harapan untuk membaiki keadaan masyarakat. Selama matahari masih bersinar, selama itu guru-guru mesti berusaha dan berjuang ke arah membaiki akhlak dan perilaku pelajar.

Gunakan apa sahaja cara dan kaedah untuk membina akal yang sihat dan akhlak yang mulia. Pelajar mesti dibentuk.

Semasa berbual-bual dengan seorang pegawai pelajar dari sebuah kolej swasta, nampaknya ada sinar untuk mengubah akhlak pelajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi di negara kita. Beliau mengambil contoh bagaimana sistem pembangunan pelajar yang betul dan bersifat tarbawi telah menghidupkan kembali hati seorang pelajar yang gelap dan hidup tanpa arah tuju yang jelas. Sistem ini mengubah pelajar berkenaan sehingga dapat menyempurnakan solat lima kali sehari dan berpuasa penuh pada bulan Ramadhan- sesuatu yang tidak pernah dilakukannya selama ini.

Satu hari pelajar ini berkata, ‘Alhamdulillah, inilah kali pertama saya dapat sempurnakan solat lima waktu dan tahun pertama berpuasa penuh Ramadhan’. Pelajar ini belajar di Kolej Teknologi Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan.

Guru-guru kita perlukan sistem untuk mengubah akhlak pelajar. Jika akhlak pelajar terus merosot menjadi kerisauan kita, bagaimana kita harus memulakan inisiatif membetulkannya?


Perkara utama dan pertama ialah menyelidiki diri pelajar itu sendiri. Soalan yang mesti ditanya ialah, 1) adakah kamu solat subuh hari ini, 2) adakah ibu bapa kamu bersolat, dan 3) adakah kamu sekeluarga makan bersama setiap hari?

Soalan pertama adalah untuk menilai status terkini pelajar berkenaan tentang hubungannya dengan pencipta. Pelajar yang bersolat adalah pelajar yang serius dengan hidup dan masa depannya. Dia memiliki fikiran yang cerdas dan pintar, mampu membuat keputusan yang tepat dan memiliki prinsip diri yang unggul. Pelajar yang bersolat memiliki pelindung dan perisai diri yang ‘super protected’ daripada pengaruh dan ajakan negatif yang merosakkan akal dan akhlak.

Sistem ini amat mudah. Tidak perlukan borang untuk diisi, tidak perlu dipantau oleh pengetua dan tidak payah mengabiskan wang peruntukan jabatan untuk persediaan kursus. Ia adalah sistem asas dalam membina akhlak pelajar kita.

Jalan di hadapan terbentang untuk guru-guru mendapat pahala, rahmat dan berkah Allah swt. Harapan masih ada, guru-guru adalah pembawa cahaya untuk pelajar-pelajar kita. Bangkitlah guru, laksanakan tanggungjawab kita untuk masa depan pelajar, keluarga, masyarakat dan negara.

Sistem sedia ada tidak mampu mengurangkan kerisauan ibu bapa. Dengan sejuta azam, marilah kita membangunakan negara kita, Malaysia.

Monday, May 10, 2010

Iktibar kegemilangan Melaka

Oleh TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP

Unit Perancang Ekonomi kini dalam fasa terakhir menyediakan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), yang akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Jun ini.

RMK-10 akan merangkumi tempoh 2011 hingga 2015. Kebetulan pula, tahun 2011 merupakan ulang tahun ke-500 kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada 1511.

Sebelum kejatuhan itu, terutamanya pad abad ke-15, Melaka amat berjaya dan makmur sebagai pelabuhan perdagangan antarabangsa untuk rantau ini.

Saya percaya banyak perkara penting yang boleh kita pelajari daripada kejayaan Kesultanan Melaka semasa abad ke-15. Saya ingin menghuraikan tiga faktor kejayaan yang menyumbang kepada kegemilangan Kesultanan Melaka yang boleh memberi pengajaran penting kepada kita pada masa kini.

Faktor kejayaan pertama ialah keupayaan Melaka dalam menggunakan kelebihan geografinya. Melaka sememangnya mempunyai kelebihan geografi dan ia menggunakan hampir keseluruhan kelebihan tersebut.

Perdagangan bergantung kepada kapal-kapal yang berlayar dan secara strategiknya, Melaka terletak di tengah-tengah laluan perkapalan utama antara India dan China, selain laluan mudah ke kepulauan rempah ratus Indonesia.

Malah, Selat Melaka adalah terlindung daripada monsun dan ini membolehkan Melaka menjadi tempat penyediaan kapal dan tempat menunggu berakhirnya monsun.

Musim monsunlah yang sebenarnya mengatur lalu lintas laut, dengan barangan dari timur atau barat perlu disimpan sementara menunggu ketibaan pedagang lain.

Di antara Disember dan Mac, kapal-kapal akan tiba dari tanah Barat dan Timur Jauh manakala kapal-kapal dari Jawa dan timur kepulauan Indonesia akan tiba dari Mei hingga September. Kelebihan geografi ini digunakan oleh Melaka dengan:


Membina prasarana pelabuhan dan gudang,


Memastikan keselamatan barangan dan pedagang daripada serangan lanun.


Menyediakan kemudahan untuk pelbagai komuniti pedagang berlainan bagi menghuni dan berdagang di Melaka.

Faktor kejayaan kedua ialah keupayaan Melaka untuk bersepadu dengan rantau ini. Melaka dengan sendirinya tidak kaya dengan sumber asli dan tidak mempunyai pertahanan keselamatan yang kukuh, tetapi ia dapat berkembang maju menerusi jalinan sekutu untuk keselamatan yang berkesan dan keterbukaan kepada perdagangan.

Di awal sejarah Kesultanan Melaka, Parameswara menjalin hubungan kukuh dengan China, yang melindungi Melaka daripada ancaman Siam dan Majapahit.

Melaka terus menyampaikan sumbangan hadiah dan penghargaan ufti kepada ketiga-tiga negara itu, sebagai balasan memudahkannya menjalankan perdagangan.

Keterbukaan Melaka terhadap perdagangan memudahkan kepelbagaian dan semasa kemuncaknya, pelabuhannya adalah sangat kosmopolitan dengan komuniti perdagangan yang meluas, selain mempunyai penutur lebih 80 bahasa di Melaka.

Kejayaan sebagai pelabuhan perdagangan, terus disokong oleh para pedagang Melayu yang mengembara dan berdagang di kepulauan Melayu terutamanya untuk tekstil, rempah ratus dan barangan yang diberikan oleh pedagang Barat dan Timur yang mengunjungi Melaka.

Antara lain, strategi serantau Melaka berkisar kepada pelantikan empat syahbandar yang setiap seorang menjaga keperluan pedagang berbeza; seorang untuk Gujerat, seorang untuk India Selatan dan Bengal, seorang untuk pedagang tempatan (termasuk dari Jawa, Palembang, Borneo) dan seorang untuk China.

Faktor kejayaan ketiga ialah keupayaan Melaka untuk menyediakan sistem penyampaian yang cemerlang. Kejayaan Melaka sebagai sebuah pelabuhan memerlukan penyampaian awam yang cekap dan berkesan.

Melaka diiktiraf sebagai mempunyai kerajaan yang amat tersusun dan ditadbir dengan undang-undang yang dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka.

Kapten-kapten kapal yang tiba akan melapor kepada syahbandar masing-masing yang kemudiannya akan menyediakan gajah untuk mengangkut kargo mereka ke gudang-gudang tertentu. Para pedagang membayar cukai kastam sebanyak enam peratus berdasarkan nilai kargo mereka.

Apabila cukai sudah dilunaskan, barangan boleh didagangkan dengan pedagang residen. Proses ini dilihat sebagai adil dan pantas. Oleh itu, pedagang diberi jaminan dapat menyempurnakan urusan perniagaan mereka dalam tempoh yang mencukupi sebelum belayar pulang mengikut angin monsun.

Sememangnya kejayaan Kesultanan Melaka adalah amat menakjubkan, memandangkan ia telah berkembang dari hanya sebuah perkampungan nelayan yang dikelilingi empayar seteru, sehingga berupaya menjadi antara pelabuhan yang terkaya di dunia.

Melaka mencapai kejayaan hebat ini bukan hanya kerana asas kedudukannya di selat tetapi lebih kepada keupayaannya memupuk persekitaran yang kondusif untuk perdagangan secara aman.

Dalam menghadapi pelbagai cabaran, penduduk dan pemimpin Melaka telah berusaha bersama-sama dalam suasana positif dan konstruktif. Mereka dipacu oleh semangat dalaman tetapi dalam pada itu menyedari tentang perkembangan dan keperluan luar.

Mereka sedar tentang kekuatan dan kelemahan dalaman dan luaran mereka, dan menggunakan kekuatan itu untuk mengambil kesempatan daripada perkembangan yang berlaku di luar. Kesultanan Melaka tidak merasakan dirinya kerdil berbanding dengan kerajaan yang lebih tua dan terkemuka di rantau ini.

Sebaliknya, ia mewujudkan pelabuhan yang diuruskan dengan amat baik dan menempatkan dirinya sebagai sebuah negeri yang neutral dan mesra yang mana semua bebas mengunjunginya sambil berdagang dalam suasana aman.

Melaka tidak bergantung kepada pihak lain untuk membantunya berkembang maju. Melaka tidak mudah berasa kasihan kepada dirinya sendiri apabila berdepan dengan masalah hal ehwal dalaman negeri. Sebaliknya, ia berpegang kepada tanggungjawabnya dan bertindak memperbaiki dirinya dalam menghadapi apa sahaja halangan dan cabaran.

Faktor kejayaan Kesultanan Melaka kira-kira 600 tahun dahulu dilihat terus relevan kepada Malaysia pada masa kini.

Ia terutamanya berkaitan dengan apa yang kita saksikan dalam kebangkitan Asia kini, berikutan peralihan keseimbangan kuasa ekonomi, sekali lagi ke Asia.

Ini dapat dilihat dengan kemunculan China, India, Indonesia dan Timur Tengah sebagai penggerak utama bagi pertumbuhan dan kecairan ekonomi, seperti mana yang berlaku di Melaka kira-kira 600 tahun lalu.

Kedudukan unik Malaysia di tengah-tengah pertumbuhan Asia dan beberapa faktor kejayaan Melaka adalah kembali relevan. Saya senaraikan sebahagian daripada ikhtibar pada kurun ke-15 tersebut untuk pengajaran kurun ke-21 di Malaysia kini.

Pertama, Malaysia perlu menggunakan lokasinya yang strategik dalam cara yang relevan dengan teknologi masa kini. Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan ini adalah perluasan rangkaian laluan penerbangan serantau dari Malaysia ke seluruh Asia dan inisiatif Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi bagi penghubungan telekomunikasi yang lebih mantap.

Kedua, sebagai negara yang agak kecil, kita perlu bersepadu secara berkesan dengan negara-negara serantau yang besar dan pesat berkembang.

Ini dapat dicapai menerusi hubungan dagang yang kukuh seperti perjanjian perdagangan bebas, serta hubungan pelaburan lebih besar seperti menerusi syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai operasi serantau.

Transformasi industri domestik Malaysia perlu selari dengan pertumbuhan rangkaian nilai pengeluaran untuk rantau ini.

Ketiga, tumpuan berterusan dalam meningkatkan sistem penyampaian awam adalah penting ke arah memperluaskan lagi daya tarikan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan untuk perniagaan dalam dan luar negara.

Kegemilangan yang telah dicapai oleh Melaka kira-kira 600 tahun lalu ini perlu dijadikan semangat bagi kita untuk mengulangi kejayaan tersebut, dalam persekitaran di mana Asia berada pada puncak pertumbuhan dan perdagangan.

Pada abad ke-15, Kesultanan Melaka telah mencipta kejayaan dalam melaksanakan landasan transformasi ekonomi dengan menjadikannya sebagai hab perdagangan serantau, yang agak berbeza daripada model ekonomi sebelum itu.

Bagaimanapun, Melaka mula mengalami kemerosotan pada penghujung abad ke-15, dan seterusnya kecundang kepada Portugis pada 1511.

Kita terpaksa mengambil masa selama 446 tahun untuk mengembalikan kemerdekaan kita. Iktibar daripada pengalaman ini ialah jika kita tidak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap usaha mencapai kejayaan, kita akan jatuh, dan apabila kita tersungkur, ia akan mengambil masa yang amat panjang dan kesukaran yang amat sangat untuk kembali pulih.

Bagi diri saya, saya amat optimis. Sambil kita mara ke hadapan dan melaksanakan model ekonomi baru untuk mengubah ekonomi Malaysia, kita harus memandang ke masa depan yang lebih cerah, bukan sahaja kebangkitan semula Asia tetapi juga Malaysia yang maju dan makmur, demi generasi anak cucu kita.

Penulis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

(Utusan Online, 10 Mei 2010)

Thursday, May 06, 2010

Impian setinggi gunung

Setiap orang memiliki impian masing-masing yang ada kalanya boleh dicapai dengan mudah dan ada kalanya mustahil. Impian yang mudah ialah mendapatkan sebuah kereta Kancil terpakai. Dengan bayaran di bawah RM1000, kita sudah dapat memandu Kancil di atas jalan raya. Namun keadaannya berbeza bagi impian yang mustahil.

Contohnya, Tony Fernanderz. Beliau mempunyai impian mustahil untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai hab pengangkutan udara terbesar di Asia dengan menyaingi Singapura dan Thailand. Kali pertama saya mendengar impiannya, saya senyum dan ketawa kerana mustahil dapat bersaing dengan kedua-dua buah negara ini.

Kemudian saya cuba dapatkan maklumat gambaran tentang latar belakang dan mencari maklumat berkaitan AirAsia. Perkembangan AirAsia memang menakjubkan. Bermula dari sebuah syarikat tambang murah yang rugi, Fernanderz menukar nasib malang AirAsia kepada harapan yang gilang-gemilang. Dengan slogan ‘Now Everyone Can Fly’, Fernanderz tersenyum lebar kerana impian telah menjadi kenyataan.

Saya berasa cuak adakah Malaysia akan berjaya menjadi hab pengangkutan udara serantau utama di Asia tapi berharap Fernanderz akan melakukannya.

Tuesday, May 04, 2010

IPT turut berperanan menjayakan MEB

Peranan institusi pengajian tinggi (IPT) kini tidak lagi hanya dilihat sebagai sebuah 'menara gading' yang hanya menumpukan kepada proses pengajaran dan pembelajaran serta menumpukan usaha dalam pencarian ilmu kepada para pelajarnya. IPT kini seharusnya bergerak seiring dengan hasrat kerajaan melaksanakan dasar Model Ekonomi Baru (MEB) bagi menuju sebuah negara berpendapatan tinggi. IPT juga perlu menjadi pemangkin atau pelopor utama untuk menjayakan ekonomi yang berasaskan kepada pengetahuan melalui sistem inovasi negara.

Saranan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Pengajian Tinggi dan MEB anjuran Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept) supaya IPT di negara ini meningkatkan pengkomersialan kajian dan pembangunan (R&D) serta mewujudkan hubungan yang baik dengan pihak industri bagi membantu menjayakan MEB merupakan satu cabaran kepada semua IPT untuk melaksanakan dan merealisasikan hasrat murni kerajaan melalui MEB.

Selanjutnya, beliau berkata seperti mana di dalam laporan akhbar, usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan boleh ditingkatkan melalui daya keusahawanan dengan mewujudkan anak-anak syarikat universiti, selain pemindahan teknologi dan pelaburan pihak industri dalam projek R&D.

Tegasnya lagi, R&D yang dihasilkan oleh IPT mestilah berinovasi tinggi, mempunyai nilai kepada masyarakat dan boleh dikomersialkan. Ia bukanlah bertujuan sebagai penulisan ilmiah atau untuk dimasukkan ke dalam jurnal berimpak tinggi semata-mata. Beliau juga menyarankan supaya IPT berperanan melahirkan graduan berkualiti untuk memenuhi permintaan pasaran kerja.

Langkah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengiktiraf IPT yang memenuhi lapan kriteria yang ditetapkan untuk menjadi Universiti Penyelidikan (kuantiti dan kualiti penyelidik, kuantiti dan kualiti penyelidikan, kuantiti dan kualiti pasca siswazah, inovasi, khidmat profesional dan hadiah, rangkaian serta pautan dan kemudahan sokongan) serta menganjurkan ekspo-ekspo atau seminar berkaitan penyelidikan, kreativiti dan inovasi termasuk memberi pengiktirafan kepada para penyelidik dan IPT merupakan usaha serius pihak kerajaan khasnya KPT untuk menjadikan IPT sebagai pelopor sistem inovasi negara.

Tindakan proaktif pihak IPT seperti menubuhkan anak-anak syarikat universiti, mewujudkan pusat-pusat kecemerlangan universiti, mengadakan unit atau jabatan hubungan industri dan ada IPT yang mengambil kira elemen hasil penyelidikan sebagai salah satu daripada kriteria untuk kenaikan pangkat dapat menyuburkan lagi budaya R&D di kalangan staf IPT terutamanya golongan akademik.

Di samping itu, hubungan erat dan kerjasama yang baik antara pihak IPT dan industri melalui pemindahan teknologi dan pengetahuan dapat dimanfaatkan secara bersama melalui 'situasi menang-menang'. Kepakaran yang dimiliki oleh para penyelidik dapat digunakan untuk membantu pihak industri mencipta satu produk baru atau memberi elemen penambahbaikan kepada produk sedia ada dan pihak industri pula dapat menyalurkan dana atau sumber kewangan bagi membiayai R&D tersebut.

Hasil penyelidikan dalam bidang-bidang seperti biosains dan biotekonologi, teknologi maklumat dan komunikasi, sains fizikal dan kejuruteraan serta sains kesihatan dan bersekutu yang baik bukan sahaja dapat memberi faedah kepada masyarakat tetapi juga kepada negara apabila ia berjaya dikomersialkan.

Usaha yang bersungguh-sungguh oleh pihak IPT dengan sokongan kerajaan khasnya KPT dapat membantu pihak kerajaan mencapai matlamat dasar MEB untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi. Ia akan dapat mengurangkan penggantungan negara kepada pelaburan modal asing (FDI) di dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Nadzir Awang Ahmad @ Said, Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan,
Universiti Teknologi Mara, Perlis


(Utusan Online, 4 Mei 2010)

Pendidikan seks wajar

Oleh DR. AZRIANI AB RAHMAN

Sebagai seorang doktor perubatan yang terlibat memberi ceramah pendidikan seks kepada pelajar-pelajar sekolah di negeri Kelantan, penulis ingin berkongsi pandangan dan pengalaman dengan pembaca tentang isu pendidikan seks yang sedang hangat dibahaskan sekarang.

Tujuan utama pendidikan seks adalah untuk menyedarkan remaja tentang implikasi hubungan seks sebelum berkahwin dan supaya mereka berkata 'TIDAK' kepada seks sebelum berkahwin. Kajian yang dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1997 membuktikan bahawa pendidikan seks telah melambatkan usia remaja untuk melakukan hubungan seks sekali gus menurunkan kadar perlakuan seks, kehamilan luar nikah di kalangan remaja, pengguguran bayi, selain meningkatkan penggunaan kondom. Kajian yang dilakukan oleh penulis bersama rakan penyelidik lain dari Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia pada 2007, melibatkan pelajar sekolah menengah di Kelantan, mendapati bahawa tahap pengetahuan mereka tentang seks dan kesihatan reproduktif terutama sekali tentang kehamilan dan penyakit jangkitan kelamin adalah amat tidak memuaskan. Misalnya, masih ramai pelajar beranggapan kehamilan boleh dicegah jika membasuh faraj selepas melakukan hubungan seks. Saya berpendapat fakta itu sedikit sebanyak menyokong keperluan pendidikan seks.

Tidak dinafikan elemen yang perlu diketengahkan dalam pendidikan seks (organ reproduktif, mengandung, masa depan yang gelap, tekanan mental, HIV dan penyakit kelamin) telah diterapkan di dalam subjek Biologi, Sains, Moral, Agama dan Pendidikan Kesihatan di sekolah walaupun tiada subjek khusus bernama Pendidikan Seks.

Persoalannya ialah sejauh manakah keberkesanan pendidikan seks tersebut? Jika usaha yang ada sekarang dilabelkan sebagai kurang berkesan, apakah faktor yang mendalanginya serta apakah langkah untuk mengatasi kekurangan yang ada?

Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng mengakui ketidakyakinan guru untuk mengajar pendidikan seks kerana kekurangan latihan dalam bidang tersebut. Sememangnya elemen seperti pencegahan kehamilan, komplikasi kehamilan remaja , pengguguran bayi, penyakit HIV dan penyakit jangkitan alat kelamin adalah topik perubatan yang semestinya agak sukar untuk disampaikan oleh mereka yang tidak terlatih dalam bidang perubatan dan kesihatan. Oleh itu, penulis sangat bersetuju dengan usaha memberi latihan khusus kepada guru terlibat oleh pakar yang mahir dalam bidang tersebut untuk meningkatkan tahap keyakinan dan kemahiran mereka. Teknik penyampaian berkesan dengan menggunakan alat bantuan mengajar tertentu seperti gambar juga perlu untuk membantu pelajar memahami dan menghayati perkara yang disampaikan. Kementerian Pendidikan disarankan agar bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang telah mempunyai modul khas dan telah biasa menjalankan program pendidikan seks dan reproduktif kepada remaja. Program yang telah sedia ada di sekolah seperti Kelab Kesihatan Sekolah dan Doktor Muda harus dimanfaatkan untuk mendapatkan khidmat kakitangan kesihatan bagi menyampaikan pendidikan seks di sekolah.

Selain itu, elemen pendidikan seks yang sedia ada harus disesuaikan dengan budaya dan agama kita. Jika di negara barat, mereka 'menghalalkan' hubungan seks tanpa nikah dan menekankan kepentingan penggunaan kaedah pencegahan seperti kondom, kita seharusnya meyakinkan remaja kita bahawa mereka patut berbangga jika memilih untuk tidak langsung melakukan hubungan seks sebagai kaedah mencegah kehamilan kerana hanya kaedah tersebut yang boleh memberi seratus peratus perlindungan daripada hamil, mendapat jangkitan HIV dan penyakit kelamin. Langkah pencegahan yang telah diajar oleh agama untuk mengawal nafsu agar tidak terangsang dan terdorong untuk berzina seperti tidak menonton bahan lucah, berpakaian sopan dan tidak berdua-duaan di tempat sunyi juga harus ditekankan sebagai elemen penting dalam pendidikan seks. Di samping itu, kesedaran tentang kepentingan memelihara maruah diri, menghargai masa remaja yang singkat dan penuh bermakna serta menerbitkan rasa hormat remaja lelaki terhadap gadis remaja juga memainkan peranan yang penting.

Apakah umur yang sesuai untuk remaja menerima pendidikan seks? Persekutuan Pertubuhan Perancang Keluarga Malaysia telah melaporkan pada tahun 2002, remaja Malaysia terlibat dengan hubungan seks seawal usia sembilan tahun termasuk menjadi mangsa rogol. Pendidikan seks tidak seharusnya hanya tertumpu kepada usaha untuk membanteras hubungan seks 'suka sama suka'. Meneliti buku teks Kementerian Pendidikan, pelajar sekolah di Malaysia telah didedahkan tentang anatomi tubuh badan seawal usia tujuh tahun (darjah satu). Unsur pendidikan seks boleh diterapkan di sini, misalnya dengan menerangkan tentang anggota badan yang sulit (private parts) tidak boleh disentuh oleh orang lain termasuk ahli keluarga sesuka hati.

Walaupun sebahagian besar masa remaja dihabiskan di sekolah, ibu bapa juga memainkan peranan yang amat penting. Di samping memantau tingkah laku anak-anak, ibu bapa juga disarankan untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan pendidikan seks. Paling penting, masyarakat harus sedar pendidikan seks jangan disalah tafsir sebagai mendidik anak tentang kaedah melakukan hubungan seks tetapi pendidikan seks menekankan kaedah agar mereka menjauhi hubungan seks sebelum berkahwin.

Penulis Ialah Pensyarah PerubatanJabatan Perubatan MasyarakatPusat Pengajian Sains PerubatanUniversiti Sains Malaysia

(Utusan Online, 4 Mei 2010)

Monday, May 03, 2010

The New Silk Road

Penulis: Ben Simpfendorfer
Tahun: 2009
Muka Surat: 202
Penerbit: Palgrave Macmillan, UK.

Kebangkitan Timur telah bermula. Kuasa-kuasa Barat semakin cuak dengan perkembangan ekonomi China yang pesat dari setahun ke setahun. Keghairahan China membina kembali kemasyhuran empayarnya menyebabkan harga minyak naik dari $30 setong kepada $80 setong pada 2004. Minyak jugalah yang menyebabkan dunia Arab mengenali Yiwu, sebuah pekan kecil di China yang menjadi tempat pertemuan pemborong Arab dengan peniaga China. Di siti juga terdapat puluhan jurubahasa Arab berketurunan Cina.

Terdapat lapan bab yang setiap satunya antara 20 hingga 30 muka surat. Ia bermula dengan kisah dunia Arab yang kembali menggunakan ‘Jalan Sutera’ iaitu perdagangan darat Arab-China yang terkenal suatu masa dulu. Kehadiran peniaga Arab ke China meningkat setelah negara-negara Barat mencetuskan konflik dengan negara Iraq dan Afghanistan seterusnya membina persepsi negatif terhadap agama dan umat Islam melalui media yang dikuasai mereka.

Bab kedua menyentuh mengenai kehausan China ke atas minyak Arab. Justeru persaingan yang sangat sengit untuk mendapat bekalan minyak, China mula mengalih perhatian terhadap semua pengeluar minyak di Arab dan sering kali melakukan lawatan muhibah dan perdagangan. Lawatan peringkat pemimpin tertinggi semakin kerap dan Presiden Mubarak telah melakukan sembilan kali lawatan ke China sejak menjadi ketua negara Mesir.

Bab ketiga menghuraikan tauke-tauke Arab yang kaya-raya kerana kenaikan harga minyak mula menggunakan wang mereka untuk membina negara masing-masing. Contoh yang diberi ialah kota Dubai dan Abu Dhabi dimajukan sebagai pusat kewangan serantau. Dalam pada itu, pelabur-pelabur Arab juga meninjau negara-negara Islam yang merentang dari Timur Tengah hingga ke China. Dalam lingkaran ini terdapat negara Indonesia dan Malaysia yang memiliki umat Islam yang ramai. Kewujudan jaringan ini dirujuk penulis sebagai ‘Koridor Islam’ yang bakal menguntungkan umat Islam.

Bab keempat hingga enam berkisar tentang keinginan negara-negara Arab seperti Syria yang mahu mencontohi China dalam membangunkan negara. Keupayaan China membina ekonomi negara tanpa menjejaskan politik sangat menghairankan Syria. Kehadiran Al Jazeera di China juga memberi impak kepada hubungan Arab dan China serta Islam amnya. Ketika dunia Barat memberi persepsi buruk kepada Islam dan penganutnya, China mengambil pendekatan berbeza dengan menggalakkan pegawai, peniaga dan pelajar mempelajari bahasa Arab. Ia dilakukan dengan dua matlamat iaitu ekonomi dan politik. Kecenderungan peniaga Arab membeli produk keluaran China menguntungkan ekonomi negara itu dan pada masa yang sama China hendakkan hubungan lebih erat supaya Arab dapat membekalkan minyak untuk pembangunan negara itu.
Bab ketujuh adalah pandangan penulis terhadap bahasa Arab sebagai bahasa antarabangsa yang cuba dipelajari. Ketika Amerika Syarikat menyifatkan bahasa Arab sebagai ‘super hard’, China tidak menghadapi masalah kerana masyarakat China muslim sudah mahir bahasa tersebut. Penggunaan bahasa Arab telah membantu China mengukuhkan hubungan dengan Arab. Keadaan sebaliknya berlaku pada Amerika Syarikat.

Bab lapan berkaitan impak terhadap Barat apabila ekonomi dunia beralih ke Timur. Ia memberi cabaran baru kepada Barat dan mereka sedang melakukan apa sahaja untuk melindungi kepentingan sendiri sama ada sistem kewangan, perniagaan, media malah budaya masing-masing.

Buku ini sangat menarik bagi pembaca yang ingin mengetahui perkembangan negara-negara Arab dan kebangkitan China dalam ekonomi global. Huraiannya adalah bersahaja kerana penulis buku ini turut mengusai bahasa Arab dan China dengan baik, sekali gus lenggok bahasa dan tahap kefahamannya terhadap masyarakat Arab dan China membantu pembaca mendapat penjelasan yang lebih padat.

Saturday, May 01, 2010

Elaps Coranillus

Tindakannya seperti racun ular. Simptom utama ialah semua discaj sangat hitam dan rasa sejuk di merata tempat seluruh badan.

Fikiran Tekanan; mendengar seseorang bercakap kepadanya; mahu dibiarkan keseorangan. Takut hujan.

Kepala Serangan sakit kepala, dari dahi ke belakang kepala. Pening dan rasa hendak jatuh.

Telinga Tahi telinga hitam dan keras, pendengaran agak sukar. Kurang dengar secara tiba-tiba di sebelah malam, mendengar bunyi mengaum dan pekik dalam telinga. Lelehan bernanah yang kronik. Ada bunyi ‘krek’ ketika menelan.

Hidung Hingus kronik, bau busuk dan kehijauan. Hidung busuk; discaj kuning kehijauan. Sakit dari hidung hingga ke telinga semasa menelan. Hidung tersumbat.

Pernafasan Dada rasa sejuk selepas minum. Tumpah darah dari paru-paru dan berwarna hitam seperti dakwat, berair; menyucuk-nyucuk di bahagian hujung paru-paru kanan. Pengsan jika membongkok. Sakit paru-paru semasa batuk.

Perut Tidak sesuai dengan benda-benda sejuk. Perut rasa sejuk. Mahukan mentega susu. Loya dan muntah. Sakit tiba-tiba dalam perut. Saluran makanan kekejangan, tekak sempit; makanan dan air tertahan sebelum masuk ke perut.

Seks perempuan Senggugut dengan darah berwarna hitam. Discaj darah hitam di antara masa-masa haid. Vulva dan faraj rasa gatal.

Kakitangan Kaki sejuk seperti ais. Lengan dan tangan bengkak kebiruan. Sendi-sendi lutut rasa terpelecok. Kuku menyucuk-nyucuk.

Kulit Gatal kerana jerawat. Hujung-hujung jari mengelupas.

Tidur Mimpikan orang yang telah mati.

Demam Berpeluh sejuk. Demam kepialu.Jika ulser di bahagian tisu, keluar discaj darah gelap.

Umum Cirit-birit semasa tuberkulosis paru-paru. Saluran makanan kekejangan; di kawasan tekak. Kekejangan diikuti kelemahan otot kerana penyakit pada sistem saraf.