Monday, February 09, 2009

Masjid Al-Aqsa kiblat pertama dan tanah haram ketiga


Penulis: Dr. Mushtafa Abdul Jawwad Ahmad Rasywan
Penerbit: Pustaka Syuhada
Muka surat: 55


Hadis riwayat Abu Hurairah, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ‘Tidak dianjurkan untuk berpergian kecuali kepada tiga masjid :masjidku ini (Masjid Nabawi), Masjidil Haram dan Masjid Aqsa.’

Diriwayatkan juga dari Maimunah pembantu Nabi SAW ia bertanya kepada Rasulullah SAW maksudnya: ‘Wahai Nabi Allah fatwakanlah kepada kami tentang Baitul Maqdis,’ Rasulullah SAW bersabda, ‘Ia adalah tanah tempat asal dan juga merupakan tempat berkumpul, datanglah kepadanya dan lakukanlah solat di sana kerana sesungguhnya sekali solat di Baitul Maqdis sama dengan seribu kali solat di tempat lain.’ Kemudian Maimunah kembali bertanya: ‘Bagaimana pendapatmu wahai Rasulullah tentang orang yang tidak sanggup menanggung beban padanya atau tiada mampu datang ke sana?’ Rasulullah menjawab: ‘Hendaklah orang tersebut menghadiahkan minyak untuk menyalakan lampu kepadanya kerana sesungguhnya orang yang memberikan hadiah kepadanya sama seperti orang yang solat di sana.’

Sunday, February 08, 2009

Trend enggan bawa buku teks jadi budaya

oleh Nurul Adlina Kamaludin, Rohaniza Idris dan Siti Nur Almizan Aripin

Pelajar sekolah menengah kini berdepan trend membimbangkan, keengganan mereka membawa buku teks ke sekolah yang boleh mengundang permasalahan jangka panjang terutama dalam melahirkan masyarakat berilmu.

Trend yang membimbangkan itu diakui guru, ibu bapa serta di pihak Kementerian Pelajaran iaitu Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran.

Keengganan membawa buku bukan saja menyukarkan pembelajaran di sekolah malah buku itu juga tidak digunakan untuk rujukan di rumah.

Bagaimanapun, majoriti pelajar tidak menganggap perbuatan mereka itu satu kesalahan dan memberi pelbagai alasan termasuk malas, beg berat serta tidak sukakan guru yang mengajar subjek tertentu.

Kalangan guru dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menganggapnya sudah menjadi satu budaya biasa di kebanyakan sekolah. Guru pula takut mendenda murid kerana bimbang ia boleh menyemai rasa benci kepada pembelajaran, selain takut dicederakan.

"Tidak membawa buku teks menjadi budaya biasa di kalangan pelajar. Malah lebih mengejutkan apabila ditanya mengapa tidak membawa buku, tanpa rasa bersalah mereka dengan selambanya menjawab, malas," kata seorang guru, Lieza Umar (bukan nama sebenar) yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Selangor.

Malah, kata Lieza, kebanyakan pelajar, khususnya pelajar lelaki kelas corot bukan saja tidak membawa buku teks tapi datang ke sekolah dengan beg kosong tanpa buku tulis dan buku latihan.

"Ketika mula-mula mengajar dulu, saya terkejut apabila mendapati ramai pelajar memikul beg kosong sehinggakan saya terpaksa menyediakan kertas untuk mereka catat apa yang diajar.

"Tapi biasanya kertas itu akan bertukar menjadi sampah apabila saya melangkah keluar dari kelas," katanya kesal.

Lieza turut mendakwa ada segelintir pelajar yang hanya membawa buku teks subjek tertentu disebabkan takut dengan guru yang mengajar tapi ada juga yang memberi alasan tidak membawa buku sebab tidak suka guru berkenaan.

"Atas alasan tidak sukakan guru tertentu, mereka tidak bawa buku dan ada juga yang ponteng kelas hanya kerana alasan itu. Lebih mengecewakan, kami sebaliknya dipersalahkan ibu bapa jika memarahi anak mereka kerana tidak membawa buku teks.

Saya juga sudah tidak berani memarahi pelajar kerana takut dicederakan.

"Pernah saya memarahi seorang pelajar lelaki dan minta dia keluarkan buku modul, tapi dia hanya memandang tajam ke arah saya membuatkan saya berasa gerun," katanya.

Seorang lagi guru, Tina Musa (bukan nama sebenar), yang berpengalaman mengajar di dua sekolah menengah di bandar Melaka, pula mendakwa perbuatan tidak membawa buku teks berlaku di sekolah bandar atau desa.

"Perkara ini bukan kes terpencil. Saya akui ia memang berlaku dan kebanyakan yang terbabit adalah pelajar lelaki menengah atas yang belajar di kelas tercorot," katanya.

Tina berkata, kesalahan itu dikategorikan sebagai masalah disiplin tapi disebabkan terikat dengan peraturan yang tidak membenarkan pelajar didenda, gejala itu sukar dibendung.

Sementara itu, beberapa pelajar yang ditemui berkata: Malaslah nak bawa buku teks. Beg berat sangat dan bahu pun sakit. Kalau bawa pun, bukannya digunakan sebab cikgu selalunya mengajar tanpa merujuk buku teks.

Mereka juga dikatakan mengikut jejak ramai rakan lain serta pelajar lebih 'senior,' yang lebih suka meninggalkan buku teks di rumah manakala kelompok lain, khususnya di sekolah satu sesi, lebih suka meletakkan buku teks di bawah meja masing-masing.

Bagi mereka, perbuatan membawa buku teks itu cuma satu bebanan, bukan kemestian biarpun menyedari ia satu kesalahan. Tidak hairanlah, biarpun dimarahi, diberi amaran serta didenda guru supaya membayar 20 hingga 30 sen bagi setiap kesalahan, ia terbukti tidak menghalang mereka mengulangi perbuatan itu.

Seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah di ibu negara yang identitinya tidak boleh didedahkan, mendakwa perbuatannya tidak membawa buku teks bukannya sesuatu yang asing.

Biarpun menyedari perbuatan itu salah, beliau mendakwa tindakannya itu turut dilakukan ramai pelajar yang lain.

"Bukan saya seorang, tetapi ramai rakan lain berbuat demikian. Buat apa nak bawa buku kalau guru pun jarang menggunakannya kerana lebih banyak mengajar menggunakan buku rujukan dan menulis di papan hitam," katanya yang mengakui tidak membawa buku teks sejak bermulanya sesi persekolahan, awal tahun ini.

Ditanya sama ada beliau menyedari perbuatannya itu satu kesalahan, pelajar itu mengakui pernah dimarahi guru beberapa kali. Namun amaran tinggal amaran.

"Cikgu memang marah. Tapi bukan selalu cikgu periksa kami bawa atau tidak buku teks."


Beliau yang belajar di kelas tercorot mendakwa tindakannya dan rakan-rakan itu bukan satu masalah besar kerana mereka masih boleh berkongsi buku teks di sekolah.

Seorang lagi pelajar yang mengakui lebih selesa meninggalkan buku teks di bawah meja, berkata beliau memilih tidak membawa pulang buku teks selepas sering sakit bahu dan terpengaruh dengan pelajar 'senior' di tingkatan empat dan lima yang turut melakukan perbuatan itu.

"Setiap subjek mempunyai lebih daripada satu buku teks. Ini tidak termasuk buku nota, tulis dan buku kerja. Bagi subjek Bahasa Melayu misalnya, kami perlu membawa dua buku teks iaitu Pemahaman Umum, Tatabahasa, buku Komsas serta dua buku lain.

"Bagi subjek Sains pula, perlu bawa tiga buku teks, buku latihan, buku nota, buku rampaian praktikal atau makmal. Bayangkanlah itu baru dua subjek, kalau dicampur dengan buku Matematik dan subjek lain, ia memang menjadikan beg berat," katanya.

[Berita Harian Online, 8/2/2009]

Saturday, February 07, 2009

Syor hanya motosikal 70cc kepada penunggang di bawah 21 tahun

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang dengan perangkaan terkini menunjukkan antara 10 hingga 15 penumpang serta pembonceng motosikal meninggal dunia setiap hari di negara ini.

Peningkatan 9.6 peratus atau 290 bilangan kematian nahas jalan raya dari Januari hingga Jun 2008 kepada 3,305 kes berbanding 3,015 kes dalam tempoh sama 2007, 211 kematian adalah kalangan penunggang dan pembonceng motosikal.

Malah, sehingga September 2007 pula mencatatkan jumlah keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya ialah 4,646 dan penunggang serta pembonceng motosikal saja ialah 2,476 atau 53.3 peratus. Pada 2006 jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah seramai 6,287 orang. Daripada jumlah ini penunggang dan pembonceng motosikal saja membabitkan 3,693 orang atau 58.7 peratus.

Menurut Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), ada 14 punca kemalangan jalan raya dikesan di negara ini iaitu memandu laju menyumbang kepada 32.8 peratus kemalangan, memandu dengan cuai (28.2 peratus), memandu secara melulu (15.5 peratus), mengekori kenderaan di depan terlalu rapat (3.8 peratus), dan keadaan jalan (tiga peratus). Sikap pengguna jalan raya sendiri membentuk 76.1 peratus penyebab kemalangan jalan raya.

Kajian juga menunjukkan risiko kemalangan penggunaan kereta adalah 17 kali lebih rendah berbanding motosikal, manakala penggunaan bas 30 kali lebih rendah berbanding kereta, penggunaan kereta api 325 kali lebih rendah berbanding bas dan penggunaan kapal terbang pula 6,000 kali lebih rendah berbanding kereta api.

Berdasarkan Laporan Suruhanjaya Keselamatan Jalan Raya yang dikeluarkan oleh Kerajaan Australia menunjukkan bahawa hasil kajian yang dijalankan mendapati penunggang motosikal turut terdedah kepada bahaya disebabkan aspek persekitaran seperti jalan berlubang dan tumpahan minyak di jalan.

Malah, penunggang motosikal menerima perlindungan yang sedikit apabila menunggang motosikal dan risiko melanggar pembahagi jalan, lampu isyarat, lampu jalan atau papan tanda jalan adalah tinggi.

Berdasarkan kertas kerja Motorbike Safety In Queensland, Australia, 2008 oleh Kementerian Pengangkutan Australia mendedahkan 39 peratus kemalangan berlaku di Australia adalah membabitkan golongan muda yang belum setahun memiliki lesen memandu.

Berikutan itu, langkah mengetatkan prosedur pengeluaran lesen motosikal dilihat sebagai mekanisme terbaik dalam menangani masalah kemalangan jalan raya membabitkan golongan muda.

Justeru, CAP mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan agar penunggang motosikal di bawah lingkungan umur 17 hingga 21 tahun, diwajib menggunakan motosikal berkapasiti 70cc dalam usaha untuk mengurangkan kelajuan tunggangan motosikal.

Kapasiti motosikal 70cc perlu diperkenal dan sebaik saja seseorang remaja mencapai peringkat umur 21 tahun, maka mereka layak untuk menunggang motosikal berkapasiti tinggi.

Malah, mengetatkan permohonan lesen memandu perlu kerana pemberian lesen motosikal kepada mereka yang berumur seawal 16 tahun sudah tidak logik memandangkan remaja pada usia berkenaan belum lagi matang dan keinginan untuk berseronok terlalu kuat hinggakan mereka tidak ambil peduli aspek keselamatan.

SM MOHAMED IDRIS, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

[Berita Harian Online, 5/2/2009]

Friday, February 06, 2009

Isu-isu moral dalam politik Malaysia







Perkembangan politik di Perak menjadi tumpuan rakyat Malaysia. Sebuah kerajaan negeri yang berusia sebelas bulan, Pakatan Rakyat (PR) telah hilang mandat selepas tidak mendapat kepercayaan dan kesetiaan empat wakil rakyat iaitu Adun Changkat Jering Mohd Osman Jailu, Adun Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, Adun Bota Dato' Nasarudin Hashim dan Adun Jelapang Hee Yit Foong.

Tun Dr Mahathir menyifatkan tindakan Barisan Nasional (BN) menerima dua orang bekas ahli Parti KeADILan Rakyat (PKR) sebagai tidak matang dan ‘fikir dulu sebelum terima orang seperti ini.’ Pemerhati dan orang ramai menyifatkan kedua-dua wakil rakyat berkenaan sedang mengalami proses pembusukan moral dalam politik Perak.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz berterus-terang menyatakan Adun PKR yang melompat adalah pengkhianat. ‘Manusia macam ni patut dilemparkan dengan kasut’ katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng turut menyuarakan rasa dukacita kerana kehilangan anggota parti masing-masing yang menyebabkan kerajaan PR hilang keyakinan daripada Sultan Azlan Shah, Sultan Perak.

Ketika Adun Bota, Dato' Nasarudin Hashim mengisytiharkan dirinya keluar dari UMNO dan menyertai PKR, Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Tajol Rosli meletakkan jawatan.

Ketika penyokong PR beramai-ramai menuju ke kediaman Datuk Seri Nizar, Barisan Nasional menamakan Datuk Dr Zamry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

Perkembangan semasa keadaan politik Perak boleh diikuti di media massa yang sentiasa mengemas kini laporan mereka.

Artikel ini hendak melihat moral ahli politik khususnya di Perak yang mengakibatkan tumbangnya sebuah kerajaan negeri. Apakah ahli-ahli politik yang menjadi perhatian itu bermoral atau tidak? Apakah tindakan mereka boleh diterima dengan rasional dan bagaimana kita sepatutnya menilai keseluruhan keadaan ini dari perspektif politik matang?
Stanford Encyclopedia of Philosophy memberi definisi moral sebagai berikut,


1. descriptively to refer to a code of conduct put forward by a society or,
a. some other group, such as a religion, or
b. accepted by an individual for her own behavior or
2. normatively to refer to a code of conduct that, given specified conditions, would be put forward by all rational persons.

Dalam bahasa yang muda difahami, moral adalah akhlak; tahu baik dan buruk.

Tumbangnya kerajaan negeri Perak adalah kali ketiga dalam sejarah Malaysia. Kejadian pertama berlaku di Terengganu apabila kerajaan Pas ditumbangkan. Kali kedua berlaku di Sabah apabila kerajaan PBS dijatuhkan.

Ketiga-tiga peristiwa ini berlaku kerana ia dibenarkan oleh sistem demokrasi yang menjadi teras kepada pentadbiran Malaysia. Justeru, apakah tindakan ahli politik yang keluar parti itu dikira sebagai bermoral?

Masyarakat perlu ada standard tertentu untuk dikira baik atau buruk dan kedua-dua sifat ini dilihat oleh konteks di mana standard itu ditetapkan. Seseorang dikira bermoral apabila dia mengikut standard berkenaan dan dikatakan tidak bermoral apabila melepasi sempadan-sempadan tertentu.

Tindakan Adun Jelapang, Changkat Jering dan Behrang meninggalkan parti masing-masing adalah pilihan mereka. Sama ada mereka bermasalah atau tidak, ia merupakan keputusan peribadi dan wujud motif tertentu yang menyebabkan tindakan tersebut dibuat. Dalam pilihan raya lalu, rakyat telah memilih mereka kerana parti yang diwakili, jadi kemenangan yang diperoleh adalah kerana parti, bukannya populariti diri.

Adakah tindakan meninggalkan parti bermakna meninggalkan rakyat?

Seseorang yang memenangi pilihan raya dan menjadi wakil rakyat tidak pernah digelar sebagai wakil rakyat UMNO atau wakil rakyat PKR sebaliknya wakil rakyat Kepala Batas atau wakil rakyat Permatang Pauh. Walaupun kemenangannya tidak seratus peratus dipilih oleh pengundi di kawasannya, dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia, kelebihan satu undi dikira sebagai pemenang. Oleh itu, meninggalkan parti atau melompat parti bukannya meninggalkan rakyat.

Jadi, adakah pemimpin yang melompat parti ini seorang yang bermoral kerana kemenangannya adalah atas tiket parti?

Pakatan Rakyat mempertahankan kerajaannya dan berikrar akan berusaha bersungguh-sungguh bagi mempastikan mereka kekal di Perak. Semasa pemimpin PR berkumpul bagi merangka strategi seterusnya, tiga Adun Bebas tersenyum riang tetapi orang ramai bertanya: adakah tindakan mereka itu boleh diterima?

Penyokong BN tentu akan gembira kerana tindakan tersebut telah merealisasikan impian untuk membentuk kerajaan yang baru di Perak dan meningkatkan motivasi. Namun bagi pengundi yang kecewa, mereka menyumpah dan tidak puas hati. Dalam keadaan keliru memang sukar hendak membuat keputusan apatah lagi memahami prinsip perlembagaan yang didokong.

Pengundi keliru di antara memilih wakil parti atau memilih individu tertentu untuk mewakili kawasan mereka sebagai wakil di DUN atau parlimen. Kekeliruan boleh dirungkai jika kita melihat politik di Amerika Syarikat, bukannya Thailand.

Semasa pertandingan bagi memilih calon Demokrat sebagai presiden Amerika, Barack Obama dan Hillary Clinton bersaing untuk menang. Selepas itu semua orang tahu apa kesudahannya. Obama yang menang.

Setelah menjadi presiden, Obama memilih Hillary Clinton menjadi Setiausaha Negara dan diterima oleh Clinton dengan senang hati. Obama tidak pun meminggirkan saingannya.

Realiti politik Malaysia belum lagi mencapai tahap kematangan politik seperti mana di Amerika Syarikat di mana pesaing diambil menjadi rakan sepasukan. Di Malaysia, calon yang kalah biasanya akan berundur dan calon yang menang akan membentuk pasukan baru dengan kuasa yang sangat hebat.

Sultan Perak tidak berkenan untuk mengadakan pilihan raya semula kerana baginda yakin dengan kerajaan baru yang akan dibentuk oleh BN. Walaupun Datuk Seri Nizar merayu, keputusan itu tidak dapat lagi diubah dan beliau perlu menghormati dan menerima kenyataan. Tindakan mengumpul penyokong untuk membantah keputusan Sultan Perak dilihat sebagai usaha menjejaskan imej dan autoriti raja sebagai ketua negeri. Ia juga tindakan yang dilihat sama seperti rasa tidak puas hati penyokong Thaksin dan Abhisit Vejjajiva di Thailand.

Bagaimana kita menilai pemimpin politik dari perspektif moral?

Ia umpama memandu kereta di persimpangan lampu isyarat pada jam 3 pagi. Lampu merah di hadapan tetapi tidak ada kenderaan lain atau polis di situ. Apakah kita akan tunggu sehingga lampu bertukar hijau atau meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat masih berwarna merah?

Pertukaran kerajaan Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional di Perak adalah realiti. Situasi ini telah memberi pengalaman dan pendedahan kepada rakyat Perak khususnya untuk berfikir dan menjadi lebih matang dalam pilihan raya yang akan datang supaya memilih wakil rakyat yang tepat dan boleh diharap.

Lalu, apakah mereka yang memujuk wakil rakyat meninggalkan parti untuk menjadi ahli Bebas dianggap bermoral?


 

Thursday, February 05, 2009

Bantu kanak-kanak menulis

Menulis dan membaca adalah sebahagian daripada pembelajaran yang dialami di sekolah dan kedua-dua kemahiran asas ini sangat penting. Adalah menjadi sangat mustahak untuk menggalakkan kanak-kanak mahir menulis seberapa kerap yang mereka mampu.

Memahami proses membina kemahiran menulis dapat merangsang prestasi kanak-kanak dalam pelajaran. Wajar bagi ibu bapa dan penjaga mengetahui beberapa tips mudah untuk membantu kecemerlangan kanak-kanak.

Antaranya ialah:

1. Peruntukkan masa berkualiti untuk berbual-bual dengan kanak-kanak setiap hari.
2. Bacakan berita yang pelbagai jenis supaya anak-anak dapat idea yang lebih luas.
3. Galakkan kanak-kanak menulis di sisi, bukannya berhadapan.
4. Pilih bahan-bahan tulisan yang menyeronokkan.
5. Bentuk peluang-peluang melibatkan diri dalam aktiviti menulis seperti membuat poster atau karangan ringkas.
6. Berbual-bual tentang hasil tulisan kanak-kanak.
7. Memberi pujian kerana mahu mencuba.
8. Elakkan mengkritik kerana kesilapan, fokus pada kandungan.
9 .Bina kreativiti menulis melalui ejaan, mewarna atau menyediakan alat bantu dalam perisian komputer yang ringkas dan mudah.

Wednesday, February 04, 2009

Kronologi politik di Perak

Berikut kronologi politik di Perak sejak pilihan raya umum ke-12, 8 Mac tahun lalu sehingga hari ini:

9 Mac 2008: Gabungan parti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 31 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Barisan Nasional (BN) memenangi 28 kerusi pada pilihan raya umum ke-12.

17 Mac 2008: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang dari Pas, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak.

19 Mac 2008: Istiadat angkat sumpah 10 anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. 25 Ogos 2008: Dua anggota Exco Kerajaan Negeri Perak, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Jailu dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas tudahan rasuah berhubung projek pembangunan bernilai RM180 juta.

Mahkamah tetap 10, 11 dan 12 Feb 2009 sebagai tarikh perbicaraan.

25 Jan 2009: Adun Bota dari Umno, Datuk Nasaruddin Hashim mengisytiharkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) untuk menyertai PKR.

26 Jan 2009: Menteri Besar Perak mendakwa sekurang-kurangnya tiga lagi wakil rakyat daripada Umno akan mengikut jejak Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim menyertai PKR.

28 Jan 2009: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim mencadangkan satu gerakan massa perlu dijalankan bagi mendesak Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil.

29 Jan 2009: MT Umno menerima peletakan jawatan Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perak berkuat kuasa serta-merta.

30 Jan 2009: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan laporan mengenai anggota Exco kerajaan negeri, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu, daripada Parti Keadilan Rakyat, akan menyertai BN.

1 Feb 2009: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan terdapat Adun daripada pembangkang di negeri Perak akan menyertai BN.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meminta dua Adun dari PKR yang “hilang” sejak 26 Jan supaya mengisytiharkan segera pendirian mereka jika telah keluar daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

Speaker DUN Perak, V Sivakumar berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan Adun Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu yang dihantar ke rumahnya pada jam 5.45 petang.

Kedua-dua ADUN PKR menafikan meletakkan jawatan, sebaliknya mengakui pernah menandatangi surat janji taat setia bersama enam lagi Adun PKR yang tidak bertarikh bahawa jika mereka keluar parti, mereka secara automatik perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

2 Feb 2009: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengadap Sultan Perak di Istana Kinta. Beliau tidak mengulas kepada media berhubung istiadat mengadap itu.

Speaker DUN Perak, V Sivakumar memaklumkan kekosongan kerusi DUN Behrang dan DUN Changkat Jering kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak.

Pengerusi PKR Perak, Osman Abdul Rahman berkata, kedua-dua wakil rakyat itu tidak membuat pengumuman keluar daripada PKR.

Seorang pegawai kepada Jamaluddin Mohd Radzi memberitahu media di Sepang bahawa wakil rakyat itu masih ahli PKR.

Seorang kenalan Adun Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu menafikan peletakan jawatan Adun itu pada sidang akhbar di Shah Alam.

3 Feb 2009: SPR memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi DUN Changkat Jering (N14) dan DUN Behrang (N59) serta tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan itu.

Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi menganggap dirinya sebagai wakil rakyat Bebas selepas PKR menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Adun kepada Speaker DUN Perak V Sivakumar.

Ketua DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham memberi tempoh 48 jam kepada SPR supaya mengkaji semula keputusan tidak mengadakan pilihan raya kecil.

4 Feb 2009: 1 tengah hari - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dijadualkan mengadakan sidang akhbar untuk membuat pengumuman penting.

1.30 tengah hari - Mohammad Nizar menangguhkan sidang akhbar tanpa memberi sebab.

2 petang - Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR tidak akan mengkaji semula keputusannya untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil.

3 petang - Mohamad Nizar membuat tindakan luar biasa dengan mengumumkan pembubaran DUN serta merta sebelum memohon perkenan Sultan.

3.50 petang - Mohammad Nizar dilihat memasuki Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

4.35 petang - Empat Adun Perak iaitu Adun Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, Adun Changkat Jering Mohd Osman Jailu, Adun Bota Datuk Nasarudin Hashim dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong berada di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.

5 petang - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan BN Perak kini mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan apabila tiga ADUN dari PKR dan seorang ADUN dari DAP mengumumkan keluar parti.

BN kini mempunyai 28 kerusi, Pakatan Rakyat juga 28 kerusi dan Bebas tiga kerusi.

5.55 petang - Mohammad Nizar yang mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk meminta perkenan baginda membubarkan DUN meninggalkan Istana Kinta di Ipoh tanpa memaklumkan kepada media keputusan baginda.

[Bernama, 4/2/2009]

Usahawan sekolah memandu dan cenderahati

Membuat dua jenis bisnes serentak tidak menjadi masalah kepada pasangan suami isteri, Hasni dan Zulkifli.

Sebagai kakitangan yang rajin dan berdedikasi, Hasni ditawarkan perniagaan francais sekolah memandu oleh bekas majikannya di Shah Alam, Selangor setelah beliau menyelia tugas perakaunan syarikat tersebut. Peluang yang datang ini digunakan sebaik mungkin untuk menceburi bidang perniagaan secara serius dan bersungguh-sungguh.

Bisnes sekolah memandu ini telah memasuki tahun ketiga dan menunjukkan kemajuan yang menggalakkan.

Bisnes kedua yang sedang dikembangkan oleh Hasni ialah memasarkan barangan cenderahati untuk dua kumpulan sasar iaitu golongan korporat dan hadiah majlis keraian. Bisnes cenderahati dan hamper ini tidak bermusim, jadi beliau menerima banyak tempahan daripada syarikat korporat, kelab rekreasi, pengurusan acara majlis dan juga syarikat kecantikan.

Bagaimana seorang usahawan mampu menguruskan dua perniagaan serentak ini?

Pertama, pengalaman kerja sebagai pengurus akaun memudahkannya membuat perancangan kewangan yang mantap dan terurus.

Kedua, sifat kesungguhan yang ada telah menjadikan majikan percaya dan yakin kemampuan Hasni untuk menguruskan sebuah syarikat francais. Galakan yang berterusan daripada bekas majikannya menjadikan bisnes ini semakin berkembang.

Ketiga, sokongan daripada suami yang sentiasa memberi perangsang dan semangat untuk berjaya serta tidak mudah putus asa.

Keempat, bijak merancang strategi untuk mempelbagaikan bentuk bisnes.

Kelima, bersikap positif terhadap kejayaan dan merealisasikan impian hidup untuk berjaya dalam bisnes yang dilaksanakan walaupun banyak cabarannya.

Tuesday, February 03, 2009

Tidak minat belajar

Anak-anak remaja yang sedang bersekolah di peringkat menengah biasanya memberi banyak cabaran kepada ibu bapa dalam pelajaran. Jika anak-anak ini cemerlang dalam sahsiah dan pelajaran seperti Azali Azlan, Nur Amalina atau Najmil Faiz ia tidaklah menjadi beban dan masalah untuk difikirkan, sebaliknya kalau hari-hari terpaksa memantau dan mengingatkan mereka untuk ke sekolah dan belajar rajin-rajin, tidak ramai ibu atau bapa yang sanggup bertindak sendirian.

Apa yang perlu dilakukan jika kita mempunyai seorang anak lelaki yang tidak minat langsung hendak belajar?

Rasanya sudah bermacam-macam cara yang dilakukan sama ada denda, catu duit belanja, galakan dan motivasi namun semuanya belum mampu menarik minatnya untuk duduk membaca buku, buat kerja sekolah atau sekurang-kurangnya sentiasa ada buku di tangan.

Bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang sangat mendukacitakan, apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membantunya?

Tindakan menukar sekolah kerana ponteng kelas bukanlah langkah yang tepat lebih-lebih jika sekolah berkenaan di bandar dan hampir dengan kafe siber berinternet. Sudah tentu hari-hari dia akan melencong ke situ berbanding mentelaah pelajaran di sekolah.

Bagi mengelakkan anak-anak ponteng, ada ibu bapa yang sanggup menanti loceng kelas berbunyi supaya dapat melihat anak mereka masuk ke dalam kelas.

Barangkali anak-anak begitu ingin sekali ke aliran teknikal atau vokasional. Namun dia tetap juga tidak mahu berubah kerana ‘jangan memandai-mandai nak tentukan hidupnya.’ Kata-kata ini menunjukkan betapa dia tidak mahu lagi belajar dan tidak mahu berubah.

Keadaan inilah yang memeningkan kepala ibu bapa yang ingin membantu membentuk masa depan anak-anak mereka. Pening dengan kerenah, sikap dan tingkah laku anak-anak yang belum tahu apa nak jadi pada masa depan. Jika ditanya apa yang mereka hendak, sukar pula hendak dijawabannya.

Jadi, bagaimana penyelesaian bagi masalah ini?

Pertama, lihat sebab-musabab kenapa anak-anak yang sedang meningkat usia ini bertingkah laku begitu. Tidak minat belajar dipengaruhi banyak perkara. Biar pun kecil, ia tetap menyebabkan masalah. Mungkin sikap ibu bapa sendiri yang tidah endah dengan siapa anak-anak berkawan di luar rumah. Pengaruh rakan sebaya hari ini sangat besar kerana berbagai-bagai perkara yang boleh menumpulkan minat untuk belajar ini. Daya tarikan kawan-kawan lebih besar jika ibu bapa jarang memberi perhatian kepada mereka walaupun cukup wang ringgit untuk belanja di sekolah.

Kedua, anak-anak yang membesar dalam persekitaran kawalan yang ketat di rumah akan lebih mudah mendapat kebebasan di sekolah kerana telah bercampur sosial dengan rakan-rakan yang lain. Oleh kerana kebebasan itu tidak diperoleh di rumah, mereka akan menjadikan aktiviti di sekolah sebagai tempat untuk merasai kebebasan berkenaan sama ada melepak, bertanding dalam permainan video dan sebagainya.

Ketiga, ketegasan ibu bapa harus bermula dari awal. Kalau anak-anak sudah membesar 15 atau 16 tahun baru hendak bertegas, keadaan itu sudah terlewat. Ia ibarat menyimbah air ke daun keladi. Ibu bapa wajar mencari cara lain untuk menyatakan mesej yang hendak disampaikan. Menggunakan orang ketiga adalah langkah pilihan untuk mengubah cara fikir dan sikap anak-anak. Biasanya pihak ketiga ini anak-anak mudah mengalah dan bersedia untuk membuat perubahan. Jika ada sepupu atau saudara rapat yang mereka hormat, urusan perubahan sikap berkenaan lebih mudah.

Keempat, hadir ke program perubahan sikap yang dirangka khusus untuk anak-anak tidak minat belajar. Kursus singkat seperti ini banyak diadakan oleh syarikat penyedia latihan. Konsep yang digunakan juga berbagai-bagai dan bergantung kepada matlamat hadir ke kursus. Ada kursus yang mengambil konsep latihan di dalam dan luar kelas, ada yang menjadikan agama sebagai teras seperti kembali mengerjakan solat yang betul, membaca al-quran dan beberapa praktikal lain yang menjurus kepada kesedaran diri dan tanggunjawab sebagai anak. Tujuan kursus jenis ini ialah menyediakan nilai-nilai setia, patuh dan berfikir bahawa kehidupan mereka akan ditanya apabila mati kelak. Ibu bapa perlu bersedia dengan wang ringgit dan masa bagi membolehkan anak-anak mendapat latihan yang maksimum untuk membuat perubahan diri.

Kelima, sokongan rakan-rakan daripada ibu bapa yang mempunyai masalah begini. Pengalaman dan nasihat mereka boleh dijadikan panduan yang amat bermakna untuk mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh. Barangkali pengalaman berkenaan dapat mencungkil sebab sebenar kenapa anak-anak berubah sikap dan malas hendak belajar. Pasti ada sesuatu yang menyebabkannya jadi begitu.

Keenam, memeriksa solat dikerjakan atau tidak. Kalau satu keluarga sudah liat hendak bersolat, janganlah harap anak-anak akan solat kerana ibu bapa adalah model terbaik untuk anak-anak. Jika bapa selalu jogging pakai seluar pendek, anak lelaki akan ikut sekali kerana bapa telah menunjukkan contoh bagaimana berpakaian ketika jogging. Keluarga yang meninggalkan solat adalah keluarga yang malang.

Ketujuh, ibu bapa kurang berdoa untuk kejayaan anak-anak. Sikap ibu bapa yang menyerahkan urusan mendidik kepada pembantu rumah, guru atau guru tuisyen adalah langkah rapuh yang bakal menggugat peribadi anak-anak. Doa adalah sumber kekuatan yang sangat hebat untuk menggerakkan perubahan. Seorang lelaki yang hendak berkahwin dua telah berjumpa dengan tok kadi membawa sekali isteri tua dan bakal isteri muda. Apabila ditanya kepadanya bagaimana cara yang beliau gunakan untuk memberitahu isteri pertama, jawapan mudah. Berdoa setiap hari. Katanya, setiap kali lepas solat beliau akan berdoa untuk berkahwin satu lagi. Doa ini didengar dan diaminkan oleh isteri pertama. Ketika beliau memberitahu hasrat untuk kahwin seorang lagi, dengan mudah isterinya membenarkan dan tanpa banyak soal pula. Inilah kekuatan doa yang dibuat setiap hari.

Justeru dalam hal ini, ibu khususnya wajar mendoakan anak-anak supaya berakhlak mulia dan mendengar nasihat kedua ibu bapa, insya Allah lama-kelamaan akan diperkenankan Allah SWT.

Dalam kes anak tidak minat belajar, ibu bapa wajar melihat kembali fokus mereka dalam mendidik anak-anak. Adakah mereka mahu anak-anak berjaya dengan cemerlang di sekolah tetapi akhlak tergadai atau akhlaknya baik namun pencapaian akademik sederhana? Sedangkan yang kita pilih adalah akhlaknya baik dan pendidikan akademiknya sangat cemerlang. Barangkali penyelesaian dalam hal ini ialah menetapkan matlamat untuk diri dan anak-anak. Kebanyakan manusia tidak malas tetapi mereka mempunyai matlamat yang mati iaitu matlamat yang tidak merangsang mereka. Peranan ibu bapa ialah berusaha untuk menyedarkan anak-anak bahawa matlamat hidup kita sangat besar.

Monday, February 02, 2009

People power and democracy: The popular movement against military despotism in Nigeria, 1989-1999

Penulis: Rita Kiki Edozie
Tahun: 2002
Penerbit: Africa World Press
Muka surat: 480

Tulisan ini didorong oleh pemansuhan pilihan raya presiden Nigeria pada 1993 iaitu tindakan sewenang-sewenangnya oleh rejim tentera Jeneral Ibrahim Babangida. Pilihan raya berkenaan disifatkan sebagai paling bebas dan adil pernah diadakan di negara itu yang telah memilih Moshood Abiola sebagai presiden.

Meneliti isu pokok dalam sejarah unik Nigeria, buku ini menonjolkan sebab akibat perkembangan dan pembangunan pergerakan yang menentang tindakan tentera, kesan daripada munculnya kumpulan-kumpulan yang pro demokrasi dan kelompok pejuang hak asasi manusia. Antara mereka ialah Campaign for Democracy (CD), National Democratic Coalition (NADECO) dan United Democratic Front of Nigeria (UDFN). Pergerakan politik yang aktif dan pengaruh popular kumpulan-kumpulan ini sekitar 1990-an menjadi katalis kepada kejatuhan Babangida pada 1993 dan membuka jalan kepada pentadbiran demokratik dan kewujudan Nigeria Fourth Republic pada 1999.

Dalam penerbitan ini, Rita Kiki Edozie memberi analisis akademik yang mendalam terhadap aktiviti-aktiviti pelbagai kumpulan aktivis dari 1989 hingga 1999, melihat kembali dan memahami kedinamikan politik Nigeria semasa tempoh sepuluh tahun yang bermasalah. Dia juga mengenal pasti usaha-usaha mobilisasi sosial dalam masyarakat awam Nigeria untuk melumpuhkan korupsi dan salah guna kuasa oleh pihak tentera. Satu analisis yang berhati-hati terhadap strategi, corak tingkah laku dan tindakan kelompok-kelompok individu dan usaha-usaha penyatuan ke arah memudahkan perubahan bagi menerima sistem demokrasi.

Buku ini memberi pandangan yang serius dan kritikal, kajian yang seimbang ke atas perkembangan politik Nigeria di akhir abad ke-20. Ia mencapai kemuncak dengan ramalan yang optimis terhadap keadaan politik negara itu yang akan pulih kembali dan mengekalkan demokrasi popular seiring dengan kedatangan abad dan millenium baru.

Sunday, February 01, 2009

Pemimpin Israel takut ke mahkamah

Perdana menteri dan menteri-menteri Israel sungguh marah dengan keputusan seorang hakim Sepanyol, Fernando Andreu yang membuka kembali pertuduhan ke atas tujuh orang bekas pegawai tertinggi keselamatan negara Yahudi itu atas dakwaan jenayah perang pada 2002 di Gaza yang menyebabkan kematian seorang pemimpin Hamas, Salah Shehadah 14 orang awam lain.

Siasatan ditujukan kepada Menteri Infrastruktur Kebangsaan Binyami Ben-Eliezer yang menjadi menteri pertahanan ketika itu; calon Likud Knesset Moshe Ya’alon yang menjadi ketua jeneral; komander tentera udara Dan Halutz; pemerintah Selatan OC Down Almog; ketua majlis keselamatan kebangsaan Giora Eiland; setiausaha tentera kementerian pertahanan Mike Herzog dan Menteri Keselamatan Awam Avi Dichter yang ketika itu menjadi ketua Shin Bet.

Kementerian Kehakiman Israel menolak pertuduhan itu yang dianggap gagal melihat permintaan pihak perkuasa Sepanyol dan masih mengambil masa untuk menyediakan dokumen yang perlu. Sebaik pertuduhan dikeluarkan, menteri dan perdana menteri Israel mula membuat pelbagai kenyataan. Antaranya Menteri Pertahanan Ehud Barak yang menyatakan ‘seseorang yang mengatakan pembunhan ke atas jenayah kemanusiaan sebenarnya berada di dunia yang lain.’

Menteri Keselamatan Awam Dichter pula memberitahu ‘Shehadah telah bertanggungjawab ke atas pembunuhan berdozen-dozn rakyat Israel’ iaitu tuduhan yang tidak dibuktikan.

Menteri luar Tzipi Livni menyifatkan tindakan hakim berkenaan tidak dapat diterima dan berikrar akan membantu tujuh orang yang didakwa itu.

Andreu berkata serangan ke atas Shehadah di kawasan penduduk awam adalah jenayah ke atas kemanusiaan.

Usaha membawa ketujuh-tujuh penjenayah Israel ini dimulakan sejak 2001 di konferens NGO Forum, Durban untuk memboikot Israel dan memasukkan negara itu sebagai ‘apartheid’ dengan cara undang-undang. Inisiatif ini digerakkan oleh Palestin Center for Human Rights (PCHR) yang mendapat peruntukan daripada Pesuruhjaya Eropah, kerajaan Norway, Ireland, Sweden, Switzerland dan beberapa negara Eropah yang lain.

Pemimpin-pemimpin Israel mula gelabah . Seorang demi seorang pemimpin negara itu bersuara untuk mempertahankan rakyat Israel. Ehud Barak berkata ‘semua pegawai pertahanan atasan dari dulu hingga sekarang telah melakukan tindakan yang betul atas nama Israel dan memberi komitmen untuk mempertahankan rakyat Israel.’

Livni pula cuba menekan kerajaan Eropah untuk menghalang mana-mana pertubuhan bukan kerajaan daripada membawa kes-kes itu ke mahkamah, namun ia gagal sama sekali.