Tuesday, November 11, 2008

19 tabiat kuasa perubahan

Penulis: Zahir Zainudin dan Amaludin Ab Rahman
Tahun: 2008
Penerbit: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Muka surat:109

Perubahan amat perlu bagi setiap orang. Hidup tidak boleh statik pada satu tahap. Hidup pada hari ini perlu lebih baik daripada semalam dan hidup hari esok pula perlu lebih baik daripada hari ini. Jika kita tidak mahu berubah ke arah yang lebih baik kita akan ketinggalan.

Untuk berubah kita perlu tahu caranya. Jika tidak, kita bakal kecewa dan mungkin mengundang kemungkinan yang lain dan tidak diingini.

Buku 19 Tabiat Kuasa Perubahan ditulis berdasarkan pengalaman, pemerhatian, pembacaan, pendengaran, penganalisisan dan pandangan penulis. Tabiat yang diketengahkan merupakan usaha yang mesti dibuat secara berperingkat untuk menjana perubahan ke arah yang lebih aktif dan positif. Tabiat-tabiat ini dihurai dan diketengahkan dalam bentuk cerita, perkongsian idea, pengalaman sebenar dan kajian kes agar mudah difahami dan dicerap oleh pembaca.

Berubah perlukan pengorbanan. Semakin besar pengorbanannya, semakin bermaknalah kejayaan yang dikecapi. Namun, pengorbanan tanpa strategi yang betul dan tepat , ia hanya sia-sia.

Konsep 19 Tabiat Kuasa Perubahan mengenengahkan tabiat yang mudah, ringkas dan mengajak pembaca untuk bertindak secara separa sedar. Perubahan bukannya paksaan tetapi ikhlas dari hati dan yakin dengan kejayaan yang akan diperoleh. Tabiat yang dimuatkan dalam buku ini ialah:


Tabiat 1 Dapatkan mesej ‘Aku boleh berubah’
Tabiat 2 Merancang untuk berubah
Tabiat 3 Memahami erti kejayaan
Tabiat 4 Programkan sistem kepercayaan diri
Tabiat 5 Kehebatan ‘Ya’
Tabiat 6 Pilih sikap yang betul
Tabiat 7 Mengikut jejak-jejak kejayaan
Tabiat 8 Percaya diri adalah sumber kepercayaan terbesar
Tabiat 9 Tahu teknik paling penting untuk kejayaan
Tabiat 10 Membuat catatan dan kemas kini hala tuju
Tabiat 11 Bersikap jujur dengan diri jika sukar hendak berjaya
Tabiat 12 Berkongsi apa sahaja untuk membantu diri
Tabiat 13 Tidak mengalah! Jatuh, bangun kembali
Tabiat 14 Ingat! Diri anda lebih hebat
Tabiat 15 Belajar kesilapan diri dan orang lain
Tabiat 16 Cara yang berbeza bagi perkara yang sama
Tabiat 17 Menghargai petua mudah
Tabiat 18 Sensitif dengan perubahan
Tabiat 19 Jangan bersedih apabila gagal untuk berubah

Monday, November 10, 2008

Kemunduran umat dan penyelesaiannya

Penulis: Muhammad Ihtishamul Hasan
Tahun: 2002
Penerbit: Era Ilmu Sdn Bhd, Sri Petaling, Selangor
Muka surat: 41

Muhammad Ihtishamul Hasan adalah seorang alim yang lahir di Kandhala, Uttar Pradesh, India. Buku-bukunya telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa termasuk bahasa Melayu yang menjadi rujukan kepada mereka yang meletakkan dakwah sebagai perjuangan dalam hidup.

Usaha dakwah dan tarbiah Rasulullah saw selama 23 tahun telah melahirkan kelompok masyarakat yang menuju ke puncak kemajuan sehingga sejarah dunia tidak dapat lagi mendatangkan contoh yang seperti dengan mereka.

Ketika itu, umat Islam adalah pemilik tunggal kemuliaan, keagungan, kegemilangan, kebesaran dan kekuatan.

Sebaliknya kini, perangai dan budi pekerti umat tidak dapat dibanggakan lagi. Umat berada dalam keadaan lemah tanpa harta, tanpa ketinggian dan kemuliaan, tidak ada lagi perasaan persaudaraan dan kemesraan.

Buku ini menghuraikan kemuliaan umat Islam sebagai umat yang mengajak kepada amar-bil-ma’ruf dan nahi-‘amil-mungkar. Tugas ini adalah tanggungjawab setiap orang Islam dalam semua keadaan.

Ada yang berkata usaha ini sangat susah. Memang pun susah kerana para nabi dan rasul tidak pernah duduk diam ketika berdakwah.

Penulis membangkitkan hal segelintir umat Islam yang ragu-ragu tentang perlunya mengislahkan umat yang sudah terlalu jauh dari zaman kenabian. ‘Bagaimana umat Islam boleh maju sedangkan mereka tidak mempunyai kekuatan dan kekuasaan, tidak ada tenaga dan kesatuan hati?’

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Al-Ankabut:69)

Di sebalik mengakui kelemahan diri, buku ini mengajak kita untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah dan tarbiah pada hari ini tanpa memikirkan kelemahan sebagai kekangan. Bersedia untuk berdakwah, kumpulkan wang ringgit, berjimat cermat dan rancang dengan sebaik-baiknya.

Mencari iman dan takwa adalah tugas utama. Tanpa iman dan takwa, jihad tidak akan lahir. Justeru, penyelesaian kepada kemunduran umat Islam ialah melihat kembali misi kehidupan mereka di dunia ini.

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Adz-Zariyat:56)

Sunday, November 09, 2008

Obama, presiden untuk perubahan dan keamanan

Biarpun masa berkempen hampir tamat, Obama sangat yakin bahawa rakyat Amerika Syarikat telah bersedia untuk merentas garisan warna kulit.

Pada Selasa, 4 November lalu, mereka melepasinya.

Berjuta-juta pengundi berkulit hitam dan putih, Hispanic dan Asian telah meletakkan keyakinan dan masa depan negara di tangan lelaki berumur 47 tahun, Barack Obama.

Di sebuah negara yang mempunyai sejarah perkauman yang panjang, Obama muncul dengan latar belakang yang pelbagai: campuran dua bangsa, lepasan universiti ternama, minat bola keranjang, kerap memetik ungkapan Reinhold Niebuhr, seorang ahli politik yang menari liuk-lentok rentak Jay-Z dan gemar lirik Yo Yo Ma.

Obama juga menawarkan peribadi yang unik: presiden African-Amerika yang tidak ada agenda perkauman. Mesejnya adalah penyatuan dan menjanjikan cara baru berfikir. Penampilannya membuatkan pengundi kulit putih mempunyai pilihan terhadap John McCain walaupun sebahagiannya berasa pahit untuk menerima pilihan berkenaan. Dalam fikiran kelompok ini, mereka tidak kisah apa warna kulit tetapi jika keadaan semakin baik, calon itu akan dipilih.

Kemenangan Obama dalam pilihan raya November 2008 disifatkan kejayaan bersejarah. Kemenangan ini juga melenyapkan mitos kepimpinan Amerika hanya untuk bangsa kulit putih.

Obama bermula dengan percaya kepada dirinya sendiri. Yakin terhadap keupayaan dan kecenderungan rakyat Amerika terhadap politik rentas kaum, Obama meletakkan dirinya untuk bersedia menghadapi peralihan paradigma dan sikap baru pengundi. Beliau melihat pengenalan kaum dilenyapkan hari demi hari, tahun demi tahun, seperti rancangan Oprah Winfrey yang menghimpunkan penonton kulit putih dan hitam manakala di Wall Street, eksekutif kulit hitam menjadi pilihan. Watak hero kulit hitam filem Hollywood juga mula menjadi intaian pengarah.

Walaupun sejarah telah terpahat dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat, calon presiden kulit putih, McCain tewas kepada Obama merupakan satu kejutan bagi pemikir, ahli politik dan pejuang hak asasi manusia. Mereka masih tergamam dengan perubahan ini kerana rekod lampau menunjukkan bangsa kulit hitam sentiasa dianiaya: perhambaan selama 400 tahun sehinggalah pembunuhan seorang lelaki kulit hitam pada 1981. Ia meneruskan detik bersejarah yang dimulai oleh Abraham Lincoln yang menyempurnakan perisytiharan kemerdekaan pada 1862 dan pidato ‘I Have a Dream’ oleh Marthin Luther King Jr.

Perjuangan bangsa kulit hitam untuk mendapat tempat dalam politik yang didominasi kulit putih adalah sangat panjang.

Selepas mendapat hak untuk mengundi pada 1870, 23 orang wakil kulit hitam dipilih ke Kongres selama tiga dekad. Namun, selepas 1901, bangsa kulit putih mula menunjukkan taring kuasa mereka.

Kini, Amerika yang bersifat terbuka mulai berani membuat perubahan.

Sebaik sahaja Obama mengumumkan hasrat untuk menduduki Rumah Putih, pengundi kulit putih telah membantu pemilihan ahli Kongres, perwakilan, datuk bandar dan gabenor yang berkulit hitam. Kajian yang dilakukan oleh New York Times/CBS News menunjukkan 70 peratus responden kulit putih bersedia menerima presiden kulit hitam.

Walau bagaimanapun sebahagian ahli politik yang pesimis berpendapat Obama langsung tidak ada peluang untuk menang. Calon-calon presiden seperti Obama sebelum ini tidak pernah mendapat pencalonan yang cukup daripada kulit putih. Obama, ayahnya dari Kenya, ibunya dari Kansas, membesar di Hawaii dan Indonesia, secara relatifnya adalah calon paling sesuai sebagai presiden.

Mesej Obama adalah perubahan, dan bukannya watak lelaki kulit hitam. Mesejnya sangat jelas kerana ucapannya tidak banyak menyentuh soal kaum tetapi lebih kepada peperangan di Iraq, penjagaan kesihatan dan ekonomi.

Kemenangannya adalah mutlak dan muktamad kerana beliau dapat melihat apa yang salah tentang negaranya. Beliau menawarkan sebuah kerajaan yang akan melindungi warganegara Amerika, menyelesaikan masalah ekonomi, mempastikan udara yang disedut setiap hari adalah bersih, akses kepada penjagaan kesihatan dan mendidik kanak-kanak untuk bersaing di peringkat global.

Obama menunjukkan bahawa polisi ekonomi Republikan yang lemah, berjanji mengakhiri peperangan tanpa arah di Iraq dan berikrar mengekalkan kebebasan hak setiap rakyat serta mengembalikan imej Amerika Syarikat di peringkat global.

Dengan mesej yang memberi harapan, Obama menarik simpati jutaan pengundi untuk memilihnya sebagai presiden Amerika Syarikat ke-44.

Cabaran sedang menanti presiden baru ini kerana dia mewarisi pentadbiran yang bermasalah- dasar luar yang tidak mesra, ekonomi meleset dan kebajikan kesihatan untuk rakyat. Peperangan di Iraq menjadikan tugas pasukan Obama sangat sukar kerana mereka perlu mengelakkan konflik baru bagi membolehkan Pentagon memfokuskan punca sebenar peperangan terhadap keganasan.

Sambutan 240,000 orang ke atas ucapan kemenangannya di Grant Park, Chicago pada 5 November 2008 adalah pernyataan ke arah perubahan. Ucapan itu menenggelamkan sama sekali ego bangsa kulit putih yang masih was-was dengan keupayaan dan kebolehan seorang lelaki kulit hitam yang hebat.

Untuk menjadi ‘Mr Presiden’ di sebuah negara terunggul di dunia, Obama menggunakan sepenuhnya jaringan Internet. Laman web my.barackobama.com mencatat jumlah pengunjung yang tinggi. Pasukannya menggunakan apa sahaja jaringan sosial yang sedia ada dan dikunjungi golongan muda: Facebook, MySpace, YouTube, Flickr, Digg, Twitter, MiGente, MyBatanga, AsianAve dan DNC Partybuilder.

Kini, Barack Obama bersedia membawa perubahan kepada rakyat Amerika dan dunia hendak melihat bagaimana seorang lelaki kulit hitam yang penuh karisma mentadbir dan mengurus sebuah negara.

Saturday, November 08, 2008

Perubatan homeopati sebagai pilihan untuk rawatan keluarga (3)

Sejarah dan Falsafah Homeopati

Konsep dan undang-undang fundamental homeopati telah bermula sejak zaman Hippocrates iaitu pakar perubatan Greek yang hidup pada kurun kelima Sebelum Masihi. Beliau pernah menulis,

“By similar things a disease is produced and through the application of the like, it is cured.”

[Menerusi benda yang serupa sesuatu penyakit itu terjadi dan menerusi aplikasi yang serupa ianya disembuhkan]

Dalam bahasa Inggeris disebut “likes cure by likes” dan bahasa Latin ialah “similia similibus curentur”. Orang yang pertama mengasaskan konsep ini secara saintifik menjadi satu sistem perubatan ialah Dr. Samuel Hahnemann dan menamakannya sebagai “Homeopati”.

Homeopati atau dalam bahasa Inggerisnya “Homeopathy” berasal daripada dua perkataan iaitu Homoios yang bererti Serupa (Similar) dan Pathos yang bererti Penderitaan (Suffering).

Dalam hal ini, “yang serupa” merujuk kepada simptom. Maksud simptom ini ialah sekiranya seseorang itu mengalami simptom penyakit tertentu, maka dia patut dirawat berdasarkan simptom yang ditunjukkan.

Dr. Samuel Hahnemann memulakan kariernya sebagai pengamal perubatan dan telah menguasai dan mahir berbahasa Greek, Hebrew, Arab, Latin, Italy, Perancis, Syrani, Sepanyol, Jerman dan Inggeris. Hasil daripada ketekunannya bekerja, mengkaji dengan kemahiran yang ada, beliau bukan sahaja menjadi pengamal perubatan yang disegani malah seorang tokoh bahasa dan ahli kimia.

Bagaimanapun Dr. Samuel Hahnemann sering kecewa dengan tugasnya kerana banyak kelemahan pada sistem perubatan yang diamalkan ketika itu. Ubat-ubatan yang digunakan untuk menyembuhkan penyakit sering gagal dan mengecewakan serta tidak memuaskan hati malah menimbulkan keraguan di dalam dirinya. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk berhenti dari bekerja sebagai seorang doktor dan memilih jawatan sebagai penterjemah buku-buku sains ke dalam bahasa Jerman.

Semasa dalam proses penterjemahan sebuah buku iaitu Materia Medica Cullen yang bertajuk “A Treaties on Materia Medica” pada tahun 1790, beliau telah menjumpai satu kaedah “serupa dengan serupa menyembuhkan.” Dr. Samuel Hahnemann telah berdepan dengan sejenis ramuaniaitu Cinchona (Peruvian Bark). Cinchona tersebut pernah digunakan untuk merawat malaria di Amerika Selatan dan Eropah.

Didorong oleh perasaan ingin tahu yang amat sangat, Dr. Samuel Hahnemann telah mencuba beberapa dos Cinchona dengan tujuan hendak menguji kesan dan implikasinya. Setelah dicuba, beberapa simptom utama malaria menjelma seperti kaki dan hujung jari menjadi sejuk, rasa mengantuk tiba-tiba, nadi dan denyutan jantung menjadi cepat dan tubuh mula menggeletar. Kejadian ini berulang setiap kali dos Cinchona diambil. Ubat itu jugalah yang digunakan untuk menyembuhkan penyakit malaria pada dirinya.

Takjub dengan penemuan ini, akhirnya beliau mengasaskan “Undang-undang Serasi” yang menggariskan bahawa suatu ramuan ubat itu boleh menyembuhkan orang sakit disebabkan ia boleh menghasilkan simptom-simptom yang serupa apabila ia diberikan kepada orang yang sihat. Berdasarkan kejayaan ini, beliau telah menyelidiki beberapa penawar lain yang dicuba pada dirinya sendiri.

Prinsip Asas Homeopati

Homeopati adalah sains penyembuhan tulen kerana berdasarkan prinsip-prinsip hukum tetap. Terdapat lima hukum yang menjadi asas kepada perubatan homeopati ini iaitu:

1. Hukum Persamaan
2. Hukum Pembuktian
3. Hukum Penawar Tunggal
4. Hukum Dos Minimum
5. Hukum Arahan Sembuhan

1. Hukum Persamaan

Dikenali sebagai “similia similibus curentur” yang bermaksud sama atau serupa. Didefinisikan sebagai cara homeopati merawat dengan menggunakan bahan-bahan yang mampu melahirkan simptom yang serupa (hampir sama) apabila diberikan kepada seseorang yang sihat dengan simptom yang dipamerkan dalam diri pesakit.

Contohnya ialah penawar Ipecacuanha iaitu penawar yang mampu melahirkan simptom loya dan muntah apabila diberikan dalam dos tertentu kepada orang yang sihat. Berdasarkan uji bukti sebelum ini, adalah wajar dan rasional Ipecacuanha diberi bagi merawat kes-kes penyakit yang mengalami masalah loya dan muntah. Selepas begitu yakin tentang kebenaran Hukum Penyembuhan ini, melalui ujian yang begitu banyak ke atas individu sihat, barulah Hahnemann mengumumkan cogan “serupa dengan serupa menyembuhkan.”

2. Hukum Pembuktian

Setelah begitu yakin dengan sesuatu dadah yang boleh menyembuhkan simptom-simptom penyakit yang dihasilkannya apabila diberi kepada individu yang sihat, Hahnemann terfikir bahawa simptom-simptom yang boleh dihasilkan oleh berbagai-bagai dadah perlu diketahui simptom-simptom yang boleh mereka sembuhkan. Lalu beliau mengorak langkah untuk mengumpul dan mengatur simptom-simptom yang dihasilkan apabila diberikan kepada orang yang sihat.


Simptom-simptom itu direkod dalam perkataan biasa tanpa sebarang tekaan atau tanggapan. Butir-butir disusun dalam bentuk skema mengikut tajuk: Minda, Sensorium, Vertigo, Kepala, Mata, Telinga, Hidung, Muka, Mulut, Kerongkong, Gaster, Abdomen, Tinja, Rektum, Urin, Genitalia, Pernafasan, Dada, Jantung, Belakang, Anggota Hujung, Tidur, Kulit dan Demam. Semua panduan ini dimasukkan ke dalam buku panduan rawatan homeopati yang dikenali sebagai Materia Medica.

3. Hukum Penawar Tunggal

Hahnemann berpendapat bahawa penyembuhan bukan bergantung kepada banyaknya penawar yang diberikan tetapi adalah bergantung kepada ketepatan penawar itu sendiri dan mutunya yang tinggi. Oleh itu, penawar yang mempunyai persamaan yang paling hampir dengan simptom yang dimanifestasi oleh pesakit patut diberikan. Penawar yang lain daripada yang tersebut tidak akan dapat memberikan kesembuhan yang sebenar justeru ia tidak mempunyai unsur-unsur keserupaan dengan simptom dan tindak balas individu.

Dengan pemberian satu penawar, kita dengan mudah mengenal dan menilai tindakan penawar tersebut. Untuk memilih satu penawar yang benar-benar serasi bagi seseorang pesakit yang dirawat memerlukan penelitian dan pengkajian yang mendalam tentang latar belakang dan simptom pesakit di samping pengetahuan yang luas tentang Materia Medica.


4. Hukum Dos Minimum

Prinsip homeopati ketiga ialah dos minimum. Tujuan penggunaan dos minimum ini telah dijelaskan oleh Hahnemann dalam Organon 2 iaitu:

“Setinggi-tinggi hemah doktor itu ialah mengembalikan kesihatan … dengan cara yang paling tidak memudaratkan.”

Dalam kajiannya, Hahnemann mendapati apabila pesakit diberikan penawar yang tepat pada sukatan yang telah ditentukan, keadaan pesakit berkenaan didapati melarat. Oleh yang demikian beliau membuat kesimpulan bahawa penawar yang diberikan itu berlebihan. Untuk mengatasi kemelaratan dan pada masa yang sama pesakit dapat disembuhkan, beliau telah memperhaluskan (potentise) penawar itu atas dasar tertentu dengan tujuan mengurangkan sukatannya.

Tindakan dos minimum ini bersesuaian dengan “The Arndt-Schultz Law” yang menyebutkan bahawa dos kecil merangsang, dos sederhana melumpuhkan dan dos besar membunuh. Kerana itu, penggunaan dos minimum atau penawar yang telah dipotentaiskan pada satu tahap yang tertentu adalah selamat dan berkesan.

Bila saja satu dos minimum telah diberikan dan bertindak ke atas pesakit, ia memperkuatkan mekanisme pertahanan dan memperbaiki ketidakseimbangan vital force di dalam organisma sehingga menjurus ke arah kesembuhan. Kadangkala dalam pemberian penawar mungkin berlaku apa yang disebut sebagai kemelaratan (aggravation) iaitu keadaan simptom idapan yang melarat atau rasa bertambah sakit selepas diberikan penawar yang tepat dan serasi. Lantas,

“Sekiranya semasa rawatan, terutama berkenaan penyakit kronik, dos pertama menghasilkan kemelaratan … maka adalah tanda yang jelas bahawa dosnya terlalu besar.” (Organon: 282)

Apabila keadaan ini berlaku, dos yang lebih kecil hendaklah digunakan sebagai ganti. Lagi kecil atau sedikit dos yang digunakan, lagi baik kerana singkat masa kemelaratannya.

5. Hukum Arahan Sembuhan

Dalam rawatan homeopati, terdapat aturan tertentu ke arah kesembuhan yang berkait rapat dengan keadaan sihat. Undang-undang Arah Penyembuhan ini diketengahkan oleh Dr. Constantine Hering atau lebih dikenali sebagai Undang-undang Hering. Isi kandungannya menyatakan tingkat demi tingkat proses penyembuhan yang akan memberikan gambaran jelas kepada para perawat setakat mana kemelaratan atau proses perjalanan penawar yang telah diberikan.

i. Dari dalam ke luar

Iaitu ketika proses kesembuhan berlaku secara semula jadi, ia bermula daripada bahagian paling dalam organisma iaitu peringkat mental dan emosi serta organ penting kepada bahagian luaran seperti kulit dan sebagainya. Apabila simptom psikologi individu berkurang dan simptom fizikal bertambah, kita katakan proses kesembuhan sedang berlaku. Evolusi ke arah bertambah sihat yang sedemikian harus dibiarkan berlalu dengan sendiri dan tidak wajar ditekan melalui rawatan-rawatan lain seperti penggunaan ubat sapu.

ii. Dari atas ke bawah

Iaitu sakitnya akan menurun dari kepala ke bahu, dari lengan ke hujung-hujung jari atau bahagian-bahagian anggota bawah dan kemudian berakhir dengan kesembuhan.

iii. Dari penting kepada kurang penting

Undang-undang tabii cuba menghilangkan penyakit yang menyerang dengan menolak benda-benda kotor itu keluar dari organ penting seperti jantung atau buah pinggang kepada pundi-pundi kencing atau kulit, dari paru-paru ke saluran tenggorok atau dari hati ke perut.

iv. Dari arah penyakit datang

Kadangkala berlaku kesembuhan dalam proses rawatan di mana simptom muncul dan tenggelam mengikut arah yang berlawanan daripada arah mula timbulnya. Hal ini boleh terjadi sekiranya simptom lama tersebut pernah ditekan atau disembuhkan dengan tidak sempurna. Lantas arah kesembuhan akan mengikut proses semula jadinya di mana ia balik kepada asalnya (dari arah mana ia datang).

Sebagai contoh, penyakit campak bermula dengan batuk dan keluar bintit-bintit di kulit pesakit, proses kesembuhannya terbalik atau undur iaitu bintit-bintit di badan akan hilang dahulu kemudiannya akan disusuli dengan batuknya pula.

Friday, November 07, 2008

Kenapa tidak dapat apa yang diidam-idamkan?

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah:216)

Hidup yang kita lalui pada hari ini ada mula dan akhir. Mulanya dengan kelahiran yang disambut gembira, berakhir dengan kematian yang mendukacitakan. Silih berganti gembira dan duka adalah lumrah kejadian insan.

Sepanjang usia 50 hingga 70 tahun, kita melalui berbagai-bagai keadaan- susah, senang, bahagia atau derita. Sebuah keluarga yang besar pasti akan menghadapi kesusahan namun apabila anak-anak bertambah besar dan berjaya, masa-masa sukar dahulu kini bertukar kepada masa senang dan bahagia. Perubahan itu hanya 10 atau 15 tahun.

Apabila kita terdedah kepada pekerjaan, macam-macam kemahuan mula hinggap di fikiran kita. Lihat orang lain ada kereta mewah, kita juga ingin memiliki kereta tersebut. Lihat orang ada rumah besar, setiap bulan pergi melancong dan hidup dengan gembira, kita juga ingin menjadi seperti mereka.

Apakah begitu mudah Allah swt akan memberi apa yang kita mahukan?

Hidup ini ada tujuannya. Kita tidak dapat hidup dengan senang-lenang seperti orang lain kerana ada sebabnya. Kadangkala kita berdoa setiap kali selepas solat bagi memohon sesuatu hajat yang ingin dicapai. Ingin dapat kerja yang bagus, ingin masuk universiti, ingin dapat kontrak juta-juta, ingin jadi ahli politik terkenal dan macam-macam. Namun semuanya tidak dicapai.

Yang tinggal hanya rasa hampa dan bosan dengan janji-janji Allah swt. Mohon kerja yang baik masih belum nampak hasilnya. Akhirnya kita duduk termenung memikirkan untung nasib badan.

Allah swt masih membiarkan kita gelisah dengan kehidupan dunia.

Apabila sifat sabar dan redha ketentuan Allah swt semakin pudar, mulalah kita mempersoalkan kenapa nasib hidup sangat teruk. Minta itu dan ini tidak dapat. Akhirnya menyalahkan Allah swt di atas semua nasib malang yang kita lalui.

Sifat menyalahkan orang lain jika ditimpa bahaya dan memuji diri jika berjaya ialah sifat hodoh. Sifat ini tidak membantu membina hati yang bersih kerana bersikap buruk sangka terhadap Allah swt. Seperti ayat di atas, barangkali kita sangat benci kepada seseorang tetapi hakikatnya ia sangat baik untuk masa depan.

Begitu juga, ada masanya kita sangat sayang kepada seseorang sedangkan dia membawa mudarat dan kehancuran hidup. Masa bersama kita rasa bahagia sedangkan rasa bahagia itu akan memusnahkan kehidupan sepanjang hayat.

Justeru hidup mesti ada sandaran. Tidak perlu terlalu risau dengan kesusahan dan terlalu bangga dengan kemahsyuran kerana setiap satunya ada hikmah. Redha dengan apa yang kita dapat dan menerimanya dengan senang hati adalah penyelesaian kepada masalah hidup.

Jangan bersedih jika tiada wang kerana orang lain bertimbun-timbun dengan hutang, jangan bersedih jika berbuat salah sebaliknya betulkan kesilapan dan bertaubatlah kerana sedih dan risau tidak akan mengubah hidup.

Thursday, November 06, 2008

Membaca bersama kanak-kanak

Minat membaca bermula dengan tabiat membaca di dalam rumah. Jika setiap hari kanak-kanak melihat ibu bapa mereka membaca buku, majalah atau surat khabar, minat membaca akan mula tertanam di dalam diri mereka tanpa dipaksa-paksa.

Sebagai ibu bapa atau penjaga, kita boleh mengajar kanak-kanak membaca surat khabar setiap hari. Caranya ialah kita meletakkan buku atau sebarang bahan bacaan yang mudah di dalam kereta, bilik air, ruang tamu atau dapur. Kebiasaan melihat bahan bacaan akan membuatkan hati mereka mudah dan tertarik kepada buku apabila meniti usia. Bacakan mereka cerita-cerita yang menarik ketika hendak tidur, di atas sofa, ketika menunggu di pusat membeli-belah atau menunggu LRT.

Galakan membaca juga boleh dikembangkan dengan menghadiahkan mereka buku yang dibalut dengan cantik dan kemas ketika sambutan hari jadi mereka. Melalui cara ini, kanak-kanak belajar menghargai hari-hari istimewa dengan menghadiahkan buku, sifat yang boleh dikembangkan kepada rakan-rakannya yang lain.

Bagi menimbulkan suasana seronok membaca, hadkan masa menonton televisyen atau bermain permainan video supaya masa untuk membaca digandakan. Apabila kita merasakan minat membaca semakin menipis, elak dari menjadikan masa membaca sebagai hukuman kerana langkah tersebut akan memudarkan minat semula jadi membaca.

Kadangkala kita agak sukar untuk membiasakan diri dengan keseronokan membaca, tetapi nikmat membaca boleh dilatih bersama kanak-kanak. Berikut adalah perkara yang boleh dilakukan sebelum, semasa dan selepas membaca supaya budaya membaca dapat dibina sejak awal usia lagi.

Sebelum membaca

-Bacakan tajuk hadapan supaya kanak-kanak mendapat idea berkenaan isi kandungan buku.
-Tanyakan kanak-kanak apa yang mereka fikirkan tentang buku berkenaan, ia boleh jadi tentang gambar, warna atau tekstur kulit buku.
-Cuba uji ingatan kanak-kanak sama ada mereka pernah membaca buku yang hampir sama sebelum ini.
-Buka helaian demi helaian kandungan buku dan fokuskan pada gambar, berbual-bual tentang gambar yang ada dan selami perasaan mereka terhadap gambar yang dipaparkan.
-Lihat isi kandungan satu per satu dan tanyakan bab yang mana satu kanak-kanak suka.

Melatih kanak-kanak melihat buku dengan betul perlukan siri amalan yang berterusan. Berbual-bual sambil membelek halaman buku dapat menjana minat yang mendalam terhadap budaya membaca di hati kanak-kanak di samping mereka belajar untuk tertib dengan buku.

Semasa membaca

-Tanyakan soalan yang mudah, ringkas dan dapat dijawab. Soalan yang mudah akan merangsang minat untuk meneroka. Antara soalan yang boleh ditanya ialah ‘Apakah yang kamu fikirkan akan berlaku selepas ini?’ atau ‘Apakah maksud perkataan ini?’
-Kita juga wajar mengambil bahagian untuk membina dan mengekalkan keseronokan membaca dengan memberi ulasan yang membangkitkan keghairahan minat kanak-kanak seperti ‘Wow! Hebatnya budak lelaki ini?’ atau ‘Mama suka warna terang ini.’
-Mimik muka dan emosi juga berperanan menggalakkan kanak-kanak melekat pada buku. Antaranya ialah ketawa yang bersungguh-sungguh jika ceritanya kelakar ataupun menangis jika latar ceritanya sedih. Emosi ini boleh dikongsi bersama dan ditunjukkan dengan suara kita.
-Ajak kanak-kanak menyentuh buku, tanyakan soalan, mengalihkan muka surat atau memberi ulasan mereka.

Selepas membaca

-Nyatakan perasaan kita terhadap isi cerita seperti ‘Buku ini kelakarlah’ atau ‘Mama suka buku ini.’
-Di samping itu, kita boleh timbulkan soalan-soalan yang tertutup untuk melihat sejauh mana kefahaman mereka terhadap buku berkenaan. Antara soalan berkenaan ialah ‘Adakah kamu suka cerita dalam buku ini,’ ‘Mana satu gambar yang kamu suka,’ ‘Nak baca buku yang ditulis oleh penulis ini,’ ataupun ‘Ada tak buku yang serupa dengan buku ini?’
-Selami minat kanak-kanak dengan membiarkan mereka menyatakan perasaan sendiri.
-Program pengukuhan terhadap cerita-cerita yang dibaca boleh dilakukan secara berterusan ketika hendak tidur, menceritakan kembali ketika menunggu sesuatu majlis bermula dan ketika bersama rakan-rakannya.

Apabila ibu bapa membantu kanak-kanak membaca, mereka telah membuka pintu kepada dunia yang sangat luas. Ia membina rantaian yang tidak akan putus: membaca kepada mereka, bercerita, mengajak membaca, praktis membaca dan akhirnya kanak-kanak akan berusaha sendiri untuk mendapatkan maklumat. Sebaik sahaja kanak-kanak menjadi pembaca, dunia mereka bertambah luas dan besar.

Wednesday, November 05, 2008

Ingin melihat orang lain lebih cantik

Idea ini sangat mudah tetapi unik - mahu melihat diri sendiri cantik dan berkongsi rahsia kecantikan dengan orang lain. Bisnes ini hanya dapat dilakukan oleh mereka yang pentingkan kebersihan, personaliti menarik dan yang penting, mahu menolong orang lain kelihatan cantik.

Kebanyakan bisnes kecantikan bermula dari rumah. Tak perlulah anda melihat syarikat yang besar seperti Clara International, cukup melihat syarikat kecil tetapi ada daya saing. Bermula dengan kecil-kecilan di rumah. Maknanya, pelanggan hanyalah kawan-kawan dan jiran.

Bisnes tidak akan berkembang jika duduk diam. Akhirnya syarikat kecil ini mampu meletakkan jenama sendiri di kalangan pengguna.

Menjaga kecantikan bukan sekadar pakaian yang cantik malah menjangkau setiap inci anggota badan. Ambil contoh kulit. Ada orang yang hendakkan produk untuk mencerahkan kulit mereka secara semula jadi, bukannya menggunakan bahan kimia. Jadi ada ramuan tradisi yang dapat digunakan. Ramuan-ramuan ini bertindak mengekalkan kelembapan kulit dan aktioksida yang menghalang radikal bebas selain daripada ekstrak yang memberi kesegaran kepada kulit.

Daripada ada syarikat kecil, anda boleh kembangkan dengan orang-orang muda. Caranya ialah membuka pusat latihan. Dapatkan pelatih, sediakan kemudahan pembiayaan dan anda mula mencipta keajaiban menjana pendapatan melalui kursus dan latihan. Anda boleh menjalin kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Sirim Berhad, Institut Keusahawanan Negara (Isken) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).

Bisnes kecantikan tidak akan malap kerana kesedaran orang ramai terhadap penjagaan diri semakin bertambah. Mereka juga ingin merasai bagaimana kelihatan cantik, menarik dan menawan.

Tuesday, November 04, 2008

Ajar mereka membaca, menulis dan ubah kehidupan mereka

UNICEF Malaysia menandakan Hari Literasi Antarabangsa pada tahun ini dengan bertemakan ‘Literasi merupakan penyelesaian terbaik’ dengan fokus diberikan untuk memperbaiki pendidikan dari segi akses, kesaksamaan dan kualiti terutama sekali di kalangan kanak-kanak yang lemah dan terdedah di Malaysia.

“Seorang kanak-kanak yang boleh membaca dan menulis adalah seorang yang boleh diajar. Kanak-kanak yang boleh diajar boleh diperkasa untuk menuntut hak mereka, mengubah hidup, memperbaiki masyarakat dan mempengaruhi takdir kehidupan mereka,” kata Wakil UNICEF di Malaysia, En Youssouf Oomar.

En Youssouf juga memberi penekanan bahawa pendidikan bukanlah suatu keistimewaan tetapi merupakan hak bagi semua kanak-kanak di Malaysia seperti yang telah termaktub di dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) dan komitmen pihak kerajaan di dalam mencapai Matlamat Pembangunan Milenium (MDG), begitu juga dengan matlamat-matlamat dari Rangka Kerja Dakar untuk Tindakan.

“Memenuhi hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan membawa kepada realisasi terhadap lain-lain hak untuk mereka – iaitu hak untuk menjadi sihat dan bebas dari jangkitan HIV, hak untuk dilindungi dari dadah dan keganasan dan hak untuk mendapatkan yang terbaik untuk diri mereka,” tambah beliau.


Sekiranya kanak-kanak generasi masa hadapan berpendidikan dan mempunyai tahap literasi yang tinggi, ini membantu memperluaskan asas ekonomi sesebuah masyarakat tersebut di mana ianya juga akan mengukuhkan keupayaan ekonomi Malaysia.

Isu pendidikan di Malaysia

Jauh di bahagian pedalaman Sarawak, seorang kanak-kanak telah bangun dari tidur pada jam 5 pagi dan mula berjalan kaki melalui perkampungannya sebelum menyeberangi sebuah jambatan yang kelihatan agak lusuh dan kemudian menaiki sebuah bot yang akan membawanya ke sekolah. Manakala di sebuah bandar yang terletak beberapa ratus kilometer jauhnya, seorang lagi kanak-kanak sedang dalam perjalanan ke sekolah yang mengambil masa 10 minit dengan menaiki kereta, memegang erat beg sekolahnya yang dipenuhi dengan buku-buku teks, alat-alat tulis dan bekal makanan.

Walaupun terdapat perbezaan yang ketara, kedua-dua orang kanak-kanak ini menetap di dalam negara yang sama dan mempunyai hak yang sama untuk memeperolehi pendidikan yang berkualiti yang mengajar mereka untuk membaca, menulis, mengira dan kemahiran hidup.

Sekurang-kurangnya sembilan daripada 10 orang dewasa di Malaysia pada hari ini boleh membaca dan menulis – iaitu bilangan yang telah meningkat sebanyak 33% dalam masa 30 tahun yang lepas, disebabkan oleh polisi-polisi pendidikan yang memastikan pendidikan sekolah rendah yang wajib dan peningkatan pendaftaran di peringkat sekolah menengah.

Perangkaan pada tahun 2005 juga menunjukkan bahawa lebih dari 96% kanak-kanak di Malaysia telah berdaftar di sekolah rendah dengan hampir 98% daripada mereka yang berdaftar pada tahun 2000 telah berjaya menamatkan pelajaran di Darjah Enam.

Namun begitu pihak kerajaan juga mengenal pasti jurang-jurang yang terdapat dari segi akses, kesaksamaan dan kualiti pendidikan, terutama sekali di kalangan kumpulan kanak-kanak yang lemah dan terdedah termasuklah kanak-kanak yang menetap di kawasan luar bandar dan pedalaman dan anak-anak Orang Asli.

Apa yang perlu diberi perhatian adalah kadar pendaftaran kanak-kanak di sekolah rendah dan pencapaian dari segi akademik adalah rendah di kawasan-kawasan pedalaman termasuklah di negeri Sabah dan Sarawak. Untuk memperbaiki penulisan, pembacaan dan pengiraan (3R) di kalangan pelajar masih terdapat lain-lain cabaran yang wujud begitu juga untuk menggalakkan pendekatan secara holistik terhadap pendidikan yang memberi penekanan terhadap kemahiran-kemahiran hidup.

“UNICEF Malaysia amat berkomited dalam menyokong dan mempertingkatkan polisi kebangsaan untuk memastikan bahawa negara ini meraih tahap piawai yang telah ditetapkan di dalam pelan kebangsaan untuk Visi 2020,” En Youssouf mengesahkan.

Tindakan UNICEF berdasarkan program

Program-program UNICEF Malaysia adalah selari dengan rangka kerja dan strategi di dalam Rancangan Malaysia ke Sembilan, begitu juga dengan tanggungjawab Malaysia terhadap masyarakat antarabangsa, seperti yang tertakluk di dalam CRC dan MDG.

“Untuk memastikan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak terhadap pendidikan, kami berusaha untuk mengurangkan ketidaksamaan dan mengurangkan jurang perbezaan di antara kumpulan kanak-kanak yang menetap di luar bandar/pedalaman,” kata En Youssouf.

UNICEF Malaysia telah melaksanakan program pendidikan pemulihan perintis dengan Kementerian Pendidikan untuk menggabungkan kisah-kisah lagenda dan cerita rakyat masyarakat Orang Asli di dalam alat-alat bantuan mengajar untuk memperbaiki pembacaan dan penulisan di kalangan anak-anak Orang Asli. Sebagai tambahan, UNICEF juga memberikan sokongan teknikal dan kewangan kepada Kementerian Pendidikan untuk menilai impak dan keberkesanan Program Pembacaan Tambahan iaitu program di lapangan yang telah dimulakan pada tahun 2006 untuk memberikan bahan-bahan pendidikan tambahan kepada para pelajar di sekolah-sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak.

UNICEF Malaysia juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kesihatan untuk meningkatkan program Pendidikan Berdasarkan Kemahiran Hidup (LSBE) di mana ianya memberikan para guru keupayaan untuk mengajar kanak-kanak dan golongan muda tentang pencegahan HIV dan ianya mensasarkan 100 buah sekolah di seluruh kawasan Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak.

“Kita melihat pendidikan berdasarkan kemahiran hidup sebagai satu pendekatan yang penting untuk memperolehi nilai-nilai positif dan menggalakkan perubahan kelakuan di kalangan golongan muda terutama sekali di dalam konteks pencegahan HIV,” kata En Youssouf.

Akhir sekali, UNICEF juga memberi sokongan kepada Kementerian Kesihatan dan MERCY Malaysia untuk meningkatkan lagi program-program persediaan kecemasan yang mensasarkan kanak-kanak dan para guru di kawasan yang terdedah kepada bencana alam. Antara strateginya termasuklah menerbitkan buku-buku panduan persediaan bencana alam, buku manual para guru dan melatih kaunselor-kaunselor sekolah di dalam pengurusan bantuan bencana alam.

“Menjadikan program persediaan kecemasan dan bencana alam sebagai sebuah institusi di dalam sistem pendidikan boleh memastikan bahawa kanak-kanak dan para guru mengetahui bagaimana untuk bertindakbalas apabila berlaku bencana alam dan membolehkan mereka untuk menyambung pembelajaran mereka walaupun ketika melalui peringkat pemulihan dan bantuan,” terang En Youssouf.

Bagi UNICEF, pendidikan untuk semua membawa maksud yang lebih daripada membina sekolah dan menghantar kanak-kanak ke sana.

“Kita juga perlu memastikan bahawa setiap kanak-kanak dapat menghadiri sekolah yang mesra kanak-kanak di mana mereka boleh membaca dan menulis dengan betul, mendapat inspirasi untuk belajar dan menghargai pendapat dan pandangan mereka agar mereka dapat membina asas rohani, emosi dan fizikal yang kuat dalam kehidupan,” kata beliau.

[UNICEF Malaysia]

Monday, November 03, 2008

Why leaders can’t lead

Penulis: Warren Bennis
Tahun: 1989
Penerbit: Jossey-Bass Publishers, San Francisco, USA
Muka surat: 169

Warren Bennis, penulis yang menjadi perunding kepada beberapa buah syarikat korporat terkenal seperti Rockwell International, Southern California Gas Company dan Chase Manhattan Bank telah menulis lebih daripada 15 buah buku dan 500 artikel berkaitan kepimpinan, pengurusan dan organisasi.

Beliau dianggap antara polopor dalam bidang organisasi dinamik yang memberi perhatian kepada keberkesanan kepimpinan dan kecemerlangan organisasi.

‘Why leaders can’t lead’ adalah analisis masalah-masalah yang dihadapi oleh sesiapa sahaja yang cuba mengelapai sesebuah pertubuhan atau syarikat korporat dan tindak balasnya terhadap perubahan. Buku ini menawarkan pengalaman seharian seorang pemimpin dan penyelesaian strategik, bukan sekadar bagaimana berhadapan dengan kegawatan ekonomi dan ancaman yang menggugat perancangan terbaik, tetapi juga bagaimana mempastikan rutin sedia ada dapat menyerap masa dan tenaga untuk merealisasikan impian.

Buku ini tidaklah terlalu optimis tetapi persediaan untuk menghadapi perubahan mesti dilakukan kerana setiap perubahan bermula dengan perkara yang mudah, kecil dan dianggap remeh.

Bennis merancang buku ini untuk setiap orang yang berada pada kedudukan sebagai pemimpin atau sedang bercita-cita ke arah itu. Ia amat berguna untuk ketua jabatan, profesor dalam bidang pengajian bisnes, sains politik dan pentadbiran awam, dekan, pentadbir dan naib canselor.

Idea dan huraian dapat membantu pembaca untuk memahami masalah-masalah utama kepimpinan dalam dunia yang semakin kompleks. Pada masa yang sama memberikan penyelesaian praktikal bagaimana berurusan dengan isu-isu yang sukar dan mencabar.

Sebagai contoh, kisah Charles Johnson dalam bab pertama masih lagi relevan dalam situasi di mana persaingan mengurus institusi pengajian tinggi menjadi satu tekanan dan bebanan yang melampau.

Bahagian kedua dan ketiga adalah penulisan semula Bennis tentang kepimpinan. Bahagian keempat adalah kombinasi pemikiran lama dan baru sebagai analisis penyelesaian masalah.

Buku ini menghuraikan konsep kepimpinan dalam bentuk yang berbeza iaitu tidak dalam bentuk terlalu akademik tetapi lebih kepada bacaan popular. Ia boleh menjadi panduan kepada sesiapa sahaja yang bercita-cita menjadi pemimpin.

Saturday, November 01, 2008

Perubatan homeopati sebagai pilihan untuk rawatan keluarga (2)

Kajian-kajian mengenai perubatan alternatif dan komplimentari di Malaysia tidak banyak dilakukan walaupun telah lama bertapak di negara ini. Perubatan homeopati khususnya telah mula dipraktikkan lebih 70 tahun yang lalu di Malaysia adalah salah satu daripada sistem perubatan yang berpengaruh di dalam masyarakat. Sambutan sebahagian masyarakat terhadap perubatan homeopati ini sangat menggalakkan ketika ini dan banyak pusat rawatan yang memberi perkhidmatan perubatan telah didaftarkan di seluruh negara.

Perubatan alternatif dan komplimentari yang lain seperti akupuntur, acupressure, The Alexander Technique, aromaterapi, kiropraktik, perubatan herba, refleksiologi, terapi getaran warna dan urutan terapeutik tidak banyak dibuat khususnya di Malaysia menyebabkan kesukaran untuk membuat rujukan. Pelbagai faktor yang dikenal pasti kenapa perkara ini terjadi seperti persatuan perubatan yang tidak ada program tersusun, tenaga pengajar yang kurang berkelayakan dan masalah pengiktirafan daripada pihak kerajaan.

Di samping itu, munculnya perubatan alternatif dan komplimentari yang baru bercampur aduk di antara sains dan pseudosains. Antaranya ialah astrologi, Segitiga Bermuda, hantu, aura, tilik, ajaran sesat (contohnya Ayah Pin) dan kepercayaan terhadap nenek moyang. Amalan-amalan ini telah memberi kesan negatif terhadap pola pemikiran masyarakat yang tidak ada pendedahan saintifik terhadap sesuatu kejadian menyebabkan berlakunya penganiayaan ke atas pesakit seperti kejadian cabul, rogol dan penipuan wang tinggit (Baharuddin Omar, 2006).

Akibat salah faham ini, sistem perubatan yang telah lama dikenali seperti akupuntur, homeopati dan refleksiologi turut mendapat gambaran yang salah dan imej yang negatif di kalangan masyarakat umum.

Namun begitu, beberapa perkembangan terbaru sejak akhir-akhir ini telah membantu memberi gambaran jelas terhadap perubatan alternatif dan komplimentari. Langkah Kementerian Kesihatan Malaysia hendak memperkenalkan perubatan alternatif dan komplimentari di hospital kerajaan telah disambut baik oleh pelbagai pihak.

Walaupun perubatan ini telah menapak satu langkah ke hadapan, kajian-kajian bagi meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (research and development) masih lagi ketinggalan. Oleh kerana permintaan terhadap rawatan perubatan alternatif dan komplimentari ini semakin meningkat, bantuan dari segi geran, biasiswa, kemudahan dan galakan psikologi wajar disegerakan supaya gambaran negatif mengenai taraf perubatan ini dapat dihapuskan.

Ia adalah satu paradoks yang mengatakan bahawa masyarakat umum di sesetengah negara sedang beralih kepada perubatan alternatif atau komplimentari ketika perubatan moden atau alopati telah berjaya membawa dimensi baru dalam kaedah perubatan. Kajian Eisenberg, D.M. et. al (1993) (dalam David J. Phillipson, 1993) menunjukkan perubatan alternatif dan komplimentari telah mendapat sambutan di Amerika Syarikat. Laporan kajian beliau berkenaan perubatan herba ini telah menemubual 1539 responden yang dikaji pada tahun 1990, 34 peratus menyatakan mereka pernah mendapatkan perkhidmatan perubatan alternatif dan komplimentari. Jika dikira keseluruhan populasi Amerika Syarikat, dianggarkan sebanyak 61 juta rakyat Amerika Syarikat telah mendapatkan perkhidmatan berkenaan sepanjang tahun 1990.

Kebanyakan pesakit telah mengunjungi pengamal kiropraktik (70 peratus), homeopati (32 peratus) dan herba (10 peratus). Sebahagian besar responden yang dikaji menyatakan bahawa mereka telah menderita penyakit-penyakit kronik seperti barah, arthritis, sakit belakang, AIDS, gangguan penghadaman, risau, tekanan dan obesiti.

Hasil kajian yang serupa turut diterbitkan di United Kingdom. Daripada 508 responden yang dikaji, 1 daripada 5 orang menyatakan mereka pernah mendapatkan rawatan alternatif dan 66 peratus membuat kenyataan bahawa mereka telah mendapat faedah yang sangat memuaskan daripada rawatan yang diterima. Majoriti (91 peratus) berpendapat pihak berkuasa wajar mengkaji dengan terperinci kelebihan perubatan alternatif dan komplimentari serta membuat kajian mengenai perkara ini. Tujuh daripada sepuluh responden menyokong agar perubatan berkenaan dijadikan sebagai salah satu daripada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan United Kingdom (UK National Health Service).

Keperluan terhadap rawatan alternatif ini sangat tinggi sehingga menarik perhatian dan minat pasaran antarabangsa khususnya di Eropah. Hasil jualan produk herba di Jerman pada tahun 1990 dianggarkan berjumlah £1,140 juta iaitu jumlah terbanyak di kalangan negara-negara Eropah. Permintaan yang tinggi ini disebabkan beberapa faktor yang berpengaruh seperti kesan sampingan penggunaan ubat-ubatan alopati, kesedaran pengguna terhadap bahan-bahan sumber semula jadi, produk yang berkualiti dan selamat, kesedaran terhadap kemujaraban ubat dan kesedaran orang ramai terhadap penganiayaan binatang.

Sesetengah negara di Barat menggalakkan orang ramai lebih bertanggungjawab ke atas kesihatan diri masing-masing melalui kempen dan penerangan yang diberikan. Secara tidak langsung, orang ramai telah mula sedar mengenai kepentingan kesihatan dan cara ini telah meningkatkan permintaan ke atas ubat-ubatan daripada herba. Produk herba yang dahulunya dijual di kedai-kedai kesihatan kini diambil alih oleh farmasi yang menyaksikan peningkatan mendadak ke atas jualan iaitu daripada £430 juta pada tahun 1987 ke £608 juta pada tahun 1992.

Aliran di seluruh dunia menunjukkan minat terhadap penggunaan tumbuhan sebagai salah satu sumber perubatan dalam perkhidmatan kesihatan masyarakat. Dalam masa 10 hingga 20 tahun yang lepas, permintaan terhadap produk herba di kalangan negara-negara membangun meningkat setiap tahun. Dengan harga yang murah dan kurang kesan sampingan, penggunaaan produk herba sangat digalakkan oleh kerajaan sesetengah negara seperti Perancis bagi menjimatkan peruntukan kewangan kesihatan masyarakat.