Wednesday, September 12, 2007

Analisis sosial dalam Bajet 2008

Bajet 2008 yang bertemakan Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran, adalah 10.9 peratus lebih tinggi daripada Bajet 2007 iaitu dengan peruntukan sebanyak RM176.9 bilion. Daripada jumlah ini, sebanyak RM128.8 bilion bagi belanja mengurus dan RM48.1 bilion untuk pembangunan.

Ulasan dan maklum balas sebahagian besar masyarakat amat menggalakkan. Dari menteri hinggalah ke peniaga dan suri rumah, mereka menyambut baik beberapa aspek yang diberi penekanan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi. Menteri Kerja Raya yang juga Presiden MIC, YB Datuk Seri S.Samy Vellu berkata, "Bajet yang menggembirakan," manakala YB Datuk Seri Ong Ka Ting, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Presiden MCA menyifatkannya sebagai "memfokus kepada golongan berpendapatan rendah."

Golongan yang paling gembira dengan Bajet 2008 ialah ibu bapa yang melihat insentif dalam sektor pendidikan dapat mengurangkan beban kewangan yang dihadapi setiap kali musim persekolahan tiba.

Analisis dari Bajet 2005 hingga 2008 menunjukkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi perhatian yang sangat istimewa kepada sektor sosial. Pada 2005, sebanyak RM7.6 bilion diperuntukkan kepada sektor ini, meningkat kepada RM9.9 bilion pada 2006 seterusnya naik secara mendadak pada Bajet 2007 iaitu RM14.2 bilion. Bagi Bajet 2008, sektor sosial mendapat RM15.6 bilion. Peningkatan berterusan bagi sektor berkenaan memperlihatkan kesungguhan Perdana Menteri menjadikan isu-isu sosial sentiasa diberi perhatian dan diambil kira bagi pertumbuhan ekonomi negara. Dalam pada itu, jumlah yang semakin meningkat memberi mesej bahawa beliau seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan berkhidmat untuk rakyat bagi pembangunan sosial negara.

Sektor sosial sangat luas dan merangkumi pendidikan dan latihan, perumahan dan kesihatan. Perhatian yang diberikan dalam Bajet 2008 mengaitkan secara langsung golongan miskin dan berpendapatan rendah, warga tua, wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya.

Dalam pendidikan umpamanya, insentif bagi membentuk masyarakat yang berilmu menjadi tumpuan. Buku teks percuma kepada semua pelajar, pemansuhan yuran sekolah dan yuran peperiksaan, pertambahan elaun sara hidup dan elaun guru ganti berijazah adalah pembakar semangat kepada masyarakat pelajar, ibu bapa dan guru. Kesan satu-satu insentif ini akan dirasai serta-merta oleh mereka dan hasrat melahirkan modal insan yang berkualiti dapat dipercepatkan.

Kementerian Pelajaran adalah peneraju bagi memperkasa sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Program penambahan sekolah kluster (kelompok), tadika dan penambahbaikan peralatan sekolah adalah bagi menjayakan pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan sehingga 2010. Peruntukan RM500,00 kepada setiap sekolah kluster dapat meningkatkan prestasi pelajar dalam akademik, kegiatan kokurikulum, latihan dan penggunaan alat bantu belajar. Penubuhan 60 buah sekolah kluster pada 2008 dapat menjadi perintis besar-besaran bagi menjana kualiti modal insan negara kelak.

Malaysia dengan jumlah penduduk 26.6 juta orang sedang berkembang dari segi keupayaan dan potensi setiap rakyatnya. Kadar celik huruf yang tinggi iaitu 93.5 peratus akan semakin baik jika usaha memperkasakan pendidikan luar bandar dapat dijayakan sepenuhnya. Peluasan program pendidikan prasekolah jelas dipertingkatkan kali ini dengan pertambahan 7,600 buah tadika yang dapat menempatkan 300,000 kanak-kanak di seluruh negara. Bagaimanapun dengan jawatan kontrak yang masih disandang oleh kakitangan Kebajikan Masyarakat (KEMAS), biar pun pertambahan elaun diberi, ianya tidak dapat memaksa mereka untuk memberi perhatian kepada kebajikan hidup masa depan melainkan kerajaan mengiktiraf peranan mereka dengan cara menyerapkan ke dalam jawatan tetap. Ini memandangkan bilangan tadika dan pendidikan prasekolah bertambah penting dalam jangka masa 10 tahun dari sekarang. Jika kerajaan serius ingin membina modal insan sejak dari umur awal lagi, perkara seperti ini wajar diberi perhatian.

Di institusi pengajian tinggi, bayaran royalti kepada penyelidik yang dinaikkan kepada 80 peratus dapat memacu kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara yang masih jauh ketinggalan. Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan adalah negara yang memperuntukkan bajet yang besar dalam R&D kerana mereka amat menghargai peranan penyelidik. Pada masa yang sama, Malaysia adalah salah sebuah negara yang mempunyai dasar yang lengkap ke atas harta intelek di Asia. Malaysia yang menjadi ahli bagi Paris Convention and Patents dan sejak 1990 telah menjadi ahli kepada Berne Convention on Copyrights.

Dari semasa ke semasa, Malaysia telah meningkatkan rantaian nilai khususnya dalam R&D yang memperlihatkan peningkatan yang signifikan. Pada 2002, perbelanjaan untuk R&D ialah 0.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar berbanding Jepun (3.1%), Amerika Syarikat (2.7%) dan Korea Selatan (2.5%). Data terkini menunjukkan perbelanjaan R&D Malaysia adalah 1 peratus berbanding Amerika Syarikat (2.76%) dan Korea Selatan (3.1%). Bagaimanapun bilangan penyelidik per 10,000 tenaga kerja ialah 18 berbanding Denmark (120), Jepun (113) dan Australia (99).

Peningkatan royalti dalam bajet kali ini diharap dapat memberi nafas baru kepada aktiviti-aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan supaya lebih ramai saintis negara berminat dengan penyelidikan dan pembangunan. Penemuan-penemuan baru juga harus dikumpul supaya bayaran royalti tidak berhenti setakat membuat penyelidikan tetapi dipanjangkan lagi melalui royalti yang diperolehi melalui penerbitan buku, jurnal dan bahan bercetak yang lain. Keadaan ini, jika dapat diperkenalkan pasti merancakkan industri buku ilmiah di Malaysia.

Malaysia, sebuah negara yang mempertahankan rekod dalam pelaksanaan keselamatan awam diakui sebagai salah sebuah negara yang selamat di dunia untuk didiami dan bekerja. Rakyat Malaysia sebahagian besarnya dapat mencapai perkhidmatan dan kemudahan berbanding negara-negara membangun yang lain. Justeru ketika aman dan makmur ini, pelajar di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara diberi kenaikan elaun dari 23 hingga 84 peratus. Selepas ini diharap tidak ada lagi rungutan daripada pelajar bahawa mereka tidak dapat belajar kerana elaun sara hidup yang rendah. Setiap tahun kerajaan Malaysia menghantar 50,000 pelajar ke luar negara (seperti Amerika Syarikat, Australia dan Britain sera Eropah) yang melibatkan kos sebanyak RM2.5 bilion setahun.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendapat RM782 juta bagi melaksanakan program-program pembangunan kepada kumpulan sasar. Keempat-empat agensi di bawah kementerian berkenaan iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Jabatan Pembangunan Wanita dan Institut Sosial Malaysia bertanggungjawab melaksanakan program-program yang dirancang bagi membentuk masyarakat yang lebih prihatin ke atas diri mereka sendiri. Program-program yang bersifat "cantik di luar" wajar dikurangkan tetapi fokus harus diberi kepada faedah kepada golongan sasar seperti wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga tua.

Warga emas contohnya, semakin terhimpit dengan peningkatan kos hidup. Kenaikan elaun Bantuan Orang Tua sebanyak RM100 kepada RM300 sebulan amat bermakna kepada mereka kerana selain harga makanan dan barang keperluan hidup yang meningkat, penjagaan kesihatan juga memerlukan mereka membelanjakan wang untuk membeli ubat-ubatan.

Kos hidup juga memaksa anak-anak menghantar ibu bapa ke rumah orang-orang tua kendalian kerajaan kerana di situ terdapat kemudahan penjagaan dan pemeriksaan kesihatan yang sempurna. Mungkin dalam bajet yang akan datang, aspek ini wajar diambil kira kerana nilai dan pegangan anak-anak hari ini terhadap kehidupan telah banyak berubah.

Selain warga tua, orang kurang upaya (OKU) juga melirik senyum kerana Elaun Pekerja Cacat turut dinaikkan dari RM200 kepada RM300 sebulan. Pertambahan ini diyakini dapat mengubah hidup golongan OKU dan sebagai pendorong untuk bekerja dengan lebih gigih. Sebagai contoh, orang buta tidak akan membeli kereta atau motosikal sebaliknya mereka akan membeli peralatan yang memudahkan hidup seperti telefon bimbit atau komputer peribadi yang canggih. Justeru, wang yang banyak dapat memberi keselesaan dalam hidup golongan OKU ini.

Kualiti hidup rakyat Malaysia semakin baik dan ada yang setanding dengan negara-negara maju. Dalam kata-kata aluan Perdana Menteri semasa membentangkan Laporan Ekonomi 2007/2008, beliau menegaskan bahawa agenda sosial kekal sebagai komponen utama penggubalan dasar ekonomi kerana pencapaian sebenar kejayaan ekonomi ialah taraf hidup yang lebih tinggi dan masyarakat dari semua lapisan dapat hidup dalam kesejahteraan.

Bajet 2008 merupakan rentetan pengisian bagi pencapaian Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang antara lain menghapuskan kemiskinan tegar dan memperkasa modal insan. Elemen-elemen pengukuh bagi kejayaan tersebut dapat dilihat pada indikator ekonomi, sosial, pendidikan, agama dan perpaduan. Kejayaan pada indikator-indikator berkenaan adalah lambang kepada pencapaian RMK-9 secara keseluruhannya.

Kejayaan pelaksanaan Bajet 2008 tidak terletak pada angka-angka kerana lebih banyak angka bererti lebih tinggi pembaziran sepertimana yang dibentangkan oleh Ketua Audit Negara mengenai prestasi kewangan sektor perkhidmatan awam Malaysia baru-baru ini. Berlaku pembaziran adalah kerana kecuaian, tidak peka dan mengamalkan budaya acuh tak acuh dalam pengurusan wang rakyat.

Nilai utama pada pelaksanaan bajet ini ialah kesungguhan untuk meraih keunggulan modal insan yang diterapkan melalui pembangunan fizikal, pembinaan intelektual dan pengisian roh. Kejayaan bangsa-bangsa terdahulu adalah kerana kesungguhan modal insan yang dijelmakan dalam pembudayaan ilmu. Antara bangsa yang telah menunjukkan ketinggian ilmu ini ialah bangsa Yunani yang suatu masa pernah menjadi rujukan kepada tamadun dunia yang lain.

Kekaguman tradisi ilmu bangsa Yunani ini pernah disuarakan oleh Robert M. Hutchins iaitu bekas Presiden dan Canselor University of Chicago. Beliau berkata, "Di Athens, pendidikan bukanlah satu kegiatan yang terbatas pada masa-masa tertentu atau pada peringkat umur tertentu. Pendidikan merupakan matlamat utama masyarakat. Kota raya mendidik manusia. Manusia dididik oleh budaya."

Bangsa Malaysia, sama seperti bangsa Yunani, ingin merasai persekitaran yang mendidik. Banyak lagi usaha oleh kerajaan bagi menggalakkan pembangunan modal insan rakyat Malaysia yang boleh dilaksanakan seperti pengurangan harga buku dan insentif kepada penerbit buku tempatan. Negara-negara Scandinavia seperti Finland dan Norway bukanlah berpenduduk ramai tetapi dapat memberi perkhidmatan pendidikan percuma kepada rakyat mereka di samping galakan budaya membaca yang berterusan. Dengan pendidikan, rakyat mereka tidak hidup merempat. Rakyat mereka juga terkenal dengan barangan berkualiti dan meletakkan persekitaran pendidikan sebagai teras kepada pembangunan negara.

Ketika melancarkan Misi Nasional, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, "Pembangunan modal insan yang mantap akan menyokong pergerakan ekonomi negara dalam rantaian nilai tambah yang lebih tinggi serta menjadi pemangkin bagi pewujudan sumber pertumbuhan negara."

Kita yakin dan percaya, modal insan adalah asas kepada negara maju. Perdana Menteri tidak lupa kepada agenda sosial dan pendidikan negara kerana itulah slogan "Cemerlang, Gemilang, Terbilang" sentiasa beliau ulangi supaya rakyat Malaysia sedar, faham dan memberi reaksi positif ke atas program dan Wawasan 50 Tahun yang diungkapkan baru-baru ini.

Bajet 2008 adalah bajet modal insan tahun keempat. Perhatian terhadap sektor sosial wajar diteruskan tanpa pengabaian ke atas sektor-sektor lain seperti keselamatan awam, alam sekitar dan pengangkutan awam. Antara aspek yang boleh diberi perhatian pada bajet yang akan datang ialah galakan pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning). Dengan persaingan yang semakin banyak dan sengit, pendekatan memajukan rakyat supaya berilmu tidak dapat dilengahkan lagi. Isu ilmu pengetahuan adalah isu sejagat. Tambahan pula semakin ramai rakyat Malaysia yang dapat hidup lebih lama menyebabkan jumlah warga tua semakin bertambah. Salah satu ciri sebuah negara maju ialah masyarakatnya sentiasa ingin belajar.

Kesimpulan kepada Bajet 2008 ini sangat sesuai dipetik ucapan YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang menyifatkan: "Bajet 2008 adalah satu belanjawan yang memberikan suntikan kepada pertumbuhan ekonomi negara serta kualiti hidup rakyat."

Tuesday, September 11, 2007

Konflik keluarga: Suami ingin kahwin lagi

Pasangan muda, Azman-Sabariah berkenalan semasa Azman menjual roti kebab di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Ketika itu Sabariah merupakan seorang pelajar di sebuah institusi pegajian tinggi awam dan menyewa rumah bersama rakan-rakan yang lain. Kekerapan berjumpa dan bertentang mata menyebabkan Azman menemui keluarga Sabariah bagi meminangnya. Hasrat Azman ini dipersetujui dengan syarat Sabariah perlu menghabiskan pengajian ijazah pertamanya terlebih dahulu.

Azman bukanlah seorang yang berpelajaran tinggi. Beliau mengambil upah membuat roti kebab di sekitar Kuala Lumpur dan kadangkala menjual peralatan bantu mengajar (ABM) di sekolah-sekolah. Beliau juga pernah tinggal dan bekerja di luar negara dalam tempoh yang agak lama kerana membantu emak saudaranya menguruskan restoran. Pendek kata, Azman seorang yang ringan tulang.


Kelebihan Azman dari segi fizikal dan penampilan adalah seorang yang kemas, bergaya dan petah bercakap. Pengalaman beliau sebagai jurujual banyak membantunya untuk memikat dan meyakinkan ibu bapa Sabariah agar menerima lamarannya. Walaupun kurang berada, keluarga Sabariah yakin bahawa Azman lebih sesuai dengan Sabariah apatah lagi kedua-duanya saling jatuh cinta.

Sabariah adalah nama yang mudah diingat. Beliau merupakan anak bongsu daripada enam adik-beradik yang sebahagian daripadanya telah berjaya menjejakkan kaki ke universiti. Sabariah melanjutkan pelajaran dalam bidang pengurusan perniagaan selama empat tahun dan berjaya menamatkan pengajiannya. Seterusnya berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai pegawai penyelidik di sebuah jabatan kerajaan di Kuala Lumpur. Sabariah, sebagai anak bongsu, sangat bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya untuk membuat keputusan penting seperti perkahwinannya dan apa yang patut dibuat semasa berkonflik dengan Azman. Dari segi amalan beragama, Sabariah seorang yang taat dalam menunaikan ibadah solat tetapi Azman kelihatan tidak mengikut kealiman isterinya itu.


Senario konflik keluarga yang berlaku

Bersama Azman dan seorang anak lelaki, Sabariah tinggal di kawasan perkampungan yang berpenduduk padat. Rumahnya dilengkapi bengkel membuat alat bantu mengajar yang dibuat sendiri oleh Azman untuk pasaran di luar negara. Setiap satu alat berkenaan dijual dengan harga RM40.00. Di samping itu, Azman juga menjual tulisan khat yang dibingkaikan dalam pelbagai bentuk. Sebulan atau dua bulan sekali, beliau akan keluar kawasan bagi menghantar pesanan dan biasanya akan tinggal di sana selama seminggu. Azman menggunakan perkhidmatan AirAsia kerana tambangnya lebih murah dan dapat mengurangkan kos hidupnya.


Manakala Sabariah berulang-alik dari rumah ke Kuala Lumpur untuk bekerja dengan menaiki bas setiap hari, wang gaji digunakan untuk keperluan harian bagi menampung perbelanjaan Azman yang seringkali keputusan wang. Pernah sekali Sabariah meminjamkan RM400.00 daripada saudaranya untuk membeli tiket kapal terbang bagi membolehkan Azman menghantar pesanan ke luar negara.

Sabariah tidak menyedari bahawa Azman telah menjalin hubungan dengan seorang gadis Sarawak. Kejayaan Azman memikat gadis berkenaan memang menakjubkan. Beliau mampu mengajak gadis ini bagi bekerja di Kuala Lumpur dan menanggung perbelanjaannya untuk seketika. Gelagat dan tindak-tanduk Azman tidak pernah disedari oleh Sabariah ataupun keluarganya sendiri. Hubungan yang berjalan selama setahun itu akhirnya pecah dan diketahui umum setelah Azman memaklumkan kepada Sabariah bahawa beliau mahu berkahwin satu lagi.


Apa lagi, Sabariah melenting dan mengamuk. Dia menangis dan mengadu kepada ibu bapa dan adik-beradik yang lain. Hidupnya ketika itu sungguh muram. Kerjanya turut terjejas dan terpaksa mengambil cuti bagi menenangkan perasaannya.

Ketika berhadapan dengan situasi sukar seperti ini, Sabariah memberitahu Azman yang dia akan memanggil ibunya untuk datang dan menyelesaikan masalah mereka berdua. Sabariah yakin, ibunya seorang yang lebih tahu selok-belok rumah tangga dan masalah mereka akan dapat diselesaikan. Hasrat ini ditentang oleh Azman sambil mengancam akan menceraikan Sabariah jika ibunya datang ke rumah mereka.

Dalam keadaan begini, Sabariah keliru dan berasa tertekan dengan sikap Azman. Bagi membantunya membuat keputusan, beliau mendapatkan nasihat rakan-rakan dan akhirnya memutuskan untuk memanggil ibunya datang. Walaupun dibantah keras oleh Azman, kedatangan ibu Sabariah adalah rentetan awal perjalanan hidup Sabariah sebagai ibu tunggal. Beliau diceraikan oleh Azman dan proses penceraian berkenaan mengambil masa selama tiga bulan.


Sementara menunggu hari disahkan talak oleh Mahkamah Syariah, Sabariah merasakan hidupnya sangat tertekan, tidak bermotivasi dan putus harap. Beliau juga menghubungi rakan-rakan untuk meminta pandangan dan sokongan. Ketika ditanya pendapat beliau terhadap Azman, jawabnya ringkas, "Dia sangat teruk." Ini bermaksud Sabariah sangat membenci Azman.

Tengah hari setelah Sabariah disahkan cerai talak tiga, beliau mengucapkan terima kasih dan syukur kepada rakan-rakan yang telah memberi semangat kepadanya.


Selepas bercerai, Sabariah tinggal di rumah saudaranya bersama anak lelaki. Beliau berulang-alik dari Sungai Buloh ke Kuala Lumpur setiap hari dengan pengalaman hidup yang baru. Baru kerana serba-serbinya perlu dilakukan sendiri. Beliau juga belajar memandu kereta. Sebagai sokongan daripada keluarga, ibunya telah membayar deposit kereta untuk memudahkannya berulang-alik ke tempat kerja. Setelah lima bulan berlalu, Sabariah telah mula menunjukkan keceriaan untuk meneruskan hidup. Dorongan dan sokongan keluarga serta rakan-rakan untuk tabah menghadapi cabaran hidup menjadikan peribadi Sabariah semakin kental dan utuh. Kini, beliau cuba mendapatkan sebuah rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur supaya dapat hidup bersama anaknya.

Azman, setelah lima bulan, masih bergelut dengan cinta gadis Miri, bekerja sebagai pemandu teksi untuk menyara hidup dan tinggal sementara bersama rakan-rakan bujang. Gadis Miri yang disayangi akan meninggalkan Kuala Lumpur kerana tidak percaya lagi dengan Azman.

Punca-punca konflik dalam keluarga Sabariah

Bagi keluarga muda Azman dan Sabariah, konflik dalam rumah tangga sangat mudah berlaku. Isu-isu remeh dalam kes ini tidak menggugat keutuhan rumah tangga mereka. Bersama seorang anak lelaki, Azman dan Sabariah merancang untuk menambah bilangan anak tetapi Sabariah keguguran kerana terlalu kerap naik turun bas ke tempat kerja.


Konflik yang sangat kritikal meletus setelah Azman memaklumkan kepada Sabariah bahawa beliau ingin menambah isteri. Sebagai isteri, Sabariah berfikir hasrat Azman ini tentulah pelik kerana mereka baru beberapa tahun berkahwin. "Kegatalan" Azman untuk berbini lagi juga menjadi persoalan kepada Sabariah kerana tahap kewangannya yang lemah, malas mengerjakan solat dan dikhuatiri tidak mampu memberi keadilan.

Azman, dengan ego sebagai suami dan lelaki, menggunakan ancaman untuk menghalang Sabariah mencari penyelesaian daripada pihak ketiga. Keegoan Sabariah juga ada. Sebagai isteri, dia juga berasa berhak untuk menidakkan hasrat Azman. Cuma keegoan Azman lebih dominan dan beliau tidak teragak-agak untuk menceraikan Sabariah.


Peranan mediator yang dibawa masuk untuk menyelesaikan konflik tidak membantu meredakan hubungan Azman dan Sabariah. Sebaliknya, ibu Sabariah menjadi penghalang kepada jalan perdamaian bagi mengekalkan hubungan suami isteri. Komunikasi yang berlaku ketika berhadapan dengan mediator lebih banyak menjurus kepada peluasan jurang konflik dan mengelak daripada menutup ruang-ruang yang positif kepada perdamaian. Hal ini memang dijangkakan kerana Azman tidak suka mediator berkenaan berperanan dalam konflik tersebut. Selain berat sebelah, mediator juga pasti mendominasi keadaan.

Sabariah tidak keseorangan untuk berhadapan dengan cabaran Azman. Faktor ini menjadi perangsang kepada beliau untuk berani menyahut cabaran Azman bagi memanggil ibunya datang. Pengaruh kawan-kawan yang memberi nasihat menguatkan azam untuk berhadapan dengan ugutan Azman. Rakan-rakan sepejabat Sabariah mencetuskan motivasi dirinya serta keupayaan menanggung kesusahan jika beliau mengambil tindakan bercerai.


Sabariah menolak keras gadis Sarawak yang dilihatnya menjadi pencetus konflik. Kehadiran orang ketiga ini menimbulkan keresahan kepada beliau tanpa ada apa-apa yang boleh diselindungkan lagi. Pergaduhan yang berlarutan akan mengundang kecederaan fizikal yang menjadikan keadaan akan bertambah kritikal.

Strategi Sabariah menghadapi konflik

Konflik rumah tanga yang dihadapi Sabariah adalah lumrah pasangan muda. Rasa panik dan tertekan tidak banyak membantu beliau untuk menggunakan tindakan yang lebih bijak bagi menyelamatkan rumah tangganya. Daripada latar belakang konflik, Sabariah menggunakan tiga strategi yang difikirkan sesuai dan dapat membantu beliau untuk menamatkan konflik dengan cepat.

1. Konfrontasi

Sabariah bersemuka dengan Azman mengenai jangka masa hubungannya dengan gadis Miri berkenaan. Pengalaman yang cetek semasa berhadapan dengan situasi ini memberi kegemparan kepada Azman kerana beliau telah berangan-angan untuk memiliki dua orang isteri. Namun, Azman sebagai ketua keluarga mempunyai autoriti ke atas tindakannya yang difikirkan boleh diterima Sabariah. Malangnya sifat agresif Sabariah untuk berhadapan dengan Azman menunjukkan penolakan yang sangat kuat daripada isterinya itu bagi menyelesaikan konflik berkenaan.

2. Khidmat Profesional

Konflik Sabariah dengan Azman memberi ruang kepada pegawai di Jabatan Agama Islam untuk memberi nasihat termasuk hak penjagaan anak, nafkah dan tanggungjawab bekas suami ke atas anak. Sabariah dilihat telah bersedia dengan apa juga tindakan yang akan dilakukan oleh Azman. Sebaliknya Azman masih berkeras ingin meneruskan hubungan dengan gadis Miri berkenaan. Tahap pendidikan dan keupayaan berfikir yang tinggi membolehkan Sabariah membuat keputusan dengan lebih cepat dan tepat.

3. Intervensi Orang Tengah (Mediator)

Membawa masuk ibunya sendiri sebagai mediator memberi tekanan kepada Azman untuk mempercepatkan penyelesaian konflik. Ketegasan mediator yang mencabar Azman untuk menceraikan isterinya adalah suatu kesilapan dalam hubungan suami dan isteri. Pada peringkat awal, Sabariah beranggapan kemasukan mediator dapat mengekang kemarahan Azman, sebaliknya pula yang berlaku. Azman bertambah marah dan mengambil keputusan segera menceraikan Sabariah. Strategi yang digunakan oleh Sabariah telah bertukar menjadi tragedi dalam hubungan suami dan isteri.

Kesilapan ketika menggunakan pendekatan-pendekatan tertentu untuk menyelesaikan konflik sangat merimaskan. Apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan sebaliknya bertukar menjadi hampa. Setelah dianalisis, pendekatan terbaik yang boleh digunakan oleh Sabariah ialah sistem S-TLC.


Sistem S-TLC ialah Stop, Think, Listen dan Communicate. Kaedah ini lebih sesuai bagi mengendurkan ketegangan dalam konflik. Sekiranya Sabariah menyedari bola berada di kakinya, beliau wajar berhenti daripada memikirkan penyelesaian jangka pendek. Ini kerana Azman telah menunjukkan kejujurannya dengan memaklumkan hasrat beliau untuk berkahwin lagi. Sebaiknya Sabariah merasionalkan keinginan Azman dan berbincang mengenai kesan dan akibat berkahwin lain. Sabariah boleh berhenti (Stop) daripada memikirkan perkara yang bukan-bukan kerana belum tentu Azman dapat berkahwin dengan keadaannya ketika itu. Malangnya Sabariah mengambil pendekatan yang salah.

Beliau juga boleh berfikir (Think) bagi melihat akibat yang akan timbul kepada anaknya tanpa ayah. Keupayaan inilah yang dilihat sangat lemah, tambahan pula Sabariah mudah terpengaruh dengan kata-kata dan nasihat rakan-rakannya. Memang tidak dinafikan, ketika panik, Sabariah mudah membuat keputusan apatah lagi pada masa tersebut seluruh jiwanya telah putus harap. Mendengar (Listen) alasan Azman tidak ada dalam ingatan Sabariah ketika itu dan yang ada hanyalah kekecewaan.

Sabariah juga kurang mahir berkomunikasi (Communicate) dengan bahasa dan emosi yang memujuk. Kaedah memujuk mungkin dapat mengendurkan hasrat Azman bagi mengekalkan masa depan perkahwinan mereka.

Sistem S-TLC bukanlah dapat dipraktikkan dalam masa yang singkat sebaliknya memerlukan latihan yang berterusan. Ia boleh digunakan dalam isu-isu yang kecil, bersifat harian dan diaplikasikan bagi isu-isu yang lebih besar. Dalam kes ini, Sabariah wajar mendapat pendedahan untuk lebih banyak menggunakan kaedah S-TLC bagi menghadapi konflik dalam hidupnya pada masa hadapan.

Monday, September 10, 2007

Penderaan kanak-kanak



Isu penderaan kanak-kanak telah menjadi topik perbicaraan pada awal tahun 1990-an yang merupakan satu masalah yang sangat membimbangkan masyarakat dan kerajaan. Oleh yang demikian, insiden penderaan dan pengabaian kanak-kanak perlu dikaji dan diselidiki.

Artikel ini membincangkan tentang latar belakang mangsa penderaan mengikut bentuk penderaan, umur, jantina, latar belakang budaya, status dan psikologi kanak-kanak mangsa penderaan. Perbincangan ini meliputi faktor-faktor penderaan, hubungan pelaku dan personaliti pelaku penderaan serta kesan penderaan dianalisis secara terperinci.

Penderaan melibatkan tiga bentuk iaitu fizikal, seksual dan emosi. Penderaan fizikal ditafsirkan sebagai keganasan yang menyebabkan kecederaan otak, lebam yang teruk, kecacatan anggota tubuh, patah tulang, lecur atau terbakar, dicucuh dengan puntung rokok dan sebagainya.


Trauma penderaan fizikal ialah ketakutan melampau apabila berdepan dengan orang dewasa (fobia), luka dan cedera yang kekal, rosak saraf otak dan urat saraf (cacat seumur hidup) dan perkembangan mental lembap kerana menderita ketegangan saraf.

Manakala penderaan seksual merujuk segala bentuk aktiviti seksual yang mempunyai tujuan untuk memenuhi tuntutan nafsu seks orang dewasa. Ianya melibatkan eksploitasi bahagian sulit kanak-kanak, dicabul, dirogol dan dipaksa melacur. Kesan kepada mangsa ialah luka dalam kemaluan, penyakit kelamin, mengandung, traumatik, pengkhianatan, stigma (malu, rasa bersalah) dan tidak berkuasa (untuk melawan).

Penderaan emosi hanya melibatkan satu kes dalam kajian ini iaitu kanak-kanak perempuan yang dilahirkan dalam keluarga Cina yang dianggap "sial." Kesan ke atas mangsa berlaku secara bertahap mengikut umur seperti ponteng sekolah, tidak minat dengan pelajaran, suka mencuri, berbohong, kelihatan murung, sering mengasingkan diri dan lari dari rumah sebanyak dua kali.

Latar belakang pelaku adalah pemabuk dan penjudi, penagih dadah, penjenayah, masalah mental, terasing secara sosial, percaya pada bomoh, anak sebagai beban kemiskinan dan pengalaman didera semasa kanak-kanak. Manakala hubungan pelaku dengan mangsa ialah pelaku lahir dalam perkahwinan bermasalah, ibu tunggal dan ibu remaja.


Mangsa penderaan dan pengabaian akan mengalami kesan yang berkekalan dan terpaksa menanggung penderitaan sehingga menjejaskan perkembangan kognitif, kesihatan mental, kestabilan emosi dan penyesuaian sosialnya. Kesan-kesan penderaan ini penting untuk diketahui kerana ia dapat dijadikan sebagai asas dan panduan untuk menyusun langkah-langkah secara efektif dan program rawatan yang lebih berkesan bagi mengurangkan penderitaan dan kesakitan yang terpaksa ditanggung oleh kanak-kanak yang pernah menjadi mangsa penderaan.

Komunikasi asas kesejahteraan keluarga

Hubungan di antara ibu bapa dan anak sangat penting di dalam mana-mana keluarga. Salah satu peranan komunikasi ialah dapat mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan hubungan sesama ahli keluarga. Komunikasi merupakan aspek yang terpenting untuk mengeratkan hubungan di antara ibu bapa dan anak, sehinggakan di kalangan kebanyakan penyelidik keluarga berpendapat untuk melihat kefungsian sesebuah keluarga, aspek yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana komunikasi berlaku dalam sesebuah keluarga tersebut. Ini kerana komunikasi mampu menjelaskan apa yang sebenar berlaku dalam keluarga.

Kajian di kalangan keluarga di Barat mendapati kelemahan institusi keluarga adalah merupakan penyumbang kepada kelemahan dan kegagalan institusi lain dalam masyarakat. Tidak dapat diketepikan, keluarga sebagai ejen sosialisasi, ahli keluarga akan diajar mengenai norma masyarakat, nilai, kepercayaan, bahasa, ideologi, artifak dan kemahiran untuk hidup. Sokongan emosi diperoleh melalui penerimaan kasih-sayang, saling memahami, keselamatan, keintiman dan persahabatan.

Kepentingan komunikasi keluarga dibahagikan kepada dua iaitu, pertama, tidak seperti dalam bentuk hubungan interpersonal yang lain, hubungan keluarga terbentuk melalui secara bukan sukarela iaitu individu tidak berpeluang untuk memilih keluarga mana yang dikehendaki. Kedua, ikatan kekeluargaan berlaku dalam tempoh tertentu dan berlanjutan. Interaksi di antara ahli keluarga sarat dengan emosi dan sejarah yang begitu kompleks.

Instrumen yang digunakan oleh penyelidik komunikasi keluarga ialah Revised Family Communication Pattern (RFCP) oleh Ritchie dan Fitzpatrick (1990). Pengukuran ini adalah berdasarkan persepsi atau interpretasi responden terhadap norma interaksi harian mereka.

Perbincangan mengenai peranan komunikasi menemui dua pola komunikasi dalam keluarga iaitu jenis orientasi konformiti dan jenis orientasi perbualan. Orientasi konformiti menekankan amalan penggunaan kuasa ibu bapa untuk menggalakkan anak bersetuju dengan pandangan ibu bapa dan berkait dengan penggunaan autoriti, mengelak kontroversi dan berorientasi untuk mewujudkan keselarasan di kalangan ahli keluarga, memberi fokus kepada komunikasi inter-keluarga berbanding topik luaran serta menekankan nilai tradisional, patuh kepada kuasa dan mengelak konflik.


Orientasi perbualan pula menggalakkan autonomi dan kebebasan anak-anak meluahkan idea dan perasaan, berkait rapat dengan keharmonian hubungan interpersonal, keterbukaan komunikasi di luar rumah, termasuk minat dan penglibatan dalam politik dan ia membolehkan anak-anak membina pandangan mereka sendiri mengenai dunia. Keluarga ini menunjukkan minat terhadap politik, hubungan luar dan pendedahan kepada surat khabar, pengetahuan kepenggunaan dan perbualan politik serta menekankan kebebasan aliran maklumat.

Instrumen RFCP mengkategorikan keluarga kepada empat jenis iaitu; 1) pluralistik, 2) protektif, 3) konsensual, dan 4) laissez faire. Keempat-empat keluarga ini dibeza berdasarkan ideologi terhadap peranan gender, tret tanggapan diri berkait dengan maskuliniti dan feminiti serta gaya interaksi perkahwinan. Karektor ini memberi impak kepada anak-anak dengan tiga cara iaitu ;1) jenis keluarga menentukan strategi interaksi yang didedahkan kepada anak-anak, 2) jenis keluarga menentukan jangkaan terhadap peranan gender dan bagaimana kesediaan untuk memenuhi jangkaan tersebut, dan 3) jenis keluarga menentukan peranan yang dimainkan kepada anak-anak untuk meningkatkan peluang kejayaan sosial mereka.

Kesimpulannya, ahli keluarga wajar mempelajari dan meningkatkan tahap pengetahuan mereka dalam berkomunikasi ke arah membina keluarga yang harmoni dan memberi kepuasan dalam hidup. Bidang kajian komunikasi keluarga perlu dikembangkan kerana sumbangannya yang banyak dan boleh diaplikasikan kerana setiap orang mempunyai keluarga dan ada di antaranya yang mengalami kekecewaan.

Hubungan etnik di Malaysia

Penulis : Zaid Ahmad dan rakan-rakan.
Tahun : 2006
Penerbit : Oxford Fajar Sdn. Bhd, Shah Alam, Selangor
Muka surat : 225

Buku ini dihasilkan bagi memenuhi kehendak dan keperluan para penuntut di institusi pengajian tinggi awam di Malaysia selaras dengan pengenalan Hubungan Etnik sebagai mata pelajaran wajib oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Buku ini juga mengetengahkan isu-isu hubungan etnik dari aspek ekonomi, sosial, politik dan perundangan di Malaysia, sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan keturunan. Isu hubungan etnik di negara ini sememangnya merupakan isu unik dan wajar diketahui mereka yang bergelar anak Malaysia.

Ciri-ciri eklusif yang terdapat di dalam buku ini ialah: memenuhi keperluan sukatan pelajaran Hubungan Etnik; nota komprehensif berbentuk poin; objektif pembelajaran pada awal bab; bibliografi di akhir bab sebagai rujukan tambahan; jawapan cadangan untuk semua latihan ulang kaji dan perbincangan; dan glosari pada akhir buku yang menjelaskan maksud istilah penting.

Bahan-bahan tulisan yang disediakan adalah hasil kajian yang rapi dengan menggunakan rujukan terkini. Walaupun ditulis dalam bentuk nota ringkas, kandungan buku ini disusun dengan padat dan terperinci bagi memenuhi keperluan mahasiswa untuk membuat rujukan dan ulang kaji. Semua fakta, huraian dan perbincangan dipersembahkan secara sistematik, menyeluruh dan mudah difahami, serta dihiasi pelbagai bahan visual untuk memudahkan pemahaman pembaca.

Ulasan Editor: Hubungan etnik di Malaysia sering kali menjadi bahan rujukan di seluruh dunia. Masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan selamat dapat menikmati pembangunan yang lebih menyeluruh dan bermakna. Justeru, kemerdekaan ke-50 adalah hadiah besar untuk sebuah negara yang menikmati pembangunan yang mantap dan makmur.

Friday, September 07, 2007

Misi insan kelas pertama

Salah satu perkara yang sering ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak mengambil alih pemerintahan negara hampir empat tahun lalu ialah pentingnya Malaysia mengambil langkah serius membangunkan modal insan untuk membolehkan negara kekal berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

Semua orang tahu bahawa pekerja atau tenaga sumber manusia, kini disebut modal insan adalah salah satu faktor penting pengeluaran dalam kegiatan ekonomi konvensional di samping bahan mentah, modal kewangan, tanah, jentera dan teknologi.

Tanpa modal dalam apa juga bentuk, seseorang usahawan tidak akan mampu mengeluarkan apa jua produk walaupun beliau mungkin menguasai sektor pengeluaran lain. Modal itu pula perlu diuruskan secara efisien untuk menghasilkan output yang optimum bagi membolehkan produk berkenaan bersaing dengan produk sama keluaran pengusaha lain. Sekiranya produk itu gagal dalam persaingan di pasaran terbuka, pengeluarnya lambat laun boleh gulung tikar.

Oleh kerana Malaysia adalah negara perdagangan mengamalkan dasar ekonomi bebas, kesejahteraan masa depan ekonomi bergantung sepenuhnya kepada kemampuan bersaing di peringkat global. Tahap kemampuan bersaing ini pula bergantung kepada keupayaan produk keluaran negara bersaing dengan produk sama keluaran negara lain.

Walaupun kegagalan negara bersaing pada peringkat antarabangsa mungkin tidak sampai memaksanya gulung tikar seperti pengeluar individu yang disebutkan tadi, kesengsaraan yang dialami rakyat dan implikasi yang menyusul akibat barangan keluaran negara tidak laku di peringkat antarabangsa, boleh jadi lebih perit daripada nasib yang menimpa pengeluar individu tadi.

Inilah sebabnya kenapa tahap daya saing ekonomi negara bukan saja perlu dikekalkan tetapi ditingkatkan dan jika boleh lebih tinggi daripada tahap negara pesaing lain.

Dalam konteks kegiatan ekonomi dunia moden sekarang yang lebih tertumpu kepada penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan k-ekonomi atau ekonomi bersumberkan ilmu pengetahuan, peranan modal insan dan kesannya terhadap kesejahteraan ekonomi sesebuah negara itu makin menyerlah.

Sesebuah negara yang tidak mempunyai bekalan tenaga manusia atau modal insan yang dilengkapi kepakaran, kemahiran, sikap dan kesediaan minda yang sesuai dengan keperluan masa kini pasti akan tercicir dalam persaingan pada peringkat global.

Di sini letaknya rasional di sebalik seruan berulang-ulang yang dibuat Perdana Menteri mengenai pentingnya Malaysia membangunkan modal insan yang mempunyai mentaliti kelas pertama iaitu kelas paling atas. Tentulah hanya dengan menduduki posisi teratas saja sesuatu negara boleh bersaing dengan pihak lain secara mudah.

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tahun lalu, Abdullah menjelaskan langkah yang perlu diambil untuk melahirkan individu yang boleh memenuhi syarat modal insan berkualiti yang diperlukan.

“Pendekatan yang diambil hendaklah holistik dan penekanan perlu diberi kepada pembangunan ilmu, kemahiran, modal intelektual dalam sains, teknologi dan keusahawanan. Pada masa sama, kita hendaklah membangunkan satu budaya progresif di kalangan masyarakat dengan nilai moral dan etika yang tinggi,” katanya.

Tidak syak lagi bahawa tanggungjawab melahirkan modal insan sedemikian tentulah tanggungjawab institusi pendidikan seperti sekolah, kolej dan universiti di samping ibu bapa dan masyarakat. Sesungguhnya inilah matlamat ulung Kementerian Pengajian Tinggi apabila mereka menyediakan dua dokumen penting berhubung masa depan institusi pengajian tinggi negara, baru-baru ini.

Dokumen itu - Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara (2007-2010) dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara - yang dilancarkan Perdana Menteri, akhir bulan lalu menggariskan langkah yang perlu diambil mulai sekarang sehingga 2010 serta strategi jangka panjang sehingga melangkaui tahun 2020 untuk melahirkan modal insan yang diperlukan negara.

Ada empat fasa yang ditetapkan untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama dan pada masa sama menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa.
Matlamat kedua itu bertujuan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing - khususnya dalam menarik kemasukan pelajar antarabangsa. Keempat-empat fasa yang dimaksudkan ialah fasa peletakan asas (dari 2007 hingga 2010); fasa pemerkasaan dan peningkatan (2011-2015) fasa kecemerlangan (2016-2020) serta fasa kegemilangan dan pelestarian pengajian tinggi (selepas 2020).

Berdasarkan kepada saranan Perdana Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi menggariskan profil lengkap modal insan mentaliti kelas pertama yang mahu dilahirkan. Selepas meneliti ciri-ciri individu modal insan kelas pertama yang dihuraikan, satu soalan yang mungkin terlintas dalam fikiran ialah, apakah negara sudah mempunyai modal insan yang dikehendaki itu.

Jawapannya tentulah sudah ada. Jika tidak masakan beberapa syarikat tempatan termasuk konglomerat negara seperti Petronas mampu memenangi tender terbuka di peringkat antarabangsa dalam pelbagai negara di seluruh dunia.

Yang perlu diusahakan sekarang dan pada masa akan datang menambah bilangan mereka serta mengekalkan daya saing yang ada pada mereka. Inilah cabaran terbesar yang perlu disahut institusi pengajian tinggi tempatan kini dan akan datang.

Sumber: Berita Harian Online

Thursday, September 06, 2007

Tabiat 9 Tahu teknik paling penting untuk kejayaan (1)

Kepercayaan mesti dicari, dibina dan diperkukuhkan. Terdapat lima sumber kepercayaan yang berada pada diri seseorang.

1. Persekitaran

Hidup dalam kumpulan lebih baik daripada seorang diri. Ini adalah peredaran kejayaan membiakkan kejayaan dan kegagalan membiakkan kegagalan dalam kebanyakan corak dan pola yang tidak henti-henti.

Jika kita membesar dalam kekayaan dan kejayaan itu dengan mudah dapat mencontohi kekayaan dan kejayaan. Jika kita membesar dalam kedaifan, kemiskinan dan berputus asa, itulah datangnya contoh kehidupan kita.

Dr. Benjamin Bloom daripada University of Chicago telah mengkaji seratus orang para atlit, pemuzik dan pelajar muda yang telah berjaya dengan cara yang luar biasa. Dia terkejut dan hairan apabila mendapati kebanyakan orang muda yang berbakat ini tidak bermula dengan menunjukkan kebijaksanaan dan kepintaran dalam sekelip mata. Kebanyakan daripada mereka telah menerima perhatian, panduan dan sokongan yang teliti, kemudiannya bakat mereka mula berkembang.

2. Pengalaman silam

Hidup ini sungguh indah. Tidak ada satu peristiwa pun yang berlalu tanpa sebab. Ini bagi mereka yang memilih untuk mendapatkan pengajaran sebagai panduan hidup. Bagi yang ego dan bebal, pengalaman buruk adalah suatu mala petaka yang dahsyat.

Peristiwa yang telah dilalui sama ada kecil ataupun besar, boleh menolong merangsang kepercayaan. Pasti ada peristiwa tertentu dalam hidup yang tidak dapat dilupakan.

3. Maklumat dan ilmu pengetahuan

Sebuah pengalaman yang terus menerus ialah satu bentuk ilmu pengetahuan. Yang lainnya diperolehi melalui proses membaca, menonton filem dan mengembara melihat dunia. Tidak kiralah bagaimana teguh sekali pun dunia kita, jika boleh membaca tentang pencapaian orang lain, kita telah boleh mewujudkan kepercayaan yang membolehkan kita berjaya.


Kita boleh kerana kita fikir kita boleh - Virgil


Maklumat hari ini sangat pantas, sepantas berkembangnya teknologi. Perkembangan teknologi maklumat mengenai kewangan, kesihatan, hartanah, perubatan, makanan, ketenteraan dan sebagainya boleh diperolehi di hujung jari sahaja. Teknologi maklumat menjadikan proses membuat maklumat menjadi lebih pantas dan mudah.

Monday, September 03, 2007

Anda boleh berjaya

Penulis : Shiv Khera
Tahun : 1999 (Karya terjemahan)
Penerbit : Prentice Hall (M) Sdn Bhd, Petaling Jaya, Selangor
Muka surat : 210

"Pemenang tidak lakukan perkara yang berbeza. Mereka lakukan dengan cara yang berbeza."

Shiv Khera adalah pengasas syarikat perunding diri yang berdedikasi mengenai kejayaan hidup. Beliau merupakan seorang pendidik, penasihat perniagaan, penceramah yang membangkitkan semangat dan juga peniaga yang berjaya.

Buku Anda Boleh Berjaya merupakan panduan mudah yang difahami, praktikal dan logik. Isinya sarat dengan idea perubahan diri melalui cerita, contoh dan pengalaman. Dari satu bab ke satu bab, kandungan buku ini membimbing pembaca untuk menilai keadaan hidupnya dari dulu hingga sekarang. Antara dorongan yang dapat membakar semangat pembaca adalah tujuh langkah pemikiran yang positif, kuasai keadaan, memenangi hati dan dihormati, teknik mudah merentangi rintangan dan analisis diri.

Apa yang lebih sukar daripada kejayaan ialah bagaimana kita menangani kejayaan. Banyak individu mengetahui cara untuk berjaya tetapi setelah mencapai kejayaan, mereka tidak tahu bagaimana untuk menanganinya. Inilah keadaan yang kerap terjadi kepada golongan yang berjaya tetapi di akhir hidupnya kembali menjadi individu yang tidak lagi dalam kategori berjaya.

Usahawan, pemimpin dan ahli sukan tidak lahir dengan kepintaran luar biasa sebaliknya perlu melalui proses semula jadi seperti bekerja kuat, berfikir dan mendedahkan diri dengan berbagai-bagai jenis latihan. Pembinaan kejayaan diri ini diiringi peluang dan ruang yang diberikan oleh persekitaran mereka yang mempercepatkan pencapaian kejayaan tersebut.

Seperti mana seorang pekebun perlu terus membuang rumput-rumpai untuk mencegah tamannya daripada musnah, kita juga perlu terus membina dan mengembangkan peribadi dengan menolak keluar kesilapan-kesilapan diri yang dilakukan sebelum ini.

Ulasan Editor: Kita perlu mempunyai impian yang lebih jauh dari apa yang boleh dicapai. Di sekitar kita, semuanya bermula dengan impian. Bina hidup dengan keghairahan, tujuan dan penuh minat. Memetik peribahasa orang Timur: wawasan setahun adalah menanam bunga; wawasan sepuluh tahun adalah menanam pokok; wawasan yang abadi ialah memupuk insan-manusia.

Sunday, September 02, 2007

Cabaran mahasiswa bagi mengisi kemerdekaan

Institusi pendidikan di Malaysia memberi peluang yang luas dan saksama kepada pelajar lelaki dan perempuan untuk berjaya sehingga ke institusi pengajian tinggi. Keadaan ini sangat berbeza jika dibandingkan zaman sebelum merdeka. Kini, persaingan untuk mendapat tempat di kolej atau institusi pengajian tinggi semakin sengit kerana pelajar yang lebih bijak dan mempunyai keupayaan intelek yang lebih baik.

Kelompok pelajar atau mahasiswa yang rata-ratanya di bawah umur 25 tahun berkembang sebagai kelompok yang sangat istimewa di dalam masyarakat kerana mereka bakal menentukan hala tuju baru dalam era kepimpinan Malaysia 50 tahun yang akan datang. YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi ketika membentangkan impiannya bagi 50 tahun kehadapan turut ingin melihat masyarakat Malaysia yang lebih maju, dinamik dan mampu meraih kejayaan. Harapannya kini sebenarnya berada di bahu mahasiswa yang disediakan dengan pelbagai kemudahan, sama ada secara fizikal, mental ataupun spiritual melalui bantuan kewangan, infrastruktur yang selesa dan motivasi dari semasa ke semasa.

Mohamad Sofee Razak (Berita Harian, 20 Jun 2007) ketika mengulas keadaan mahasiswa berkata:

"Kelompok masyarakat ini sebenarnya masih ada yang keliru dan hilang arah tujuan serta masih lagi mencari-cari identiti dan entiti mereka sebagai mahasiswa sebenar di mana mereka menjadi insan harapan nusa dan bangsa. Mereka kadangkala seolah-olah tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan dan mungkin juga ada yang langsung tidak mengambil berat dan endah tak endah berkenaan perkara itu sehinggakan terbawa-bawa hingga ke alam pekerjaan. Keadaan ini menyebabkan mereka masih tidak yakin pada diri sendiri; hilang rasa bangga sebagai seorang mahasiswa; malu berhadapan masyarakat; takut kepada cabaran; kurang persediaan dan persiapan yang amat ala kadar; tidak bersungguh di dalam melaksanakan sesuatu tugasan; hilang arah tujuan dan matlamat hidup; semangat kerja yang mundur dan tiada motivasi serta pelbagai lagi sikap negatif yang sering kali menghantui mahasiswa semasa pengajian dan selepas tamat pengajian."

Peringkat hidup mahasiswa juga ada identiti tersendiri. Agak malang jika di peringkat ini mereka masih lagi tidak dapat membentuk identiti yang mantap sebagai persediaan ke alam pekerjaan. Kematangan amat penting bagi menjamin kejayaan dalam pencarian kerja selain daripada keputusan peperiksaan yang cemerlang.

Kerisauan ramai pihak mengenai jumlah pelajar perempuan yang lebih ramai di universiti adalah cabaran kepada masa depan negara. Banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan ini dan memerlukan tindakan konkrit untuk menstabilkan keadaan. Walau bagaimanapun sebab musabab kepada keadaan ini tidak susah untuk difikirkan.

Keupayaan mahasiswa perempuan berhadapan halangan dalam kursus seperti ini mendedahkan realiti betapa pelajar perempuan di peringkat sekolah menengah lebih matang, sedia menempuh cabaran dan enggan mengalah. Manakala pelajar lelaki masih lagi dibuai mimpi indah mendapat keputusan cemerlang di peringkat sekolah menengah sedangkan realiti belajar di universiti sangat berbeza.

Perbezaan pelajar lelaki dan perempuan di universiti sangat ketara lebih-lebih lagi apabila diminta untuk membentangkan hasil kerja kumpulan. Ketika mahasiswi bersungguh-sungguh untuk membentangkan hasil perbincangan kumpulan, mahasiswa lebih banyak mencari dalih dan hilang tumpuan apabila diminta menjawab soalan yang berada di luar daripada kursus seperti isu-isu semasa.


Apa yang difikirkan oleh mahasiswa juga agak sukar diramal. Jika dikatakan mereka tidak punya idealisme, susah juga diramal kerana keadaan persekitaran yang semakin bersifat global mendedahkan mereka kepada pelbagai sumber maklumat. Apakah ketiadaan sensitiviti dan kesedaran terhadap dunia luar kampus menjadikan mereka kaku, tidak sedar dan leka dengan dunia sendiri.

Semakin ramai pelajar yang dapat menjejakkan kaki ke universiti bererti persaingan dalam pekerjaan akan bertambah. Jika mahasiswa masih hanya dengan bidang pelajarannya tanpa ada nilai tambah, sukar bagi mereka untuk bersaing. Kemahiran yang ada, sama ada ditambah atau ditingkatkan, bergantung sepenuhnya kepada diri sendiri. Keputusan kerajaan untuk mengkelaskan empat buah universiti menjadi universiti penyelidikan membantu Malaysia melahirkan lebih ramai bijak pandai yang lebih dinamik. Justeru, bersediakah mahasiswa hari ini untuk belajar sehingga ke peringkat tertinggi?

Cabaran yang hebat sedang menunggu mahasiswa yang memenuhi institusi pengajian tinggi hari ini. Perancangan masa depan wajar dibuat ketika hari pertama melangkah ke universiti dan secepat mungkin mencari nilai tambah yang bersesuaian. Tidak ada siapa yang akan mengambil tahu nasib diri mahasiswa jika diri sendiri tidak bersedia untuk mencarinya.

Saturday, September 01, 2007

Dasar Ekonomi Baru melonjak keupayaan Melayu

Sempena ulang tahun ke-50 sambutan kemerdekaan Malaysia, IslamOnline.net turut memberi liputan khas mengenai negara ini. Ekonomi, politik dan sosial diberi liputan yang mendalam dan saksama dari perspektif masyarakat antarabangsa. Keprihatinan laman web ini menyiarkan maklumat mengenai ulang tahun kemerdekaan ini sangat istimewa dan memberi gambaran bahawa negara luar turut berbangga dengan pencapaian Malaysia sehingga kini.

Namun terdapat beberapa kritikan terhadap dasar yang menjadi teras kepada kemakmuran Malaysia ini. Antara ulasan berkenaan ialah dari seorang pembaca yang menggelar dirinya sebagai Karim Perlis.

"Banyak yang cakap pasal DEB di sini. Pada saya mudah saja. DEB salah sejak hari pertama ia dilahirkan kerana ia bertolak dari pekat faham nasionalisme Melayu bawaan Umno. Mana boleh satu dasar nasional yang memfokuskan orang Melayu sahaja. Ianya bercanggah dari segi kefahaman Islam. Jika Umno menggunakan sentimen Melayu, tentulah logik bagi MCA dan MIC menggunakan sentimen bangsa mereka juga untuk memperjuangkan nasib kaum masing-masing. Jika Umno menggunakan kaedah keadilan Islam untuk penyelesaian, DEB wajib mengenengahkan gagasan pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum tanpa perlu menimbulkan apa juga peratus penyertaan sesiapa dalam membataskan ekuiti pemilikan mengikut bangsa dan pengenalan kaum. Dengan adanya deklarasi sedemikian, semua rakyat yang berada di bawah garis kemiskinan atau golongan termiskin akan terasa diri mereka dibela. Ini akan mengikis kecurigaan, hasad, prejudis dan nafsu saling berdengkian sesama sendiri. Ia akan merapatkan jurang sosial dan membina keakraban serta perpaduan kaum. Tak perlulah Umno mengangkat-angkat keris dan membazir masa dalam perhimpunan. Ini, Melayu Barulah. Globallah. Glokallah. Semuanya retorik. Saja nak sedapkan telinga pendengar dan mendidihkan sentimen orang Melayu. Selamat menyambut hari kemerdekaan ke 50."

Dasar Ekonomi Baru (DEB) dianggap sebagai teras kepada lebih 30 dasar yang diperkenalkan selepas itu. Lebih dua dekad kejayaan yang dicapai kini berasaskan dasar tersebut. Perubahan ketara terhadap pembangunan fizikal, mental dan sosial masyarakat dapat dilihat di seluruh negara. Kunci kepada kejayaan ini ialah pengurangan kadar kemiskinan dan pembahagian kekayaan negara yang lebih saksama.

Sehingga kini kita tidak pula mendengar kerajaan menangkap dan memenjara rakyatnya kerana berbeza agama, tidak juga kerana dari kumpulan etnik yang berbeza. Masyarakat Islam di China, India, muslim di Amerika Syarikat dan England, berhadapan dengan pelbagai cabaran kerana mereka beragama Islam dan kumpulan minoriti.

Beberapa tahun selepas merdeka, kehidupan masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam adalah sangat daif berbanding kaum Cina kerana sektor ekonomi tradisional seperti bercucuk-tanam, menoreh getah dan menternak haiwan tidak memberi pulangan pendapatan yang tinggi. Ekonomi yang dikuasai oleh kaum Cina berpusat di bandar-bandar besar yang membentuk rangkaian peruncitan dan perdagangan yang sangat kukuh sehingga kini. Sangat sukar untuk memecahkan monopoli sesetengah perniagaan yang menjadi keperluan asas seperti gula, beras dan barangan harian yang lain. Justeru, sejumlah wang yang ada di dalam negara sebahagian besarnya berlegar di dalam kelompok ini. Masyarakat Melayu dan lainnya hanya dapat menumpang sedikit daripada kekayaan tersebut kerana keadaan hidup mereka membentuk budaya yang sangat pasif dalam bidang perniagaan dan perdagangan.

Penguasaan ekonomi oleh kaum Cina masih berterusan sehingga ke hari ini meninggalkan jauh jaguh DEB apatah lagi yang tidak bersetuju dengan dasar tersebut.

Pelaksanaan DEB bukan memberi fokus kepada mengkayakan golongan masyarakat tertentu sebaliknya menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Walau bagaimanapun disebabkan orang-orang Melayu sangat miskin dan tertinggal jauh dalam pelbagai sektor, seharusnya tumpuan diberikan kepada mereka.

Kemiskinan menjadi penghalang kepada keadilan sosial di dalam mana-mana masyarakat. Jiwa orang miskin berbeza dengan orang yang mempunyai wang dan hidup mewah. Aspirasi hidup orang miskin juga rendah dan tidak mampu untuk menggerakkan inisiatif diri melainkan ada orang lain yang prihatin dan mengambil daya usaha untuk mengubah keadaan hidup tersebut.

Sewaktu mencapai kemerdekaan, kadar kemiskinan menghampiri 50 peratus. Secara perlahan-lahan, iltizam menjayakan DEB menyebabkan kadar tersebut berkurangan kepada lima peratus kini dan dijangka akan terus bertambah kurang pada tahun 2010. Kemiskinan tegar akan terus menjadi sasaran supaya masyarakat Malaysia yang makmur dapat direalisasikan. Program pembasmian kemiskinan bukan hanya disasarkan kepada masyarakat Melayu tetapi juga melibatkan kaum Cina, India dan bumiputera yang lain.

Hidup miskin, dalam masyarakat mana sekalipun, akan menyebabkan fikiran menjadi rungsing, jiwa menjadi lemah dan hidup tidak terurus. Kemiskinan juga menyebabkan kecenderungan terlibat dalam jenayah lebih tinggi. Ini kerana miskin berkait dengan keupayaan mendapatkan pendidikan yang lebih baik dan sempurna. Pendidikan dapat mengubah keadaan hidup, pandangan terhadap kehidupan dan membentuk tingkah laku yang lebih beradab. Pendidikan yang diterima oleh rakyat Malaysia sehingga kini telah memberi banyak perubahan kepada seluruh masyarakat tanpa mengira kaum kerana persaingan semakin ketara dalam banyak bidang.

Orang Melayu sangat lemah ketika awal kemerdekaan dahulu. Kini mereka dibantu dengan pelbagai dasar yang melibatkan berbilion ringgit yang dipelopori oleh DEB. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membuat perubahan yang lebih baik kepada rakyatnya. Kemudahan perniagaan, belajar di institusi pengajian tinggi, penjagaan kesihatan dan kebajikan serta keutamaan bekerja di sektor kerajaan adalah langkah membentuk kekuatan bangsa Melayu setelah dijajah selama 446 tahun.

Kejayaan hari ini juga telah memberi kebanggaan dan keselesaan kepada pelancong luar untuk memilih Malaysia sebagai negara contoh seperti mana yang diungkapkan oleh pelancong dari Australia ini:

"My wife and I recently honeymooned in this great nation.....We love it so much we have decided everytime we travel overseas we start in Malaysia. We love it just the way it is and is on track to be a developed nation by the year 2020. This is due to it Islamic Heritage.......look at Turkey now as soon as they started to find Islam they also started to prosper."

Membina umat Islam yang kuat dari segi politik, ekonomi, sosial dan budaya adalah hasrat semua pemimpin Islam di seluruh dunia. Dengan kekuatan inilah Islam akan dihormati dan tidak mudah diperlekehkan oleh musuh-musuh Islam. Ajaran Islam yang mengambil kira kepentingan bukan Islam tidak meminggirkan mereka kerana keadilan sosial dalam Islam menjaga kepentingan masyarakat bukan Islam. Apakah jati diri umat Islam akan kuat dan teguh jika mereka hidup dalam kemiskinan, kejahilan dan maruah tergadai jika tidak ada dasar yang dibentuk bagi membebaskan mereka daripada keadaan-keadaan tersebut?

Harga satu guni padi yang beratnya 40 kilogram tidak sama dengan 40 kilogram mikrocip. Padi adalah lambang kegiatan ekonomi masyarakat kampung dan mikrocip adalah kegiatan ekonomi bandar. Seguni padi berharga RM60 hingga RM70 manakala satu guni mikrocip berkali-kali ganda harganya. Justeru, banyak lagi usaha perlu dibuat bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar supaya mereka juga bersama-sama merasai kemajuan negara. Semangat Dasar Ekonomi Baru wajar diteruskan supaya semua kaum dapat mencapai taraf hidup yang setara dan dapat mengikis kecurigaan, hasad, prejudis dan nafsu saling berdengkian sesama sendiri. Malahan ia juga dapat merapatkan jurang sosial dan membina keakraban serta perpaduan kaum seperti yang difikirkan oleh Karim Perlis itu.

Beberapa pencapaian membanggakan dapat kita lihat setelah kestabilan politik, ekonomi dan sosial diwujudkan. Umpamanya, Malaysia adalah pengerusi Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), Organization of the Islamic Conference (OIC) dan Non-Aligned Movement (NAM). Begitu juga tindak balas segera terhadap pertempuran di Timor Leste dengan menghantar lebih 700 askar dan polis seterusnya menghantar pasukan pengaman di Selatan Filipina dan pasukan memantau ke Acheh.

Hari ini, kita berbangga kerana menjadi rakan dagang ke sepuluh terbesar dengan Amerika Syarikat yang melibatkan jumlah dagangan sebanyak US$44 bilion iaitu lebih 60 peratus jumlah dagangan di antara Amerika Syarikat dan India.

Manakala bagi keselamatan serantau, Malaysia adalah hos kepada Southeast Asia Regional Center for Counterterrorism (SEARCCT) di mana lebih 1,100 pegawai rantau Asia Tenggara menerima latihan menentang pengganas.

Kejayaan yang dicapai ini adalah kerana pelaksanaan dasar-dasar yang efektif, menyeluruh dan mencakupi keperluan masyarakat dan negara.