Tuesday, August 14, 2007

Pekerja asing melebihi masyarakat India

Jumlah pekerja asing dalam pelbagai sektor di negara ini kini lebih ramai daripada masyarakat India, iaitu kaum ketiga terbesar di Malaysia.

Berdasarkan statistik sehingga 30 Jun lalu yang dikeluarkan Jabatan Imigresen dan Bahagian Perangkaan Demografi Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah pekerja asing mencecah 1.91 juta manakala masyarakat India 1.88 juta.

Jumlah itu tidak termasuk lebih 400,000 pendatang asing yang dipercayai memasuki negara ini secara haram serta hampir 10,000 tahanan di depoh imigresen.

Malah, menurut sumber Bahagian Perangkaan Demografi, pertambahan penduduk India di negara ini agak perlahan berikutan beberapa faktor termasuk pengurangan tahap kesuburan wanita dan perkahwinan dalam usia lewat.

Pertambahan pekerja asing pula dijangka meningkat secara mendadak berikutan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Statistik unjuran kadar pertambahan penduduk menunjukkan menjelang 2009 pekerja asing di negara ini akan melebihi dua juta orang, sedangkan masyarakat India ketika itu hanya seramai 1.93 juta.

Kenyataan itu disokong statistik Jabatan Imigresen yang menunjukkan pengambilan pekerja asing bertambah 7,000 orang setiap bulan dan dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa.

Unjuran itu juga menunjukkan penduduk Malaysia kini berjumlah 27.17 juta orang dengan masyarakat Melayu masih menjadi kaum majoriti, iaitu 13.77 juta, Bumiputera lain (2.9 juta), Cina (6.3 juta), India (1.88 juta), lain-lain (326,000) dan bukan warga negara atau pekerja asing (1.91 juta).

Pada 2009 pula penduduk negara ini dijangka meningkat kepada 28.306 juta orang dengan masyarakat Melayu berjumlah 14.409 juta, Bumiputera lain (3.128 juta), Cina (6.437 juta), India (1.939 juta), lain-lain (340,000) dan bukan warga negara atau pekerja asing (2.051 juta).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar, berkata pertambahan pekerja asing memang tidak dapat dielakkan, terutama dalam RMK-9 yang memerlukan lebih 1.2 juta pekerja baru bagi memastikan semua sektor dapat digerakkan dengan lancar.

Sumber: Azrul Affandi Sobry, berita harian online

Monday, August 13, 2007

Perangai bergantung kepada diri sendiri



Penulis: Pendita Za'ba
Tahun: 2005, cetakan ketiga
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Muka Surat: 103

Lemah peribadi adalah punca utama kelemahan sesuatu bangsa. Pendita Za'ba dalam buku ini melihat kemunduran orang Melayu disebabkan sebahagian besarnya tidak percaya kepada kebolehan diri sendiri, lemah cita-cita, kurang hemah dan terlalu menggantung harapan kepada orang lain. Melayu juga cenderung meminta bantuan dan mencari pertolongan orang lain.

Bab pertama buku ini dimulai dengan petikan maksud ayat 2 dari surah Al-Mulk yang bermaksud, "Tuhan yang telah menjadikan hidup dan mati kerana Dia hendak menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)." Kecenderungan Za'ba melihat perkaitan agama dan perangai dalam masyarakat Melayu mungkin kerana pengaruh reformasi Islam Mesir dan pergerakan Turki Muda ketika itu. Beliau bermula dengan menulis artikel-artikel yang pendek untuk majalah Lembaga Melayu, Pengaruh dan al- Ikhwan pada 1917.

Antara kandungan yang menarik dalam buku ini ialah pendapat beliau megenai sikap bergantung kepada diri sendiri yang menjadikan sesuatu bangsa itu maju atau mundur. Kejayaan dan kemenangan bergantung kepada diri sendiri dari segi amal usaha dan Tuhan tidak pernah menyuruh manusia untuk berharap kepada sedekah tahlil dari orang yang masih hidup apabila telah mati nanti.Za'ba menilai Melayu ketika itu masih kurang sifat kuat berusaha, bekerja dan membuat sendiri usaha sesuatu pekerjaan berdasarkan kebolehan sendiri. Mengakui kelemahan diri tetapi tidak pula berusaha untuk keluar daripada keadaan tersebut. Contohnya, jika hendak memasukkan anak ke sekolah, kerapkali hendakkan perkhidmatan yang percuma, mengaku miskin, tidak tahu berusaha dan tidak pandai berjimat-cermat mengumpulkan wang untuk menyekolahkan anak-anak. Perkataan yang amat popular ialah "Tolonglah!"

Perbandingan Melayu dan bangsa-bangsa lain amat mempengaruhi keadaan ketika itu hinggakan Za'ba menyifatkan bangsa-bangsa lain sanggup berusaha dengan bersungguh-sungguh melalui berkebun sayur, menjual kayu api, air batu, mengayuh beca, menahan lapar dan membayar pendidikan anak-anak mereka bagi setiap yang diminta.Ketika mereka ini datang sebagai 'sengkek" - tanpa ada wang dan harta, hanya tulang dan akal ikhtiar serta kebolehan diri lalu mengumpul wang, membuka kedai sehingga memenuhi pekan kecil dan besar. Semua keadaan tersebut disebabkan bangsa-bangsa ini berpegang kuat dengan kepercayaan bahawa mereka boleh melakukannya sendiri.

Ulasan Editor: Za'ba adalah salah seorang pejuang Melayu yang ingin melihat bangsanya berubah dan maju. Pengamatannya terhadap kelemahan dan tertinggal di belakang disebabkan oleh sikap dan perangai yang ada pada mereka sendiri. "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri," demikian maksud dari surah Ar-Raad ayat 11.

Profesor Diraja Ungku Aziz kerap merujuk buku ini dalam ucapan atau tulisan beliau apabila memperkatakan mengenai perubahan sikap orang Melayu. Biar apa pun yang dikatakan oleh Za'ba, perubahan sikap sangat berkait dengan pemikiran. Jika perubahan hendak dibuat, pemikiran harus menjadi fokus. Pelaksanaan perubahan yang paling berkesan ialah pendidikan. Justeru, memperkasa pendidikan adalah syarat membentuk bangsa yang berfikir.

Friday, August 10, 2007

Peranan guru dan sekolah dalam sistem sosial (6)

Pendidikan di Malaysia meletakkan pencapaian akademik sebagai matlamat yang diutamakan. Kebanyakan ibu bapa percaya pendidikan di sekolah ialah menyediakan pelajar dengan pengetahuan akademik dan kemahiran yang diperlukan. Isu-isu yang berkaitan politik, budaya dan agama kurang diberi penekanan kecuali pengajaran agama melalui kelas fardhu ain di peringkat sekolah rendah untuk pelajar.

Sekolah dan nilai-nilai prososial


Ketika isu mengenai kandungan akademik yang perlu diajar di sekolah dibincangkan, masyarakat masih percaya nilai-nilai profesional seperti jujur, adil dan bertamadun boleh diserapkan melalui pendidikan. Kesejahteraan sosial masyarakat disokong oleh nilai-nilai seperti ini yang membolehkan ahli masyarakat dari pelbagai latar belakang hidup bersama dalam keadaan aman dan damai. Rose dan Gallup (1999) menambah nilai yang boleh diajar di sekolah ialah jujur, diterima oleh orang lain yang berbeza latar belakang, pemedulian oleh rakan dan keluarga, galakan tingkah laku bermoral, demokrasi dan patriotisme.

Sistem pendidikan di Amerika Syarikat umpamanya, amat mementingkan nilai-nilai prososial dalam kurikulum sekolah seperti mempromosi demokrasi sebagai alat penyatu bagi masyarakat yang pelbagai latar belakang seperti Afrika, Hispanic dan Asia.

Sekolah dan sosialisasi golongan muda

Melalui pengalaman di sekolah, kanak-kanak dan golongan remaja diserap dalam masyarakat dengan mempelajari tanggungjawab mereka. Proses sosialisasi menyediakan mereka untuk menjadi warganegara bertanggungjawab, mahu berdikari dan produktif dalam pembangunan ekonomi. Tambahan pula, sekolah adalah refleksi atau menjadi cermin masyarakat: menjana pengetahuan, kemahiran, nilai dan sikap yang dikenal pasti sebagai satu keperluan.

Pendidikan di peringkat sekolah rendah bermakna menghasilkan warganegara yang pintar. Tanpa hala tuju tersebut, masyarakat tidak dapat bersaing di pentas antarabangsa. Keperluan mensosialisasi kanak-kanak dan remaja diiktiraf oleh Emile Durkheim (1956)yang menyatakan, "masyarakat akan terus hidup jika wujud kesamarataan di dalamnya: pendidikan yang berterusan dan menekankan kesamaan sejak kanak-kanak seperti mana yang diingini oleh masyarakat."

Tambahan pula sekolah dapat menjadikan proses asimilasi daripada pelbagai etnik, agama dan budaya. Contohnya, penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar menyatupadukan semua kaum di Malaysia khususnya minoriti. Sekolah juga menjadi tempat pelajar mengenal dan memahami hari-hari penting dalam negara seperti hari raya, ulang tahun kemerdekaan, maulidur rasul dan sebagainya.


Sekolah dan perubahan sosial

Sekolah juga menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran untuk membangun masyarakat dan kehidupan yang lebih berkualiti serta mempercepatkan perubahan sosial. Walau bagaimanapun terdapat beberapa pemikiran yang berbeza mengenai bagaimana masyarakat boleh dimajukan.

Sesetengah guru percaya bahawa tujuan utama sekolah ialah membaiki masalah sosial dalam masyarakat, menakala yang lainnya percaya pengajaran akademik harus diutamakan. Pendapat lain ialah menyediakan pelajar untuk melaksanakan usaha berkhidmat kepada orang lain melalui aktiviti kesukarelaan dan aktif dalam kehidupan berpolitik dalam masyarakat.

Barangkali dalam pendidikan di Malaysia, perkhidmatan pembelajaran boleh diperkenalkan untuk memberi ruang kepada pelajar memahami pengalaman hidup melalui pembelajaran. Perkhidmatan pembelajaran memberi peluang kepada golongan pelajar untuk berinteraksi dengan ramai orang seperti yang sakit, tua, miskin, tidak ada rumah dan mengenali jiran-jiran.

Thursday, August 09, 2007

Peranan guru dan sekolah dalam sistem sosial (5)

Guru kelas, seperti juga seorang juruterbang, mempunyai matlamat yang jelas ke arah mana detinasinya. Setiap kali menjejakkan kaki ke dalam kelas, hala tuju dan destinasi telah diberi makna yang lebih padat iaitu apa yang berlaku ke atas pelajar adalah hasil daripada pengalaman di dalam kelas.

Guru akan memikirkan mengenai apa yang patut pelajar tahu, boleh lakukan atau bagaimana mereka mengalami sesuatu kesan daripada pengalaman di dalam kelas setelah persediaan dibuat oleh guru. Setiap aktiviti dan pengalaman pembelajaran secara jelas dan nyata mendorong kepada silibus yang telah ditetapkan.

Apabila guru telah mengenal pasti, peringkat seterusnya ialah bagaimana membawa pelajar ke tahap tersebut? Tahap ini lebih kritikal. Apakah cara atau kaedah yang sepadan dengan hasil akhir tersebut? Apa yang guru mahu daripada pelajar untuk mereka mentelaah dan bagaimana guru mahu pelajar mentelaah?

Bagaimanapun, wajar disemat di fikiran bahawa tidak ada seseorang yang memiliki pengetahuan sehingga beliau dapat mempraktikkannya untuk diri sendiri, gunakan dan disebarkan kepada orang lain. Guru yang berkesan ialah yang dapat mencetuskan aktiviti yang menggalakkan pelajar mengguna pakai pengetahuan mereka dan merasai pengalaman memiliki ilmu tersebut.

Dari segi kerja rumah atau tugasan yang perlu dibawa balik ke rumah, acapkali menjadi tidak sempurna kerana ia diberi dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak lengkap. "Untuk kelas esok, sila baca Bab 3." Kenyataan begini adalah terlalu umum dan tidak produktif bagi pembinaan ketelitian pelajar.

Memberi kerja rumah atau tugasanyang sangat penting bagi kemahiran para pelajar dalam banyak perkara. Yang penting di sini ialah bukannya semua tugasan tersebut dibuat dengan lengkap tetapi berapa banyak maklumat yang diuji dapat menjadi asas kepada kefahaman pelajar bagi kelas yang akan datang.

Justeru, guru dapat membantu pelajar untuk memahami bagaimana memilih pendekatan bagi menggunakan tugasan untuk memahami sesuatu subjek. Umpamanya jika ada bahagian-bahagian yang terperinci dan sukar difahami, guru boleh memberi penerangan yang lebih jelas seiring dengan kerja rumah berkenaan. keadaan pelajar yang berbeza-beza juga wajar diberi perhatian. Pelajar yang pintar lebih cepat memahami soalan berbanding pelajar yang lembap.

Tahap kesukaran dalam tugasan mesti dikenal pasti. Contohnya beberapa perkataan yang mempunyai makna berbeza atau tidak pernah didengar oleh pelajar boleh dijelaskan. Jika perkataan "justifikasi" atau "paradigma" ditulis pada awal ayat dan muka surat pertama, kecenderungan pelajar untuk tidak meneruskan soalan yang seterusnya mungkin lebih tinggi kerana semangat untuk menjawab dipatahkan oleh perkataan yang mereka tidak faham. Lebih baik jika guru dapat menulis nota kecil di bawah bagi menerangkan maksud perkataan tersebut.

Wednesday, August 08, 2007

Kerja "janji siap"

Pengalaman hidup mematangkan tindakan. Biar apa pun halangan dan rintangan yang menanti, jatuh dan bangun berhadapan dengan asam garam dalam hidup menjadikan hasil kerja lebih kemas, berkualiti dan diingati. Kriteria inilah yang dinamakan maruah. Justeru, kegagalan media menyediakan hasil kerja yang berkualiti, menepati kehendak dan matlamat serta meningkatkan imej adalah kesalahan yang sering dibaiki. Membuat sekali-sekala salah dan silap adalah lumrah tetapi sukar diterima jika terlalu kerap dan lebih teruk daripada sebelumnya. Gambaran "kerja siap" sebenarnya bermula dengan diri sendiri - mengurus kebersihan diri, makan-minum, berpakaian dan bertingkah laku.

Jika peringkat awal hidup, seseorang didedahkan dengan aspek kualiti diri, apabila bekerja pun dia akan menunjukkan tatahidup yang berkualiti dan bermaruah.

Iklan Petronas mengenai erti merdeka pada tahun ini mengambarkan seorang lelaki pengusaha sampan tradisional tidak bersungguh-sungguh dalam kerjanya kerana beliau mengguna pakai konsep "kerja siap." Sampan yang cantik akhirnya tenggelam kerana tidak ada kualiti.

Kualiti tidak ada kena mengena dengan bangsa, tempat atau budaya hidup sesuatu kaum. Ia sangat berkait dengan sejauh mana kesedaran pendidikan dijadikan sebagai ejen kepada perubahan. Dari segi agama, semuanya meletakkan kualiti di tempat tertinggi. Salah satunya ialah menguruskan kematian. Di dalam masyarakat Islam di Malaysia, khairat kematian adalah kumpulan yang ditubuhkan untuk menguruskan jenazah. Bermula dengan peranan penggali kubur yang akan menggali lahad apabila mendapat maklumat kematian, tukang mandi akan menyediakan peralatan untuk mandi mayat. Seterusnya mayat dikafankan dan dibawa pergi di hadapan imam yang bersedia memimpin orang kampung untuk menyembahyangkan jenazah.

Akhir sekali dibacakan talkin dan beredarlah orang ramai dari kawasan kubur selepas itu.

Sekiranya khairat mati ini mengamalkan konsep "kerja siap," barangkali jenazah tidak dapat ditalkin kerana semua proses ke arah itu perlu dibuat sekali lagi. Sehingga kini tidak pernah lagi kita mendengar jenazah dimandikan lebih daripada dua kali kerana kualiti kerja tukang mandi jenazah sangat berkualiti. Imam juga melakukan kerjanya dengan berkualiti dan pembaca talkin juga berbuat demikian.

Justeru, konsep kualiti khairat kematian di dalam masyarakat Islam ini boleh dijadikan sebagai bahan kajian dan perbincangan tentang bagaimana kualiti kerja seharusnya dilaksanakan sama ada pada individu atau organisasi.

Tuesday, August 07, 2007

Bagaimana Rupert Murdoch merangka strategi?

Kejayaan Rupert Murdoch membeli Dow Jones, pemilik Wall Street Journal dengan jumlah RM17 bilion (AS$5 bilion) telah melengkapkan cita-cita beliau untuk menguasai media utama antarabangsa. Rupert Murdoch, walaupun telah lanjut usia, tidak pernah menepikan cita-citanya untuk menguasai media. Beliau, yang memiliki akhbar The Times di London, penerbit terkemuka Harper Collins dan stesen Sky TV di Asia ialah ahli perniagaan sebenar.

Fox News dilancarkan pada 1996 oleh Rupert, usahawan yang telah pun memiliki News Corporation, konglomerat multibillion. Beliau mahu menguasai siaran kabel dan akan membuat apa sahaja untuk memilikinya.

Untuk berjaya dalam siaran kabel, ia perlukan dua perkara. Pertama, pelanggan yang menjadi nadi kepada perniagaan melalui penyedia perkhidmatan seperti Comcast dan Time Warner. Kedua, kandungan yang menarik bagi menambah bilangan pelanggan – kunci kepada wang yang akan mengalir masuk.

Langkah Rupert yang pertama ialah mencari seseorang yang dapat menjayakan misi baru ini. Beliau akan mencari dengan berhati-hati calon yang sesuai dan memilih Roger Ailes.

Roger Ailes bergiat cergas dalam beberapa siri kempen politik. Selepas itu bekerja di NBC selama tiga tahun dan meletakkan CNBC pada kedudukan kukuh. Beliau juga memulakan rancangan America's Talking bagi pihak GE tetapi kecewa apabila GE bergabung dengan Microsoft untuk menubuhkan MSNBC.

Roger meninggalkan NBC dengan kekecewaan tetapi Rupert tidak menunggu lama untuk mendapatkannya. Dia percaya Roger adalah calon terbaik bagi menguruskan entiti barunya - seorang yang bertenaga, banyak idea dan bersemangat. Ditambah dengan semangat berkobar-kobar untuk melenyapkan syarikat yang telah memusnahkan hasil kerjanya sebelum itu.

Dengan pemimpin yang betul, Rupert mula mencari pelanggannya. Dia dibayar bagi setiap siaran yang dilanggan dengan harga yang menarik. Manakala Roger mengambil bakat terbaik – Brit Hume dari ABC, Neil Cavuto dan sekumpulan pekerja dari CNBC, serta pengulas yang terkenal Bill O'Reilly.

Seperti yang dirancang, Rupert meneruskan usaha membangunkan perniagaan barunya, Fox News siang dan malam. Roger membuatkan masyarakat dunia khususnya dalam industri media dan penerbitan membuka akhbar dan televisyen tanpa dapat mengelak daripada mendengar dan melihat maklumat yang disampaikan melalui Fox News.

Rupert Murdoch adalah contoh seorang yang bersungguh-sungguh menjayakan misinya bagi mencipta sebuah gergasi media dunia: menjadi perhatian setiap orang, peruntukan yang besar untuk setiap sumber, pencapaian misi dan mencetuskan debat orang ramai di atas tindakannya.

Fox News, dalam masa yang singkat menewaskan MSNBC dan dijangka telah menjadi pilihan ramai bagi mengatasi siaran berita kabel yang telah terkenal sebelum ini, CNN.

Monday, August 06, 2007

Pengurusan dari perspektif solat

Penulis : M.Z.Azmie
Tahun : 1999
Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Muka surat : 142

Pengurusan dan solat sangat sinonim. Tindak-tanduk seorang pengurus sebenarnya tersirat dalam rukun mendirikan solat. Apabila setiap keputusan dan tindakan yang akan diambil oleh pengurus mengikut apa yang tersirat dalam solat, sesebuah organisasi akan berjaya mengatasi setiap masalah dalam hubungannya sesama manusia. Buku ini seharusnya dijadikan panduan dalam menguruskan sesebuah organisasi.

Di dalam solatlah terhimpunnya seluruh prinsip addeen yang menjadi tiang agama serta kehidupan. Solat boleh dijadikan sebagai sebuah senarai semak pengurusan yang mudah, menyeluruh dan seimbang.

Solat adalah pelaksanaan yang rutin bagi seorang Islam yang telah mencapai akil baligh. Dilakukan setiap hari tanpa ada pengecualian bagi yang tidak ada keuzuran syari'e. Pengulangan solat yang dilakukan sebanyak lima kali sehari seharusnya menjadikan solat lebih sempurna dan khusyuk. Bentrand Russel, seorang pemikir terkemuka telah mengakui peranan agama. Beliau mengatakan, "Tanpa syak lagi agama yang dibawa oleh Muhammad sebagai unsur penting dalam kejayaan negaranya."

Organisasi dan tujuan hidup adalah sama. Kiblat adalah lambang tujuan hidup yang jelas. Azan mewakili wawasan dan misi, menggunakan bahasa yang baik, jelas dan ringkas. Manakala objektif organisasi dibina berpandukan niat solat. Niat adalah satu deklarasi yang disertai oleh hati, perbuatan dan perkataan untuk menjadikannya berkesan.

Penulis buku ini ingin melihat kaitan solat dengan pengurusan organisasi dari tiga perspektif iaitu: (1) solat sebagai asas organisasi beriman, (2) kesempurnaan ibadat lain ditentukan oleh kesempurnaan solat, dan (3) solat sebagai senarai semak pengurusan yang mudah, menyeluruh dan seimbang.

Ulasan Editor: Pemisahan ilmu pengurusan daripada agama adalah kesan dari sejarah yang panjang. Pemisahan ini bermula di Barat apabila sekularisme menjadi pilihan pentadbir. Seterusnya penjajahan menjadikan pemisahan di antara ilmu dunia dan agama semakin lebar dan menjadi asas kepada pembinaan masyarakat industri sehingga kini.

Namun, ternyata pemisahan agama dari pengurusan telah mencetuskan pelbagai kegawatan kepada dunia kini. Maka acuan yang baru sedang dicari.



Saturday, August 04, 2007

Peranan guru dan sekolah dalam sistem sosial (4)

Dalam buku The Life of Reason, George Santayana berkata, "Sesiapa yang tidak dapat mengingati masa lepas patut dikutuk untuk mengulanginya." Dalam nada yang sama, Adlai Stevenson berkata, "Kita dapat mencatur masa depan dengan jelas dan bijak hanya apabila kita tahu masa lepas yang memimpin ke masa depan." Bagi guru, implikasi dua kenyataan tersebut adalah jelas: Masa lepas memberi impak kepada pengajaran dan sekolah pada hari ini. Guru yang ada pada hari mempelajari banyak perkara daripada guru mereka sebelum ini. Mereka tahu betapa masa silam akan pergi dan kini berusaha membentuk arah tuju pendidikan yang baru demi masa depan. Justeru, kita tidak dapat memahami pendidikan pada hari ini tanpa melihat apa yang telah berlaku pada masa silam.

Sehingga ke hari ini, apakah pengetahuan yang perlu diketahui oleh guru untuk menjadi seorang pendidik atau pengajar yang lebih baik? Pertama, maklumat mengenai idea dan peristiwa yang mempengaruhi sekolah dapat membantu menilai dengan lebih baik persediaan ke arah perubahan. Guru akan berada dalam kedudukan terbaik untuk menilai perubahan jika memahami bagaimana sekolah berkembang kerana perkembangan tersebut akan mempengaruhi usaha yang dilakukan kelak. Kedua, berwaspada terhadap idea dan peristiwa yang mempengaruhi pengajaran adalah ciri-ciri profesionalisme dalam pendidikan.

Beberapa perkara asas konsep dan falsafah dapat membantu seseorang untuk menjadi guru yang lebih baik dalam pengajaran iaitu:

1. Apakah tujuan yang sepatutnya dalam pendidikan?
2. Apakah pengetahuan semula jadi ilmu pengetahuan?
3. Apakah nilai-nilai yang patut diterapkan kepada pelajar?
4. Apakah maklumat yang paling bernilai?
5. Bagaimana pendidikan harus dinilai?

Apakah yang menentukan falsafah pendidikan?

Falsafah pendidikan mengandungi apa yang kita percaya mengenai pendidikan iaitu satu kelompok prinsip yang menjadi panduan bagi melaksanakan kerja profesional iaitu mendidik. Setiap guru, sama ada sedar atau tidak mempunyai falsafah pendidikan sendiri iaitu set kepercayaan tentang bagaimana manusia belajar dan berkembang, apa yang patut dipelajari untuk hidup dalam keadaan yang baik. Sesetengah guru menghargai falsafah pendidikan ini manakala sesetengahnya pula beranggapan ianya tidak memberi sumbangan ke atas pendidikan yang sedang dilakukan.

Hakikatnya, tingkah laku guru sangat kuat hubungannya dengan kepercayaan diri, pengajaran dan pendidikan, pelajar, pengetahuan dan yang berkaitan dengannya.

Kepercayaan tentang pengajaran dan pendidikan

Salah satu komponen yang penting dalam falsafah pendidikan ialah bagaimana kita melihat pengajaran dan pendidikan. Dalam erti kata yang lain, apakah peranan utama sebagai seorang guru? Apakah seorang guru akan menjadi pakar dalam bidangnya dan dapat menyampaikan kepakarannya kepada pelajar? Apakah seorang guru akan membina hubungan yang mesra dengan pelajar, membimbing perkembangan mereka dan memenuhi keperluan asas dalam pelajaran? Atau apakah akan menjadi seorang yang bersifat teknikal yang dapat mengurus pembelajaran ramai pelajar dalam satu masa?

Sesetengah guru amat menekankan pengalaman individu dan perkembangan kognitif pelajar. Sesetengahnya pula menekankan pembentukan tingkah laku. Pendidikan, jika dilihat daripada perspektif yang pertama, adalah perubahan pemikiran atau tingkah laku yang terhasil daripada pengalaman individu, justeru pendidikan adalah perubahan besar yang terhasil daripada dorongan dalaman diri individu berkenaan. Sebaliknya, pandangan kedua memberi takrifan bahawa pendidikan adalah gabungan di antara pelbagai rangsangan dan tindak balas. Di sini dapat dikatakan pendidikan adalah kesan daripada dorongan luaran ke atas individu.

Kepercayaan tentang pelajar

Kepercayaan ke atas pelajar memberi pengaruh yang sangat besar ke atas seorang guru. Setiap guru memberi gambaran awal di dalam pemikirannya terhadap pelajar – apa yang disukai, kemahiran, tahap pelajaran, motivasi dan pengharapan. Apa yang disangka oleh guru adalah berdasarkan kehidupan unik yang dilalui, latar belakang keluarga, pendedahan terhadap persekitaran dan siapa yang dicontohi.

Pandangan negatif guru-pelajar mungkin mendorong kepada hubungan yang bersifat takut dan memaksa berbanding percaya dan membantu. Pandangan positif pula melihat hubungan berkenaan mungkin longgar dan pelajar akan "kaduk naik junjung." Walau bagaimanapun, sebagai guru yang profesional, biar macam mana keadaan sekali pun pelajar berkenaan, mereka semuanya boleh belajar dan dididik.

Kepercayaan tentang pengetahuan

Bagaimana guru melihat pengetahuan sangat berkait dengan pelaksanaan pengajarannya. Jika guru melihatnya sebagai kumpulan fakta, pelajar akan mempelajarinya secara fakta juga tanpa banyak memerah otak untuk berfikir. Jika secara konsep, ia sangat berkait dengan idea dan membantu memahami dan mempengaruhi persekitaran. Contohnya, mungkin seorang guru ingin melihat pelajarnya memikirkan tentang bagaimana pembangunan kampung yang bertukar menjadi bandar mempengaruhi perkembangan ekonomi, sosial dan budaya penduduknya, ataupun bagaimana tujuh tabiat utama oleh Stephen Covey mempengaruhi pembentukan individu yang cemerlang.

Seterusnya para guru berbeza dari segi memahami sama ada pelajar benar-benar mempelajari pengalaman hidup mereka untuk mendapatkan pengetahuan. Maklumat diri dan pengalaman tidak sama dengan subjek yang diajar di dalam kelas kerana perkembangan setiap individu adalah unik.

Kepercayaan tentang apa yang patut diketahui

Guru mempunyai pendapat yang berbeza tentang apa yang patut diajar. Di Malaysia, sesetengah pendidik percaya kemahiran membaca, menulis dan mengira perlu diutamakan. Inilah antara kemahiran asas yang menentukan seseorang pelajar kelak dan sekolah mempunyai tanggungjawab penuh untuk mempastikan setiap pelajarnya dapat mengusai tiga kemahiran ini. Ada pendapat di Barat yang mengenengahkan idea bahawa mendedahkan pelajar kepada asas sains, matematik, sastera dan sejarah akan menyediakan pelajar yang bakal menguasai masa depan. Manakala pendapat yang ketiga pula sangat mengutamakan perkembangan keseluruhan kanak-kanak dan pengajaran harus menjadi alat kepada pencapaian kendiri setiap pelajar. Oleh itu kurikulum harus memberi makna dan menyumbang kepada usaha pelajar untuk menjadi matang dan diperkasa.

Lima orientasi falsafah pendidikan moden

Lima asas tersebut ialah perennialisme, esentialisme, progresivisme, eksistentialisme dan social reconstructionism.

Perennialisme – bererti ada penerusan. Tujuan pendidikan, menurut aliran pemikiran ini ialah memastikan pelajar dapat menguasai pengetahuan tanpa menukar prinsip atau idea yang yang hebat. Mereka percaya bahawa pemikiran yang hebat membantu meneruskan penyelesaian ke atas sebarang masalah. Kurikulum harus ditekan kepada perkembangan intelektual dalam sastera dan sains. Untuk menjadi "celik budaya," pelajar harus menguasai bidang tersebut dengan kaedah yang terbaik. Justeru itu buku tulisan Shakespeare menjadi pilihan pelajar sastera dan pelajar sains akan mempelajari hukum gerakan atau hukum termodinamik berbanding bagaimana membina model untuk pergi ke angkasa lepas.

Esentialisme – sama seperti perennialisme tetapi lebih konservatif. Mereka percaya budaya manusia harus menjadi asas kepada pengetahuan yang mana sekolah mesti mengajarnya secara sistematik dan berdisiplin. Pengetahuan asas dan kemahiran yang produktif di dalam masyarakat harus diajar dan didedahkan. Menurut aliran pemikiran ini, pengajaran wajar praktikal dan menyediakan pelajar dengan arahan yang dapat menyediakan mereka untuk hidup, oleh itu sekolah tidak harus memaksa nilai-nilai sosial. Tanpa pendekatan seperti itu, pelajar akan dipaksa untuk menerima dan bertingkah laku yang menyimpang daripada keperluan hidup mereka.

Progresivisme – berdasarkan kepercayaan bahawa pendidikan sepatutnya berpusatkan pelajar berbanding guru atau subjek. Aliran pemikiran ini berasaskan kepada tiga andaian: (1) kandungan kurikulum patut menarik minat pelajar berbanding mengajar disiplin akademik, (2) pengajaran yang berkesan mengambil kira keseluruhan pelajar dan keperluannya dari segi kognitif, afektif dan psikomotor, dan (3) pembelajaran patut lebih aktif, bukannya pasif.

Eksistentialisme – agak unik kerana memberi tumpuan ke atas pengalaman individu. Aliran ini percaya individu harus mengetahui kehidupannya, apakah makna hidup kepada diri dan apakah yang benar untuk kehidupannya. Secara umum, pendokong pemikiran ini menekankan pilihan kreativiti, pengalaman hidup dan tindakan yang kukuh ke atas kewujudan manusia. Ahli falsafah Perancis, Sartre berpendapat setiap individu yang hidup mesti menentukan apakah erti kehidupan itu terhadap dirinya. Terpulang kepada diri seseorang untuk menentukan siapakah dirinya. Justeru itu, guru perlu membenarkan pelajar untuk bebas memilih dan menyediakan pengalaman yang dapat membantu mereka untuk mencari dan memberi makna terhadap hidup. Pendekatan ini, walaupun berbeza dengan pendekatan yang lain, tidak bermakna pelajar bebas membuat apa yang disukai kerana kebebasan mempunyai peraturan dan menghormati kebebasan orang lain adalah sangat penting.

Social reconstructionism – berpendapat sekolah harus mengambil tanggungjawab untuk memimpin perubahan atau menyusun semula masyarakat. Aliran pemikiran ini diasaskan oleh Theodore Brameld yang menyatakan; (1) hidup sekarang penuh dengan krisis dan sesebuah tamadun boleh lenyap dalam sekelip mata, dan (2) manusia juga berfikir, bijak, bersifat teknologikal dan berpotensi membentuk sebuah kehidupan yang sejahtera, sihat dan memenuhi keperluan hidup mereka. Justeru itu sekolah wajar menjadi ejen kepada perancangan dan perubahan sosial. Sekolah tidak hanya sebagai tempat berpindah ilmu dan pengetahuan tentang sosial di dalam masyarakat sebaliknya membina semula sosial masyarakat.

Thursday, August 02, 2007

Tabiat 7 Mengikuti jejak-jejak kejayaan (1)

Semua orang mahukan kejayaan. Pelajar mahukan kejayaan 17A1 dalam peperiksaan, peniaga mahukan keuntungan berlipat-lipat ganda, pensyarah mahu cepat mendapat gelar profesor, pelajar universiti mahu cepat dapat kerja dan pegawai gred 54 mahu cepat mendapat pangkat Jusa C!

Masalah kebanyakan orang ialah bukannya mereka tidak boleh mengecapi kejayaan. Halangan terbesar mereka ialah salah faham erti kejayaan. Kefahaman yang selalu dinyatakan ialah kejayaan berada pada mereka yang berbakat, pintar dan memiliki sesuatu yang luar biasa.

Kita disogok dengan kejayaan adalah kekayaan. Lahirlah jutawan Internet, jutawan MLM dan jutawan tani yang memiliki harta dan kekayaan. Kekayaan yang melimpah ruah. Ada ungkapan hebat berbunyi, “Wang tanpa menjual,” “Bekerja dari bilik tidur” dan “Wang bekerja untuk anda.”

Kemungkinannya matlamat mencapai kekayaan adalah salah faham terbesar tentang kejayaan. Ramai orang yang percaya jika mereka memiliki kekayaan wang dan harta, hidup mereka akan bahagia selama-lamanya.

John D. Rockfeller, seorang jutawan dalam bidang industri telah ditanya berapakah sebenarnya yang diperlukan untuknya berpuas hati terhadap kehidupan yang dilaluinya. Dia menjawab, “Hanyalah sedikit.”

Pada tahun 1923, lapan orang yang mempunyai wang melebihi kepunyaan kerajaan Amerika Syarikat berkumpul di Edgewater Beach Hotel di Chicago .... 25 tahun kemudiannya;

Charles Schwab, hidup dengan wang yang dipinjam selama 5 tahun sebelum meninggal dunia.

Howard Hopson, menjadi gila.

Athur Cutton, meninggal dunia di luar negara dalam keadaan muflis.

Richard Whitny, dihantar ke pusat pemulihan.

Albert Fall, dibebaskan dari penjara supaya boleh menghembuskan nafas yang terakhir di rumah.

Jesse Livermore, Iver Krueger dan Leon Frazer telah membunuh diri!!!

Apakah erti kejayaan? Kesudahan hidup yang menjadi penentu, bukannya permulaan.


“Dan sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu daripada permulaan.”

(Surah Ad Dhuha ayat 4)


Senarai Fortune 500 yang diterbitkan pada tahun 2006 telah menyenaraikan individu dan syarikat yang kaya-raya. Contohnya Petroliam Nasional Bhd (Petronas), dianggarkan mempunyai pendapatan yang berjumlah US$44.3 bilion.

Dalam senarai Asia’s Top 20, kedudukannya di tangga ke-20 dengan aktiviti perniagaan di 31 buah negara. Harga minyak yang tinggi dan permintaan yang mendadak daripada negara ekonomi dunia seperti China dan India pasti akan menambah pendapatan Petronas pada masa depan. Berbanding Petronas, syarikat minyak paling kaya di dunia ialah ExxonMobil yang mempunyai pendapatan US340 bilion. Sungguh kaya!

Global 500 menganggarkan jumlah pendapatan syarikat yang tersenarai adalah US$18.93 trilion pada tahun 2005 sahaja. Daripada senarai ini, syarikat yang beroperasi di Amerika Syarikat berjumlah 170 buah.

Itulah kekayaan yang dapat dicapai oleh manusia pada hari ini. Wang dan kekayaan adalah impian. Dengan wang, dunia boleh dibeli. Dengan wang, nilai boleh diketepi. Dengan wang, hati menjadi mati.

Wednesday, August 01, 2007

Peranan guru dan sekolah dalam sistem sosial (3)

Guru yang sebenar melibatkan aktiviti lebih daripada menuruti bulat-bulat pelan pengajaran yang disediakan. Kecemerlangan mengajar melibatkan "apa" yang mahu diajar dan "bagaimana" hendak mengajar. Mengajar adalah aktiviti yang kompleks, perlukan pemikiran yang mantap, memberi dorongan kepada orang lain dan mendapat penilaian yang baik.

Apakah pengetahuan yang diperlukan untuk mengajar?

Seorang guru wajar melengkapkan diri dengan tiga bentuk pengetahuan: pengetahuan tentang diri dan pelajar; pengetahuan terhadap subjek; dan pengetahuan mengenai teori pendidikan dan penyelidikan.

Guru yang berkesan amat memahami diri mereka dan sangat sensitif dengan keperluan pelajar. Sebaiknya, guru perlu memahami pelajarnya sebanyak yang boleh supaya proses komunikasi dapat berlaku dengan lancar. Bagaimanapun, apakah kaitannya di antara maklumat diri dan keupayaan merangsang proses pembelajaran pelajar? Jika seorang guru memahami keperluan diri, situasi tersebut dapat membantu proses pembelajaran pelajarnya. Arthur Jersild (1955) yang mengkaji kaitan di antara memenuhi keperluan peribadi guru dan keberkesanan pengajaran, beliau dapati kefahaman diri para guru dan menerima tahap kebolehan diri dapat membantu pelajar untuk mengetahui dirinya dan menerima apa yang ada padanya.

Penilaian kendiri seorang guru dipengaruhi oleh keadaan emosi ketika mengajar seperti perasaan bimbang atau keseorangan. Cemas adalah perasaan biasa ketika kali pertama mengajar bagi mana-mana guru.

Tiga keadaan yang menyebabkan guru berasa cemas atau bimbang ialah: 1) proses pengajaran yang tidak pernah habis, 2) kerap kali muncul isu yang di luar jangka, 3) sukar untuk mengenal pasti dengan tepat apakah pelajar telah mempelajari sesuatu daripada proses pengajaran. Tidak seperti arkitek, peguam atau doktor, guru jarang dapat duduk diam dan melihat pelajar melaksanakan kerja mereka kerana kejayaan dalam pendidikan sebenarnya lebih memihak kepada pelajar. Apabila pelajar mendapat 17A dalam peperiksaan, yang menonjol adalah pelajar tersebut dan guru hanya dapat menumpang bangga kerana kejayaan pelajar itu.

Kebanyakan guru pada hari ini inginkan masa yang lebih bagi mewujudkan interaksi dengan rakan sebaya supaya masing-masing dapat menilai keberkesanan pengajaran. Tanpa adanya peluang untuk menerima maklum balas ini, seorang guru akan rasa tertekan dan dikesampingkan daripada usaha penambahbaikan kerjaya sebagai guru yang profesional. Tambahan pula, memerhati bagaimana rakan sebaya yang lain menerima cabaran pengajaran akan dapat membantu guru apa yang harus dilakukannya untuk menghadapi cabaran yang sama.

Pengetahuan terhadap pelajar

Mengetahui pelajar adalah penting. Ciri-ciri pelajar seperti bakat, cara gaya belajar, tahap perkembangan dan kesediaan untuk belajar adalah beberapa contoh yang perlu diambil perhatian. Pentingnya maklumat ini adalah bertepatan dengan pengalaman para guru yang telah bertahun-tahun mengajar iaitu: untuk mengajar kanak-kanak dengan baik kamu mesti tahu kanak-kanak tersebut dengan baik juga.

Seorang guru akan mendapatkan maklumat pelajarnya melalui proses belajar, memerhati dan interaksi secara berterusan dengan pelajar. Tanpa memahami kanak-kanak dan remaja, sukar bagi guru untuk membantu pelajarnya berkembang dengan baik. Justeru pengharapan kepada pelajar akan terkesan secara langsung.

Pengetahuan terhadap subjek

Seseorang yang mendapat gelar "guru" dijangkakan mempunyai ilmu yang luas dalam bidangnya. Tidak dapat diragukan lagi, guru mempunyai maklumat yang lebih banyak dan mempunyai kemahiran khusus untuk membantu proses pembelajaran pelajar mereka.

Bagaimanapun, pengetahuan terhadap subjek tidak dapat diterjemahkan kepada kefahaman mengenai bagaimana subjek tersebut dapat dikongsi bersama pelajar. Guru memerlukan kaedah mengajar atau dikenali sebagai pedagogi supaya maklumat yang ada pada guru dapat disampaikan kepada pelajar melalui analogi, metafora, eksperimen, demonstrasi dan ilustrasi.

Pengetahuan mengenai teori pendidikan dan penyelidikan

Teori-teori berkaitan pengajaran dan penyelidikan akan membantu guru untuk membuat keputusan dalam ruang lingkup di sekolah. Ia tidak sahaja membantu perancangan strategi mengajar malah mengetahu bagaimana strategi berkenaan dapat dilaksanakan. Disebabkan seorang guru memahami benar kepentingan sesuatu teori, dia akan mendapat akses yang lebih luas bagi menyelesaikan sebarang masalah atau konflik. Sebagai guru, impian utama ialah menjadi guru yang profesional dengan mempelajari bagaimana menjayakan sesuatu pengetahuan yang berada pada tahap teori kepada amalan sebenar dalam pengajaran dan pendidikan di sekolah dan institusi pendidikan yang lain.

Mari kita lihat kes-kes yang berlaku dalam sistem pendidikan negara baru-baru ini. Ia melibatkan pelajar-guru yang mencetuskan kegelisahan kepada semua pihak. Tindakan guru besar menampar pelajar, guru merendam pelajar, guru mencabul pelajar dan membayar RM15.00 untuk menutup perbuatannya, pelajar mencekik guru dan guru merogol pelajar. Dalam semua kes ini, guru yang menjadi subjek, dinilai dari kaca mata profesion perguruan. Pada masa yang sama, martabat profesionalisme guru harus dijaga. Ketika negara sedang berusaha menempatkan diri sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau, guru wajar melengkapkan diri dengan tiga pengetahuan yang disebutkan di atas supaya proses pengajaran dan pendidikan dapat diperkasa.