Wednesday, May 16, 2007

Konflik keluarga mendominasi kehilangan kanak-kanak

Kanak-kanak hilang sejak 2004 berjumlah 5,996 orang dan sebahagian besarnya adalah perempuan. Walaupun jumlah yang hilang sejak 2004 hingga 2006 menunjukkan pengurangan, tidak ramai daripada kanak-kanak ini dijumpai semula. Bilangan kehilangan dan dijumpai ditunjukkan di bawah:

2004
2,405 (hilang) 1,752 (dijumpai)

2005

1,803 (hilang) 1,254 (dijumpai)

2006
1,485 (hilang) 900 (dijumpai)

Manakala bagi tahun 2007 (sehingga April), 303 kehilangan dilaporkan dan 176 daripadanya dijumpai semula.

Punca kanak-kanak hilang di Malaysia kebanyakannya dikaitkan dengan lari dari rumah kerana terpengaruh dengan ajakan dan pujuk rayu rakan atau teman lelaki dan teman wanita. Sebahagiannya pula kerana menghadapi konflik keluarga, kurang perhatian oleh keluarga dan ingin hidup bebas menikmati zaman remaja. Sebab-sebab yang lain ialah penderaan, mencari pekerjaan, ditipu dan dijadikan pelacur, tidak berminat belajar, gagal peperiksaan, mangsa cabul dan rogol oleh keluarga, dibunuh, diculik, hilang di hutan dan hilang di laut


Secara umum, kanak-kanak perempuan yang berumur di antara 14 hingga 17 tahun meninggalkan rumah kerana mengikut kawan. Bagi kanak-kanak di bawah 14 tahun, mereka hilang kerana diculik, dikurung atau dibunuh.

Beberapa kes kehilangan kanak-kanak yang berlaku setiap tahun lebih kerap melibatkan kanak-kanak perempuan. Tengku Puteri Nur Aqilah Tengku Kamarudin dilaporkan hilang pada April 2005 dan kembali ke rumah dua tahun selepas itu. Keadaannya sugul dan tidak banyak bercakap. Noor Zuliati Mohd Zulkipli, keluar dari rumah pada Oktober 2006 selepas merajuk dan dijumpai sebelas hari kemudiannya. Nurshafiqah Borhan, berusia 14 tahun dijumpai mati dua hari selepas dirogol dan dibunuh. Mayatnya dilihat berada di dalam longkang dengan pakaian sekolah yang lengkap pada 28 Januari 2006.

Manakala Ching Poon, 8 tahun, diculik pada 25 April 2006 dan rangka mayatnya ditemui sebelas hari kemudiannya di Johor Bharu. Dan yang terbaru, Muhamad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin dijumpai semula selepas gerakan besar-besaran selama 15 hari di seluruh negara.

Di laman web
http://my.missingkids.com, terdapat 13 orang remaja perempuan dilaporkan hilang. Syuhada Yahya, sekarang berumur 23 tahun, dilaporkan hilang pada Julai 2002 kerana disyaki dilarikan oleh rakyat Indonesia ke Acheh. Konflik keluarga menyebabkan Ho Lee Lee dari Kuching, Sarawak, mengambil keputusan keluar dari rumah. Kehilangannya pada Ogos 2002 masih tidak dapat dikesan tetapi dipercayai masih bersama rakan-rakannya.

Daripada lima alasan utama kehilangan kanak-kanak, didapati dua sebab terpenting ialah pengaruh rakan dan konflik yang tercetus di dalam keluarga. Kesan pembangunan dan pembandaran telah menggalakkan peralihan dari keluarga besar kepada keluarga nukleus seterusnya menenggelamkan nilai-nilai dan tradisi masyarakat.

Pada awal tahun 1990-an dahulu, kerajaan melancarkan kempen masyarakat penyayang ke seluruh negara bagi menggalakkan pembentukan keluarga yang lebih harmoni dan menjadikan keluarga sebagai teras kesejahteraan masyarakat. Sebelum kempen ini dilancarkan, beberapa kes penderaan kanak-kanak telah berlaku khususnya yang menggemparkan negara iaitu Balasundram (
http://www.parlimen.gov.my/hindex/pdf/DN-07-08-1991.pdf - Tuan Abdul Rashid bin Ismail, muka surat 45), meninggal dunia kerana didera ahli keluarga sendiri. Kes-kes yang berlaku selepas itu ternyata membuka mata ramai pihak untuk mengambil inisiatif ke arah menumpukan program kekeluargaan.

Akademi Keluarga Bahagia (AKRAB), Summer Camp dan Superkids adalah antara program pembangunan diri yang mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat. Ketika itu juga jenama terkenal dalam pembangunan keluarga, Datuk Mohd Fadzillah Kamsah dan Datuk Hassan Ali muncul memberi panduan kepada seluruh keluarga di Malaysia tentang bagaimana melahirkan keluarga penyayang. Sambutan daripada orang ramai sangat mengalakkan dan pada hari ini semakin banyak program kekeluargaan yang dianjurkan di semua peringkat masyarakat.

Dalam satu kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, ibu bapa yang memberi masa secukupnya untuk keluarga mereka mendapati perkembangan yang positif terhadap potensi anak-anak yang dibesarkan. Antara hasil kajian berkenaan ialah:

1. Prestasi yang lebih baik di sekolah
2. Tabiat makan yang sihat
3. Menjauhi dadah dan alkohol
4. Ada harga diri yang memberangsangkan

Kunci kepada empat kesimpulan di atas adalah "masa bersama keluarga." Peranan keluarga terletak pada sejauh mana suami dan isteri memperuntukkan masa di sebalik kesibukan kerja masing-masing. Mahu atau tidak, keluarga di bandar lebih sukar mencari masa yang berkuantiti kerana cara gaya hidup yang berbeza daripada pinggir bandar. Inilah cabaran utama keluarga di bandar untuk mempastikan perkembangan anak-anak yang sihat dapat dijayakan dengan sempurna.

Bak kata pepatah, "hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, cuba seribu cara." Dengan menilai semula jadual kerja, sesebuah keluarga akan pasti menjumpai peluang-peluang untuk membina kembali kemesraan dan kegembiraan. Beberapa cara yang mudah dan praktikal dapat memupuk hubungan yang lebih intim di antara ibu bapa dan anak-anak iaitu:

1. Berjemaah solat khususnya maghrib dan isyak.
2. Makan malam bersama sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
3. Mengutamakan jadual keluarga daripada aktiviti sukan dan sosial kerana perkembangan anak-anak lebih mustahak.
4. Galakkan aktiviti bersama iaitu permainan berkumpulan bagi meningkatkan interaksi sesama ahli keluarga.
5. Menggunakan masa sebelum tidur anak-anak dengan mendengar dan memberi maklum balas apa yang mereka lakukan sepanjang hari.
6. Jadikan kerja sekolah anak-anak sebagai aktiviti keluarga. Cara ini dapat membantu membangunkan kreativiti kepada penyelesaian masalah di samping memberi ruang untuk percambahan fikiran.

Kasih-sayang di dalam keluarga adalah penentu kepada hubungan yang berkekalan di antara ibu bapa dan anak-anak. Eratnya hubungan masa depan sesama ahli keluarga tidak dapat dibuat-buat malah mesti dibentuk dan dipupuk bermula sejak keluarga diwujudkan. Banyak indikator yang boleh kita gunakan untuk menilai sejauh mana kehadiran perasaan kasih dan sayang sesama suami isteri, anak-anak dan ibu bapa. Antaranya ialah berapa kerap bertanya khabar, berapa kali belaian psikologi dan fizikal diberikan, apakah bentuk interaksi yang jelas dalam perbualan seharian keluarga dan bagaimana sesuatu konflik yang timbul diselesaikan.

Keluarga adalah pusat kepada perkembangan individu di dalam masyarakat. Di mana-mana negara sekali pun, institusi keluarga sentiasa diperkukuhkan dan dimantapkan kerana masyarakat tanpa keluarga tidak akan berjaya biar sehebat manapun usaha yang dilakukan. Justeru itu, Islam datang dengan panduan dan amalan yang praktikal bagi membentuk sebuah keluarga yang sejahtera.

Dari perspektif Islam, proses didikan kanak-kanak bermula sejak di dalam kandungan. Peringkat seterusnya ditentukan oleh persekitaran kanak-kanak tersebut. Jika ibu bapanya ada ciri-ciri penyayang, beruntunglah kanak-kanak tersebut. Dia akan ditatang dengan didikan ruh, berjiwa pejuang dan berakhlak mulia. Jika ibu bapanya ada ciri-ciri pembenci, nahaslah masa depannya. Dia membesar dengan jiwa yang memberontak dan tidak puas dengan kehidupan. Adab dan budi bahasanya kasar dan tidak tahu erti bertimbang rasa.


Amat malang bagi keluarga yang kehilangan anak-anak disebabkan punca dari dalam rumah kerana faktor tersebut boleh dikawal. Didikan nilai dan agama dapat mencegah kanak-kanak daripada mementingkan diri sendiri dan membelakangkan ibu bapa. Jiwa kanak-kanak yang bersih dan suci amat mudah terpengaruh dengan keseronokan yang melalaikan diri.

Apa yang akan berlaku di dalam kehidupan seorang kanak-kanak jika tidak pernah diajar bersolat, tidak pernah ditegur jika meninggalkan solat dan tidak pernah diajak untuk bersolat? Dia akan membesar sebagai remaja yang buta pada agamanya sendiri, jiwa yang kosong dan tidak tentu arah tuju hidupnya. Yang membimbangkan ialah apabila mati, hendak membaca al-quran sebagai sedekah kepada ibu bapa juga tidak tahu kerana tidak pernah diajar untuk mengaji semasa kecilnya. Dalam hal ini, siapa yang patut dipersalahkan?

Anak-anak remaja perempuan dan lelaki yang keluar malam dan belum tentu balik ke rumah, apa yang akan berlaku kepada mereka apabila berkeluarga kelak? Kitaran hidup adalah sunnah alam. Hari ini remaja yang merungsingkan hati ibu bapanya, hari esok dia juga turut rungsing dengan perangai dan kelakuan anak-anaknya. Kitaran hidup sebegini hanya boleh dipecahkan melalui kesedaran, belajar tentang keluarga dan mahu membuat perubahan yang positif iaitu kembali kepada fitrah manusia yang menjadikan Allah dan RasulNya sebagai panduan, bukannya mengambil teori-teori kosong yang kadangkala lebih menjurus kepada kemusnahan sesebuah keluarga.


Guru yang membantu anak muridnya belajar membaca

Hari ini adalah Hari Guru. Selamat Hari Guru kepada semua guru di Malaysia.

Dua puluh tiga tahun yang lalu, Cikgu Ibrahim mengajar saya mata pelajaran Bahasa Malaysia. Kelas hari itu berkaitan dengan ejaan. Saya di antara tiga orang pelajar yang dilewatkan keluar untuk rehat pagi kerana salah mengeja perkataan "lengang." Saya eja "lenggang." Dan saya yakin "lenggang" itulah yang betul. Cikgu Ibrahim, dengan sifat seorang ayah, memberitahu kepada saya yang "lenggang" adalah menggoyangkan pinggang, dan "lengang" adalah keadaan jalan raya yang tidak banyak kenderaan. Selepas itu barulah saya mengeja perkataan yang betul iaitu "lengang."

Seterusnya, kejayaan adalah milik saya. Belajar membaca tanpa jemu, mengeja dengan berhati-hati dan bertanya jika tidak faham. Cikgu Ibrahim adalah lambang kegigihan seorang pendidik yang tabah memberi imu dan mengajar saya daripada dangkal kepada cerdik, cukup makan kepada cemerlang, daripada persepsi kepada rasional. Masih ramai rakan saya yang hidup tidak tentu arah, terlibat dengan unsur negatif dan ada yang berakhir dengan kematian yang menyedihkan.

Peranan guru pada hari ini sangat mencabar. Didikan mereka tidak boleh lagi disamakan dengan kaedah tahun 1950-an atau 60-an kerana perubahan telah berlaku. Pelbagai pendekatan yang diguna pakai dari dulu hingga sekarang membentuk pelajar yang lebih berdaya maju dan agresif dalam mencapai kejayaan. Kaedah Freudian tidak lagi sesuai dan digantikan dengan Skinnerian. Semakin lama semakin banyak teori yang berkaitan dengan pembelajaran dibawa ke dalam sistem pendidikan yang melahirkan pelajar yang sangat objektif: cemerlang atau gagal.

Guru yang terdesak untuk melihat kecemerlangan pelajar kadangkala tersalah membuat perkiraan. Dua hari yanglepas, seorang pengetua dan guru disiplin sekolah di Pulau Pinang "panas punggung" kerana kejadian merotan pelajar di sekolah mereka bertukar menjadi kes polis. Pelajar yang dirotan tentulah mempunyai sebab-musabab kena rotan dan pertimbangan guru juga berdasarkan sebab-musabab yang kukuh. Kejadian ini bukanlah pertama kali berlaku malah ada sahaja kes seperti ini dilaporkan.

Guru yang mendidik anak murid menjadi manusia, itulah sebenarnya yang berjaya. Berbangga melihat anak-anak didiknya melangkah setapak demi setapak sehingga ke universiti, menjadi pemimpin masyarakat dan negara malah berani menyuarakan prinsip keadilan, kesaksamaan dan keselamatan di peringkat dunia. Kita yakin guru jenis ini lebih ramai daripada guru yang merogol pelajar ataupun guru yang berkhalwat dengan pelajar.

Bagaimana pula guru boleh menjadi seorang pendidik?

Guru tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat sekitarnya. Masyarakat ini pula mempunyai nilai dan tradisi yang dipegang berkurun-kurun dari satu keturuan ke satu keturunan. Nilai-nilai ini diikat dengan persefahaman dan hormat-menghormati sesama ahli masyarakat supaya hidup dalam keadaan harmoni. Peranan terbesar guru ialah mempastikan nilai-nilai ini tetap terpelihara, disubur dan diperteguh supaya generasi seterusnya adalah generasi yang mempunyai jati diri yang mantap.

Nilai-nilai yang ada di dalam masyarakat pada hari ini dirasakan semakin goyah kerana pelajar tidak diterapkan dengan jati diri yang utuh. Pemikiran mereka mudah kalah, emosi mereka mudah dipengaruhi dan tingkah laku mereka sangat senang dirangsang dengan tindakan agresif. Pelajar, ketika kecilnya sangat mudah meniru apa yang dilakukan oleh orang dewasa. Jika dalam perjalanan ke sekolah mereka melihat orang dewasa berebut untuk naik bas Metro, mereka juga berebut untuk naik bas sekolah ketika pulang ke rumah. Jika dalam perjalanan ke sekolah mereka melihat orang dewasa meredah sahaja lampu isyarat berwarna merah, mereka juga akan membelasah lampu merah walaupun hanya dengan menaiki basikal.

Justeru itu, pelajar hari ini mungkin dikatakan berada dalam dilema untuk menentukan mana satu yang betul dan mana satu yang salah. Di sekolah mereka diajar dengan tertib, berpanduan dan penuh ketegasan daripada guru. Keluar dari kawasan sekolah, masyarakat mendidik mereka untuk tidak menghiraukan lampu isyarat, tidak menghiraukan keselamatan kepala, tidak menghiraukan kekotoran, tidak menghiraukan akhlak yang mulia dan akhirnya, tidak menghormati pendidikan. Sekolah hanyalah sebagai satu tempat untuk didatangi secara formal, bukannya sebagai sebuah institusi yang membentuk kehidupan yang cemerlang.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) adalah manifestasi inisiatif kerajaan bagi menjadikan masyarakat guru diangkat martabat mereka. Diberi kedudukan yang istimewa dan dihormati oleh semua golongan masyarakat. Dalam masa yang sama, pelajar yang dilahirkan juga mempunyai ciri-ciri yang bertaraf antarabangsa. Pemikiran, tindakan dan pertimbangan yang diambil adalah dipandukan dengan akal yang sihat dan emosi yang stabil supaya kejadian bunuh diri kerana gagal dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi berulang. Juga mala petaka guru mencabul murid, guru merogol pelajar dan guru ditumbuk bapa pelajar tidak akan berulang lagi. Biarlah kesedihan yang dialami oleh guru dan pelajar itu disimpan di muzium kesedihan selama-lamanya. Sebaliknya muzium kecemerlangan dan keceriaan dibuka seluas-luasnya untuk ditatapi dan dikongsi bersama oleh seluruh dunia.

Guru adalah peniup ruh pembangunan negara. Bermula dengan mengeja, menulis dan mengira, pelajar hari ini mampu mencipta penawar untuk ulcer, mencipta perisian komputer untuk syarikat gergasi dunia dan mencipta jutawan muda yang pintar. Semuanya dikembalikan untuk masyarakat dan negara. Tidak ada yang tertinggal malah semua penemuan baru itu akan dizahirkan kepada guru sebagai penghargaan kepada mereka.

Hari Guru. Itulah sebuah hari yang bermakna, amat bermakna kepada semua guru di Malaysia.

Sunday, May 13, 2007

How to use the internet to earn US Dollars in your pajamas

Penulis : Sen Ze
Tahun : 2003
Penerbit : Kanyin Publications, Sungai Buloh, Selangor
Muka surat : 144

Pelbagai jenis pujian telah dihamburkan kepada penulis buku ini, Sen Ze kerana mendedahkan teknik mudah untuk memulakan perniagaan internet dengan kos paling minimum. Sembilan bab yang dimuatkan bermula dengan pengenalan latar belakang penulis yang mempunyai kelayakan dalam bidang perundangan tetapi bertukar ke bidang teknologi maklumat yang memberi fokus kepada perkhidmatan mencipta laman web dan pengaturcaraan komputer serta pemasaran internet pada tahun 1997. Pengalaman beliau mengendalikan syarikat IT membuka ruang bagi beliau mencipta keajaiban dengan mendapatkan wang dalam bentuk US Dollar setiap hari.

Di dalam buku ini diterangkan langkah demi langkah untuk memulakan perniagaan internet. Penulis mensasarkan jualan dalam US Dollar kerana jumlah pengguna internet di dunia kebanyakannya tertumpu di Barat. Urusan pembelian secara atas talian menggunakan mata wang dollar.

Bagaimana hendak memulakan perniagaan internet?

Langkah pertama, mencipta produk dalam bentuk digital. Beliau menyiapkan draf buku dalam bentuk perisian Microsoft Word Document dan ditukar ke Adobe PDF menggunakan Adobe PDFMaker Programme.

Kemudian, menyediakan domain. Pilih domain yang menarik dan ada ciri-ciri perniagaan.

Seterusnya, mendirikan hos sendiri. Harganya berbeza-beza. Yang penting ialah keupayaan untuk menarik perhatian pelanggan.

Selepas itu, menghantar produk digital kepada domain. Muatkan dokumen PDF ke dalam hos melalui FTP (File Transfer Protocol) Programme. Boleh saja digunakan WS_FTP.

Akhir sekali, sediakan proses penghantaran secara sistematik laman web yang mengandungi maklumat muat turun kepada pembeli.

Sen Ze mengambil contoh kejayaan seorang usahawan internet yang tidak mempunyai sebarang produk tetapi dapat menjana pendapatan USD$156,000 setahun (RM600,000). Kerjanya hanya menyiarkan bahan jenaka dari Isnin hingga Jumaat kepada 400,000 pelanggan dengan nama "JokeADay." Ray Owens telah mengumpulkan jenaka daripada internet dan menghantar 2 jenaka setiap hari kepada pelanggannya melalui e-mail. Bagaimana Owens membuat wang?

Beliau mengambil masa untuk memperkenalkan laman webnya kepada pelanggan. Setelah
http://www.jokeaday.com/ dikenali, beliau menawarkan ruang iklan untuk para pengiklan menyiarkan produk mereka pada dua bahagian. Sebelah atas jenakanya, beliau mengenakan caj sebanyak US$250 manakala sebelah bawah sebanyak USD$350.

Modal kejayaan Owens adalah berfikir dan rajin mengumpul bahan jenaka dari seluruh dunia. Kadangkala pelanggannya sendiri yang menghantar jenaka kepadanya. Kaedah pemasaran begini sememangnya telah lama dilakukan oleh pihak media dan laman-laman web yang terkenal.

Ulasan Editor : Buku ini menggunakan bahasa Inggeris yang sangat mudah untuk difahami. Ini bermakna, penulis hendak berkongsi dengan pembacanya dalam keadaan paling selesa dan menyeronokkan. Susunan bab dan isi kandungannya dibuat secara teratur, ringkas dan mudah. Tips dan strategi untuk memulakan perniagaan internet didedahkan tanpa berasa takut untuk ditiru oleh orang lain. Buku ini telah membuka pemikiran ramai orang untuk melihat kebaikan internet bagi membina ruang kepada bekerja sendiri. Kita tidak perlu tahu semua perkara untuk menjalankan urus niaga di internet, kita hanya cuma tahu perkara yang perlu untuk menjalankan perniagaan melalui internet.

Saturday, May 12, 2007

Legasi Tony Blair

Perdana Menteri Britain, Tony Blair akan menyerahkan surat perletakan jawatan pada 27 Jun 2007 ini, meninggalkan jawatan yang disandangnya selama 10 tahun. Sanjungan daripada rakan-rakan dan pesaing politiknya mewarnai keputusan Blair yang berkata: "Saya lakukan sesuatu yang saya fikir benar."

Blair akan diingati kerana peranannya bersama George W. Bush di Afghanistan dan Iraq. Peranan besar beliau sebagai "rakan seperjuangan" sangat bermakna kepada Amerika Syarikat kerana membantu impian Bush untuk menawan Iraq dan menghapuskan Saddam Hussein.

Perjuangan menentang keganasan di Afghanistan selepas 11 September 2001 menjadi permulaan kepada penglibatan Blair dalam kancah peperangan antarabangsa. Bersama Amerika Syarikat, beliau bersatu tenaga mencari Osama Ben Laden tetapi berhadapan dengan serangan balas pada 7 Julai 2005 di London.

Sejak kedua-dua kejadian, 9/11 dan 7/7 itu, ketakutan kepada Islam ataupun Islamphobia telah diberikan perhatian penuh sehingga banyak permusuhan mula muncul terhadap Islam. Maaruf Ahmed, pengerusi Circle Community Youth Outreach Programme berkata: "Tidak ada apa-apa yang demokratik tentang bagaimana kerajaannya beroperasi. Saya takut tahun-tahun yang akan datang Blair akan diingati sebagai seorang penzalim yang berselindung di sebalik peperangan menentang pengganas."

Ketika Blair mendapat kuasa daripada era Tatcherism, beliau berikrar untuk mengekalkan asas-asas pentadbiran. Pada masa yang sama, menggambarkan imej sebagai seorang lelaki yang jujur. Ketika persidangan Parti Buruh 2004, Blair berkata: "Saya hanya mengetahui apa yang saya percaya." Kenyataan ini adalah gambaran perubahan setelah berjaya mengikis pengaruh Parti Konservatif yang dibayangi oleh Margaret Tatcher.

Justeru, legasi terbesar Blair ialah keputusannya untuk menyerang Iraq yang sentiasa dipertahankannya. Sokongan kepada George Bush menyebabkannya hilang kawan di London tetapi dialu-alukan di Washington. Colin Powell, Setiausaha Negara Amerika Syarikat dari 2001 hingga 2005 berkata, "saya fikir Perdana Menteri Blair telah memberi impak yang sangat besar ke atas dunia politik, dan sangat jelas beliau memang telah memberi kesan yang sangat bermakna ke atas hubungan istimewa di antara Amerika Syarikat dan Britain."

Dari sudut yang berbeza, tiga orang pakar berpendapat terdapat beberapa perkara yang jelas dalam pentadbiran Blair. Ian, Kershaw, profesor sejarah moden di Universiti Sheffield berkata: "Sepuluh tahun kerajaan bergaya presiden telah menghakis kuasa Dewan Rakyat. Reformasi yang berkesan masih lagi jauh."

Bagi Andrew Roberts, ahli sejarah dan penulis riwayat hidup berkata, Blair adalah pemimpin perang yang baik. Menghalau keluar kumpulan Al-Qaeda dan Taliban daripada kawasan penting di Afghanistan adalah salah satu pencapaian hebat beliau. Tidak lama selepas 67 orang askar Britain mati dalam pertempuran, Blair menunjukkan personaliti yang mustahil dilihat sebelum itu: kepimpinan Churchill.

Di dalam negara, kemenangan Blair dalam pilihan raya 1997, 2001 dan 2005 akan menjadi kemenangan paling manis sebagai pemimpin Parti Buruh. Menggantikan John Smith sebagai ketua parti pada 1994, Blair memperuntukkan tiga tahun sebagai persediaan memenangi pilihan raya dan membaharui polisi pertahanan, perdagangan dan ekonomi Parti Buruh.

Anthony Seldon, penulis riwayat hidup Blair meneruskan, "hukuman sejarah ke atas semua Perdana Menteri selepas mereka meninggalkan pejabat adalah pertikaian yang tidak habis tetapi sangat sedikit dalam sejarah British moden yang tertakluk pada pertikaian yang hangat seperti Blair."

Walaupun Blair berhasrat membangunkan perkhidmatan awam yang bertaraf dunia, menukar perlembagaan dan mengurangkan ketaksamaan. Tetapi proses permulaan agak perlahan (1997-2001) di mana beliau memberi tumpuan ke atas isu-isu perubahan perlembagaan dan kebajikan. Penggal ketiga (2005-2007), Blair mula membawa keluar polisi-polisi baru yang berkait dengan tenaga nuklear, kebajikan, perubahan persaraan dan kebebasan yang lebih besar untuk pendidikan dan kesihatan.

Blair yang percaya kepentingan Britain berada dalam kedudukan terbaik jika berganding bahu dengan Amerika Syarikat, memberi perhatian yang sangat besar kepada perang di Iraq berbanding menyelesaikan konflik Arab-Israel, membasmi kemiskinan di Afrika dan kesan pemanasan global.

Tindak balas yang segera ke atas kematian Puteri Diana pada 1997, peristiwa 11 September dan pengebomam di London pada Julai 2005, beliau berupaya menjumpai rentak yang sama dengan beberapa pemimpin termasuk presiden Amerika Syarikat.

Pemimpin pembangkang Majlis Tower Hamlets, Abjol Miah berkata kajian ke atas 2,000 responden berpendapat UK adalah tempat yang kurang menggembirakan untuk didiami di sebalik laporan bebas yang menyatakan ekonomi UK lebih baik daripada negara-negara lain. Pada masa yang sama, pembaharuan kebajikan dan ketaksamaan tidak menyeluruh. Di Tower Hamlets, perbezaan yang kaya dan miskin nampak sangat jelas. Harga hartanah yang melambung tinggi sukar bagi penduduk tempatan untuk memilikinya.

Kesimpulan terbaik yang boleh diberikan ke atas pentadbiran Blair ialah sikap terlalu bergantung kepada penasihat telah menyebabkannya hilang kredibiliti sebagai pemimpin utama dunia.

Wednesday, May 09, 2007

Impak kenaikan gaji ke atas motivasi kerja kakitangan awam

Wajah ceria kakitangan sektor awam semakin berseri-seri sejak YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi mula bercakap mengenai peningkatan kualiti kerja perkhidmatan awam dan membayangkan harapan untuk kenaikan tersebut. Perbincangan mengenai perkara tersebut semakin hangat kerana kesan kenaikan ini sangat ketara ke atas kadar perbelanjaan hidup dan perubahan sosial di semua peringkat masyarakat.

Kenaikan gaji kali terakhir ialah lebih sedekad yang lalu iaitu ketika kerancakan ekonomi negara. Waktu itu rakyat Malaysia begitu mewah dan kurang merasa beban peningkatan kos hidup khususnya di bandar. Nilai Ringgit yang tinggi membantu peningkatan taraf hidup yang lebih baik.

Perkhidmatan awam diisi tiga per empat daripada kaum Melayu. Kerajaan adalah majikan mereka. Majikan yang berhemah akan menjadikan kakitangannya juga berhemah dan sebaliknya bagi yang boros dan membazir. Jika kerajaan baik hati, hidup kakitangan awam juga akan lebih baik. Sementara kaum Cina banyak melibatkan dalam ekonomi, kaum Melayu memilih untuk bergantung kepada kerajaan bagi menjamin hidup mereka. Kenapa kaum Melayu dan bumiputera diutamakan dalam kerajaan?

Perbincangan ini perlu kembali melihat persetujuan bersama yang dicapai oleh pemimpin-pemimpin terdahulu yang dinamakan "Kontrak Sosial." Empat perkara ditukar dengan jaminan tunggal iaitu kaum Cina dan India diberi kerakyatan dan perlu menerima agama Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, hak-hak istimewa Melayu kekal dan mengiktiraf kedaulatan Raja-raja Melayu.

Justeru, kenaikan gaji ini akan memberi makna yang besar kepada kakitangan perkhidmatan awam dari pembantu am rendah, kerani, jurugambar, jururawat dan guru serta semua kakitangan yang berkhidmat. Kerajaan mengutip cukai daripada peniaga untuk diberi kepada pekerja di sektor perkhidmatan awam yang berjumlah hampir satu juta orang. Pusingan ini menjadikan Malaysia mampu meraih keamanan dan keharmonian dan kualiti hidup dapat dijana dengan lebih berkesan.

Kenaikan satu hingga tiga ratus Ringgit sangat bermakna kepada pekerja berpendapatan rendah kerana jerih-perih mereka dibayar. Mungkin selepas ini mereka tidak perlu sangat mengejar kerja lebih masa yang kadangkala menyebabkan anak-anak tidak tahu bila masanya bapa mereka pergi dan balik dari kerja.

Masyarakat masih lagi melihat kerja dengan kerajaan adalah jaminan masa depan walaupun perkhidmatan di sektor swasta telah bertambah baik dan boleh memberi ganjaran kewangan yang lebih tinggi daripada kerajaan. Tetapi kenapa masih ramai yang mengejar kerja di sektor awam?

Peningkatan taraf hidup adalah faktor utama. Salah satu ciri masyarakat maju ialah mempunyai rakyat yang hidup berpendidikan, perkhidmatan kesihatan yang terurus dan kebajikan sosial yang seimbang. Pelaburan dalam pendidikan, kesihatan dan simpanan usia tua menunjukkan kematangan masyarakat semakin bertambah. Upah atau bayaran gaji yang lebih tinggi secara langsung membantu mereka menjadi lebih baik. Tentulah proses tawar-menawar ke atas kualiti perkhidmatan menjadi lebih cekap.

Negara Scandinavia seperti Denmark, Finland, Iceland, Norway dan Sweden telah pun melihat kaedah ini sebagai pendekatan untuk memajukan negara mereka. Walaupun tidak mempunyai rakyat yang ramai, mereka masih dapat bersaing dengan negara-negara besar dunia dalam beberapa bidang kepakaran seperti telekomunikasi dan kejuteraan kapal. Norway umpamanya, GDP per kapitanya ialah US$47,800 manakala Malaysia adalah US$12,700 (2006).

Perlumbaan untuk mencari pekerja terlatih, mahir dan berpengalaman sering dikaitkan dengan wang. Memberi dan mendefinisi kejayaan dengan wang adalah lumrah di dalam organisasi hari ini. Anugerah Khidmat Cemerlang di sektor kerajaan juga menyediakan ganjaran wang kepada pemenangnya di samping sijil penghargaan.

Ada beberapa kajian yang dilakukan bagi mengetahui tujuan orang ramai berkhidmat di sektor awam. Antaranya ialah Knoke Wright-Isak (1982), Steven (1987) dan Hart & Frederickson (1987). Namun semua pengkaji ini tidak melihat wang sebagai tujuan utama mereka memilih perkhidmatan awam. Dapatan itu turut disokong oleh Azmi dan Nik Hairi (1999) dan Norhafizah (2001) yang mendapati responden lebih mengutamakan ganjaran daripada wang. Maksud ganjaran di sini ialah meliputi kemudahan, elaun, keselamatan sosial, jaminan persaraan, perlindungan dan keselesaan bekerja. Bonus, COLA dan kemudahan menunaikan haji juga termasuk dalam ganjaran.

Syed Hussein (1968) berpendapat berbeza kerana beliau melihat penyertaan ke sektor awam disebabkan prestij dan status, lebih-lebih lagi Malaysian Civil Services (MSC) kerana ia melibatkan golongan terpilih. Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) seterusnya menjadi kelompok yang popular dalam sektor awam di Malaysia pada hari ini juga simbol kepada prestij yang diungkapkan oleh Syed Hussein itu.

Kakitangan awam di Amerika Syarikat memilih jaminan kerja, faedah persaraan dan perlindungan serta lain-lain lagi sebagai motivasi bagi mereka kekal di sektor kerajaan. Kilpatrick, Cumming dan Jenning (1964) mendedahkan hasil kajian mereka bagi mengetahui apakah sebenarnya yang menjadi pemangkin kepada pekerja sektor awam di sana untuk bekerja sehingga bersara berbanding swasta.


Mengasuh pekerja dengan pemberian wang menyebabkan ia dipandang sebagai penting dan meminggirkan bentuk habuan yang lain. Asakan demi asakan terhadap wang membuat minda pekerja lebih berminat untuk menuntut kenaikan gaji apabila harga barang melambung tinggi dan kos hidup meningkat. Untuk mencapai negara maju pada tahun 2020, pendapatan setiap rakyat di Malaysia harus lebih tinggi. Justeru, langkah menaikkan gaji kakitangan awam adalah satu langkah yang bijak.


Rujukan

http://jpart.oxfordjournals.org/cgi/content/abstract/10/2/471
http://jpart.oxfordjournals.org/cgi/content/abstract/16/3/393
http://www.ssc.wisc.edu/jhr/1987ab/shulman.html
https://www.cia.gov/cia/publications/factbook/geos/no.html
https://www.cia.gov/cia/publications/factbook/geos/my.html

Sunday, May 06, 2007

Tabiat ke8: Daripada keberkesanan kepada keagungan

Penulis : Stephen R. Covey
Tahun : 2007 (Edisi Bahasa Melayu)
Penerbit : Crescent News (KL) Sdn. Bhd, Batu Caves,
Selangor
Muka surat : 472

Dalam tempoh lima belas tahun dari penerbitannya, buku klasik The 7 Habits of Highly Effective People telah menjadi satu fenomena antarabangsa dengan jualan melebihi lima belas juta naskah. Ramai orang telah melibatkan diri bagi meningkatkan secara dramatik kehidupan diri dan organisasi mereka melalui amalan prinsip yang terdapat di dalam buku tersebut.

Menjadi berkesan sebagai individu dan organisasi bukan lagi menjadi satu pilihan – meneruskan kehidupan di dalam dunia hari ini. Tetapi untuk terus berkembang, melakukan pembaharuan, menjadi cemerlang seterusnya memimpin dalam apa yang dipanggil oleh Covey sebagai Zaman Pekerja Berpengetahuan yang baru ini - kita mesti membentuk di atas dan bergerak melampaui keberkesanan. Seruan di dalam era baru sejarah manusia ini adalah untuk keagungan, ianya untuk memenuhi tujuan, pelaksanaan penuh semangat dan sumbangan penuh makna.

Mencapai tahap-tahap kebijaksanaan dan motivasi manusia yang lebih tinggi dalam kenyataan-kenyataan baru hari ini memerlukan perubahan meluas di dalam pemikiran: sebuah corak pemikiran yang baru, set-set kemahiran yang baru, set-set peralatan yang baru. Pendek kata, sebuah tabiat yang baru. Cabaran paling getir dunia kita hari ini ialah: untuk menemui suara kita dan membangkitkan inspirasi orang-orang lain untuk menemui suara mereka. Covey menggelarnya sebagai Tabiat ke8.

Ramai orang berasa kecewa, hilang keyakinan, tidak dihargai dan tidak bernilai – dengan sedikit atau tidak peka tentang suara atau sumbangan yang unik. Tabiat ke8 ini adalah jawapan kepada keinginan yang meluap-luap jiwa untuk keagungan, imperitif organisasi untuk hasil-hasil yang signifikan dan tinggi, dan pencarian manusia untuk menemui "suaranya." Sangat bermakna, menarik dan tepat pada masanya, buku baru berbentuk tahap pemikiran yang lebih tinggi dan membuka ruang baru untuk cara yang jelas akhirnya mencungkil bakat-bakat ciptaan – nilai tidak terhad yang diharapkan pada Zaman Pekerja Berpengetahuan. Tabiat ke8 menunjukkan cara bagaimana untuk menyelesaikan dilema umum seperti:

-Orang-orang yang inginkan ketenangan fikiran dan perhubungan yang baik tetapi ingin mengekalkan corak kehidupan dan tabiat mereka.

-Perhubungan dibentuk di atas kepercayaan tetapi kebanyakan orang lebih cenderung berfikir mengikut cara "aku" – kehendak aku, keinginan aku, hak aku.

-Pengurusan mahukan hasil yang lebih untuk sumber yang kurang: pekerja mahukan lebih "kepentingan peribadi" untuk kurang usaha dan masa untuk berkerja.

-Perniagaan diurus mengikut peraturan-peraturan ekonomi pasaran: organisasi diurus mengikut peraturan-peraturan budaya tempat bekerja.

-Masyarakat beroperasi mengikut nilai-nilai sosial yang dominan. Tetapi mesti hidup dengan akibat-akibat dari operasi hukum semula jadi prinsip yang tidak boleh diingkari.

Membaca buku ini akan mengubah cara kita berfikir tentang diri dan tujuan hidup, tentang organisasi dan tentang manusia.

Ulasan Editor : Membaca buku setebal ini memerlukan kesabaran dan penghayatan. Penerangan yang jelas dan diselang-seli dengan cerita yang praktikal dapat membantu pembaca untuk memahami prinsip dan model yang diketengahkan. Permulaan buku ini menceritakan bagaimana Muhamad Yunus, penerima Anugerah Nobel Keamanan 2006 mengubah kehidupan masyarakat miskin di Bangladesh dan mengasaskan Bank Grameen. Penemuan terhebat beliau ialah mengenali suara hati orang-orang miskin. Seterusnya buku ini menghuraikan dengan panjang lebar suara hati dan kesannya ke atas kehidupan manusia. Nikmat membaca buku Covey ini ialah pembaca dapat merasai sendiri pengalaman beliau yang luas dengan penerangan yang tepat, malah boleh menjadi satu sistem perubahan diri yang berkesan untuk diamalkan. Di bahagian akhir buku ini dimuatkan jadual untuk mencanai setiap tindakan yang dapat merealisasikan suara hati dan membangkitkan inspirasi orang lain.

Saturday, May 05, 2007

Menjaga kesihatan diri

Kematian tidak pernah diduga. Ia akan datang dan pasti datang tanpa mengira masa, tempat dan keadaan. Sepanjang pertengahan tahun 2007 ini, tiga orang teman yang saya kenal telah meninggal dunia. Ketiga-tiganya adalah pengamal perubatan homeopati di Malaysia dan sentiasa berusaha memartabatkan perubatan ini di dalam masyarakat. Bulan Mac yang lalu, Cikgu Mat dari Melaka, meninggal dunia kerana angin ahmar yang berlaku dalam masa yang sangat singkat. Kedua, Ku Mokhtar di Kuala Lumpur, juga meninggal dunia kerana angin ahmar. Ketiga, Dr. Azizan Ismal, pengasas Salindah iaitu rumusan lengkap pemakanan dan rawatan ibu hamil. Set Salindah ini dikeluarkan oleh Allahyarham sejak tahun 1977.

Dr. Azizan meninggal dunia pada malam Jumaat dan dikebumikan pada pukul 11.30 pagi dengan keadaan tenang. Anaknya memaklumkan ketika arwah bapanya meninggal, wajahnya cerah dan tersenyum.

Kematian adalah pemutus keseronokan dunia. Banyak kerja akan terhenti jika berbincang fasal mati. Di pejabat, kedai kopi dan di mana-mana saja, orang cuba mengelak daripada bercerita tentang mati. Begitulah pengaruh dan kesan mengingati mati ke atas jiwa manusia kerana ia menghilangkan seronok, gembira dan suka ria tetapi digantikan dengan keinsafan, takut dan ingatkan amalan yang akan menjadi bekal untuk berjumpa Tuhan yang Maha Esa.

Saya juga merasa risau kerana mendengar satu demi satu golongan senior yang dianggap sebagai guru dan sahabat meninggal dunia. Itu belum lagi dikira rakan-rakan sekerja dan sekampung yang pergi terlebih dahulu. Antaranya rakan sekerja yang juga tidak terlalu berumur untuk jatuh sakit dan meninggal dunia. Arwah Ismail, ketua kerani di sebuah kementerian meninggal dunia kerana sakit lelah yang kronik. Seminggu sebelum itu saya berjumpa dan bercakap dengannya tentang persediaan untuk satu pertandingan di kementeriannya. Ketika itu arwah sihat dan tidak menunjukkan sebarang tanda yang aneh. Tetapi saya lihat wajahnya agak pucat dan kurang bermaya, mungkin keletihan kerana kerja. Selepas itu, saya dengar telah meninggal dunia apabila diberitahu melalui mesej pesanan ringkas selepas solat subuh.

Usia muda tidak menjadi jaminan untuk sihat dan hidup dengan lebih lama. Perangkaan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat 2006 yang baru dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan jangka hayat rakyat Malaysia semakin panjang. Sebaliknya cara gaya hidup yang berubah menyebabkan lebih mudah penyakit berbahaya wujud di dalam tubuh. Perangkaan ini yang diterbitkan setiap tahun menunjukkan peningkatan jangka hayat bagi lelaki iaitu 71.8 tahun (umur tahun 2000, 70.2) dan wanita, 76.2 tahun (umur tahun 2000, 75.0). Keadaan hidup yang semakin baik, kesedaran terhadap kesihatan yang meningkat dan kemudahan kesihatan yang semakin bertambah telah membantu merangsang rakyat Malaysia menjadi manusia yang dapat merasai hidup dengan lebih lama.

Penduduk Malaysia juga semakin bertambah. Pada tahun 2006, jumlah penduduk lelaki ialah 13,562.6 juta dan perempuan ialah 13,077.6 juta. Jumlah kedua-duanya ialah 26,640.2 juta orang dengan pertambahan sebanyak 3,365.5 juta sejak tahun 2000. Selangor mencatatkan jumlah penduduk tertinggi iaitu 4,850.1 juta manakala Perlis, negeri paling kecil, meningkat sedikit dari 204.5 juta pada tahun 2000 kepada 228.0 juta pada tahun 2006.

Trend jangka hayat di seluruh dunia adalah semakin bertambah panjang umur kerana perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, keupayaan mencari penawar terhadap penyakit dan kesedaran amalan penjagaan tubuh badan yang semakin canggih. Pusat penjagaan diri, kelab kesihatan dan semakin ramai yang mengambil polisi insurans diri adalah ciri-ciri kesedaran yang boleh diperhati. Pertambahan pusat perubatan swasta yang menjadi saingan kepada hospital awam adalah manifestasi keupayaan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti.

Kematian pada usia awal 50-an bukanlah sebagai keazaman untuk tidak mahu menempuh usia tua tetapi wajar dilihat sebagai banyak usaha yang mesti dilakukan bagi mendidik masyarakat tentang nilai dan erti kehidupan yang sihat, sejahtera dan bahagia. Salah satu punca kepada umur yang panjang ialah penjagaan kesihatan diri. Itu tidak dinafikan malah menjadi faktor utama, namun peranan mental yang sihat dan emosi yang sejahtera tidak boleh diketepikan begitu saja. Tidak banyak faedah yang kita dapat jika usia panjang tetapi emosi masih berserabut dengan kerja yang tidak pernah habis kerana memikirkan masa depan. Emosi tidak aman kerana susah hati. Susah hati kerana memikirkan bekalan untuk dibawa ke akhirat.

Bagaimana hendak bersedia dengan keadaan yang belum menentu ketika rambut hitam bertukar menjadi putih? Inilah yang merungsingkan ramai orang. Peluang hidup hanya sekali - sekali untuk menentukan syurga atau neraka. Syurga pula harganya sangat mahal kerana neraka senang untuk didiami. Beruntungnya orang yang bakal menjadi ahli syurga seperti Bilal bin Rabbah ialah berita ghaib seperti itu dimaklumkan oleh Rasulullah SAW sendiri kepadanya. Orang biasa seperti kita belum tentu ke mana akan berakhir.

Mungkin peristiwa syurga dan neraka ini membuatkan ajaran sesat menjadi pilihan ramai. Ajaran "Rasul Melayu" yang ketika dulu gempar kerana "rasul" berkenaan meletak jawatan, menarik pengikut kerana dia menjanjikan syurga dengan bayaran tertentu. Dengan wang, syurga boleh dibeli dan dijamin masuk syurga. Tetapi syurga yang mana satu tidak pula diketahui. Alangkah mudahnya untuk mendapatkan syurga dengan hanya membayarnya di dunia. Bilal terpaksa hidup penuh seksa dan sengsara untuk mempertahankan akidahnya, pengikut ajaran sesat begitu mudah dan tidak perlu bersusah-payah untuk mendapatkan syurga.

Persediaan untuk mati harus bermula lebih awal dan mesti jauh tersasar daripada kemungkaran dan syirik kepada Allah SWT. Sifat dan sikap buruk seperti dengki dan iri hati yang memusnahkan kehidupan orang yang rajin dan kuat berusaha kerana bersaing dalam sesuatu bidang mesti dielakkan. Masyarakat Melayu yang masih lagi dikaitkan dengan amalan sihir, santau dan sebagainya tidak akan ke mana di dunia apatah lagi di akhirat jika masih melihat perbuatan ini sebagai kaedah cepat untuk menumpaskan pesaing mereka.

Konsep penyerahan secara mutlak kepada qada' dan qadar Allah Azza Wajalla mesti diimani dengan tekad yang kuat. Kesedaran seperti inilah yang akan membahagiakan emosi dan jiwa kerana orang yang berjiwa besar akan berjaya di dunia dan akhirat. Arwah Dr. Azizan, ketika berusaha menangkis tohmahan ke atas ubat Salindah yang dihasilkannya pernah berkata, "Salindah dicipta untuk orang yang berjiwa besar."

Sememangnya saya juga sangat risau apabila memikirkan amal ibadat yang ada sepanjang hidup ketika ini kerana sibuknya dengan urusan dunia. Bak kata Imam Hasan Al-Banna, "kerja untuk dakwah Islam lebih banyak daripada masa yang kita ada." Maknanya, Melayu dan Islam, tidak ada jaminan untuk mendapat rahmat Allah SWT kalau masih lagi lagha dengan kerja dunia yang melalaikan dan tidak membina iman dan taqwa. Pekerjaan yang baik harus dilaksanakan bersungguh-sungguh, menjaga amalan wajib dan sunat, memanjangkan silaturrahim dan rajin serta aktif mengajak orang lain muhasabah diri.

Kematian tiga orang sahabat sangat memberi kesan kepada jiwa saya dan rakan-rakan yang lain. Semoga kami beroleh kekuatan yang luar biasa untuk berdepan dengan keadaan seperti ini. Mengingat kembali kata-kata Pak Atondra, "toleh di kiri dan kanan, rakan-rakan yang dulunya ada bersama kita, seorang demi seorang kembali menemui Tuhannya." Khaled Yassin, seorang pendakwah Islam yang gigih berkata, "salah satu daripada tiga penyebab kematian kepada masyarakat Barat ialah membunuh diri." Soalan yang boleh kita renung bersama, adakah hidup di dunia ini tidak penting?

Semoga roh mereka dicucuri Allah SWT, Amin.

Wednesday, May 02, 2007

Pelajar cemerlang tidak berminat menjadi pakar sains sosial




Bank Negara Malaysia (BNM) telah menawarkan biasiswa khas kepada enam pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006 bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang farmasi, pergigian, perubatan, akauntan, sains aktuari dan kejuteraan mekanikal. Keenam-enam pelajar berkenaan menjadi contoh yang sangat baik kepada bakal pelajar SPM 2007 untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-cita dan impian masing-masing.

Antara universiti pilihan ialah Universiti Cambridge, Universiti Leeds, London School of Economics dan Imperial College.

Setiap tahun, sistem pendidikan Malaysia mampu melahirkan ratusan pelajar cemerlang di peringkat SPM. Peningkatan persaingan untuk menempatkan diri di institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara turut bertambah hinggakan kerajaan mengambil inisiatif menambah pengambilan pejar, membuka lebih banyak universiti baru, menggalakkan penubuhan institusi pengajian tinggi swasta dan menaik taraf kolej universiti kepada universiti penuh.

Di peringkat sekolah rendah lagi, pelbagai pendekatan dan kaedah pengajaran diperkenalkan untuk membantu meningkatkan prestasi pelajar. Kelas khas, tuisyen, skim bantuan makanan tambahan, kemudahan ICT dan guru berijazah dapat menjadikan sistem pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak di Malaysia setanding dengan rakan mereka di negara-negara maju.

Persaingan adalah kunci kepada pembangunan negara. Sektor pendidikan adalah lubuk kepada pembangunan modal insan dan penentu kepada maju dan mundur sesebuah negara. Bagaimanapun, dalam beberapa keadaan, pemikiran masyarakat masih lagi melihat pelajar cemerlang adalah mereka yang belajar di aliran sains tulen bukannnya dari sains sosial ataupun sastera.

Sistem pendidikan meletakkan asas kepada keutamaan pelajar dari aliran sains tulen untuk diberi kemudahan biasiswa dan melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka. Penekanan yang berlebihan menyebabkan persepsi "bangga diri" terhadap pelajar aliran lain sangat jauh merosot. Justeru, ibu bapa sangat berbangga jika anak mereka memilih jurusan perubatan, kejuteraan atau akauntan berbanding ilmu wahyu, pengajian Islam ataupun pembangunan manusia.

Majikan di Malaysia turut berlumba-lumba memilih pelajar cemerlang dari aliran sains tulen untuk diberi biasiswa dan keutamaan dan pelajar yang cemerlang dalam aliran sains sosial, sastera dan agama tertinggal di belakang. Ada di antara mereka terpaksa mencari perbelanjaan sendiri untuk menyambung pelajaran. Michael Hart, penulis buku The Most Influential Man in History menyenaraikan sepuluh individu teratas yang hebat iaitu Nabi Muhammad SAW, Isaac Newton, Jesus Christ, Buddha, Confucius, St. Paul, Ts'ai Lun, Johann Gutenberg, Christopher Columbus dan Albert Einstein. Tujuh daripada mereka adalah personaliti besar dalam pembangunan modal insan. Perubahan yang mereka lakukan bukan sahaja untuk masyarakat setempat malah untuk seluruh dunia. Apakah kita tidak mahu merangka satu perancangan sistematik bagi membentuk sekumpulan individu pintar, berjiwa besar dan berkemampuan membina modal insan negara bagi seratus tahun yang akan datang?

Jarang kita dengar majikan di Malaysia bersungguh-sungguh memberi biasiswa kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang sosiologi di universiti terkemuka dunia. Amerika Syarikat maju kerana mereka mempelbagaikan sumber dan kekuatan yang ada. Pakar dalam bidang kerja sosial misalnya, Profesor James Midgely dari University of California, Berkeley, sangat aktif menulis dan memberi idea pembangunan dalam kerja sosial di seluruh dunia. Pemikirannya menjadi panduan kepada pembangunan kerja-kerja sosial khususnya negara membangun. Kita masih belum berupaya melahirkan pakar dalam bidang kerja sosial walaupun berbangga melahirkan pakar dalam bidang sains dan teknologi.

Penerima anugerah Nobel Keamanan 2006, Muhammad Yunus dari Bangladesh dan pengasas Grameen Bank adalah seorang pakar ekonomi dan sangat aktif melaksanakan program pembasmian kemiskinan. Dengan kepintaran yang praktikal, beliau mengunakan kaedah mikro kredit untuk membantu golongan miskin di Bangladesh keluar dari tahap kemiskinan. Itulah jasa beliau kepada masyarakat di seluruh dunia kerana sistem mikro kredit telah digunakan oleh banyak negara termasuk Malaysia dengan program Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Kita juga mempunyai ramai pakar ekonomi tetapi belum lagi mampu untuk berani berfikir dan bertindak seperti Muhammad Yunus

Besar kemungkinan persepsi sebahagian pelajar dan masyarakat kita yang masih menganggap bidang sains tulen lebih baik daripada sains sosial. Tetapi tidak di kebanyakan negara maju kerana cara berfikir mereka berbeza. Seorang pelajar dari Amerika Syarikat, Oliver Turley, pelajar masters, bercita-cita hendak menyertai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang aktif dalam kreativiti sastera dan kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Dia tidak ingin pun menyertai sektor kerajaan Amerika Syarikat walaupun bakal mendapat ijazahnya. Pelajar kita tentunya berlumba-lumba untuk menjadi pengajar ataupun mengintai peluang dalam sektor kerajaan kerana ianya lebih terjamin.

Paradigma pembuat polisi harus berubah selari dengan perubahan keperluan pembangunan manusia. YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah Perdana Menteri yang telah mengubah paradigma masyarakat untuk melihat pembangunan modal insan sebagai teras kecemerlangan, bukannya pada mesin atau program. Robot dan program tidak akan memberi apa-apa makna jika sumber manusia tidak diberi pengetahuan dan kemahiran untuk mengendalikannnya. 
Sudah tiba masanya perancang polisi menilai dan mengetengahkan idea untuk menaja pelajar yang cemerlang dalam sains sosial untuk melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka di dunia. Kita menghasilkan produk yang bermutu setiap tahun tetapi kegagalan melihat potensi mereka telah menghalang kejayaan negara untuk meraih hadiah Nobel Keamanan. Bangladesh, negara yang sangat miskin, rasuah dan politik yang tidak stabil dapat melahirkan seorang pemenang Nobel, Malaysia seharusnya melakukan lebih baik daripada negara tersebut.


Rujukan
http://nobelprize.org/nobel_prizes/peace/laureates/2006/

Tuesday, May 01, 2007

Perancangan licik White Anglo-Saxon Protestant (WASP)

WASP adalah istilah, kadangkala kritikal merupakan tanda sama ada kumpulan etnik, budaya, adat atau warisan kumpulan Yankee di Amerika Syarikat atau lebih khusus lagi adalah sebuah pertubuhan elit Amerika yang mana sebahagian besarnya adalah Yankee. Istilah ini pertama kali digunakan oleh kumpulan khatolik Irish sebagai pengesahan konflik yang berpanjangan dengan Anglo-Saxon (kumpulan Protestant di New England). Ia dipopularkan oleh ahIi sosiologi, E. Digby Baltzell pada tahun 1964 melalui bukunya The Protestant Establishment : Aristocracy & Caste in America. Selebihnya adalah warisan cucu-cicit imigran era penjajahan British terutamanya dari England tetapi keturunan Irish Scots, Welsh dan bangsawan Scottish dikelompokkan sebagai Protestantism. Kumpulan pertengahan kulit putih tidak semuanya dikenali sebagai WASP biarpun mereka adalah Protestant dari British. Status WASP adalah termasuk keturunan Deutch seperti Vanderbilts dan Roosevelts.

Penggunaan WASP semakin membesar di kalangan negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris seperti Australia. Istilah ini digunakan secara meluas sejak mula diperkenalkan. Sesetengahnya merujuk kepada kekuasaan kumpulan elit dan sebahagian lagi merujuk kepada kelompok etnik. Penggunaannya berubah untuk menentukan kumpulan etnik yang dimaksudkan dan ada yang mengatakan WASP adalah semua kelompok Protestant di Eropah. Kebanyakan kamus memberi amaran bahawa istilah ini membawa maksud menghina. Di bahagian timur laut Amerika Syarikat, ia digunakan untuk membezakan penduduk awal Amerika daripada pendatang Eropah seperti khatolik Irish-Amerika, Yahudi-Amerika, Itali-Amerika dan etnik kulit putih yang lainnya. WASP di bahagian ini dirujuk sebagai Yankee.

Di bahagian selatan, WASP jarang digunakan. Sebelah barat, Anglo sering digunakan bagi membezakan kulit putih Eropah dan Hispanic. Justeru itu, istilah WASP mempunyai maksud yang lebih luas iaitu termasuk semua yang berkulit putih tanpa mengira agama, keturunan atau kelompok etnik.

Satu lagi istilah yang muncul dan lebih agresif ialah White Anglo-Saxon Neo Conservative (WASNC). Dr. Chandra Muzaffar ketika ditemu bual pada 7 November 2004 menyifatkan kumpulan ini seratus peratus adalah zionis, bergantung kepada kuasa ketenteraan Amerika Syarikat untuk menguasai dunia. Mereka mahu mendirikan empayar global pertama. Projek New American Century (PNAC) adalah usaha mereka untuk menguasai seluruh dunia melalui peperangan.

Siapakah mereka ini?

Dick Cheney, Timbalan Presiden Amerika Syarikat yang kelihatan pendiam adalah ketua kumpulan neo konservatif dalam barisan kabinet Amerika yang banyak mempengaruhi keputusan George W. Bush. Protestant ialah salah satu mazhab dalam agama kristian muncul daripada bantahan Martin Luther King pada 1517. Mazhab ini membantah khatolik dan Presiden Bush terpengaruh dengan ajaran ini dan mengamalkan ajaran Injil serta mengambil nas terjemahannya untuk memulakan perang ke atas Afghanistan dan Iraq tetapi diterjemahkan untuk kesesuaian agenda Anglo-Saxon Amerika Syarikat.

Kelompok kristian kanan atau neo konservatif telah lama berpengaruh di Amerika dan berjaya membawa masuk individu yang cenderung kepada pemikiran mereka di kongres.

Gerakan Protestant ini merupakan satu bentuk reformasi baru dalam agama kristian yang menentang fahaman ortodoks gereja-gereja kristian. Fahaman ini tersebar di Italy, Uruguay dan Indonesia. Sehingga tahun 2005, sejumlah 5.9 peratus atau 241,000 penduduk Indonesia bermazhab Protestant. Ajarannya di Indonesia lebih banyak dipengaruhi oleh ajaran Calvin dan Lutheran.

Kumpulan neo konservatif ini menubuhkan Jewish Institute for National Security Affair (JINSA) sebagai landasan untuk menjaga kepentingan Yahudi dalam pentadbiran Amerika Syarikat. JINSA dipimpin oleh Stephen Bryen (ahli lembaga penasihat JINSA). Shosana, isteri Bryen, mengendalikan JINSA yang beralamat di 1779 Massachusetts Avenue, NW, Suite 515 Washington DC 20036. Ia bertapak pada 1973 dengan matlamat membawa isu keselamatan Israel untuk perhatian perancang polisi Amerika Syarikat. JINSA berfungsi mempengaruhi Amerika bagi membina sokongan di Pentagon iaitu; a) melaksanakan potongan cukai terhadap jeneral bersara ke dalam sumber kewangan negara Israel, b) bertukar pendapat dengan pegawai-pegawai ketenteraan dan politik Israel, dan c) menggesa Amerika Syarikat menurut kehendak polisi luar Israel.

Ahli-ahli JINSA adalah Dick Cheney, Paul Wolfowitz (Presiden Bank Dunia yang sedang menghadapi krisis kepimpinan di bank itu) dan Douglas Feith (Timbalan di bawah Setiausaha Pertahan Amerika Syarikat). Mereka ini berada dalam kabinet Amerika dan Pentagon. Seorang lagi ialah William Kristol yang lebih dikenali sebagai tokoh neo konservatif yang pro peperangan. Beliau membina hubungan dan rangkaian yang luas di seluruh dunia. Mendapat bantuan maklumat daripada Central Intelligence Agency (CIA) kerana bapanya, Irving Kristol cukup berpengaruh dalam CIA dan mempunyai kumpulan "Kongres untuk Kebebasan Budaya" yang dibiayai oleh CIA. Beliau telah mengubah pengikut-pengikut Trotsky Reaganisme menjadi golongan neo konservatif. Bantuan kewangan untuk meluaskan pengaruh neo konservatif dan Yahudi dalam kabinet Amerika diberi oleh Vin Weber (Pengerusi National Endowment for Democracy). Di samping itu, sokongan publisiti turut diberi oleh Rupert Mudoch (pemilik News Corp. berketurunan Yahudi).

Wiliam Kristol bercita-cita besar iaitu membantu Yahudi mewujudkan "Israel Raya." Langkah pertama ialah menysun semula negara-negara Arab di Timur Tengah dengan menyerang Iraq. Tiga tokoh yang bersama-sama merangka serangan ke atas Iraq ialah Paul Wolfowitz (Presiden Bank Dunia), Richard Perle (ahli lembaga penasihat JINSA) dan Henry Kissinger (Setiausaha Negara Amerika Syarikat semasa Presiden Richard Nixon). Rangkaian pemikiran tokoh-tokoh ini telah mendalangi serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq pada 17 Mac 2003 dan mereka adalah nasionalis Israel.

Maklumat mengenai kegiatan mereka telah dibocorkan kepada masyarakat umum setelah Menteri Luar Arab Saudi, Saud Al-Faisal menyatakan negaranya tidak akan membenarkan wilayah negara tersebut digunakan untuk menyerang Iraq. Richard Perle sebagai contoh, adalah pencetus inspirasi di sebalik semua konspirasi ini. Beliau merupakan Pengerusi Lembaga Polisi Pertahanan yang mempunyai prasangka buruk terhadap orang-orang Islam dan Arab, juga merupakan penyokong Israel yang amat taat dan ahli mafia yang berada di sekeliling Presiden Bush. Beliau juga merencanakan peta perancangan dan membocorkan maklumat bagi membangkitkan kegemparan ke atas isu Iraq ini.

Lebih ramai tokoh berada di sebalik kumpulan neo konservatif ini. Salah seorang daripada mereka, intelektual yang tidak dikenali, Laurent Murawiec, menyifatkan Arab Saudi sebagai, "kernel of evil, the prime mover, the most dangerous opponent" di Timur Tengah. Murawiec adalah pengikut Perle. Tindakan rakus untuk menakluki Asia Barat ada hubungkaitnya dengan kepentingan minyak, kedudukan Israel dan pengaruh tafsiran melampau ke atas fahaman Protestant. Mereka yakin bahawa keutuhan dan keselamatan Israel sangat penting kerana Israel yang dapat menguasai Asia Barat adalah prasyarat kemunculan Jesus ke dunia. Kemudiannya agama kristian akan berkembang ke seluruh dunia. Justeru, zionis perlu dilindungi dan dibantu kerana Israel yang selamat akan mengembangkan agama kristian.

Hubungan kristian dan zionis akan berpanjangan selama 20 hingga 30 tahun lagi melalui penubuhan PNAC pada 3 Jun 1997. Peranan dan fungsi PNAC sama seperti Committee on the Present Danger (CPD) yang ditubuhkan pada 1970 dan 1980 semasa konfrontasi Perang Dingin dengan Rusia dan negara-negara komunis serta Perang Vietnam. Modus operandi PNAC sangat licik dan penuh putar-belit bagi membolehkan Amerika Syarikat menguasai dunia dengan meningkatkan penggunaan kekerasan ketenteraan, kaedah pre-emptive defence, campur tangan dalam urusan politik, ekonomi dan sosial negara-negara lain sama ada secara langsung ataupun menggunakan proksi.

PNAC juga bertanggungjawab mendesak Amerika Syarikat untuk menyerang Afghanistan dan Iraq serta campur tangan antarabangsa di Korea Utara, Taiwan, Syria dan Iran. Mereka juga menjadikan jurang negara kaya dan miskin semakin bertambah. Tidak ada lagi pertubuhan atau negara yang dapat menghalang kegiatan ini selepas Rusia dikalahkan melalui pembaharuan ekonomi oleh Mikhail Gorbachev. Mengharapkan China untuk menjadi seteru Washington masih agak kritikal kerana dalam proses pembangunan negara yang pesat dan tentu tidak mahu mejejaskan pertumbuhan ekonomi yang sedang berkembang. Rusia sukar untuk kembali berkuasa walaupun jentera perisikan dan keselamatannya kembali berfungsi. Malahan tidak ada lagi keselamatan yang dapat menghalang kemaraan PNAC untuk mempengaruhi Rumah Putih.

Yahudi akan terus mengatur catur politik antarabangsa dengan menggunakan minda beberapa pemikir Yahudi. Mereka tidak menggunakan senjata untuk menguasai dan memusnahkan orang lain sebaliknya berselindung di sebalik penyamaran. Kehadiran mereka dirasai tetapi tidak dapat diperhati. Hari ini, Yahudi telah dapat menguasai kata pemutus di negara paling kuat di dunia, Yahudi mentadbir dengan proksi.


Sisipan


Why are Jews so powerful?


There are only 14 million Jews in the world; seven million in the Americas, five million in Asia, two million in Europe and 100,000 in Africa. For every single Jew in the world there are 100 Muslims. Yet, Jews are more than a hundred times more powerful than all the Muslims put together. Ever wondered why?Jesus of Nazareth was Jewish. Albert Einstein, the most influential scientist of all time and TIME magazine's Person of the Century', was a Jew. Sigmund Freud -- id, ego, and superego – the father of psychoanalysis was a Jew. So were Karl Marx, Paul Samuelson and Milton Friedman.

Here are a few other Jews whose intellectual output has enriched the whole humanity: Benjamin Rubin gave humanity the vaccinating needle. Jonas Salk developed the first polio vaccine. Alert Sabin developed the improved live polio vaccine. Gertrude Elion gave us a leukemia fighting drug. Baruch Blumberg developed the vaccination for Hepatitis B. Paul Ehrlich discovered a treatment for syphilis (a sexually transmitted disease). Elie Metchnikoff won a Nobel Prize in infectious diseases.

Bernard Katz won a Nobel Prize in neuromuscular transmission. Andrew Schally won a Nobel in endocrinology (disorders of the endocrine system; diabetes, hyperthyroidism). Aaron Beck founded Cognitive Therapy (psychotherapy to treat mental disorders, depression and phobias). Gregory Pincus developed the first oral contraceptive pill. George Wald won a Nobel for furthering our understanding of the human eye. Stanley Cohen won a Nobel in embryology (study of embryos and their development). Willem Kolff came up with the kidney dialysis machine.

Over the past 105 years, 14 million Jews have won 15-dozen Nobel Prizes while only three Nobel Prizes have been won by 1.4 billion Muslims (other than Peace Prizes).

Why are Jews so powerful? Stanley Mezor invented the first micro- processing chip. Leo Szilard developed the first nuclear chain reactor. Peter Schultz, optical fibre cable; Charles Adler, traffic lights; Benno Strauss, Stainless steel; Isador Kisee, sound movies; Emile Berliner, telephone microphone and Charles Ginsburg, videotape recorder.

Famous financiers in the business world who belong to Jewish faith include Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi's Jeans), Howard Schultz (Starbuck's) , Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskins & Robbins) and Bill Rosenberg (Dunkin Donuts).

Richard Levin, President of Yale University, is a Jew. So are Henry Kissinger (American secretary of state), Alan Greenspan (fed chairman under Reagan, Bush, Clinton and Bush), Joseph Lieberman, Madeleine Albright (American secretary of state), Casper Weinberger (American secretary of defence), Maxim Litvinov (USSR foreign Minister), David Marshal (Singapore's first chief minister), Issac Isaacs (governor-general of Australia), Benjamin Disraeli (British statesman and author), Yevgeny Primakov (Russian PM), Barry Goldwater, Jorge Sampaio president of Portugal), John Deutsch (CIA director), Herb Gray (Canadian deputy PM), Pierre Mendes (French PM), Michael Howard (British home secretary), Bruno Kreisky (chancellor of Austria) and Robert Rubin (American secretary of treasury).

In the media, famous Jews include Wolf Blitzer (CNN), Barbara Walters (ABC News), Eugene Meyer (Washington Post), Henry Grunwald (editor-in-chief Time), Katherine Graham (publisher of The Washington Post), Joseph Lelyyeld (Executive editor, The New York Times), and Max Frankel (New York Times).

Can you name the most beneficent philanthropist in the history of the world? The name is George Soros, a Jew, who has so far donated a colossal $4 billion most of which has gone as aid to scientists and universities around the world. Second to George Soros is Walter Annenberg, another Jew, who has built a hundred libraries by donating an estimated $2 billion. At the Olympics, Mark Spitz set a record of sorts by wining seven gold medals. Lenny Krayzelburg is a three-time Olympic gold medalist. Spitz, Krayzelburg and Boris Becker are all Jewish.

Rethinking educational leadership

Editor : Nigel Bennett and Lesley Anderson
Tahun : 2003
Penerbit : SAGE Publications Limited, London, UK
Muka surat : 206

Kepimpinan menjadi kunci utama dalam organisasi, pengurusan dan pentadbiran pendidikan di seluruh dunia. Perkembangan ini adalah kesan daripada dasar akademik dan dasar pendidikan melalui bahasa Inggeris ke seluruh dunia. Buku ini memberi tumpuan kepada individu sebagai pemimpin dalam sektor pendidikan yang kadangkala bertindak dalam keadaan formal dan informal berdasarkan kuasanya dan kemahiran kepimpinan berasaskan jawatan. Dalam analisis ini, pemimpin melaksanakan proses kepemimpinan kepada pengikut. Sungguhpun ada kerjasama dalam hubungan ini, pemimpin sebenarnya lebih menguasai pengikut dan digambarkan sebagai proses satu hala: seorang memimpin, yang lain mengikut.

Buku in dipecahkan kepada empat bahagian dengan 13 bab. Bahagian 1 melihat perspektif kepimpinan sebagai alternatif dalam teori konvensional kepimpinan dalam pendidikan. Dalam analisis yang lebih mendalam, Ian Morley dan Dian-Marie Hosking mencadangkan hubungan antara individu dan persekitaran adalah kerjasama yang dibentuk. Konsep pembahagian kepimpinan di sekolah turut dibincangkan sama ada patut melibatkan pelbagai unit atau tidak.

Bahagian 2 berkaitan amalan kepimpinan di sekolah daripada perspektif enam orang penulis. Tiga daripadanya memberi fokus kepada konsep amalan komuniti. Bab 8 umpamanya, Jane McGregor menyatakan amalan komuniti menyediakan kaedah analitikal yang lebih kukuh untuk membentuk nilai yang dikongsi bersama dan pengetahuan-pengetahuan baru kepada generasi seterusnya.

Bahagian 3 ingin melihat kesan ke atas pilihan beberapa pandangan tentang kepimpinan profesional ke atas perkembangan kepimpinan pendidikan. Bab 11 sebagai contoh, Nigel Bennett melihat kembali maklumat daripada kajian awal yang meneroka bagaimana sekolah dan guru menilai kesan ke atas pengalaman kepimpinan profesional terhadap amalan individu dan berkumpulan.

Bahagian terakhir dalam buku ini, Helen Gunter mengimbas keseluruhan buku. Beliau mencadangkan semua bab dalam buku ini memberi sumbangan menjayakan proses kepimpinan di sekolah melihat kembali cabaran penulis-penulis daripada pelbagai sudut dan mengesahkan cabaran mereka. Gunter juga turut memuji penyumbang artikel yang telah menimbulkan isu yang signifikan berkaitan teori dan amalan harian kepimpinan dalam pendidikan. Rumusannya ialah buku ini memberi panduan bagaimana berfikir dan melaksana bukannya berpisah sebaliknya bergabung.

Ulasan Editor : Kepimpinan dalam pendidikan adalah unik dan memerlukan pengetahuan yang luas. Menilai semula pelaksanaan kepimpinan di peringkat sekolah lebih mencabar dan keupayaan menghadapi cabaran berkenaan harus dibuktikan melalui kesungguhan mereka yang terlibat. Buku ini sangat sesuai dibaca dan dibincangkan di peringkat pembuat dasar, pengetua dan guru besar bagi melihat kembali peranan ketua di peringkat asas dalam masyarakat ini.