Saturday, November 09, 2024

Pengaruh media sosial terhadap pilihan pengundi


Kemenangan Donald Trump menewaskan Kamala Harris menandakan dasar luar Amerika Syarikat yang lebih tegas dan 'menggigit' terhadap beberapa negara khususnya China. Sebelum ini Trump telah berjaya melumpuhkan penjualan telefon pintar Huawei di seluruh dunia. Sehingga kini, dasar-dasar terhadap China masih kekal seperti dahulu.

Kemenangan Trump sudah pasti membuatkan China lebih berhati-hati dan perlu mencari pelbagai strategi untuk kekal mendapatkan sumber teknologi telekomunikasi dan semikonduktor dari pelbagai negara.

Trump mencipta sejarah untuk menjadi presiden kali kedua melalui pelbagai kempen yang sengit dan mencabar. Media perdana di Amerika Syarikat menunjukkan kecenderungan mempromosi Harris dengan ketara namun penggunaan media sosial yang berkesan telah menarik lebih undi popular kepada kem Trump.

Pengundi muda yang lebih terdedah kepada kandungan dan mesej dalam TikTok dan seumpamanya telah mempengaruhi kecenderungan pengundi kepada aspirasi dan cita-cita Trump untuk mengangkat kembali kemegahan kulit putih.

Peranan media sosial bukan setakat mempengaruhi minda malah menentukan sikap dan tingkah laku pengundi yang terdedah kepada sebarang bentuk kempen yang dijalankan.

Inilah hakikat yang sedang berlaku dalam media sosial. Apabila setiap pengguna memiliki akses kepada proses kebebasan membuat pilihan, mereka akan menentukan maklumat yang dipilih dan akan terus mengukuhkan maklumat tersebut melalui bantuan kepintaran buatan (AI) yang digunakan dalam teknologi media sosial.

Pengukuhan ini menguatkan pilihan mereka dan ditunjukkan dalam pembuangan undi ketika pilihan raya. Keyakinan mereka dianggap betul tanpa menilai pertimbangan yang lebih mendalam.

Analisis sesuatu isu tidak dibuat oleh pakar sebaliknya ditentukan oleh persepsi yang bersifat berat sebelah. Ruangan maklum baas oleh pengguna menjadi rujukan yang lebih dipercayai biarpun wujudnya elemen falasi.

Walau bagaimanapun fenomena ini akan terus berlaku dalam semua bentuk pilihan raya sesebuah negara yang boleh menyebabkan jatuh bangun sesebuah kerajaan. Akses langsung kepada sumber berita melalui penyiaran langsung berupaya mematahkan sebarang maklum balas yang diberikan oleh media arus perdana.

Cabaran pada masa hadapan lebih besar. Organisasi yang mempunyai kempen dan iklan yang berbajet besar mampu menguasai pemikiran pengguna sekali gus menentukan hala tuju kewujudannya. Namun, kesungguhan dan kerjasama dapat mengatasi penguasaan ini seperti mana yang ditunjukkan oleh kempen BSD yang digerakkan seluruh dunia untuk memboikot entiti yang menyokong Yahudi.

No comments:

Post a Comment