Monday, August 12, 2024

Kematian menyayat hati


Kehilangan selama lapan bulan seorang guru sekolah akhirnya terjawab apabila polis menangkap seorang suspek terlibat di Chemor, Perak. Cikgu Istiqomah, dipercayai dibunuh kerana urusan pertukaran mata wang asing. Sebahagian anggota badannya dipisahkan dan dibuang merata tempat untuk mengelakkan pasukan penyiasat menangkap suspek. Namun kecekapan polis telah menjurus kepada penangkapan suspek lelaki yang juga kenalan mangsa semasa di universiti.

Keadaan mayat ketika dijumpai sangat menyedihkan. Badan tanpa kepala dan anggota lengkap menunjukkan keinginan suspek melenyapkan mangsa dan mungkin menunjukkan sifat balas dendam yang lama tersimpan.

Terdapat banyak sebab kenapa pembunuh memperlakukan mangsa dengan kejam. Jika kita melihat kes-kes jenayah yang mana pembunuh mengerat-ngerat badan mangsa, ia dikaitkan dengan amalan sihir dan juga emosi pembunuh yang mahu melenyapkan bukti untuk mengelakkan diri daripada dikesan.

Kes yang terkenal suatu masa dahulu adalah pembunuhan seorang ahli politik di Pahang oleh pasangan bomoh. Mayatnya dikerat 17 bahagian dan disumbat ke dalam lubang. Selepas suspek ditangkap, motif pembunuhan menjurus kepada amalan sihir.

Dalam kes Cikgu Istiqomah, suspek bertindak sendirian, merancang pembunuhan dan melenyapkan mayat tanpa dapat dikesan bagi tempoh yang agak panjang. Ada dua kemungkinan kenapa suspek bertindak demikian.

Pertama, membalas dendam kerana sesuatu peristiwa lama. Urusan pertukaran matawang asing mungkin sebagai umpan supaya mangsa tidak menyedari muslihat sebenar suspek. Untuk mengetahui jalur masa teori ini, kita harus mengetahui sejauh mana urusan ini telah berlaku, isu-isu perbincangan sama ada melalui pertemuan bersemuka atau media sosial dan melalui perkumpulan.

Kedua, terdapat perselisihan faham yang serius antara suspek dan mangsa yang menyebabkan suspek merasa marah dan bertindak membunuh mangsa. Dalam hal ini, soal siasat berterusan dapat mencungkil isu-isu yang menjadi pencetus kepada pertengkaran seterusnya pembunuhan.

Pembunuhan yang melibatkan pemisahan anggota badan tidak selalu berlaku di negara ini, namun ia perlu dikaji supaya kita dapat mengenal pasti punca kejadian untuk pelaksanaan kaedah rawatan dalam masyarakat. Sudah tentu kita tidak mahu melihat kejadian seperti ini terus berlaku. Sesuatu langkah harus dilaksanakan sekarang.

No comments:

Post a Comment