Wednesday, March 07, 2018

Didik anak baik-baik







Mendidik anak perlukan kesabaran dan ketabahan hati. Cara berfikir anak menentukan perangai dan tingkah laku mereka. Justeru, ibu bapa yang menentukan sikap dan tindak-tanduk mereka apabila mereka meniti masa dari kecil hingga dewasa. Ibu bapa yang memiliki pelbagai latar belakang tentulah mempunyai kaedah dan teknik tersendiri untuk membesarkan anak.

Ada yang menggunakan kaedah belaian, pujukan dan rotan. bagi ibu bapa moden, mereka cenderung menggunakan kaedah pujukan dan sekali-sekala rotan. Ada juga yang cenderung menggunakan belaian sahaja dengan harapan anak akan membesar sebagai seorang yang berjiwa besar dan yakin pada diri sendiri. Kaedah lain juga boleh memberi keyakinan kepada anak namun ia terpulang kepada ibu bapa masing-masing untuk menentukan kedah yang terbaik supaya anak melalui masa mereka dengan penuh keriangan dan bersemangat.

Apabila media melaporkan seorang bapa yang merotan anak lelaki kerana tidak pandai mengaji, kepada siapa kita harus persalahkan. Ibu bapa, guru atau anak itu sendiri?

Pada masa lalu, ibu bapa menyerahkan urusan pendidikan di sekolah kepada guru asalkan anak tidak patah tulang dan cedera, ia dapat diterima. Ketika itu, guru yang menjadi penentu kejayaan atau kegagalan anak. Oleh kerana itulah seseorang guru dihormati dan disanjung sepanjang masa. Sejauh mana pun seseorang itu dapat capai dalam hidupnya, salah satu yang disebut-sebut sebagai tonggak kejayaan adalah guru.

Masa sekarang sudah berubah. Guru tidak lagi diberi sanjungan seperti dahulu. Kejayaan anak hari ini diisbatkan kepada kelas tuisyen, kaedah didikan ibu bapa, kursus motivasi dan aplikasi dalam internet. Guru yang banyak bersama anak tidak lagi diberi keutamaan melainkan mengajar di sekolah. Pembentukan akhlak tidak diberi perhatian sehinggakan timbul tanggapan bahawa keputusan akademik yang cemerlang lebih penting daripada akhlak, lebih-lebih lagi pandai membaca al-Quran atau bersolat.

Tanggungjawab ibu bapa juga tidak boleh ditolak ke tepi dalam mendidik dan mengajar anak mengaji atau bersolat. Andai untuk mengajar anak mengaji atau bersolat ini terpaksa merotan, barangkali ia perlu difikirkan kerana jiwa anak adalah halus. mereka boleh dibentuk sejak kecil supaya cintakan al-Quran. Dedahkan mereka seawal kelahiran kepada lantunan bacaan al-Quran dan solat keluarga supaya anak nampak dan mahu ikut bersama.

Pendidikan sejak lahir ini dapat memudahkan usaha ibu bapa untuk membantu anak membiasakan diri dengan sifat dan nilai keagamaan dan budaya tradisi. Tindakan merotan hanya merosakkan sifat semula jadi anak yang sentiasa aktif dan mahu meneroka perkara-perkara baru dalam hidup mereka.

No comments:

Post a Comment