Saya selalu mendengar slogan ‘bekerja sebagai ibadah’. Ia sangat popular dikaitkan dengan ceramah atau kursus-kursus motivasi untuk mengingatkan pekerja betapa pekerjaan yang mereka lakukan merupakan suatu amalan yang dinilai dan diberi ganjaran.
Namun, apakah sekadar bekerja dan memenuhi beberapa tuntutan ia dikira sebagai ibadah?
Kefahaman setiap orang terhadap konsep ini adalah berbeza-beza.
Saya mula menyedari di sebalik slogan ini terdapat Perkara lain yang lebih penting iaitu pengaruh ibadah terhadap kerja. Maksudnya ialah ibadah dalam konteks amalan keagamaan sepatutnya dilakukan dengan cara yang paling baik dan sempurna. Jika dibuat dengan cara yang begini sudah tentu ia dapat memberi pengaruh yang besar kepada corak pekerjaan seseorang.
Pada saya, konsep seperti inilah yang wajar diterangkan kepada peserta kursus ataupun dalam siri-siri ceramah yang disampaikan.
Dalam erti kata lain, cantik dan sempurnanya kerja yang dilakukan adalah kerana pengaruh ibadah yang kita lakukan terhadap pekerjaan kita. Melalui kefahaman sebegini, barulah boleh dikatakan kerja sebagai ibadah.
Akan muncul pula pertanyaan itu bagaimana mencantikkan ibadah jika dikatakan pengaruh ibadah menentukan kesempurnaan sesuatu pekerjaan?
Untuk memahami jawapannya, kita perlu tahu bagaimana konsep ibadah. Umumnya ia merangkumi niat, amalan yang halal, menepati syarak dan dalam suasana soleh. Dalam rangkuman ini, barangkali kita boleh mempelajari kaedah tarbiah yang telah membentuk peribadi seseorang pekerja yang benar-benar memahami pengaruh ibadah terhadap kerjanya.
Seorang aktivis masyarakat bergerak keluar dari tempat kerjanya pada petang hari Khamis dan memberi kuliah pada waktu isyak di sebuah daerah iaitu Alminiyah. Pada hari Jumaat, beliau menyampaikan khutbah Jumaat di Manfaluth sedangkan pada petang Jumaat itu beliau sudah memberi kuliah di Asyut. Kemudiannya, selepas isyak beliau berdakwah di Sonhag. Selepas itu beliau kembali ke Kaherah. Keesokan harinya, sebelum matahari muncul beliau sudah berada di pejabatnya mendahului rakan-rakan sekerja yang lain.
Aktiviti yang dilakukan oleh pekerja ini tidak diketahui oleh sesiapa pun kecuali orang-orang yang pernah bersamanya.
Kisah ini menunjukkan betapa pengaruh ibadah ke atas bentuk kerja seseorang. Sekiranya ibadah yang dilakukan itu didahului dengan niat dan jalan yang betul, pengaruh ibadah tadi akan menjelma dalam pekerjaan yang dilakukan.
No comments:
Post a Comment