Tuesday, March 20, 2018

Tangisan dan derita Ghouta







Akhbar The Guardian melaporkan ribuan orang melarikan diri dari timur Ghouta akibat pengeboman berterusan rejim Bashir al-Assad. Walau bagaimanapun jumlah keseluruhan mangsa dan orang awam yang keluar dari kawasan berkenaan tidak diketahui.

Mangsa konflik yang melarikan diri dari timur Ghouta ditempatkan di tiga khemah perlindungan iaitu Dweir, Herjelleh dan Adra. Mereka yang belum melarikan diri, keadaan mereka amat kritikal. Di situ makanan terhad, sanitasi tidak mencukupi dan sokongan kebersihan sangat kurang serta kebarangkalian menghadapi wabak penyakit berjangkit.

Kebanyakan mangsa yang ditemui di khemah Dweir menghadapi masalah kesihatan seperti jangkitan usus, hepatitis, penyakit kulit dan trauma akibat tidak mendapat ubat dan penjagaan kesihatan yang berpanjangan. Kanak-kanak dan wanita menderita penyakit kudis dan kutu kerana kekurangan pemakanan.

Di bilik pembedahan, mangsa yang cedera dirawat tanpa menggunakan ubat bius, proses merawat luka pula menggunakan alat jahitan biasa dan kemudahan perubatan tidak selamat.

Kacau-bilau dan pertempuran yang berterusan terus membahayakan orang awam menjadi masalah paling serius terutama dalam keperluan memberi perlindungan. Pertempuran antara tentera kerajaan (Goverment of Syria, GoS) dan penentang (Non-State Armed Group, NSAG) menunjukkan GoS menguasai Hamouriyeh dan sebahagian bandar Saqba.

Di bahagian utara, GoS mara ke barisan hadapan menuju kawasan Al-Reyhan di timur bandar Duma. Pengeboman udara berlaku ke atas Arbin, Zamalka dan Hezzeh pada 15 dan 17 Mac lalu.

Namun, kawasan Zamalka adalah paling teruk terjejas kerana melibatkan kematian 20 orang. Pengeboman di Kafr Batna dan Sabqa pada 16 Mac menyebabkan sejumlah kematian dan kecederaan orang awam.

Urutan masa serangan di Ghouta bermula dengan serangan Rif Dimashq (November 2012-Februari 2013), pengepungan timur Ghouta dan serangan Rif Dimashq (September 2015), serangan kimia Ghouta, pertempuran Harasta (2017-2018) dan serangan Rif Dimashq (Februari 2018-sekarang).

Di kawasan utara Ghouta dikawal oleh Jaysh al-Islam yang tertumpu di Douma (dengan anggaran 15,000 pejuang) manakala di selatan dikawal oleh kelompok Faylaq al-Rahman, sekutu rasmi Free Syrian Army (FSA) yang mengawal sebahagian besar pusat dan barat Ghouta termasuk daerah Jobar dan Ain Terma. Ahrar al-Sham (berpusat di Harasta) dan Tahrir al-Sham (HTS) yang mengawal daerah kecil seperti Arbin, al-Ashari dan Bait Naim dengan kekuatan yang dianggarkan sekitar 500 orang.

Sejak serangan dilancarkan pada 19 Februari lalu, jumlah kematian mencecah 1,000 orang dan 300 orang lagi menderita akibat dibom. Bermula 11 Mac, sekurang-kurangnya 20,000 orang telah meninggalkan timur Ghouta khususnya yang tinggal di kawasan Hamouriyeh. Mangsa yang dirawat di pusat kesihatan menghadapi masalah pernafasan selepas serangan gas toksik yang disyaki klorin. Antara simptomnya adalah wajah kebiruan, batuk dan radang paru-paru.

Keganasan di timur Ghouta masih berterusan di sebalik kutukan antarabangsa ke atas Rusia dan al-Assad yang mengetuai serangan berkenaan. Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menguruskan genjatan senjata selama sebulan untuk kemasukan bantuan kemanusiaan. Dalam pada itu, Setiausaha Agung pertubuhan itu menyifatkan keadaan di Ghouta adalah ‘kemusnahan besar’.

Peperangan di Syria telah mengorbankan lebih 200,000 orang dalam tempoh lebih dua tahun lalu. Serangan tentera presiden Syria, Bashar al-Assad, di timur Ghouta baru-baru ini umpama mengulangi kekejamannya pada tahun 2013 yang digelar ‘Ghouta Chemical Attack’ menyebabkan kematian 2,000 penduduk akibat penggunaan senjata kimia.

PBB mengesahkan bahawa roket yang ditembak ke timur Ghouta membawa kuantiti senjata kimia yang dapat membunuh mangsa dalam tempoh satu hingga sepuluh minit. Rancangan ini disusun secara sistematik supaya dos bahan kimia yang digunakan itu dapat menyebabkan kematian secara besar-besaran dalam skala yang kecil.

Kezaliman dan kekejaman yang sedang berlaku di Syria ketika ini, khususnya di Ghouta mengundang perhatian banyak pihak termasuk ketua-ketua negara Barat. Donald Trump, presiden Ameriak Syarikat mengancam akan menyerang Damsyik jika al-Assad berterusan menggunaan senjata kimia ke atas orang awam.

Kemasukan perisikan pelbagai negara seperti perisikan Jerman, Israel, Perancis, Turki, United Kingdom dan Amerika Syarikat untuk menilai sendiri keadaan orang awam mendedahkan medan peperangan terdapat kesan-kesan penggunaan gas beracun. Empat pihak yang menjadi tonggak peperangan di Syria iaitu presiden Syria, al-Assad, Rusia, Iran dan Hizbullah menafikan penggunaan gas beracun dalam siri serangan di timur Ghouta.

Selain daripada gas kimia, al-Assad juga memaksimumkan penggunaan pesawat tempur dan kereta kebal untuk memecah ketumbukan penentangnya sehingga keadaan medan pertempuran diumpamakan seperti hari kiamat.

Mangsa termasuk kanak-kanak dan wanita dibom, sukarelawan juga mengalami nasib yang sama. Hospital dan klinik serta pusat bersalin turut menjadi mangsa pengeboman, malah ada di antaranya yang dimusnahkan berulang kali. Kematian tidak hanya kepada tentera penentang yang bertahan di timur Ghouta malah sesiapa sahaja yang berada di kawasan konflik tidak dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

Kerakusan tentera al-Assad mengebom tanpa henti telah membunuh kanak-kanak setiap jam, rumah musnah dan keluarga tidak tahu arah tuju lalu terkurung dalam kawah peperangan siang dan malam.

Kakitangan organisasi bantuan perubatan, Ahmed al-Dbis menyifatkan situasi di sana sebagai bencana kemanusiaan dan pembunuhan kejam kepada manusia di muka bumi.

Selepas Aleppo jatuh, Ghouta bakal menjadi kawasan pertempuran hebat yang menyebabkan ketakutan bertambah nyata dan benar-benar mengerikan.

Keadaan sebenar di Syria hanya diketahui oleh al-Assad dan rakyat Syria serta relawan yang masih bekerja dalam pelbagai bidang kemanusiaan. Konflik di negara itu dijangka berterusan di timur Ghouta kerana tentera al-Assad telah berjaya membahagikan kawasan itu kepada separuh, berhadapan dengan kumpulan penentang dan orang awam yang kebanyakannya berlindung di bilik bawah tanah.

Tugas kita tidak lagi hanya sebagai pemerhati terhadap kekejaman dan kezaliman sebaliknya bertindak melakukan sesuatu. Selain daripada berdoa, inisiatif perlu digerakkan supaya maklumat keadaan sebenar di timur Ghouta dapat dikongsi bersama masyarakat Malaysia.

No comments:

Post a Comment