Monday, January 01, 2018

Aura positif azam tahun baru







Aura saya pada tahun 2018 ini sangat postitif. Bagi menikmati kepositifan ini, saya mendengar ucapan Tun Dr Mahathir di perhimpunan tahunan parti yang diketuainya.

Ucapan beliau sangat hebat, setiap perkataan yang diucapkan mempunyai karisma dan sangat berpengaruh.

Tahun 2018 adalah tahun yang penuh dengan cabaran. Tidak kiralah cabaran dalaman atau luaran tetapi cabaran itu tetap ada.

Tahun demi tahun kehidupan sebagai rakyat Malaysia semakin sengit, tambah-tambah lagi dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Apatah lagi nilai mata wang ringgit yang rendah berbanding nilai mata wang dolar, euro dan sebagainya.

Apabila terlalu banyak cabaran yang melingkari kehidupan kita, sukar bagi kita untuk membuat azam yang jelas dan terbaik kerana perlu menyelesaikan banyak masalah diri ini. 

Bagi yang berkeluarga, kos membesarkan anak-anak juga perit. 

Seorang pelajar saya dari Yemen datang berjumpa saya baru-baru ini untuk bercerita tentang kehidupannya di sini. Beliau telah berkeluarga dan mempunyai tiga orang anak perempuan. Tahun lepas beliau memperuntukkan seratus ringgit kepada setiap orang anaknya untuk urusan sekolah, tahun ini kosnya meningkat kepada dua ratus ringgit.

Beliau bernasib baik kerana keupayaannya belajar di Malaysia telah disokong oleh adik-beradik dan keluarganya sendiri mempunyai sebuah kilang kejuruteraan di negaranya.

Katanya, adik-beradiknya yang menggesa beliau untuk belajar selepas beliau berhempas-pulas menggalas tanggungjawab memastikan adik-adiknya belajar hingga tamat.

Membentuk azam pada tahun yang mencabar tidak boleh menjangkau terlalu jauh daripada masalah hidup kita. Sebaliknya azam ini mesti berkait rapat dengan cara menyelesaikan masalah hidup walaupun dalam jangka masa yang singkat.

Sekiranya ada masalah kewangan, kita tanam azam untuk menyelesaikan masalah tersebut. Mungkin kena cari lebih banyak ruang dan peluang untuk menambah pendapatan, menguruskan wang dengan lebih berhemat dan mula membuat simpanan tetap secara kecil-kecilan.

Sekiranya ada masalah hubungan sosial dengan orang lain, barangkali azam kali ini adalah untuk meneroka kaedah baru dalam mengurus perbezaan pendapat atau menambah baik kaedah komunikasi dua hala ataupun mengubah sikap dan gaya kita apabila berhadapan dengan rakan-rakan.

Sekiranya ada masalah dalam pengurusan negara, azam terbaik ialah menilai prestasi pemimpin sedia ada dan mula mencongak untuk memilih pemimpin yang dapat memimpin negara. 

Banyak cara untuk memastikan kita dapat membina dan mengekalkan aura positif pada tahun ini. Usaha ke arah merealisasikan azam mesti menggunakan pelbagai cara. Gagal kali pertama tidak semestinya akan gagal seterusnya, justeru kita mesti kembali gigih berusaha dengan cara yang berbeza supaya sasaran azam tadi akan tercapai.

Tetapi jangan pula kita ulangi cara yang sama sebaliknya cari pula cara lain yang mungkin lebih mudah tetapi berkesan, cara lain yang menjimatkan kos dan singkat serta cara lain yang ringkas tetapi berbaloi.

Pencapaian sesuatu azam tahun baru bergantung sepenuhnya kepada kegigihan kita. Tanpa ada kegigihan untuk berusaha dan bergerak ke azam tersebut, ia dikatakan azam tinggal azam, sudah tidak perlu lagi berazam kerana ia tidak ke mana.

Cukup untuk membuat satu atau dua azam yang kuat, boleh dicapai dan tidak menyusahkan diri sendiri.
  

No comments:

Post a Comment