Thursday, December 28, 2017

Kepekaan pemantauan kesihatan mahasiswa di Universiti Awam: Kajian kes di UTeM








Adil Alimi Mohd Radzi, Mohamad Shamim Saroni, 
Wan Zairul Fiqri Wan Abdul Rahman, Muhammad Irham Ibrahim,
Zarrul Helmy Zalani


1.0 Pengenalan

Kesihatan merupakan satu ciri yang amat penting dan perlu bagi setiap manusia. Maksud kesihatan melalui Kamus Dewan adalah berhubung dengan sihat, kesegaran, kebaikan keadaan badan dan lain-lain. Bagi mahasiswa, tahap kesihatan amat penting kerana ianya berhubung kait dengan pencapaian akademik. Hal Ini kerana tanpa tubuh badan yang sihat mahasiswa sukar menjalani aktiviti harian. Dalam konteks ini, kajian ini membincangkan kepentingan tahap kesihatan tubuh badan dalam kalangan mahasiswa di Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM). Melalui kajian ini, dapatan kajian dibentangkan untuk menilai tahap kesihatan mahasiswa di UTeM selaras dengan aktiviti yang dijalani seharian.


1.2 Objektif Kajian

Kajian ini mempunyai tiga objektif iaitu:

i. Mengetahui tahap kesedaran kesihatan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi di UTeM.
ii. Mengetahui kaedah mahasiswa dan mahasiswi memantau tahap kesihatan di UTeM.
iii. Mengkaji faktor-faktor yang menggalakkan mahasiswa atau mahasiswi menjaga 
kesihatan di UTeM.


2.0 Sorotan Literatur

Ketika ini, tahap kesihatan rakyat Malaysia berada dalam tahap yang membimbangkan. Rumusan hasil kajian daripada Mohd Shaiful mengatakan penduduk Malaysia juga adalah penduduk paling obesiti di Asia Tenggara iaitu sebanyak 44.2%, jauh meninggalkan pesaing kedua Thailand dengan perbezaan 10%. Hal ini disebabkan oleh faktor pemakanan dan kurangnya pergerakan fizikal yang aktif dalam kalangan penduduk. Secara purata, seorang penduduk di Malaysia mengambil kira-kira 3.5 hingga 4.25 gram garam sehari. Selain itu, jumlah perokok aktif di Malaysia adalah sekitar 23.3% iaitu jumlah yang hampir sama dengan jumlah perokok secara purata di antara negara-negara membangun. Kesimpulannya, tahap kesihatan penduduk Malaysia terutama dari segi penyakit-penyakit kronik dan cara hidup adalah semakin meruncing dari tahun ke tahun. Keadaan ini jelas berpunca daripada sikap rakyat Malaysia itu sendiri. Apalah guna penambahbaikan kemudahan kesihatan yang giat disediakan oleh pihak kerajaan, sekiranya kesedaran rakyat Malaysia itu sendiri berada pada takuk yang lama.


3.0 Metodologi Kajian

Bagi melengkapkan kajian ini, temubual dan soal selidik telah dilaksanakan. Tiga orang mahasiswa UTeM telah dtemubual iaitu Marcus Hong Chin Seong dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik yang amat menitik berat akan kesihatannya dengan sentiasa melakukan riadah seperti berjoging. Menurut temubual yang dijalankan, beliau melakukan aktiviti itu setiap hari. Temubual kedua pula telah dilakukan ke atas Mohd Sharil Awaluddin dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan yang sangat menjaga kesihatan dengan makan makanan yang berkhasiat untuk badan. Beliau juga melakukan aktiviti riadah pada waktu petang seperti bermain futsal. Manakala temubual ketiga dilakukan terhadap Muhammad Hafifi Roslan dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komputer. Beliau juga menjaga kesihatannya dengan menjaga pemakanan namun beliau juga seorang perokok. Dalam temubual ini, beliau mengakui bukanlah perokok tegar dan hanya merokok sekali-sekala.

Borang soal selidik telah diedar menggunakan aplikasi atas talian (Google Form) kepada tiga etnik terbesar di UTeM iaitu Melayu, Cina dan India. Soal selidik ini telah dijawab oleh mahasiswa dan mahasisiwi UTeM. Mahasiswa dan mahasiswi ini terdiri daripada empat fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP), Fakulti Kejuruteraan Eletronik dan Komputer (FKEKK) dan Fakulti  Teknologi Maklumat dan Komputer (FTMK).


4.0 Hasil Kajian

4.1 Profil Responden

Seramai 34 orang responden yang telah mengambil bahagian dalam soal selidik kajian ini. Mereka terdiri daripada 50% pelajar lelaki dan 50% pelajar perempuan.

Tiga kelompok etnik besar telah dikenal pasti iaitu Melayu, Cina dan India. Kajian ini mencatatkan etnik Melayu merangkumi 85.3%, Cina 14.7% dan selebihnya pelajar dari etnik India.

Pelajar dari empat fakulti telah mengambil dalam soal selidik ini. Pelajar dari FKE sebanyak 47.1% diikuti FTMK 29.4%, FKP 20.6% dan selebihnya dari FKEKK.

Rata-rata responden terdiri daripada pelajar tahun 2 iaitu 91.2%, diikuti pelajar tahun 3, 1 dan 4.


4.2 Kecenderungan merokok dan bersukan

Majoriti pelajar dalam kajian ini tidak merokok (79.4%). Bagi yang merokok, mereka menghisap rokok lebih daripada 7 batang sehari  (40%), diikuti 5 hingga 6 batang sebanyak 30%, 2 hingga 4 batang sehari sebanyak 10% dan pelajar yag menghisap sebatang sehari adalah 20%.

Sukan badminton menjadi pilihan utama pelajar UTeM dengan mengumpul undian sebanyak 11.8%. Selain itu juga, bola sepak, futsal dan sukan renang mengutip undian yang sama iaitu mengumpul sebanyak 5.9%.

Rata-rata dalam seminggu responden lebih kerap memperuntukkan masa satu hingga dua hari untuk aktiviti riadah (35.3%) berbanding 3 atau 4 hari (17.6%) dan lebih 5 hari (11.8%). Ramai juga responden yang tidak mengambil berat aktiviti riadah ini (35.3%).


4.3 Kepekaan terhadap kesihatan diri

Responden juga tidak mengambil berat kesihatan diri apabila hanya 23.5% yang pernah membuat pemeriksaan kesihatan dalam tempoh tiga bulan lepas.

Mengenai kempen amalan pemakanan yang sihat di UTeM, majoriti responden menyatakan kempen berkenaan kurang dijalankan (55.9%) berbanding 8.8% yang bersetuju terdapat kempen sedemikian dilaksanakan.

Bagaimanapun pelajar sentiasa diingatkan untuk menyertai aktiviti sukan dan kokurikulum di UTeM dari semasa ke semasa. Majoriti responden mengakui mereka sedar galakan menyertai aktiviti berkenaan (66.6%) namun yang selebihnya tidak sedar (21.2%).


5.0 Rumusan

Kesimpulannya kesihatan amat penting dalam menjalani kehidupan seharian. Bagi memastikan tahap kesihatan kekal pada tahap optima mahasiswa perlu mengambil berat tentang aspek pemakanan. Selain itu, mahasiswa perlu mengamalkan aktiviti senaman sekurang-kurangnya tiga kali semingggu. Tubuh badan juga memerlukan rehat yang cukup bagi menjalani aktiviti pada siang hari. Sehubungan dengan itu, tidur yang sempurna juga menjadi salah satu aspek penting bagi mengekalkan tahap kesihatan. Mahasiswa juga digalakkan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali. Hal ini selaras dengan cogan kata mencegah lebih baik dari merawat. Daripada cadangan bagi mengekalkan kesihatan diatas, dengan harapan agar mahasiswa dapat mengambil cakna tentang kesihatan tubuh badan. Tubuh yang tidak mempunyai tahap kesihatan yang baik, nescaya segala kegiatan atau aktiviti tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

No comments:

Post a Comment