Friday, November 10, 2017

Bina generasi saintis Islam







Kemuncak kejayaan Tamadun Islam ialah penguasaan khalifah dari Bani Umayyah dan Bani Abbasiyah seterusnya berakhir dengan kemusnahan  Khalifah Othmaniah apabila Kamal Attartuk melumpuhkan sistem khilafiah pada tahun 1924 di Turki.

Pada 1453, Sultan Muhammad Al-Fateh membuka Kota Konstantinopel dan ini membenarkan hadis Nabi saw yang Islam akan mengalahkan musuhnya.

Apabila Tariq bin Ziyad datang ke Andalusia, beliau dan kumpulannya telah membina sebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik merangkumi Yahudi, Islam dan Kristian. Kehidupan mereka sangat aman tetapi apabila Islam jatuh, orang-orang Kristian sangat marah dan menguasai semula Andalusia ini.

Pada 1511, apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis, semangat kesalliban itu terus kukuh. Ketika ini, kedatangan mereka  cuba menjajah Melaka untuk mengambil alih pentadbiran. Tujuan asal adalah mengembangkan agama Kristian tetapi akhirnya apabila melihat rempah-ratus dan kekayaan, mereka bergerak ke arah ingin menguasai harta tersebut.

Apabila penjajah pergi,  mereka meninggalkan sistem pendidikan mereka dan kita sampai hari ini pendidikan kita memisahkan di antara ajaran agama dengan sains walaupun sistem pendidikan itu kita sendiri yang mengaturnya.

Kita tidak nampak yang jalan lurus di hadapan.

Masa lalu, walaupun ada raja-raja dan pemimpin yang zalim tetapi ulamak masih  berfungsi. Masyarakat masih percaya kepada ulamak  kerana kehadiran mereka sangat dirasai. Mereka boleh menyelesaikan masalah dalam masyarakat. Jika ada kematian, ulamak yang pergi. Jika ada kenduri-kendara, ulamak yang pergi. Jika ada orang yang sakit,  ulamak yang pergi.  Maknanya, ulamak lebih dekat dengan masyarakat, bukannya raja ataupun pemimpin.

Namun, apabila kita memisahkan di antara agama dengan sains,  justeru untuk mengadakan satu program bagi mencantumkan balik antara agama dengan sains,  kita melaksanakan berbagai-bagai jenis eksperimen. Ada eksperimen yang gagal dan ada eksperimen yang sedikit-sebanyak menunjukkan kejayaan.

Contohnya hari ini, kita ghairah dengan kelas-kelas tahfiz. Tanggapan kita adalah kehebatan kita dalam beragama ini adalah berupaya menghafal seluruh isi al-quran. Tidak ada kita kitab agama dalam dunia ini yang begitu banyak dihafal melainkan al-quran.

Oleh kerana keghairahan ingin melihat anak-anak maju dalam sains dan teknologi, ibu bapa mendorong anak-anak belajar sehingga menetapkan cita-cita menjadi jurutera,  akauntan,  pentadbir,  pegawai bank dan sebagainya.

Pada pada masa yang sama, ibu bapa mahukan anak-anak yang memahami agama. Lalu kita lihat pertumbuhan pusat tahfiz di merata tempat.

Namun kita lupa.

Dua program pendidikan ini sedang berjalan serentak. Suasana ini seolah-olahnya   memadatkan pembelajaran sehingga anak-anak tidak sempat hendak bersosial. Ketika umur muda lagi proses sosialisasi tidak berlaku. Malah ada sebahagian daripada ibu bapa yang  menghantar anak-anak ke pusat tahfiz dan meninggalkan mereka di situ.

Apakah yang akan berlaku kepada anak kecil yang berumur 12 tahun jika tidak pernah ditegur oleh ibu bapa atau tidak pernah disuruh membuat air?

Kanak-kanak dahulu, ketika kecil ibu meminta mereka menyediakan air minuman kepada tetamu di rumah. Ada kalanya mereka malu apabila tetamu memuji kemanisan air teh dan kopi yang disediakan. Apabila tetamu berkenaan pulang, anak-anak pun bertanya kepada ibu, “Mak, siapa yang datang tadi?” Barangkali ibu akan berkata, “Itulah Pak Ngah hang”.

Mungkin anak-anak yang duduk di pusat tahfiz tadi mampu menghafal al-quran, mungkin juga mereka pintar dalam bidang sains dan teknologi tetapi agama adalah kemanusiaan.

Kecelaruan fikiran dan pandangan seperti ini wajar diubah. Justeru, pakar-pakar yang terlibat dalam pendidikan perlu memainkan peranan mereka.

Dunia pendidikan Barat khususnya di Finland amat jauh berbeza. Anak-anak kecil yang berumur 6 tahun di negara itu belum boleh membaca lagi. Tidak tahu membaca bukan ertinya tidak  tahu berfikir. Rasulullah saw tidak tahu membaca tapi baginda boleh berfikir betapa teruknya orang menyembah berhala.

Jadi, diajarkan anak-anak  itu tentang bagaimana hendak berkongsi makanan,  berkongsi pensel atau kertas kerana mereka hendak mengajar anak-anak ini  tentang nilai berkongsi.

Anak-anak kecil memang akan mementingkan diri sendiri.  Mereka tidak mahu  berkongsi benda dengan orang lain. Kanak-kanak akan menunjukkan permainan kepada kawannya tetapi dia tidak akan beri.

Guru tidak dapat menggantikan tugas bapa. Hakikatnya kita masih lagi dalam bereksperimen. Jika kita membaca sejarah silam, tokoh-tokoh yang terkenal seperti Albiruni,  ayahnya bukanlah seorang yang terkenal tetapi pada masa kecilnya beliau berbahasa Parsi iaitu bahasa ibundanya.  Apabila dewasa, beliau belajar bahasa Arab seterusnya bahasa Sanskrit kerana jirannya adalah seorang berbangsa India. Perkembangan seperti ini menjadikannya mampu memberi ulasan terhadap kitab veda. Akhirnya beliau menulis sebuah kitab berkenaan budaya orang India.

Islam tidak pernah menolak ilmu yang berhubung dengan sains dan teknologi. Islam tidak pernah menolak ilmu yang berkaitan tabii alam. Kita dilantik oleh Allah swt untuk menjadi khalifah. Justeru adalah salah untuk kita mengesampingkan ilmu sains dan teknologi. Pada masa yang sama, aktiviti yang berhubung dengan sains dan teknologi sama ada pertanian, perindustrian, ciptaan-ciptaan baru,  iteknologi komunikasi dan sebagainya  perlu dipandu oleh satu panduan yang akan menyelamatkan manusia daripada kecelakaan.

Contohnya, kejatuhan Firaun bukan kerana ciptaannya yang hebat tetapi kerana dia menyebut “Akulah Tuhanmu yang maha tinggi!” Pada ketika itu Firaun jatuh.

Membina kemajuan masa hadapan, kita perlukan kedua-duanya iaitu agama dan sains secara seiring dan sains itu perlu dipandu. Agama perlu memandu sains dan sains mesti dijadikan wahana atau alat.  Tanpa alat, kita tidak mungkin mencapai kejayaan di akhirat.

No comments:

Post a Comment