Wednesday, September 27, 2017

Kerencaman budaya Baba Nyonya dan Melayu







Siti Norhaslina,Nurul Farhana,Aisyah,Nurin Farzana,Muhammad Amin Firdaus


1.0 Pengenalan

Etnik Baba dan Nyonya merupakan salah satu etnik di Malaysia yang mengalami proses asimilasi. Mereka memanggil diri mereka sebagai “baba” atau “peranakan” kerana kebudayaan mereka yang berasal daripada warisan tradisi Cina dan mempunyai unsur-unsur pengaruh kebudayaan Melayu. Penyesuaian dan resapan budaya mereka terhadap suasana sosiobudaya di persekitaran mereka di zaman silam iaitu melalui perkahwinan campur yang berlaku antara kaum Cina dan Melayu adalah punca utama mengapa generasi seterusnya memanggil mereka sebagai “baba”.


2.0 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah:

i. Mengetahui budaya Baba Nyonya dan Melayu.
ii. Mengkaji persamaan dan perbezaan budaya Baba Nyonya dan Melayu.
iii. Mengetahui proses asimilasi budaya Baba Nyonya dan Melayu 


3.0 Kaedah Kajian

Kajian ini menggunakan kaedah temubual untuk mendapatkan data.


4.0 Dapatan Kajian

Etnik ini mengamalkan agama buddha sama seperti etnik Cina. Mereka turut menyambut perayaan yang sama seperti etnik Cina namun ada beberapa perbezaan kecil yang membezakan etnik Cina dan etnik Baba Nyonya. Ketika musim perayaan, mereka menyediakan manisan Melayu seperti wajik dan dodol. Dari segi masakan, mereka cenderung ke arah masakan melayu namun dari segi rempah ratus yang digunakan berbeza dari resipi asal Melayu. Mereka menginovasikan resipi tersebut bersesuaian dengan selera mereka.

Hal ini dikukuhkan lagi dengan sokongan dari jurnal Su Yingying yang menyatakan bahawa abad ke-20 merupakan tempoh masa yang agak penting bagi penyebaran dan perkembangan kebudayaan tradisional China di Tanah Melayu. Namun begitu, masyarakat Cina di Tanah Melayu ketika itu tetap hormat pada adat dan budaya Melayu. Upacara-upacara keagamaan, sama ada yang bersifat kepercayaan terhadap agama Buddha, mahupun yang bersifat sistem pemujaan dewa-dewa serta nenek-moyang tetap diadakan. Namun, mereka akan terlebih dahulu memberitahu serta memperolehi “kebenaran/restu” daripada masyarakat Melayu setempat (Seong.T.K, 2014).

Dari segi pemakaian, mereka mempunyai corak tertentu yang melambangkan etnik mereka. Pakaian tradisional mereka ialah kebaya batik. Tenunan yang terdapat pada baju kebaya tersebut membezakan kebaya batik Melayu dan kebaya batik Baba Nyonya. Mereka turut mengenakan perhiasan seperti kerongsang dan gelang selain pemakaian kasut manik yang sangat unik. Dalam perkahwinan, etnik ini sangat menitikberatkan keturunanya. Ibu bapa akan memilih calon yang sesuai untuk anak-anak mereka serta melakukan tilik nasib untuk melihat masa depan keluarga anak mereka berdasarkan bulan lahir. Jika sesuai, mereka segera dikahwinkan.

Etnik ini berpegang pada kepercayaan feng shui. Apabila berpindah ke rumah baharu, mereka akan membuka lampu dan menerangkan seluruh pelosok ruang rumah sebagai simbol kemakmuran keluarga tersebut. Selain itu, mereka turut mempercayai nombor 888 sebagai “ong” atau keuntungan.


5.0 Kesimpulan

Tuntasnya, negara kita mempunyai keunikan tersendiri dalam sekelompok etnik tersebut yang mana ia terdiri daripada kepercayaan ,amalan nenek moyang, pakaian, makanan dan sebagainya. Ini juga turut dinamakan sebagai kerencaman yang mana kerencaman tersebut memainkan peranan penting sebagai penanda identiti bagi sekelompok etnik.


Rujukan

http://journal.ugm.ac.id/jurnal-humaniora/article/view/668
http://9icsts2014.um.edu.my/filebank/published_ar0p85-97.pdf
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/395-artikel/8718-keunikan-masyarakat-baba-dan-nyonya.html
Ishak Bin Saat. “Sejarah Panjang Hubungan Malaysia-China”.
http://eprints.usm.my/15538/1/Sejarah_Panjang_Hubungan_Malaysia_-_China.pdf. (dicapai pada 11 Mei 2016)  
Hanapi Dollah. “Nyonya Melaka: Pelancongan dan Transformasi Budaya Baba”.
http://journalarticle.ukm.my/2974/1/1.pdf (dicapai pada 12 Mei 2016)
Prof Madya Dr Fatimah Yusooff. “Etnik Baba dan Nyonya”.                                   http://www.academia.edu/6734410/Kaunseling_Pelbagai_Budaya_Etnik_Baba_dan_Nyony, (dicapai pada 16 Mei 2016)



Tuesday, September 26, 2017

Gejala sosial remaja







oleh Muhammad Haziq Hashim


Kes gejala sosial dalam kalangan remaja telah naik mendadak hari ini. Kesibukan ibu bapa bekerja pada masa kini memainkan peranan yang penting dalam hal ini.

Ibu bapa yang terlalu mengejar kehidupan materialistik telah menyebabkan anak-anak yang berada di rumah berasa terabai dan ini mengakibatkan mereka mencari kawan untuk mengisi masa kesunyian mereka. Ibu bapa tidak sepatutnya terlalu taksub dengan kemewahan dunia.

Kurang komunikasi di antara mereka juga akan menyumbang kepada tekanan terhadap anak-anak. Maka, mereka akan mencari kawan dan seterusnya meluangkan masa bersama untuk menghilangkan tekanan ini. Apabila jadi begini, mereka mudah terjebak dengan aktiviti yang sia-sia.

Kurang pendidikan agama dalam diri anak-anak juga menyebabkan gejala sosial. Anak-anak yang berkawan dengan rakan-rakan yang berperangai negatif mudah terpengaruh kerana pelbagai tarikan yang ditawarkan.

Ada yang akan bercampur bebas lelaki dan perempuan tanpa mengingati hukum agama, halal dan haram. Pegangan agama anak-anak muda mudah tergugat dek kerana budaya barat yang semakin lama menyelinap ke dalam diri mereka.

Jadi, ibu bapa yang sibuk bekerja perlulah mengambil cuti supaya dapat meluangkan lebih masa dengan keluarga. Ibu bapa boleh merancang percutian sekeluarga ke tempat peranginan untuk meluangkan lebih masa bersama anak-anak. Anak-anak akan berasa dihargai dan merasa lebih seronok dengan keluarga berbanding rakan-rakan.

Melalui langkah ini, anak-anak tidak akan berasa bosan tinggal di rumah. Ibu bapa juga boleh merapatkan lagi hubungan dengan anak mereka untuk mengenal pasti masalah yang mereka hadapi. Apabila masalah anak-anak didengari, mereka akan berasa perasaan yang selama ini ‘memberatkan’ mereka dapat diatasi.

Seterusnya, ibu bapa untuk memberikan lebih perhatian tentang pendidikan agama kepada anak-anak. Pada zaman moden ini, anak-anak mudah terpengaruh dengan pengaruh Barat yang hanya berlandaskan kepada hawa nafsu. Ibu bapa perlu mendidik pendidikan dan hukum-hakam agama kepada anak-anak supaya mereka tidak jahil dan ‘rosak’.

Jika anak sudah ‘rosak’, mereka sukar untuk dibentuk semula kepada perangai yang lebih baik. Ajaran agama boleh diajar dari kecil lagi untuk memastikan mereka tidak akan terpengaruh dengan perkara negatif seperti dadah atau budaya parti seks bebas.

Monday, September 25, 2017

Jenayah kerana pengguguran bayi







oleh Mohd Iyad Akmal Mohd Indra Shafie @ Sefee


Pengguguran bayi merupakan suatu jenayah kerana ia merupakan kesalahan mereka yang terlibat dalam pelakuan seks bebas.

Pengguguran bermaksud membuang janin yang tidak dikehendaki sama ada secara sengaja atau tidak melalui bantuan doktor perubatan atau dibuat sendiri yang mengakibatkan kematian bayi. Menggugurkan atau membunuh kandungan merupakan suatu jenayah malah ada undang-undang negara yang menyatakan kesalahan ini.

Menggugurkan janin dianggap kelakuan yang tidak bermoral dan jijik dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Namun, terdapat ketiakadilan kepada gadis-gadis yang diperkosa dan di rogol sehingga menyebabkan mereka mengandung. Oleh itu, jenayah ini perlu diberi perhatian dan diteliti agar tidak menyebabkan masalah. Sebab dan faktor yang menyebabkan gadis-gadis ini mengandung dan menggugurkan bayi perlu disiasat. Terdapat mereka yang didorong rasa malu hingga terpaksa menggugurkan kandungan mereka.

Saya mencadangkan agar negara menyediakan lebih banyak tempat perlindungan bagi gadis-gadis yang mengalami masalah mengandung luar nikah ataupun mangsa rogol yang mengandung. Mereka perlu diajar kemahiran dan diberi bimbingan agar mereka mampu menampung hidup berkeluarga dan menjaga anak kelak.

Negara juga boleh menyediakan khidmat pengambilan anak angkat. Pasti ada yang tidak berkemampuan menampung perbelanjaan anak, maka lebih baik jika diberikan kepada pusat penjagaan atau kepada mereka yang ingin mengambil anak angkat. Tidak wajar anak itu dibunuh atau dibuang. Bayi itu boleh didaftarkan untuk pengambilan anak angkat sejurus dilahirkan.

Namun masalah utama terletak pada mentaliti masyarakat. Rakyat Malaysia perlu mengubah mentaliti mereka terhadap gadis-gadis yang mengandung luar nikah ini. Kita tidak mengatakan seks bebas boleh diterima tetapi kita tidak boleh terus menyalahkan mereka sehingga menghina anak mereka. Sebaliknya, kita harus memberi sokongan kepada mereka untuk berusaha dan bersabar menjalani hidup seperti yang di lakukan di luar negara.

Negara seharusnya menganjurkan kempen untuk mengubah tanggapan buruk komuniti terhadap gadis yang mengandung luar nikah dan anaknya. Keadaan ini akan membantu negara menjadi lebih baik tanpa masalah dan boleh menumpukan kepada pembangunan negara.


Wednesday, September 20, 2017

Bahaya pergaulan bebas







oleh Zuhaiqal Zu

Pergaulan ini sangat bercanggah dengan pandangan dan fahaman Islam. Hal ini kerana, melalui pergaulan seperti ini banyak masalah sosial telah berlaku misalnya kes rogol, pembuangan bayi dan sebagainya. Islam melarang wanita daripada menunjukkan auratnya kepada lelaki bahkan suara juga merupakan aurat. 

Namun, Islam bukanlah sebuah agama yang mengongkong umatnya tetapi biarlah berpada tahap pergaulannya.

Melalui pergaulan bebas sebegini, moral dan akhlak generasi muda akan runtuh.

Apabila moral dan akhlak telah tiada, maka mereka akan mudah terjebak dan tidak takut untuk melakukan kemungkaran. Kebanyakan kes yang berlaku adalah melibatkan golongan bawah umur.

Hal ini telah membuatkan mereka menggelapkan masa depan mereka sendiri. Oleh yang demikian, masalah pergaulan bebas perlulah dibendung dan dibanteras dari akarnya supaya masalah sosial yang lain tidak akan berlaku.

Salah satu cara mengelakkan pergaulan bebas adalah menanam sifat ketimuran dalam diri masing-masing. Seperti umum sedia maklum, masyarakat Timur amat terkenal dengan kesopanan dan kesusilaan yang tinggi. Sifat ini amat penting bagi mengukuhkan iman dan pegangan akhlak golongan muda supaya takut dan malu untuk melakukan kemungkaran.

Sifat ini juga boleh dijadikan sebagai perisai golongan muda bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam kancah pergaulan bebas yang memudaratkan.

Selain itu, golongan muda juga haruslah melengkapkan diri dengan mendalami ilmu agama yang secukupnya. Hal ini demikian kerana, dunia pada hari ini amat mencabar dan penuh dengan pancaroba.

Sekiranya mereka tersilap mengatur gerak berkemungkinan besar golongan ini boleh terjerumus dalam pergaulan bebas yang memudaratkan. Oleh itu, ilmu agama amat penting dipelajari serta difahami oleh golongan muda pada masa kini.

Tuesday, September 19, 2017

Jenayah siber ancaman terbesar di Malaysia







oleh Mohamad Syaffiq Mohd Yusoff

Saya bersetuju dengan artikel jenayah siber merupakan ancaman terbesar di Malaysia. Di Malaysia terdapat banyak kes penipuan yang berlaku di antara kita. Misalnya penipuan dalam proses jual beli atas talian, pemalsuan dokumen, judi siber dan sebagainya. Perkara seperti ini boleh mendatangkan kerugian besar kepada syarikat di Malaysia.

Salah satu kesan terbesar daripada jenayah siber terhadap syarikat adalah kerugian hasil. Perkara ini boleh berlaku apabila maklumat sulit kewangan syarikat dibocorkan atau dicuri dan digunakan oleh pihak luar untuk mengeluarkan dana dari akaun syarikat secara haram.

Perkara ini juga boleh berlaku kepada peniaga yang laman e-dagangnya telah terjejas akibat daripada jenayah siber. Hal ini menyebabkan kerugian pendapatan berharga kerana pengguna tidak boleh mengakses laman sesawang itu.

Perkara ini sukar untuk dibendung kerana penjenayah siber sukar untuk dikenal pasti siapa yang menyerang dan di mana mereka menyerang.

Selain itu, pihak yang berkenaan juga tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk menangkap penjenayah siber kerana mereka menggunakan maklumat palsu. Akhir sekali, sikap manusia sendiri yang sukar untuk dikawal juga menyebabkan perkara ini terus berlaku.

Cadangan yang boleh saya ketengahkan untuk mengatasi jenayah siber ini adalah dengan memberikan maklumat kepada masyarakat mengenai jenayah siber dan cara mengelaknya. Cadangan ini bertujuan untuk mengelakkan rakyat kita daripada menjadi mangsa jenayah siber.

Selain itu, dengan meningkatkan kemampuan anggota keselamatan boleh mengurangkan jenayah siber ini. Misalnya, melatih kakitangan untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang forensik komputer untuk menyiasat dan menganalisis bagi mendapatkan bukti yang kukuh.

Selain daripada itu, syarikat yang ingin memulakan e-dagang perlu melakukan langkah keselamatan terlebih dahulu. Tujuannya adalah untuk mengelakkan penjenayah siber membuat dokumen palsu ke atas syarikat itu.

Akhir sekali, dicadangkan supaya pihak polis meronda di internet melalui unit “cyber crime”. Perkara ini amat penting supaya pihak polis dapat memerhatikan tingkah laku pengguna siber pada setiap masa. Oleh itu, melalui cadangan ini pihak polis dapat membanteras jenayah siber di laman sosial seperti facebook.

Monday, September 18, 2017

Kepentingan rumah terbuka ketika musim perayaan








oleh Muhammad Adib bin Aminuddin

Di Malaysia terdapat ramai bangsa yang berbagai-bagai kaum. Antara kaum yang terdapat di Malaysia seperti Melayu, Cina dan India. Antara perayaan yang disambut oleh kaum-kaum ini adalah Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga seluruh lapisan dan pelbagai lapisan masyarakat mengetahui istilah rumah terbuka yang menjadi amat sinonim dalam kehidupan mereka.

Apakah yang dimaksudkan rumah terbuka?

Rumah terbuka adalah satu aktiviti yang sering dilakukan oleh tuan rumah dengan mengadakan jamuan makan di rumah. Seterusnya menjemput jiran tertangga serta saudara mara untuk menghadiri majlis tersebut.

Saya bersetuju dengan aktiviti ini. Hal ini demikian kerana, dengan mengadakan aktiviti seperti ini perpaduan antara kaum dalam kalangan anggota masyarakat di negara kita dapat dipertingkatkan.

Hal ini demikian kerana, kaum lain seperti India atau Cina dapat hadir ke rumah terbuka dan berkumpul. Mereka juga dapat bertegur antara satu sama lain. Seperti kita tahu, kebiasaannya pada hari-hari biasa semua orang mempunyai tanggungjawab sendiri iaitu bekerja, jadi mereka tiada waktu terluang untuk bertegur sapa dengan jiran tertangga. Oleh itu, dengan adanya budaya rumah terbuka ini, kita dapat meningkatkan perpaduan antara kaum dengan menjemput jiran-jiran yang berbilang bangsa ke rumah terbuka kita.

Selain itu, hubungan silaturrahim antara keluarga dapat dipertingkatkan. Sebagai contoh saudara lama yang telah terpisah dapat berjumpa semasa menghadiri rumah terbuka tersebut. Seterusnya, kaum lain yang menghadiri rumah terbuka juga dapat mengenali budaya-budaya kaum lain.

Sebagai contoh, makanan tradisi masing-masing jika kita pergi ke rumah terbuka ketika perayaan hari Raya Aidilfitri kita akan dihidangkan dengan juadah yang enak seperti ketupat, rendang, lemang, lodeh dan brmacam-macam lagi. Jika hari-hari biasa melainkan ketika hari perayaan.

Di samping itu, dengan mengadakan rumah terbuka juga, kita dapat memupuk semangat kerjasama antara jiran tertangga. Hal ini kerana, dengan mengadakan gotong-royong kita dapat memasak juadah makanan bersama-sama, memasang khemah bersama-sama. Oleh itu, semangat kerjasama dan tolong-menolong dapat diterapkan dalam diri masyarakat.

Kesimpulan yang dapat saya rumuskan disini ialah dengan mengadakan rumah terbuka ini banyak mendatangkan kebaikan. Antara kebaikannya ialah meningkatkan perpaduan antara kaum,mengeratkan hubungan silaturrahim antara keluarga dan kita dapat mengenali budaya kaum lain.

Oleh itu, kita sebagai masyarakat Malaysia yang harmoni ini haruslah meneruskan budaya ini agar tidak lapuk dek zaman. Justeru itu, generasi akan datang dapat merasai keseronokan dan kegembiraan ketika menyambut hari perayaan.


Wednesday, September 13, 2017

Pengaruh budaya Barat terhadap remaja







oleh Ahmad Syamim Alias


Pengaruh budaya barat terhadap remaja yang semakin menular hari ini. Hal ini mengakibatkan remaja sekarang semakin terpesong daripada jalan yang benar. Contohnya, mula terjebak dengan budaya punk, black metal dan gangsterisme.

Perkara ini semestinya adalah perkara yang tidak sihat dan boleh merosakkan minda dan tamadun generasi kita. Jika perkara ini tidak dibendung tidak mustahil generasi yang lahir pada masa akan datang boleh merosakkan negara kita ‘Malaysia’ dengan budaya yang tidak bermoral ini.

Antara faktor berlakunya pengaruh budaya barat terhadap remaja termasuklah faktor media massa yang memaparkan gejala gejala negatif seperti keganasan, pornografi dan budaya hidup yang tidak sihat.

Selain itu, faktor diri sendiri yang mempunyai sikap ingin tahu yang mendalam dalam sesuatu hal sehingga tidak dapat membezakan yang hak dan yang batil.

Seterusnya, faktor rakan sebaya yang mempunyai persamaan dari segi perasaan yang selalu mengajak dan rakannya terus menerima pelawaan tanpa berfikir panjang untuk melakukan sesuatu hal yang bebas serta tanpa batasan. Akhir sekali, faktor keluarga yang terlalu sibuk dengan kerja masing masing sehingga tidak mengetahui aktiviti yang sedang dilakukan oleh anak anak.

Antara perkara yang dicadangkan ialah pihak persiaran rancangan televisyen perlulah lebih berhati hati dengan rancangan yang disiarkan dengan menapis dahulu filem atau drama yang mengandungi unsur unsur yang boleh merosakkan minda masyarakat supaya perkara tersebut dapat disekat daripada ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Hal ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan unsur negatif daripada meracuni minda generasi kita.

Selain itu, pihak kerajaan boleh mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat supaya mereka dapat mengetahui akibat mengamalkan budaya barat yang tidak bermoral itu dan lebih memilih untuk menghindarkannya.

Di samping itu, ibu bapa perlulah lebih prihatin dengan memantau anak anak dengan siapa mereka berkawan. Hal ini kerana , jika anak anak tersilap memilih rakan, mereka dikhuatiri akan terjebak dengan perkara negatif yang boleh merosakkan masa depan anak anak.

Akhir sekali, ibu bapa mestilah mengutamakan anak anak daripada kerjaya dengan lebih banyak meluangkan masa bersama anak anak supaya mereka merasakan diri mereka disayangi kerana mendapat kasih sayang yang cukup.

Monday, September 11, 2017

Pendidikan mengubah masa hadapan







Hari ini merupakan hari permulaan kepada pelajar-pelajar baru dan lama memulakan kuliah bagi sesi 2017/2018. Pelajar-pelajar baru mulai mendapat pengalaman menimba ilmu di menara gading seperti yang diimpikan sebelum ini. Berada di universiti adalah cita-cita dan impian tertinggi seorang pelajar sama ada dari latar belakang keluarga berada atau tidak berada, kampung atau bandar.

Berada di universiti juga merupakan ukuran kemampuan untuk mengubah kehidupan sedia ada. Nelson Mendela berkata “Education is the most powerful weapon which you can use to change the world”. Tidak syak lagi pendidikan adalah alat paling berkesan untuk mengubah kehidupan seseorang.

Di Malaysia, pendidikan merupakan satu wadah yang telah digunakan oleh kerajaan untuk mengubah dan menambah baik kehidupan rakyat. Keadaan ini dapat kita lihat apabila terdapatnya pelbagai jenis sekolah yang telah diberi bantuan bantuan dari semasa ke semasa untuk mencari pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan tetapi memiliki tahap pendidikan yang sangat baik melalui saringan peperiksaan utama seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah.  Wujudnya sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang dikenali sebagai Sekolah Berasrama Penuh ataupun Maktab Rendah Sains Mara yang memberi tumpuan kepada kepada pelajar-pelajar luar bandar dan berkebolehan untuk meneruskan pendidikan mereka seterusnya dapat mengubah kehidupan keluarga mereka sendiri.

Pada hari ini. kita melihat bilangan Universiti Awam di Malaysia telah menjangkau kepada 20 buah di samping beratus-ratus buah Universiti Swasta. Para pelajar yang berada di sekolah menengah rata-ratanya telah pun mendapat laluan pendidikan mereka sendiri. Bagi mereka yang mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang di peringkat SPM, mereka ini ditawarkan masuk ke universiti-universiti yang sedia ada.

Manakala pelajar-pelajar yang tidak cemerlang dalam peperiksaan ini tetapi mereka memiliki bakat dan kemahiran dalam bidang teknikal, mereka boleh memilih untuk meneruskan pengajian mereka di Kolej Komuniti, politeknik ataupun ataupun kolej-kolej universiti swasta yang menawarkan bidang teknikal dan kemahiran.

Pendek kata peluang pendidikan di Malaysia sangat luas dan ia bergantung kepada sama ada seseorang itu hendak ataupun tidak meneruskan pengajian mereka. Selain daripada tempat belajar, kerajaan dan juga agensi-agensi yang berkaitan dengan kerajaan juga menawarkan tempat untuk para pelajar yang memiliki kemahiran teknikal dan vokasional ini terus belajar di institusi pengajian yang dibuat khusus sebagai platform melahirkan tenaga mahir untuk bekerja di syarikat mereka.

Bagi pelajar yang berpendapatan rendah, Universiti Awam sememangnya menyediakan dana dan bantuan kewangan untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan ini meneruskan pengajian. Dana ini disediakan melalui wakaf yang ditubuhkan oleh universiti sendiri.

Pendek kata, untuk belajar di sesebuah universiti di Malaysia, kemudahan pendidikan banyak disediakan oleh kerajaan dan institusi berkaitan kerajaan seperti Yayasan Pelajaran Negeri, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri dan syarikat-syarikat swasta yang memperuntukkan sejumlah perbelanjaan bagi membiayai para pelajar ini.

Terpulanglah kepada pelajar untuk memastikan pendidikan mereka ini berada pada pada landasan yang betul dan dapat menamatkan pengajian mereka dengan sempurna. Walaupun tempoh empat tahun mungkin dianggap sebagai agak panjang tetapi hakikatnya ialah dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi semasa di universiti ini dapat membantu mereka bersaing selepas menamatkan pengajian mereka.

Selama empat tahun di universiti, sewajarnya pelajar mengambil beberapa kursus yang boleh meningkatkan nilai diri mereka dan juga berupaya memenangi persaingan untuk mendapatkan pekerjaan. Antara kursus yang sangat penting ini adalah kursus bahasa. Menguasai kemahiran bahasa Inggeris menjadikan pelajar lebih terdedah kepada dunia luar yang lebih kompleks dan pada masa yang sama berupaya membentuk jaringan yang lebih luas. Jadi, di sinilah pentingnya mereka mempunyai media sosial yang tersendiri dan pautan antarabangsa. Selain bahasa Inggeris, pelajar juga boleh mengambil bahasa dunia yang lain seperti bahasa Mandrin, Arab, Perancis mahupun Jepun.

Memandangkan Malaysia pada hari ini mula menarik minat pelabur pelabur dari China, penguasaan bahasa mandarin amat strategik dan signifikan jika pelajar-pelajar mahu menggunakan negara China sebagai landasan meningkatkan kemahiran pekerjaan.

Peluang belajar di universiti wajar digunakan sebaik-baiknya supaya masa hadapan lebih terjamin.