Syabas dan tahniah kepada pasukan polis,
pegawai perubatan dan agensi-agensi yang terlibat dalam menyelesaikan kes
pembunuhan Kim Jong-nam yang disyaki diracun ketika berada di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) baru-baru ini. Kejayaan ini sedikit demi
sedikit menguak misteri kematian dan meningkatkan keyakinan orang ramai
terhadap keupayaan pasukan penyiasat memuktamadkan kes ini.
Kelantangan duta besar Korea Utara membuat
pelbagai tohmahan dan tuduhan terhadap pasukan penyiasat dan kerajaan Malaysia
telah dapat dipatahkan apabila pendedahan polis menunjukkan terdapat kecenderungan
kes berkenaan telah dirancang dan dikatakan ada kaitan dengan ejen Korea Utara.
Antara pendedahan ini adalah penggunaan bahan
radioaktif VX sebagai bahan pembunuh, merekrut wanita sebagai ejen pembunuhan,
membuat latihan agresif kaedah membunuh di beberapa tempat dan mengenal pasti
beberapa orang warganegara Korea Utara yang telah melarikan diri semasa hari
kejadian.
Seterusnya kehadiran seorang ejen negara itu
yang bekerja di sebuah syarikat di Cheras tanpa menerima gaji dan tidak datang
bekerja tetapi mempunyai keluarga di Jalan Kuchai Lama. Lelaki ini menimbulkan
banyak persoalan khususnya tentang bagaimana beliau membayar sewa rumah dan
membiayai keluarga serta pengajian anaknya di universiti swasta negara ini.
Penglibatan seorang kakitangan kedutaan Korea
Utara menambah syak terhadap penglibatan rejim negara itu bagi memastikan
sasaran terbunuh.
Kita sedar pasukan polis bertungkus lumus
melengkap siasatan mereka kerana kes ini telah menarik tumpuan banyak pihak di
peringkat antarabangsa. Seperti yang ditegaskan Timbalan Ketua Polis Negara
bahawa pihak polis tidak berminat mencampuri urusan politik Korea Utara tetapi
sangat berminat untuk mengetahui kenapa pembunuhan itu dilakukan di Malaysia
dan bagaimana pembunuhan itu dilakukan supaya suspek dan dalang dapat ditangkap dan dibawa ke muka
pengadilan.
Justeru, ulasan duta besar Korea Utara
terhadap polis dan kerajaan Malaysia tidak dapat diterima. Syak wasangka beliau
terhadap keupayaan agensi penyiasat hanya menunjukkan sikap prasangka dan
memandang rendah semua tindakan yang dilakukan setakat ini untuk merungkai
komplot pembunuhan itu. Kenyataan perdana menteri Malaysia bahawa duta besar
Korea Utara bersikap biadap dalam hubungan diplomatik adalah refleksi kerajaan
Malaysia terhadap tindak-tanduk negara itu dalam menyelesaikan kes berkenaan.
Episod pembunuhan Kim Jong-nam tidak dapat
diselesaikan dalam tempoh yang singkat seperti dikehendaki duta besar Korea
Utara. Sebaliknya perlu dibuat secara profesional dan teliti kerana ia
merupakan kes jenayah. Agak aneh apabila pihak kedutaan begitu inginkan mayat
mangsa tetapi tidak peduli nasib dua orang ejen pembunuh dari Vietnam dan
Indonesia.
Malaysia wajar mengambil pendekatan tegas dan
mengingatkan Korea Utara bahawa negara ini bukannya tempat untuk membunuh musuh
politik mereka. Di samping itu, pembongkaran komplot pembunuhan ini dapat
meningkatkan imej pasukan penyiasat Malaysia dalam menyelesaikan kes berprofil
tinggi. Pada masa yang sama memberi mesej kepada mana-mana negara dan sesiapa
sahaja yang mahu menjadikan negara ini sebagai tempat kancah percaturan kuasa.
No comments:
Post a Comment