Kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian
lapan orang penunggang basikal amat menyedihkan. Ia menjadi perhatian kerana
masa kejadian adalah waktu dinihari yang sepatutnya semua mangsa berada di
rumah bersama keluarga.
Apakah yang sebenarnya berlaku kepada keluarga
mangsa-mangsa berkenaan?
Soalan ini patut diberi perhatian kerana ia
ada sangkut-paut dengan tanggungjawab keluarga memastikan keselamatan
anak-anak. Amat menyedihkan apabila keluarga sendiri kurang memberi perhatian
terhadap gerak-geri anak-anak di luar rumah untuk bergaya dengan basikal pada
malam hari.
Kemalangan jalan raya, kecederaan parah,
langgar lari, penculikan atau ditawarkan sebagai ahli sindiket kongsi gelap
adalah antara gejala membiarkan anak-anak tanpa pengawasan ibu bapa atau
keluarga. Banyak kes yang melibatkan kecuaian ibu bapa berakhir dengan kematian
atau kecederaan. Ada anak-anak hilang ketika ibu bapa leka membeli-belah dan
ada anak-anak yang dilanggar lari apabila bermain di hadapan rumah tanpa
pengawasan.
Menyelesaikan isu kanak-kanak berbasikal pada
malam hari di jalan-jalan raya perlukan tindakan tiga penjuru. Pertama, ibu
bapa sendiri yang menyedari tanggungjawab mereka memastikan anak-anak berada di
rumah pada waktu malam. Mereka juga perlu bertegas dengan pelbagai alasan
anak-anak yang mahu keluar rumah ini kerana memang menjadi kemahuan anak-anak
untuk berseronok dengan rakan-rakan.
Kedua, pasukan polis wajar menjadikan
kanak-kanak berbasikal di jalan raya sebagai sebahagian daripada tugas pemantauan
supaya wujud kegerunan kepada mana-mana kanak-kanak untuk menjauhi aktiviti
berbasikal seperti itu. Jika boleh, ibu bapa kanak-kanak yang terlibat
dipanggil ke balai polis untuk diberi amaran.
Ketiga, masyarakat berperanan membantu
kanak-kanak yang berbasikal malam ini menghentikan aktiviti mereka dan pulang
ke rumah. Di kawasan taman perumahan hari ini terdapat Rukun Tetangga yang
boleh memantau aktiviti itu di kawasan mereka.
Kita harus sedar bahawa kanak-kanak yang
melilau dengan basikal pada sebelah malam sedang berhadapan dengan masalah.
Lebih baik kita mengkaji masalah tersebut dan mengemukakan kaedah penyelesaian
berbanding menyalahkan sesama sendiri. Kemalangan yang menyebabkan kehilangan
nyawa ini wajar dijadikan iktibar supaya tidak ada kanak-kanak yang bakal menjadi
mangsa. Langkah-langkah pembetulan dan kempen kesedaran tanggungjawab boleh
menjadi program intervensi terbaik bagi mencegah aktiviti yang membahayakan
diri dan pengguna jalan raya ini.
No comments:
Post a Comment