Seluruh dunia mendengar penjelasan Jabatan Kehakiman
Amerika Syarikat (DOJ) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Jabatan
itu memaklumkan mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap
penggelapan wang dari IMDB dengan cara penyitaan dan pelbagai cara lain bagi
sejumlah lebih daripada RM4 bilion (US$1 bilion).
Mengulas perkembangan terbaru mengenai IMDB ini,
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau memandang
serius saman sivil yang dikeluarkan itu. Beliau juga berkata kerajaan Malaysia
akan memberi kerjasama penuh kepada semua badan sisatan antarabangsa.
Hal yang sama turut dinyatakan oleh Peguam Negara, Tan
Sri Mohamed Apandi Ismail yang turut mengalu-alukan sebarang permintaan untuk
mendapatkan maklumat atau bukti seiring dengan komitmen beliau untuk memerangi
pengubahan wang haram dan amalan rasuah.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh
Said Keruak berkata siasatan DOJ tiada kaitan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak
sebaliknya hanya melibatkan tiga individu yang dinamakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman
Dahlan pula menegaskan nama Perdana Menteri Malaysia tidak disebutkan langsung,
justeru Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terlibat.
Dalam sidang media itu, lebih US$3 bilion dikenal pasti
telah digelapkan dari dana 1MDB sejak tahun 2009 hingga 2015. Tempoh ini
bersamaan dengan tempoh Datuk Seri Najib Tun Razak menjawat jawatan sebagai
Perdana Menteri Malaysia, Menteri Kewangan Malaysia dan Pengerusi Lembaga
Penasihat 1MDB.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail berpendapat Datuk Seri Najib Tun Razak patut mengambil cuti
sebagai perdana menteri supaya isu ini tidak memberi persepsi negatif terhadap
salah guna kuasa atau sebarang tindakan yang boleh menghalang siasatan yang
dilaksanakan.
Sepertimana yang kita tahu, ketika tempoh siasatan ke
atas 1MDB, terdapat kes yang melibatkan pemindahan pegawai siasatan secara
mengejut, penyingkiran timbalan perdana menteri dan menteri kabinet dan
pertukaran Peguam Negara Malaysia. Laporan Jabatan Audit Negara pula
dikategorikan sebagai sulit dan tidak boleh disiarkan kepada umum.
Walaupun sulit, masyarakat umum dapat membaca maklumat
laporan berkenaan melalui laman portal tertentu seperti Sarawak Report. Namun kandungan
laporan yang disiarkan itu dikatakan tidak lengkap dan disiarkan dengan maksud
tidak baik.
Selepas DOJ mengumumkan hasil siasatan mereka,
terdapat enam nama yang terlibat dalam penggelapan wang 1MDB.
Pertama, Low Taek Jho. Seorang ahli perniagaan yang
lebih popular dengan panggilan Jho Low. Beliau dikatakan menjadi orang
kepercayaan Datuk Seri Najib Tun Razak. Jho Low dikatakan membantu kewujudan
1MDB sebagai institusi pelaburan Malaysia pada 2009 apabila Datuk Seri Najib
menjadi perdana menteri.
DOJ mendedahkan bagaimana beliau membeli hartanah
mewah dan juga saham dalam EMI, syarikat penerbitan muzik ketiga terbesar di
dunia, daripada dana 1MDB yang disonglap.
Low, 34, juga membeli lukisan Vincent Van Gough dan
Claude Monet yang telah dirampas oleh pihak berkuasa Swiss.
Kini, Jho Low tidak dapat dikesan kedudukannya dan
dipercayai berada di China atau Taiwan kerana kedua-dua negara itu tidak
mempunyai perjanjian ektradisi dengan Amerika Syarikat.
Kedua, Riza Aziz. Anak lelaki sulung Datin Seri Rosmah
Mansor dalam perkahwinan terdahulu. Riza, 34, seorang ahli perbankan di London
sebelum berpindah ke Amerika Syarikat. Beliau membeli hartanah yang mahal di
Amerika Syarikat dan London menggunakan dana sebanyak US$94.3 juta yang dikatakannya
kepada penyiasat sebagai “hadiah”. Beliau juga dinamakan sebagai pengasas
bersama Red Granite Pictures yang menerbitkan filem The Wolf Of Wall Street
menggunakan wang 1MDB.
Dalam saman yang sama juga beliau dikatakan sebagai
individu yang bermain judi di sebuah kasino di Las Vegas bersama Jho Low dan
pelakon Hollywood, Leanardo DiCaprio. Mereka menghabiskan lebih daripada US$1.1
juta pada Julai 2012.
Ketiga, Eric Tan Kim Loong. Seorang rakyat Malaysia
yang berkawan rapat dengan Jho Low. Beliau dikatakan menjadi pemilik faedah
kepada beberapa akaun bank yang mana “pemindahan dana 1MDB secara tidak
beretika” dilakukan.
Keempat, Malaysian Official 1 (MO1). Nama ini disebut
sebanyak 32 kali dan dikatakan sebagai seorang berjawatan tinggi dalam kerajaan
Malaysia dan juga dalam kedudukan berkuasa di 1MDB. Beliau juga dikatakan ada
hubungan dengan Riza. DOJ percaya bahawa akaun di AmBank yang menerima US$681
juta pada Mac 2013 adalah kepunyaan individu ini.
Kelima, Khadem Al Qubaisi. Seorang rakyat UAE,
merupakan pengarah urusan di International Petroleum Investment Company (IPIC),
sebuah dana pelaburan yang dimiliki Abu Dhabi. Beliau juga menjadi pengerusi
Aabar Investments PJS, anak syarikat IPIC.
IPIC dan Aabar telah terlibat dengan 1MDB sejak 2012.
DOJ menyatakan Khadem, 44, telah membeli “penthouse” dan hartanah di Beverly
Hills dengan dana 1MDB.
Keenam, Ahmed Badawy Al-Husseiny. Rakyat Amerika
Syarikat, 53, merupakan ketua eksekutif Aabar Investems PJS dari 2010 hingga
tahun lepas. Dalam kenyataan DOJ, beliau dikatakan membeli rumah mewah di
London.
Siasatan yang dilakukan oleh Kleptocracy Asset
Recovery Initiative (KARI) ini amat memberi makna kepada rakyat Malaysia yang
dahagakan maklumat berkaitan 1MDB. Beberapa agensi kerajaan Malaysia yang
terlibat dalam siasatan ini tidak pernah memaklumkan secara jelas siasatan
mereka menyebabkan orang ramai mencari maklumat dari sumber asing. Tindakan
awal DOJ sudah pasti akan mendedahkan lebih banyak maklumat, plot, jumlah wang
yang diambil dari 1MDB dan akhirnya ialah hukuman ke atas mereka yang terlibat.
Akhbar arus perdana berhempas-pulas melindungi
maklumat berkaitan 1MDB namun dalam dunia teknologi hari ini, maklumat yang
dikatakan sulit dan rahsia sudah tidak berguna lagi. Adalah lebih baik kerajaan
sendiri yang mengumumkan hasil siasatan supaya rakyat tidak keliru dan imej
pemimpin kerajaan Malaysia tidak terjejas.
Seluruh dunia ingin mengetahui siapakah Malaysian
Official 1 ini. Jika di akhir siasatan individu sebenar MO1 ini didedahkan, ia
sudah tidak berguna lagi kerana terlibat dalam skandal paling besar dalam
sejarah Malaysia dan Amerika Syarikat dan memberi malu kepada rakyat Malaysia.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Jabatan Kehakiman
(DOJ) dan Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (agensi hasil cukai AS) telah
mengetuai siasatan yang sangat teliti selama lebih satu tahun.
Mereka telah membuat kesimpulan bahawa rakyat Malaysia
telah dirompak dan wang rakyat telah dialihkan daripada dana 1MDB kerajaan
melalui penipuan dan pengubahan wang haram.