Friday, May 20, 2016

Impak syarahan Dr. Zakir Naik di Malaysia







1.0 Pengenalan

Pada hari ini, dapat dilihat bahawa agama Islam adalah antara agama yang terbesar di dunia dengan populasinya pada 2013 mencapai 22.43 peratus daripada keseluruhan populasi dunia. Menurut Pew Research Center, Amerika Syarikat, pada tahun 2015 pertumbuhan umat Islam dianggarkan lebih tinggi daripada penganut Kristian, menjadikannya agama yang paling cepat berkembang di dunia. Antara faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan umat Islam pada hari ini ialah kegiatan dakwah yang dijalankan oleh pendakwah-pendakwah Islam di seluruh dunia. Setiap individu ini memainkan peranan yang penting dalam proses penyebaran Islam dan membuka mata masyarakat dunia tentang ajaran Islam yang sebenar. Mereka juga secara tidak langsung memberi galakan kepada pendakwah-pendakwah baru untuk menyambung dan memperluas kegiatan dakwah bagi tujuan yang sama.

Dr. Zakir Naik adalah nama yang tidak asing lagi bagi masyarakat Islam di dunia pada hari ini, termasuklah rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam. Beliau adalah seorang ulama, pendakwah dan penceramah yang membincangkan pelbagai isu berkaitan agama-agama yang wujud pada hari ini. Tajuk utama ceramah beliau ialah perbandingan antara agama. Beliau adalah seorang pelajar dalam bidang perubatan dan pernah menuntut di Kishinchand Chellaram College, Topiwala National Medical College & BYL Nair Charitable Hospital dan beliau memperolehi Sarjana Perubatan dan Bedah (MBBS) ketika menuntut di Universiti Mumbai, India.

Pada tahun 1991, beliau meninggalkan bidang perubatan untuk memberi tumpuan dalam bidang dakwah. Pada Februari 1991, beliau telah mengasaskan Islamic Research Foundation (IRF) yang mempunyai siaran Peace TV di Mumbai, India. Dr. Zakir Naik berkata pada 2006, bahawa beliau mendapat inspirasi dari Sheikh Ahmed Deedat, seorang penceramah dan pendakwah terkenal pada era 1990-an, yang bertemunya pada tahun 1987. Beliau telah menerbitkan banyak buku mengenai Islam dan perbandingan agama. Syarahannya bukan sahaja dihadiri oleh mereka yang beragama Islam, malah ramai penganut agama lain yang turut serta menghadiri syarahan tersebut. Sikap beliau yang terbuka dan penerangan yang jelas mengenai Islam telah menarik minat penganut agama lain untuk menerima Islam.

Syarahan adalah antara medium yang paling berkesan bagi menarik minat masyarakat untuk mengenali Islam. Pendengaran secara langsung lebih memberi kesan kepada para pendengar, selain turut memberi peluang kepada mereka untuk mengajukan soalan kepada pensyarah. Melalui teknik yang betul, program ini akan menarik minat tetamu yang hadir untuk lebih memahami mesej yang ingin disampaikan pensyarah dan membuka mata mereka tentang Islam.

1.1 Peranan Dr. Zakir Naik

Kunjungan Dr. Zakir Naik ke Malaysia baru-baru ini bukanlah kunjungan pertama beliau. Pada tahun 2013, beliau telah menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1435H/2013M pada 5 Nov 2013 yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Ini adalah sempena jasa dan sumbangan beliau kepada perkembangan Islam di peringkat global. Peranan beliau adalah sangat besar dalam perkembangan Islam. Jika dikaji dengan lebih terperinci, antara peranan beliau ialah menjelaskan konsep Islam yang sebenar kepada rakyat Malaysia. Seperti yang kita sedia maklum, banyak mesej buruk mengenai Islam yang disampaikan melalui media dan hal ini bukanlah sesuatu yang baru. Kesan daripada propaganda ini adalah persepsi dan pandangan sesetengah pihak yang menyerong terhadap Islam, dan antara punca utama kepada Islamofobia. Golongan muda adalah yang paling mudah menerima mesej-mesej negatif ini.

Melalui syarahan beliau, Dr. Zakir Naik menjelaskan ajaran Islam yang sebenar berpandukan Al-Quran dan hadis yang ternyata bertentangan dengan apa yang disiarkan oleh sesetengah media yang cuba memburukkan Islam. Penjelasan beliau dalam bentuk yang mudah difahami menjadikannya menarik dan meninggalkan kesan kepada pendengar. Walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang aman, namun kita tidak terlepas daripada menerima budaya dan propaganda pihak luar yang ingin melihat kejatuhan Islam. Jadi, menjadi tugas para pendakwah untuk membimbing golongan muda mudi baik yang Islam ataupun bukan Islam,.dalam membetulkan pandangan mereka terhadap Islam.

Selain itu, Dr. Zakir Naik juga berperanan dalam menyatupadukan masyarakat pelbagai etnik yang wujud dalam negara ini melalui program yang dianjurkan beliau. Di dalam setiap ceramah beliau, tidak ada yang menghalang golongan bukan Islam untuk turut serta menghadiri ceramah tersebut malah mereka sangat dialu-alukan dan menjadi tetamu istimewa. Mereka turut diberi keutamaan dari segi tempat duduk dan juga sesi soal jawab. Pendekatan ini adalah satu cara yang baik untuk menarik minat penganut agama lain untuk menghadiri program beliau. Kebanyakan penganut agama lain yang hadir ke program beliau adalah berbangsa cina, india dan lain-lain. Interaksi antara tetamu yang hadir secara tidak langsung akan merapatkan hubungan pelbagai etnik dan seterusnya merapatkan jurang antara masyarakat berlainan bangsa. Melalui cara ini, penerimaan terhadap Islam akan menjadi lebih mudah apabila orang bukan Islam dapat bergaul dengan orang Islam dengan mudah.  

1.2 Kelebihan dan Kekuatan Dr. Zakir Naik

Setiap kali syarahan Dr. Zakir Naik diadakan, pasti mendapat sambutan menggalakkan daripada khalayak ramai. Ini kerana beliau mempunyai kelebihan dan kekuatan serta karisma yang membuatkan syarahan beliau mudah untuk diterima. Terdapat pelbagai kelebihan yang boleh disenaraikan antaranya ialah memiliki daya ingatan yang kuat, menghindari perdebatan yang sia-sia dan mahir dalam merungkai persoalan agama.

Dr. Zakir Naik memiliki daya ingatan yang sangat kuat. Ianya terbukti apabila semua fakta dan ayat yang dinyatakannya adalah secara bersahaja tanpa merujuk kepada sebarang teks. Kebolehannya berhujah dalam merungkai permasalahan perbandingan antara agama itu menyebabkan beliau digelar sebagai ‘Deedat Plus’ pada 1994. Pada Mei 2005, beliau menerima anugerah daripada Ahmad Deedat yang terpahat padanya, ‘Wahai anak muda, kamu hanya mengambil masa selama empat tahun untuk mencapai apa yang saya capai dalam masa 40 tahun. Alhamdulillah.’ Setiap kali slot syarahan yang diadakan, pertanyaan dan soal jawab bersama penonton sudah menjadi satu kewajipan bagi Dr. Zakir Naik dan pendekatan itu sentiasa mendapat pujian daripada mereka yang bertanya.

Seterusnya, sebarang perdebatan yang dianggap sia-sia dan tidak memberi manfaat kepada Islam akan sentiasa beliau hindari. Ini dapat dilihat apabila beliau meletakkan syarat untuk mengumpulkan 10,000 orang apabila dicabar oleh seorang paderi di hadapan orang ramai. Pada fikiran beliau, perdebatan yang membazir masa dengan orang yang tidak mempunyai pengaruh hanyalah sia sia kerana tidak memberi manfaat kepadanya ataupun kepada penyebaran Islam.

Dr. Zakir Naik sangat tegas dalam menjawab setiap soalan yang diajukan kepadanya. Skop soalan akan ditentukan terlebih dahulu yang kemudiannya akan dijawab tanpa sebarang celahan sehingga selesai. Kebijaksanaan memberi analogi bersifat nyata sangat membantu hadirin memahami maksud yang ingin disampaikan. Pengetahuan manusia hanya terhad pada pancaindera yang telah dikurniakan sahaja. Beliau juga tidak mudah menyalahkan sesiapa sahaja apabila diajukan perkara yang beliau tidak arif.

Akhir sekali, usaha kerajaan Terengganu menganjurkan program Dr. Zakir Naik Terengganu Tour bermula 9 hingga 14 April ini baik bagi merungkai persoalan agama yang berlegar dalam masyarakat Malaysia amnya dan rakyat Terengganu khasnya.

1.3 Impak Syarahan Dr. Zakir Naik di Malaysia

Seperti sedia maklum, Dr. Zakir Naik telah memberikan satu fenomena kepada tanah air Malaysia yang mana meninggalkan banyak kesan. Pengucapan terbuka yang pertama kali melibatkan pelbagai bangsa dan agama menjadi satu tarikan yang luar biasa. Hujah-hujah bernas beliau berkaitan agama Islam memberi kesan kepada setiap pendengar untuk membuka minda masing-masing akan Islam. Sekurang-kurangnya tiga saudara baru (mualaf) telah memeluk Islam ketika kunjungan beliau di Malaysia tempoh hari. Selain menjadi isu utama yang menjadi perdebatan pelbagai pihak akan tajuk yang ingin disyarahkan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka, beliau juga telah membuatkan rakyat Malaysia untuk saling lebih menghormati dan menjaga sensitiviti agama lain. Tidak lupa juga, bentuk syarahan yang menggunakan perbandingan agama memberi impak besar untuk jangka masa panjang yang ditinggalkan dengan membangkitkan minat dan usaha setiap penganut agama di Malaysia untuk lebih mengkaji akan agama-agama yang ada.  


2.0 Soroton Literasi

Dr. Zakir Naik terlahir pada 18 Oktober, 1965 Mumbai (Bombay pada waktu itu). Beliau adalah seorang pembicara umum Muslim India, dan penulis keIslaman dan perbandingan agama. Secara profesional, ia adalah seorang doktor, memperoleh Bachelor of Medicine and Surgery (MBBS) dari Maharashtra, tapi sejak 1991 ia telah menjadi seorang ulama yang terlibat dalam dakwah Islam dan perbandingan agama.

Syarahan beliau telah menghasilkan pelbagai impak dan menerima pelbagai reaksi daripada pendengar sama ada muslim atau non-muslim. Syarahan beliau telah mendapat penerimaan yang positif daripada jemaah yang hadir dan ada juga segelintir yang tidak bersetuju dengan apa yang dijelaskan ketika sesi syarahan. Maka, terhasillah dua reaksi iaitu bersetuju dan tidak bersetuju. Sepanjang perjalanan dakwah beliau, pelbagai kecaman dah tuduhan telah diterimanya.

Sebagai contoh, tulisan dari IndiaFact Reader, Anand Marthur, telah menuduh beliau dengan berkata syarahan Dr. Zakir Naik merupakan punca berlakunya kebencian di Timur Tengah di mana tercetusnya perang saudara antara muslim di sana. Perkara yang buruk juga berlaku di sekitar Eropah apabila ramai anak muda dari Timur Tengah keluar dari negara untuk menyertai ISIS. Beliau berkata perkara ini berlaku kerana ideologi-ideologi Dr. Zakir Naik. Beliau turut mendakwa Dr. Zakir Naik menggalakkan pembunuhan berani mati dengan mengebom diri.

Seterusnya, Time’s Magazine, 1 Oktober 2009, telah menuduh Dr. Zakir Naik telah bersekutu dengan pengeboman berani mati di New York Subway City. Mereka mendakwa rakaman video Najibbullah Zazi yang juga merupakan ketua kepada perancangan pengeboman tersebut telah mendapat reaksi positif dari Dr. Zakir Naik dengan cara menekan butang ‘like’ di Youtube.

Selain daripada kecaman dan tuduhan tanpa usul periksa dan bukti yang kukuh, Dr. Zakir Naik juga telah banyak menerima pujian daripada kebijaksanaan dan kearifan beliau apabila membincangkan hal-hal agama. Sebagai contoh, penulisan seorang wanita iaitu Nur Syafiqah Mohammad Syamsul melalui blognya telah berkata, Dr. Zakir Naik telah menasihati kaum wanita supaya tidak tertekan dengan kehidupan walaupun harus bekerja sambil menjadi suri rumah. Tambahan lagi, wanita juga harus berani menghadapi dunia yang semakin moden ini. Beliau juga turut menyatakan di dalam satu forum mengenai anak yang nakal iaitu, “Meskipun kita terpaksa berdepan dalam keadaan, contohnya anak yang nakal, sebagai seorang ibu kita perlu mendidik mereka dengan sempurna dan yang paling penting berdoa kepada Allah SWT memohon hati anak menjadi lembut”. Beliau acap kali menekankan bahawa Islam mengangkat darjat kaum wanita di dalam syarahan beliau.

Thomas Blom Hansen, seorang antropologi yang memegang beberapa jawatan di pelbagai universiti, telah menulis bahawa gaya Dr. Zakir Naik menyampaikan isi yang terkandung dalam al-quran dan hadis dalam berbagai-bagai bahasa dan pergi ke pelbagai negara untuk membicarakan Islam bersama para cendikiawan, telah menjadikannya sangat terkenal dalam kalangan Muslim dan non-Muslim. Walaupun syarahannya dihadiri puluhan ribu bahkan ratusan ribuan hadirin, rakaman video dan DVD masih diambil untuk disebar dan dijual kepada mereka yang tidak berkesempatan untuk menghadiri syarahan beliau.

Pada tahun 2015, King Salman dari Arab Saudi memberikan penghargaan “King Faisal International Prize” kepada Dr. Zakir Naik kerana dedikasi dan pencapaiannya terhadap dakwah Islam yang telah memberi pencerahan kepada ratusan juta orang di seluruh dunia, dan telah mengIslamkan puluhan ribu atau mungkin ratusan ribu orang di seluruh dunia.

Dalam terbitan 22 Februari 2009, Indian Express membuat daftar “100 Orang India Terkuat 2009” di antara satu juta penduduk India, Zakir Naik berada pada kedudukan 82.


3.0 Metodologi Kajian

Kajian ini merupakan satu kajian kes mengenai impak syarahan Dr. Zakir Naik di Malaysia. Kajian ini merupakan satu bentuk kajian yang berasaskan eksperimen. Bentuk kajian ini dipilih kerana pengkaji mudah mengumpulkan maklumat serta dapat menumpukan lebih perhatian terhadap kajian yang dilakukan. Dalam kajian ini, 45 responden telah dipilih bagi menjawab soalan yang diberikan. Dalam mengumpul maklumat tentang kajian yang dijalankan, satu bentuk soalan yang berkaitan dengan tajuk kajian ini telah diagihkan kepada responden untuk mendapatkan malum balas daripada responden.

Sampel kajian ini terdiri daripada 45 responden yang terdiri daripada pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka, staff UTeM dan lain-lain. Kesemua responden yang menjawab soalan yang diberikan dipilih dari kalangan mereka yang menghadiri syarahan Dr. Zakir Naik yang telah dianjurkan, bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci dan tepat.

Satu set soalan yang mengandungi 10 soalan berkenaan tajuk yang dikaji. Soalan ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan berkenaan dengan impak syarahan yang telah disampaikan oleh Dr. Zakir Naik. Keputusan yang diperolehi digunakan untuk meneliti apakah impak syarahan beliau terhadap masyarakat Malaysia. Set soal selidik yang mengandungi 10 soalan berikut telah diagihkan secara atas talian bagi memudahkan pengkaji menyusun atur maklumat yang telah diberikan oleh responden. Secara tidak langsung, melalui soal selidik yang telah dijalankan,  responden juga turut berpeluang meluahkan pendapat serta pandangan mereka terhadap syarahan yang telah disampaikan.


4.0 Hasil Kajian

Graf 1: Graf ini menunjukkan seramai 62.2% (28 responden) adalah daripada pihak lelaki manakala selebihnya iaitu 37.8% (17 responden) daripada pihak perempuan. Ini menunjukkan lelaki lebih berminat dengan syarahan yang dianjurkan oleh Dr. Zakir Naik berbanding perempuan.

Graf 2: Graf ini menunjukkkan 91.1% responden daripada kalangan bangsa Melayu, 2.2% daripada bangsa India dan 6.7% daripada bangsa bumiputera/lain-lain. Ini jelas menunjukkan bangsa Melayu yang juga Islam mengambil berat akan isu semasa yang berlaku ketika itu. Tidak kurang juga bangsa India dan bumiputera/lain-lain yang tampak sikit berminat mengetahui perihal Dr. Zakir Naik hadir di Malaysia dengan jumlah 4 orang daripada 45 responden. Tiada responden dilaporkan pada bangsa Cina.

Graf 3: Graf ini menjelaskan 93.3% daripada jumlah responden merupakan muslim atau beragama Islam. Terdapat tiga responden bukan Islam direkodkan. Ini sudah dapat menunjukkan impak kehadiran Dr. Zakir Naik di Malaysia. Beliau berupaya menarik minat orang bukan Islam untuk mengenali tentang Islam dan beliau sendiri

Graf 4: Graf ini mewakili tahap pengajian responden. Sebanyak 8.9% (4 responden) sedang menduduki pengajian diploma manakala majoriti responden sebanyak 91.1% merupakan mahasiswa ijazah sarjana muda. Kajian peringkat pengajian semasa ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap pengetahuan responden, juga masa yang diluangkan akan isu semasa selaras dengan tahap pengajian yang diambil.

Graf 5: Hasil kajian menunjukkan 18.6% daripada keseluhuran responden amat mengenali Dr. Zakir Naik. Manakala majoriti responden yakni sebanyak 74.4% kenal sedikit mengenai beliau yang mana berkemungkinan mereka baru mendengar tentang beliau. Peratus ini membuktikan terdapat banyak sumber-sumber yang mendedahkan berita tentang kehadiran dan aktiviti-aktiviti ilmiah yang dijalankan Dr. Zakir Naik di Malaysia. Terdapat 11.6%  yang langsung tidak pernah mendengar mahu pun mengenali beliau.

Graf 6: Youtube ataupun media popular yang menggunakan video sebagai pelantar komunikasi dan hiburan merupakan antara sumber utama Dr. Zakir Naik mula dikenali dengan peratusan sebanyak 62.2%. Di tangga kedua dengan peratusan sebanyak 60%, media sosial seperti Facebook dan Twitter menjadi sumber pencarian, atau berita (isu semasa) tentang Dr. Zakir Naik di war-warkan. Ini jelas mebuktikan media sosial berupaya menjadi medium utama bagi menyebarkan isu-isu semasa mahupun menjadi medium perbincangan dengan efisien sekali. Sebanyak 15.6% direkodkan bagi kedua-dua sumber surat khabar dan buku-buku ilmiah. Pengakaji berpendapat responden lebih gemar menggunakan sumber elektronik daripada bahan bacaan asli untuk mendapatkan maklumat.

Graf 7: Pengkaji berpendapat terdapat kelebihan tersendiri mengenai Dr. Zakir Naik sehingga dapat memberi impak yang besar melalui syarahan beliau. Setelah menyenaraikan tiga aspek utama yang terdapat pada beliau, pengkaji dapat merumuskan Dr. Zakir Naik amat berkelebihan dalam mendalami ilmu pelbagai agama. Ini juga dipersetujui oleh 81.8% responden. Selain itu, sifat beliau yang berani dalam memberi pengucapan awam di hadapan khalayak ramai menduduki di tangga kedua dengan sebnyak 11.4% responden menyetujui. Bijak berdebat dan memberi hujah bukan merupakan faktor utama dalam keberangsangan impak yang diberikan oleh Dr. Zakir Naik dengan hanya minoriti 6.8% responden berpendapat sedemikian.

Graf 8: Sebanyak 59.5% responden menganggap Dr. Zakir Naik merupakan seorang golongan ekstremis. Ekstremis boleh dirumuskan sebagai seorang yang pelampau dalam sesuatu perkara. Ironinya, beliau amat tegas dan berani berbidas apabila berbicara mengenai agama beliau. Kesanggupan mempertahankan kebenaran agama yang keterlaluan sehingga merendah-rendahkan agama lain amatlah tidak praktikal di masa kini. 35.1% responden pula berpendapat Dr. Zakir Naik mempunyai ego yang tinggi. Sikap menidakkan atau menafikan pendapat orang lain tanpa bersikap rasional atau bertimbang rasa terlebih dahulu merupakan punca Dr. Zakir Naik diperkatakan sedemikian rupa. Akhir sekali, sikap rasisme terhadap agama-agama lain juga amatlah menjadi isu. Ini akan medatangkan kebencian atau rasa kurang senang terhadap orang Islam(Islamophobia).

Graf 9: Graf ini menggambarkan skala responden yang menyokong penggunaan metodologi Dr. Zakir Naik yang dikatakan menarik dan unik. Di tangga pertama, dengan seramai 22 undian responden, sangat menyetujui akan metodologi syarahan yang digunakan Dr. Zakir Naik. Dengan sepuluh undian setuju akan kaedah yang digunakan dan lima yang tidak pasti,  jelas menunjukkan kaedah, cara yang digunakan beliau amat munasabah dan boleh diterima pihak umum. Selain dari bentuk syarahan yang disokong dengan pelbagai fakta benar dari sudut sains mahupun agama, jelas terbukti Dr. Zakir Naik bijak menarik pendengar untuk mendalami Islam itu sendiri.

Graf 10: Antara impak yang amat memberi kesan adalah penggunaan perbandingan agama oleh Dr. Zakir Naik. Selain daripada menarik, ia juga berupaya membuatkan penganut-penganut agama lain untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang Islam. Seramai majoriti 33 orang bersetuju akan kaedah yang digunakan. Selaras dengan kelebihan beliau yang rajin, berani dan berupaya mengingat pelbagai kitab agama lain, syarahan Dr. Zakir Naik amatlah memberi kesan yang mendalam terhadap setiap lapisan masyarakat. Ia juga dapat membuatkan orang Islam untuk berusaha mengenali agama-agama lain. Lantas dapat membuatkan setiap penganut agama untuk lebih menghormati adat dan budaya agama masing-masing.

Graf 11: Kehidupan seharian yang penuh dengan hal kerjaya dan keluarga amatlah membataskan kita untuk lebih mengenali sesama kita sendiri, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Kehadiran dan syarahan Dr. Zakir Naik berjaya mencetuskan minat terhadap kalangan masyarakat untuk lebih mengkaji agama dan mendekatkan diri dengan Tuhan. 21 orang menyokong kenyataan berikut dengan sangat menyetujui dan seramai hampir 12 orang setuju, jelas membuktikan keberangsangan syarahan Dr. Zakir Naik di Malaysia tempoh hari. Mulai detik itu, ramai rakyat Malaysia (responden) berlumba-lumba untuk mencari maklumat mahupun ilmu berkaitan agama lain-lain.

Graf 12: Pada pandangan masyarakat luar, masyarakat barat terutamanya, mereka melihat Dr. Zakir Naik lebih kepada satu ancaman. Sikap ekstremisme beliau amat menakutkan iman mereka ditambahkan pula dengan minda yang Islamophobia, Dr. Zakir Naik mendapat banyak tentangan dalam menyebarkan dakwah Islam. Seramai majoriti 16 responden sangat menyetujui kenyataan diatas dan 12 responden sekadar bersetuju. Namun begitu, masyarakat pelbagai etnik di Malaysia mudah menerima kehadiran beliau sebagai pendakwah Islam. Malaysia yang jelas merupakan sebuah negara Islam yang didiami pelbagai penganut agama tidak mempunyai masalah atau tentangan besar dalam membenarkan syarahan beliau untuk dijalankan.


5.0 Kesimpulan


Berdasarkan kajian kes yang telah dijalankan, dapat disimpulkan bahawa kehadiran Dr Zakir Naik ke Malaysia khususnya Melaka telah memberi banyak impak positif terhadap etnik yang terdapat di negara ini melalui syarahannya yang sangat menarik dan berkesan. Hal ini sudah dapat dijangka melalui syarahan-syarahan beliau sebelum ini yang telah menaikkan nama beliau di persada antarabangsa. Antara impak yang sangat besar melalui syarahannya di Melaka adalah ramai orang awam malahan pelajar juga telah memeluk Islam kerana tertarik dengan pembawaan Islam dalam penyampaian dakwahnya dan salah satunya adalah pelajar UTeM.

Kehadiran penonton yang datang sewaktu Dr Zakir Naik datang ke Melaka juga amat mengujakan walaupun pada awalnya terdapat sedikit konflik mengenai tajuk syarahan yang akan disampaikan olehnya yang kemudiannya ditukar untuk meredakan konflik tersebut. Di sini secara tidak langsung hubungan antara kaum-kaum di Malaysia akan lebih kukuh kerana penonton yang hadir ke ceramah tersebut majoritinya adalah daripada pelbagai kaum.

Kajian ini dapat menyatakan dan menyakinkan bahawa Dr Zakir Naik adalah seorang yang mahir dalam agama Islam dan bukan hanya bercakap dalam dakwahnya mengikut pendapatnya malahan beliau mengikut al-quran sepenuhnya dan kaum-kaum daripada pelbagai etnik di Malaysia juga akan lebih jelas mengenai Islam yang mana sebelum ini ramai orang menganggap Islam adalah seorang pengganas dan yang paling utama adalah kehadiran Dr Zakir Naik ke Malaysia akan menjadi lebih mudah dan dakwahnya juga akan dapat disampaikan dengan lebih mudah tanpa ada sebarang kekangan dari mana-mana pihak.


Rujukan

http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/zakir-naik-malaysia-will-have-own-preacher-like-me-in-less-than-45-days
http://www.sinarharian.com.my/nasional/kontroversi-dr-zakir-di-malaysia-sudah-dijangka-1.509794
http://www.thestar.com.my/news/nation/2016/04/12/zahid-zakir-naik-allowed-to-speak-after-changes-to-theme/
Zakir Naik (2012). Answers To Non Muslims Common Questions About Islam. Mumbai, India: ideas4islam.
Zakir, Shalah, Majid (2013). Mereka Bertanya Islam Menjawab. Jakarta, Indonesi: Aqwam.


MZ Zainudin, Abdul Muiz Kamarudin, Abdul Naim Razman, Ahmad Zulfadhli Mohd Sapeli, Mohamad Amin Azhari, Muhamad Nur Syafiq Mohamad


Thursday, May 19, 2016

Milik ayah







Saya sering bertanya-tanya apakah samgungan untuk kata-kata yang memuliakan ibu kita iaitu syurga anak di bawah tapak kaki ibu.

Umum mengetahui maksud kata-kata ini ialah memuliakan ibu, berbuat baik kepadanya, mengambil tahu keadaan hidupnya dan memberi keutamaan kepada ibu biarpun umurnya sudah tua.

Ia sesuai sekali dengan maksud sebuah hadis yang meletakkan keutamaan kepada ibu.

Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya, aku bertanya Rasulullah saw: Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik? Rasulullah saw menjawab, ibumu. Kemudian aku bertanya, lagi siapa? Rasulullah saw menjawab, ibumu. Kemudian aku bertanya, lagi siapa? Rasulullah saw menjawab, ibumu. Kemudian aku bertanya, lagi siapa? Rasulullah saw menjawab, bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya.  (Hadis Riwayat Tirmizi)

Ibu sangat dimuliakan dan diberi perhatian oleh umat Islam kerana pengaruhnya terhadap perkembangan emosi, rohani dan fizikal yang sanagt besar. Kita ambil contoh peranan ibu dalam membina emosi anak-anak.

Pembinaan emosi ini berlaku sebaik sahaja ibu mengandung. Walaupun terdapat banyak perubahan emosi sepanjang proses kehamilan ini, ibu akan memastikan anak dalam kandungan sentiasa dalam keadaan selamat. Ibu juga tidak membenarkan keadaan emosi negatif mengganggu anaknya kerana hubungan ibu dan anak sangat akrab ketika ini dan sebarang gangguan boleh menjejaskan emosi anak.

Sejak kelahiran hingga berumur tujuh tahun, ibu memastikan anak mendapat belaian emosi yang cukup seperti sentiasa memberi pujian, mempamerkan kasih sayang dan galakan untuk sabar dan tabah. Malah, walaupun anak sudah berkeluarga, ibu tetap mengambil berat makan dan minum anak supaya anak berasa bahagia.

Sikap mengabil berat ibu berterusan sehinggalah dia menutup mata. Amat tepat kata orang bijak pandai bahawa kasih ibu sepanjang hayat.

Bagaimana pula dengan ayah? Adakah ayah tidak mempunyai apa-apa keistimewaan?

Jika dilihat pada hadis tadi, ayah masih ada bahagiannya, cuma keutamaannya berbeza.

Jika kita rajin sedikit untuk mencari dan mentelaah hadis-hasid Nabi saw, kita akan tahu juga yang ayah mempunyai kelebihan.

Dari Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu bahwa ada seorang laki-laki datang kepada Rasulullah saw, dia berkata: Wahai Rasulullah, aku memiliki anak dan harta, namun ayahku ingin mengambil hartaku. Rasulullah saw bersabda; Engkau dan hartamu adalah milik ayahmu. (HR. Ibnu Majah)

Berdasarkan hadis ini, ternyata ayah memiliki harta yang sangat bernilai iaitu anak-anak.

Dapat dirumuskan bahawa sambungan terhadap kata-kata syurga anak di bawah tapak kaki ibu boleh dipadankan dengan rasa mulia terhadap ayah dengan kenyataan dirimu sendiri dan hartamu itu adalah milik ayah.

Pada hemat saya, berbakti kepada kedua-dua ibu dan ayah adalah sangat mustahak.


Wednesday, May 18, 2016

Setiap orang boleh berubah







Kisah seorang gangster yang berubah kerana bermimpi kiamat berada di hadapannya amat menyentuh hati dan memberi inspirasi kepada kita. Fadhil yang berasal dari Singapura mula berhijrah mencari agama selepas melalui pelbagai pengalaman hidup yang penuh dengan sengsara dan derita sebelum menemui cahaya agama.

Ia bermula apabila rakan-rakannya mengajak beliau ke masjid.

Ada dua faktor yang menyebabkan Fadhil berubah iaitu rakan-rakan dan masjid.

Kisah perubahan hidup yang juga berlaku kepada mangsa kapal karam yang tersadai di laut selama sepuluh hari di Sabah. Tommy Lam Wai Yin yang terselamat dalam kejadian itu telah berubah daripada seorang ateis kepada seorang yang mengharapkan kuasa untuk menyelamatkannya.

‘I am an atheist but now I believe there’s definitely a higher power’.

Perubahan kepercayaan berlaku apabila beliau berdoa untuk mendapatkan pertolongan dan berjanji akan menjadi orang baik dan mengambil berat keadaan orang lain.

Tidak lama selepas itu, berliau terhidu bau ‘tiger balm’ yang menjadi tanda adanya bantuan tuhan.

Banyak lagi ksiah perubahan hidup yang berlaku kepada ramai orang sama ada berkaitan dengan kepercayaan, pemikiran atau sikap mereka. Semua perubahan ini menjurus ke arah kebaikan dan menjadi pengajaran kepada kita.

Sangat mudah bagi Allah swt untuk menggerakkan hati seseorang ke arah perubahan hidup yang kekal dan abadi. Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang kehendak Allah swt ini walaupun ada yang menghalangnya.


Tuesday, May 17, 2016

Kasihi anak-anak







Tindakan seorang bapa merantai seorang anak lelaki tanpa berpakaian di susur tangan tangga berhampiran rumahnya selama lima jam tidak dapat diterima sama sekali.

Bapa menambat anaknya dari pukul 10 malam hingga tiga pagi.

Bagaimana keadaan kanak-kanak yang berusia lapan tahun duduk selama lima jam dengan keadaan dingin, sejuk, badan dikerumuni nyamuk dan menggeletar. Beliau juga terpaksa buang air kecil di situ.

Apakah sebenarnya yang dikehendaki oleh si bapa terhadap anaknya?

Kes yang melibatkan kanak-kanak dirantai dan dibogelkan serta dibiarkan seorang diri telah berlaku di banyak tempat. Di Pulau Pinang, sepasang kanak-kanak berumur enam tahun dan dua tahun dirantai dan dikurung di dalam bilik air rumah kedai dari jam tiga petang hingga lapan malam pada tahun 2011.

Di Bidor, Perak, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dirantai dan dikunci pada tiang papan tanda oleh neneknya kerana nakal dan tidak melakukan kerja sekolah.

Di China, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dirantai selama tiga tahun kerana dikhuatiri akan lari dan tersesat jalan. Kanak-kanak itu tidak boleh bercakap tetapi penampilan fizikalnya seperti kanak-kanak normal. Dunianya hanya di sekitar rumah. Kanak-kanak ini juga dibiarkan berbogel.

Sangat sedih apabila melihat kanak-kanak yang tidak berdaya dibuat begitu oleh ahli keluarga sendiri.

Memang menjadi tabiat kanak-kanak berumur tujuh atau lapan tahun untuk meneroka kehidupan mereka. Tentulah sifat ingin tahu mereka itu diselang-seli dengan sedikit sifat agresif dan tidak mahu mendengar kata.

Mereka leka dengan dunia mereka, menguji sedikit tahap kesabaran ibu dan bapa di samping menanam minat dengan aktiviti lasak sama ada di dalam atau di luar rumah.

Anak-anak adalah anugerah yang paling hebat dikurniakan kepada keluarga. Mereka adalah waris kehidupan yang akan mendoakan kesejahteraan ibu bapa sepanjang hayat mereka. Sewajarnya anak-anak ini diberi didikan agama dan adab yang menjadi pemangkin kepada kejayaan kehidupan mereka.

Dalam kes-kes yang melibatkan pengabaian dan penderaan kanak-kanak, hukuman yang setimpal harus dikenakan kepada ibu atau bapa kanak-kanak itu supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Monday, May 16, 2016

Hikmah surah al-kahfi






Penulis: A. Razak Muthalib
Tahun: 2016
Penerbit: PTA Islamika Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor, Malaysia.
Muka Surat: 116

Dari Abu Sa’id Al-Khudri bahwa Rasulullah saw bersabda: Sesiapa yang membaca surat Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka Allah akan menyinarinya dengan cahaya di antara dua Jumaat.

(Diriwayatkan oleh Al-Hakim dalam Al-Mustadrak dan Al-Baihaqi di dalam Sunan A-Baihaqi).

Usaha-usaha mengingatkan umat Islam supaya membaca dan beramal dengan surah Al-Kahfi telah banyak ditulis dan dibicarakan. Justeru, buku ini menambahkan lagi peringatan dan nasihat untuk kita terus-menerus membaca ayat-ayat  dari surah ini khususnya ayat satu hingga sepuluh.

Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, An-Nasai dan At-Tirmizi bermaksud: Sesiapa yang memelihara (iaitu memelihara bacaan dengan sentiasa membaca) sepuluh ayat pertama dari surah Al-Kahfi, dia akan dilindungi daripada fitnah dajjal.

Surah Al-Kahfi sangat istimewa. Satu keistimewaannya ialah memberi ketenangan.

Seorang sahabat Nabi saw iaitu Al-Barra’ mengatakan seorang lelaki membaca surah Al-Kahfi. Pada ketika itu, disisinya terdapat seekor kuda yang terikat dengan dua tali. Lelaki itu melihat ke atas dan mendapati awan kabus menaunginya. Awan kabus itu bergerak dekat dan semakin dekat sehingga membuatkan kudanya meronta-ronta ingin lari. Apabila tiba waktu pagi, lelaki itu berjumpa dengan Rasulullah saw dan menceritakan tentang peristiwa yang dialaminya. Rasulullah saw berkata: Itulah ketenangan (as-sakinah) yang turun disebabkan al-quran.

Imam Ibnu Kathir menyatakan lelaki dalam peristiwa ini adalah Usaid bin Al-Hudhair.

Thursday, May 12, 2016

Migrasi jadi masalah besar di Eropah








Ataka, Front National, Alternative für Deutschland, Party for Freedom, Golden Dawn, Finns, Danish People’s Party, Jobbik, Austrian Freedom dan Lega Nord merupakan ancaman politik baru kepada Eropah. Parti politik neo-Nazi yang baru muncul ini berpunca dari satu ancaman: migrasi.

Kewujudan parti neo-Nazi ini juga merupakan tindak balas sikap reaktif Parlimen Eropah terhadap rasisme dari tahun 1995 hingga 2001.

Satu perkara yang penting dalam teori pengaruh parti berhaluan kanan radikal ialah keinginan untuk menyatakan keprihatinan terhadap pendatang asing ini. Jadi, kemasukan besar-besaran pelarian dari Timur Tengah dan Afrika ke negara-negara Eropah menimbulkan suasana kelam-kabut.

Persamaan setiap parti ini ialah anti pendatang. Mereka menggunakan platform politik untuk mempengaruhi minda orang ramai bagi menghentikan kebanjiran pelarian asing. Pelbagai kempen dan slogan rasis menjadi daya penarik.

Parti ultranasionalis Greek, Golden Dawn meraih populariti apabila dapat menempatkan seorang wakil dalam Parlimen Eropah. Jurucakap utama parti itu memiliki tatu berlambang swastika manakala sebahagian pemimpin parti berada dalam penjara.

Party for Freedom yang diketuai Greet Wilders lebih lantang mengecam pendatang Islam di Belanda. Kempennya ialah menamatkan penghijrahan semua orang Islam ke negara itu dan menghalau keluar semua orang Islam yang masih berada di Belanda.

Kempen dan slogan parti-parti anti pendatang ini mencetuskan konflik perkauman dan agama yang serius.

Pada 2011, ahli parti Ataka di Bulgaria telah menyerang masjid ketika solat Jumaat. Pada 2013, pemimpin pari nasionalis VMRO, Angel Djambasky disiasat kerana menyeru orang ramai untuk mengangkat senjata melawan pendatang.

Di Finland, jenayah kebencian kaum menunjukkan trend meningkat. Hasil kajian pada 2011 menyatakan satu per tiga responden yang ditemui setuju dengan kenyataan “ Islam adalah ancaman kepada nilai-nilai Barat dan demokrasi”.

Di Sepanyol, kebencian kaum wujud dalam sukan bola sepak negara itu. Penyerang Barcelona, Samuel Eto’o dan penjaga gol Sepanyol, Carlos Kameni mengalami pengalaman buruk kerana dihina.

Laporan Racism and Xenophobia in Sweden menyatakan orang-orang Islam lebih banyak terdedah kepada gangguan keganasan di Sweden. Europian Network Against Racism mendedahkan Sweden adalah sebuah negara yang mewujudkan hirarki kelas etnik paling jelas apabila mengutamakan etnik Swedish berbanding etnik lain. Perbezaan kelas ini berlaku di hospital dan bidang pendidikan di samping diskriminasi dalam kalangan kelompok minoriti seperti Roma dan Sami negara itu. Pencari kerja yang mempunyai sama Swedish pula memiliki 50 peratus peluang yang lebih tinggi untuk mendapat panggilan temu duga.

Di Jerman, kebanjiran pelarian Syria pada awal tahun 2016 disambut dengan ucap selamat dan senyuman. Hotel bertukar menjadi tempat perlindungan dan sukarelawan bertungkus-lumus menyediakan makanan dan minuman. Masyarakat Jerman, di bawah Angela Merkel, menyerlahkan simpati kepada 1.1 juta pendatang baru di negara mereka.

Empat bulan selepas itu, nilai-nilai “Willkommenskultur” mulai retak apabila sekumpulan pembantah menjerit-jerit ke arah bas yang membawa 20 orang pelarian ke Saxony, Clausnitz.

Slogan “Go Home” dan “We are the people!” ditayangkan sebagai luahan hati mereka di atas sikap berlembut dan mesra kerajaan Jerman. Beberapa hari kemudian sebuah hotel yang menempatkan pelarian di Bautzen telah dibakar. Orang ramai yang melihat kejadian itu bersorak meraikannya.

Penghijrahan menjadi ancaman besar kepada Eropah. Kehadiran pelarian ke benua itu mencetuskan pelbagai isu domestik dan antarabangsa.

Senario yang berlaku du Eropah hari ini merupakan respon terhadap ketakutan mereka untuk menerima ribuan pendatang asing dari Timur Tengah, Afrika dan Asia. mereka takut negara-negara Eropah akan menjadi Eurabia, merosakkan nilai-nilai kebebasan yang dibanggakan dan menjejaskan peluang dalam persaingan ekonomi.

Di sebalik kebencian mereka terhadap penghijrah atas nama pelarian atau mangsa politik, Eropah sedang menghadapi perubahan demografi sudah tidak dapat dielakkan kerana kadar kelahiran masyarakat Eropah semakin merosot. Industri yang sedia ada di benua itu perlukan sumber kerja baru yang lebih ramai untuk menjadi penyumbang kepada kekayaan dan kebajikan keseluruhan penduduk Eropah. Justeru, polisi Kesatuan Eropah terhadap migrasi perlu berhati-hati supaya jenayah kebencian tidak merosakkan reputasi mereka pada masa akan datang.

Tuesday, May 10, 2016

Pembangunan inti pati pilihan raya Sarawak







Kemenangan besar Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) pada sabtu lalu disambut meriah oleh penyokong parti-parti komponen itu seluruh negara.

Kemenangan 72 buah kerusi Dewan Undangan Negeri adalah jumlah yang cukup besar dan menghukum keangkuhan parti-parti pembangkang yang merasakan mereka selesa untuk menambah kerusi dalam pilihan raya itu.

Analisis dan congakan terdekat sebelum ini memberi gambaran Barisan Nasional akan dapat meraih sekurang-kurangnya 70 kerusi, namun lima kerusi DAP yang hilang baru-baru ini menunjukkan terdapat strategi luar biasa yang digunakan oleh pemimpin Sarawak kali ini iaitu Tan Sri Adenan Satem untuk memenangi hati pengundi Sarawak.

Strategi pertama ialah menggunakan faktor Adenan untuk mendapatkan undi. Keinginan mahu mendapat kemenangan menguatkan semangat beliau untuk melakukan usaha meraih seberapa banyak undi sehingga meranapkan impian Pas dan Amanah, parti anak-beranak yang bercita-cita mengembangkan pengaruh di negeri itu. Di samping kempen, Adenan juga mengambil pendekatan mengekang kemasukan pemimpin-pemimpin parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia melalui sekatan imigresen. Justeru, pengundi tidak dapat menerima maklumat secara langsung daripada pimpinan parti.

Kedua, seperti mana pilihan raya kecil, kempen di Sarawak menggunakan pelbagai pendekatan dari agensi kerajaan seperti mempercepatkan sesuatu projek pembangunan. Ketika inilah pengundi mudah melihat pergerakan calon pemimpin kawasan mereka yang begitu ramah dan sangat mesra. Mungkin ada sesetengah kawasan itulah kali pertama dan terakhir menteri atau timbalan menteri datang ke kawasan mereka. Walaupun ada persepsi yang melihat projek sesebuah kementerian sebagai memancing undi ketika pilihan raya, ia sebenarnya sebuah projek yang sedia ada cuma dipercepatkan sebagai sebahagian daripada strategi pilihan raya.

Ada juga kawasan parkir diperkemaskan waktu ini walaupun lima enam bulan lepas baru sahaja ditar.

Ketiga, polisi awam. Ia ada kaitan dengan kehilangan undi Cina yang tidak bersama kerajaan. Tanpa bersama kerajaan, etnik Cina Sarawak dipinggirkan kerana suara mereka tidak diberi perhatian. Justeru, PRN-11 ini sebagai taktik untuk masyarakat Cina meraih kembali perhatian kerajaan terhadap keperluan mereka. Peralihan lima kerusi DAP kepada Barisan Nasional dan peningkatan jumlah undi Cina di beberapa kawasan mungkin menjelaskan keadaan ini.

Sarawak sudah mempunyai kerajaan sendiri yang dipilih oleh rakyat. Masa hadapan negeri itu seharusnya tidak jauh berbeza dengan Semenanjung Malaysia malah boleh bergerak seiring. Projek pembangunan yang dirancang harus dapat memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.


Monday, May 09, 2016

#kipidap






Penulis: Abdul Rani Kulup Abdullah
Tahun: 2015
Penerbit: Puteh Press, Batu Caves,  Selangor, Malaysia.
Muka Surat: 223

Jika kita memberi masa dua jam untuk mentelaah buku ini dari kulit depan hingga kulit belakang, ia sudah pasti dapat disempurnakan.

Gaya penulisan yang mudah difahami, bahasa yang santai dan banyak gambar, mesej yang hendak disampaikan oleh Rani aka “Ayahanda” amat jelas.

Pengalamannya dalam askar memberi banyak pengajaran kepada dirinya dan kepada kita untuk menghargai keamanan dan kesejahteraan hidup yang sedang dinikmati di Malaysia ketika ini.

Tulisan dalam buku ini juga memberi pengajaran kepada kita untuk sentiasa peka dengan perjalanan sejarah negara supaya tidak mengulangi kesilapan-kesilapan masa lalu.

Di sebalik nasihat, jenaka dan gurauan Ayahanda ini, pembaca dapat melihat kaedah penceritaan beliau diselangselikan dengan aktiviti-aktiviti yang dilakukan olehnya bersama keluarga, rakan-rakan dan jemaah yang beliau bawa.

Di akhir buku ini beliau memasukkan barangan koleksi peribadi yang menjadi hiasan pada badannya seperti beret, jam tangan, cincin dan tongkat.

Jadi, sesuailah buku ini cerita tentang “ayah” dan Malaysia. #kipidap.


Friday, May 06, 2016

Marah positif








“Kita perlu marah untuk membuat satu perubahan dalam hidup”.

Saya sangat teruja mendengar syarahan profesor kali ini. Penyampaian Profesor Ahmad Zaki A Bakar pagi ini menjadikan fikiran saya cerdas dan hati saya berdebar-debar kerana kata-katanya begitu bertenaga dan menerobos dinding minda saya.

Profesor Ahmad Zaki merupakan penulis novel Wira Persona Avatari yang diterbitkan pada tahun 2000 oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Novel ini juga memenangi anugerah sastera dan novel pilihan untuk tingkatan dua.

Kamus Dewan memberikan definisi marah sebagai perasaan panas hati, berang dan gusar. Cambridge Dictionary mentakrifkan marah sebagai having a strong feeling against someone who has behaved badly, making you want to shout at them or hurt them.

Dalam erti kata lain, marah adalah sifat dalam diri yang terjadi kerana sesuatu sebab, sudah tentu berlawanan dengan kehendak atau apa yang kita harapkan.

Akibat marah yang negatif lebih mudah kita lihat dan rasa iaitu akhirnya pemarah jenis ini akan mendapat bala atau penyakit. Ia mungkin dalam bentuk kecederaan, kerosakan kekal atau kematian. Di segi jiwa, ia mendatangkan kehinaan atau celaan.

Namun, kesan marah yang positif adalah lebih baik dan berbekas kerana ia menyerlahkan potensi dan kehebatan diri. Marah jenis ini membangkitkan ghairah, mendorong dan mendesak untuk bertindak.

Contohnya, marah kerana dicabar menjadikan jiwa orang muda bergelora, menjadikan jiwa pemuda resah dan fikiran pemimpin kembali cergas.

Keadaan dimarah atau kena marah sentiasa berlaku dalam hidup kita.

Jadi, marah...lah.

Sunday, May 01, 2016

Didik nilai dan sikap anak-anak







Mendidik anak-anak yang berumur empat hingga enam tahun perlukan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan. Ketika usia inilah anak-anak peringkat itu mula meneroka dunia dan mereka kerap membingungkan ibu bapa.

Keletah anak-anak ini menjadikan ibu bapa tidak senang duduk kerana pergerakan anak-anak sudah menjangkau pandangan ibu bapa.

Ramai ibu bapa hari ini memilih taska dan tadika sebagai pusat pembelajaran anak-anak mereka. Selama lapan jam sehari anak-anak ini bersama pengasuh dan rakan sebaya untuk diperkenalkan kepada persekitaran sosial mereka.

Ada anak-anak yang cepat menyesuaikan diri dan ada juga yang perlu dipujuk dan dimanja, barulah mereka mahu berinteraksi.

Ketika persaingan menjadi keutamaan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak, ada sesetengah ibu bapa ini yang berbelanja besar mahukan anak-anak cepat membaca, petah bercakap dan pantas membuat keputusan. Bagi anak-anak yang berbakat besar, mereka mudah diajar dan boleh berdikari sendiri. Minat mereka juga bertambah seiring dengan pertambahan pengalaman. Biasanya anak-anak seperti ini boleh membaca seawal usia tiga hingga empat tahun.

Ada juga anak-anak yang sukar menerima pembelajaran sebaliknya sangat mudah memahami aktiviti pembelajaran dalam bentuk permainan. Malangnya anak-anak jenis ini agak lambat menguasai kemahiran membaca. Namun sangat tangkas apabila diminta melakukan sesuatu tugasan yang melibatkan pergerakan seperti mengambil air atau membuang sampah.

Ada juga anak-anak yang bersifat sederhana dalam serba-serbi sama ada pembelajaran, perwatakan atau sikap. Saya percaya setiap anak-anak memiliki keupayaan dan kelebihan masing-masing.

Contohnya, ada anak-anak yang suka membaca dan belajar perkara-perkara baru. Mereka suka bertanya dan meneroka apa sahaja yang baru. Jika menonton video di internet, jari mereka lebih pantas daripada jari ibu bapa kerana corak berfikir mereka sangat singkat. Mereka suka apa yang mereka suka dan tidak mahu apa yang mereka tidak suka.

Keghairahan ibu bapa yang memaksa anak-anak belajar kadangkala merosakkan bakat dan kemahiran anak-anak. Jika anak-anak tidak suka membaca, ibu bapa wajar perkenalkan perpustakaan kepada mereka supaya suasana di perpustakaan menjadi kebiasaan kepada anak-anak. Mungkin lama-kelamaan mereka akan suka membaca kerana wujud budaya perpustakaan dalam minda dan sikap mereka.

Ada juga ibu bapa yang menghantar anak-anak ke kelas tambahan supaya anak-anak mahir membaca dan mengira serta dapat bersaing dalam kelas di sekolah. Biaya kelas tambahan amat besar dan sudah tentu ibu bapa mahukan anak-anak mereka dapat menguasai kemahiran tersebut.

Namun satu perkara yang sering diketepikan dalam pembelajaran anak-anak ialah pembentukan nilai, adab dan akhlak. Tidak rungi sekiranya ibu bapa dapat membuat pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan diri anak-anak ini kerana elemen nilai, adab dan akhlak yang banyak menentukan ke mana hala tuju dan haluan masa hadapan anak-anak mereka. Melakukan pengorbanan dalam tiga elemen ini memerlukan kesabaran dan kesanggupan kerana hasil akhirnya tidak dapat diliaht dalam tempoh yang singkat malah mengambil masa lebih panjang.

Contohnya, berapa ramai dalam kalangan ibu bapa yang sanggup bersusah payah membangunkan anak-anak untuk solat subuh, solat jemaah dan makan bersama-sama? Berapa ramai juga yang selalu mengingatkan anak-anak untuk bersolat pada awal waktu dan sebagainya?

Di Malaysia tidak banyak pusat pembentukan nilai, adab dan akhlak yang beroperasi secara profesional kerana kita beranggapan kemahiran yang ada pada kita sudah memadai. Kita membiarkan sekolah, institusi agama atau masyarakat sendiri yang menanam nilai-nilai kepada anak-anak kita. Akhirnya, wujud fragmentasi dalam diri anak-anak terhadap pegangan dan cara berfikir mereka yang menjadikan diri mereka tidak berupaya, menggunakan potensi secara maksimum.