Tuesday, March 11, 2014

Perpaduan kaum melalui makanan tradisi

 
 
 
 




Abstrak

Malaysia terkenal dengan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya. Aspek tersebut menjadi penyumbang kepada perkembangan pemakanan yang mempengaruhi perpaduan kaum di Malaysia. Objektif utama kajian ini ialah mengenali dengan lebih mendalam makanan yang terkenal antara tiga bangsa terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India selain mengetahui keunikan yang ada pada setiap jenis makanan tersebut. Objektif lain yang turut dikaji adalah berkenaan pemahaman tahap dan perpaduan kaum di Malaysia melalui makanan. Kajian ini menggunakan kaedah soal selidik dalam kalangan masyarakat sekitar Melaka yang terdiri daripada pelbagai kaum. Seramai 30 responden telah dipilih untuk menyertai kajian ini dan berdasarkan maklumat yang diperolehi, hubungan antara tahap perpaduan dan makanan bagi setiap kaum adalah memuaskan. Oleh itu, makanan memainkan peranan yang penting dalam memupuk hubungan yang erat antara kaum utama di Malaysia. Pendedahan mengenai makanan-makanan dari pelbagai jenis kaum di Malaysia perlu dikaji dan diperkemas lagi supaya masyarakat di Malaysia mengetahui tentang makanan dan tidak melupakan makanan-makanan tradisi masyarakat yang ada di Malaysia.

Kata Kunci: perpaduan kaum, makanan tradisi


1.0 PENGENALAN

Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan damai dipenuhi oleh penduduk yang berbilang kaum. Hari ini, kaum Melayu adalah kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu merangkumi lebih 57 peratus penduduk negara ini. Di Malaysia, jika merujuk kepada orang Melayu menunjukkan orang itu beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan Melayu, berbahasa Melayu dan berketurunan Melayu. Pada asalnya mereka penganut Theravada Buddha dan Hindu pada kurun ke 1400-an, dan dengan pengaruh Istana Melaka ketika itu mereka menganut Islam. Orang Melayu terkenal dengan sifat peramah dan budaya seni mereka yang sangat kaya.

Penduduk Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum etnik yang lain telah hidup bersama sejak beberapa generasi yang lalu. Pelbagai budaya yang berbeza ini telah saling mempengaruhi antara satu sama lain, menghasilkan gabungan budaya Malaysia yang unik. Jumlah kaum terbesar di Malaysia adalah kaum Melayu, Cina dan India. Tiga kaum terbesar ini mempunyai pelbagai adat dan budaya tersendiri dalam mengeratkan silaturrahim dan menguatkan perpaduan antara satu sama lain. Negeri Sabah dan Sarawak juga mempunyai pelbagai kumpulan etnik peribumi, masing-masing dengan budaya serta warisan yang unik dan tersendiri.

Dalam menyumbang kepada perpaduan kaum, terdapat banyak aspek yang mempengaruhinya seperti cara pemakanan, sambutan perayaan, pemakaian tradisional dan pelbagai lagi. Dalam kajian ini, kami telah memilih untuk mengkaji bagaimana tradisi makanan sesuatu kaum itu dalam menyumbang ke arah perpaduan kaum. Seperti yang kita sedia maklum, setiap kaum di Malaysia ini mempunyai sejarah tentang makanan tradisional kaum masing-masing. Pada hari ini, makanan bukan penghalang untuk mengeratkan perpaduan sesama kaum. Roti canai, nasi lemak, lontong bukan hanya di makan oleh kaum Melayu, tosei, capati dan roti nan bukan sahaja untuk kaum India, yong tau fu bukan hanya dimakan oleh kaum Cina tetapi tanpa mengira bangsa dan kaum, makanan ini dimakan oleh sesiapa sahaja, bukan mengira Melayu, Cina ataupun India. Jadi sememangnya, pada hari ini, boleh dikatakan makanan tradisi kaum dapat mempengaruhi perpaduan di negara ini.

1.1 Latar Belakang Kajian

Dalam menjalankan kajian ini, lokasi kajian ialah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan sekitar Melaka. Terdapat 30 orang responden yang telah diplih secara rawak yang terdiri daripada 20 orang pelajar UTeM dan 10 orang awam sekitar Melaka.

1.2 Objektif Kajian

Dalam menjalankan kajian ini, tiga objektif telah ditetapkan untuk dicapai. Pertama, mengenal pasti makanan yang terkenal di antara tiga bangsa terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Kedua, mengetahui keunikan dan daya tarikan yang ada pada setiap jenis makanan tersebut dan ketiga ialah membincangkan bagaimana keunikan makanan tradisi setiap kaum ini mampu untuk membentuk perpaduan antara kaum.

1.3 Kepentingan Kajian

Kajian ini telah dijalankan atas dasar dapat mengenal pasti makanan tradisi tiga kaum terbesar di Malaysia. Kajian ini juga dapat menunjukkan betapa makanan tradisi dapat membentuk perpaduan kaum di Malaysia.


2.0 SOROTAN KAJIAN

“Bagai aur dengan tebing” merupakan peribahasa yang amat sinonim dengan kehidupan masyarakat Malaysia. Walaupun penduduk Malaysia berbilang kaum namun semangat tolong-menolong sesama masyarakat amat penting untuk melaksanakan sesuatu perkara. Bertitik tolak daripada sikap saling menolong ini, akan lahirlah masyarakat yang bersatu padu. Perpaduan merupakan aset terpenting Malaysia kerana tanpa perpaduan, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati ibarat “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh“.

Kajian terkini oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia mendapati masyarakat pada hari ini tidak lagi menampilkan cirri-ciri perkauman yang kental dalam beberapa aspek kehidupan mereka. Ini tentulah sesuatu petanda yang positif bagi masa depan sebuah negara berbilang kaum di Malaysia. Sikap masyarakat pada hari ini seperti yang diperolehi daripada kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia itu mencerminkan penerimaan mereka yang baik tanpa prejudis terhadap semua kaum di Malaysia.

Masa depan ekonomi negara juga diyakini akan bertambah baik dan ini tentulah akan dapat mengekalkan keharmonian di antara kaum. Hasil kajian ini membuktikan bahawa majoriti menyatakan keadaan ekonomi semakin baik jika perpaduan terjalin antara masyarakat di Malaysia. Berdasarkan sejarah dan pengalaman negara ini, masalah ekonomi dapat memberi kesan terutama kewujudan jurang antara kaum dan ini jika tidak dibendung akan dapat mencetus rasa cemburu sehingga membawa kepada permusuhan antara kaum.

Pada hari ini, kita melihat orang Cina menjual asam laksa dan nasi lemak, manakala orang Melayu memakan mi, kueh tiaw, yong tau foo, roti nan, capati dan tosai. Demikian pula orang India makan apa saja yang dimakan oleh rakan mereka dalam kalangan Melayu dan Cina.

Nasi lemak adalah contoh makanan orang Melayu yg dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia dan ia patut dijadikan makanan kebangsaan Malaysia. Ia bukan sahaja menjadi kegemaran orang Melayu tetapi turut dipelopori oleh kaum Cina dan India. Nasi lemak dahulunya dihidang untuk sarapan pagi tetapi pada masa kini dijadikan hidangan tengah hari dan malam. Ia juga turut dihidang pada rumah terbuka dan dijadikan salah satu menu (ala carte) di hotel-hotel. Nasi lemak turut diiringi dengan beberapa lauk sampingan seperti kari ayam, rendang (ayam dan daging), sambal (sotong kering atau ikan bilis), ayam goreng dan paru goreng.

Putu mayam ialah sejenis makanan manis yang selalunya dimakan ketika sarapan pagi ataupun sebagai snek. Putu mayam diperbuat daripada adunan tepung beras yang dicampur dengan air dan santan kelapa yang kemudiannya ditekan ke penyaring untuk menjadikannya seperti mi halus. Selepas itu, ia akan dikukus dengan perahan air daun untuk dijadikan sebagai perasa. Setelah siap, mi itu akan dihidangkan bersama-sama parutan kelapa dan gula Melaka. Putu mayam adalah contoh makanan masyarakat India yang juga digemari oleh semua kaum di Malaysia.

Bagi kaum Cina pula bahan utama dalam masakan mereka ialah bahan soya (tahu, taucu, kicap soya) cendawan, bunga lily, biji-bijan dan lain-lain. Bahan ini kemudiannya akan diolah bersama rempah yang digunakan oleh orang Melayu seperti biji ketumbar, kayu manis dan sebagainya. Kebanyakan masakan Cina di negara kita ini, kebanyakan resipinya berasal dari Negera China seperti yong tau foo, char koay teow, dim sum dan lain-lain. Masakan ini telah diminati semenjak abad ke-18. Lok lok adalah satu-satu makanan Cina yang masih dijaja dan menjadi kegemaran kaum Cina. Lok lok atau dikenali dengan sate celup merupakan makanan ringan dari sayuran, daging dan makanan laut. Nasi ayam bukan sahaja dipelopori oleh kaum Cina tetapi diminati oleh semua rakyat Malaysia. Nasi ayam dihidangkan bersama ayam goreng, ayam panggang atau ayam kukus. Bagi orang Melayu mereka lebih meminati ayam yang bergoreng atau dipanggang dan kaum Cina memilih yang dikukus. Minuman iringan bagi kaum Cina ialah teh Cina dan manisan kegemaran mereka ialah buah-buahan segar dan manisan berasaskan kekacang.

Perayaan besar disambut bersama dengan menghidangkan makanan pelbagai kaum. Hakikatnya jelas, dengan hanya makan, kita boleh menggerakkan sesuatu kaum atau bangsa semakin dekat dalam perhubungan walaupun hanya sekadar beberapa inci. Semua ini terhasil daripada jalan awal yang inginkan keharmonian dan perpaduan di negara ini. Semua ini akan terus menjadi ikon yang menjadi identiti sebuah masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Ikon yang menjadi identiti sebuah bangsa Malaysia yang aman dan harmoni.



3.0 METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini dijalankan melalui pemerhatian, kajian soal selidik, dokumentasi dan temu bual.

3.1 Reka Bentuk Kajian

Aspek-aspek yang diguna pakai dalam kajian ini antaranya ialah pendekatan kajian, kaedah persampelan, cara pengumpulan data, teknik memproses dan menganalisis data dan penulisan laporan. Reka bentuk kajian kuantitatif yang digunakan dalam kajian ini ialah tinjauan (survey). Dalam kajian ini, tinjauan dibuat di sekitar kawasan Melaka untuk mendapatkan pandangan penduduk tentang hal-hal berkaitan dengan perpaduan kaum melalui makanan tradisi.

Manakala reka bentuk kajian kualitatif yang digunakan ialah kajian etnografi dan kajian sejarah. Dalam kajian kes, kajian etnografi digunakan bagi mengkaji ciri-ciri makanan tradisi dalam kalangan penduduk di Melaka. Kajian sejarah pula digunakan bagi mengkaji rekod dan penulisan lampau antaranya dapatan daripada jurnal untuk dikaitkan dalam kajian perpaduan melalui makanan tradisi.

3.2 Sampel Kajian

Ketika melakukan survey (tinjauan) borang kaji selidik telah diedarkan. Sampel terdiri daripada responden di sekitar Melaka. Seramai 30 orang pelbagai bangsa telah dipilih secara rawak bagi menjalankan tinjauan ini. Setiap kaum dari Melayu, Cina dan India dipilih seramai sembilan orang manakala tiga orang dari lain-lain kaum.

3.3 Instrumen Kajian

Instrumen utama kajian ini ialah soal selidik di mana kami telah mengedarkan borang kaji selidik kepada penduduk sekitar Melaka. Instrumen kajian kualitatif pula ialah soalan temu bual tidak berstruktur. Data-data yang diperolehi telah dianalisis menggunakan SPSS.


4.0 HASIL KAJIAN DAN PERBINCANGAN

Bahagian ini membincangkan keseluruhan hasil kajian yang dijalankan. Selain itu, rumusan akan dibuat mengenai pengaruh makanan tradisi sesuatu kaum dalam perpaduan rakyat Malaysia.

Taburan Jadual 1 di atas, menunjukan kekerapan pengambilan makanan tradisi lain dalam semingu. Taburan ini menunjukan bahawa jumlah responden tertinggi ialah tiga hingga lima kali seminggu dalam pengambilan makanan kaum lain. Untuk kekerapan sekali hingga dua pula menunjukan hanya tiga responden sahaja. Responden yang mengakui amat kerap menjadikan makanan tradisi kaum lain sebagai menu pilahan mereka pula ialah enam responden.

Berdasarkan Rajah 1 di atas, dapat dilihat nasi lemak menjadi pilihan tertinggi dalam kaji selidik ini. Nasi lemak menjadi pilihan 13 orang daripada 30 orang responden. Char kuey teow pula mencatatkan enam pilihan berbanding kari hanya empat responden yang memilih makanan tradisi India tersebut. Hanya tiga responden memilih yong tau fu diikuti putu mayam dan kuih bahulu yang menjadi pilihan dua responden setiap satu.

Berdasarkan Rajah 2 di bawah, sebanyak 80% responden sangat setuju dengan pendapat kajian yang menyatakan makanan tradisi kaum mempengaruhi hidup mereka. 15% pula hanya menyatakan yang mereka bersetuju dengan pendapat sedemikian. Selain itu, hanya 5% sahaja yang tidak bersetuju.

Pengkaji membuat perbincangan berdasarkan kepada borang kaji selidik yang telah diproses, iaitu bahagian A dan B. Bahagian A merupakan latar belakang responden seperti jantina, bangsa, tempat tinggal, umur dan pekerjaan. Bahagian B pula merupakan soalan yang berkaitan dengan kaji selidik. Soalan ini ditanya untuk mengukuhkan objektif kajian dimana makanan tradisi kaum boleh membentuk perpaduan bangsa. Selain itu, tujuan lain kajian ini adalah untuk memperkenalkan makanan tradisi kaum lain kepada masyarakat lain.

Hasil kajian menunjukkan tidak kira latar belakang mereka siapa dan dari mana asal mereka, responden memberi respon yang baik untuk setiap makanan tradisi kaum lain. Ini menunjukkan bahawa masyarakat di Melaka ini mempunyai pengetahuan tentang makanan tradisi kaum lain. Selain itu, dalam kehidupan harian, kita dapat melihat makanan tradisi sesuatu kaum ini bukan hanya boleh dimasak oleh kaum sendiri sahaja tetapi oleh bangsa lain juga. Sebagai contoh, nasi lemak juga dimasak dan disediakan oleh orang India dan roti canai juga dibuat oleh orang Melayu dalam perniagaan warung mereka.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, pola pengambilan responden terhadap makanan tradisi kaum lain amat kerap iaitu di antara tiga hingga lima kali seminggu. Ini memberi respon positif bahawa masyarakat di Melaka ini boleh menerima makanan tradisi kaum lain. Di samping itu, ramai yang mengakui yang pengambilan makanan tradisi kaum juga mempengaruhi hidup mereka. Ini bermakna, apabila mereka menyukai sesuatu makanan tradisi kaum lain, mereka akan berusaha untuk mempejari atau mengetahui cara penyediaannya.

Hasil daripada kaji selidik yang dijalankan juga, boleh dilihat yang pengambilan makanan tradisi kaum lain amat mempengaruhi perpaduan antara masyarakat di sini. Hampir semua responden (80%) bersetuju bahawa perpaduan boleh terbentuk melalui pengambilan makana tradisi kaum lain. Mereka memberi pandangan bahawa makanan tradisi kaum amatlah penting didalam kehidupan sesuatu kaum. Selain itu, amalan penyediaan dan memasarkan makanan tradisi ini perlu dikekalak agar ia tidak dilupakan oleh generasi sekarang dan yang akan datang. Antara pandangan lain pula, makanan tradisi sememangnya dapat diterima oleh semua golongan masyarakat. Hal ini disebabkan penyediaan makanan tradisi kaum agak mudah dan ringkas sahaja.

Berdasarkan kajian, nasi lemak menjadi pilihan 13 orang daripada 30 orang responden. Char kuey teow pula mencatatkan enam pilihan berbanding kari hanya empat responden yang memilih makanan tradisi India tersebut. Hanya tiga responden memilih yong tau fu diikuti putu mayam dan kuih bahulu yang menjadi pilihan dua responden setiap satu. Ini menunjukkan bahawa responden tidak memilih makanan untuk dimakan dan mereka mengenali makanan yang dipilih dengan baik.


5.0 KESIMPULAN

Secara keseluruhan, dapat dirumuskan bahawa makanan tradisi sesuatu kaum dapat membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Melaka ini. Masyarakat dapat mengenali dengan lebih mendalam makanan yang terkenal antara tiga bangsa terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India selain mengetahui keunikan yang ada pada setiap jenis makanan tersebut di mana makanan tradisi ini pula mempunyai keunikan yang tersendiri yang mampu menarik kaum lain untuk merasa. Selain itu, berdasarkan kajian mengenai makanan pelbagai bangsa ini turut menyumbang kepada tahap pemahaman dan perpaduan kaum di Melaka melalui makanan. Mereka lebih memahami dan mengetahui pelbagai variasi makanan kaum di Melaka dengan melihat kajian kaji selidik. Kesimpulan yang didapati dalam kajian ini mencerminkan bahawa tahap perpaduan mengikut makanan setiap kaum masih di tahap yang memuaskan. Oleh itu, makanan juga dapat memainkan peranan dan semangat perpaduan di kalangan kaum.

Berdasarkan kajian, menunjukkan bahawa kajian terhadap perpaduan kaum terhadap makanan membawa kepada perkara positif. Dimana dapat dibuktikan melalui analisis data dan borang kaji selidik. Oleh itu, pendedahan mengenai makanan-makanan dari pelbagai jenis kaum di Malaysia perlu dikaji dan diperkemas supaya masyarakat di Malaysia mengetahui tentang makanan dan tidak melupakan makanan-makanana tradisi masyarakat yang ada di Malaysia. Kerajaan juga perlu memainkan peranan dengan membuat kempen dan pesta makanan malaysia yang dapat membantu masyarakat lebih mengenali makanan pelbagai kaum ini. Makanan masyarakat di Malaysia juga bukan sahaja boleh diperkenal di peringkattempatan malah perlu di luar negara supaya masyarakat membuka mata dan merasa bangga dengan kepelbagaian makanan yang dapat mengeratkan perpaduan antara kaum.
 
Rujukan

Noor Risma Salfina Muhammad Rozali, Sulaiman Zakaria. (2006). Membanteras vandalism: siri tangunggjawab sosial. Kuala Lumpur: Pintar Firus.

Haliza Jelani. Kepentingan Perpaduan Kaum, diakses dari http://psksksd.blogspot.com/2010/07/kepentingan-perpaduan-kaum.html

LvBala. Makanan Malaysia Lambang Perpaduan, diakses dari http://lvbala.blogspot.com/2008/11/makanan-malaysia-lambang-perpaduan.html


Zahir Zainudin, Ernifarha Ab Rahim, Cheristina Anak Lily, Nur Husyani Mohd Hussein, Murnie Shakilla Shidan, Siti Noratika Othman
 
 

2 comments: