Sunday, February 02, 2014

Bisnes kecil mengubah hidup anda


 
 


Penulis: Zahir Zainudin
Harga: RM10 (e-book)
E-mel:
zahirhomp@yahoo.com

Menghasilkan buku ini perlukan banyak kesabaran kerana semua bahan penulisan yang dimuat untuk tatapan anda merupakan himpunan artikel dalam blog saya. Idea menulis artikel-artikel ini bermula beberapa tahun lalu selepas melihat budaya berniaga masyarakat Melayu di Kelantan.

Bisnes yang kecil seperti menjual cili padi di pekan sehari Pengkalan Chepa sehinggalah kontraktor kelas A, masyarakat Melayu di Kelantan boleh berbangga dengan semangat berniaga mereka. Berdasarkan pemerhatian ini, saya abadikan budaya bisnes itu dalam bentuk tulisan yang mudah difahami untuk dikongsi, menggunakan bahasa yang ringkas dan menanam minat dalam kalangan generasi muda untuk menceburi bidang keusahawanan ini.

Dalam buku ini saya mulakan dengan tujuh motivasi usahawan yang merupakan sifat utama dalam langkah memulakan bisnes. Saya selitkan kisah dan cerita pendek untuk perkongsian sebagai pencetus dan perangsang minda untuk berfikir seterusnya mengenal pasti peluang yang menggerakkan kaki anda meneroka alam bisnes.

Bermula sebagai hobi menulis, akhirnya saya dapat berkongsi ilmu dengan anda. Semangat menulis ini juga sentiasa disuburkan oleh rakan-rakan yang sentiasa memberi galakan dan bantuan idea yang baik. Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi galakan dan sokongan untuk menzahirkan buku ini.

                             “Bisnes bermula dengan percaya kepada diri sendiri”

Perbincangan saya dengan beberapa rakan yang terlibat dengan bisnes, kata-kata mereka umpama besi berani yang menarik seluruh fikiran dan minat saya untuk memulakan bisnes hari ini juga. Kesimpulan yang boleh saya kongsi bersama ialah percaya kepada kejayaan yang akan dicapai adalah motivasi terbesar untuk memulakan bisnes.

Tidak ada istilah “tidak boleh” dalam diari hidup mereka. Semua boleh dan pasti berjaya. Mereka boleh berkata seperti ini kerana telah melalui susah-payah dan jerih-perih mendaki tangga-tangga kejayaan.

Salah seorang daripadanya ialah kontraktor elektrik untuk Tenaga Nasional Berhad yang telah melibatkan diri dalam bisnes selama sebelas tahun. Beliau baru sahaja balik mengerjakan umrah bersama isteri, anak-anak dan ibu bapanya. Banyak belanja untuk membawa keluarganya tetapi pendapatan daripada bisnes yang diusahakannya membolehkan mereka sekeluarga menunaikan umrah selama dua minggu.

Orang yang cemerlang hasilkan kejayaan dan orang yang gagal berikan alasan. Untuk berjaya dalam bisnes, elakkan memberi alasan. Walaupun kadangkala alasan ini memberikan ketenangan kepada hati anda, ianya tidak dapat menyelesaikan masalah sebenar.

Setelah anda yakin untuk memulakan bisnes hari ini, mulakan langkah pertama dengan niat yang jelas. Dapatkan maklumat dan segerakan perancangan yang praktikal. Jika anda berjaya, ia merupakan satu pengalaman yang menggembirakan, jika gagal, pengalaman gagal memberi panduan untuk membaiki langkah-langkah songsang usaha anda.

Selain niat, berfikir positif tentang masa depan, berfikir tentang perancangan dan berfikir positif bahawa Allah SWT akan membantu usaha-usaha anda biar susah macam mana sekalipun. Ini kerana berfikir dan berprasangka positif memberi kesan yang baik kepada setiap usaha yang anda lakukan kerana ia membantu mengarah seluruh kekuatan anda ke arah menjadikan bisnes anda suatu realiti.

Tidak perlu takut dengan kegagalan, takut ditertawakan orang, di pandang rendah atau diejek kerana gagal. Takut gagal lebih dahsyat daripada tidak mencuba kerana sebahagian besar usahawan yang berjaya pada hari ini pernah mengalami kegagalan dalam usaha pertama mereka.

Andainya anda setiap hari memikirkan kegagalan sehingga tidak berusaha bersungguh-sungguh mengikhtiarkan sesuatu, akhirnya anda tidak lagi percaya kepada diri dan dikongkongi dengan ribuan keraguan.

Berhasilnya usaha anda adalah setelah berjaya meruntuhkan pagar-pagar mental yang bersarang di sekitar pemikiran hebat anda. Jadi, untuk melakukan langkah pertama bisnes anda hari ini, lebih baik dimulakan dengan perasaan optimis dan percaya kepada diri sendiri. Bina kata-kata semangat yang akan menggegarkan gayutan fikiran negatif supaya ia gugur satu persatu.
 

No comments:

Post a Comment