Wednesday, June 22, 2011

Anak luar nikah jadi beban







Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia melaporkan lebih 257,000 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 hingga Julai 2008. Manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyatakan 81,000 anak luar nikah berdaftar sehingga Jun 2010. Di Malaysia, anak luar nikah yang dimaksudkan ialah pendaftaran kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang tidak berkahwin tetapi maklumat kelahiran dimasukkan ke dalam daftar dan sijil kelahiran. Istilah yang sering dirujuk bagi menggantikan panggilan anak luar nikah ialah anak tidak sah taraf.

Isu anak luar nikah melibatkan tamadun. Anak luar nikah telah menjadi bencana kemanusiaan paling hebat dalam sejarah tamadun Barat hari ini. Ia mencetuskan fenomena kemanusiaan dipinggir krisis kehancuran akibat daripada percambahan dan kelahiran berterusan anak tidak sah taraf ini.

Kesan kelahiran tanpa nikah amat besar. Apabila kanak-kanak ini membesar dan menjadi seorang remaja dan dewasa yang matang,mereka akan bertanya, ‘Siapa ayah aku?’ Amat mustahil untuk mencari ayah sebenar ketika pergaulan bebas dan perlakuan seks bebas bermaharaja lela.

Dari sinilah munculnya sikap yang menolak sama sekali kepentingan institusi keluarga. Anak-anak tidak menghormati ibu dan bapa kerana dalam fikiran mereka, kedua ibu bapa telah mengkhianati kehidupan anak-anak. Mereka membesar sebagai sebuah generasi yang teraniaya iaitu hidup tanpa sebuah keluarga. Justeru muncul gerakan yang menolak kehadiran ibu bapa dalam masyarakat. Dalam fikiran generasi muda ini ialah ibu bapa merupakan komponen yang tidak bertanggungjawab ke atas kelahiran mereka di dunia.

Tanpa keluarga, di mana hendak ditumpahkan kasih dan sayang? Kepada siapa pula kesetiaan dan ketaatan akan diberikan?

Inilah krisis yang sedang melanda negara-negara Barat. Apabila tidak diketahui siapa ayah yang sebenar, kasih sayang seseorang manusia menjadi nipis. Secara hakikatnya, seorang kanak-kanak akan memberi kasih dan sayangnya kepada orang yang paling hampir iaitu ibu dan bapa serta ahli keluarga yang lain, seterusnya kepada negara. Kecintaan kepada negara tidak akan hadir tanpa kecintaan kepada ibu dan bapa.

Bagaimana hendak membina sebuah tamadun jika dicambahi dengan generasi yang tidak tahu siapa ayah mereka? Inilah dilema dan krisis yang melanda pemikiran dan budaya hidup masyarakat Barat hari ini.

No comments:

Post a Comment