Monday, June 20, 2011

Kursus usahawan untuk pelajar bawah 2.0







Keputusan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membatalkan pinjaman PTPTN kepada pelajar yang mendapat jumlah keseluruhan mata terkumpul atau CGPA di bawah 2.0 telah dimuktamadkan. Rasional tindakan ini diambil adalah demi masa depan pelajar kerana mendapat markah di bawah 2.0 menjadi beban kepada pelajar itu sendiri untuk bersaing di pasaran kerja. Majikan meletakkan persepsi yang berbeza bagi pelajar yang memperoleh 2.0 dan 3.0 sepanjang pengajian.

Mendapat CGPA di garisan ‘cukup-cukup makan’ juga dikatakan sukar membayar pinjaman PTPTN kerana pelajar berkenaan belum tentu mendapat pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian. Secara tidak langsung keadaan ini mengundang kepada lambakan peminjam yang gagal membayar balik pinjaman.

Sering terjadi pelajar yang cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, matrikulasi atau diploma mendapat keputusan sederhana selepas mereka belajar di universiti. Banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan ini seperti sikap, pengaruh sosial dan persekitaran.

Kajian oleh Zainab Othman (2010) terhadap gejala ponteng di kalangan pelajar Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi mendapati salah satu punca kepada ketidakcapaian akademik pelajar ialah gejala ponteng kuliah. Beliau mendapati tiga faktor yang menyumbang kepda permasalahan gejala ponteng iaitu sikap yang ada pada diri pelajar, pengaruh sosial dan persekitaran kolej.

Faktor pertama iaitu sikap ditunjukkan melalui sifat malas, kurang minat mengikuti sesi pembelajaran dan keluarga yang memaksa belajar. Sikap adalah rekfleksi diri yang diperlihatkan melalui tata kelakuan pelajar sepanjang mengikuti pengajian. Ternyata, malas amat berkait dengan nilai diri pelajar. 

Kedua, pengaruh sosial yang amat akrab dengan pengaruh rakan sebaya, kejutan budaya dan perkembangan teknologi maklumat. Zainab menyifatkan beberapa laman sosial ketika ini menyumbang kepada perubahan sosial pelajar khususnya selepas mendapat kebebasan.

Ketiga berkaitan persekitaran kolej yang menyifatkan keadaan sempit dan penyampaian kuliah yang tidak menarik. Keadaan tempat yang sempit ini menyebabkan pelajar tidak selesa dan mengundang kelesuan untuk belajar. Hubungan pensyarah-pelajar yang tidak mesra menjadikan suasana pembelajaran penuh dengan daya tolakan baik kepada pelajar mahupun kepada pensyarah.

Selain Zainab, pengkaji-pengkaji tempatan turut mengemukakan sebab-musabab kepada ketidakcapaian akademik pelajar di institusi pengajian tinggi. Kajian yang dilakukan oleh Maria Chong dan rakan-rakan (2009) umpamanya telah merumuskan bahawa kemerosotan dalam pembelajaran berlaku kerana pelajar tidak dapat menangani pelbagai cabaran khususnya menyesuaiakan diri di kampus.

Kegagalan penyesuaian ini berlaku dalam akademik, sosial, peribadi-emosi dan komitmen matlamat. Hasil kajian turut dikongsi oleh kajian yang lebih awal di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dilakukan oleh Ahmad et.al (2002) yang menyatakan masalah utama yang dihadapi oleh pelajar baharu ialah masalah kewangan, akademik, kesihatan, sosial dan peribadi.

Penyelesaian jangka pendek yang dibuat oleh kementerian ke atas pelajar yang mendapat markah yang rendah seharusnya diteliti semula kerana banyak faktor yang menyebabkan pelajar mendapat markah yang rendah.

Sekiranya tidak diperhalusi, pelajar berkenaan akan terus dirundung kecewa dan bebanan hidup.Beban pertama adalah belum tentu dapat menamatkan pengajian, beban kedua adalah belum tentu mendapat pekerjaan. Jalan keluar kepada permasalahan ini ialah pihak kementerian perlu menyediakan kursus alternatif kepada pelajar-pelajar yang lemah.

Kursus alternatif yang dimaksudkan ialah kursus keusahawanan yang komprehensif supaya minat belajar pelajar disalurkan kepada minat sebagai usahawan. Kita yakin ada dalam kalangan pelajar yang lemah ini memiliki bakat dan kemahiran untuk berniaga. Jika tidak pun, kegagalan di peringkat ijazah dapat ditampung dengan menganugerahkan sijil diploma supaya mereka memiliki sijil yang bersesuaian.

 

No comments:

Post a Comment