Friday, April 15, 2011

Siapa akan menang di Sarawak?

Pilihanraya Umum Kesepuluh di Sarawak bakal menentukan kerajaan baru di negeri itu. Demam pilihan raya ada di mana-mana, dari Limbang ke Kuching, rakyat Sarawak dihidangkan dengan peluang untuk membuat perubahan demi masa depan. Pilihannya hanya ada dua sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Walaupun BN mempunyai peluang yang lebih baik, kesedaran pengundi muda tidak dapat dinafikan semakin meningkat. Kesedaran politik golongan ini menjadi garis pemisah di antara BN dan PR. Dalam pilihan raya kali ini, mereka yang baru kali pertama mengundi akan menjelaskan hala tuju pentadbiran selepas ini. Manakala golongan veteran sudah sebati dengan kecenderungan memilih BN, politik Sarawak dua tiga dekad yang akan datang tentu menjanjikan persaingan sengit.

Politik Sarawak adalah politik pembangunan. Kawasan tanah yang luas disertai kawasan hutan yang tebal, petanda negeri itu perlukan pengurusan ekonomi dan aset negeri yang lebih baik, tersusun dan kemas. Ketika pembangunan dan kemudahan infrastruktur ditumpukan di kawasan bandar, masyarakat luar bandar masih jauh ketinggalam dalam pelbagai aspek. Bangunan sekolah yang uzur, jalan tanah liat yang berlumpur, barangan keperluan yang mahal, nasib tanah adat yang belum selesai dan kemudahan air bersih yang terhad, semuanya perlu diberi perhatian. Kanak-kanak ke sekolah berjalan kaki tiga hingga empat jam sehari merentas bukit dan belukar, peluang pekerjaan yang tidak banyak dan kualiti hidup yang belum meningkat di luar bandar adalah simptom kepada peminggiran pembangunan di Sarawak.

Justeru, kehadiran pemimpin politik dari BN yang sangat kerap sambil menjanjikan pelbagai projek pembangunan amat menggiurkan. Manakan tidak. Dulunya tidak ada hospital, kini dijanjikan hospital yang moden. Dulunya terpaksa naik feri untuk seberang sungai, kini dijanjikan jambatan merentasi dua negara. Dulunya ada pasar yang uzur, kini dijanjikan dengan sebuah pasar basah yang moden. Anehnya, semua ini dibuat ketika musim kempen pilihan raya. Barangkali rakyat mudah lupa janji-janji mereka ketika pilihan raya lepas, jadi perlu diingatkan ketika musim kempen kali ini.

Istilah jembalang, penipu dan jani-janji kosong menjadi mainan di bibiran pemimpin-pemimpin BN ketika kempen dan disiarkan di akhbar dan media. Semua orang boleh lihat dan dengar sendiri sindiran demi sindiran. Baik di waktu subuh, tengah hari atau malam. Katanya pembangkang tidak buat apa-apa di Kedah, pembangkang tidak tahu mengurus Pulau Pinang, pembangkang tidak reti hendak majukan Kelantan, dan di Selangor, pembangkang tidak cukup wang untuk bangunkan negeri, maka penasihat ekonominya perlu letak jawatan. Dalam berita, disiarkan juga kepayahan dan kesukaran rakyat di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan kerana kemajuan tidak kelihatan langsung. Anehnya, kita tidak pernah mendengar ada orang yang mati kelaparan di negeri-negeri ini.

Pakatan Rakyat pula, di sebalik serangan ganas ke atas pemimpin utama mereka, sambutan rakyat Sarawak amat menggalakkan. Tidak ada media kerajaan yang menyiarkan kempen Nik Aziz, Hadi Awang, Lim Guan Eng atau Anwar Ibrahim melainkan disiarkan keberangan Anwar Ibrahim dalam sidang media. Setiap hari rakyat Sarawak khasnya dan Malaysia amnya disogokkan dengan kenyataan bahawa pembangkang tidak mampu mentadbir negara, pembangkang tidak boleh membentuk kerajaan dan pembangkang adalah jembalang sehinggakan naik muak orang yang mendengar. Ia dirancang supaya pengundi menolak pembangkang. Anehnya, rakyat Kelantan tetap sayangkan Tok Guru, jambatan Pulau Pinang masih sesak macam dulu, rakyat Kedah sejahtera selalu dan Khalid Ibrahim masih menjadi menteri besar Selangor dengan sokongan padu.

Di sebalik kepayahan untuk menyampaikan maklumat kepada pengundi, PR terpaksa juga bekerja keras. Pengangkutan ke Sarawak dan berkempen di pedalaman negeri itu bukannya menggunakan wang kerajaan kerana PR bukannya parti komponen yang kaya-raya. Mereka bergerak menggunakan wang parti dan sumbangan orang ramai. Berbeza dengan pemimpin BN. Mereka bergerak menggunakan jentera kerajaan kerana tujuan ke seluruh Sarawak adalah atas tugasan rasmi penjawat awam. Tindakan ini diumpamakan sebagai ‘menyelam sambil minum air’ atau dua dalam satu. Kelebihan terletak pada BN ketika ini. Inilah mainannya. Pihak yang berkuasa akan menggunakan apa cara untuk meraih peluang asalkan memberi kemenangan.

Di antara BN dan PR, hanya rakyat Sarawak yang dapat menentukan siapa pilihan mereka. Isu-isu yang dimainkan ketika ini berbagai-bagai. Jika BN membawa isu video, PR juga membawa isu yang sama. Namun isu Semenanjung tidak begitu dipeduli oleh rakyat Sarawak kerana isu-isu tempatan lebih dominan dan perlu diberi perhatian. Antara isu ini ialah tanah adat, kekayaan luar biasa ketua menteri, pembangunan kawasan luar bandar dan pemodenan. Kedua-dua pihak saling memberi hujah untuk menarik pengundi.

Barisan Nasional boleh menang lagi di Sarawak tetapi mood pilihan raya 2008 masih kuat. Apatah lagi lagi pemimpin kerajaan BN kurang berprinsip dalam membuat keputusan. Adakah pula hendak diperkenalkan semula pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris selepas mereka sendiri membuat keputusan akan menghentikannya? Adakah kita sudah lupa?

No comments:

Post a Comment