Wednesday, December 29, 2010

Piala Suzuki AFF 2010, Malaysia 1 Indonesia 2

Indonesia kalah dengan agregat 4-2 untuk terus kekal sebagai pasukan yang kempunan untuk menjadi juara. Biar pun menang di gelanggang sendiri 2-1, keupayaan pasukan Garuda untuk terus membolosi gawang Malaysia dipatahkan dengan mudah oleh pertahanan Harimau Malaya.

Malaysia meraih kejuaraan pertama apabila membawa tiga gol yang dimenangi di Kuala Lumpur dan mempamerkan permainan bertahan dan menyerang balas yang mantap untuk mendapatkan gol pertama. Di sebalik serangan demi serangan dari Indonesia, tidak ada satu gol pun yang boleh dijaringkan pada 60 minit permaian berlangsung. Malah, sebaiknya pasukan Malaysia yang lebih awal mendapatkan gol melalui rembatan kencang penyerang berbisa, Safee pada minit ke 53.

Baki perlawanan menyaksikan dua gol yang disumbat oleh Indonesia yang dilihat menaikkan semangat pemain-pemain pasukan itu namun ia sudah terlewat untuk bangkit daripada kekalahan kerana pasukan Malaysia sudah membuat benteng dan membina sistem pertahanan yang ampuh bagi mengekang asakan penyerang-penyerang Indonesia.

Kekalahan Indonesia adalah takdir yang harus diterima dengan lapang dada kerana Tuhan belum memberi izin untuk pasukan negara itu meraih kejayaan. Mereka perlu belajar untuk menerima kelemahan diri dan sentiasa berusaha membaiki teknik dan strategi permainan, membina pasukan yang mantap di jentera serangan dan tidak leka dengan kemenangan di peringat kumpulan.

Tidak ada erti lagi apabila Indonesia dengan mudah mengalahkan Malaysia 5-1, Laos 6-0, Thailand 2-1 dan Filipina 2-0. Indonesia harus mengakui bahawa pemain-pemain muda Malaysia malah seawal 19 tahun memiliki stamina dan tenaga yang cukup banyak untuk bergerak ke seluruh padang, bingkas berlari, lasak dan sentiasa mengikut arahan jurulatih.

Tuesday, December 28, 2010

Tekun, insya Allah akan berjaya

Tekun adalah kuat bekerja, gigih bekerja. Dalam apa juga kerja yang dilakukan, nampak jelas ciri-ciri tekun itu. Menjadi tekun tidak bermakna melakukan kerja-kerja yang mencabar atau sukar. Ia bermaksud meletakkan sasaran berdasarkan tempoh tertentu.

Latihan ketekunan boleh dibuat dengan memulakan langkah-langkah awal bagi sesuatu kerja. Contohnya ibu atau bapa yang mempunyai anak kecil. Berapa lama yang diperlukan untuk menukar lampin anak mereka? Kerja ini bukannya susah, ia cuma kerja yang berulang-ulang setiap hari. Kerja yang biasa dilakukan secara berulang-ulang, lama-kelamaan akan menjadi kelaziman dan memudahkan.

Contoh lain ialah kemahiran memuat naik atau ‘up load’ video, artikel atau gambar di internet. Bagi mereka yang kurang mahir IT, kerja-kerja ini memang sukar. Namun apabila selalu melakukannya, semua itu sudah menjadi biasa.

Monday, December 27, 2010

Piala Suzuki AFF, Malaysia 3 Indonesia 0

The Jakarta Post memetik ramalan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 24 Disember 2010 lalu yang menyatakan pasukan Harimau Malaya akan menang 3 – 0 ke atas Indonesia dalam pusingan pertama Piala Suzuki AFF 2010.

‘Saya meramalkan kami akan menang 3-0 di Kuala Lumpur,’ seperti yang dinyatakan oleh tempointeraktif.com.

Beliau menambah kemenangan 3-0 akan meningkatkan peluang Malaysia untuk menang dalam pusingan kedua di Jakarta pada 29 Disember ini. Kemenangan ini boleh dicapai kerana pasukan Malaysia sedang berada di puncak semangat yang tinggi untuk menang dan akan ‘menjadi titik peralihan dalam peningkatan kualiti bolasepak di negara itu.’

Dalam ruangan komen di akhbar atas talian, pembaca memberi respons yang sangat menarik. Antaranya ialah,

Paul, Bali Sat, 25/12/2010 - 08:12am
Hey Malaysia - why not predict 5-1? Or maybe 8-0? Does that make you feel better? NOT in your dreams, guys!!! Go go go Indonesia

Iggy, Irvine, USA Sun, 26/12/2010 - 09:12am
3-0 really? c'mon Malaysia at least show a little humility after we pounded u 5-1 like less than a month ago... jus saying.

Memang ramai yang melihat perlawanan malam tadi sukar ditentukan milik siapa kerana kedua-dua pasukan menunjukkan kekuatan yang seimbang. Namun kelebihan menjadi tuan rumah memberi ruang kepada Malaysia untuk mencari mata awal.

Sebaik-baiknya, ramalan 5-0 wajar diletakkan kerana sesetengah orang mempunyai tuah atau disebut ‘mulut masin.’

Friday, December 24, 2010

Rawat batuk dengan madu

Setiap kali batuk, kita merasai suasana yang menyeksakan hidup. Kita terpaksa menjauhkan diri daripada rakan-rakan, pantang makanan berminyak dan menjauhi apa-apa makanan yang bergoreng.

Batuk juga menyebabkan kos hidup meningkat kerana terpaksa membeli ubat batuk malah kalau keadaan semakin kritikal, kita perlu mendapatkan rawatan di hospital.

Ada banyak cara untuk mengurangkan seksa kerana batuk ini. Salah satu daripadanya ialah merawat batuk dengan madu. Ramai yang tahu madu ini sangat baik tetapi macam mana madu boleh menghilangkan kegatalan pada tekak? Adakah hanya menghirup sesudu madu tekak sudah baik?

Petua ini sudah lama diamalkan oleh orang-orang tua kita. Ambil satu sudu madu dan campurkan dengan sebiji limau kasturi, Insya Allah, radang tekak akan berkurangan, hidup kembali normal dan lebih ceria.

Thursday, December 23, 2010

Berjaya denga dorongan kendiri

Dalam dunia hari ini, sesiapa sahaja boleh mencapai impian mereka. Pelajar ingin menjadi doktor, jurutera dan guru, kontraktor ingin menjadi jutawan, pemimpin masyarakat ingin menjadi jaguh dengan sentiasa memastikan kebajikan anak-anak buah terjaga, dan ahli sukan sentiasa memburu kilauan emas dalam setiap kejohanan.

Sesiapa sahaja pasti memiliki impian sendiri. Sama ada pelajar, kontraktor, usahawan, pemimpin atau ahli sukan, mereka boleh mencapai impian dengan memiliki satu sifat iaitu dorongan diri sendiri.

Dorongan diri sendiri atau lebih dikenali dengan nama dorongan kendiri adalah satu gerakan untuk menggerakkan seluruh pemikiran dan tindakan untuk mencapai impian hidup.Terpulang kepada bentuk strategi yang dirancang. Lagi canggih lagi baik, lebih singkat dan berkualiti. Dorongan kendiri atau self-driven mesti dirangsang, diberi galakan dan disuburkan.

Tanamkan pemikiran dengan kecemerlangan dan kejayaan, Insya Allah, seluruh kehidupan akan menjadi cemerlang dan berjaya.

Wednesday, December 22, 2010

Nilai pelanggan

Para peniaga, usahawan, peniaga kuih dan pengusaha restoran perlukan pelanggan untuk membuat keuntungan. Tanpa pelanggan, bisnes mereka tidak dapat maju dan mungkin ditutup.

Jadi, bagaimana ahli perniagaan kita meletakkan nilai kepada pelanggan mereka? Adakah mereka sanggup bertekak semata-mata tidak mahu mengurangkan diskaun 30 sen sebungkus nasi lemak? Biasanya, selepas bertekak, pelanggan akan berlalu pergi dan jualan nasi lemak hari itu mungkin tidak berapa baik.

Cuba bayangkan jika kita dapat bertolak ansur dan memberi diskaun 30 sen, barangkali pelanggan itu akan membeli 50 bungkus nasi lemak, malah mungkin akan membuat pembelian mega jika ada majlis di rumahnya.

Meletakkan nilai yang rendah kepada pelanggan akan menyebabkan mereka lari. Sebaliknya, meletakkan nilai yang tinggi kepada setiap pelanggan akan menjadikan mereka pembeli yang setia.

Tuesday, December 21, 2010

Seorang pakar lebih baik

Bruce Lee adalah seorang pelakon kung fu yang hebat. Daam salah satu babak lakonan dari filem The Way of The Dragon, dia bersama beberapa orang pekerja restoran berhadapan dengan empat orang samseng yang berbadan besar, tinggi dan ganas. Lima orang tukang masak yag belajar kung fu akan cuba melawan empat orang samseng.

Tukang masak pertama cuba untuk bertarung dengan seorang samseng yang berbadan gempal dan berjambang. Dia pun menunjukkan bunga-bunga kung fu di hadapan semua orang: seolah-olah dia seorang sahaja yang hebat.

Samseng berbadan gempal ini hanya tersenyum dan tidak ada aksi hebat, cuma bersedia hendak bertumbuk. Sebaik sahaja satu langkah di hadapan, tukang masak pertama tadi terus kena tumbuk dan jatuh lalu pengsan.

Kawan-kawannya yang lain ingin membalas dendam tetapi dihalang oleh Bruce Lee kerana musuh di hadapan mereka bukan calang-calang orang. Kini giliran Bruce Lee berhadapan dengan empat samseng berkenaan. Melalui kepantasan berkung fu, dia berjaya menewaskan lawannya seorang demi seorang.

Pengajarannya ialah, jika kita mempunyai kepakaran, sesuatu kerja boleh dilakukan seorang diri. Penglibatan ramai orang hanya membuang masa dan tenaga di samping mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan.

Berfikiran besar dan bersungguh-sungguh

Semasa rakan saya mendaftarkan diri di sebuah institusi pengajian tinggi sebagai seorang pensyarah, perkara pertama yang dilakukannya ialah mencari rakan-rakan yang boleh memberi inspirasi untuk berjaya dalam akademik. Sememangnya pensyarah mesti memiliki beberapa sikap yang terpilih supaya dapat capai matlamat dan sasarannya.

Lalu dia berkenalan dengan seorang pensyarah yang telah lama menjadi ahli akademik dan sedang berusaha mendapatkan gelaran profesor.

Susah payah di universiti telah membuatkan pensyarah itu menjadi seorang pemikir yang hebat dan bersedia dengan cabaran. Semasa melengkapkan pengajian PhD, beliau sering kekurangan wang kerana urusan belajar ini menggunakan wang yang banyak lebih-lebih lagi apabila terpaksa membayar sendiri semua bentuk pendaftaran dan tutorial. Bagi menyara hidup, beliau membawa teksi dan menggunakan setiap masa terluang untuk mencari maklumat dan menganalisis data bagi melengkapkan pengajiannya.

Sikapnya terhadap ilmu menjadikan semua aktiviti hidup ke arah kejayaan akademik. Kini, cita-citanya ialah mendapat gelaran profesor sebagai simbol fikiran besar dan bersungguh-sungguh dalam merealisasikan impian.

Monday, December 20, 2010

Saiz pemikiran penentu kejayaan

Di institusi pengajian tinggi, saban tahun pelajar akan mendaftarkan diri untuk membuat latihan industri di tempat-tempat yang sesuai dengan kursus masing-masing. Ada syarikat ini yang bertaraf global, multi nasional dan tempatan.

Biasanya latihan industri mengambil masa selama empat bulan dan selepas itu pelajar akan menyiapkan laporan masing-masing supaya dapat bergraduat. Matlamat selepas itu ialah mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Bagi mendapatkan pekerja yang cekap, mahir dan menguntungkan syarikat, terdapat agensi yang menawarkan khidmat mencari pekerja. Agensi ini akan melawat universiti dan institusi pengajian tinggi untuk merekrut bakal-bakal graduan bagi jawatan eksekutif perintis.

Selain melihat keputusan peperiksaan, agensi ini melihat objektif peribadi pelajar iaitu motivasi peribadi pelajar. Kebanyakan agensi mengulas nada yang sama – kenapa orang muda hari ini terlalu konservatif dan berfikiran sempit terhadap masa depan?

Kejayaan bukan dikukur dari ketinggian, berat badan, segulung ijazah atau latar belakang keluarga sebaliknya berdasarkan saiz pemikiran. Saiz pemikiran akan menentukan saiz pencapaian kita pada masa depan. Justeru, ada sesetengah kejayaan dapat diraih oleh orang yang rendah dan kurus kerana saiz pemikiran mereka adalah tinggi dan besar.

Saturday, December 18, 2010

Kuasa bahasa

Hubungan di antara budaya dan bahasa sentiasa menjadi bahan kajian ahli akademik di universiti tetapi mereka tidak dapat bersepakat untuk menentukan sejauh mana budaya dan bahasa berkait antara satu sama lain.

Pendapat pertama ialah bahasa menentukan budaya. Pendekatan ini datang dari hipotesis ‘Sapir-Whorp’ yang menyatakan bahasa bukan sahaja memindahkan malah membentuk pemikiran, kepercayaan dan sikap. Maksudnya, bahasa menjadi petunjuk kepada pembentukan budaya.

Contohnya banyak. Perkataan ‘bahagia’, ‘seronok’ dan ‘terima kasih’ memiliki tenaga tersendiri yang menentukan sejauh mana seseorang membentuk kehidupannya. Jika dia yakin ucapan ‘terima kasih’ akan membantunya menjadi bahagia, persekitaran hidupnya sentiasa dipenuhi dengan senyuman, ketenangan dan lapang dada.

Pendapat kedua menyatakan bahasa cuma memberi imbasan atau refleksi terhadap budaya, ia tidak membentuk atau berperanan besar dalam pemikiran, kepercayaan atau sikap seseorang.

Bagaimanapun mereka setuju bahasa dan budaya wujud satu hubungan yang rapat.

Friday, December 17, 2010

Kisah tiga perang

Perang Badar

Perang Badar berlaku pada bulan ramadhan. Rasulullah saw telah meletakkan Islam sebagai ganjaran paling besar dalam peperangan yang penting ini. Jika pasukan tentera Islam kalah peperangan ini, kemungkinan besar tidak ada orang yang akan menyebut kalimah-kalimah Allah swt lagi. Ertinya pertaruhan di situ adalah pertaruhan Islam. Andainya tewas, Islam akan lenyap selama-lamanya.

Perang Badar adalah tidak seimbang kerana kekuatan tentera Islam amat jauh bezanya dengan pasukan musuh seperti bilangan yang sedikit, peralatan yang tidak mencukupi dan jauh lebih daif. Namun, tentera Islam bergerak dengan penuh disiplin, patuh pada arahan ketua dan mengikut peraturan. Akhirnya tentera Islam telah menang. Walau bagaimanapun terdapat beberapa orang sahabat Nabi saw yang gugur syahid iaitu seramai 14 orang.

Perang Uhud

Dalam Perang Uhud, pasukan Islam lebih bersedia kerana bilangan orang Islam ketika itu lebih ramai. Penduduk Madinah juga turut lebih bersedia. Dalam perjalanan perang ini, cabaran paling besar ialah tindakan golongan munafik yang menarik diri, lalu mereka digelar sebagai ‘talam dua muka.’ Persediaan tentera musuh juga hebat. Mereka memiliki pelbagai jenis peralatan perang seperti pasukan pancaragam dan persediaan bahan makanan (kerana mereka yakin peperangan akan berlanjutan).

Strategi tentera Islam ialah meletakkan pasukan pemanah di lereng bukit. Rasulullah saw sentiasa mengingatkan mereka agar jangan meninggalkan kedudukan mereka biar apa pun yang terjadi.

Dalam peperangan ini, pasukan musuh telah kalah dengan teruk dan mereka bertindak mengundurkan diri. Ketika ini pasukan tentera Islam mula mendapat keghairahan untuk merebut harta rampasan perang yang ditinggalkan musuh. Mereka berebut-rebut mengambil harta rampasan yang ada sehingga pasukan pemanah yang berada di lereng bukit turut bertindak meninggalkan kedudukan mereka semata-mata untuk mengambil harta yang sedang dibahagi-bahagikan. Dalam keadaan sedemikian, pasukan pemanah ini telah mengingkari arahan Rasulullah saw untuk tetap berada di kedudukan mereka.

Sebaik sahaja pasukan pemanah bergerak turun, tentera berkuda musuh mengambil kedudukan di bukit tersebut dan menguasai lokasi strategik berkenaan. Serangan pantas dilancarkan sehingga mereka dapat membunuh bapa saudara Nabi saw, Saidina Hamzah. Beliau dibunuh oleh pelontar lembing dari Habsyah yang telah diupah oleh Hindun, isteri Abu Suffian. Tentera Islam yang lain lari bertempiaran dan Nabi saw terpaksa dilindungi serta mencari tempat persembunyian.

Pengajaran Perang Uhud ialah apabila tidak patuh kepada arahan ketua kerana hendak berebut harta rampasan, dalam sekelip mata sahaja kawasan atau lokasi strategik akan ditawan musuh.


Perang Hunain

Perang Hunain melibatkan ramai orang Islam kerana ketika itu masyarakat Arab telah ramai memeluk Islam. Di peringkat awal perang, pasukan Islam lari bertempiran. Nabi Muhammad saw terpaksa menyusun kembali pasukan tentera Islam. Baginda saw meletakkan pahlawan-pahlawan yang gagah berani seperti Saidina Ali di barisan hadapan bagi menggempur pasukan musuh. Akhirnya musuh ditumpaskan meninggalkan harta rampasan yang sangat banyak sehingga dikatakan mengambil masa selama tiga hari. Ia mengambil masa kerana tentera-tentera Islam berebut-rebut untuk mengagihkan harta rampasan yang mereka baru dapat.

Rasulullah saw sendiri menyelesaikan sendiri agihan ini dengan memberi keutamaan kepada mereka yang baru memeluk Islam dan menyertai perang. Tindakan ini menyebabkan golongan Ansar berkecil hati kerana tidak banyak mendapat harta. Namun mereka menjadi gembira apabila Rasulullah saw mengumumkan akan pulang bersama-sama orang Ansar ini. Lalu, tercatatlah ungkapan, ‘Allah dan Rasul adalah segala-galanya.’

Banyak perkara yang kita boleh pelajari melalui tiga peperangan ini. Dalam Perang Badar, umat Islam berperang dengan penuh disiplin. Perubahan yang ketara dapat dilihat dalam Perang Uhud iaitu tentera Islam ada kekuatan tetapi tidak patuh kepada arahan ketua lalu tewas di tengah jalan. Manakala Perang Hunain, tentera Islam memiliki kelebihan dari segi bilangan tetapi mereka berperang tanpa keikhlasan kerana masing-masing berebut harta rampasan berbanding berjuang pada jalan Allah swt.

Thursday, December 16, 2010

Salahuddin Al-Ayubi pemimpin pembebasan Palestin

Seorang panglima perang Islam yang handal, Tariq bin Ziyad diabadikan namanya pada bukit Jabal Tariq yang dipanggil Gibraltar. Namun ada seorang lagi panglima perang Islam yang dikagumi oleh masyarakat Islam iaitu Salahuddin Al-Ayubi. Beliau terkenal kerana telah membebaskan Palestin dalam tiga perang Salib dan mengembalikan kekuatan dan maruah umat Islam.

Sallahuddin Al-Ayubi merupakan anak kepada seorang gabenor yang asal-usulnya berbangsa Kurdis. Sejak berusia 17 tahun, dia telah mula membabitkan diri dalam peperangan di Mesir, Syria dan Palestin. Kekuatan peribadi Salahuddin terletak pada akhlak yang mulia dan sangat mencintai jihad. Kehidupannya lebih berdisiplin dan memiliki semangat jihad yang meluap-luap untuk mengembalikan maruah umat Islam dan membebaskan Palestin.

Dalam kerja berpasukan, Salahuddin sentiasa mempastikan tenteranya dalam keadaan mantap, bersemangat tinggi dan mengingatkan mereka tentang jihad serta kemenangan Islam. Kesungguhan Salahuddin dalam mendidik bala tenteranya membolehkan mereka menang pertempuran kerana keupayaannya menyatukan hati dan fikiran tenteranya dari pelbagai bangsa dan negara seperti Mesir, Iraq, Syria, Kurdis dan Arab. Syura juga dijadikan instrumen penting untuk menentukan keputusan yang berkait dengan ketenteraan. Syura yang dibentuk bersifat telus kerana terdapat keputusan-keputusan Salahuddin yang dibatalkan.

Pembinaan peribadi setiap tenteranya amat dititikberatkan melalui contoh dan teladan. Dia suka solat berjemaah dan bangun tengah malam untuk bertahajjud, bertemu dengan pegawai-pegawai bawahannya untuk mendengar bacaan al-quran di samping membacakan hadis-hadis yang merangsang jiwa dan akal. Dia juga bertanya khabar dan mengambil tahu keadaan tentera-tentera Islam. Hubungan dengan pembantu-pembantunya juga diberi perhatian. Salahuddin mengutamakan keadilan dan mengabaikan kesilapan-ksilapan kecil yang dilakukan oleh mereka. Tetamu yang datang berjumpa pula akan dilayan dengan hormat dan pulang dengan membawa hadiah kesukaan mereka.

Tuesday, December 14, 2010

Tiga cara bina keyakinan diri

Kita sering mendengar ceramah perubahan diri atau membaca buku-buku yang ditulis oleh pakar-pakar psikologi. Mereka memberitahu kita bahawa sikap berubah dengan perubahan fizikal. Contohnya, kita senyum setiap kali berjumpa rakan-rakan, Insya Allah hidup sentiasa ceria.

Bagaimana pula membina keyakinan diri? Formulanya sama. Ia bermula dengan mengubah penampilan fizikal kita.

1. Duduk di barisan hadapan

Dalam banyak majlis dan perjumpaan, orang ramai lebih selesa duduk di kerusi bahagian belakang. Dalam bilik kuliah, pelajar berebut-rebut duduk di belakang supaya ‘tidak malu’. Jika kita berusaha sedikit untuk bergerak ke hadapan, secara automatik keyakinan diri akan bertambah kerana barisan hadapan memiliki aura tersendiri untuk membuat perubahan.

2. Lihat pada mata

Keadaan ini adalah magik dalam membina hubungan dengan orang lain. Lihat pada mata bererti memberitahu orang lain bahawa kita yakin dengannya dan tidak takut untuk bersama-sama membina persahabatan.

3. Jalan lebih pantas

Berjalan perlahan dikatakan ada watak selekeh, tidak disenangi dan kerjaya yang bermasalah. Berjalan sederhana cepat memberi erti kurang rasa bangga kepada diri namun masih lagi okey. Perubahan ketara ialah berjalan pantas atau laju kerana watak begini melambangkan keyakinan diri yang tinggi dan merasakan dirinya amat penting.

Monday, December 13, 2010

Merawat rasa takut

Takut mencuba akan ketinggalan. Tertinggal dalam bisnes, pengajian dan dalam kehidupan. Rasa takut adalah normal bagi sesiapa sahaja. Kanak-kanak kecil takut apabila mendengar bunyi guruh di langit, seorang remaja takut makan makanan laut kerana risau akan timbul jerawat di muka, orang dewasa takut membuat pelaburan kerana kurang pasti dengan pulangannya dan seorang pemimpin muda kerap kali takut bercakap di hadapan ketua-ketua negara asing.

Rasa takut menjadi punca ramai orang yang tidak mencapai kejayaan yang sempurna.

Takut umpama ombak di lautan, ia boleh berjangkit. Bermula dengan takut perkara-perkara kecil yang dianggap remeh, ia berjangkit kepada keadaan-keadaan lain yang lebih besar dan berisiko tinggi.

Seperti penyakit psikologi lain, takut juga boleh dirawat. Contohnya kalau malu dengan penampilan diri, perbaikinya dengan mengubah imej diri. Gunting rambut, kilatkan kasut, pakai baju yang bergosok, mengenakan pewangi dan menjaga kebersihan gigi. Secara tidak langsung, kita telah bertukar dari takut kepada yakin diri.

Sunday, December 12, 2010

Serlahkan potensi diri

Orang berjaya menukar peluang kepada kejayaan atau ganjaran. Mereka ini merupakan orang yang belajar bagaimana untuk menempa kejayaan. Contohnya, hari ini ramai orang muda yang bersaing untuk mencari pekerjaan. Dalam persaingan ini, yang bernasib baik, mempunyai tahap pendidikan yang lebih baik, aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kokurikulum, tentulah pencari kerja jenis ini mendapat tawaran kerja yang baik. Mereka yang gagal mendapat pekerjaan tentu berasa kecewa dan ‘frust’, mungkin juga merajuk dan memasukkan dirinya dalam kategori ‘penganggur.’

Hakikatnya, orang yang gagal seperti itu boleh menempa kejayaan melalui kerja-kerja lain. Bekerja di sektor swasta adalah pilihan mudah tetapi bekerja sendiri adalah pilihan paling tepat. Kita sering mendengar ceramah tentang hasil rezeki adalah sembilan per sepuluh datang daripada perniagaan.

Saya mengenali seorang usahawan berjaya baru-baru ini yang ada bau-bau bacang dengan keluarga saya. Saya masih ingat, ketika kecil dahulu dia belajar di sekolah kampung dan bersusah-payah mencari pekerjaan. Selepas puas bekerja makan gaji, dia mula meneroka dunia usahawan. Saya agak terlopong apabila melihat dia datang ke rumah dengan Nissan Murano. Saya panggilnya Pakcik Ismail saja. Kini dia memiliki tenaga kerja seramai 40 orang dan memberi fokus pada bisnes senggaraan tanaman dan pembinaan. Pakcik Ismail bukannya pandai sangat semasa di sekolah namun semangat dan kegigihannya untuk berjaya sebagai usahawan telah mencetuskan revolusi baru dalam hidupnya.

Jadi, apabila ada orang berkata ‘mengaji tidak pandai, tidak akan jadi kaya’ tidak boleh lagi dijadikan alasan untuk menganggur kerana ramai yang membuktikan bahawa keinginan dan semangat hendak berjaya dalam bisnes telah menyerlahkan potensi diri mereka walaupun pada masa silamnya mereka ini tidak pernah mendapat nombor satu dalam peperiksaan di sekolah.

Saturday, December 11, 2010

Cara menggunakan maklumat

Kita selalu mendengar orang berkata ‘information is power.’ Ada yang bersetuju 100 peratus dan da yang tidak bersetuju. Pada saya, kenyataan ini sebahagiannya boleh diterima.

Pengetahuan merupakan potensi kuasa. Pengetahuan bertukar menjadi kuasa apabila digunakan. Jika disimpan dan terperap, ia tidak dapat memberi sebarang makna. Ada juga tokoh-tokoh dalam sains dan pendidikan yang memberi pengajaran kepada kita apa yang dikatakan ‘pengetahuan adalah kuasa.’

Einstein pernah ditanya berapa kaki ada dalam satu batu. Dia menjawab tidak tahu, ‘Kenapa saya harus memenuhi akal saya dengan fakta yang boleh saya dapati dalam mana-mana buku rujukan dalam masa dua minit?’

Henry Ford juga pernah ditanya oleh akhbar Chicago Tribune tentang tarikh berlaku Perang Revolusi, siapakah Benedit Arnold dan soalan-soalan lain sehingga dia naik berang. Lalu akhbar berkenaan memanggilnya sebagai jahil. Henry Ford menjawab, ‘Saya tidak tahu jawapannya kepada soalan-soalan tersebut tetapi saya boleh mencari orang yang tahu jawapannya dalam masa lima minit.’

Einstein dan Henry Ford mengajar tentang lebih baik menggunakan minda untuk berfikir daripada menggunakan sebahagian gudang menyimpan maklumat.

Friday, December 10, 2010

Encik menang vs encik kalah

Minda kita ibarat ‘kilang pemikiran.’ Kilang minda ini sangat sibuk kerana menghasilkan beribu-ribu buah fikiran atau idea setiap hari. Pelajar dengan caranya, guru dengan caranya, pegawai bank dengan caranya dan usahawan juga dengan caranya tersendiri.

Setiap kali mengeluarkan hasil, kilang fikiran itu dikawal oleh dua ‘penyelia’ yang sangat taat dan setia dengan kerja masing-masing. Seorang bernama encik menang, seorang lagi encik kalah. Tugas encik menang ialah mengilangkan minda yang positif sahaja iaitu menghasilkan alasan-alasan kenapa boleh, kenapa layak dan kenapa hebat.

Manakala tugas encik kalah ialah bertentangan dengan encik menang. Dia menghasilkan minda yang negatif, fikiran lemah, mencipta alasan kenapa tidak boleh, memikirkan masalah dan ‘kenapa gagal.’

Cara bekerja mereka berdua amat mudah.

Kenyataan ‘hari ini yang baik, ada ong...’ adalah untuk encik menang. Lalu dia memberi alasan dan membuktikan hari ini adalah hari yang indah. Semakin banyak kita memberi ruang kepada encik menang untuk mencipta alasan ke arah hari yang baik, encik kalah tidak mampu lagi memenuhi sebahagian besar ruang minda kita.

Gunakan encik menang 100 peratus. Dia akan menunjukkan kepada kita bagaimana caranya untuk berjaya.

Thursday, December 09, 2010

Fikiran kemenangan

Berfikiran ragu-ragu akan gagal. Fikirkan kemenangan akan berjaya. Adakah dua ayat ini boleh mengubah hidup kita?

Mungkin ada dalam kalangan orang-orang muda hari ini tidak mengetahui dengan tepat bagaimana pasar malam Gadong berhampiran Pasar Gadong bermula. Seingat saya, individu yang mencadangkan kewujudan pasar malam Gadong memiliki fikiran kemenangan kerana ideanya telah membantu memperkenalkan Brunei kepada orang luar yang mahu berkunjung ke negara itu.

Sekitar tahun 1997 hingga 1998 yang lalu, terdapat tiga hingga empat buah gerai yang menjual buah-buahan, sayur, jagung bakar, mee goreng dan nasi katok berhampiran kawasan letak kereta di bawah jejambat utama Gadong-Menglait. Setiap petang ramai orang yang memberhentikan kereta untuk membeli juadah bagi dibawa pulang. Usahawan-usahawan yang sentiasa mencari peluang berniaga mula melihat potensi kawasan berkenaan dan lama-kelamaan ia menjadi besar dan tidak lagi dapat menampung pertambahan usahawan yang hendak berniaga di situ.

Lalu keputusan diambil untuk memindahkan peniaga-peniaga ini ke kawasan lebih luas di Pasar Gadong. Peringkat awal hanya dua tiga baris peniaga yang berani mencuba. Kemudiannya ia berkembang sehinggalah menarik ramai orang datang mencari makanan di situ. Ia juga menarik perhatian kerajaan Brunei untuk memperkemaskan kawasan pasar malam, memasang khemah yang lebih berkualiti, mengawal kebersihan dan menggalakkan minat peniaga kecil-kecilan untuk mengasah bakat dan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang berkaitan keusahawanan.

Jika dulu saya hanya mengambil masa 20 minit untuk meninjau barang-barang perniagaan yang ada, kini saya terpaksa memperlahan perjalanan kerana ramai yang datang ke situ dan ia mengambil masa hampir dua jam untuk melihat semua gerai yang ada.

Wednesday, December 08, 2010

Percaya saja tidak cukup

Selepas percaya boleh melakukan, kaedah atau cara bagaimana melakukannya akan muncul selepas itu.

Ketika saya tinggal di Brunei, sepuluh tahun yang lalu, saya mengenali seorang usahawan muda yang baru berjinak-jinak dengan bisnes perkhidmatan. Namanya Shahrul, orangnya peramah dan sering senyum apabila menerangkan produk kepada bakal pembeli.

Saya fikir bisnes Shahrul dikategorikan dalam bentuk ‘apa-apa yang boleh jual, jual saja.’ Jadi, produk bisnes Shahrul boleh dikatakan ‘macam-macam ada.’ Kalau hendak buat kad bisnes, dia boleh buat. Kalau hendak minta bayarkan bil elektrik dan air, dia boleh buatkan dengan sedikit komisyen.

Masalah bisnes Shahrul ialah ‘tidak ada emas’ dalam produknya. Maksudnya ialah, Shahrul tidak memiliki perniagaan teras yang boleh menarik hati pelanggan. Walaupun dia percaya boleh menjual dan percaya boleh menjadi usahawan, kaedah dan cara untuk menggerakkan strategi menjayakan cita-citanya tidak membantunya untuk mendapatkan untung yang besar.

Dalam erti kata lain, Shahrul perlu merancang untuk memberi fokus kepada prosuk ‘emas’ nya itu.

Saturday, December 04, 2010

Mula dan akhir dengan 'Terima Kasih'

'Terima Kasih’ adalah pemberitahuan kepada orang lain bahawa kita menghargai sumbangan yang dilakukan atau yang akan dilakukan. Terdapat banyak peluang untuk mengucapkan terima kasih bagi sesuatu perkara. Sebagai contoh, jika seseorang mengirim e-mel dengan satu soalan, kita boleh membalas dengan memulakan ayat, ‘Terima kasih di atas kiriman soalan berkenaan.’ Kita mengucapkan terima kasih kerana soalan tersebut memberi peluang untuk kita berkongsi pengetahuan dan maklumat unik. Mungkin berterima kasih kerana kita sebenarnya menyukai soalan berkenaan. Dengan menjawab soalan itu, kita berasa puas, ceria dan itulah yang ingin dinyatakan sebagai tanda terima kasih.

Ramai dalam kalangan kita yang diajar untuk berkata ‘tolong’ dan ‘terima kasih’ kerana ia adalah perkataan yang sopan. Kita kerap kali melakukannya secara automatik. Bagaimanapun terima kasih boleh dibahagikan kepada tulen dan palsu. Ucapan terima kasih yang tulen adalah:

-meningkatkan harga diri kedua-dua pihak iaitu pengucap dan penerima
-memberitahu penerima (khusus) rasa hati kita
-mencipta hubungan kemanusiaan yang mesra dan penuh kepercayaan
-menjadikan suasana ceria di antara pengucap dan penerima
-meningkatkan kolaborasi dalam pasukan kerja

Selepas bermula dengan ‘terima kasih’, lebih baik juga diakhiri dengan ‘terima kasih’. Banyak ertinya jika berbuat demikian seperti kita menghargai peluang yang diberikan, ingatkan kita setiap kali ingin melakukan tugas yang ada kaitan dengan kita dan percaya di atas keikhlasan dan semangat setiakawan. Ingat, akhiri perbualan dengan ucapan ‘ terima kasih’.

Friday, December 03, 2010

Sekolah pondok, Melayu dan Sikh, SKT

Sekolah pondok

Haji Azmani, seorang jurujual kereta melambai tangan ke arah saya sebaik sahaja ternampak saya berjalan keluar dari bilik pameran kereta. Saya baru sahaja keluar dari kaunter untuk mendaftarkan kereta bagi disenggarakan. Sambil bertanya khabar, kami memulakan perbualan dengan bercerita mengenai beberapa jenis kereta baru yang dilancarkan. Kia, Hyundai, Honda, Toyota, Proton dan Perodua, semuanya jadi bahan cerita.

Kami melompat dari satu topik ke topik lain dan akhirnya topik berkaitan cuti sekolah anak-anak. Saya mengenali Haji Azmani apabila membeli kereta baru melalui khidmatnya. Beliau mempunyai empat orang anak dan seorang sahaja lagi yang masih bersekolah. Saya tanya masa cuti sekolah ini, apa yang anaknya buat? Dia kata sudah dihantar ke sekolah pondok di Muar. Bayarannya RM200 sebulan. Haji Azmani sudah agak berumur dan anak-anaknya semua sudah besar. Anak sulung bekerja dan menetap di Nilai, Seremban. Anak kedua telah bekerja dan duduk bersamanya. Anak ketiga baru tamat belajar bidang kejururawatan dan masih menunggu panggilan untuk bekerja. Anak keempatlah yang dihantar ke sekolah pondok.

Agak menarik apabila mengetahui ibu bapa mengisi masa lapang cuti anak-anak dengan menghantar mereka ke sekolah pondok. Biasanya kita hanya dengar anak-anak dihantar ke program ‘Summer Camp’ bagi dua tiga hari dengan bayaran lebih RM200. Haji Azmani berkata dia menghantar anak bongsunya supaya boleh mendalami agama, membetulkan bacaan al-quran dan belajar adab dan akhlak yang mulia. Insya Allah, sekolah pondok akan kembali mendapat tempat di hati ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mandapat ilmu agama yang terbaik.

Melayu dan Sikh

Selepas selesai servis kereta, saya menuju ke arah pasar raya besar terkenal untuk membeli barang. Sebaik sahaja melangkah masuk ke pasar raya ini, saya mencapai sebiji raga untuk isi barangan yang akan dibeli. Beberapa langkah berjalan, saya mendengar suara orang lelaki memekik dan mula melihat di sekitar. Pengunjung pasar raya memandang ke penghadang masuk dan saya mula bergerak ke arah suara berkenaan. Sebaik sahaja menjenguk apa yang berlaku, saya lihat seorang lelaki Melayu sedang mencekak kolar baju biru pekerja pasar raya itu yang berbangsa Sikh. Antara ayat yang jelas saya dengar ialah ‘Orang lain you boleh buat, dengan saya jangan main-main.’ Saya lihat muka lelaki Melayu ini sangat beremosi, marah dan geram. Saya memandang lelaki Sikh dan dia nampak gugup namun masih dapat menahan emosi. Dia juga dalam keadaan pasif dan tidak melawan. Kelihatan sedikit senyum. Lelaki Melayu tadi masih mendukung anak ketika melepaskan kata-kata marahnya, nasib baik anaknya tidak menangis.

Di belakangnya pula menyampuk seorang lelaki Melayu yang agak berumur (mungkin ayah lelaki tadi), juga sedang mendukung seorang kanak-kanak (barangkali cucunya). Dia juga mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan telinga. Antaranya ‘Panggil orang oi..oi..oi, macam kita tidak ada nama.’ Marah sungguh dua beranak ini terhadap pekerja Sikh. Pada masa yang sama dua orang petugas wanita cuba meredakan keadaan dengan mententeramkan dua lelaki Melayu berkenaan. Seorang petugas wanita yang berbadan besar meminta kedua-dua lelaki Melayu itu beredar manakala seorang lagi yang lebih kurus cuba menenangkan lelaki Sikh yang masih terkejut dan gugup. Dia bercakap dengan sopan mengharapkan pekerjanya itu faham dan dapat menggunakan bahasa dengan lebih berhemah pada masa depan apabila berhadapan dengan pengunjung.

Saya fikir kedua-dua lelaki Melayu ini tidak patut bertindak keterlaluan sambil mendukung anak dan cucu masing-masing. Jika tersinggung pun, adalah lebih baik menggunakan pendekatan yang sesuai. Jika ada kecederaan ke atas pekerja Sikh itu, pihak pengurusan pasar raya wajar membuat laporan polis untuk mendidik pengunjung Melayu berkenaan supaya tidak mengambil tindakan sendiri. Banyak saluran yang boleh dibuat seperti memaklumkan kejadian kepada pengurusan pasar raya, menegur dengan baik perlakuan pekerja itu ataupun lupakan saja kerana wujud perbezaan budaya dan cara komunikasi di sini.

Kisah ini mengingatkan saya kepada satu slot dalam filem Seniman Bujang Lapok apabila Sudin memanggil pengawal keselamatan berbangsa Sikh dengan panggilan ‘Oi’. Lalu ditegur oleh pengawal keselamatan itu dan diiyakan oleh Ramli dengan rumusan: bahasa menunjukkan bangsa.

Dalam kes di pasar raya ini, adakah kedua-dua Melayu dan Sikh itu berbahasa?

SKT

SKT adalah singkatan bagi Sasaran Kerja Tahunan. Selepas beredar dari pasar raya besar, saya menuju ke pejabat dengan harapan dapat menyelesaikan beberapa kerja. Apabila membaca e-mel, salah satu maklumat yang saya dapat ialah keperluan untuk mengisi SKT bagi tahun 2011. Saya pun mencongak-congak apa yang perlu dibuat pada tahun depan.

Itu SKT di pejabat, bagaimana pula SKT di rumah? Apa sasaran kerja untuk rumah tangga kita? Berapa banyak belanja hendak diperuntukkan, berapa banyak pula tempat yang hendak pergi, peruntukan untuk adik-beradik yang hendak berkahwin, buat kenduri-kendara dan macam-macam lagi. Makna kata, SKT dalam rumah tangga sama penting dengan SKT di pejabat. Bezanya di pejabat, bos akan melihat SKT kita tetapi dalam rumah tangga, pak mentua dan mak mentualah yang akan menilai SKT ini. Kalau rumah tidak ada kerusi sofa, meja makan, bilik tidak ada katil, berapa mereka akan bagi markah: 40, 70 atau 80 peratus? Kalau cucu mereka tidak cemerlang dalam peperiksaan, berapa pula mereka hendak bagi?

Kalau macam itu, tak payahlah SKT dalam rumah tangga!

Thursday, December 02, 2010

Percaya boleh berjaya

Kepercayaan mengerakkan kuasa untuk bertindak. Kepercayaan memberi tenaga optimis kepada minda dan fizikal untuk bergerak kepada matlamat dan sasaran. Kepercayaan akan mencetuskan ‘Saya boleh melakukannya’, berhadapan dengan semua cabaran untuk meraih kejayaan.

Saya mengenali seorang usahawan yang memiliki dua buah kilang besar. Bisnesnya berkaitan pembinaan, menyediakan taman permainan dan membuat gelanggang sukan seperti tenis, sepak takraw dan badminton. Semua bisnes ini dikembangkan selepas dia berkecimpung dalam bisnes pertama iaitu membaiki kebocoran kubah masjid.

Peringkat awal, dia dan seorang pekerja yang melakukan semua kerja pembaikan. Latar belakang usahawan ini bukannya dari pembinaan tetapi dalam pengurusan dan perakaunan. Bermula dari panjat bumbung hinggalah memasang plaster dan membuat kerja-kerja akhir, semuanya dibuat sendiri.

Rumah tangganya juga ada pahit dan manis kerana selepas empat tahun berkahwin, barulah mereka memiliki katil untuk tidur kerana wang daripada pendapatan bisnesnya disimpan sebagai modal untuk bisnes.

Hari ini syarikat pembinaan beliau memiliki 160 orang pekerja dan menerima tempahan dari Arab Saudi dan negara-negara Asean. Cawangan syarikat ada di semua negeri di Malaysia.

Friday, November 26, 2010

Strategi NGO AS memperkasa organisasi

Lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton ke Kuala Lumpur membawa erti yang sangat besar kepada hubungan dua hala khususnya ekonomi dan politik kedua-dua negara. Hillary mengadakan kunjungan hormat peringkat tertinggi selama tiga hari, kali pertama selepas Warren Christoper pada 1995. Agenda utama perbincangan ialah perjanjian persefahaman dan kerjasama sains dan teknologi.

Selain Malaysia, Hillary mengunjungi Vietnam, Kemboja, Papua New Guinea, Australia dan New Zealand.

Kunjungan ini membawa makna yang tersurat dan tersirat. Secara kasarnya, lawatan ini menunjukkan hubungan Malaysia-AS sangat penting bagi Amerika Syarikat sendiri kerana Malaysia adalah antara rakan dagangan penting negara itu. Pada 2009, sejumlah RM109.23 bilion (USD$31.03 bilion) dagangan yang melibatkan kedua-dua negara di mana AS menjadi rakan dagangan ketiga terbesar bagi Malaysia.

Malaysia dilihat semakin penting kerana pencapaian ekonomi negara yang menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan. Dalam 2010 World Competitiveness Yearbook, kedudukan Malaysia adalah di tempat kesepuluh sebagai sebuah negara paling kompetitif di dunia, terkehadapan berbanding Jerman (16), China (18) dan Jepun (27). Sebelumnya berada di tangga ke-18. Malaysia juga melangkau lima aras dari kedudukan ke-22 dalam World Economic Forum’s Financial Development Report ke kedudukan lebih selesa iaitu ke-17.

Bagi menyambut keyakinan AS ke atas Malaysia, Hillary sendiri menyaksikan penyerahan sebuah pesawat Boeing 737-800 yang berharga RM215 juta (USD$70 juta) di Subang. Pesawat itu diterbangkan khas dari Seattle memiliki kapasiti 160 penumpang. Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dikatakan telah membuat pesanan 35 pesawat yang sama sebagai sebahagian daripada proses pembesaran operasi.

Di sebalik isu ekonomi, isu-isu besar yang dijangka telah dibincangkan ialah keselamatan serantau seperti ancaman pengganas dan tindakan kerajaan Malaysia bagi membanteras pemerdagangan manusia merentas sempadan. Barangkali satu topik yang hangat ialah ancaman Islam radikal kerana ucapan Hillary turut mengaitkan ‘Global Movement of Moderates’ atau Gerakan Global Sederhana yang dicadangkan perdana menteri, Najib Tun Razak di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Walaupun kedua-dua agenda ekonomi dan politik menjadi agenda penting perbincangan, lawatan Hillary sedikit sebanyak memberi impak kepada aktiviti dan hala tuju gerakan agensi pemikir dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia. AS terkenal dengan keupayaan NGO yang bertindak di peringkat global seperti Amnesty International yang dikatakan membayangi ‘suara’ dasar hubungan luar negara itu. Barangkali strategi dan kaedah NGO di AS boleh dipelajari oleh NGO Malaysia dari semasa ke semasa.

Aktiviti NGO di negara ini masih dikatakan baru bermula kerana peranan NGO yang dilihat belum menyerlah biarpun terdapat ribuan pertubuhan bukan kerajaan yang bergerak dalam pelbagai ruang lingkup aktiviti. Kita masih membincangkan dan memperjuangkan nasib komuniti tempatan dan sekali-sekala beranjak ke luar sempadan geografi negara untuk membantu komuniti antarabangsa.

Keadaannya sama dengan NGO di Eropah. Mereka mengutamakan kajian saintifik dan melihat fakta untuk mengesahkan keupayaan menyelesaikan masalah. Walaupun NGO di benua itu bergerak di seluruh dunia, kita jarang mendengar nama-nama NGO dari Eropah berbanding AS. Kenapa keadaan ini berlaku?

Puncanya ialah sistem pentadbiran negara yang berlainan. AS mengamalkan konsep terbuka dan NGO digalakkan memperjuangkan isu-isu global namun tidak meminggirkan isu-isu tempatan yang memerlukan perhatian. Persaingan setiap NGO di AS untuk berada di dalam jaringan Capitol Hall supaya dapat mempengaruhi proses pembuatan keputusan dan merancang dasar negara menjadikan NGO di sana sentiasa bersaing dan galak membuat pelobian. Mereka juga tidak banyak bergantung kepada geran bantuan kerajaan. Kecil atau besar NGO tidak banyak mempengaruhi keupayaan dan hala tuju kerana walaupun kecil, peranan mereka ini masih lagi signifikan untuk mempengaruhi proses membuat keputusan di peringkat negara.

Peranan NGO di AS ialah memantau dasar-dasar kerajaan, membawa suara dan pandangan kumpulan, melobi untuk mendapat tempat dalam proses membuat keputusan dan membina hubungan yang lebih mesra di antara kerajaan dan rakyat. Justeru, satu strategi yang paling baik untuk diadaptasi ialah NGO di sana sentiasa berusaha berdampingan dengan pejabat Presiden dan mempastikan mereka kekal di sana. Kaedahnya ialah dengan menggunakan fenomena ‘revolving doors’ iaitu pegawai-pegawai kerajaan boleh menyertai institusi korporat dan NGO supaya proses mendapatkan maklumat akan lebih mudah. Oleh kerana pegawai-pegawai kerajaan ini juga hendakkan pengaruh dan kuasa, mereka melibatkan diri dalam proses pelobian dengan harapan kemajuan dalam kerjaya akan lebih cepat.

Kebanyakan NGO di Malaysia masih belum meluas dalam aktiviti melobi kerajaan bagi merangka dasar dan membuat keputusan kerana kerajaan masih melihat NGO Malaysia belum memiliki tahap kepakaran demikian. Pada masa yang sama kerajaan ingin mendidik NGO untuk menjadi rakan kerajaan dalam menghadapi pelbagai isu ketika ini seperti hubungan etnik, pelajaran, penempatan hinggalah kebajikan. Barangkali pada suatu hari Malaysia mampu memiliki NGO sendiri yang dikenali di peringkat antarabangsa.

Kehadiran Hillary Clinton ke Kuala Lumpur ini tidak hanya dilihat dalam aspek kepentingan negara ke negara, sebaliknya kita juga boleh melihat banyak aspek lain yang menyentuh organisasi dan gerak kerja kumpulan.

Wednesday, November 24, 2010

Anak-anak meniru dan mencontohi perbuatan ibu bapa

Antara penulis buku yang sering mendapat perhatian daripada saya ialah Dale Carnegie. Tulisan-tulisannya sentiasa segar dengan kisah-kisah yang merangsang ke arah perubahan yang lebih baik. Kali ini saya ingin berkongsi tentang ‘anak-anak meniru dan mencontohi perbuatan ibu bapa mereka.’

Carnegie memuatkan kisah ini dalam buku How To Stop Worrying and Start Living. Buku ini telah diterbitkan 15 tahun lalu dalam edisi Bahasa Malaysia.

Dalam buku ini Carnegie mengambil kisah seorang wanita yang mempunyai enam orang anak dan hidup bersama suami dan ibu mertua. Nama wanita ini ialah Viola Alexander. Dia boleh dijadikan contoh seorang ibu yang tidak pernah mengeluh jika anak-anaknya tidak berterima kasih. Semua orang di rumahnya dihormati, dilayan dan dijaga dengan sebaik-baiknya supaya mereka berasa selesa dan senang tinggal di rumahnya.

Selepas 20 tahun, Viola hidup selesa di rumah anak-anaknya. Bukan kerana ‘terima kasih’ kerana menjaga anak-anak semasa kecil tetapi kerana kehidupan indah dan penuh kasih sayang yang diberikan Viola semasa membesarkan anak-anak.

Anak-anak adalah hasil didikan kita. Kalau kita hendakkan anak-anak memiliki rasa terima kasih, ibu bapa mesti tunjukkan sikap demikian di depan mata mereka.

Monday, November 22, 2010

Perceraian banyak berpunca daripada gaya hidup

Banyak perceraian yang berlaku hari ini terutama melibatkan pasangan Islam berpunca daripada dorongan gaya hidup yang moden. Ini kerana mereka yang sudah lama berumah tangga mulai menyoal kemampuan pasangan masing-masing dalam mengisi cita rasa mereka dalam mengharung perjalanan hidup yang serba moden pada hari ini.

Setelah agak lama mendirikan rumah tangga, perhatian mungkin beralih kepada pasangan baru dengan menjanjikan perkara yang muluk sehinggakan mereka terpesona. Perhatian yang berlebihan itu juga mendorong mereka mengikut acuan perasaan yang dibentuk oleh teman baru yang mendorong mereka menuntut perceraian.

Selain itu, perasaan bosan dalam berumah tangga turut menyebabkan mereka mencari jalan keluar, lebih-lebih lagi dengan gaya hidup sekarang yang mana kita dapat melihat semakin banyak orang tidak mempedulikan status seseorang lelaki atau wanita yang didampingi itu, sama ada mereka sudah berkahwin atau tidak. Segalanya itu didorong oleh rasa suka dan menyukai dengan berpaksikan terhadap cinta yang boleh dicipta dalam sekelip mata.

Semua itu mengingatkan saya tentang seorang rakan saya yang mempunyai isteri yang cantik. Untuk mengelak isterinya mencari lelaki lain, rakan saya itu memasang strategi dan melaksanakannya iaitu menggalakkan isterinya hamil dan melahirkan anak sehingga melebihi setengah dozen.

Langkah itu diambil bagi menyekat isterinya mempunyai waktu untuk menghias dirinya dan dipandang cantik oleh lelaki lain. Ia terpaksa dilakukan kerana terdapat segelintir lelaki zaman sekarang yang tidak kisah untuk berkawan atau berkasih dengan isteri orang. Inilah yang saya maksudkan gaya hidup moden hari ini.

Selain itu, saya terpaku membaca satu laporan media mengenai lelaki yang menjalin hubungan intim dengan isteri orang akhirnya maut ditikam suami kepada kekasihnya itu. Ini juga satu contoh betapa zaman sekarang bukan lagi satu zaman yang selamat bagi pasangan suami dan isteri mengharung bahtera rumah tangga dengan aman tanpa gangguan pihak ketiga.

Berbalik kepada teman saya itu, memanglah tidak berlaku perceraian. Nampaknya kaedah yang diamalkan oleh rakan saya itu mendatangkan hasil dan boleh dicontohi oleh suami-suami lain di luar sana.

Tetapi, musibah lain pula menimpa rakan saya tadi apabila nasib tetap tidak memihak kepadanya. Ini kerana isterinya tidak secantik sewaktu sebelum berkahwin dan pada awal perkahwinan dulu. Disebabkan itu, perasaan sayang terhadap isteri mulai bertukar menjadi benci.

Pada bahagian akhir kisah mereka, rakan saya itu telah berkahwin lagi satu dengan ibu tunggal yang bekerja dan telah mempunyai dua orang anak remaja. Rakan saya itu melihat wanita yang bekerja boleh membantunya dalam menghadapi kesulitan hidup. Dengan kata lain, rakan saya tadi tidak perlu sangat memikirkan soal kewangan untuk menyara keluarga baru kerana isteri barunya bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri.

Apa yang saya ingin nyatakan di sini adalah gaya hidup zaman sekarang membuatkan pasangan-pasangan yang telah berumah tangga mudah sangat berubah hati bagi mencapai impian peribadi yang bersifat semasa.

Saya melihat impak daripada perceraian itu sendiri di mana pasangan baru sukar menerima anak-anak daripada perkahwinan pertama. Ini berlaku kepada pihak perempuan mahupun lelaki. Jadi, ke manakah hala tuju anak-anak itu nanti?. Tidakkah mereka menjadi mangsa perceraian ibu bapa yang nampaknya mementingkan diri sendiri.

Terdapat juga pihak lelaki atau perempuan menyerahkan jagaan anak-anak kepada ibu bapa masing-masing di kampung. Apabila tanggungjawab itu telah diserahkan di kampung, maka pandai-pandailah orang tua berkenaan membesarkan cucu mereka.

Namun, saya perhatikan ada anak-anak yang bernasib baik kerana mendapat perhatian dari saudara mereka yang menyekolahkan mereka sehingga ke menara ganding.

Masalah lain pula muncul apabila anak-anak ini berjaya dan mahu berjumpa dengan ibu bapa masing-masing bagi tujuan mengenang budi kerana melahirkan mereka di dunia ini. Ketika itu, terdapat pula halangan yang didorong rasa cemburu.

Kalaulah pada hari baik dan bulan yang baik, terutamanya sewaktu menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha hendak berjumpa dengan ibu bapa kandung pun sukar, maka terpaksalah mereka melupakan hasrat itu. Dalam soal ini, siapakah yang memutuskan silaturahim anak-anak dan ibu bapa kandung tadi?

Saya juga melihat impak kepada perceraian amat banyak dan saya kira ia hanya menguntungkan satu-satu pihak sahaja iaitu mereka yang mendapat pasangan baru dengan gaya hidup yang serba baru, manakala yang terpinggir adalah anak-anak daripada perkahwinan terdahulu.

ISMAIL HASHIM
Port Dickson


(Utusan Malaysia, 22 November 2010)

Monday, November 15, 2010

Sentiasa tanya tiga soalan pada diri

Frank Bettger, seorang usahawan insurans yang terkenal di Amerika Syarikat telah berjaya menjual polisi insurans bernilai jutaan ringgit.

Sebelum berjaya, Bettger pernah mencatat jualan yang rendah menyebabkannya kecewa, putus asa dan memilih sikap mengalah. Sebabnya? Sebanyak 70 peratus jualannya ditutup pada hari pertama (ertinya sengan sekali pertemuan, pelanggan gagal diyakinkan), manakala 23 peratus jualan ditutup pada hari kedua, hanya tujuh peratus jualan ditutup pada hari ketiga dan seterusnya. Tentulah dia letih kerana tujuh peratus hasil jualan polisi untuk sehari bekerja.

Namun, Bettger telah menukar strategi ini. Dia menukar kesedihan kepada harapan dan kemenangan dengan berfikir sebentar untuk menganalisis kaedah kerjanya sebelum ini. Tiga soalan yang ditanya kepada dirinya sendiri.

Pertama, apakah sebenarnya yang menyebabkan masalah ini berlaku?
Kedua, bagaimana saya dapat menyelesaikan masalah ini?
Ketiga, apakah jawapannya?

Selepas menjawab ketiga-tiga soalan ini, dia telah mengubah teknik menjual. Dia tidak lagi membuat temu janji kedua sebaliknya mencari pelanggan baru. Hasilnya? Dalam waktu yang singkat dia dapat menaikkan nilai setiap kunjungan daripada $280 kepada $427.

Sunday, November 14, 2010

Selesai masalah cara Aristotle

Setiap hari kita sentiasa berhadapan dengan konflik dan krisis yang hebat untuk membuat keputusan yang tepat dan memuaskan hati. Contohnya agak sukar untuk memilih calon suami atau calon isteri kerana kasih sayang dan cinta semata-mata belum tentu akan bahagia. Begitu juga sukar untuk memilih institusi pengajian tinggi yang kita suka kerana pihak penaja biasanya mahu pelajar pergi ke universiti pilihan mereka. Banyak lagilah masalah yang dihadapi seperti perniagaan, perundingan dan hubungan dua hala yang lebih rumit.

Kali ini saya ingin mendedahkan penyelesaian masalah yang dikemukakan oleh Aristotle. Langkahnya mudah dan mampu memberi panduan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

Pertama, cari dan dapatkan semua maklumat atau fakta yang ada.
Kedua, analisis atau fikirkan maklumat-maklumat tersebut.
Ketiga, buat keputusan dan bertindak sesuai dengan keputusan berkenaan.

Mencari maklumat boleh guna banyak sumber seperti buku, majalah, jumpa pakar pengalaman orang lain atau internet. Apabila sudah ada maklumat, ia tidak banyak membantu kita melainkan ditulis dengan jelas. Masalah yang dinyatakan dengan jelas adalah masalah yang hampir dapat diselesaikan.

Friday, November 12, 2010

Sabar menunggu doa dikabulkan

Semasa membuat kajian mengenai topik ‘syura’, saya terjumpa sebuah buku yang sangat menarik tentang kisah Nabi Muhammad saw iaitu ‘Biografi Muhammad bin Abdullah: perjalanan hidup seorang nabi’. Dalam buku ini, terdapat kisah di mana Rasulullah saw menahan sabar ketika tali perut unta yang berdarah dan bernajis diletakkan di atas kepalanya ketika sujud.

Selepas anaknya, Fatimah membuang kotoran berkenaan, baginda saw bangun, memerhati gelagat orang-orang yang menghinanya. Baginda saw berdoa sambil menyebut nama setiap orang daripada mereka. Agak lama juga doa tersebut diperkenankan. Dikatakan nama-nama yang disebut Rasulullah saw telah menerima balasan masing-masing iaitu terbunuh dalam perang Badar.

Moral cerita ini ialah kita jangan sekali-kali gopoh dalam berdoa. Gopoh di sini bermaksud seseorang yang telah lama berdoa tetapi belum juga dimakbulkan lalu dia berkata, ‘Aku sudah berdoa dan berdoa, tetapi tidak dimakbulkan lagi oleh Allah’. Bagi orang Islam, insya Allah diingatkan oleh baginda saw, ‘Akan dikabulkan doa seseorang daripada kamu selagi dia tidak gopoh dengan Tuhan’.

Dalam era serba canggih hari ini, semuanya hendak cepat dan segera. Alangkah bahagia jika kita dapat bersabar dalam berdoa kerana jaminan doa dimakbulkan adalah daripada Rasulullah saw sendiri, bukannya orang lain.

Tuesday, November 09, 2010

Jiwa lemah kerana sedih

Akibat buruk kerana sedih, kecewa dan bimbang sangat menakutkan. Seorang wanita muda yang cantik, ayu dan jelita akan sampai masanya menjadi seorang wanita yang kulit berkedut, layu dan kelihatan tua. Bagi lelaki, rambut yang hitam bertukar menjadi putih. Kedua-dua ini, sama ada wanita atau lelaki, akan berhadapan dengan fenomena semula jadi yang tidak dapat dihalang.

Ada perbezaan yang sangat ketara di antara orang yang bahagia dan orang yang derita. Setiap tahun di Amerika Syarikat, lebih ramai yang mati kerana membunuh diri kerana sedih hati berbanding mati kerana diserang penyakit berjangkit.

Kesedihan umpama air yang menitis tidak henti-henti di atas kepala. Titisan air yang menitik ke atas kepala lama-kelamaan dirasakan seperti pukulan kuat yang boleh membunuh. Sakitnya sangat kuat. Satu titisan air yang gugur menyebabkan kita meraung sekuat hati.

Dalam filem Ibu Mertuaku, Kassim Selamat (lakonan P. Ramlee) menjadi buta kerana terlalu sedih mengenangkan nasib isterinya. Titisan kesedihan yang sentiasa jatuh tidak berhenti boleh mengundang kepada masalah jiwa yang lebih dahsyat.

Ingatlah,kesedihan hati harus dibayar dengan harga yang mahal iaitu kesihatan diri.

Thursday, November 04, 2010

Sakit perut kerana pengaruh emosi

Joseph Montague, pengarang buku Nervous, Stomach Trouble (Gangguan Saraf Perut) berkata, ‘Kita tidak akan menderita kerana luka di perut disebabkan makanan yang dimakan. Kita menderita luka pada perut kerana sesuatu yang dimakan.’ Bezanya ialah ‘makanan yang dimakan’ dan ‘sesuatu yang dimakan.’

Klinik Mayo di Amerika Syarikat telah membuat satu penyelidikan ke atas 15,000 orang pesakit yang menderita kesan daripada gangguan pada perut mereka. Hasil kajian ini mencatatkan empat daripada setiap lima orang pesakit yang menderita sakit perut, sebenarnya tidak disebabkan oleh sakit fizikal. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘luka pada perut kerana sesuatu yang dimakan.’

Penyebab utama daripada gangguan sakit perut dan luka ini disebabkan oleh rasa takut, sedih, benci, ego dan tidak berupaya untuk bertindak balas dengan perubahan hidup yang dilalui. Ramai juga yang terlantar di katil-katil hospital adalah mereka yang menderita akibat gangguan saraf yang disebabkan oleh gangguan kegagalan, kecewa, bimbang, sedih hati, kalah dan putus asa.

Dr WC Alvarez, pengamal perubatan dari klinik tersebut berkata, ‘Luka sering kali mengganas dan berkurangan sesuai dengan turun naiknya tekanan emosi.’

Wednesday, November 03, 2010

Hidup bertangguh-tangguh

Hidup kita kerap kali dipengaruhi oleh anggapan atau nasihat-nasihat yang dikaitkan dengan masa hadapan. Pengalaman hidup orang yang lebih dewasa menjadikan kita cenderung menerima bulat-bulat nasihat mereka tanpa menyedari persekitaran telah berubah. Kadang kala ia membawa akibat yang tragik dan menepati peribahasa ‘sesal kemudian tidak berguna lagi.’

Seorang penulis Barat, Stephen Leacock berkata, ‘kehidupan kita ada pada diri kita sendiri, setiap saat, setiap jam dan setiap hari.’ Beliau melihat ramai orang yang membiarkan hidup mereka berlalu dan beredar umpama ‘angin sepoi-sepoi bahasa.’

Anak kecil berkata: Apabila saya besar nanti! Anak yang sudah besar berkata: Apabila saya sudah dewasa! Sebaik sahaja dewasa, mereka berkata pula: Apabila saya sudah berkahwin! Akhirnya selepas berkahwin dan bersara, dia akan berkata: Apa ertinya saya hidup, esok lusa saya akan mati!

Ketika masa hidup dan masih sihat, boleh bergerak ke sana sini dengan mudah, lebih baik kita menikmatinya dan memberikan sumbangan kepada masyarakat supaya apabila kita mati, khazanah peninggalan kita akan menjadi saksi kepada usaha-usaha kebajikan yang dilakukan ketika hidup.

Tuesday, November 02, 2010

Tiga cara hendak berjaya

William Osler pernah ditanya oleh pelajar-pelajar di Universiti Yale tentang kehebatannya yang menjadi perhatian umum iaitu profesor di empat universiti dan menulis buku-buku terkenal. Tentulah beliau memiliki ‘otak yang cemerlang, berkualiti dan istimewa.’

Beliau menjawab anggapan tersebut tidak benar kerana kawan-kawannya sendiri menyatakan otaknya ‘berkualiti sederhana.’ Jadi, apakah rahsianya dia menjadi hebat dan terkenal? Apakah formula hidupnya?

Osler selalu dan akan terus berpegang pada ‘masa yang terbatas’ iaitu melaksanakan tugas dan pekerjaan pada hari ini dengan cara yang paling baik, senang hati dan menggunakan seluruh kemampuan diri. Setiap hari seharusnya menjadi hari yang bahagia, ceria dan menyeronokkan. Lupakan masa lepas, maafkan orang lain dan mulakan setiap hari dengan doa.

Monday, November 01, 2010

Kesungguhan mencipta kejayaan

Kejayaan pasukan Kelantan menjuarai Piala Malaysia edisi 2010 disambut meriah oleh semua orang Kelantan dan para penyokong. Selepas tiga kali mencuba iaitu 1955, 1970 dan 2009, kini Kelantan termasuk dalam kelompok pasukan yang pernah menjulang Piala Malaysia. Kesungguhan berlatih dan bermain secara terbuka di gelanggang menjadikan kemenangan adalah milik mutlak mereka.

Dalam apa juga permainan, kesungguhan adalah salah satu ciri yang memisahkan di antara pemenang dan tewas. Kejayaan diukur dengan sejauh mana pemain mempamerkan keupayaan bergerak lincah di atas padang dan bijak merancang strategi biar pun dalam keadaan tertentu dianggap tidak melawan. Andai setiap orang pemain memiliki ciri kesungguhan dalam setiap gerak kerja mereka, sudah tentu pasukan berkenaan akan bergerak sebagai pasukan yang dinamik dan sentiasa mencari ruang untuk menewaskan pasukan lawan.

Tidak seperti kekalahan, kejayaan perlukan banyak perkara yang berada di luar batasan kudrat. Kejayaan perlukan masa, tenaga, fikiran dan keazaman yang betul-betul difahami dan dilaksanakan. Semua ini mesti diadun dengan perancangan yang berkesan dan ada tempoh yang disasarkan. Kita ambil kejayaan syarikat-syarikat besar peringkat global seperti Toyota, Coca-Cola atau FedEx yang mampu mengekalkan jenama sehingga ke hari ini walaupun telah bertahun-tahun terlibat dalam bisnes. Ada juga syarikat dan institusi korporat yang berusia ratusan tahun jatuh muflis dan dibubarkan kerana nilai-nilai kejayaan telah merosot dalam kalangan pekerja.

Kesungguhan mencapai kejayaan adalah cabaran yang merumitkan kerana ia menyebabkan minda dan fizikal terpaksa bekerja di luar kebiasaan. Pola tidur, makan atau bersosial turut berubah kerana memenuhi tuntutan kejayaan. Tidak ada yang mudah untuk mencapai kejayaan kerana sifat-sifat berjaya itu sendiri adalah bekerja kuat, bersungguh-sungguh dan bijak merancang untuk mencapai matlamat.

Sunday, October 31, 2010

Belajar simpan gaji bulanan

Wang simpanan setiap bulan akan bertambah apabila kita berbalanja secara berhemah. Wang bertambah ertinya sebaik sahaja mendapat gaji, cepat-cepat menyimpan sejumlah wang yang sepatutnya, kemudian barulah berkira-kira untuk belanja. Bukannya selepas habis belanja beli itu dan ini, baru hendak menyimpan.

Membuat simpanan bulanan perlukan disiplin diri, jadikannya sebagai rutin diri dan sebaik-baiknya keluarga. Jangan dilihat sangat berapa banyak yang kita boleh simpan tetapi bagaimana kita boleh membuat simpanan secara berterusan.

Masih belum terlambat untuk merancang simpanan. Mulai dengan RM100 sebulan. Dalam masa lima atau sepuluh tahun, kita tentu dapat melihat hasilnya. Namun, awas. Banyak dorongan dan tarikan yang menggoda untuk berbelanja. Iklan di televisyen, surat khabar dan internet sentiasa merayu-rayu supaya duit kita mengalir keluar tanpa dapat dikawal. Kempen jualan murah juga kadang kala mencairkan hati yang sedang bersemangat hendak menyimpan.

Friday, October 29, 2010

Azam untuk berubah

Azam dan tekad untuk menjadi berani, kuat dan berkuasa mesti lahir dari kesedaran diri untuk berubah. Sebarang kelemahan diatasi dengan membina azam sedikit demi sedikit supaya lahir keyakinan untuk bertindak. Apakah contoh-contoh keazaman yang boleh dibuat atau dibentuk secara sedikit-sedikit ini?

Mahu baiki keadaan diri

Membaiki diri boleh dilakukan dalam banyak aspek seperti meningkatkan pengetahuan sama ada formal ataupun tidak formal, membina kemahiran asas dan lanjutan supaya tidak bergantung kepada orang lain, seterusnya memperelokkan penampilan diri supaya disenangi oleh orang lain yang berada di sekeliling.

Mahu jadi lebih baik daripada ibu bapa

Anak-anak pada hari ini hidup dalam era yang jauh berbeza daripada ibu bapa mereka. Sebaik sahaja mereka buka mata, lebih banyak kemudahan yang ada di sekitar khususnya dalam pendidikan dan perkembangan teknologi. Pekerjaan juga semakin banyak dan persaingan semakin sengit. Jika dulu perancangan kewangan tidak menjadi keutamaan, kini ia menjadi salah satu daripada elemen ktirikal untuk persaraan. Anak-anak hari ini lebih terdedah kepada pelbagai maklumat dan mereka lebih peka berbanding ibu bapa.

Berubah daripada keadaan sekarang ke suatu keadaan yang lebih baik

Dalam hidup, kita banyak terlibat dalam aktiviti organisasi atau berkumpulan. Antaranya terlibat dalam perbincangan dan pelaksanaan di peringkat jawatankuasa kerja, membuat keputusan dalam hal ehwal rumah tangga dan boleh juga bangun malam untuk menunaikan solat tahajjud sebagai elemen penting membina hubungan dengan Tuhan.

Mahu capai kejayaan

Tugas kita bukan sahaja sebagai anak, sebaliknya semakin bertambah. Umpamanya di tempat kerja, peranan kita mungkin sebagai pegawai, pekerja profesional, pengarah dan sebagainya. Silang tugas ini menjadikan peranan kita semakin kompleks dan perlu diurus dengan sabik-baiknya. Insya Allah jika peranan ini dapat dilaksanakan dengan sempurna, kejayaan berada di hadapan kita biarpun tidak mengumpul harta yang banyak.

Thursday, October 28, 2010

Jutawan muda

Masyarakat dunia khususnya di negara-negara maju melihat pencapaian material adalah ukuran terbaik kepada kesejahteraan hidup. Jika dulu mereka berlumba-lumba mencari kekayaan dengan bekerja kuat (melalui prinsip ekonomi berteraskan modal), kini konsep bekerja telah beralih kepada maklumat dan teknologi maklumat. Masyarakat Amerika Syarikat sangat berbangga apabila mereka dapat menunjukkan kepada dunia bahawa negara itu mempunyai jumlah jutawan yang paling ramai. Syarikat-syarikat utama juga telah berada di seluruh dunia dan menjadi jenama global.

Ada nama-nama besar jutawan muda Amerika Syarikat yang muncul dalam tempoh 15 hingga 20 tahun lalu. Bilangan jutawan muda ini muncul lebih cepat apabila Internet berkembang dan menjadi sebahagian daripada hidup masyarakat.

Antara jutawan muda yang menjadi ikon mereka ialah pengasas Facebook.com iaitu Mark Zuckerberg, pemilik Dell Computers iaitu Michael Dell dan pengasas myyearbook.com, Catherine Cook. Kecuali Dell, dua orang lagi menjadi jutawan ketika belum mencecah usia 30 tahun. Sebenarnya, setiap tahun jutawan muda muncul di Amerika Syarikat malah ada dalam kalangan mereka yang masih di sekolah tinggi.

Selepas mengetahui jutawan-jutawan muda ini, mari kita lihat nasihat mereka untuk orang-orang muda hari ini.

‘Orang-orang muda adalah pintar.’ Mark Zuckerberg, Facebook.com

‘Anda perlu ada keghairahan terhadap pekerjaan yang dilakukan.’ Michael Dell, Dell Computers

'Berhenti daripada berfikir tentang sesuatu perkara, mulakan sekarang apa yang kamu fikirkan.’ Catherine Cook, myyearbook.com

‘Jika seseorang mulai ragu-ragu syarikat anda dan apa yang anda lakukan, biarkan saja.’ Juliette Brindak, MissOandFriends.com

Tuesday, October 26, 2010

Guna kaedah operasi semut

Dalam apa juga bisnes, kerja atau aktiviti, pelanggan atau orang ramai adalah penting. Peniaga yang hendak keuntungan besar perlu mempastikan produknya sampai ke pengetahuan pelanggan dengan segera supaya pesaing tidak sempat memasarkan produk mereka. Bagi pelajar yang sedang mentelaah buku, mereka juga hendak berjaya dalam aktiviti utama iaitu mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan.

Kita beri perhatian kepada peniaga. Bagaimana hendak menjual produk terus kepada pelanggan ketika persaingan semakin meningkat? Apakah masih perlu menggunakan kaedah konvensional seperti mengiklankan produk di surat khabar atau majalah? Atau adakah masih perlu menampal poster di sana sini dengan harapan pelanggan akan datang membeli?


Bagi peniaga kecil-kecilan dan industri kecil dan sederhana, dicadangkan kaedah yang digunakan oleh industri
direct selling iaitu berniaga pintu ke pintu dan operasi semut iaitu face to face.

Pintu ke pintu adalah kaedah gempur yang kerap digunakan oleh peniaga yang baru memperkenalkan produk mereka dan tidak memiliki biaya yang besar untuk mengiklankan produk. Kaedah ini perlukan tenaga dan masa yang banyak kerana semua pintu rumah adalah sasaran. Kemungkinan untuk semua pintu dibuka tidak mungkin kerana ada pelanggan yang enggan menerima penjual.


Kaedah operasi semut nampaknya lebih baik kerana sesiapa sahaja yang dijumpai adalah prospek. Mereka boleh jadi remaja, pekerja kerajaan atau pesara. Sesipa sahaja boleh dijadikan pelanggan. Kaedah ini juga perlukan masa yang banyak kerana sasaran pelanggan adalah secara rawak.


Peniaga yang berani dan memiliki daya saing yang tinggi akan menggunakan kedua-dua kaedah ini dengan harapan dapat memperkenalkan produk dan pada masa yang sama membina keyakinan pelangan untuk terus menggunakan produknya. Bukan sahaja menjual, sebaiknya mendidik pelanggan untuk menggunakan produk yang terbaik kerana pelanggan amat menghargai maklumat yang diberikan.

Monday, October 25, 2010

Kenapa awak potong dua ikan ni?

Seorang remaja perempuan memotong seekor ikan di dapur sebuah restoran. Bahagian kepala dan ekor ikan itu digoreng sekali dalam kuali. Tiba-tiba masuk seorang pengurus untuk meninjau pekerjanya. Dia bertanya, 'Kenapa awak potong ikan ini?' Remaja perempuan menjawab dengan yakin, 'Saya tengok mak saya potong, jadi saya pun potonglah, encik.'

Pengurus restoran tidak puas hati.

'Baik, cuba awak telefon ibu awak dan tanya kenapa dia potong ikan ni semasa goreng.'

Kemudiannya remaja itu mengambil telefon dan menghubungi emaknya.

'Mak, kenapa mak potong ikan semasa nak goreng dalam kuali?'

Jawab emaknya, 'Aku pun tak tau. Aku tengok nenek kau buat macam tu, aku pun ikut potong la...'

Tidak puas hati dengan jawapan ini, remaja perempuan itu menghubungi neneknya dan bertanya kenapa dipotong ikan kepada bahagian kepala dan ikan semasa goreng.

Lalu dijawab nenek, 'Oh... kau tak nampak ke, kuali ni kecil, aku kena potong dua untuk goreng ikan tu...'

Budaya meniru kadang kala kurang baik kerana kita tidak tahu apa yang baik. Oleh itu, jika melakukan sesuatu, kita perlu tahu sebab-musabab supaya tidak jadi pak turut.

Thursday, October 21, 2010

Beritahu mak ayah bila hendak keluar

Ibu bapa sangat bimbang jika anak-anak mula meminta izin untuk keluar rumah kerana dalam fikiran mereka, macam-macam tanggapan yang ada. Adakah anakku ini betul-betul hendak jumpa kawan? Adakah anakku ini betul-betul hendak ke kelas tuisyen? Banyak lagi pertanyaan yang timbul di fikiran mereka.

Bagaimana anak-anak khususnya remaja boleh mendapatkan kepercayaan ibu bapa supaya hati mereka tidak risau?

1. Cakap benar
Beritahu apa yang kita hendak buat, keluar dengan siapa, pergi ke mana, bila hendak pulang dan sebagainya. Jika telah membuat salah, akaui kesilapan dan mohon maaf daripada mereka serta mulai baiki hubungan.

2. Beritahu aktiviti
Komunikasi hari ini lebih mudah dengan telefon bimbit. Maklumkan di mana kita berada supaya hati emak dan ayah menjadi tenang.

Kepercayaan ibu bapa sangat penting kerana mereka adalah tempat kita mendapat kasih sayang, tunjuk ajar dan bimbingan. Paling penting ialah ibu bapa yang percaya kepada kita akan terus mendoakan kesejahteraan hidup kita di dunia dan akhirat.

Wednesday, October 20, 2010

Kahwin tanpa cinta

Dari mata turun ke hati. Dari hati ke jinjang pelamin lalu menjadi raja sehari. Ikatan dua keluarga disatukan dan bertambah erat. Jauh menjadi dekat, kemesraan bertambah mekar dan segar.

Biasanya pasangan yang sedang hangat bercinta mengambil keputusan untuk mengukuhkan lagi hubungan mereka dengan mengikat tali pertunangan. Ia menjadi tanda yang kedua-duanya membuat persediaan mental, emosi, spiritual dan fizikal supaya dapat bersedia dengan alam rumah tangga. Majlis bertunang dibuat dalam suasana sederhana diiringi doa selamat dan majlis kenduri untuk keluarga.

Tempoh bertunang adalah tempoh persediaan. Ia bukannya tiket untuk membawa anak dara orang keluar berjalan-jalan cari makan, bukan juga ruang untuk menambah dosa dengan berpegangan tangan. Namun, bagi golongan yang enggan mengikut aturan agama, mereka beranggapan tempoh bertunang sudah boleh menjadi lesen untuk keluar bersama-sama supaya dapat kenal hati budi masing-masing. Ketika ini hidup terasa indah seolah-olah dunia ini mereka yang punya.

Bagaimana pula pasangan yang bertunang tetapi tidak pernah bercakap melalui telefon, tidak pernah ‘dating’ dan tidak pernah bercakap secara semuka? Satu-satunya sistem hubungan ialah melalui SMS dan e-mel. Adakah pasangan seperti ini tidak mampu membina cinta dan bahagia?

Sebaik sahaja majlis perkahwinan, kenduri-kendara diadakan mengikut kemampuan keluarga. Ada memilih di rumah, dewan orang ramai dan hotel. Biasanya kawasan rumah sudah memadai untuk jemputan menjamu selera kerana kos yang lebih murah. Ada pula pasukan kompang dan dee jay jemputan pasang siap yang menghiburkan jemputan.

Apakah sebenarnya yang kita buru atau hendak dapatkan dalam perkahwinan? Adakah ia lambang status, prestij atau meriah? Apa guna belanja terlalu mahal dan berlebih-lebihan apabila setahun dua berkahwin, rumah tangga mula berhentakan? Semua kisah peribadi ketahui umum. Apa guna menjemput ribuan orang namun terpaksa menanggung hutang berpanjangan?

Konsep berkahwin yang tepat telah diberi Rasulullah saw. Kahwinlah kerana telah cukup sifat dan bersedia menjadi pemimpin keluarga. Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a, diriwayatkan daripada Alqamah r.a katanya: Aku pernah berjalan-jalan di Mina bersama Abdullah r.a. Kami bertemu dengan Othman r.a yang kemudian menghampiri Abdullah r.a. Setelah berbincang beberapa ketika, Othman r.a bertanya: Wahai Abu Abdul Rahman: Mahukah aku jodohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah-mudahan perempuan itu akan dapat mengingatkan kembali masa lampaumu yang indah. Mendengar tawaran itu Abdullah r.a menjawab: Apa yang kamu ucapkan itu adalah sejajar dengan apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w kepada kami: Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu.


Mungkin ada di antara kita yang pernah bercinta dan berangan-angan hendak berkahwin dengan lelaki atau wanita yang cantik tetapi di mana akhir kesudahannya? Cantik hanya pada usia muda apabila umur meningkat, kulit muka mulai kendur dan hilang serinya.

Allah swt telah menyatakan dengan jelas dan tegas bahawa orang beragama adalah pilihan terbaik. Apabila dua kekuatan bersatu, ia menjadi tenaga yang kuat dan memberi manfaat kepada orang lain. Insya Allah, anak-anak yang didik dalam suasana soleh dan solehah akan berkembang menjadi individu yang mantap dengan akidah, berakhlak mulia dan memahami benar-benar tujuan hidup.


Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud: Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan paling indah ialah wanita solehah. (Hadis riwayat Muslim)

Tuesday, October 19, 2010

Menangi hati kawan

Jika kita keseorangan, maknanya kita tidak cukup kawan. Cara hendak mencari kawan hari ini tidak perlu lagi keluar rumah, cukup dengan melayari Internet dan memasuki laman sembang sosial. Dalam seminggu dua, kita sudah ada ramai kawan.

Semasa berkawan, ada banyak petua untuk mengekalkan persahabatan. Jangan merungut tentang orang lain yang tidak berterima kasih jika kita sendiri tidak berterima kasih. Saya percaya, jika kita memberi kebaikan kepada rakan-rakan kita, suatu hari nanti kebaikan tersebut akan datang kembali kepada kita. Jika bukan dari rakan-rakan, mungkin dari orang lain yang kita tidak kenal.

Jika kita memberi cinta, insya Allah cinta akan datang kembali, sama ada cepat atau lambat. Seperti juga keinginan dihargai orang lain, tunjukkan penghargaan kita. Dua perkataan yang indah tetapi jarang didengar: Terima Kasih. Gunakan dengan kerap dan kita akan mendengar berulang-ulang kali. Terima kasih.

Monday, October 18, 2010

Bebaskan pergerakan anak-anak

‘Aaa...yah..’ sambil senyum, anak lelaki saya memanggil nama abahnya. Sebaik sahaja saya duduk di kerusi untuk menghilangkan dahaga, dia datang menerpa. Inilah kali pertama saya mendengar anak lelaki yang berusia setahun empat bulan ini memanggil nama abahnya. Mungkin kerana dendam kerana sudah dua hari tidak berjumpa. Sebaik sahaja pulang dari Brunei, dia tidak lekang daripada saya malah kadang-kadang buat-buat meragam untuk mengambil hati abahnya. Menangisnya pun jenis menangis hendak dipujuk dan didukung.

Sebelum ini saya pernah dengar dia menyebut ‘mekkk...’ untuk memanggil umminya. Itupun ketika menangis. Bahagianya hidup apabila anak memanggil ayahnya. Dunia rasa besar dan hebat. Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan kegembiraan ini.

Anak-anak yang kecil dan sedang membesar menjadi aktif apabila mereka mulai dapat mengimbangkan badan untuk bergerak ke sana-sini. Dunia mereka sangat luas dan mula menjelajah ke merata tempat. Kadangkala ibu bapa tidak menang tangan untuk menjaga dan melayan telatah mereka. Asalkan pintu rumah dibuka, mereka akan menerpa keluar tanpa mempedulikan sesiapa.

Walaupun ibu bapa memerhati ke mana anak-anak pergi, jangan sekali-kali lepa kerana banyak kes yang berlaku di mana anak-anak meninggal dunia kerana terjatuh perigi, dilanggar kereta dan lemas dalam kolam. Keghairahan anak-anak kecil ini memang sukar dikawal tetapi perlu juga diingat, mereka tidak boleh dijerkah atau dimarah kerana dunia mereka adalah dunia kasih sayang, dunia mesra dan dunia yang penuh keceriaan. Tanpa suara dan keletah anak-anak kecil seperti ini, rumah terasa sunyi dan dunia terasa sepi. Biarlah anak-anak menjerit dan bergembira asalkan mereka membesar dengan keyakinan diri yang tinggi dan mahu mencuba apa sahaja yang mereka inginkan.

Sunday, October 17, 2010

Telinga merah, hati panas tapi ok!

Bermain badminton menjadi rutin mingguan saya. Rakan sepasukan yang kerap bermain rata-ratanya sudah veteran tetapi tangkas di gelanggang. Ada yang bekerja sendiri, pesara kerajaan dan pekerja swasta.

Setiap kali berlawan, saya berpasangan dengan pemain veteran yang cepat panas baran, serba-serbi tidak kena. Dua kali lawan, kedua-duanya kalah. Apa lagi, marahlah rakan saya ini, ada -ada saja perkataan dan teguran yang keluar dari mulutnya. Jika bulu tangkis tidak melepasi jaring ketika 'smash', dia akan merungut dan meninggikan suara. Kalau pukulan balik atau libasan tangan terlalu lemah, lagilah marah.

Sesekali saya rasa hendak marah juga dan kadang-kadang sengaja memukul bola tangkis keluar gelanggang kerana ingin meningkatkan rasa marahnya di samping seronok melihat reaksi orang yang marah ini. Sesekali saya sengih melihat telatahnya. Sesekali juga telinga saya rasa panas tetapi lawan tetap lawan.

Selepas kalah, kami kena keluar gelanggang dan kedua-duanya bermuka masam. Ketika hendak pulang, kami bersalaman dan kembali senyum dan berbual-bual. Telinga merah, hati panas tapi okey, tidak ada masalah.

Saturday, October 16, 2010

Wanita yang tidak mengeluh

Antara penulis buku yang sering mendapat perhatian saya ialah Dale Carnegie. Tulisan-tulisannya sentiasa segar dengan cerita yang mendorong perubahan hidup. Salah satu buku yang menarik ialah 'How to stop worrying and start living'. Kisahnya tentang anak-anak meniru dan mencontohi perbuatan ibu bapa mereka.

Dalam buku ini Carnegie mengambil cerita seorang wanita yang mempunyai enam orang anak dan hidup bersama suami dan ibu mertua. Wanita tersebut boleh dijadikan contoh seorang ibu yang tidak pernah mengeluh jika anak-anaknya tidak berterima kasih. Semua orang di rumahnya dihormati, dilayan dan dijaga dengan sebaik-baiknya supaya mereka berasa selesa dan senang tinggal di rumahnya.

Selepas 20 tahun, wanita ini hidup selesa di rumah anak-anaknya. Bukan kerana membalas budi menjaga anak-anak semasa kecil tetapi kerana kehidupan indah dan penuh kasih sayang yang diberikan semasa membesarkan anak-anak.

Anak-anak adalah hasil didikan kita. Kalau kita hendakkan anak-anak memiliki rasa terima kasih, kita, ibu bapa mesti tunjukkan sikap sedemikian di depan mata mereka.

Friday, October 15, 2010

Lihat depan mata

'Our main business is not to see what lies dimly at a distance, but to do what lies clearly at hand,' ayat ini merupakan serangkai kata yang ditulis oleh Thomas Carlyle. Terjemahannya ialah tindakan utama yang patut kita lakukan bukannya melihat apa yang tidak dapat diketahui tetapi melaksanakan apa yang dilihat dengan helas di hadapan mata.

Serangkai kata begini bagi sesetengah orang amat biasa dan mereka tidak mahu bertindak tetapi bagi mereka yang memahami bahawa bertindak berdasarkan realiti adalah penting, mereka mula merancang berdasarkan sumber yang ada. Umpamanya, seorang pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan pasti tertekan dengan pengajiannya kerana mungkin dia tidak dapat keputusan yang baik, mungkin gagal dalam peperiksaan dan terkandas pengajian. Mungkin juga menjadi penganggur sebaik sahaja tamat belajar.

Biar apapun yang yang berlaku, serangkai ayat ini pasti boleh membantu kita untuk membentuk kehidupan yang lebih baik dan bebas daripada kesedihan dan kebimbangan.