Wednesday, January 14, 2009

Usahawan kristal dan permata

Bisnes ini banyak melibatkan wang. Dengan RM80,000, anda dapat membuka galeri barangan kristal, perak dan emas sadur. Tetapi mampukah anda hendak membuka sebuah perniagaan yang macam ini? Jika anda mampu, silakan. Jika tidak, idea ini boleh anda fikirkan.

Berminat dengan kecantikan, personaliti yang menawan dan ramah dengan orang, cukup bagi anda untuk memulakan langkah kecil menjual barang hiasan ini sama ada kristal, permata ataupun emas sadur.

Ketika saya belajar di universiti dulu, seorang pelajar wanita kerap membawa satu set barang perhiasan diri termasuk rantai, cincin dan gelang. Semuanya untuk aksesori wanita. Di samping itu ada juga katalog. Setiap kali berjumpa bakal pelanggan, beliau akan membuka mulut bagi mempromosi bisnes kecilnya itu. Saya tidak tahu apa yang telah berlaku kepadanya sekarang, barangkali telah menjadi usahawan sepenuh masa.

Contoh syarikat besar yang berjaya menjual kristal dan permata ini banyak. Antaranya ialah D'Little Asia. Syarikat diterajui oleh usahawan wanita yang berpengalaman bekerja di syarikat inventori dan perkapalan.

Kejayaan D'Little Asia terletak pada pemilihan lokasi yang tepat, harga yang berpatutan dan sederhana, rekaan kristal yang memenuhi cita rasa dan sentiasa mengambil tahu perkembangan semasa rekaan kristal dan aksesori.

Belanja yang banyak untuk mengubah suai ruang pameran memang tidak boleh dielakkan kerana bisnes jenis ini memerlukan bakal pelanggan melihat jenis kristal atau permata itu. Tambahan pula barang-barang ini perlu dijaga dengan baik dan nampak sempurna setiap masa.

Jadi, jika anda hendak menjual kristal dan permata, pastikan anda memilih tempat laluan orang ramai supaya mereka dapat melihat barangan jualan anda itu.

No comments:

Post a Comment