Sunday, November 23, 2008

Perbetulkan salah faham antara agama - Raja Nazrin

oleh Arshad Khan

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berharap Malaysia dapat memainkan peranan yang besar untuk memperbetulkan salah faham antara agama yang semakin memecahbelahkan masyarakat dunia pada masa ini.

Baginda bertitah, negara ini berada dalam posisi yang sesuai untuk berbuat demikian kerana berjaya mempertontonkan bahawa pembangunan ekonomi dan teknologi adalah sepadan dengan ajaran Islam.

''Malaysia diiktiraf sebagai contoh negara Islam yang moden, berkembang dan sederhana serta boleh menjadi suara dalam perdebatan global bagi memperbetulkan salah faham antara agama,'' titah baginda pada Seminar Antarabangsa Ufuk Baru Pengajian Islam di sini hari ini.

Raja Nazrin bertitah, keperluan untuk negara ini menjadi pemain global dalam meredakan krisis salah faham agama amat mendesak terutama dalam beberapa tahun kebelakangan ini di mana perasaan ingin tahu masyarakat dunia berhubung ajaran sebenar Islam begitu mendesak.

''Motivasi di sebalik keinginan ini bukan sahaja disebabkan keinginan intelektual, tetapi oleh kesedaran bahawa Islam adalah satu kuasa yang dinamik dalam orde semasa dunia,'' titah baginda.

Baginda bertitah, dalam keadaan yang mana keinginan ke arah ajaran Islam bertambah tanggapan bahawa agama itu adalah monopoli mana-mana satu kumpulan budaya, negara, wilayah atau benua bukan sahaja tidak lagi relevan, malah membawa ke arah pengertian yang salah.

''Ia wujud di peringkat global sebagai sebuah agama sejagat dan hanya boleh difahami dengan baik dalam kerangka kerja seumpama itu,'' titah baginda.

Baginda seterusnya bertitah, wujud juga keperluan untuk memperbetulkan tanggapan salah bahawa Islam sekadar hanya upacara keagamaan dan peraturan yang diterjemah dalam perundangan sempit, tetapi ia sebenarnya meliputi semua aspek kehidupan.

[Utusan Online, 23/11/2008]

No comments:

Post a Comment