Friday, October 26, 2007

Pakistan di persimpangan

Letupan yang kuat menggegarkan Karachi ketika menyambut kepulangan bekas perdana menteri, Benazir Bhutto dari pelarian selama lapan tahun. Keriangan bertukar menjadi tragedi. Sehingga kini tidak ada siapa yang mengaku bertanggungjawab. Polis menyalahkan pengebom berani mati dan dengan pantas telah mengenal pasti kepala penyerang berkenaan.

Tetapi Benazir, wanita cekal yang masih berpengaruh menuding jari ke arah agensi perisikan Pakistan, Intelligence Bureau. Ada saksi yang melihat bom disusun dengan rapi di tempat kejadian dan hanya menunggu masa untuk diletupkan.

Sudah menjadi kelaziman banyak pihak di Pakistan untuk menuduh pengebom berani mati yang bertanggungjawab ke atas setiap letupan di tempat awam, kadangkala dituduh puak militan atau kumpulan al-Qaeda.

Jumlah 136 orang terbunuh bukannya satu jumlah yang kecil. Dengan bilangan mangsa yang mati dan cedera, kita dapat bayangkan betapa kuatnya letupan berkenaan dan sangat sukar untuk mempercayai tindakan ini dilakukan oleh seorang penyerang.

Pengalaman saksi di tempat kejadian dapat memberi gambaran bagaimana keadaan letupan itu berlaku. Saksi yang enggan namanya didedahkan berkata beliau mendengar letupan kecil berhampiran jambatan Karsaz dan berlari ke arah kawasan selamat. Beliau dimaklumkan bunyi berkenaan adalah letupan tayar kereta tetapi sejurus selepas itu, berlaku letupan kedua yang lebih hebat. Sangat kuat sehingga memercikkan bola api ke seluruh kawasan perhimpunan berkenaan.

Beliau meluru ke arah mangsa letupan untuk melihat sendiri kesan letupan yang berlaku. Apa yang dilihatnya sangat menggerunkan. Mangsa terbaring berlumuran darah, menjerit meminta bantuan dan menangis ketakutan. Ada yang meraung menahan sakit.

Politik Pakistan jarang aman daripada konflik yang meragut nyawa. Pemimpin naik dan turun silih berganti. Balas dendam, kuasa dan politik anak-beranak menjadi agenda di sebalik kacau-bilau dan kematian.

Situasi di Pakistan dilihat melibatkan dua pihak iaitu Jeneral Musharraf, pemimpin tentera dan Benazir Bhutto. Pemimpin buangan, Nawaz Shariff tidak sealiran dengan Musharraf kerana beliau ditumbangkan oleh jeneral tentera berkenaan. Justeru, Nawaz tidak mahu menerima tawaran untuk berbaik-baik dengan Musharraf. Benazir ada rancangan lain.

Beliau tidak ada masalah dengan Musharraf kerana permusuhan peribadi Benazir hanya dengan Jeneral Zia-ul-Haq yang mengarahkan hukuman gantung ke atas bapanya, Zulfikar Ali Bhutto. Tambahan pula Benazir mahu berunding dan tawar-menawar dengan Musharraf.

Walaupun lama berada di luar negara, Benazir Bhutto masih ada penyokong yang fanatik dan setia. Didakwa dengan rasuah dan didapati bersalah tidak menghalang penyokongnya daripada mempertahankan pengaruh politik beliau. Faktor simpati ke atas Zulfikar Ali Bhutto memberi peluang kepada Benazir untuk cuba mengembalikan keluarga Bhutto ke tampuk kuasa di Pakistan.

Kedua, masyarakat Pakistan masih ramai yang buta huruf iaitu hampir 50 peratus daripada 165 juta orang. Majoriti adalah miskin dan tidak kisah apa yang dunia kata ke atas negara sendiri. Golongan ini akan terus menyokong pemimpin seperti Benazir, dan tentulah Benazir sendiri akan mendapat manfaat di atas buta huruf dan kemiskinan rakyat Pakistan ini.

Masa depan Benazir selepas ini sukar untuk dipastikan dalam arena politik Pakistan. Beliau menerima jambangan bunga di sebalik dakwaan rasuah. Penyokong kuatnya hanya di Sindh yang sentiasa bersama beliau ketika susah dan senang, manakala di Punjab, Balochistan dan NWFP, tidak banyak yang beliau boleh harapkan.

Letupan di Karachi mengundang simpati ke atas Benazir. Tetapi jarak lapan tahun berpisah dalam politik Pakistan dilihat agak lama dan sukar bagi penyokong Benazir untuk melancarkan kempen pilihan raya yang agresif. Bagaimanapun dalam senario politik Pakistan, selagi ada masyarakat yang buta huruf, miskin dan tidak berpendidikan, pemimpin sepertinya akan terus mendapat peluang untuk kembali meraih kuasa politik.

No comments:

Post a Comment