Saturday, November 04, 2006

Remaja dan nilai diri

Remaja hari ini akan mewarisi masyarakat dan generasi yang sedia ada pada masa kini. Remaja juga menjadi penentu kepada kegemilangan bangsa dan tamadun. Menjadi pewaris sesuatu masyarakat tentulah memerlukan jati diri bangsa yang kuat, utuh dan berkualiti khususnya modal insan. Bangsa yang hebat adalah bangsa yang memiliki dan sentiasa meningkatkan kualiti modal insan mereka dari semasa ke semasa.

Di Asia Tenggara, bangsa Melayu mendiami kepulauan Indonesia, Malaysia, Brunei, Selatan Thailand, Filipina, Kemboja dan Singapura. Sejarah di sekitar Asia menunjukkan beberapa buah tamadun yang dibentuk dan dikuasai oleh orang Melayu seperti Srivijaya, Majapahit, Funan, Champa dan Perlak dan Melaka telah berjaya melahirkan masyarakat yang unggul dalam ekonomi, perdagangan, pertahanan dan pembangunan politik. Selain mewarisi tamadun-tamadun ini, mereka juga mewarisi salah satu tamadun agung dunia iaitu tamadun Islam yang telah membuktikan keupayaannya mengangkat martabat ummah. Kedua-dua tamadun ini adalah warisan yang sangat berharga untuk orang Melayu.

Walaupun tamadun Melayu sangat singkat masa gemilangnya, namun memberi keyakinan bahawa Melayu boleh menjadi hebat jika betul-betul ingin memilikinya.

Perkembangan dan peredaran zaman meletakkan nilai dan budaya orang Melayu turut berubah. Perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan adalah kemuncak kepada kekuatan akal dan fizikal Melayu bagi membina kekuatan bangsa. Peperangan berdarah oleh panglima-panglima tersohor seperti Mat Kilau, Datuk Maharaja Lela, Rentap dan ramai lagi disambung dengan peperangan mental dan diplomasi oleh Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan pemikir-pemikir Melayu yang lainnya. Pencapaian kemuncak ialah mendapatkan kemerdekaan tanpa menumpahkan darah pada 31 Ogos 1997.

Bangsa yang baru merdeka memiliki nilai-nilai perjuangan yang sejati. Agresif, bersemangat, tinggi daya juang dan patriotik adalah antara ribuan nilai positif yang wujud pada setiap individu yang menghayati dan merasai nikmat merdeka. Negara yang bebas merdeka adalah bebas menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

Masyarakat yang lahir selepas merdeka tidak dapat menceritakan nikmat dan bahagianya apabila mendapat kemerdekaan. Justeru, mereka tidak dapat menceritakan perasaan yang sebenar menjadi rakyat di sebuah negara yang merdeka. Apa yang boleh digambarkan ialah perasaan berada di sebuah negara yang telah bebas daripada penjajahan.

Inilah yang dialami oleh remaja yang lahir 30 atau 40 tahun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Mereka terputus hubungan dengan nikmat berjuang masa silam dan apa yang ada adalah realiti sekarang, melihat pembangunan negara, menjayakannya dan bersedia membina sebuah tamadun yang cemerlang pada suatu hari nanti.

Dalam proses ke arah itu, terdapat beberapa halangan yang dihadapi oleh para remaja kita pada hari ini. Anak-anak muda Melayu yang berlumba-lumba menceburi bidang hiburan, terhibur dengan adegan drama cinta dan hantu, berpeleseran dan terlibat dengan kerosakan akhlak adalah tanda-tanda kemerosotan kekuatan sesuatu bangsa.

Program-program yang dirancang ini telah memecahkan nilai-nilai sedia ada yang mendominasi masyarakat Melayu. Anak-anak muda Cina pada hari ini telah terdedah dengan pelbagai fesyen pakaian dan penampilan diri hinggakan untuk mencari anak Cina yang pakai cheongsam pun susah. Masyarakat Melayu masih tebal dengan adat dan tradisi. Pakaian tradisi seperti baju kurung dan baju Melayu masih dipakai setiap hari lebih-lebih lagi pada hari-hari keraian. Oleh itu, apakah masalah sebenar orang Melayu pada hari yang dikatakan lemah dalam pelajaran, akhlak yang semakin merosot dan menghadapi kebebalan dalam pembangunan sosial?

Masalah sebenar Melayu ialah nilai. Masyarakat ini sedang berhadapan dengan krisis nilai yang telah bermutasi. Peubahan ini adalah kesan daripada pemecahan nilai-nilai tradisi lama akibat asakan bertalu-talu nilai-nilai luar melalui media, politik, ideologi, sosial dan pemodenan corak pendidikan. Nilai-nilai baru ini menggantikan nilai lama melalui proses rasionalisasi, logik dan dapat diterima akal berasaskan zaman moden.

Pembangunan kawasan luar bandar yang pesat adalah sebagai satu strategi bagi melahirkan masyarakat yang maju dan membasmi kemiskinan. Tatkala pembangunan ini terus berlangsung, golongan yang miskin, tercicir dalam pelajaran dan hidup daif akan terus terpinggir kerana lemahnya nilai-nilai bersaing dan ingin maju dalam diri.

Di kawasan bandar, pengekalan nilai-nilai tradisi sentiasa dipertahankan dan diperkukuhkan melalui gotong-royong, berkhatan dan kenduri kahwin. Dalam masa yang sama, pendidikan yang diterima memberi nafas baru terhadap pembentukan nilai-nilai positif bagi disesuaikan dengan kehidupan di bandar.

Anak-anak muda di bandar mudah terpengaruh dengan aktiviti tidak sihat turut disebabkan perubahan persekitaran seperti reka bentuk rumah, kawasan istirahat dan perubahan sosialisasi. Mat Rempit adalah fenomena remaja bandar khususnya yang naluri mudanya ditujukan pada kelompok sosial yang gilakan persaingan sebagai menggantikan kuda lumba. Agaknya kalau Mat Rempit ini diberikan kuda seorang seekor, bolehlah mereka berlumba dengan selamat. Tetapi kuda tidak lagi relevan untuk berlumba kerana penjagaannya sukar berbanding motosikal EX-5, Kapcai atau skuter.

Masalah sosial seperti Mat Rempit ini tidak akan menjadi masalah kepada masyarakat dan agensi penguatkuasa jika mereka yang terlibat adalah cerdik dan terdidik. Di sinilah peranan pendidikan dilihat mampu membuat perubahan besar terhadap kepincangan sosial dalam masyarakat ini. Kurikulum di sekolah amat baik untuk merubah nilai lama dan digantikan dengan nilai baru. Pemikir dan agensi kerajaan sewajarnya memberi peruntukan dan masa yang banyak untuk memikir bagi menjadikan anak-anak generasi muda Melayu lebih pintar dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment