Monday, February 23, 2015

Suria Kencana biografi Jins Shamsudin







Penulis: Mohd. Zamberi A. Malek
Tahun: 1998
Penerbit: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.
Muka Surat: 357

Pada zaman kanak-kanak, Jins Shamsudin termasuk dalam jenis yang nakal dan keras kepala. Jiwanya sentiasa resah-gelisah. Sejak kecil juga, beliau tidak suka dipermainkan. Selalunya beliau dianggap nakal. Watak jahat itu kemudiannya meletakkan dirinya setanding denga artis-artis besar dalam dunia perfileman Melayu di Singapura.

Malah, beliau pernah mendapat jolokan Yul Brayner Malaysia kerana watak dan gayanya yang mirip pelakon Hollywood itu.

Di tangan P. Ramlee, namanya diangkat dalam Panca Delima, empat dekad yang lalu. Sejak itu bermulalah jatuh bangun beliau dalam dunia perfileman sebagai pelakon, pengarah dan pengeluar filem.

Sepanjang perkembangannya, dunia perfileman Melayu menghadapi saingan daripada filem Barat, Hindustan dan Indonesia. Sejak studio di Singapura gulung tikar, filem Melayu menghadapi pelbagai masalah.

Demikian juga halnya dengan kehidupan Jins Shamsuddin. Beliau melalui tiga perkahwinan. Perkahwinan pertama bersama Rahmat Rahmat dan dikurniakan seorang anak lelaki, Jefri. Rumahtangganya bersama Rahmah Rahmat tidak bertahan lama. Perkahwinan kedua bersama Jamilah Sukor dan mendapat seorang anak iaitu Hang Tuah @ Shazrin dan perkahwinan ketiga bersama Halijah Abdullah dan mendapat Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim. Isterinya yang ada sekarang jarang dibawa ke tengah masyarakat. 

Biografi beliau ini menyingkap segala suka duka filem Melayu dan kisah peribadinya yang belum pernah diceritakan sebelum ini.


Sunday, February 22, 2015

Kemalangan ragut mangsa kecil










Kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Ayer Keroh baru-baru ini sangat menyayat hati. Bayi berumur berumur 20 bulan meninggal dunia akibat dihempap kereta yang dipandu bapa sendiri, manakala ibunya, cedera parah.

Saya sempat melalui kesesakan lebuh raya semasa kemalangan ini berlaku. Kejadian tersebut boleh dilihat di sini.

Oleh kerana saya menggunakan kamera rakaman yang diletakkan pada cermin hadapan kereta, keadaan kemalangan dapat dilihat dengan jelas. Kereta Perodua Viva hampir remuk pada bahagian bonet hadapan dan tayar kereta sebelah kiri hampir terjungkil keluar.

Kemalangan begini biasa berlaku di PLUS. Banyak faktor yang menyumbang antaranya sikap pemandu yang memandu melebihi had laju. Adalah biasa melihat kereta yang dipandu laju melebihi 110 kilometer sejam, berdesup hilang sekelip mata. Ia melibatkan semua jenis kenderaan termasuk bas dan lori.

Selain itu, sikap tidak mahu bersabar dan hendak sampai segera ke destinasi menjadi punca nahas yang lebih parah. Keadaan ini kerap berlaku pada sebelah pagi iaitu selepas subuh hingga pukul sembilan pagi. Masa ini kenderaan lebih banyak di atas jalan raya dan semuanya hendak sampai cepat.

Ada kalanya terdapat kenderaan yang rosak di bahu jalan yang tidak memasang sebarang tanda amaran menyebabkan penunggang motosikal merempuh belakang kenderaan tersebut. Ada juga longgokan tayar pecah di tengah jalan yang menyebabkan kenderaan lain di belakang melanggar dan terbabas ke kiri dan kanan jalan.

Ada yang lebih parah apabila kenderaan yang laju bertali arus tidak sempat mengelak binatang yang melintas dan membrek secara mengejut menyebabkan kenderaan di belakang tidak sempat mengelak. Biasanya mangsa lebih parah dalam keadaan begini.

Susah juga hendak mendidik pemandu lebuh raya supaya lebih berhati-hati dengan suasana gelap sebelah pagi. Walaupun ada lampu di kiri dan kanan jalan, sikap tidak berhati-hati menjadikan pemandu dan pengguna lain sebagai mangsa.

Wajar bagi PLUS mengambil inisiatif membanyakkan info keselamatan lebuh raya di samping meningkatkan kesedaran pengguna terhadap keselamatan diri melalui kualiti permukaan jalan (banyak laluan bertampal) dan tambah papan tanda. Di samping itu pasukan polis trafik perlu lebih berhemah dalam membuat perangkap had laju seperti memaklumkan dahulu kawasan operasi mereka supaya pemandu sedar bahawa kelajuan mereka sedang direkodkan. Inilah kebaikan membuat informasi lebih awal berbanding keadaan sekarang iaitu berselindung di sebalik tiang atau pokok-pokok yang menghiasai laluan tengah lebuh raya.


Saturday, February 21, 2015

Fokus pada penyelesaian









Ahli falsafah, Bertrand Russel menyebut, “kebolehan mengekalkan konsentrasi adalah kunci kepada pencapaian yang hebat”, manakala ahli sosiologi Robert Lynd berkata, “ilmu pengetahuan hanya bermanfaat kepada orang yang tahu fakta mana yang patut ditinggalkannya’. 

Kedua-dua mereka menyebut tentang berfikir dengan fokus iaitu menumpukan perhatian kepada sesuatu isu. 

Banyak manfaat jika kita miliki pemikiran fokus seperti memberi tenaga dan kekuatan ke arah pencapaian matlamat, memberi idea untuk berkembang dengan sempurna, menjelaskan matlamat hidup dan boleh membaiki keadaan hidup ke tahap yang lebih baik.

Contoh fikiran fokus memberi kekuatan adalah menyelesaikan masalah matematik yang rumit, dengan fokus, kita lebih banyak memikirkan penyelesaian. 

Lebih sukar sesuatu masalah, lebih banyak kita kena fokus.


Friday, February 20, 2015

Banyak berjalan luas pandangan









Sekiranya mahu merebut peluang baru dan membuka horizon hidup yang baru, kita perlu membuka pandangan dan berusaha belajar daripada setiap pengalaman. 

Pelbagai jenis pengalaman, sama ada positif atau negatif dapat membantu kita melihat gambaran yang lebih jelas. Apa yang lebih penting adalah belajar menikmati kejayaan dan meneladani kegagalan. 

Lebih banyak pengalaman dan pencapaian yang kita miliki, lebih tinggilah potensi kita untuk belajar banyak perkara yang berbeza. Pengalaman memberi panduan bagaimana cara bertindak yang terbaik. 

Sebab itulah dikatakan orang yang banyak pengalaman melihat tepat orang lain, mengembara atau banyak membaca untuk menambah maklumat.


Thursday, February 19, 2015

Teroka kemahiran baru










Orang yang berjaya sentiasa belajar daripada pengalaman sendiri dan juga pengalaman orang lain. 

Cara belajar pengalaman orang lain boleh dilakukan dalam banyak cara seperti berbincang, mendengar syarahan, berbual-bual atau membaca buku. Orang lain ini boleh jadi rakan sosial, pelanggan pekerja atau jiran tetangga. 

Mencari pelajaran yang benar-benar memberi pengalaman ialah melalui sifat penerokaan ke dunia kemahiran baru, jangan berhenti belajar, teruskan mencari ilmu-ilmu baru yang meluaskan pengalaman dan jaringan ilmu supaya kita kenal kebenaran dan kepalsuan supaya kita dapat bezakan yang mana satu jalan kejayaan dan yang mana satu jalan kegagalan.


Wednesday, February 18, 2015

Banyakkan buat kebajikan









Saya berkongsi dengan anda kata-kata seorang penulis berbangsa Perancis, “nilai hidup ini tidak terletak pada bilangan hari dalam hidup kita tetapi bagaimana kita menggunakan hari-hari tersebut”. 

Kehidupan kita hanya sekali di dunia dan kita boleh memilih bagaimana menjadikan hidup ini suatu yang terbaik. Ada orang yang umurnya panjang sehingga 90 tahun, sumbangannya kepada masyarakat sangat banyak. 

Pada saya orang begini sangat beruntung. Ada orang yang umurnya sekitar 50 tahun, banyak juga berfikir memajukan keluarga dan masyarakat, saya juga katakan dia sangat beruntung. 

Ada yang berumur 20 tahun, masih belajar tetapi sumbangannya kepada masyarakat tidak banyak. Dia juga beruntung kerana dapat belajar. 

Jadi, siapa yang tidak beruntung? Tidak kira berapa umur kita, orang yang beruntung adalah paling banyak membuat kebajikan.