Saturday, August 08, 2015

Masalah sosial remaja makin runcing







Masalah sosial dalam masyarakat yang melibatkan kehamilan remaja luar nikah semakin kronik di negara kita. Seorang pelajar perempuan berumur sebelas tahun yang melahirkan bayi lelaki baru-baru ini sangat mengejutkan kerana belum pernah berlaku di Malaysia.

Di samping kita bersimpati dengan pelajar tersebut, kita juga mengecam suspek yang mengambil kesempatan ke atas pelajar berkenaan. Walau bagaimanapun peranan ibu bapa dan keluarga juga wajar dilihat semula kerana ia berlaku di kawasan pinggir bandar yang mana nilai-nilai kekeluargaan dan keagamaan dipegang utuh.

Beberapa persoalan yang boleh kita tanya untuk mengetahui kenapa dan bagaimana kes ini boleh berlaku. Persoalan besar ialah siapakah yang menyebabkan mangsa mengandung? Media melaporkan suspek telah pun dikenal pasti, namun kita mahu suspek tersebut dibawa ke muka pengadilan kerana berlaku zalim terhadap masa hadapan pelajar berkenaan.

Hamil di luar nikah akibat rogol, sama ada mangsa kecil atau besar, merupakan satu bentuk pencabulan maruah kerana mangsa akan mengalami trauma berpanjangan. Statistik kehamilan luar nikah sentiasa dikemas kini supaya dapat dijadikan rujukan bagi usaha-usaha mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja.

Di Malaysia, kesedaran masyarakat terhadap mangsa masalah sosial masih belum meluas. Contohnya dalam kes rogol, masih banyak keluarga yang merasa malu dan enggan menerima anak-anak mangsa rogol kerana menjatuhkan maruah keluarga. Kesannya, mangsa rogol terpaksa meraih simpati kepada agensi kerajaan atau agensi kebajikan untuk meneruskan masa depan, membesarkan anak dan bantuan sara hidup. Peranan berterusan agensi kerajaan yang sentiasa meminta masyarakat menyalurkan maklumat mangsa rogol kepada mereka di samping memberi sokongan kepada keluarga mangsa telah mengubah sedikit demi sedikit persepsi masyarakat. Namun usaha ini belum mencukupi.

Pertubuhan bukan kerajaan yang berfokuskan kebajikan juga boleh berperanan memberi sokongan kepada mangsa rogol. Sokongan emosi sangat kritikal supaya mangsa dapat mengembalikan kekuatan diri untuk bersemangat mengubah hidup. Bantuan geran tahunan boleh disalurkan kepada NGO yang berminat supaya beban menjaga kebajikan ini dapat dikongsi bersama oleh kerajaan dan masyarakat.


Pelajar sekolah rendah atau menengah yang hamil di luar nikah tidak boleh diteruskan kerana ia menjejaskan sistem sosial masyarakat. Pihak keluarga yang bertanggungjawab ke atas anak-anak perlu serius menjaga anak-anak mereka supaya tidak terjebak dengan masalah sosial, jenayah, penagihan dadah dan sebagainya.

Friday, August 07, 2015

Sumbangan peniaga kecil terhadap perkembangan sosioekonomi setempat









1.0 Pengenalan

Mengkaji pengaruh ekonomi yang dibawa oleh peniaga kecil (terutamanya gerai-gerai burger) kepada masyarakat di sekitar bandaraya Melaka.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengkaji sumbangan yang diberi oleh peniaga-peniaga kecil di sekitar kawasan setempat, mengkaji usaha-usaha yang dijalankan untuk mengembangkan perniagaan mereka dan memberi pendedahan kepada pelajar tentang penubuhan sesebuah perniagaan kecil dan sumbangannya terhadap sosioekonomi setempat.

1.2 Lokasi Kajian

Bandar Hilir Melaka

1.3 Jenis Perniagaan

Gerai burger


2.0 Hasil Dapatan

2.1 Latar belakang perniagaan

  • Ditubuhkan oleh Encik Saifuddin pada tahun 2008.
  • Mempunyai seorang pembantu.
  • Bertempat di Bandar Hilir, Melaka.
  • Berniaga secara kecil-kecilan.
2.2 Objektif perniagaan

  • Menjana pendapatan sampingan.
  • Mengisi masa lapang pada waktu malam.
 2.3 Cara perniagaan beroperasi

  • Mula berniaga pada jam 6 petang hingga larut malam.
  • Beroperasi secara tunai.
  • Menjual pelbagai jenis burger seperti oblong, hotdog dan sebagainya.

3.0 Cabaran semasa perniagaan ditubuhkan

  • Masalah untuk mendapatkan modal.
  • Mencari lokasi yang strategik.
  • Tidak diyakini oleh rakan-rakan.
  • Masih belum dikenali ramai.
  • Kesukaran untuk mendapatkan bekalan elektrik.

3.1 Cabaran semasa perniagaan beroperasi

  • Terpaksa melayani kerenah pelanggan yang pelbagai.
  • Persaingan daripada gerai-gerai makanan yang lain.
  • Cuaca yang tidak menentu.
  • Tidak cukup tangan.

4.0 Impak perniagaan terhadap sosioekonomi

  • Memudahkan orang ramai untuk mengisi perut.
  • Mendorong generasi muda untuk menceburi bidang keusahawanan.
  • Menambah pendapatan disamping meningkatkan taraf hidup.
  • Melatih masyarakat untuk lebih berdikari.

5.0 Perkembangan perniagaan

  • Telah membuka cawangan perniagaan yang baru.
  • Peralatan yang digunakan dinaik taraf dari semasa ke semasa.
  • Semakin dikenali ramai.

6.0 Penambahbaikan pada masa akan datang

  • Mencipta jenama sendiri setanding dengan jenama-jenama terkenal.
  • Menkomersialkan bidang francais pada golongan muda.
  • Mencipta resipi baru yang boleh diterima ramai.

7.0 Kesimpulan

Kita harus berani mencuba sesuatu yang baru seperti bidang keusahawanan agar kita dapat meningkatkan lagi sosioekonomi diri dan masyarakat setempat.


Thursday, August 06, 2015

Langkah perubahan







Dalam hidup kita, apa sahaja yang kita mahu lakukan, adalah lebih baik bermula dengan memohon rahmat Allah swt. Firman Allah swt dalam Surah Ali-Imran, ayat 159 yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu Muhammad) engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu) dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kamu. Oleh itu, maafkan mereka (terhadap kesalahan mereka terhadap kamu) dan pohonlah keampunan bagi mereka. Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau berazam (sesudah bermesyuarat untuk melakukan sesuatu) maka bertawakal kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat mengasihi orang yang bertawakal pada-Nya”.

Membuat perubahan diri, perubahan dalam keluarga atau perubahan dalam organisasi sekali pun, adalah lebih baik bermula dengan memohon rahmat Allah swt, berdoa kepada-Nya dengan harapan gerak kerja yang kita hendak lakukan akan mendapat rahmat Allah swt.

Rahmat Allah swt dizahirkan dalam banyak surah seperti Al-Baqarah ayat 253, Al-Maidah ayat 20 hingga 26 dan Az-Zukhruf ayat 55 hingga 56. Dalam buku Indeks Al-Quran oleh Afzalur Rahman, penulis berkenaan menyenaraikan 17 surah yang menerangkan rahmat Allah swt, namun dianggarkan terdapat 127 ayat yang menyebut tentang rahmmat Allah swt secara langsung dan tidak langsung.

Selepas memohon rahmat Allah swt, tindakan ke arah perubahan mestilah dibuat secara lemah-pembut, berhemah atau beradab supaya tujuan perubahan itu dapat dicapai atau dilihat perubahannya. Dalam konteks hari ini, pendekatan lemah-lembut ini boleh dipecahkan kepada kaedah fizikal dan psikologi. Sasaran yang dikenal pasti perlu dilihat kecenderungan mereka menerima apa-apa nasihat atau teguran. Ada sesetengah orang yang lebih mudah menerima nasihat secara santai sebaliknya ada yang perlu diberi amaran lisan dengan wajah yang menampakkan ketegasan. Namun, ada juga yang tidak dapat diberikan secara psikologikal, sebaliknya perlukan belaian fizikal. Orang jenis ini lebih mudah menerima perubahan apabila diajak minum bersama, tepuk-tepuk bahu, sentiasa bersama dalam aktiviti atau majlis sosial. Pendek kata, kelembutan ini memerlukan kebijaksanaan.

Peringkat ketiga ialah memaafkan kesilapan atau keterlanjuran kerana tindakan itu lebih baik daripada meneruskan hukuman. Memaafkan kesilapan ini perlukan kekuatan hati dan kewarasan fikiran supaya ia tidak menjadi ungkitan pada masa depan. Orang yang sedia memaafkan adalah orang yang berjiwa besar kerana sanggup melupakan perkara-perkara lepas.

Dalam tradisi masyarakat Melayu, istilah berpakat sering kali digunakan sebagai lambang bersama-sama membuat kerja. Atas semangat berpakat inilah al-quran menganjurkan kita bermesyuarat supaya dapat berbincang bagi mencapai keputusan. Dalam mesyuarat inilah lahirnya pelan tindakan yang difikirkan terbaik. Idea-idea yang dilontarkan telah disaring dan diperhalusi supaya menepati kehendak perubahan yang diingini.

Akhirnya, bertawakal kepada Allah swt selepas membuat keputusan. Konsep tawakal ini ialah berserah kepada Allah swt kerana ia memberikan kekuatan dan keberanian. Allah swt pasti menempatkan mereka yang sabar dan bertawakal ini dalam keadaan yang terbaik semasa masih di dunia dan diberi pahala yang banyak.


Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui. Mereka itu (ialah) orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya. (An Nahl, ayat 41-42)