Sunday, July 20, 2014

Puasa di Brunei

 
 
 



Menyambut puasa di Brunei merupakan pengalaman yang menarik. Suasana aman dan tenang di ibu negara Bandar Seri Begawan amat memudahkan tugasan saya kali ini. Tiga hari dua malam tidak terasa kerana sebahagian besar masa dipenuhi dengan aktiviti ke sana-sini.

Tiba di lapangan terbang antarabangsa yang baru dan masih dalam proses disiapkan, pelancong mungkin tidak biasa dengan papan tanda dan tempat-tempat yang ditetapkan. Mereka boleh keliru dengan kedudukan bilik air kerana tanda dan warna biru bilik air lelaki dan perempuan yang sama di samping reka bentuk juga tidak banyak perbezaan. Jika warna berbeza ia tentu banyak membantu pelancong yang baru datang kali pertama. Saya cadangkan warna biru untuk bilik air lelaki dan warna merah jambu untuk bilik air perempuan.

Bandar Seri Begawan masih seperti dahulu. Dahulu bermaksud sepuluh hingga 15 tahun lepas. Di sini tidak ada bangunan tinggi mencakar langit, tidak ada gedung membeli-belah yang besar, tidak banyak motosikal dan yang penting tidak ada kesesakan jalan raya.

Kompleks yayasan, bangunan bank HSBC, terminal bas dan teksi, pusat perdagangan bumiputera, pasar tamu Kianggeh, kampung air, Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, sekolah Cina dan sebuah gereja kecil masih berada di situ. Tempat-tempat ini masih boleh dilihat dengan jelas dari Hotel Terrace yang dulunya dikenali sebagai Ang’s Hotel.

Perubahan yang ketara ialah kawasan lapang berhampiran Kampung Sumbiling yang telah didirikan bangunan mahkamah syariah. Dulunya kawasan ini dipenuhi pokok-pokok dan dijadikan kawasan meletak kenderaan. Begitu juga bangunan PGGMB yang dulunya usang kini telah digantikan dengan bangunan moden dan lebih tinggi di tapak yang sama. Pembinaan terbengkalai yang bertentangan dengan bangunan PGGMB masih kekal seperti itu.

Pengangkutan awam di Brunei masih boleh dipertingkatkan khususnya teksi dan bas. Laluan perjalanan bas awam dibezakan dengan warna badan bas dan nombor. Kebanyakan pemandu bas di sini terdiri daripada warga asing sama ada Indonesia atau India. Kebanyakan pekerja India di sini bekerja dalam sektor perkhidmatan seperti buruh dan pekerja restoran. Majoritinya beragama Islam. Ada juga pekerja India ini yang telah lama bermastautin di Brunei dan memiliki perniagaan sendiri seperti kedai makan dan dobi.

Pekerja asing yang lain datang dari Filipina (perkhidmatan), Thailand (pembinaan), Nepal (keselamatan), Indonesia (pembinaan) dan Malaysia (profesional, perkhidmatan, pendidikan dan pelaburan).

Di Brunei, gerai bazar Ramadhan utama disediakan di dua tempat iaitu kawasan parkir Stadium Hassanal Bolkiah dan pasar Gadong. Saya hanya sempat melawat pasar Gadong sebelah malam tetapi tidak sempat ke stadium. Katanya gerai Ramadhan di stadium lebih besar dan mencari tempat meletak kenderaan merupakan cabaran. Di kawasan letak kenderaan bertentangan Lapau didirikan khemah jualan sempena musim perayaan kali ini. Ianya kelihatan meriah sebelah malam denga kunjungan pembeli.

Selesai tugasan pada hari pertama, saya terus ke gedung membeli-belah Hua Ho di kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk mencari “kacang senyum” iaitu kacang yang mesti dicari untuk dibawa pulang. Di kompleks yayasan, sayap kanan dan kiri bangunan ini dimuatkan dengan lot-lot kedai jualan barangan komputer, telefon bimbit, kasut, pakaian dan kedai jam. Ada juga kedai buku dan restoran termasuk KFC dan Jollibee.

Sayap satu lagi merupakan gedung Hua Ho yang besar. Saya selalu meninjau harga barangan di sini untuk dibandingkan dengan harga di Kuala Lumpur. Ada sesetengahnya lebih mahal sedikit dan ada sebahagiannya agak murah. Barangan yang dijual kebanyakannya diimport dan lebih berkualiti seperti pakaian, alat mainan kanak-kanak dan barangan elektrik. Harga kamera berjenama, kamera kenderaan dan aksesori penampilan diri saya dapati lebih murah sedikit.

“Kacang senyum” saya dapati berada di bahagian bawah gedung yang diletakkan di satu kawasan kacang. Satu kilogram berharga B$17.40 atau kira-kira RM43.50, harga yang jauh lebih baik jika kita membeli kacang ini di Kuala Lumpur iaitu seratus gram berharga antara sepuluh hingga sebelas ringgit, bergantung pada syarikat pengeluar. Kali ini saya membeli lima kilogram “kacang senyum” kerana harganya masih berpatutan. “Kacang senyum” ini akan dihidangkan kepada tetamu pada hari raya nanti.

Masa berbuka puasa di sini lebih awal iaitu pukul 6.38 petang. Waktu subuhnya 4.52 pagi. Kali ini saya "bersungkai" (berbuka) denga sushi, buah pisang dan air asam kerana tekak sedikit gatal. Sahurnya dengan sup sayur dan roti keping.

Saya mengambil kesempatan untuk menunaikan solat terawih di Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin yang mengambil masa 15 minit berjalan dari hotel penginapan. Bilal yang melaungkan azan isyak mirip azan di Mekah.

Masuk ke ruang solat masjid sudah terasa sejuk kerana masjid ini dipasang pendingin hawa sepenuhnya. Ramai jemaah yang datang dan meletakkan kenderaan di kiri dan kanan jalan berhampiran masjid. Oleh kerana banyak masjid dan surau yang mendirikan solat terawih, orang ramai boleh memilih tempat kegemaran masing-masing untuk berterawih. Imam terawih di sini pun hafiz dan membuat 20 rakaat. Seperti tempat lain, selesai lapan rakaat kebanyakan jemaah beredar dan ada yang membaca al-quran.

Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin memiliki ciri-ciri binaan yang unik dan menarik, menjadi tumpuan utama lawatan pelancong dan antara masjid yang mesti dilawati. Cuma saya rasa ruang solat agak kecil, tidak seperti Masjid Jamek Asr’ Hassanal Bolkiah yang luas.

Tumpuan saya seterusnya ialah ingin mengetahui bagaimana pandangan masyarakat Brunei selepas kerajaan memperkenalkan undang-undang hudud di negara itu. Saya bertanyakan rakan-rakan dan kenalan tentang apa yang mereka fikirkan dan bagaimana penerimaan masyarakat keseluruhan.

Saya menceritakan kepada mereka tentang pengalaman saya bersama penerbangan Royal Brunei iaitu pramugari memakai tudung dan menutup aurat di samping bacaan doa dipaparkan pada skrin sebelum memulakan penerbangan. Semua penumpang beragama Islam berdoa bersama-sama.

Dalam perbualan saya dengan rakan-rakan ini, masing-masing memberi pandangan yang cenderung ke arah menerima pelaksanaan undang-undang hudud. Antara pengalaman yang menarik ialah rakan saya yang pergi ke Miri, Sarawak dan berkesempatan berbual-bual dengan pekerja warga asing (kebanyakannya warga Eropah yang bekerja di Brunei). Warga asing ini menyambut baik pengenalan undang-undang hudud kerana tidak ada siapa yang berani lakukan jenayah. Kalau tidak bersalah seseorang tidak perlu berasa takut. Suasana juga lebih aman dan kadar jenayah dapat dikurangkan.

Selain bertanya, saya juga membuat pemerhatian ke atas kehidupan seharian masyarakat di sini. Rata-ratanya cenderung memenuhi tuntutan syariah dan arahan pihak berkuasa. Contohnya pemakaian tudung dalam kalangan wanita di sini, rata-ratanya memilih untuk menutup aurat. Begitu juga penyedia makanan di restoran, mereka diminta menjual makanan selepas pukul tiga petang dan untuk menjual lebih awal, penyediaan hanya untuk dibungkus. Hal ini kerana ada orang yang tidak dapat berpuasa dan terpaksa membeli makanan di luar.

Selepas membuat tinjauan dan pemerhatian, saya berasa optimis masyarakat Islam dan bukan Islam di Brunei cenderung menerima dengan baik pelaksanaan undang-undang hudud ini. Usaha yang perlu terus dilakukan ialah memberi penerangan dan mendidik masyarakat untuk memahami bahawa pelaksanaan hudud memberi kebaikan kepada masyarakat.

Kajian lanjut terhadap perubahan hidup masyarakat Brunei berkaitan hudud boleh dilakukan supaya kita dapat pelajari bagaimana cabaran dan impak hudud ke atas sistem bernegara.

Berita MH17 juga menjadi perhatian di sini. Ramai yang terkejut dan tidak menyangka sebuah pesawat MAS akan ditembak dan terhempas di Ukraine. Kerajaan Brunei turut menzahirkan kesedihan bersama-sama masyarakat dunia dan mendoakan keselamatan rakyat Malaysia.

Kesempatan ke Brunei kali ini memberi peluang kepada saya untuk lebih mengetahui bagaimana masyarakat di sini menguruskan kehidupan sosial mereka. Banyak lagi aspek yang boleh dikaji khususnya masalah sosial dan pembangunan sosioekonomi masyarakat. Dapatan yang menarik ialah generasi muda Brunei dilihat semakin terbuka terhadap cabaran hidup. Sudah ramai anak muda yang mahu menceburkan diri dalam bidang perniagaan, manjalankan aktiviti kesukarewanan dan mengambil pendekatan berusaha sendiri lebih baik daripada bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

 

Saturday, July 19, 2014

Kurang bercakap, lebihkan bertindak







Tindakan lebih berkuasa daripada kata-kata tetapi untuk bertindak perlukan kualiti-kualiti khusus seperti semangat yag kental, minda yang tajam, imaginasi yang kuat, sikap yang positif dan berpegang teguh dengan nilai. 

Gabungan kualiti ini menggerakkan kaki, tangan dan seluruh minda ke arah pencapaian matlamat. 

Jika banyak bercakap tentulah banyak kerja yang tertangguh. Minda yang fokus, penuh keyakinan dan langkah yang berani menunjukkan visi yang jelas dan terarah. 

Daripada visi ini, buatlah sesuatu supaya menjadi tindakan.

Friday, July 18, 2014

Lebih baik dengan tindakan







Negara Jepun hampir lumpuh selepas menghadapi peperangan dunia yang kedua. Dalam tempoh lebih 30 tahun, Jepun menjadi kuasa ekonomi dunia, di belakang Amerika Syarikat.

Jika Jepun boleh bangun daripada kehancuran, kenapa kita tidak boleh menjadi lebih baik?

Menjadi lebih baik perlukan tindakan. Kita mesti menggerakkan diri sendiri, bangun untuk menguruskan keupayaan diri, mencari ilmu dan tangkas bergerak. 

Abdullah bin Mas’ud seorang yang kurus. Semasa Rasulullah saw bertanya siapa yang boleh panjat pokok kurma untuk makan bersama-sama, beliau menawarkan diri. 

Walaupun kurus, Abdullah bin Mas’ud seorang yang hebat kerana memiiki jiwa besar untuk mencabar kebolehan dirinya. 

Kita juga boleh menjadi hebat jika bertindak ke arah kejayaan.


Thursday, July 17, 2014

Pesawat MAS terhempas di Ukraine









Penerbangan Malaysia, MAS sedang berhadapan dengan laluan sukar apabila sebiji lagi pesawat syarikat itu dikhuatiri terhempas berhampiran sempadan Rusia dan Ukraine. Maklumat ini telah tersebar beberapa jam lalu dan sejumlah 295 penumpang dan anak kapal dilaporkan terkorban.

Selepas MH370, syarikat penerbangan Malaysia itu berhadapan dengan masalah lebih serius dan mengundang persoalan khususnya jaminan keselamatan penerbangan. 

Apakah yang akan berlaku ke atas MAS selepas ini apabila dua biji pesawat dilaporkan terhempas?

Industri penerbangan dunia masih lagi diselubungi misteri kehilangan pesawat MAS pada Mac lalu dan kini tidak dapat lagi mengelak daripada terus mempertikai tahap keselamatan pesawat-pesawat MAS. Penumpang berharap selepas kejadian pertama lalu, akan ada perubahan yang lebih baik ke atas semua sistem penerbangan MAS.

Kini perubahan tersebut dilihat tidak meyakinkan. 

Syarikat penerbangan itu telah mengalami kerugian akibat bencana kehilangan pesawat dan kini sebuah pesawat dilaporkan terhempas. Sehingga infomasi ini ditulis, lebih banyak maklumat akan menyusul di media.

Memandangkan kejadian kali ini berlaku jauh dari Malaysia, mungkin rakyat negara ini kurang terasa seperti kehilangan MH370 namun ia memberi imej negatif ke atas penerbangan Malaysia untuk jangka masa panjang.

Waris penumpang sudah tentu akan menuntut ganti rugi yang menelan jutaan ringgit di samping pihak MAS sendiri yang terpaksa mengeluarkan belanja perjalanan dan penginapan serta lain-lain kos untuk mereka.

Biarpun begitu, doa dan harapan kita tetap bersama penumpang dan anak kapal di dalam pesawat yang malang itu.




Tuesday, July 15, 2014

Kesedaran patriotik dalam membina negara bangsa








1.0 Pengenalan

Saban hari masyarakat kita disajikan oleh media dengan pelbagai berita yang berunsur ancaman terhadap keharmonian negara dan keutuhan bangsa. Berita-berita tersebut kebanyakan berhubung kait dengan kegiatan salah laku golongan muda umpamanya pembuangan bayi, vandalisme, buli, ponteng sekolah, samseng jalanan, sumbang mahram, berzina dan segala macam perlakuan lain yang merujuk kepada keruntuhan akhlak. Sekali imbas, senario-senario ini hanya berlegar dalam ruang lingkup permasalahan atau cabaran dunia golongan muda, namum jika diluaskan dengan lebih tuntas, situasi tersebut amatlah membimbangkan memandangkan golongan muda yang sepatutnya menjadi tiang negara serta pewaris kepada kepimpinan negara yang seterusnya.

Pedidikan amat penting dalam membina sesebuah negara bangsa yang berjaya bermula sejak umur muda sehinnga ke alam IPT. Istilah pendidikan menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) adalah merujuk kepada perihal mendidik, manakala istilah patriotisme pula ber maksud perasaan bangga dan cinta kepada negara serta kesedaran untuk berkorban apa saja demi kepentingan negara (Berns, 1997). Oleh yang demikian, 'pendidikan patriotisme' merujuk kepada pendidikan ke arah membangkitkan semangat patriotisme sama ada dijalankan secara formal mahupun tidak formal.

Pendidikan patriotisme di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang khusus diperkenalkan semata-mata untuk memperkukuh semanagat patriotisme. Dalam subjek tersebut terdapat bab-bab yang megkhususkan perbincangan tentang kepentingan perpaduan kaum dalam negara Malaysia. Sementelah konsep ini bukanlah sesuatu konsep perkara yang baharu, tetapi telah diperkatak sejak zaman sebelum mereka lagi.

Hal ini dapat ditelusuri melalui Penyata Razak, 1956:

"Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri adalah bermaksud hendak menyatukan kanak-kanak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur".
(Petikan daripada Penyata Razak, perenggan 12 dalam Shahril et al. 1998:54).

"Satu daripada umbi kemahuan dasar Persekutuan Tanah Melayu ini adalah mengubah corak semua sekolah-sekolah rendah dan sekolah menengah supaya bercorak Tanah Melayu".
(Petikan daripada Penyata Razak, perenggan 115 dalam Shahril et al. 1998:54)

Tanpa perpaduan, masyarakat kita yang berbeza ras, latar budaya dan agama lebih mudah diadu domba atau diprovokasi oleh pihak yang berkepentingan sama ada di dalam mahupun di luar negara. Selanjutnya, pelancaran gagasan "Satu Malaysia" pada bulan Jun 2009 yang menekankan elemen perpaduan kaum bagi merealisasikan aspirasi negara untuk mencapai Wawasan 2020 juga mencerminkan kepentingan elemen perpaduan dalam memajukan negara.                  

Oleh yang demikian, dengan kefahaman dan penghayatan yang tinggi setiap warganegara terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemerkasaan perpaduan antara kaum di Malaysia, maka peristiwa-peristiwa yang boleh menggugat keamanan negara dan bangsa seperti Tragedi 13 Mei 1969 dan Peristiwa Kampung Medan 4 Mac 2001 akan dapat dihindari. Sehubungan itu, suasana masyarakat yang harmoni dapat diwujudkan. Sekali gus, matlamat untuk membangunkan serta memajukan negara akan lebih berfokus dan lebih berjaya.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengetahui kefahaman mahasiswa/i UTeM berkenaan patriotisme, mengetahui tahap kesedaran patriotik mahasiswa/i UTeM serta mengenal pasti faktor-faktor yang mewujudkan kesedaran patriotik dalam kalangan mahasiswa/i UTeM


2.0 Sorotan Kajian

Patriotisme yang seringkali dikaitkan dengan cintakan watan adalah satu semangat atau nilai yang perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat khususnya generasi muda. Antara faktor yang menyumbang kepada kebejatan sosial dalam masyarakat mutakhir ini ialah lunturnya semangat patriotisme yang dihayati khususnya generasi muda. Maka, nilai-nilai patriotisme yang merupakan sebahagian daripada nilai-nilai murni, sekiranya dapat dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin akan dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Oleh itu, sangat wajar khususnya generasi muda menjadikan nilai-nilai patriotisme sebagai amalan atau pegangan serta disemai dalam jiwa segenap lapisan masyarakat Malaysia demi kelangsungan negara dalam menghadapi era pasca modenisme dan dikenali sebagai masyarakat majmuk.

Patriotisme sering dikaitkan dengan kesetiaan dan kecintaan terhadap negara sendiri. Seseorang itu dianggap berjiwa patriot apabila kepercayaan, amalan dan tindakannya menepati ciri-ciri patriotisme yang berteraskan kecintaan dan kesetiaan kepada negara (Nik Anuar Nik Mahmud, 2002). Namun, mutakhir ini, semangat patriotisme kelihatan agak longgar dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar. Semangat yang longgar ini ditandai dengan kurangnya penglibatan pelajar dalam pasukan beruniform, sambutan bulan kemerdekaan yang agak hambar, penglibatan dalam jenayah dan isu-isu yang menyentuh kedaulatan negara dianggap terpencil dan remeh seperti isu Pulau Batu Putih dan penambakan laut oleh negara jiran (Affifuddin Omar, 2002). Situasi ini menunjukkan bahawa para pelajar tidak memahami nilai-nilai patriotisme dan menghayatinya. Dalam dunia globalisasi dan ledakan era teknologi maklumat, semangat patriotisme amat penting sekali seperti yang sering disebut iaitu kasihkan watan itu sebahagian daripada iman. Syeikh Daud Abdullah al-Fatani, seorang ulama besar Patani pernah mengingatkan bahawa mempertahankan negara daripada penjajahan ataupun tekanan kuasa asing (khususnya kafir harbi) adalah fardu ain. Tanpa semangat ini, kita tidak boleh yakin kita dapat bertahan (Nik Anuar Nik Mahmud, 2002).

Walaupun patriotisme adakalanya diseiringkan dan disamakan dengan nasionalisme, tetapi kedua- duanya mempunyai kelainan (Saifuddin Abdullah, 2002). Haruslah dinyatakan secara jelas bahawa disebabkan ciri-ciri, sifat nasionalisme itu sendiri adalah berbagai-bagai, manakala fenomena nasionalisme pula boleh muncul dengan rupa bentuk yang sama sekali berlainan, atas sebab dan faktor yang juga berbeza, maka menyamakan konsep patriotisme dengan nasionalisme adalah satu langkah yang kurang tepat dari segi keilmuannya (Mohamed Mustafa Ishak, 2000).

Menurut Doob (1964), perbezaan antara nasionalisme dan patriotisme, nasionalisme ialah ideologi tentang kelebihan bangsa sendiri dan berkait rapat dengan unsur-unsur ras, bahasa dan adat. Manakala patriotisme ialah sentimen cintakan negara dan berkait rapat dengan emosi mempertahankan kedaulatan negara, institusi politik dan undang-undang daripada dicerobohi oleh kuasa asing. Secara umumnya patriotisme bersifat motivasi, rasional, harapan dan pembaharuan semula, kelangsungan hidup, rela berkorban, organisasi kesukarelaan, kenegaraan dan cinta  negara. Maka, dalam  konteks  negara  Malaysia,  patriotisme  yang  ingin  diterapkan  adalah  mempunyai  nilai-nilai berikut:

1. Berbangga sebagai rakyat Malaysia
2. Bersemangat setia negara
3. Bersemangat kekitaan
4. Berdisplin
5. Berusaha dan produktif

Lima nilai tersebut perlu ada dalam diri setiap orang pelajar bagi membangkitkan semangat patriotsme dan mewujudkan sebuah suasana cintakan watan tanpa mengenal erti sepadan khususnya sepadan yang membezakan bangsa kerana ia mampu menyatupadukan rakyat serta berjaya dalam membina sebuah negara bangsa melihat kepada anak-anak muda yang begitu bersemangat patriot. Jika para pelajar tiada kelima-lima nilai tersebut, harapan untuk membina sebuah negara bangsa yang cemerlang pasti terbantut serta masa depan negara akan menjadi gelap kerana hilangnya pelapis pentadbir negara yang berwibawa dan diiktiraf di mata dunia. Seterusnya kita akan lihat senario patiotisme dalam kalangan masyarakat umumnya dan dalam kalangan pelajar khasnya.

Pemupukan dan penghayatan nilai-nilai patriotisme telah bermula sejak daripada sekolah rendah. Menurut Buku Panduan Pemupukan Patriotisme Di Sekolah Rendah (Kementerian Pendidikan, 1994), nilai-nilai patriotisme perlu diterapkan melalui kurikulum dan ko-kurikulum. Oleh itu, subjek seperti Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Kajian Tempatan dan lain-lain subjek sekolah rendah, perlu diterapkan nilai-nilai patriotisme yang disepadukan melalui topik yang diajar. Begitu juga melalui ko-kurikulum seperti aktiviti sukan, lawatan sambil belajar dan sebagainya.

Manakala di peringkat menengah, penerapan nilai-nilai patriotisme dibuat melalui subjek Sejarah, Pendidikan Moral, Geografi, Pendidikan Islam dan subjek-subjek yang lain. Walau bagaimanapun, setelah melalui proses pendidikan selama 13 tahun, ternyata penghayatan semangat patriotisme di kalangan pelajar masih longgar dan berada pada tahap sederhana (Rizal Uzir, 2002).

Bagi Wan Zahid (1993) pula, bangsa dan negara yang kuat serta mulia tidak hanya bergantung kepada kekuatan fizikalnya yang bercorak kebendaan dan teknologi. Maka negara harus membina kekuatan di atas asas budaya, ilmu pengetahuan, akhlak mulia, keyakinan diri yang teguh, semangat tanggungjawab dan pengorbanan diri yang tinggi. Maka, nilai-nilai patriotisme yang merupakan sebahagian daripada nilai-nilai murni, sekiranya dapat dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin, akan dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Justeru, wajar para pelajar terutamanya di peringkat menengah menjadikan nilai-nilai patriotisme sebagai amalan atau pegangan.

Kekurangan penghayatan nilai-nilai patriotisme akan menyebabkan pelajar menjadi mangsa kepada pelbagai penyakit sosial.

Golongan pelajar adalah satu golongan yang besar. Apabila dihalusi, istilah besar ini membawa erti yang luas jika diambil kira bahawa golongan ini juga adalah golongan yang paling berpengaruh kerana pelajarlah yang mewakili masa depan negara. Identiti negara dan penerus budayanya adalah dicorakkan oleh pelajar hari ini. Dalam pada itu, golongan pelajar merupakan golongan yang senang dipengaruhi dan mudah dicabar. 

Tanpa bimbingan mereka senang menjadi sasaran bermacam-macam unsur negatif yang sudah pasti timbul selari dengan perubahan yang berlaku. Tanda-tanda ini telah banyak kelihatan dan yang ketara ialah tingkah laku yang bercorak jenayah, penyalahgunaan dadah, bersikap mengagungkan nilai-nilai luaran dan memandang rendah unsur-unsur dalam negara, bersikap tidak apa dan lain-lain.

Begitu juga, sikap individu dan materialistik yang menjadi aliran hidup masa kini seolah-olah menyekat perkembangan sikap dan semangat patriotisme. Era kepesatan ekonomi masa kini seolah-olah menarik seluruh tenaga dan fikiran umum ke arah yang bercorak materialistik. Daripada tinjauan rambang ke atas remaja di Kuala Lumpur, kebanyakan mereka mengaku semangat patriotisme tidak wujud lagi. Kalau ada pun peratusnya sedikit sekali (Fahda Nur Akma, 1995).

Mutakhir ini, didapati keterlibatan remaja atau pelajar sekolah dalam jenayah adalah akibat lunturnya nilai-nilai patriotisme. Kurangnya semangat patriotik di kalangan generasi muda hari ini merupakan salah satu faktor yang menyebabkan sebahagian daripada mereka lebih cenderung kepada aktiviti yang tidak berfaedah, seperti terlibat dalam budaya hedonisme (mementingkan hiburan atau keseronokan) kerana jiwa mereka kosong dari segi nilai dan rasa kecintaan kepada agama, bangsa dan negara. Hal ini                                                          mungkin disebabkan salah satu faktornya, iaitu kurangnya pendedahan terhadap patriotisme yang diterima atau jika banyak pun, kurang berkesan (Ahmad Ahmad Rusdi, 2002). Kemungkinan juga disebabkan amalan patrioisme yang diamalkan oleh para pelajar berbeza dengan nilai-nilai patriotisme yang ingin diserapkan kepada mereka.


3.0 Metodologi Kajian

Internet merupakan media baru yang sangat berkesan untuk diguna pakai. Kaedah soal selidik telah diguna pakai dengan mengedar satu bentuk soal selidik untuk diisi oleh respondan yang dipilih secara rawak kemudian keputusannya direkod dalam bentuk carta.


4.0 Hasil Kajian



Rajah 1: Kefahaman konsep patriotisme

Rajah 1 menunjukkan kebanyakan daripada responden setuju dan memahami konsep patriotisme, iaitu semangat cinta akan negara. Terdapat 20 daripada 30 orang atau 66.7% daripada jumlah responden adalah setuju dengan persoalan ini. Seterusnya, terdapat 3 daripada 30 orang atau 10% daripada jumlah responden tidak pasti terhadap pemahaman konsep patriotisme.Justeru, terdapat 5 orang responden atau 16.7% daripada jumlah responden sangat setuju terhadap persoalan ini.

       
Rajah 2: Suka Malaysia dan berbangga menjadi warganegaranya

Daripada rajah 2 ini, tidak ada sesiapa pun sangat tidak setuju atau kurang setuju tentang persoalan status warganegaranya di Malaysia ,tetapi terdapat 13.3% daripada jumlah responden tidak pasti. Terdapat 30% daripada keseluruhan responden sangat setuju tentang persoalan ini. Kebanyakan responden setuju tentang persoalan ini iaitu 57%. .Hal ini adalah disebabkan kerana Malaysia telah mengharungi anjakan paradigma dan ledakan ekonomi yang memberangsangkan, oleh itu kebanyakan daripada responden bangga dengan status warganegaranya.

                        
Rajah 3: Mengambil berat akan isu-isu yang mengugat keamanan dan ketenteraman negara

Melalui soal selidik yang dijalankan, sebanyak 8 orang responden atau 27% daripada jumlah responden sangat mengambil berat dengan isu-isu yang mengugat keamanan dan ketenteraman negara. Manakala terdapat seorang responden tidak mengambil berat terhadap isu-isu yang mengugat keamanan negara. Selain daripada itu,terdapat responden yang tidak mengambil berat mengenai perkara ini kerana mereka hanya mengambil berat apa yang berlaku dalam pelajaran mereka sahaja. Kebanyakan daripada responden iaitu 15 daripada 30 orang atau 50% mengambil berat terhap isu-isu yang mengugat keamanan dan ketenteraman kerana mereka menghargai jasa dan perjuangan tokoh-tokoh negara.


Rajah 4: Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan dan saya bangga menuturkannya
                                        
Melalui hasil soal selidik ini, tidak ada orang memilih sangat tidak setuju atau tidak setuju. Sebaliknya, terdapat 16.7% daripada jumlah responden tidak pasti terhadap soalan ini. Manakala kebanyakannya setuju terhadap persoalan ini dengan 53% daripada jumlah responden.
     

Rajah 5: Patriotisme merupakan teras kepada perpaduan

Secara keseluruhan, terdapat 10 orang responden sangat setuju bahawa patriotisme teras perpaduan dan hanya seorang responden yang tidak setuju terhadap persoalan ini.
                                
          
Rajah 6: Rakyat Malaysia adalah bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama

Dalam kajian ini, kategori tidak setuju hanya seorang responden daripada setiap kategori memilih sahaja. Terdapat dua orang responden tidak pasti dengan hal ini. Kebanyakan responden berpendapat kategori setuju dan sangat setuju, terdapat 19 orang setuju dan 8 orang sangat setuju terhadap hal ini, iaitu masing-masing adalah 63% dan 27% daripada jumlah responden berikut.


Rajah 7: Malaysia merupakan sebuah negara yang demokrasi dan setiap rakyat mempunyai hak dalam melontarkan pendapatnya

Jika dikaji dari perspektif yang lain, kebanyakan responden setuju bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang luhur dengan perlembagaan dan Malaysia merupakan negara berdemokrasi dan rakyat mempunyai hak kebebasan bersuara. Sebanyak 12 orang daripada 30 responden atau 40% sangat setuju bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang bebas berucap dan mengeluarkan fikiran dengan batasan tertentu bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman. Sebaliknya, terdapat 3 responden atau 10.00% sangat tidak setuju terhadap persoalan tersebut. Selain itu, satu per tiga responden setuju bahawa Malaysia mempunyai hak dalam melontarkan pendapatnya. Perbezaan persoalan sanagat setuju dan tidak setuju adalah 10 responden atau 83%.


Rajah 8: Dapat menerima rakan yang berbeza fahaman dan ideologi

Daripada 30 responden, 11 orang atau 37% daripada jumlah responden sangat setuju terhadap penerimaan fahaman dan ideologi rakan mereka. Pada masa yang sama, terdapat responden yang beretika dan dapat menerima dengan rakan yang berbeza fahaman dan ideologi dengan mereka iaitu 16 orang daripada 30 responden atau 53%. Hal ini telah menggambarkan semangat patriotisme yang berkobar-kobar antara mahasisawa. Analisis daripada persoalan sangat setuju dan setuju telah merangkumi 27 orang responden atau 90%.


Berikut adalah dapatn kajian terhadap kefahaman responden tentang patrionisme.

-love the country no matter what circumstances.
-berkelakuan sopan, bertatasusila dan berhemah tinggi .
-memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat .                                
-memupuk persefahaman dan permuafakatan.
-berkorban untuk bangsa dan negara.
-semangat cinta akan negara.
-semangat dan sayangkan negara. 
-love your country and nation.
-tiada sistem kuota kerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain.
-menghargai dan mengamalkan tradisi dan budaya bangsa. 
-menanam semangat patriotik amat penting dalam melaksanakan sesuatu perkara.
-sifat gigih dan rajin mesti dipegang dan fokuskan pada matlamat perasaan cinta negara. 
-tiada sistem kuota kerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain.
-patriotisme adalah semangat cintakan negara. 
-semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat majmuk.
-berbangga dengan sejarah tanah air. 
-menghargai jasa dan perjuangan tokoh-tokoh negara. 
-cintai tanah air adil dan bertimbang rasa 
-bangga akan pencapaian dan budaya bangsa nasionalisme.
-hormat-menghormati. 
-berkorban untuk bangsa dan negara adil dan bertimbang rasa.
-memupuk persefahaman dan permuafakatan sikap.
-tolak-ansur dan bertoleransi. 
-rakyat dapat memupuk perpaduan kaum.
-berkat kegigihan dan kerajinan.                             
-semangat cinta pada tanah air. 
-masyarakat yang harmoni semangat muhibah dalam kalangan masyarakat. 
-kemakmuran dan kesejahteraan yang dikecapi di negara bertuah. 
-sifat gigih dan rajin mesti dipegang dan fokuskan pada matlamat cinta akan negara.
-mematuhi setiap peraturan dan undang-undang yang diketatkan.


5.0 Kesimpulan

Agenda patriotisme perlu disemarakkan di kalangan rakyat Malaysia dan bukan hanya bermusim. Sebagai sebuah negara berbilang bangsa, tanggungjawab mempertahankan negara perlu dipikul oleh semua rakyat. Semangat patriotisme perlu dihayati kerana ia adalah teras kepada pertahanan negara. Oleh itu, kita perlu suburkan kembali jiwa patriotik yang sebenarnya. Dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi kini, kita perlu bergerak maju dan pada masa yang sama menghapuskan saki-baki penjajah yang masih lagi bersarang dalam jiwa masyarakat. Semoga negara dan bangsa Malaysia akan terus maju dengan semangat patriotisme sejati.



Rujukan

Abdul Latiff Abu Bakar. (1996). Konsep Patriotisme dan Nasionalisme. Abdul Latiff Abu Bakar dalam Melaka dan Arus Gerakan Kebangsaan Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Affifuddin Omar. (2002). Dasar bahasa dan budaya Malaysia tidak konsisten. Berita Harian, 22 Ogos 2002.

Davies, I & Mark, E. (2002). Encourging Active Citizenship, Educational Review 54, (1); 69-78.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (1994). Kamus Dewan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Fahda Nur A. Kamar. (1995). Semangat Patriotisme di Kalangan Remaja. Dewan Siswa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (1994). Buku Panduan Program Pengukuhan Pemupukan PatriotismeSekolah Rendah



MZ Zainudin, Muhammad Faizal Ismail, Afiq Syazwi Ahmad Nizam, Anuar Abdul Aziz, Tee Kok Chen